lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

'Food Pas' Pusing Kampung Bantu Rakyat Susah
'Food Pas' Pusing Kampung Bantu Rakyat Susah
SETIU, 16 Jun - Memahami dan merasai kesusahan rakyat di sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit mengambil inisiatif menubuhkan 'Food Pas'. Mohd Shafizi Ismail berkata, dengan tema ‘Berkebajikan Sepanjang Hayat’ bantuan makanan itu mula disalurkan kepada golongan sasar sejak kelmarin. "Operasi kami mudah iaitu hanya meronda ke setiap kampung dalam DUN ini, kemudian mengagihkan barangan keperluan harian kepada semua penduduk yang terjejas. “Beras, tepung, gula, susu dan lain-lain kami agihkan kepada rakyat yang memerlukan tanpa mengira fahaman politik, sesiapa yang merasa memerlukan boleh segera berhubung dengan Jawatankusa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK). “Langkah proaktif ini penting bagi memastikan barangan sampai dengan cepat dan kena pada sasaran, ia juga bagi kelangsungan hubungan dua hala antara pihak kerajaan dan masyarakat, ini juga platform kepada orang ramai berkongsi rezeki,” katanya kepada UPDI. Mengulas lanjut, Mohd Shafizi memaklumkan inisiatif murni itu mendapat kerjasama daripada badan bukan kerajaan (NGO) Batu Rakit Care. “Idea mewujudkan ‘Food Pas’ ini hadir selepas banyak sokongan yang diberikan daripada pihak tertentu terutamanya JPKK DUN Batu Rakit. “Sekalung penghargaan dan terima kasih tidak terhingga kami ucapkan kepada Pengerusi JPKK Kampung Wakaf Chagak, Che Rahim Che Harun,” jelas Shafizi. Tambah Mohd Shafizi, demi memastikan kebajikan rakyat terjamin, inisiatif itu akan dikekalkan dan ditambah baik. “Saya juga secara khusus akan mewujudkan ‘Food Pas’ ini di semua JPKK dalam DUN Batu Rakit agar kita dapat terus membantu mereka-mereka yang memerlukan tanpa mengira agama, bangsa dan warna kulit,” ujarnya.
16 Jun 21
904
OKU Pun Tak Takut Disuntik Vaksin
OKU Pun Tak Takut Disuntik Vaksin
HULU TERENGGANU, 16 Jun – Kekurangan fizikal bukan penghalang buat dua Orang Kurang Upaya (OKU) di Kuala Berang untuk mengambil suntikan vaksin sempena Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK). Sabariah Mohd, 36, yang mempunyai kekurangan fizikal mengakui teruja mendapat suntikan dos pertama, semalam. “Walaupun dengan keadaan kaki sebelah yang pendek, ia tidak menyusahkan saya untuk datang ke sini dengan kenderaan sendiri dari Bukit Tok Bat. “Bagi saya, vaksin sangat penting bagi kita semua untuk menguatkan sistem imunisasi badan, tambah lagi ia akan memudahkan urusan bagi saya yang suka melancong,” katanya yang juga seorang guru al-Quran bagi warga emas. Sementara itu, bagi OKU pendengaran dan penghidap penyakit co-morbid, Megat Putra Megat Mansur, 61, menjelaskan, usahanya untuk datang ke PPV sebagai ikhtiar melawan virus COVID-19. Dia yang hadir berkerusi roda dengan bantuan sukarelawan MyVac menyifatkan kesanggupannya mengambil suntik vaksin adalah demi menjaga keselamatan diri dan keluarganya serta mengurangkan jangkitan wabak itu. “Pada lima tahun lalu, saya ditimpa musibah semasa bekerja sebagai pemandu lori, sekarang pergerakan saya terbatas namun saya tetap bersungguh untuk datang ke sini. “Tiga minggu lepas sudah terima dos pertama dan hari ini dos kedua, saya tidak dapat datang jika tiada sokongan padu yang diberikan kakitangan daerah yang datang ambil saya daripada Kampung Tok Randuk, Ajil,” katanya. Menurut Penyelaras PPV Kuala Berang, Zuraidah Embong, golongan OKU dan mereka yang tiada kenderaan akan dibantu untuk ke pusat tersebut melalui perkhidmatan pengangkutan percuma hasil inisiatif Pejabat Daerah Hulu Terengganu. “Dengan kerjasama pelbagai agensi daerah ini seperti Pejabat Agama, Majlis Daerah Hulu Terengganu dan Jabatan Kerja Raya (JKR), golongan seperti Megat akan dibantu untuk ke PPV di sini. “Bilik Gerakan Imunisasi COVID-19 daerah akan menelefon bakal penerima sehari sebelum temu janji dan bertanyakan jika tiada kenderaan. “Purata sehari dalam tiga orang penerima vaksin akan datang diambil oleh kenderaan agensi berkaitan,” jelasnya.
16 Jun 21
353
Saringan COVID-19 Perlu Kerjasama Orang Ramai
Saringan COVID-19 Perlu Kerjasama Orang Ramai
KUALA TERENGGANU, 16, Jun - Kerjasama orang ramai untuk melakukan saringan COVID-19 apabila diminta jabatan kesihatan sangat diperlukan bagi mengelakkan jangkitan terus menular. Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah Dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato Tengku Hassan Tengku Omar berkata, sudah menjadi tanggungjawab setiap orang yang diklasifikasikan sebagai kontak rapat untuk hadir melakukan saringan. "Suka saya melihat yang tua dan yang muda, malah kanak-kanak juga datang untuk memberikan kerjasama yang diperlukan kepada petugas kesihatan," ujarnya.  Tengku Hassan berkata demikian ketika ditemui di perkarangan Masjid Sultan Muhammad, Bukit Besar di sini untuk melihat proses dan perjalanan ujian saringan. Turut hadir ialah Pengarah Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) Ladang, Ahmad Kamal Ali serta Ahli Majlis, Majlis Bandar Raya Kuala Terengganu (MBKT), Umbaidah Tengah. Menurut Tengku Hassan, semalam, berlaku pertambahan 270 individu yang disaring dalam usaha mengekang penularan wabak COVID-19 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang khususnya. "Saya berterima kasih kepada 'Frontliner' kita hari ini yang terdiri daripada warga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang bertugas, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Masjid Raja dan lain-lain kerana saling bantu-membantu melancarkan proses ujian saringan tersebut dilaksanakan," katanya lagi.
16 Jun 21
130
40 Peratus Daftar Vaksin Di Dungun
40 Peratus Daftar Vaksin Di Dungun
DUNGUN, 16 Jun - Hanya 40 peratus individu yang mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 di Dungun sehingga kini. Pegawai Kesihatan Daerah Dungun, Dr Fathul Hakim Hamzah berkata, kesedaran orang ramai sangat penting kerana suntikan ini untuk mengekang penularan pandemik COVID-19.  "Kerjasama orang ramai amat diperlukan memandangkan peratusan mereka yang mendaftar masih rendah di Dungun. "Sehingga kini 51,000 orang yang sudah mendaftar untuk suntikan vaksin dan hanya 40 peratus daripada sasaran kita, maksudnya masih ramai lagi di daerah ini yang belum mendaftar," jelasnya.  Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) Daerah Dungun yang diketuai Ab Hamid Ismail di pejabatnya di sini. Katanya, daripada jumlah yang mendaftar tersebut, seramai 9,000 telah menerima suntikan vaksin. "Jadi saya harap anak-anak bantu mak ayah dikampung untuk daftar vaksin, bantu orang-orang kampung untuk daftar kerana vaksin adalah ikhtiar kita untuk hentikan penularan wabak COVID-19, " ujarnya. Menurut beliau, terdapat dua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) ataupun Pusat Suntikan Vaksin Awam di daerah berkenaan iaitu di Dewan Aspirasi, Universiti  Teknologi MARA (UiTM) Dungun dan Dewan Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin(PSMZA). Beliau turut mengingatkan supaya orang ramai tidak terpedaya dengan pelbagai khabar angin negatif tentang vaksinasi COVID-19. "Jika ada apa-apa persoalan boleh bertanya kepada mereka yang berautoriti dan bertanggungjawab, " katanya.  Katanya lagi, vaksinasi adalah salah satu cara di dalam melaksanakan tanggungjawab untuk mengurangkan seminima mungkin wabak tersebut. "Selain itu, kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Sepenuhnya (Total Lockdown) yang dilanjutkan lagi selama dua minggu, jadi sama-sama kita patuhi untuk putuskan rantaian jangkitan sepanjang dua minggu ini, 'stay at home', hanya keluar jika ada keperluan mendesak, pakai pelitup muka dan kerap basuh tangan, " ujarnya. 
16 Jun 21
535
2,000 Penduduk Terima Bantuan BERKAT 3.0 Di Rantau Abang
2,000 Penduduk Terima Bantuan BERKAT 3.0 Di Rantau Abang
DUNGUN, 14 Jun- Seramai 2,000 penduduk terdiri daripada golongan yang terjejas pendapatan berikutan pelaksanaan 'total lockdown' menerima Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT) 3.0 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun berkata, bantuan yang disalurkan oleh kerajaan negeri Terengganu itu memperuntukkan sebanyak RM200,000 untuk setiap DUN.  "Terima kasih kepada Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar atas inisiatif membantu rakyat yang terkesan. "Dimana untuk fasa pertama, pihak Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di DUN Rantau Abang telah selesai mengagihkannya," katanya ketika dihubungi di sini.  Menurut Alias, bantuan tersebut bernilai RM100 termasuk wang tunai dan barangan dapur. "Besar harapan saya agar rakyat berjimat  cermat dan berbelanja barangan perlu sahaja, jika masih ada yang belum menerima sebarang bantuan, berjumpalah dengan JPKK di tempat masing-masing, InsyaAllah, JPKK akan membantu, " ujarnya. 
14 Jun 21
447
Rumah Ditimpa Pokok Segera Dibaiki
Rumah Ditimpa Pokok Segera Dibaiki
DUNGUN, 14 Jun- Jawatankuasa Pengurusan dan Keselamatan (JPKK) Pulau Serai mengambil tindakan segera dengan membaiki sebuah rumah penduduk yang ditimpa pokok. Salwana Abdul Halim, 40, terharu dengan kecaknaan JPKK Pulau Serai yang membantu membaiki rumahnya.  Katanya, apabila diberitahu kejadian tersebut masing-masing datang menolong. "Memandangkan hari Jumaat kedai 'hardware' tutup jadi kerja-kerja membaik pulih atap terpaksa ditangguhkan hingga keesokan hari," ceritanya katanya ketika dihubungi selepas kejadian Jumaat lalu.    Menurut ibu enam anak itu, sewaktu kejadian suaminya, Ahmad Maharan Mat Rani, seorang nelayan tiada di rumah dan dalam perjalanan pulang  setelah menangkap ikan.  "Masa tu saya sedang memasak di dapur, apabila saya mendengar bunyi di luar rumah, saya keluar untuk menjenguk, masa tu saya nampak pokok jatuh atas atap bahagian dapur, tempat saya berdiri sedang memasak tadi. "Alhamdulillah saya dan anak-anak selamat, tiada yang cedera dan JPKK kata YB akan tanggung baiki semua yang rosak, terima kasih banyak kepada YB Cikgu Alias dan semua yang membantu," katanya lagi.  Sementara itu Pengerusi JPKKnya, Abd. Halim Abd. Rahman, memberitahu pihak Pusat Khidmat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang  telah menghantar tukang rumah untuk melakukan kerja - kerja membaik pulih atap rumah tersebut. "Alhamdulillah semua dah selesai, maknanya tuan rumah tidak menunggu lama, YB urus selalu, hantar tukang mari pasang atap baru," katanya.   
13 Jun 21
344
'Gerobok Rezeki' Bantu Penduduk Terjejas
'Gerobok Rezeki' Bantu Penduduk Terjejas
SETIU, 11 Jun - Menyedari ramai individu yang terkesan ketika pandemik COVID-19, pihak Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit mengambil inisiatif melancarkan Projek Gerobok Rezeki. Pegawai Penyelaras DUN Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata, idea untuk memperkenalkan projek itu tercetus apabila ramai penduduk di Batu Rakit mahu memberikan sumbangan kepada penduduk yang memerlukan. "Antara barangan keperluan harian disediakan termasuk beras, minyak masak, tepung gandum, gula, bihun, serbuk tea, biskut serta susu pekat dan lain-lain lagi. "Gerobok Rezeki yang diletakkan di luar bangunan surau-surau di DUN ini,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran projek itu di Surau Tanjung Kedepan, Batu Rakit, di sini baru-baru ini Dalam pada itu, Mohd Shafizi berkata, pihaknya mengalu-alukan individu yang memerlukan untuk mengambil barang keperluan harian itu. “Mereka boleh mengambil barang tersebut namun berharap mengikut apa yang diperlukan sahaja. Sasaran kita ialah membantu sebanyak mungkin penduduk sekitar daerah ini yang berada dalam kesusahan. “Bagaimanapun, kami meminta mereka yang mengambil bahan makanan untuk mencatatkan butiran diri pada buku catatan yang disediakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK),” katanya. Tambahnya, pihaknya juga mengalu-alukan orang ramai serta syarikat swasta untuk memberikan sumbangan bahan makanan kepada pihak JPKK. Orang ramai yang ingin memberikan sumbangan wang tunai boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank Islam, Batu Rakit Care (13062010005732).
11 Jun 21
671
Bacaan Bersanad Sahih Bukhari Ikhtiar Tangani COVID-19
Bacaan Bersanad Sahih Bukhari Ikhtiar Tangani COVID-19
KUALA TERENGGANU, 10 Jun - Kerajaan negeri memperkenalkan Majlis Bacaan Bersanad Sahih Bukhari sebagai salah satu ikhtiar rohani dalam menangani pandemik COVID-19. Pengarah Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT), Ramlan Mahmood berkata, program secara atas talian atau webinar itu bermula sejak 7 Jun lalu dari pukul 9 hingga 11 pagi. "Ia berlangsung setiap hari, alhamdulillah setakat ini ia telah mendapat sambutan yang amat memuaskan daripada rakyat negeri ini. "Sambutan pada hari pertama ini cukup membanggakan dengan penyertaan seramai 500 orang yang turut serta menerusi aplikasi webinar," katanya ketika dihubungi hari ini. Mengulas lanjut, Ramlan berkata, majlis bacaan hadis akan berterusan sehingga sepanjang pelaksanaan PKP 3.0 ditamatkan pihak kerajaan.  "Penyampainya, Tuan Guru Haji Suhaimi Haji Daud akan bersiaran setiap hari dan orang ramai yang tidak dapat mengikutinya di aplikasi webinar, boleh mengikutinya secara langsung di laman facebook Akademi DUAT. "Secara dasarnya, majlis ini merangkumi tiga fasa iaitu Majlis Tasmi' Hadis Haqiqi (bersama pelajar tuan guru), Majlis Sama' Hadis (peserta Webinar) dan Majlis Sama' Hadis Awam (laman Facebook)," tambah beliau. Katanya lagi, bagi meningkatkan kesedaran awam tentang kepentingan pengajian ilmu di musim wabak ini, jabatannya telah menyusun pelbagai program yang boleh dirujuk menerusi laman sosial Akademi DUAT. "Kami menyeru rakyat agar tidak ketinggalan dalam menambahbaik ilmu agama dalam diri kita, keluarga dan masyarakat seluruhnya," tambah beliau.
10 Jun 21
315
Maidam Agih RM101.3 Juta Zakat Kepada Rakyat Terjejas
Maidam Agih RM101.3 Juta Zakat Kepada Rakyat Terjejas
KUALA TERENGGANU, 9 Jun - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) mengagihkan RM101.3 juta wang zakat, dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, bagi membantu golongan yang terkesan akibat pandemik COVID-19. Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, M Rozi Bidin berkata, bantuan itu diagihkan melalui 10 inisiatif khas yang dilaksanakan MAIDAM secara berterusan sejak Januari lalu. "Antara penerima bantuan ialah pemandu teksi, penarik beca, penjaja dan tukang kasut yang menerima sumbangan barang keperluan sempena Ramadan. "MAIDAM juga mengagihkan bantuan pelitup muka dan barang keperluan kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia yang dikenakan kuarantin di asrama, ketika peperiksaan itu berlangsung," katanya dalam satu kenyataan semalam Bagi melancarkan lagi proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) pula, Rozi berkata, pihaknya turut memberi tablet kepada anak asnaf melalui Yayasan Pendidikan MAIDAM. "Terbaru, seramai 21,492 ketua isi rumah iaitu penerima bantuan khas zakat MAIDAM akan menerima bantuan sebanyak RM200 agar dapat meringankan beban kewangan mereka, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ini. "Bantuan ini akan disalurkan terus ke akaun penerima secara berperingkat mulai bulan ini dengan jumlah keseluruhan bantuan bernilai RM4,298,400. "Diharapkan bantuan ini dapat digunakan sebaik mungkin oleh asnaf untuk membeli barang keperluan harian, terutama makanan asas," katanya. Bantuan khas itu juga disalurkan kepada 1,098 asnaf tinggal di Besut ketika daerah itu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD), pada 22 Mei lalu, membabitkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM219,600. Tambahnya, MAIDAM berterima kasih kepada semua pembayar zakat di Terengganu kerana ramai golongan sasar sudah menerima manfaat agihan bantuan.
09 Jun 21
926
Di Sebalik Fitnah, MB Tetap Turun Padang Agih Bantuan
Di Sebalik Fitnah, MB Tetap Turun Padang Agih Bantuan
MARANG, 8 Jun – Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar tetap meneruskan agihan bantuan kepada rakyat seperti biasa meskipun dilempar fitnah daripada pihak tidak bertanggungjawab kebelakangan ini. Pegawai Khasnya, Sabri Zakaria berkata, Menteri Besar dilihat tenang dan gembira dapat bertemu rakyat seolah-olah tiada apa yang berlaku. “Hari ini heboh berita pasal Menteri Besar. Goyah la, tergugat la dan macam-macam lagi cerita rekaan yang ada.  “Namun ia tidak menjejaskan Menteri Besar untuk terus membantu rakyat, pagi tadi saya ada bersama beliau dalam agihan bantuan COVID-19 di Kampung Kuala Tengah.  “Mengikut jadual, beliau ada mesyuarat hari ini, tetapi tetap ‘mencuri’ masa untuk turun menyampaikan bantuan pada rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang,” katanya ketika dihubungi UPDI hari ini. Mengulas tentang laporan polis yang dibuat terhadap pengfitnah, Sabri berkata beliau menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk bertindak.  “Kita fokus buat kerja bantu rakyat lagi baik daripada melayan benda-benda rekaan seperti itu,” jelasnya. Tambah Sabri, selepas selesai mengagih bantuan, Menteri Besar terus meninjau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Marang.  “Sebelum hadir mesyuarat Menteri Besar hadir ke PPV Marang untuk melihat sendiri proses vaksinisasi yang berlangsung dan menyampaikan sumbangan makanan kepada petugas frontliner,” katanya.     
08 Jun 21
2205