lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

230 KIR Terima Kit Bantuan BERKAT 3.0 Di Seri Bandi
230 KIR Terima Kit Bantuan BERKAT 3.0 Di Seri Bandi
KEMAMAN, 22 Jun - Seramai 230 Ketua Isi Rumah (KIR) menerima kit bantuan BERKAT 3.0 yang terdiri daripada golongan sasar berikutan pelaksanan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan di Bandar Seri Bandi, Kijal. Ianya melibatkan tiga Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) di kawasan tersebut iaitu Felcra Seri Bandi, Seri Bandi dan JPKK Sungai Ibok. Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, Ustaz Hazri Jusoh ketika ditemui oleh media semasa pengagihan di bandar tersebut kelmarin menyatakan akan ada lagi bantuan untuk fasa yang seterusnya. Hazri Jusoh (kiri) menyerahkan kit bantuan BERKAT 3.0. "Insya-Allah, akan ada lagi bantuan untuk fasa yang seterusnya oleh kerajaan negeri bagi meringankan bebanan yang dirasai oleh mereka yang terkesan. "Kami berusaha untuk membantu semua keluarga di mana KIRnya tidak dapat bekerja atau yang hilang sumber pendapatan dalam tempoh PKP ini akibat pendemik Covid-19," katanya. Hazri mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua JPKK di seluruh DUN Kijal di atas kesungguhan mereka dalam membantu penduduk kampung masing-masing. "Jutaan terima kasih kepada semua JPKK di Kijal kerana meringankan dan mempermudahkan urusan bantuan oleh kerajaan negeri ini, alhamdulillah," ujarnya. Sebanyak 2,000 kit bantuan telah diagihkan di seluruh Kijal kepada KIR yang dikenal pasti terkesan pada fasa ini.
21 Jun 21
548
Berkorban Demi Suami Walau Masih Dalam Pantang
Berkorban Demi Suami Walau Masih Dalam Pantang
KUALA TERENGGANU, 21 Jun - Seorang isteri rela berkorban demi masa depan suami dan keluarga yang lebih cerah walaupun masih menjalani pantang selepas bersalin melahirkan cahaya mata pertama. Ia apabila suami, membuat keputusan untuk berpisah sementara dengan isteri dan anak kecil bagi mengikuti rawatan pemulihan sepenuhnya daripada ketagihan najis dadah. Pengurus Pemulihan Dadah Holistik atau Perkampungan Darul Barakah, Alif Mahari berkata, kesungguhan untuk melihat perubahan suami yang ditunjukkan oleh isteri itu benar-benar menyentuh hatinya. Katanya, lebih terkesan apabila sanggup menemani suami bersama anak yang dibawa ketika pertama kali mendaftarkan diri. "Paling menyentuh hati sebelum berpisah si ayah mendukung anak dan menciumnya dengan penuh kasih sayang. Semoga dirinya dapat bertahan dalam menjalani tempoh rawatan ini, juga diberikan kekuatan. "Semoga di masa hadapan bayi comel ini dapat membesar dengan segala kebaikan, menjadi anak yang soleh, penyejuk mata buat ibu dan bapa. "Apa yang penting, diharapkan anak ini tidak akan tahu langsung kisah hitam orang tuanya serta tidak mengikuti jejak salah yang dilakukan," ujarnya melalui perkongsian di 'facebooknya' kelmarin. Kisah itu antara cerita yang berlaku di hari pendaftaran Perkampungan Darul Barakah yang dibuka sejak 15 Jun lalu Menurut Alif, kisah berkenaan juga memberi petanda bahawa masyarakat sangat memerlukan Pusat Pemulihan Dadah Secara Holistik. "Konsep asas pusat pemulihan dadah holistik ini ialah mereka yang berkampung di sini hadir secara sukarela dan mereka serius mahu berubah. “Ketika mereka di sini, pelatih akan dididik dengan pelbagai pengisian termasuk ilmu dunia dan akhirat, dalam masa yang sama mereka juga akan diberi peluang untuk membina kerjaya seperti dalam bidang pertanian dan penternakan dengan kelebihan kem yang berkeluasan melebihi 40 ekar,” katanya. Pusat tersebut merupakan salah satu manifesto PAS pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu.  
21 Jun 21
1242
Imuniti Kelompok Tanggungjawab Bersama
Imuniti Kelompok Tanggungjawab Bersama
KUALA TERENGGANU, 21 Jun- Imuniti kelompok dilihat sebagai penyelamat dalam mengekang penularan wabak COVID-19. Pakar Perubatan Keluarga, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Rozimah Abdul Latif berkata, menjadi tanggungjawab anggota masyarakat untuk menyokong usaha murni kerajaan ini agar dapat kembali kepada kehidupan normal. "Imuniti kelompok dapat diumpamakan seperti hujan, ramai orang pakai payung seolah-olah seperti berada di bawah khemah.  "Ini sudah tentunya dapat mengelakkan daripada basah, kalau basahpun hanya kaki sahaja atau tepi-tepi dan tidak memudaratkan," terangnya di dalam Program 'Segmen Khas Vaksin: Imuniti Kelompok, Tanggungjawab Bersama'.  Program bual bicara tersebut telah dikendalikan oleh Pegawai Perubatan Pakar KKM, Dr. Nor Higrayati Ahmad Kasah dan disiarkan secara langsung  menerusi Lubna TV, baru-baru ini. Beliau turut mengakui terdapat segelintir penerima yang sudah divaksin masih dijangkiti virus pembunuh itu tetapi mereka tidak bergejala dan apabila sembuh bebas daripada simptom Sindrom COVID-19 Jangka Masa Panjang. "Berbanding dengan mereka yang tidak divaksin dan dijangkiti COVID-19, walaupun mereka sembuh, berkemungkinan mereka masih mempunyai simptom seperti badan lemah , ada  jangkitan paru-paru, sukar bernafas seterusnya bermimpi seolah-olah seseorang ingin mencabut alat pernafasan, " terangnya.  Justeru, beliau menyeru agar masyarakat segera mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 supaya  dapat membebaskan diri daripada jangkitan dan dapat hidup seperti sebelum kehadiran virus itu di dunia ini.       
21 Jun 21
237
Tujuh Beranak Hilang Tempat Berteduh Dapat Perhatian MB
Tujuh Beranak Hilang Tempat Berteduh Dapat Perhatian MB
MARANG, 21 Jun - Peristiwa tragis tujuh beranak yang hilang tempat berteduh akibat kebakaran mendapat perhatian Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payung, Mohd Nor Hamzah berkata, Ahmad Samsuri hadir ke tempat kejadian di Kampung Batu 9, Bukit Payong semalam dan mahu agar bantuan segera disalur kepada keluarga terbabit. Katanya, susulan itu, keluarga Abd Wahab Ismail akan ditempatkan di rumah sewa sementara milik orang kampung dan bantuan lain akan menyusul. “Dalam jam sekitar 9 malam semalam, Saya bersama MB bergegas ke rumah Abd Wahab untuk meninjau apa-apa keperluan yang perlu disalurkan segera. “Kebakaran yang difahamkan berpunca daripada litar pintas telah memusnahkan keseluruhan rumah, akibatnya mangsa hanya tinggal sehelai sepinggang kecuali sebuah kereta yang sempat diselamatkan,” katanya menerusi Facebook rasminya, semalam. Kejadian yang berlaku pada 4.50 petang itu turut melibatkan kanak-kanak berusia tiga tahun dan 12 bulan, namun kedua-duanya dilaporkan selamat. Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Wakaf Tapai, Khairul Azmi Ismail, pihaknya menerima panggilan pada 5 petang, susulan itu tiga jentera termasuk dari BBP Kuala Terengganu dikejarkan ke lokasi. "Anggota mengambil masa selama 30 minit untuk kerja-kerja pemadaman dan selesai sepenuhnya pada 6.10 petang,” katanya sepertimana dilaporkan Harian Metro.  
21 Jun 21
929
Agihan Bantuan COVID-19 DUN Batu Buruk Masuk Fasa Empat
Agihan Bantuan COVID-19 DUN Batu Buruk Masuk Fasa Empat
KUALA TERENGGANU, 21 Jun – 2,000 pek bantuan makanan asas bagi fasa keempat Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT 3.0) Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk telah mula diagihkan kepada masyarakat yang terjejas pendapatan. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, bantuan tersebut disalurkan melalui kesemua 36 buah Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK) sejak beberapa hari lepas. “700 pek daripada jumlah bantuan tersebut telah diagihkan lebih awal kepada kawasan di Mukim Bukit Besar yang termasuk dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) melibatkan 12 buah JPKK. “Manakala selebihnya diagihkan pada pada hari-hari seterusnya,” katanya ketika ditemubual oleh pemberita baru-baru ini. ADUN Batu Buruk turut sama membantu dalam proses agihan Menurutnya lagi, sejurus Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengumumkan Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT 3.0), Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Batu Buruk telah menyusun bantuan untuk disalurkan secara berperingkat. “Pada fasa pertama, kita telah agihkan sebanyak 2,000 kilogram ikan kepada masyarakat yang terjejas. “Manakala fasa kedua sebanyak 900 pek bantuan makanan asas telah diagihkan. “Fasa ketiga pula, kita telah agihkan sebanyak 1,100 ekor ayam kepada mereka yang terjejas pendapatan,” tambahnya lagi. Beliau juga berharap agar bantuan yang disalurkan ini dapat meringankan beban rakyat yang terkesan dalam tempoh PKP ini. “Bantuan ini tidak terhenti setakat ini dan akan diteruskan lagi pada masa akan datang,” katanya lagi. Selain itu, beliau menasihatkan agar masyarakat kekal berada di rumah sekiranya tiada keperluan untuk keluar dan menjaga keselamatan dengan mengikut arahan yang ditetapkan sekiranya berada di luar rumah. Proses agihan makanan asas dijalankan  
21 Jun 21
405
Kesungguhan Guru Jadi Motivasi Kejayaan Pelajar Terbaik STAM 2020
Kesungguhan Guru Jadi Motivasi Kejayaan Pelajar Terbaik STAM 2020
DUNGUN, 18 Jun - Kesungguhan yang ditunjukkan para guru membolehkan Nur Aina Mutmainnah Mohd Hanifuddin, 20, satu - satunya pelajar di Terengganu yang berjaya memperolehi  'Mumtaz Sofi' dinobatkan Pelajar Terbaik Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2020 Negeri Terengganu.  Katanya, keikhlasan guru yang bersusah payah menyediakan nota untuk memberi lebih kefahaman kepada pelajar menjadi motivasi kepadanya untuk mencapai keputusan cemerlang. Pelajar Maahad Tahfiz Al-Quran Terengganu, Padang Midin itu berjaya memperoleh pangkat mumtaz di dalam kesemua, 10 mata pelajaran yang didudukinya. "Semua subjek guna silibus baru, jadi untuk membantu kami lebih memahami, Ustaz menyediakan nota-nota untuk rujukan kami, sebab nota lama tidak boleh digunakan.  "Memang terkesan dengan silibus baru tambahan lagi belajar secara 'online', tetapi itu tidak mematahkan semangat untuk berjaya apatah lagi bila dapati Ustaz bersungguh-sungguh membantu," ujarnya dengan nada sebak.  Aina turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ustaz Mohd Hazri Che Muda yang mengajar  subjek Mantiq, Ustaz Farezuan bin Mat Azahar, guru penyelaras STAM dan Ustazah Nurul Hidayah Ahmad Zakhi, guru Al-Quran dan guru-gurunya yang lain dimana banyak memberi nasihat dan semangat.  Pelajar yang tinggal di Kampung Balai Besar itu juga tidak kedekut untuk berkongsi ilmu dengan rakan-rakan sekelasnya dan mengadakan kelas tambahan untuk membantu mereka lebih memahami subjek yang sukar difahami.  "Saya kasihan pada kawan-kawan sekelas saya yang kadang kala buntu untuk mengikuti sesetengah subjek memandangkan ianya sesuatu yang baru, saya bantu mana yang mampu, Alhamdulillah kawan-kawan saya berjaya semuanya," jelasnya lagi.  Beliau yang telah dua kali khatam menghafaz Al - Quran 30 juzuk,  ingin menyambung pengajian dalam bidang Pendidikan Al-Quran dan Sunnah (Qiraat) di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA). "Nasihat saya kepada semua pelajar sentiasa belajar, jangan tunggu 'last' minit sebab kita akan tidak mampu nak 'study' semua dengan banyak subjek yang perlu ditumpukan.  " Sentiasa bersolat sunat, solat dhuha jangan tinggal begitu juga solat hajat dan sentiasa berdoa agar Allah SWT kurniakan ketenangan dan dipermudahkan belajar ilmu baharu," jelas anak ketiga  kepada sepasang guru, Mohd Hanifuddin Salleh, 55 dan Norhayati Mat Bidin, 55 yang banyak memberi sokongan kepada kejayaan anak mereka. 
18 Jun 21
1378
TADC Bangunkan Tapak Semaian Buah Di Kijal
TADC Bangunkan Tapak Semaian Buah Di Kijal
KEMAMAN, 18 Jun - Terengganu Agrotech Development Corporation Sdn Bhd (TADC) mula membangunkan prasarana untuk dijadikan tapak semaian buah-buah di tanah seluas lima ekar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal. Pegawai Penyelaras DUN Kijal, Ustaz Hazri Jusoh menyatakan bahawa ia adalah kerjasama Pejabat Penyelaras DUN Kijal dan Koperasi Dhuha Kemaman Berhad. "Alhamdulillah, tanah seluas 2.5 hektar ini telah diluluskan oleh Pejabat Tanah Kemaman bagi dijadikan tapak semaian dalam usaha menyahut seruan kerajaan negeri iaitu '2021 Tahun Pertanian Terengganu'. Penyediaan jalan ke tapak semaian. "Bagi melancarkan program ini, Pejabat Penyelaras memberi amanah kepada Koperasi Dhuha untuk menyelia dan memantau perkara yang baik ini," ujar Hazri semalam. Di samping itu juga katanya, projek berkenaan mampu membuka peluang kepada petani kecil dan penduduk sekitar untuk menjual benih buah-buahan mereka yang telah disenaraikan kepada TADC. "Insya-Allah kalau ia diuruskan dengan teratur dan cemerlang dengan kepakaran 'research and development' (R&D) yang ada tidak mustahil penghasilan benih ditapak semaian TADC ini dapat menembusi pasaran antarabangsa," tambah beliau.
18 Jun 21
1155
Petugas 'Stay Safe' Ajak Orang Kampung Ambil Vaksin
Petugas 'Stay Safe' Ajak Orang Kampung Ambil Vaksin
KUALA TERENGGANU, 18 Jun - Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) telah membentuk Pasukan Petugas Stay Safe-KETENGAH Region (S-Reg) bagi menggerakkan Program Vaksinasi Penduduk Wilayah di daerah Dungun, Hulu Terengganu dan Kemaman. Pengerusi KETENGAH, Senator Dato' Razali Idris berkata, S-Reg di bawah Program KETENGAH Ambik Cakne digerakkan dengan kekuatan lebih 200 orang sukarelawan. Jelasnya, pasukan itu akan mengemaskini data dan laporan status pendaftaran vaksin penduduk di wilayah berkenaan.  "Sukarelawan ini akan turun ke kampung-kampung bagi membantu proses pendaftaran khususnya penduduk yang menghadapi kekangan untuk mendaftar secara maya.  "S-Reg juga akan bertindak menyelaras pembukaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dalam wilayah dengan membantu melaksanakan persiapan tempat dan menyediakan kemudahan pengangkutan kepada penduduk yang memerlukan ke  lokasi PPV," ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini. Beliau memaklumkan, gerak kerja pasukan petugas S-Reg ini telah pun dilaksanakan sejak awal Jun dengan pelbagai kempen kesedaran secara digital, fizikal dan 'Info On Wheels' ke pedalaman kampung bagi penyaluran maklumat yang tepat berkaitan persepsi masyarakat terhadap program vaksinasi nasional.  "KETENGAH juga turun padang bersama Pejabat Kesihatan Daerah dengan dibantu oleh 91 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bergerak dari rumah ke rumah bagi memudahkan penduduk mendaftar vaksin dan mempercepat proses suntikan diperolehi.  Tambahnya, insentif juga disediakan dalam bentuk geran pembangunan kepada kampung-kampung yang berjaya mencapai peratusan vaksinasi penduduk sehingga 80 peratus menjelang akhir Ogos 2021.  "Peruntukan sejumlah RM200 juga disalurkan kepada setiap pengurusan JPKK bagi membantu urusan pentadbiran diperingkat kampung.  "Usaha ini merupakan inisiatif KETENGAH setelah menyediakan beberapa insentif sokongan lain dalam rangka membantu meringankan beban masyarakat luar bandar terutamanya para usahawan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 secara terus selama tiga bulan bermula Mei hingga Julai 2021 melibatkan 4,443 orang penerima manfaat dengan implikasi kewangan sebanyak RM917,443.65," ujarnya. Katanya lagi, penyediaan Bantuan Bakul Makanan juga dilaksanakan kepada 3,200 buah keluarga dengan implikasi kewangan sebanyak RM366,000.  "Insentif ini merupakan sambungan kepada insentif terdahulu yang telah dilaksanakan bermula PKP 1.0 melibatkan kos berjumlah RM1.1juta bagi tujuan yang sama," jelas beliau.
18 Jun 21
279
Perkukuh Institusi Keluarga Semasa Pandemik - Senator
Perkukuh Institusi Keluarga Semasa Pandemik - Senator
KUALA TERENGGANU, 18 Jun - Rakyat di negeri ini disaran agar menggunakan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Penuh sebagai peluang memperkukuhkan institusi kekeluargaan. Ahli Dewan Negara (Terengganu), Senator Nuridah Mohd Salleh berkata, langkah itu perlu diambil bagi mengembalikan semula kesejahteraan rumah tangga lebih-lebih lagi ketika semua ahli keluarga menghadapi waktu sukar. Tambahan pula katanya, ibu bapa mempunyai masa yang lebih untuk memberi tumpuan kepada  proses pendidikan anak-anak agar dibentuk menjadi modal insan berguna. "Mungkin kita kata perkara tersebut telah berlalu kerana kesibukan yang kita hadapi ketika sebelum datangnya ujian pandemik ini, kita mengabaikan apa yang sepatutnya kita buat, jadi kita mesti menginsafi kembali dengan mengambil peluang untuk memperbaiki segalanya. "Melalui nasihat menasihati antara satu sama lain, berbincang, berkongsi segala ilmu yang didapati selama ini melalui kuliah agama yang selama ini kita tidak sempat, jadi ini peluang," ujarnya. Beliau berkata demikian pada Program Munajat Rakyat Terengganu di TV Darul Iman, pada semalam. Nuridah berkata, anggota masyarakat tidak perlu merasa bosan dengan situasi yang dilalui ketika ini, sebaliknya perlu lebih cekal dan tabah mengharunginya. "Juga ini masanya memperbaiki ibadat bersama ahli keluarga, yang dulu mungkin dilakukan secara tergesa-gesa dan cepat serta perlu ingat bahawa ujian yang diberikan Allah ini pastinya mengandungi hikmahnya yang tersendiri. "Projek kita panjang bukan hanya sekadar hidup di dunia ini, bahkan perlu menyelamat dan melindungi setiap ahli keluarga daripada jurang api neraka sebagaimana yang difirmankan oleh Allah," ujarnya. Di samping meluangkan masa dengan pelbagai perkara yang positif, jelasnya aspek kesihatan juga perlu menjadi keutamaan. "Waktu berada di rumah sudah pasti banyak makan, tambahan pula wanita suka memasak, kena ingat Rasulullah memberi peringatan bahawa penyakit berpunca dari gaya pemakanan, maka kena mengamalkan diet yang seimbang, mungkin hari Isnin dan Khamis boleh dilatih untuk berpuasa sunat," ujarnya.
18 Jun 21
201
Outreach PICK : 811 Penduduk Terima Suntikan
Outreach PICK : 811 Penduduk Terima Suntikan
SETIU, 16 Jun - Seramai 811 penduduk menerima suntikan vaksin dos pertama dalam penganjuran Outreach Vaksinasi di bawah Program Imuninasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di daerah ini. Sekolah Kebangsaan Merang, Setiu yang dijadikan pusat PICK dibuka seawal 8.00 pagi itu mula menerima kehadiran orang ramai. Pegawai Daerah Setiu, Rosli Latif berkata, pendaftaran merekodkan seramai 888 penduduk. "Namun, yang dibenarkan untuk disuntik adalah seramai 811 sahaja dan selebihnya tidak dibenarkan disebabkan beberapa faktor kesihatan. "Terima kasih kepada semua yang terlibat pada hari ini Pejabat Daerah Setiu, Majlis Daerah Setiu, Pejabat Kesihatan Daerah Setiu, JKR Setiu, APM Daerah Setiu, Penghulu Mukim, Jabatan Amal dan semua Pengerusi JPKK yang terlibat". Beliau berkata demikian ketika ditemui sejurus berakhir program PICK hari ini. Dalam pada itu, PICK turut menerima kunjungan Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu dan memeriahkan program dengan edaran 'goodies bag' kepada orang ramai. PICK kali kedua ini diadakan selepas kali pertama di Sekolah Kebangsaan Bukit Munduk, Langkap awal Jun lalu.
16 Jun 21
273