Artikel "Komuniti" Terkini
PKM Manir Sediakan Pengangkutan Bawa Warga Emas Ke PPV
HULU TERENGGANU, 24 Jun - Prihatin dengan nasib warga emas yang mempunyai kekangan untuk hadir ke temujanji vaksinasi, Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir mengambil inisiatif menawarkan khidmat pengangkutan percuma ke Pusat Perkhidmatan Vaksinasi (PPV).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Ustaz Hilmi Dato' Harun berkata, perkhidmatan aktiviti kebajikan itu dimulakan sejak tiga minggu lalu sebaik sahaja kempen jom vaksin di perluaskan diseluruh negara dan juga apabila sejumlah besar rakyat tidak hadir untuk temujanji vaksinasi kerana masalah pengangkutan.
Katanya, dia menyedari majoriti warga emas khususnya di kawasan pedalaman tidak mempunyai kenderaan selain anak-anak yang berada jauh di luar kewasan menyebabkan mereka terlepas menghadiri janji temu vaksinasi.
"Pada awalnya, idea ini hanya untuk membantu golongan warga emas dan OKU untuk warga DUN sahaja, sebelum diperluaskan ke semua yang mempunyai masalah pengangkutan.
"Khidmat percuma ini juga termasuk menjemput bekas pesakit covid-19 yang selesai menjalani rawatan di mana-mana pusat kuarantin yang mempunyai masalah kenderaan.
“Petugas PKM akan dihubungi penerima vaksin sehari atau dua hari sebelum janji temu, untuk tempahan perlukan kenderaan,"katanya ketika dihubungi pihak media Urusetia Penerangan Darul Iman UPDI.
Menurutnya lagi, sudah hampir 50 orang warga DUN telah menggunakan khidmat PKM yang menyediakan dua kenderaan iaitu sebuah MPV dan sebuah van, bagi memudahkan penerima yang menghadapi masalah pengangkutan.
24 Jun 21
501
POPT Bantu Kumpulkan OKU Pekak Terima Suntikan Berkumpulan
KUALA TERENGGANU, 24 Jun - Persatuan Orang Pekak Terengganu (POPT) mengambil inisiatif menjadi pemudahcara untuk mengumpulkan orang kelainan upaya (OKU) pekak bagi mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 secara berkumpulan.
Presiden POPT, Tengku Arman Harris Tengku Ismail berkata, menyedari golongan ini sukar untuk mendapatkan suntikan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) disebabkan beberapa kekangan, langkah tersebut membantu memudahkan pihak Kementerian Kesihatan memberikan suntikan kepada OKU pekak dan bisu seperti orang lain.
"Antara masalah yang dihadapi adalah dari segi komunikasi, jadi apabila pergi secara berkumpulan lebih mudah kerana juru bahasa isyarat turut ikut serta.
"Ini berbeza apabila mereka pergi secara bersendirian kerana akan timbul masalah komunikasi dan sebagainya.
"Mala, kita juga membantu mendaftarkan mereka melalui aplikasi Mysejahtera," ujarnya kepada pemberita Urus Setia Penerangan Darul Iman selepas selesai menerima suntikan vaksin jenis Sinovac bagi mencegah wabak COVID-19.
Beliau dan 30 ahli POPT berjaya melengkapkan suntikan dos kedua di PPV, Pusat Sains Dan Kreativiti, hari ini.
Menyusul selepas ini katanya, seramai 35 OKU pekak dan bisu akan menerima suntikan pada 1 Julai ini.
Jelasnya, menjadi tanggungjawab beliau untuk memastikan OKU yang berdaftar dengan POPT khususnya mendapat suntikan vaksin.
"Setakat ini, seramai 658 orang berdaftar dengan kita, dan saya akan terus berusaha memastikan ahli yang layak menerima suntikan akan berbuat demikian demi keselamatan mereka," ujarnya.
24 Jun 21
503
OKU Bisu Teruja Ambil Vaksin
KUALA TERENGGANU, 24 Jun - Seramai 30 orang kelainan upaya (OKU) pekak dan bisu dari Persatuan Orang Pekak Terengganu (POPT) menyifatkan giliran menerima vaksin dos kedua di Pusat Sains Dan Kreativiti Terengganu hari ini, adalah hari sangat istimewa bagi mereka.
Dalam tinjauan Urus Setia Penerangan Darul Iman di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) itu mendapati, sebaik memasuki perkarangan dewan, semua OKU melalui proses imbasan suhu, sebelum dibawa ke ruangan khas untuk menerima suntikan vaksin berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Ketika menunggu proses suntikan, semua OKU sabar menanti giliran di tempat duduk masing-masing sebelum dipanggil ke meja khas untuk mendapatkan vaksin jenis Sinovac sambil ditemani pengiring.
Bagi Wan Aizi Wan Ali, 52, yang pekak dan bisu, dia sangat teruja dan gembira dapat lengkapkan dos kedua suntikan vaksin bagi mencegah wabak COVID-19.
"Ada sesetengah orang takut, risau untuk ambil suntikan vaksin, tapi bagi saya tidak perlu ada perasaan sedemikian kerana tidak sakit pun kena suntik.
"Kepada mereka yang belum lagi berbuat demikian, segeralah mendaftar kerana ini (suntikan) untuk kesihatan diri sendiri, untuk jaga diri kita,” ujarnya yang telah mendapat suntikan pertama pada 3 Jun lalu.
Fazlia Hashim, 37, pula berkata, pemberian vaksin ini sekurang-kurangnya membuatkan golongan OKU sepertinya tidak berasa sangsi apabila berada dalam kalangan masyarakat.
Katanya, dia telah mendaftar melalui aplikasi Mysejahtera dengan pertolongan POPT namun tidak menyangka menerima perkhabaran gembira dapat melengkapkan suntikan bersama rakan senasib, hari ini.
"Alhamdulillah, saya rasa biasa je masa kena suntik, tidak sakit, lepas nie saya rasa lebih yakin dan kuat untuk berhadapan dengan orang ramai," ujarnya yang mengambil upah menjahit pakaian.
24 Jun 21
685
Pelajar Sekolah Paling Berisiko Terlibat Dadah
KUALA TERENGGANU, 23 Jun - Penyalahgunaan dadah bukan sahaja melibatkan golongan dewasa malah lebih mebimbangkan ia turut menular di kalangan pelajar sekolah.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, langkah mengenalpasti pelajar yang dikhuatiri terlibat dengan masalah berkenaan perlu diambil dengan lebih serius.
"Kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan Pejabat Pendidikan negeri telah turun ke lapangan membuat ujian air kencing.
"Walaupun tidak ada tanda-tanda ataupun gejala, tetapi terdapat unsur-unsur yang kita bimbangi maka tindakan sedemikian dilakukan akhirnya apa yang dicurigai itu ternyata berasas apabila ditemui ada pelajar terlibat," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika bersiaran langsung pada Program Munajat Rakyat Terengganu, di TV Darul Iman (TVDI), baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Mohd Nor berkata bertitik tolak daripada perkembangan itu dan peningkatan kes di Terengganu dengan nisbah 916 bagi setiap 1000,000 penduduk terlibat dadah, kerajaan negeri telah mewujudkan Pusat Pemulihan Dadah Holistik.
"Kerana itu kerajaan mengambil tanggungjawab mewujudkan Pusat Perkampungan Darul Barakah sebagaimana yang dijanjikan melalui manifesto.
"Dengan peruntukkan sebanyak RM1 juta telah dikeluarkan pada peringkat awal ini bagi menjayakan Pusat Pemulihan Dadah Secara Holistik, ia bukan seperti pusat pemulihan yang lain.
"Sebaliknya konsep pengajian adalah seumpama di pondok juga diberikan kemahiran agar berupaya membina kehidupan yang terjamin di masa hadapan dan dipastikan tidak mengulangi lagi kesilapan lampau," katanya.
Jelasnya, menyelesaikan masalah berkenaan merupakan salah satu usaha kerajaan melalui Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) bagi membangunkan modal insan di negeri ini.
"Kita meletakkan pembangunan insan sebagai asas yang penting dalam PITAS sebagaimana yang pernah diumum dan dibentangkan Menteri Besar .
"Tetapi sudah tentulah terpaksa berhadapan dengan cabaran yang banyak kerana kita hendak mengubah dan membina manusia bukan membina bangunan atau jalan raya .
"Yang kita hendak ubah adalah kerohanian, minda dan hati manusia ," katanya.
24 Jun 21
1068
JPKK Hantar Barangan Dapur Ke Rumah Keluarga Dikuarantin
BESUT, 23 Jun - Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) mengambil inisiatif menghantar barangan keperluan harian kepada 16 keluarga yang menjalani kuarantin di rumah di RAKR Lak Lo, Jerteh sejak 16 Jun lalu.
Pegawai Penyelaras DUN Jerteh, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad berkata, usaha itu bagi memastikan setiap keluarga tidak kehabisan bekalan makanan selepas mereka dilarang keluar susulan arahan kuarantin.
Katanya, kesemua keluarga itu sudah menjalani saringan dan disahkan negatif, namun masih perlu menjalani kuarantin dan perkara tersebut membataskan pergerakan mereka.
"Jika ada di kalangan jiran atau ahli keluarga yang sedang dikuarantin sila maklumkan kepada JPKK masing-masing atau terus ke Pusat Khidmat DUN Jerteh.
"Kita akan usahakan segala bantuan yang ada supaya yang terjejas tidak bertambah teruk, kita mahu pastikan semua dapat bekalan yang secukupnya," katanya selepas mengagihkan barangan ke rumah keluarga terlibat semalam.
Ustaz Wan Azhar menyantuni seorang penerima bantuan
Turut hadir Pengerusi JPKK Padang Landak, Asri Ismail bersama Ahli Jawatankuasanya.
Kata Ustaz Wan Azhar, orang ramai yang dibebani masalah tidak perlu bimbang dan takut untuk menghubungi pihak berautoriti.
"Kita akan agihkan bantuan dengan maklumat yang buat setakat ini. Maklumat dari Pejabat Kesihatan adalah sulit dan menyalahi etika mereka jika dibawa keluar, justeru orang ramai sila lapor kepada pihak kami jika perlukan sebarang bantuan.
"Terima kasih Majlis Keselamatan Negara dan Pejabat Kesihatan Daerah Besut yang sentiasa memantau keluarga yang terlibat, dan seluruh petugas dari JPKK yang sentiasa bersedia membantu," ulas beliau.
23 Jun 21
209
'Tidak Sanggup Lagi Melihat Ibu Menangis' - Bekas Penagih
KUALA TERENGGANU, 23 Jun - Tidak sanggup lagi melihat ibu yang sedang keuzuran menangis atas perbuatan anaknya, seorang pemuda nekad mendaftar masuk ke Pusat Pemulihan Dadah Holistik atau Perkampungan Darul Barakah.
Helmi (bukan nama sebenar), mahu berubah dan tidak ingin lagi menjadi beban buat keluarganya.
Pengurus Perkampungan Darul Barakah, Alif Mahari berkata, Helmi pada mulanya menghadapi masalah untuk hadir mendaftarkan diri bagi menjalani rawatan di pusat berkenaan kerana tidak mempunyai dokumen yang lengkap untuk merentas daerah.
"Dia bagitahu hanya tinggal berdua dengan ibunya yang keuzuran, adik beradik jauh di luar negeri, tidak dapat pulang kerana Sekatan Jalan Raya (SJR), tambahan pula dia tidak memiliki kenderaan sendiri.
"Lalu salah seorang kakitangan kami menawarkan diri untuk menjemputnya, demi ingin melihat anak muda tersebut benar-benar berubah dan bebas daripada najis dadah," ujarnya melalui satu kenyataan yang dikongsi melalui Facebook baru-baru ini.
Dalam perkembangan sama, Alif mahari mengajak seluruh rakyat negeri ini mendoakan anak muda seperti Helmi dapat menjalani rawatan dengan sempurna serta dikurniakan kekuatan untuk mengikuti latihan fasa pertama dengan jaya.
Katanya, sejak diketahui ramai tentang usaha dilakukan kerajaan negeri yang menubuhkan pusat terbabit, ia telah membuka mata banyak pihak dan juga telah menarik minat ramai ibu bapa untuk turut menghantar anak mereka yang terjebak dengan dadah.
"Ada salah seorang ayah memaklumkan kepada saya bahwa dia telah berusaha melalui pelbagai cara, berhabis tenaga dan beribu ringgit telah dikeluarkan demi menyelamatkan anak tersayang," ujarnya lagi.
23 Jun 21
845
Nasib 2,400 Keluarga Susah Di DUN Ladang Terbela
KUALA TERENGGANU, 23 Jun - Nasib 2,400 keluarga yang terjejas pendapatan ekoran Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang terbela selepas menerima bantuan dalam program Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT 3.0).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar berkata, sumbangan berjumlah RM240,000 itu diagihkan oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di komuniti masing-masing.
"Kita telah berbelanja membantu mereka yang tidak dapat bekerja disebabkan PKPD dengan jumlah RM100 untuk satu keluarga dalam bentuk pakej bekalan makanan yang mengandungi 17 jenis barangan.
"Alhamdulillah, tidak ada sebarang rungutan daripada penduduk yang tidak berpuas hati, tetapi sekiranya ada yang mengira mereka patut menerima tetapi belum menerimanya.
"Oleh itu, mereka yang terjejas tetapi masih belum menerima bantuan boleh hubungi JPKK atau Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Ladang, insya-Allah, kita akan hubungi dengan segera, pokok pangkalnya setiap yang sepatutnya dibantu akan dibantu supaya tiada yang tertinggal," jelasnya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Menurut beliau, selain peruntukan kerajaan Terengganu sebanyak RM200,000 untuk setiap DUN, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim juga turut memperuntukkan bantuan kepada empat DUN di kawasan Kuala Terengganu.
Katanya, pihaknya juga menyediakan kenderaan untuk memudahkan orang ramai untuk pergi dan balik semasa mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 di Pusat Pengambilan Vaksin (PPV) di Kampung Laut.
"Pusat Khidmat dan JPKK juga membantu membeli dan menghantar barang dan makanan memandangkan kesulitan yang dialami oleh penduduk yang terlibat dengan PKPD. Setakat ini ia berjalan dengan baik dan kita sentiasa bersedia membantu," katanya lagi.
23 Jun 21
498
PPV Pandu Lalu Pertama Di Terengganu Mula Operasi Hari Ini
MARANG, 22 Jun - Terengganu memulakan operasi perkhidmatan pusat pemberian vaksin (PPV) secara pandu lalu pertama di negeri ini di Dewan Sivik Bukit Payung, hari ini.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Mohd Zahari Md Azahar berkata, Marang menjadi daerah pertama melaksanakan perkhidmatan itu dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu.
“Pihak pengurusan Pejabat Daerah dan Tanah Marang telah mengadakan mesyuarat dan mendapat persetujuan untuk melaksanakan khidmat suntikan pandu lalu ini," katanya ketika ditemui pemberita dalam tinjauannya ke PPV berkenaan, pagi tadi.
Beliau berharap dengan pelaksanaan khidmat pandu lalu itu, peratusan penerima vaksin di Terengganu bertambah bagi membantu mempercepatkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Hadir sama dalam tinjauan tersebut, Pegawai Daerah Marang, Tun Faisal Tun Abdul Razak.
Sementara itu, menurut Tun Faisal, perkhidmatan pandu lalu itu dilaksanakan untuk pemberian dos kedua bagi penerima vaksin terlebih dahulu.
“Kita menjangkakan apabila perkhidmatan pandu lalu ini diteruskan jumlah suntikan harian akan mencapai maksimum dos sehari," ujarnya.
22 Jun 21
3945
4,000 Keluarga Di Permaisuri Mula Terima Barangan Keperluan
SETIU, 22 Jun - Seramai 4,000 keluarga di Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri mula menerima barangan keperluan harian di bawah program Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT) 3.0.
Pegawai Penyelaras DUN Permaisuri, Zul Bhari A Rahman berkata, agihan itu akan menyasarkan golongan yang terjejas teruk sebelum dipanjangkan kepada kategori lain.
Katanya, ia selepas mengambil kira mereka yang terjejas pendapatan dan tidak dapat bekerja ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berlarutan.
"Alhamdulillah, dua hari kita mengambil masa untuk membuat agihan barangan bantuan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembanguan dan Keselematan Kampung (JPKK) sebelum barangan ini diperturunkan kepada penerima yang terkesan di bawah pentadbiran masing-masing.
"Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada semua JPKK yang memberikan komitmen terbaik menguruskan serahan bantuan BERKAT 3.0 ini bermula dari stor operasi sehingga sampai kepada penerima", tambahnya lagi.
Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI).
Agihan barangan bantuan BERKAT 3.0 peringkat DUN Permaisuri berlangsung dua hari itu dibantu beberapa petugas sukarelawan bagi melancarkan proses agihan.
22 Jun 21
274
Buruh Lega Kerajaan Sentiasa Salur Bantuan Makanan
BESUT, 22 Jun - Seorang buruh di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jerteh lega selepas bantuan makanan dan kewangan sentiasa disalur kepada golongan yang terjejas pendapatan sepertinya.
Mohamad Razali Deraman, 65, berkata, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dikuatkuasakan dia dan keluarga tidak putus-putus menerima sumbangan daripada kerajaan negeri.
"Saya sangat bersyukur kerana dalam tempoh kawalan pergerakan yang sukar mencari nafkah ini, saya terima bantuan daripda Pejabat Penyelaras DUN Jerteh. Terima kasih kerajaan PAS.
"Terima kasih Pegawai Penyelaras DUN Jerteh, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad atas bantuan yang diberikan selama ini sejak Hari Raya Aidilfitri sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas menerima Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT) 3.0 kelmarin.
Kaum Cina turut menerima bantuan keperluan harian.
Sementara itu, bagi Azizah Mat Nasir, penguatkuasaan PKP Diperketatkan (PKPD) dan PKP 3.0 'melumpuhkan' mereka sekeluarga.
"Ditambah lagi dengan keadaan suami yang terkena strok dan tidak mampu memcari nafkah buat kami.
"Namun, kami bersyukur kerana menerima bantuan keperluan harian seperti ayam, barangan dapur semasa PKPD dan kali ini PKP 3.0 juga, mengurangkan sedikit beban saya," jelasnya.
Dlalam pada itu, Ustaz Wan Azhar menegaskan, pihak kerajaan negeri akan sedaya upaya membela golongan yang tidak bernasib baik sepanjang temph 'total lockdwon'
"Apa yang telah dijanjikan oleh kerajaan bagi mengurangkan beban dalam tempoh 'Total Lockdown' baru-baru ini telah selesai di DUN Jerteh.
"Kerajaan PAS Terengganu memutuskan untuk melancarkan program BERKAT 3.0 secara bersasar yang berjumlah RM200,000 bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
"Sebanyak 6,000 penerima yang terjejas tanpa mengira parti secara keseluruhan di dalam DUN Jerteh bakal menerima bantuan seperti beras, tepung, bihun, telur, ikan, ayam dan segala keperluan lain.
"Harapan saya supaya rakyat dalam DUN Jerteh dapat mengambil manfaat daripada sumbangan yang disalurkan ini." ujar beliau.
Dalam agihan baru-baru ini, Ustaz Wan Azhar menyalurkan keperluan harian kepada penduduk di Mukim Pelagat, Mukim Kubang Benbam dan Mukim Bukit Kenak.
Operasi pengagihan yang dibuat bermula 12 Jun yang lepas sehingga semalam terakhir di JPKK Padang Landak.
Seorang petugas ditempat pengagihan.
22 Jun 21
303