lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

Rehal Kayu Tradisional Jadi Pendapatan Sampingan Damri
Rehal Kayu Tradisional Jadi Pendapatan Sampingan Damri
KUALA NERUS, 29 Jun  - Rehal kayu dengan seni buatan kemas dan halus menjadi pendapatan sampingan buat sebuah keluarga di Kampung Jeram Hilir, Tepoh di sini. Damri Muda, 59, ketika ditemui Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim baru-baru ini berkata, walaupun harga hasil tangannya itu tidak terlalu tinggi, tetapi keuntungannya cukup untuk mengurangkan beban sekeluarga. "Seni kayu pada mulanya saya jadikan sebagai hobi, namun disebabkan mendapat minat daripada ramai orang saya terus menjadikan pembuatan rehal kayu ini sebagai salah satu pendapatan untuk menampung kehidupan. “Rehal kayu ini dibuat menggunakan sekeping kayu cengal atau seraya, dibentuk untuk digunakan sebagai alas bacaan atau untuk diletakkan gajet, boleh dilaras tinggi ataupun rendah," ujar Damri ketika dikunjungi Hishamuddin. Dalam pertemuan itu, Damri turut berkongsi cara-cara pembuatan rehal tradisional itu. Ia dibuat sepenuhnya secara manual dan tidak menggunakan mesin untuk menghasilkan rehal kayu tersebut.  Di akhir ziarah itu, Hishamuddin turut berkesempatan membeli rehal yang dihasilkan dan menyalurkan Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT) 3.0 kepada keluarga Damri.  Produk rehal kayu keluaran Damri Muda ini boleh didapati di kediaman beliau atau boleh menghubungi terus beliau melalui laman media sosial, Rehal Kayu Tradisional.
29 Jun 21
1010
Warga Emas Tidak Takut Suntikan Vaksin
Warga Emas Tidak Takut Suntikan Vaksin
DUNGUN, 28 Jun- Rata-rata warga emas di Dungun tidak takut untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 dalam usaha mencegah diri daripada dijangkiti virus yang telah membunuh ramai manusia di seluruh dunia. Hatijah Ali, 80 berkata ini adalah ikhtiar yang kerajaan sarankan kepada rakyat oleh itu tidak perlu usaha baik ini dipertikaikan. "Hidup mati ini ketentuan Allah SWT, kita hanya mampu berikhtiar, cucuk vaksin ini adalah salah satu ikhtiar kita, Allahkan suruh kita berikhtiar," ujarnya yang ditemui di Pusat Pengambilan Vaksin (PPV) Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini.  Manakala seorang lagi warga emas, Halimah Ali, 80, berharap masyarakat tidak perlu bimbang untuk mengambil suntikan vaksin COVID-19. " Sejak di sekolah  selepas kita disuntik, tidak ada apa-apa kesan buruk berlaku, jadi tidak payahlah kita takut, mati itukan hak Allah taala," katanya. .  Manakala Ahmad Tajudin Ismail, 56, menggesa penghidap kencing manis agar mengambil suntikan vaksin COVID-19 untuk mengelakkan daripada dijangkiti kerana apabila dijangkiti virus COVID-19, mereka berisiko tinggi untuk mati.  " Orang yang menghidap kencing manis sepatutnya tidak mengelakkan untuk mendaftar dan mendapatkan suntikan ini kerana, insya-Allah dapat mengelakkan daripada dijangkiti dan kalaupun positif COVID-19 selepas disuntik, ianya tidak bergejala, " katanya yang ditemui di Dewan Dagang, Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) di sini. Sementara itu, Pegawai Daerah Dungun, Anuar Awang berkata, sambutan masyarakat Dungun terhadap Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) semakin meningkat sehingga kini 50 peratus daripada mereka sudah mendaftar dan seramai 11,000 orang telah menerima suntikan.  "Kalau di PPV (Outreach) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ketengah Jaya dan  SMK Bukit Besi memang mendapat sambutan, sehingga melimpah kehadiran terutama warga emas untuk mendapatkan suntikan. "Sehingga kini tiga kali dibuka, dua kali Outreach di SMK  Ketengah Jaya dan sekali SMK Bukit Besi sebanyak 1,500 dos telah dikeluarkan," jelasnya.  Beliau ditemui selepas meninjau perjalanan PICK di dua PPV di UiTM dan PSMZA bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun. Di dalam kunjungan tersebut, Alias turut menyampaikan sumbangan juadah  tengah hari untuk' frontliners' kesihatan dan keselamatan yang sedang bertugas.  Menurut Anuar lagi, dua PPV di UiTM dan PSMZA seramai 500 hingga 700 orang  menerima suntikan vaksin berkenaan setiap sehari. 
28 Jun 21
167
Program 'Outreach' Sasar Warga Luar Bandar Bukit Besi
Program 'Outreach' Sasar Warga Luar Bandar Bukit Besi
Oleh: Amiruddin Zamri DUNGUN, 28 Jun - 'Outreach' Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Bukit Besi membekalkan 500 vaksin kepada warga Bukit Besi terutamanya melibatkan Ahli Jawatankuasa Masjid, KETENGAH dan para guru. Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, setiap warga kawasannya itu perlu memikul tanggungjawab bersama dalam menjayakan program kebangsaan tersebut demi keselamatan komuniti setempat. "Sambutan yang diterima dari peringkat luar bandar Hulu Dungun khususnya warga Bukit Besi amat menggalakkan. "Seramai 75 sukarelawan terdiri daripada warga masyarakat disini ditugaskan bagi melancarkan pergerakan PPV outreach yang julung kalinya diadakan di Dewan Sekolah Menengah Bukit Besi," katanya ketika ditemubual pemberita, semalam. Sementara itu, beliau juga berterima kasih kepada para petugas Pejabat Daerah Dungun, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Polis, Rela, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan sukarelawan yang menjayakan program tersebut. "Tidak lupa juga kepada pihak Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Besol, JPKK Perumahan dan JPKK Kampung Bukit Besi yang turut sama membantu bagi melancarkan lagi program pemvaksinan di sini. "Harapan saya agar penduduk di seluruh negeri dapat mengambil peluang atas inisiatif yang diberikan oleh kerajaan bagi memastikan imuniti berkelompok dapat dilaksanakan di kawasan luar bandar amnya di DUN Bukit Besi," jelasnya.  
27 Jun 21
243
Terengganu Perbanyak Pusat Vaksin Di Luar Bandar
Terengganu Perbanyak Pusat Vaksin Di Luar Bandar
HULU TERENGGANU, 26 Jun - Kerajaan Terengganu dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri akan memperbanyakan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di kawasan luar bandar termasuk perkampungan orang asli. Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, selain di masjid pihaknya bercadang untuk menjadikan pusat-pusat komuniti di kampung sebagai tempat suntikan vaksin. Jelas beliau, strategi itu diambil bagi memastikan rakyat di negeri ini terutama di kawasan pedalaman menerima suntikan vaksin dengan cepat dan selamat. "Kita juga akan berkolaborasi dengan Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina (PAPISMA) dan entiti  lain seperti Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan sebagainya. "Kita memerlukan kerjasama semua pihak ini bagi memastikan usaha ini berjalan lancar termasuklah pihak yang menyediakan 'Internet Service Provider', ini penting agar program vaksinasi ini lancar apabila ada capaian internet yang baik terutama ketika pergi ke luar bandar. "Lagi cepat boleh suntik, lagi cepat boleh keluar daripada fasa 1 Pelan Pemulihan Negera ini. Kalau boleh sebelum musim tengkujuh kita berharap agar semua dapat keluar daripada cengkaman pandemik ini," katanya. Beliau berkata demikian kepada media ketika hadir dalam Program Outreach Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Masjid, di Masjid Al-Muhtadin Kampung Peradong, Manir, hari ini. Hadir sama Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato' Rosol Wahid, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak, Pengarah Kesihatan negeri, Dr Nor Azimi Yunus dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Hilmi Harun. Mengulas lanjut Ahmad Samsuri menegaskan, usaha-usaha tersebut perlu dijayakan bagi memastikan Terengganu mencapai imuniti kelompok secepat mungkin. "Tambahan pula bermula Julai sebanyak 390,000 dos vaksin akan diterima dan dalam jangka masa dua bulan setengah kita akan mencapai 80 peratus rakyat disuntik vaksin," ujarnya. Dalam perkembangan sama, beliau turut menasihatkan rakyat Besut untuk mengambil tindakan segera supaya kadar peratusan pendaftaran vaksin di daerah itu meningkat. "Ia kerana peratusan mendaftar dari rakyat daerah tersebut hanya mencatatkan 45 peratus manakala kedua terendah ialah Setiu dengan hanya 45.7 peratus, tidak sebagaimana daerah Kuala Terengganu 63.1 peratus, diikuti Marang dan juga Kemaman. "Kesedaran serta kerjasama rakyat negeri ini adalah sangat penting bagi menghentikan penularan wabak COVID-19," jelasnya. Beliau yakin rakyat di pelbagai peringkat mampu melakukan saranan itu kerana Terengganu merupakan negeri kedua kepenggunaan vaksin yang tinggi iaitu sebanyak 95 peratus. "Kita akan menggunakan cara semaksima mungkin, untuk itu saya mengucapkan tahniah kepada petugas kita di Jabatan Kesihatan dan lain-lain agensi yang telah bertungkus lumus," tambah beliau.      
26 Jun 21
646
27 Penghuni Baitul Cakna Disantuni PKM Parlimen
27 Penghuni Baitul Cakna Disantuni PKM Parlimen
HULU TERENGGANU, 26 Jun – Seramai 27 penghuni Baitul Cakna Lelaki Kampung Pelandan terima bantuan bekalan makanan asasi daripada Pusat Khidmat Masyarakat Penyelaras Parlimen Hulu Terengganu. Penyelarasnya, Muhyidin Abdul Rashid berkata, agihan sumbangan tersebut merupakan tanda kebersamaan dengan penghuni perkampungan hijrah tersebut dalam mengharungi ujian pandemik COVID-19. Katanya, agihan  berupa keperluan asasi seperti beras, susu, tepung, minyak dan sebagainya itu sudah pasti akan membantu meringankan beban penghuni tersebut yang rata-ratanya  tidak mempunyai sumber pendapatan yang tetap. "Sumbangan ini di hulurkan dalam tempoh PKP 3.0 ini kerana mereka tidak dapat mengusahakan aktiviti ekonomi sebagaimana sebelumnya. “Usaha ziarah dan menyantuni golongan seperti ini perlu digalakkan agar dapat menyemaikan nilai kasih sayang dan kemanusiaan," ujarnya. Turut hadir, Pegawai Penyelaras DUN Telemong, Mohd Safari Abu dan Pengerusi JPKK Pelandan, Mohd Said Jusoh. Beliau berkata, golongan lain seperti rakyat miskin, anak-anak yatim serta mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19 perlu diberi perhatian yang lebih baik dan menyeluruh. “Tambahan pula, sekarang ramai yang kehilangan punca pendapatan akibat Covid-19, jadi semua program kebajikan perlu diberi nilai tambah. “Saya berharap, dalam tempoh yang sukar ini, sama-sama kita (masyarakat, NGO dan Sebagainya) gembirakan hati mereka dengan apa jua bantuan agar dapat membantu meringankan beban dalam menjalani kehidupan seharian mereka," tambahnya lagi. Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pertubuhan Komuniti Cakna Terengganu, Amran Mohd Yazid berkata, Baitul Cakna Lelaki bernaung dibawah Badan Bukan Kerajaan NGO Pertubuhan Komuniti Cakna Terengganu yang merupakan antara sebuah pusat pemulihan penagih dadah dan pusat rawatan HIV. “Perkampungan hijrah di Kampung Pelandan dikhaskan kepada golongan lelaki dan di Kampung Baru, Ajil juga merupakan salah satu penempatan ini. “Di sini mereka berdikari menguruskan diri, bertani dan melakukan pelbagai kemahiran demi meneruskan kesinambungan hidup. “Sumbangan ini amat dihargai dan terima kasih kepada mana-mana pihak penyumbang yang ingin berbakti terhadap komuniti ini,” ujar Amran
26 Jun 21
1627
Ahli Parlimen Kuala Terengganu Santuni Penghantar Makanan
Ahli Parlimen Kuala Terengganu Santuni Penghantar Makanan
Oleh : Suhaimi Taib KUALA TERENGGANU, 26 JUN - Timbalan Menteri Sains Teknologi Dan Inovasi,  Datuk Ahmad Amzad Hashim menyanjung tinggi kerjaya pemandu syarikat penghantar makanan kerana usaha gigih mencari sesuap nasi di musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Pandemik Covid-19. "Saya angkat kupiah...salut. Sayu hati saya tengok gigihnya mereka mencari rezeki. "Kalau saya seusia mereka, hari ini mungkin saya pun jadi penghantar Food Panda seperti adik adik ni, " katanya dalam status facebook beliau yang dimuatnaik sambil berkungsi rasa bersama dua pemandu berkenaan yang ditemui beliau di hadapan Pasar Cabang Tiga di sini hari ini.  Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu berkata, walaupun letih, mereka tiba ke rumah pelanggan dengan sopan, bercakap dengan gaya yang baik serta sentiasa senyum. Sementara itu netizen turut memberi komen positif usaha penghantar makanan berkenaan dan keprihatinan Ahmad Amzad mendekati golongan terkesan akibat pandemik tersebut.  Seorang yang dikenali sebagai Nur Humairah berkata, dia sentiasa ingatkan anak-anaknya supaya lebihkan bayaran kepada mereka sebagai penghargaan kerana sanggup berkhidmat untuk semua dalam panas dan hujan.  Mengulas kenyataan itu Ahmad Amzad berkata, anak-anak lelaki beliau ada yang seusia mereka antara 22 dan 26 tahun.  "Tengok mereka saya nampak anak anak saya," ujarnya.   
26 Jun 21
332
Jual Jeruk Tampung Kos Rawatan Buah Pinggang
Jual Jeruk Tampung Kos Rawatan Buah Pinggang
SETIU, 25 Jun - Ungkapan hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih sesuai untuk menggambarkan kegigihan seorang ibu yang membuat dan menjual jeruk buah demi menampung kos rawatan buah pinggang dan kelangsungan keluarganya. Waemah Yeh, 39, atau lebih mesra dipanggil Kak Na berkata, dia mula mengidap penyakit kegagalan buah pinggang sejak bulan Novermber tahun lalu. Katanya, bermula dari itu dia perlu melakukan rawatan peritoneal dialisis (cuci air) secara berkala. "Suami bekerja sendiri dan hasil itu cukup untuk menanggung dua orang cahaya mata yang masing-masing belajar di sekolah rendah dan menengah. "Kami empat beranak menginap di sini, Alhamdulillah dengan hasil jualan jeruk buah ini, bolehlah sedikit sebanyak kos perubatan saya," katanya ketika dikunjungi Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir di Kampung Pak Ba di sini semalam. Kesukaran hidup yang dihadapi Kak Na tular di Facebook mendapat perhatian Shaharizukirnain dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pak Ba. Prihatin dengan nasib Kak Na, Shaharizukirnain bersama JPKK dan individu yang menghebahkan kesusahan hidup Kak Na hadir ke kediaman empat beranak itu.  "Saya akan mengambil serius tentang keluarga ini yang mengusahakan jualan jeruk buah untuk menampung kos dialisis.  “Hari ini (semalam) saya hadir untuk mengetahui lebih lanjut tentang keluarga ini, pihak kami juga memberi sedikit sumbangan bagi meringankan beban yang dialami. "Isu ini juga telah dipanjangkan kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk permohonan bantuan secara bulanan dengan segera," jelasnya. Dalam perkembangan sama, beliau memohon agar orang ramai terus melaporkan kepada pihak berwajib termasuk dirinya sekiranya ada golongan yang memerlukan bantuan. "Saya berterima kasih kepada pengadu dan menyeru orang ramai untuk saling bantu-membantu dan segera melaporkan kepada pihak JPKK jika ada yang layak menerima bantuan," katanya.
25 Jun 21
324
31 Pelajar Cemerlang SPM DUN Langkap Diraikan
31 Pelajar Cemerlang SPM DUN Langkap Diraikan
SETIU, 25 Jun - Pelajar cemerlang Sijil Peperiksaan Malaysia 2020 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Langkap kini mampu tersenyum lebar selepas usaha keras mereka mereka dihargai. Pegawai Penyelaras DUN Langkap, Azmi Maarof berkata, mereka yang berjaya meraih keputusan 6A dan ke atas diberikan hadiah sebagai menghargai jasa mengharumkan nama DUN. "Setakat data yang kita perolehi seramai 31 orang daripada DUN ini berjaya memenuhi syarat kelayakan bagi menerima hadiah dan sumbangan daripada Pusat Khidmat DUN Langkap. "Jumlah ini agak besar dan membanggakan, membuktikan pelajar daripada luar bandar mampu bersaing dengan mereka daripada kawasan bandar. "Hadiah seperti hamper dan sumbangan wang tunai kita sampaikan kepada mereka, ini sebagai tanda ingatan daripada kami kepada pelajar-pelajar ini yang telah bertungkus-lumus untuk berjaya. "Hari ini kita sampaikan kepada tiga orang pelajar terlebih dahulu dan selebihnya kita akan serahkan secara berperingkat. Kita akan hadir sendiri ke rumah pelajar bagi tidak menyusahkan mereka hadir ke pejabat," kata beliau kepada UPDI. Dalam pada itu, menurut pelajar cemerlang, Nik Muhammad Zulhilmi Mat Ali daripada SMK Bukit Nenas yang meraih keputusan cemerlang 8A  merasa gembira dengan sumbangan yang diterima. Pegawai Penyelaras DUN Langkap Azmi Maarof menyerahkan sumbangan hamper dan wang tunai kepada Nik Muhammad Zulhilmi "Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak Pusat Khidmat DUN Langkap yang hadir sendiri bagi menyampaikan hadiah ini," katanya ketika ditemuramah di rumah beliau di Kampung Baru Bukit Nenas. Anak muda dari sekolah sukan Terengganu ini berhasrat untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Pengajian Sultan Idris dalam bidang Kejurulatihan dan Sains Sukan.
25 Jun 21
588
Rumah Enam Mangsa Ribut Siap Dibaiki Dalam Tempoh Dua Hari
Rumah Enam Mangsa Ribut Siap Dibaiki Dalam Tempoh Dua Hari
DUNGUN, 24 Jun -Rumah enam keluarga yang menjadi mangsa ribut di Kampung Wa  baru-baru ini siap dibaiki tidak sampai dua hari selepas kejadian. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Wa, Abdul Wahab Idris berkata, semua mangsa yang terdiri daripada warga emas, ibu dan bapa tunggal itu amat berpuas hati dan bersyukur apabila wakil rakyat mengambil tindakan segera membaiki rumah mereka. "Memang mereka terharu kecaknaan YB Cikgu Alias, selepas kejadian pada 3.30 petang Isnin lalu, wakil Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang datang untuk menilai kerosakan kemudian keesokan harinya barang sampai.  "Pihak PKM ADUN Rantau Abang juga menghantar tukang rumah untuk kerja-kerja membaik pulih segera dan dilakukan dengan bantuan orang kampung, jadi empat buah rumah dapat disiapkan pada hari Selasa," jelasnya selepas dihubungi oleh wakil Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI). Sementara itu seorang warga emas, Bariah Ahmad, 71, melahirkan rasa syukur setelah kerosakan atap rumahnya yang diterbangkan ribut siap dibaiki.  "Alhamdulillah, cepat je baiki atap rumah mak cik, taklah bimbang kalau hujan lebat turun. Masa lepas berlaku tu mari jugak bimbang, macamana nak baiki tapi YB Cikgu Alias tolong semua sehingga siap," katanya.  Menceritakan kejadian tersebut, Bariah berkata, sebelum itu atap rumah anaknya, Zainab Abu Bakar, 34 seorang ibu tunggal, yang tinggal berhampiran diterbangkan angin. "Anak berlari ketakutan dalam hujan lebat ke rumah makcik kerana atap rumahnya telah diterbangkan angin.  "Memang takut sungguh masa tu, dengan bunyi angin yang sangat kuat, hujan lebat dan lepas itu nampak angin macam angkat atap rumah, habis satu rumah dimasuki air hujan, tapi alhamdulillah kami semua selamat," ujarnya lagi. 
24 Jun 21
380
'Internet Macam Siput' Kini Diatasi
'Internet Macam Siput' Kini Diatasi
KEMAMAN, 25 Jun - Istilah 'Internet Macam Siput' oleh sesetengah netizen tidak lagi terpakai di Kampung Pondok Pasir, Kijal setelah menara telekomunikasi yang baharu dibina kini mula beroperasi dengan pencapaian tertinggi sepenuhnya. Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, Ustaz Hazri Jusoh ketika tinjauan di menara tersebut kelmarin berkata, ia sedikit sebanyak dapat menyelesaikan masalah capaian internet di kawasan tersebut. Hazri Jusoh (kiri) dan Zawawi Mohamed di tapak menara. "Alhamdulillah, dengan beroperasinya menara ini ia dapat menyelesaikan masalah capaian internet di Kampung Pondok Pasir, Yak Yah dan Ibok. "Mudah-mudahan kemudahan liputan 4G ini dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh penduduk kampung dengan perkara yang boleh mendatangkan kebaikan kepada kita semua. "Terutama kepada pelajar yang kini sedang mengunakan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dan komuniti di sekitar yang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan kerana pandemik Covid 19," katanya. Dalam masa yang sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) Pondok Pasir, Yak Yah dan Bukit Takal, Zawawi Mohamed yang turut serta menerangkan, seramai 1,000 penduduk di sekitarnya dapat menikmati kemudahan ini. "Seramai 1,000 penduduk di tiga buah kampung tersebut dapat menikmati kemudahan ini termasuk pengunjung di Zoo Kemaman kerana ia juga termasuk dalam lingkungannya," terangnya. "Terima kasih kepada kerajaan negeri kerana menyegerakan permohonan kami tempoh hari dengan sokongan Pejabat Penyelaras DUN Kijal dalam menyejahterakan komuniti kampung dan seluruh rakyat negeri Terengganu," ujarnya. Menara telekomunikasi di Kampung Pondok Pasir mula beroperasi.​​​​ Menara setinggi 200 kaki itu telah siap dibina sepenuhnya pada Mac 2021 oleh FGV Prodata dan Hazri menyeru agar syarikat telekomunikasi yang lain seperti Celcom, DIGI, UMobile dan sebagainya boleh memanfaatkan peluang ini untuk kebaikan rakyat.
24 Jun 21
916