lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

Keluarga Mangsa Panahan Petir Dapat Pembelaan
Keluarga Mangsa Panahan Petir Dapat Pembelaan
Oleh : Anis Zakaria HULU TERENGGANU, 2 Julai - Nasib sebuah keluarga di Kampung Kuala Por, Kuala Berang di sini yang trauma akibat tragedi panahan petir baru-baru ini mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh. Dalam kejadian pada 28 Jun itu, tujuh beranak terbabit sedang berada di dalam rumah dan panahan itu menyebabkan berlaku renjatan elektrik di rumah mereka. Lebih parah, kata Dr Mamad, tiga anak Zamil Zakaria, 42, isteri serta anak saudaranya mengalami cedera ringan dan trauma sehingga terpaksa dikejarkan ke hospital untuk rawatan susulan. Katanya lagi, pendawaian elektrik baharu juga terpaksa dilakukan setelah ia rosak sepenuhnya akibat peristiwa itu dan ia menelan kos ratusan ringgit. "Barangan elektrik seperti peti sejuk, kipas angin dan penapis air turut rosak. "Saya difahamkan, isterinya, Suhasniza Sahaimi, 39, Nur Anis Nabihah Mohd Zamil, 17 , Adam Rifqi Mohd Zamil, 10, Muhammad Zafran Rayqal Mohd Zamil, 7 dan anak saudaranya, Nur Salwana Najihah Abdullah, 16, ada di dalam rumah ketika kilat berlaku. "Empat yang bersekolah sedang tekun mengulang kaji pelajaran di meja masing-masing menggunakan beberapa telefon pintar, renjatan elektrik yang berlaku menjejaskan mereka. “Mereka berlima dihantar ke Hospital Hulu Terengganu selepas kejadian renjatan itu, alhamdulillah kesemua mereka sudah boleh pulang ke rumah mereka dan tiada kemalangan serius dilaporkan," katanya. Sehubungan dengan itu, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri hadir ke rumah keluarga itu dan menyampaikan bantuan bagi meringankan beban serta membaiki kerosakan yang berlaku. “Saya harap semoga ujian yang menimpa keluarga ini akan memberi lebih kekuatan kepada mereka dalam meneruskan kehidupan ini,” ujarnya. Dalam pada itu, Mohd Zamil menyatakan rasa terharu apabila seorang wakil rakyat yang sibuk dengan pelbagai tugasan sudi untuk ke rumahnya untuk menghulurkan bantuan. "Sewaktu kejadian, isteri saya sedang memasak di dapur untuk hidangan makan malam keluarga, sementara tiga anak saya dan seorang sepupu mereka sedang menjalani sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR). “Kejadian kilat menyambar berlaku dalam sekelip mata sahaja menyebabkan isteri saya tiba-tiba jatuh terduduk dan mengalami kekejangan badan. “Pada mulanya, saya risau anak bongsu, Muhammad Zafran Rayqal Mohd Zammil mengalami pening dan muntah-muntah akibat terkena renjatan kilat berkenaan,” tambahnya.  
02 Jul 21
453
Terengganu Luluskan RM100 Ribu, Jeti Baharu Buat Nelayan
Terengganu Luluskan RM100 Ribu, Jeti Baharu Buat Nelayan
SETIU, 2 Julai - Cakna terhadap keluhan warga nelayan di Kampung Fikri, Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan RM100,000 bagi pembinaan jeti baharu bagi menampung jumlah bot-bot di sini. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, jeti sedia ada di pengkalan nelayan kampung tersebut adalah terhad buat penggiat lautan tempatan. “Hasil perbincangan dengan warga laut tempatan, kita telah memohon peruntukan daripada pihak kewangan negeri dan ia telah diluluskan untuk dilaksanakan pihak Pejabat Daerah Setiu. “Insya-Allah, permintaan lain kita terima dan cuba untuk laksanakan satu demi satu, peringkat demi peringkat,” katanya. Beliau berkata demikian semasa kerja CSR Nelayan Pembersihan Muka Kuala Setiu di Jeti Pengkalan Bubu, Kampung Fikri, pagi tadi. Turut hadir, Pegawai Daerah dan Pentadbir Tanah Setiu, Rosli Latif. Menurut Dr Azman, proses seterusnya akan dilangsungkan segera mungkin dan akan memberi manfaat buat komuniti nelayan Kampung Fikri, Kampung Mangkuk dan Kampung Beting Lintang dan juga dari Daerah Besut. Terdahulu, inisiatif pemasangan lampu limpah juga dijalankan bagi mencerahkan laluan di kawasan jeti, kini telah siap dibina hasil penerimaan aduan warga setempat.
02 Jul 21
606
292 Asnaf Terima Sumbangan Bekalan Makanan
292 Asnaf Terima Sumbangan Bekalan Makanan
Oleh : Amiruddin Zamri DUNGUN, 2 Julai- Seramai 292 asnaf di Hulu Dungun menerima sumbangan bekalan makanan daripada 23 penyumbang seluruh negara. Pengawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, sumbangan berupa barangan keperluan harian itu disumbangkan oleh syarikat, badan korporat kepada Bank Makanan sebelum diagihkan kepada keluarga kurang berkemampuan yang terkesan dengan pandemik COVID-19 di sekitar Hulu Dungun. "Tidak dilupakan juga kepada para 'frontliner' KKM yang bertungkus lumus dalam memastikan gerak kerja mengekang penularan wabak COVID-19 berjalan dengan lancar. "Kami juga ada bagi kepada PDRM, Rela  sebagai tanda menghargai usaha mereka," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pengagihan barangan tersebut kepada keluarga terkesan di Dewan Orang Ramai Pasir Raja, semalam. Sementara itu katanya, semua Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JPKK) di peringkat DUN Bukit Besi dikehendaki mengenalpasti mereka yang memerlukan bantuan melalui pelbagai medium. "Salah satu usaha yang dilakukan adalah dengan menyebarkan nombor telefon masing-masing melalui aplikasi WhatsApp supaya mudah untuk dihubungi penduduk terkesan. "Dengan cara ini mereka dapat berhubung terus dengan Pengerusi JPKK agar mudahkan bantuan sepatutnya disalur," ujarnya.
02 Jul 21
189
Masalah Internet Di Kampung Kuala Por Bakal Berakhir
Masalah Internet Di Kampung Kuala Por Bakal Berakhir
Oleh : Anis Marzuki HULU TERENGGANU, 1 Julai – Masalah capaian internet yang kritikal di Kampung Kuala Por kini menemui jalan penyelesaian apabila kerja-kerja menaiktaraf menara telekomunikasi daripada rangkaian 3G kepada 4G bakal dijalankan. Susulan aduan daripada penduduk setempat, Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Terengganu, Mohd Fairus Muhamad telah melawat kawasan terbabit baru-baru untuk melihat tindakan yang perlu dilakukan. Menurut Mohd Fairus, segala masalah menghantui penduduk sejak sekian lama itu bakal berakhir apabila proses tender untuk projek itu sedang berjalan. “Untuk makluman, Suruhanjaya Komunikasi di bawah inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA) dalam peringkat untuk menaiktaraf menara telekomunikasi tersebut. “Menjelang hujung tahun ini, keseluruhan penduduk di Kampung Kuala Por dan kawasan sekitarnya akan menikmati perkhidmatan 4G,” ujarnya ketika ditemubual oleh pegawai media Dun Kuala Berang kelmarin. Turut hadir ke lapangan, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau merangkap Ahli Dewan Undangan Dun (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh.  Tambahnya, situasi norma baharu yang melibatkan proses pengajaran dan pembelajaran, mesyuarat dan bekerja dari rumah memerlukan capaian internet berkelajuan tinggi dengan rangkaian minima 4G. “Setelah projek ini disiapkan, masalah capaian internet tersebut akan dapat diatasi dan kualiti liputan akan bertambah lebih baik, kita harap pengguna di seluruh kawasan ini akan menggunakan perkhidmatan internet dengan baik,” katanya. Dr Mamad berkata, di bawah program Jendela fasa 1, sebanyak 65 menara baru dalam perancangan untuk dibina di seluruh negeri Terengganu di mana ia sedang dalam peringkat tender. “Selain itu, di bawah projek yang sama, 9 menara baru dan sebanyak 409 lokasi naik taraf daripada liputan 3G kepada 4G sedang dalam pelaksanaan di seluruh negeri Terengganu. “Kita sedang berbincang untuk menambah ‘fiber optic’ di kawasan Hulu Terengganu supaya kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk yang ramai mempunyai unifi di kawasan rumah masing-masing,” jelas beliau.
01 Jul 21
624
Di Sebalik Senyuman, Suraya Derita Kanser Tahap 4
Di Sebalik Senyuman, Suraya Derita Kanser Tahap 4
Oleh : Khatijah Alias HULU TERENGGANU, 1 Julai – Tiada siapa yang menyangka, di sebalik wajah ceria dan tenang Suraya Abdullah menyimpan pelbagai kisah duka kerana sedang menderita kanser payudara tahap 4. Wanita yang tinggal Kampung Binjai Kertas, Kuala Berang itu berkata, penyakit itu tidak melemahkan semangatnya untuk hidup seperti biasa dan dia menganggap kanser tersebut sebgai ujian. Suraya Abdullah atau Kak Aya, 46, berkata, dia mula mengidap penyakit barah payudara ini sejak tahun 2018 lalu. "Masa itu tahun 2018, saya dapat tahu yang saya diserang kanser payudara dan dah berada pada tahap 2. "Saya masih lagi bekerja seperti biasa sebagai guru di Madrasah Darul Iman (MDI), Marang, sehinggalah tahun lepas sakit saya semakin serius dan terpaksa menjalani pembedahan. "Bermula itu saya tidak lagi dapat bekerja dan hanya duduk dirumah,” katanya ketika dihubungi pemberita semalam. Kak Aya ketika menerima kunjungan Dr Mamad. Disebabkan itu, bekas guru MDI itu memaklumkan, pendapatan keluarganya sekarang hanya bergantung kepada kerja suaminya dan bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta sumbangan daripada MDI. “Suami bekerja sebagai guru di sekolah agama di Kampung Laut. Dulu, sumber pendapatan daripada kami berdua, tapi sekarang ini bergantung kepada suami sahajalah. “Suami pun tidak berapa sihat juga kerana menghidap penyakit sendi Charkot di bahagian kaki akibat diabetes. “Dia berjalan menggunakan tongkat bagi membantu pergerakan. Kadang-kadang pakai kasut khas bila perlu berjalan lama dan jauh,” tambahnya. Kesukaran hidup Kak Aya mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh dan Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (I-MiTS) Dun Kuala Berang, Mohamed Abdullah. Prihatin dengan nasib Kak Aya, Dr Mamad ditemani Mohamed turun menziarahi Kak Aya di kediamannya di sini. “Hari ini (kelmarin) saya hadir untuk bertemu mata dengan Puan Suraya ini dan keluarganya untuk bertanya khabar sekali lagi dan menyampaikan sedikit sumbangan bagi meringankan beban yang dihadapinya. “Tahun lepas, saya juga menziarahinya dan sentiasa mengambil tahu perkembangan dari semasa ke semasa dengan harapan semoga urusan Puan Suraya dipermudah dan diberi kesembuhan hendaknya,” ujar beliau.
01 Jul 21
728
PKM ADUN Kemasik Tawar Pengangkutan Van Percuma
PKM ADUN Kemasik Tawar Pengangkutan Van Percuma
KEMAMAN, 1 Julai - Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) ADUN Kemasik, mengambil satu inisiatif untuk membantu memudahkan urusan warga DUN Kemasik dengan menawarkan khidmat van percuma. Khidmat pengangkutan khas tersebut untuk menghantar mereka-mereka yang ada temu janji vaksinasi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), Dewan Sri Amar Cukai Kemaman. Di mana pengangkutan percuma itu adalah bagi sesiapa yang tiada kenaikan untuk ke sana, perjalanan pergi dan balik juga memakan masa 45 minit. Pihak PKM ADUN Kemasik akan pergi mengambil penerima vaksin dari rumah ke rumah, dengan mengikut SOP yang telah ditetapkan. Kebanyakkan dari penumpang adalah warga emas. Bantuan ini akan terus menerus berjalan sehingga peratusan yang disasarkan berjaya dicapai, bagi memutuskan rantaian Covid-19 dikalangan semua komuniti setempat. "Terima kasih sangat kerana membawa pak cik dan mak cik ke sini (PPV), mari ambil dari rumah sampai ke sini (PPV) lepastu hantar balik semula ke rumah." - Penumpang. "Sudah semestinya, ini ialah langkah yang baik untuk mempercepatkan proses vaksinasi dan ianya juga dapat memudahkan urusan penerima menerima vaksin. "Dengan harapan, situasi pandemik ini berakhir secepat mungkin dengan melandaikan lengkuk jangkitan Covid-19." - ADUN Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili.
01 Jul 21
529
Pesakit Kronik Dialukan Mohon Bantuan Tabung Darul Iman
Pesakit Kronik Dialukan Mohon Bantuan Tabung Darul Iman
BESUT, 1 Julai - Penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Besut yang menghidap penyakit kronik diminta supaya memohon Bantuan Tabung Darul Iman (TDI). Pegawai Penyelaras DUN Kuala Besut, Haji Azbi Salleh berkata, ramai lagi pesakit kronik yang belum memohon bantuan TDI kerana mereka menganggap ianya rumit. “Kerajaan negeri Terengganu mewujudkan bantuan ini untuk membantu meringankan bebanan rakyat yang ditimpa musibah atau kurang bernasib baik. “Saya berharap penduduk yang ditimpa musibah perlu menghubungi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) masing-masing atau boleh berhubung terus dengan di Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat Dun Kuala Besut untuk memudahkan urusan," kata beliau. Beliau ditemui ketika menyantuni pesakit kronik dan warga emas di Kampung Teluk Bayu, Kampung Pacakan dan Kampung Alor Teratai, semalam. Menurutnya, penduduk yang mempunyai masalah tidak perlu malu untuk berhubung dengan Pengerusi JPKK yang telah dilantik di kampung. “Semoga penduduk yang perlu dibantu tidak tercicir atau terlepas pandang,” ujar beliau lagi. 
30 Jun 21
150
‘Food Bank’ Masjid Inisiatif Bantu Rakyat Kesempitan
‘Food Bank’ Masjid Inisiatif Bantu Rakyat Kesempitan
KUALA TERENGGANU, 1 Julai - ‘Food Bank’ masjid merupakan salah satu inisiatif untuk membantu rakyat yang kesempitan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Perkara tersebut telah dikongsikan oleh Setiausaha Masjid Kg. Gong Tok Nasek, Mohd Shahrul Affendy Omar, 27, ketika ditemu bual oleh pemberita. “Bermula ‘food bank’ di Masjid Kg. Gong Tok Nasek pada awal tahun lalu di mana setakat ini kira-kira seramai 50 orang yang telah datang ke masjid ini untuk mendapatkan sumbangan. “Manakala sebanyak 95 pek bantuan makanan asas telah kita keluarkan daripada ‘food bank’ ini dan diagihkan kepada mereka yang memerlukan melalui 2 fasa sepanjang tempoh PKP ini. “Alhamdulillah, setakat ini sambutan orang ramai untuk menderma juga sangat menggalakkan di mana ada yang menghantar barang-barang secara terus dan ada juga yang ‘bank in’ ke akaun bank masjid,” kata Mohd Shahrul. Menurut beliau lagi, ‘food bank’ di Masjid Kg. Gong Tok Nasek beroperasi pada hari Ahad hingga Khamis bermula jam 9.00 pagi jam 12.00 tengah hari.  “Masjid memainkan peranan yang sangat penting dalam menyalurkan segala maklumat dan menjadi pusat komuniti dalam menjaga perihal kebajikan masyarakat setempat,” tambahnya lagi. Beliau juga turut berharap agar mereka yang memerlukan bantuan tidak berasa segan untuk mendapatkan sumbangan ini kerana pihak masjid akan sentiasa bersedia untuk menghulurkan bantuan. Selain Masjid Kg. Gong Tok Nasek, terdapat beberapa buah masjid lagi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk yang menyediakan khidmat ‘food bank’ seperti berikut : 1. Masjid Tengku Tengah Zaharah 2. Masjid Taman Permin Jaya 3. Masjid Kg. Kubang Ikan 4. Masjid Al-Furqan Chendering  
30 Jun 21
546
Tubuh Petugas Khas Bawa OKU, Warga Emas Suntik Vaksin
Tubuh Petugas Khas Bawa OKU, Warga Emas Suntik Vaksin
KUALA NERUS, 30 Jun - Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Telaga Daing Paya, Seberang Takir di sini mengambil inisiatif menubuhkan Skuad Cakna Imunisasi bagi memudahkan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas mengambil suntikan vaksin. Setiausaha JPKK Telaga Daing Paya, Hamidi Salleh berkata, skuad tersebut telah memulakan operasi kelmarin dengan membawa beberapa OKU ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Tertutup Gong Badak. “Ini adalah permulaan bagi pihak JPKK sebagai menyahut seruan kerajaan supaya semua rakyat divaksinasi dan negara dapat mencapai imuniti kelompok secepat mungkin. “Bertitik tolak daripada seruan itu, pihak Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) menggerakkan usaha ini kerana di kawasan kampung terdapat OKU dan warga emas yang ingin mendapatkan suntikan tetapi tiada pengangkutan,” katanya ketika ditemui pemberita di PPV Gong Badak semalam. Menurut beliau, pasukan itu bukan hanya terlibat dalam membawa individu ke PPV tetapi turut berperanan untuk menjelaskan kepada orang ramai tentang kepentingan vaksin. “Mereka akan masuk ke kampung-kampung untuk mengajak masyarakat mangambil vaksin, kita yakin usaha ini mampu mempercepatkan negara kita mencapai imuniti kelompok. “Alhamdulillah, usaha ini mendapat sokongan penuh daripada Pegawai Penyelaras DUN Seberang Takir, Mohd Fahdil Wahab, semalam beliau sendiri yang mebawa OKU terbabit,” jelasnya. Sementara itu, OKU yang menerima perkhidmatan itu terharu apabila hajatnya untuk mendapatkan vaksin tercapai. “Sudah lama menunggu, tetapi disebabkan tiada pengangkutan, harapan saya sentiasa tergendala. “Bantuan yang diberikan JPKK ini sangat bermakna, memudahkan urusan saya dan saya cukup-cukup lega selepas selesai mengambil suntikan vaksin COVID-19,” katanya.
30 Jun 21
190
73 Individu Derma Darah Hari Pertama
73 Individu Derma Darah Hari Pertama
SETIU, 29 Jun - Program derma darah peringkat daerah mencatatkan seramai 73 orang penderma pada hari pertama program itu berlangsung. Pegawai Perhubungan Awam, Tabung Darah Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, Suhaimi Yusof berkata, seramai 89 orang mendaftar diri pada hari ini tetapi yang lulus serta dibenar untuk menderma darah adalah seramai 73 orang sahaja. "Kita berkampung selama dua hari di Setiu hari ini dan esok (Rabu) dan selepas ini kita akan ke Besut, "Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang bersama pada program kali ini dan selepas ini kita akan aturkan jadual lagi ke Setiu memandang Setiu ramai penderma tetap," katanya ketika ditemui wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) semalam. Hadir sama meninjau perjalanan program Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri, Zul Bhari A Rahman. Program anjuran bersama Jabatan Amal Malaysia Kawasan Setiu dengan kerjasama Unit Transfusi Darah Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) itu bermula 9 pagi hingga 3 petang di Dewan Perpustakaan Awam Daerah Setiu. Sementara itu, Mohd Hafizi Hashim, 33 salah seorang penderma ditemui berkata, dia yang sudah menderma sebanyak 22 kali mengakui sudah biasa dan tidak berasa takut. Penderma diingatkan untuk mendapatkan rehat yang cukup serta sihat tubuh badan dan bebas penyakit bagi menyertai program derma darah.
29 Jun 21
235