lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

Bakul Makanan Pemulih Mula Diagihkan
Bakul Makanan Pemulih Mula Diagihkan
KEMAMAN, 7 Julai - Program 'Bakul Makanan Pemulih' dari Parlimen Kemaman yang melibatkan 4 buah DUN di daerah Kemaman, iaitu Kemasik, Kijal, Cukai dan Air Putih telah bermula semalam di DUN Kemasik. Sebanyak 1,000 Bakul Makanan mula diagihkan kepada 29 buah JPKK dalam DUN Kemasik, dengan jumlah peruntukan sebanyak RM100,000 bagi setiap DUN dengan jumlah keseluruhan berjumlah RM400,000. Demikian itu, YAB Perdana Menteri telah mengumumkan pada satu sidang medianya baru-baru ini, bahawasanya sebanyak RM300,000 diperuntukan kepada setiap Parlimen untuk mereka menyalurkan kepada golongan terkesan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ataupun buat mereka yang memerlukan. Para JPKK dan AJK JPKK memuatkan barangan bantuan ke dalam lori semasa sesudah program. Justeru itu, untuk mencukupi jumlah agihan kepada setiap DUN di daerah Kemaman. Ahli Parlimen Kemaman, Ustaz Che Alias Hamid telah menambah lagi RM100,000 bagi dibelanjakan kepada 4 buah DUN dalam Parlimen Kemaman. Sudah pastinya ini adalah satu usaha yang besar disumbangkan oleh Ustaz Che Alias Hamid buat rakyat di Kemaman. Para AJK JPKK, Ahli Parlimen Kemaman dan ADUN Kemasik sedang menaikan barangan bantuan keatas kenderaan. "Semoga bantuan ini dapat memberi keringanan beban mereka yang terjejas. Terima kasih diucapkan kepada YAB Tan Sri Dato' Haji Mahiaddin bin Md Yasin diatas keprihatinan yang diberikan kepada rakyat." - Ahli Parlimen Kemaman, Ustaz Che Alias Hamid. "Syukur Alhamdulillah dan jutaan terima kasih diucapkan, ini adalah rezeki buat warga DUN Kemasik. Banyak juga jumlah bantuan yang diberikan kali ini, diharapkan ianya dapat mengurangkan kekangan rakyat yang terkesan dengan situasi sekarang." - ADUN Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili.
06 Jul 21
178
Lebih 30 Buah Rumah Dilanda Ribut
Lebih 30 Buah Rumah Dilanda Ribut
Oleh: Shahril Aswad HULU TERENGGANU, 7 Julai- Lebih 30 buah rumah di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong rosak akibat dilanda ribut yang berlaku kira-kira pukul 6:30 petang semalam. Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong, Mohd Safari Abu berkata, bantuan dan tindakan segera akan diambil untuk membantu meringankan beban penduduk yang terlibat dengan bencana itu. “Kita sempat meninjau beberapa rumah yang terlibat dengan ribut kencang yang berlaku lewat petang semalam dan kita dimaklumkan lebih 30 buah rumah mengalami kerosakan atap. “InsyaAllah kita akan bagi khidmat yang terbaik untuk rakyat khususnya di DUN Telemong ini. "Kita turut mengarahkan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) supaya terus memantau jika masih terdapat rumah yang dilanda ribut bagi memastikan rumah yang ditimpa bencana ini tidak terlepas pandang,” ujarnya ketika dihubungi pemberita. Menurut beliau, antara kampung yang terkesan teruk ialah Kampung Kuala Dura, Pasir Nering, Pauh dan beberapa buah kampung lagi. “Kebanyakan kampung yang terlibat ialah di Mukim Jenagor dan yang paling teruk Kampung Kuala Dura sebanyak 10 buah rumah disusuli Kampung Pasir Nering, Kampung Pauh dan kampung disekitarnya,” ujarnya.
06 Jul 21
213
3,000 Bakul Makanan Untuk Warga Dungun
3,000 Bakul Makanan Untuk Warga Dungun
Oleh : Muhammad Afiq Fahmi Ahmad Faris DUNGUN, 5 Julai- Kira-kira 3,000 bakul makanan akan diagihkan kepada golongan sasar terutamanya yang terjejas akibat pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di daerah Dungun. Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli berkata, pengagihan bantuan berkenaan menggunakan peruntukan disediakan kerajaan Pusat sebanyak RM300,000 dan kerajaan negeri. "Selain sumbangan dari beberapa NGO untuk bantuan bakul makanan di kawasan masing-masing. "Hari ini kita bersyukur dan berterima kasih kepada Perdana Menteri atas sumbangan peruntukan sebanyak RM300,000 dan dapat lagi kita agih kepada 3,000 penerima. "Setakat ini kita sudah mengenal pasti 1,000 penduduk yang layak menerima bantuan ini dan kita jangka keseluruhan bantuan ini akan diselesaikan dalam tempoh tiga minggu," katanya kepada pemberita.
05 Jul 21
1420
3,742 Penduduk Setiu Pelbagai Kategori Terima Bantuan
3,742 Penduduk Setiu Pelbagai Kategori Terima Bantuan
SETIU, 5 Julai - Prihatin dengan nasib penduduk, Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir terus aktif menghulurkan sumbangan kepada yang terkesan akibat Sekatan Pergerakan Penuh Pelan Pemulihan Negara (PPN).  Sejak seminggu lalu, pihaknya mengagihkan bantuan ke seluruh kawasan Setiu melibatkan empat Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Batu Rakit, Langkap, Permaisuri dan Jabi. Shaharizukirnain melalui laman Facebook rasminya berkata, beliau selesai sudah mengagihkan sumbangan kepada semua penerima di Parlimen Setiu melibatkan seramai 3,742 orang dalam kalangan 18 kategori yang ditetapkan. “Antara yang termasuk dalam 18 golongan yang terjejas ini adalah individu yang dibuang kerja, bekerja sendiri, pemandu bas ekspres atau pemandu bas sekolah, pemandu kereta sewa dan grab. "Selain itu, tukang gunting rambut, tukang urut, pekerja ‘snow wash’, guru sekolah memandu, perawat tradisional, pengusaha warung-warung kecil, peniaga pasar malam, buruh, tukang sapu dan banyak lagi turut mendapat bantuan," katanya. Jelasnya, agihan bantuan tersebut mengambil masa empat hari kerana pengagihan diselesaikan mengikut turutan DUN. "Dimulakan dengan DUN Batu Rakit, Langkap, Jabi dan yang terakhir Permaisuri dengan tiga kumpulan dibahagi dan bergerak serentak. “Kerja agihan sumbangan bukan terhenti setakat itu sahaja tetapi platform bantuan yang lain seperti Food Bank turut disediakan. Yang penting hubungi saja jika memerlukan. Khidmat kami sentiasa terbuka dalam apa jua situasi dan keadaan. “Insya-Allah sumbangan seterusnya adalah kepada penoreh dan nelayan yang terkesan serta sumbangan bakul makanan yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini," jelasnya.
05 Jul 21
304
RAK Turut Bantu Ahli Terkesan
RAK Turut Bantu Ahli Terkesan
KEMAMAN, 5 Julai - Radio Amatur Kemaman (RAK) turut membantu ahlinya yang terkesan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikenakan oleh kerajaan akibat pendemik Covid 19 yang melanda negara. Presiden penajanya, Zawawi Mohamed mengambil pendekatan dengan menyantuni dan menghulurkan sedikit bantuan barangan dapur bagi mengurangkan beban yang ditanggung oleh ahlinya pada masa ini. Zawawi (kiri) menyerahkan bantuan kepada Azman Idris 9W2CQA "Kita sedar dan cuba membantu ahli RAK dalam menghadapi waktu yang agak sukar dengan graf semasa jangkitan yang tidak menentu. "Sesetengah daripada mereka bekerja didalam sektor yang melibatkan orang ramai seperti katering, penyediaan peralatan majlis perkahwinan, pengacara majlis, penyediaan sistem bunyi dan klinik kesihatan diri amat terkesan di waktu ini," katanya. Zawawi berkata demikian ketika ditemui oleh pemberita Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) di Kerteh kelmarin. Dalam masa yang sama setiausahanya, Wan Abdul Hadi Wan Abdul Kamil berkata dia telah mengesan beberapa ahli daripada 200 ahlinya di Kemaman yang terjejas pendapatannya. "Kita cuba sedaya mungkin untuk membantu mereka ini yang sebahagian besarnya adalah petugas sukarelawan semasa banjir besar yang melanda Kemaman pada tahun 2013," ujarnya. Sumbangan kepada Salasiah Salleh 9W2SZS Zawawi yang memegang 'callsign' 9W2OOV mengucapkan terima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Air Putih, YB Cikgu Razak Ibrahim selaku Pengerusi Kebajikan Parlimen Kemaman dan Ahli Parlimen Kemaman, Ustaz Che Alias Hamid diatas sumbangan barangan tersebut. RAK berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) sebagai badan bukan kerajaan (NGO) bagi memudahkan urusan pentadbirannya dengan agensi kerajaan dan pertubuhan yang lain.
04 Jul 21
131
500 Penduduk Jabi Selesai Disuntik Sinovac
500 Penduduk Jabi Selesai Disuntik Sinovac
SETIU, 4 Julai - Seramai 500 orang penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi menerima suntikan vaksinasi Sinovac bagi ikhtiar menangani virus Covid-19. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim berkata walaupun kuota yang disediakan agak terhad namun ia diagihkan di setiap  Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK). "Alhamdulillah, program berjalan dengan sempurna dan baik. Permintaan rakyat kita melebihi bekalan. Kita cuma diperuntukkan sebanyak 500 dos Sinovac sahaja untuk program hari ini. "Saya agih agar setiap 37 kampung dalam DUN Jabi dapat bahagian masing-masing walaupun tak banyak. Tentunya ramai lagi yang hampa kerana jumlah 500 dos sebenarnya sangat terhad. Pengundi DUN Jabi sahaja kira-kira 20 ribu orang," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Program Suntikan Vaksin di Sekolah Kebangsaan Jabi, Jabi, semalam. Sementara itu kata Dr Azman, sesi perbincangan  bersama Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu akan diadakan untuk mendapatkan lagi peruntukan sejumlah dos bagi mengadakan lagi program seperti itu. "Dapat saja bekalan vaksin, kita jalan terus. Tak perlu lagi kempen jom vaksin sebab rakyat kita memang nak vaksin. Isunya bekalan vaksin sahaja. "Penghargaan kami atas kerjasama yang terpuji dari Pejabat Kesihatan Daerah Besut, Pejabat Pendidikan Daerah Besut, Pejabat Daerah Besut, Guru Besar dan warga Sekolah Kebangsaan Jabi, Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Jabi, Unit Amal Jabi dan Ameerah Dun Jabi. "Tidak lupa juga kepada Angkatan Pertahanan Awam, Penghulu Mukim, JPKK, para sukarelawan serta semua yang terlibat," jelasnya.
04 Jul 21
388
PKPD : 350 Pek Barangan Dapur Buat Penduduk Kubang Jela
PKPD : 350 Pek Barangan Dapur Buat Penduduk Kubang Jela
KUALA NERUS, 4 Julai - Sebanyak 350 pek barangan keperluan dapur buat masyarakat terkesan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Kampung Kubang Jela telah bermula pengagihan semalam. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim memaklumkan, barangan tersebut dihantar dan dikumpulkan di Masjid Kampung Kubang Jela sebelum diagihkan oleh petugas dari Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) setempat kepada semua penduduk yang terlibat. “Untuk kawasan PKPD, kita hanya mampu menyalurkan di kawasan yang dibenarkan pihak berkuasa tempatan (PBT), selebihnya diuruskan oleh warga komunitit sendiri untuk proses pengagihan,” ujar beliau ketika diminta mengulas tentang proses pengagihan sumbangan itu. Beliau juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Kuala Nerus khususnya Menteri Perusahaan Perladangan & Komoditi, YB Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali diatas barangan keperluan harian yang telah disalurkan. “Kepada semua penduduk Kampung Kubang Jela, saya mohon bersabarlah di atas ujian ini, jagalah garis panduan yang ditetapkan dan patuh arahan PBT. "Sekiranya terdapat masalah berbangkit sepanjang tempoh PKPD ini termasuk terputus bekalan keperluan harian, para penduduk boleh menghubungi Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Buluh Gading ditalian 0169867007 dan 0139303308,” pesan beliau lagi.
04 Jul 21
415
Ubah Menu Agihan Bantuan Sempena BERKAT 3.0
Ubah Menu Agihan Bantuan Sempena BERKAT 3.0
KEMAMAN, 4 Julai - Kali ini Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) ADUN Kemasik membawa sedikit kelainan meraikan warga DUN Kemasik yang terkesan akibat pandemik Covid-19. Menerusi sebuah program peringkat DUN Kemasik yang diadakan iaitu dinamakan ‘Program BersamaMu BERKAT 3.0’, dengan mengagihkan daging sejuk beku import. Sebanyak 3,000 pek daging lembu sejuk beku diserahkan kepada pengerusi-pengerusi JPKK DUN Kemasik dalam 30 buah kampung yang ada di DUN Kemasik ini secara berperingkat, untuk mereka agihkan kepada komuniti di kawasan kampung masing-masing nanti. Pengerusi JPKK Kg. Baru Kertih ZON 5, Hj Azhar Mamat menerima daging sejuk beku dari ADUN Kemasik untuk diagihkan kepada komuniti di kawasan kampungnya. Pembekal daging lembu tersebut tidak asing lagi kalau bukan 'Koperasi Indah Raya Kemaman Berhad' yang membekalkan daging import bermutu tinggi dan dijamin halal dari Pakistan. Agihan bersasar kepada seluruh komuniti setempat terutamanya mereka yang sangat terjejas oleh kerana pandemik Covid-19. Bersama JPKK Kg. Bukit Kukuran Kemasik mengagihkan daging sejuk beku dari rumah ke rumah, di kawasan perumahan 466 Kemasik. "Untuk maklumat agihan terdahulu bersempena BERKAT 2.0, bantuan yang diagihkan adalah ayam segar sebanyak 3,000 ekor dengan jumlah pembelanjaan sebanyak RM60,000. “Kami berharap dengan sedikit sumbangan yang telah diberikan ini, mampu menceriakan warga sini dan dapat meringankan sedikit beban golongan terkesan disebabkan pandemik Covid-19," ujar ADUN Kemasik, Ir. Saiful Azmi Suhaili.
04 Jul 21
681
Kerjasama Semua Pihak Jayakan PPV Masjid
Kerjasama Semua Pihak Jayakan PPV Masjid
KUALA TERENGGANU, 4 Julai – Kerjasama antara pelbagai pihak sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Limbat memberi peranan dalam menjayakan inisiatif Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Masjid ketiga di Kampung Banggol Karah. ADUN kawasan itu, Ariffin Deraman berkata, antara bentuk kolaborasi adalah bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), pegawai dan Ahli Jawatankuasa Masjid dalam memenuhi kuota 300 orang untuk disuntik. “Melalui pengerusi JPKK, kita keluar dan cari warga komuniti disini dan membantu proses pendaftaran. “Dari segi pengangkutan, Pusat Khidmat Masyarakat Alor Limbat dan wakil rakyat kampung masing-masing juga bersedia dengan van bagi menolong mereka yang ada temu janji suntikan tapi tiada kenderaan. “Kita turut menyumbang sebanyak 400 beg cenderahati buat penerima dan petugas barisan hadapan sebagai tanda penghargaan menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK),” katanya ketika ditemubual pemberita. Beliau berkata demikian selepas tinjauan PPV Masjid di Sekolah Menengah Komuniti Imtiaz Kuala Terengganu, di sini, semalam. Turut hadir, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Ahmad Amzad Hashim dan Pengerusi Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) Terengganu, Dr. Muhammad Zuraizi Jaafar. Tambahnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, beliau mengharapkan agar seluruh masyarakat dalam negeri dan negara untuk memenuhi syarat pemvaksinan dos kedua sebanyak 10 peratus. “Manakala penduduk Alor Limbat yang berumur 18 tahun keatas, sebahagian mereka merupakan petani dan peniaga yang banyak bertemu dengan masyarakat, saya nasihatkan supaya ambil suntikan vaksin untuk keselamatan dan kesihatan semua,” jelasnya.
04 Jul 21
173
Kemasik Giatkan OutReach Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan
Kemasik Giatkan OutReach Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan
KEMAMAN, 3 Julai - Program ini diadakan bagi tujuan untuk membantu komuniti supaya urusan pendaftaran vaksinasi dan penerimaan vaksin berjalan dengan lebih cepat dan mudah. Petugas dan sukarelawan akan pergi rumah ke rumah untuk mengambil maklumat komuniti bagi mereka yang belum daftar vaksin dan yang telah berdaftar. Contohnya di aplikasi MySejahtera namun, masih belum dipanggil untuk menerima suntikan DOS pertama. Oleh itu, proses penerimaan vaksin akan berjalan dengan lebih mudah dan cepat dengan cara tersebut. Ia berlangsung selama dua hari berturut-turut iaitu pada 2 Julai & 3 Julai di peringkat DUN Kemasik. Hari pertama pada 2 Julai, ADUN Kemasik bersama sukarelawan datang ke rumah komuniti setempat untuk mengambil maklumat tuan rumah. Terdapat lima buah kampung dalam DUN Kemasik menjadi fokus utama program ini iaitu, Kg. Bukit Kukuran Kemasik, Kg. Gong Chengal Kemasik, Kg. Gelugor Kertih, Kg. Tengah Kertih dan Kg. Telaga Papan Kertih. Setakat ini penduduk di sekitar lima buah kampung itu, menunjukkan reaksi positif dengan memberi kerjasama yang baik untuk sama-sama berjaya mencapai imuniti kelompok seperti yang disasarkan kerajaan sebelum akhir tahun ini. Ahli Parlimen Kemaman bersama sukarelawan pergi ke rumah komuniti setempat di Kg. Bukit Kukuran Kemasik untuk mendapatkan maklumat mereka. “Insya-Allah, Pejabat Parlimen Kemaman akan terus komited membantu dan memastikan pendaftaran imunisasi Covid-19 ini dapat mencapai sasaran yang sepatutnya di Kemaman ini," ulas Ahli Parlimen Kemaman, Ustaz Che Alias Hamid. "Kami akan berusaha sehabis baik bagi memastikan Terengganu boleh berpindah ke Fasa 2 PPN. Seterusnya sama-sama bergerak bagi memastikan kita capai imuniti kelopok (herd imunity) bagi negeri kita," tambah ADUN Kemasik, Ir. Saiful Azmi Suhaili. Hari kedua pada 3 Julai, ADUN Kemasik diiringi oleh AJK JPKK Kg. Gong Chengal Kemasik hadir ke rumah sekitar kampung ini bertanya khabar dan mendapatkan maklumat untuk vaksinasi. Program berkenaan dianjurkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman dan Jawatan Pengurusan Bencana Daerah Kemaman. Dengan Kerjasama dari Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Ahli Parlimen Kemaman, PKM ADUN Kemasik, Jawatankuasa Pengurusan Komuniti Kampung (JPKK), Penerangan Daerah Kemaman dan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI).  
03 Jul 21
600