lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

Lebih 1,000 Penduduk Dua Kampung Di Setiu Nikmati Liputan 4G
Lebih 1,000 Penduduk Dua Kampung Di Setiu Nikmati Liputan 4G
KUALA TERENGGANU, 12 Julai - Lebih 1,000 penduduk di Kampung Rhu Sepuluh dan Kampung Kuala Kubang di Setiu kini boleh menikmati jaringan telekomunikas 4G yang lebih baik selepas dua menara komunikasi baharu dibina pada Jun lalu. Program di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu pastinya cukup bermanfaat kepada golongan pelajar yang kini sedang mengikuti Pelaksanaan Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR). Menurut sumber MCMC berkata, pembinaan menara baharu dengan liputan 4G itu turut memberi manfaat dan impak positif kepada Pantai Penarik yang menjadi antara lokasi pelancongan utama di Setiu. "Penambahbaikan liputan 4G di bawah inisiatif JENDELA yang dikawal selia MCMC dalam kawasan Parlimen Setiu dilaksanakan secara berterusan dengan 15 menara baharu lagi diluluskan dan dijangka siap beroperasi secara berperingkat bermula suku kedua tahun 2022. "Kerja naik taraf liputan kepada 4G di 78 menara sedia ada sedang giat dilaksanakan dan dijangka siap beroperasi secara berperingkat bermula Ogos ini sehingga Mac tahun depan," katanya dalam kenyataan hari ini.
12 Jul 21
149
2,000 Pek Daging Sejuk Beku Untuk Rakyat Kijal
2,000 Pek Daging Sejuk Beku Untuk Rakyat Kijal
Oleh : Mujahid MK KEMAMAN, 11 Julai - Kali ini Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal membawa sedikit kelainan dalam membantu rakyat DUN Kijal yang terkesan akibat Pandemik Covid-19 apabila mengagihkan 2,000 pek daging sejuk beku import. Daging tersebut diserahkan kepada setiap Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) DUN Kijal mewakili 26 buah kampung untuk diagihkan kepada komuniti di kawasan kampung masing-masing. Pegawai Penyelaras DUN Kijal, Ustaz Hazri Jusoh ketika ditemui di Kompleks Paya Lasir, Kijal kelmarin berkata, bantuan daging mentah itu adalah menu tambahan selain barangan keperluan lain untuk warga Kijal. Katanya, beliau mengharapkan sumbangan fasa ke dua itu memberi manfaat kepada mereka yang terjejas. Hazri Jusoh (kiri) bersama pembekal daging dan Adnan Mohamad “Kami berharap dengan sedikit sumbangan yang diberikan ini, mampu menceriakan warga Kijal dan dapat meringankan sedikit beban golongan terkesan disebabkan pandemik Covid-19 "Bantuan fasa ke dua ini adalah kesinambungan daripada program Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu 3.0 (BERKAT 3.0) yang dilancarkan oleh Menteri Besar Terengganu tempohari berjumlah RM6.4 juta keseluruhanya untuk rakyat negeri Terengganu yang terkesan," ujarnya. Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Majlis Tindakan DUN (MTD) Kijal Zakaria Che Soh, Setiausaha MTD Adnan Mohamad, Ketua Kebajikan MTD Zawawi Mohamed dan Ahli Jawatankuasa MTD Kijal. Daging itu dibekalkan oleh Koperasi Indah Raya Kemaman Berhad (KOINDAH) dengan daging import yang bermutu tinggi dan dijamin halal dari Pakistan. Hazri Jusoh bersama barangan yang diagihkan.  
11 Jul 21
480
73 Pelajar DUN Manir Terima Anugerah
73 Pelajar DUN Manir Terima Anugerah
HULU TERENGGANU, 11 Julai - Seramai 73 pelajar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir yang cemerlang bidang akademik juga agama tahun lalu menerima anugerah kecemerlangan Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Manir, semalam. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Ustaz Hilmi Dato' Harun berkata ia selari dengan kehendak kerajaan negeri yang mengutamakan modal insan seperti pelajar cemerlang dan sangat komited untuk membantu meningkatkan akademik pelajar yang mempunyai pelbagai potensi untuk diketengahkan. “Agama Islam sentiasa memuliakan dan meninggikan kedudukan orang yang berilmu dan ilmu merupakan anugerah Allah SWT yang  sangat bernilai bahkan tidak mampu dibayar dengan wang ringgit. “Bertambah beruntung andai kita menjalankan amanah itu dengan penuh ikhlas dan tawakal kepada Allah SWT," katanya. Beliau berkata demikian ketika selesai menyempurnakan agihan Anugerah Kecemerlangan hampir ke kediaman semua pelajar cemerlang di dalam DUN Manir. Dalam pada itu, Ustaz Hilmi turut melahirkan rasa gembira dapat bertemu mata dan bertanya khabar bersama-sama pelajar dan ibu bapa disamping memberi pengiktirafan cenderahati kepada mereka yang telah berjaya.  Sementara itu, pelajar-pelajar yang diraikan kali ini merupakan mereka yang berjaya dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Syahadah Thanawi , Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Tahfiz 30 juzuk.
11 Jul 21
317
Suntikan Vaksin Makin Rancak, 2,300 Dos Di SK Telaga Papan
Suntikan Vaksin Makin Rancak, 2,300 Dos Di SK Telaga Papan
  SETIU,11 Julai - Seramai 2,300 penduduk di sini telah menerima suntikan vaksin menerusi Program imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang diadakan semalam di SK Telaga Papan semalam. Ahli parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir berkata, bagi menyahut seruan kerajaan untuk mencapai imuniti kelompok dalam masa yang terdekat, program sebegitu sedang giat dilakukan di kawasan pedalaman dalam Parlimen itu. Katanya, program tersebut diadakan pada setiap hari sabtu di lokasi-lokasi yang terpilih. "PICK ini bertujuan memberi kemudahan kepada penduduk di kawasan pedalaman selain dari Pusat Pemberian Vaksin di Dewan serbaguna Sg Tarom. "Lebih 2,300 dos vaksin yang disediakan dan digunakan untuk Program Outreach Vaksinasi Telaga Papan harini (semalam) melibatkan 1,500 orang dos pertama dan 818 dos kedua.  ”Alhamdulillah kesedaran semakin meningkat di kalangan orang kita, jika ini berterusan insyaAllah imuniti kelompok akan kita capai dalam masa yang cepat," jelasnya selepas program terbabit. Jelas Shaharizukirnain, setakat ini, program PICK mendapat sambutan sangat baik daripada penduduk setempat. "Sebelum ini, di SK Kasar 1,109 dos bejaya disuntik kepada penduduk setempat tersebut. "Pada hari ini (semalam) turut sama berlangsung program PICK di SK Jabi melibatkan sebanyak 500 dos. “Jutaan terima kasih kepada Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Pegawai Daerah Setiu, Ketua-Ketua Jabatan, petugas-petugas dari pelbagai jabatan. "Tidak lupa juga, kepada petugas sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Khidmat Malaysia Setiu, Jabatan Amal Setiu, Ameerah , Briged Muslimat Setiu, dan kepada semua yang terlibat secara langsung ataupun tidak dalam menjayakan program ini,” tambahnya.
11 Jul 21
410
320 Penduduk Disuntik Di PPV Masjid Makmur Losong Dato' Amar
320 Penduduk Disuntik Di PPV Masjid Makmur Losong Dato' Amar
KUALA TERENGGANU, 11 Julai – Seramai 320 penduduk setempat telah berjaya disuntik sempena inisiatif Program ‘Outreach’ Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Masjid Makmur Losong Dato' Amar, semalam. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, daripada jumlah tersebut yang mendapat suntikan Vaksin Sinovac, 200 orang menerima dos pertama dan 120 orang untuk dos kedua. “Menariknya dalam program outreach anjuran Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) ini ialah kesemua doktor terlibat merupakan doktor-doktor pakar dikalangan hospital kerajaan dan juga swasta. “Mewakili Kerajaan Negeri, saya ingin mengucapkan terima kasih dan tahniah buat semua petugas yang telah terlibat dalam menjayakan program outreach PPV ini,” katanya ketika ditemubual pemberita, semalam. Turut hadir tadi ialah Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Ariffin Abdullah, Pengerusi PAPISMA Terengganu, Dr Muhammad Zuraizi Jaafar dan wakilP ejabat Agama Kuala Terengganu. Berdasarkan laporan terkini oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKVAV) sehingga 9 Julai, Terengganu mencatatkan jumlah kumulatif pemberian dos vaksin COVID-19 sebanyak 201,040 orang (16 peratus daripada populasi) manakala dos kedua 111,665 orang telah menerima (8.9 peratus).
11 Jul 21
652
Ibu Berdepan Detik Cemas, Sempat Selamatkan Dua Anak
Ibu Berdepan Detik Cemas, Sempat Selamatkan Dua Anak
Oleh : Anis Zakaria HULU TERENGGANU, 9 Julai - Seorang ibu berdepan detik cemas dalam kejadian ribut di Perumahan Padang Setengge kelmarin selepas atap rumahnya terbang hingga membahayakan nyawa anak kecilnya. Nor Farizan Abdul Rashid, 37, walau bagaimanapun berkata, dia sempat mengeluarkan anaknya yang berusia tiga bulan dan lima tahun dari rumah terbabit. "Kepala angin berpusar datang mengakibatkan atap rumah hadapan terbang menimpa rumah kira-kira jam 6 petang. "Waktu itu, saya sedang merangkul kedua-dua anak di dalam rumah sambil bertakbir memuji nama Allah sementara menunggu hujan reda sebelum bergegas ke rumah jiran yang tidak terkena ribut.  "Pada masa itu yang paling utama ialah keselamatan anak-anak saya sahaja," ujarnya ketika ditemui oleh Media Dun Kuala Berang. Tambahnya lagi, setelah hujan reda dia kembali ke rumah semula untuk melihat kerosakan kesan malapetaka itu. "Bilik pertama dan bahagian ruang tamu dipenuhi air oleh sebab atap tercabut sehinggakan semua peralatan dalam rumah basah kuyup.  "Manakala bilik kedua kurang terkesan berbanding bilik pertama," katanya. Dia yang bekerja di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) pernah menghadapi kejadian sama dua tahun lepas mengatakan bahawa ia adalah kejadian paling teruk sepanjang enam tahun dia menetap di perumahan ini.  Kerosakan kali pertama hanya melibatkan bahagian garaj dan sedikit bahagian di dalam rumah. "Namun, kali ini hampir 100 peratus bahagian rumah terjejas. "Disebabkan peristiwa itu, walaupun tiada kecederaan berlaku, namun ia meninggalkan kesan trauma yang mendalam kepada anak sulungnya," katanya. Dalam perkembangan terkini, hampir keseluruhan rumah yang terlibat siap dibaiki dengan bantuan kerajaan negeri. 
09 Jul 21
242
Sumbang Perangkap Kepada JPKK Atasi Masalah Haiwan Perosak
Sumbang Perangkap Kepada JPKK Atasi Masalah Haiwan Perosak
Oleh: Naim Fadhilah Kamaruddin DUNGUN, 8 Julai - Empat unit perangkap disumbangkan Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura kepada wakil Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di DUN tersebut bagi menghindari gangguan haiwan perosak yang mengganggu hasil tanaman penduduk kampung.  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik berkata, beliau menerima aduan serta rungutan daripada penduduk kampung mengenai haiwan perosak termasuk khinzir sering mengganggu dan merosakkan tanaman.  "Saya mendapat aduan daripada penduduk kampung, masalah khinzir ini banyak kali masuk ke kebun dan mengganggu tanaman penduduk kampung mengakibatkan hasil tanaman penduduk kampung rosak. " Justeru, kami mengambil inisiatif dengan menyediakan empat unit perangkap khinzir yang sangat berkualiti dan berketahanan tinggi berharga RM1000 bagi setiap unit dan diserahkan kepada wakil JPKK untuk digunakan secara bergilir-gilir di sekitar DUN Sura. Beliau berkata demikian ketika dihubungi pemberita. Katanya, dengan sumbangan perangkap tersebut diharapkan tiada lagi masalah haiwan perosak berkeliaran mengganggu penduduk kampung.
08 Jul 21
315
900 Pelajar Terima Tablet
900 Pelajar Terima Tablet
MARANG, 9 Julai - Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) telah mengagihkan 900 peranti kepada pelajar luar bandar bagi memastikan sesi pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) dapat diikuti dengan baik. Pengerusinya, Senator Datuk Razali Idris berkata, peruntukan sebanyak RM351,550 itu akan dapat membantu meringankan beban ibu bapa dalam menyediakan alatan berkenaan. "Fasa pertama ini antara kriteria yang kita pilih adalah pelajar dari golongan keluarga B40 dan juga M40 yang melibatkan 70 peratus daripadanya berada dalam wilayah KETENGAH dan 30 peratus adalah di luar wilayah. "Kita akan ada lagi fasa seterusnya yang kini dalam proses mengenal pasti mereka yang layak  dan betul-betul memerlukan, agar setiap  mereka daripada keluarga yang berpendapatan rendah ini memiliki satu peranti," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media ketika sidang media program agihan  peranti berkenaan, di Pejabat Pendidikan Daerah Marang, di sini, pada semalam. Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat, Ariffin Deraman, Pengurus Besar KETENGAH, Tengku Ahmad Tengku Musa dan Pengarah Pendidikan negeri, Salim Abdul Ghani. Razali berkata, bagi memastikan proses pembelajaran itu berjalan dengan lancar, pihaknya juga telah turut mengemukakan masalah berkait liputan telekomunikasi yang lemah dialami penduduk KETENGAH. "Sebenarnya pihak kerajaan telah sedia maklum, cuma saya tekankan lagi supaya dilihat lebih spesifik dan juga telah dibawa kepada pihak Suruhanjaya komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM). "Wilayah ini berada di hujung Terengganu meliputi Hulu Terengganu, Kemaman terutamanya di kawsan pedalaman Daerah Dungun yang menghadapi masalah kritikal berkait liputan internet," katanya. Sementara itu, Salim berkata pihaknya sangat berterima kasih kepada pihak KETENGAH atas insiatif berkenaan. "Insya-Allah ini merupakan satu benda yang sangat besar bagi kami, kerana dapatan kami mendapati tugasan yang diberikan secara 'offline' tidak dapat disiapkan segera, berbeza secara atas talian segala tugasan  yang diberikan kepada pelajar dapat disemak segera. "Jadi ini akan dapat meningkatkan kesungguhan para pelajar, ia merupakan satu anugerah yang bermakna diterima oleh mereka yang layak," katanya. Dalam pada itu seorang pelajar, Nur Izzah Insyirah kamaruzaman, 15, berkata dia sangat bersyukur kerana terpilih menerima bantuan tersebut. "Di rumah bagi memastikan saya bersama dua adik yang berada di Tingkatan dua dan darjah lima tidak tercicir dalam pelajaran, ayah menyediakan satu telefon yang kami kongsikan bersama jadi agak susah menyiapkan kerja sekolah yang cikgu berikan. "Sangat gembira terpilih menerima bantuan secara tidak langsung telah memudahkan saya untuk menghantar tugasan dengan cepat," katanya.
08 Jul 21
326
'Ingat Demam Biasa' - Bekas Pesakit COVID-19
'Ingat Demam Biasa' - Bekas Pesakit COVID-19
KUALA NERUS, 8 Julai – "Bermula daripada rasa tak sedap badan," luah seorang bekas pesakit COVID-19, Mohd Nazeli Abd Jalil, 38 menceritakan saat mulanya dia mengesyaki dirinya menghidap virus tersebut, baru-baru ini. Menurutnya yang tinggal di Tok Jembal, dia mengambil langkah sewajarnya dengan menamakan kontak rapat dan diarahkan menjalani saringan COVID-19 bersama empat rakan sekerja lain. “Ingatkan cuma demam biasa, memang tak terfikir langsung bahawa akan positif. "Sewaktu mula simptom awal tersebut, saya dan isteri terus segera ke klinik berdekatan untuk mendapat rawatan lanjut. “Kemudian, bila mandi pula, deria bau saya hilang dengan wangian yang saya guna,” katanya ketika ditemubual pemberita. Katanya yang juga seorang Pembantu Logistik, isteri dan anak-anak turut diarahkan oleh pihak Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu untuk menjalani ujian calitan dengan menunjukkan keputusan negatif. "Ketika dalam kuarantin, hanya panggilan video menghubungkan kita sekeluarga bersama di samping mendengar kuliah agama di Facebook. "Selain itu, banyak membaca al-Quran dan berzikir juga membantu memberi ketenangan dan menghilangkan tekanan ketika menghadapi cabaran getir ini," luahnya. Dalam pada itu, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, Mohd Fadhil Wahab bersyukur warganya tamat tempoh kuarantin dan pulang ke pangkuan keluarga. “Alhamdulillah saudara Nazeli dibenarkan pulang dan kita berbesar hati dapat membantunya melalui perkhidmatan yang kita sediakan. “Kami di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Seberang Takir ada menyediakan pengangkutan kepada mereka yang diarahkan kuarantin dan perkhidmatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV),” Ujarnya lagi "Sedia maklum, virus ini benar wujud. Kesan jangka panjang masih belum diketahui dengan jelas. Sebagai rakyat Malaysia, menjadi tanggungjawab untuk memutuskan rantaian dan jangkitan COVID-19 dengan mematuhi SOP serta mendapat vaksin," nasihatnya.
08 Jul 21
652
Pelajar Cemerlang SPM Terima Hadiah Kecemerlangan
Pelajar Cemerlang SPM Terima Hadiah Kecemerlangan
MARANG, 7 Julai - Seramai 71 pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memperoleh keputusan cemerlang menerima hadiah kecemerlangan daripada Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang. Hadiah berupa wang tunai, dan sijil penghargaan, dua buah buku bertajuk "Profil Insan Teragung" dan "40 Hadis Pilihan, Pembinaan Modal Insan" hasil karya daripada Ahmad Fauzi Hassan, seorang pensyarah daripada Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA). Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Wahad Osman berkata, hadiah kecemerlangan itu mula diagih 6  Julai. To' Puan Seri menyampaikan hadiah kepada adik Muhammad Haikal Md Imran yang mendapat keputusan 12A "Setiap hadiah akan dihantar ke rumah pelajar oleh kakitangan DUN Rhu Rendang termasuk Isteri Menteri Besar Terengganu, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman. "To' Puan Seri akan terlibat dalam menyampaikan hadiah kepada 10 orang pelajar paling cemerlang termasuk dua orang pelajar yang mendapat keputusan 12A dan 11A di sini, " katanya. Menurutnya lagi, mereka yang berkelayakan mestilah mendapat 6A ke atas, dan ibu bapa merupakan pengundi DUN Rhu Rendang tanpa mengira dari dalam atau luar negeri. "Kita berharap pelajar ini dapat memanfaatkan kejayaan yang diperolehi, malah meneruskan kejayaan pada peringkat seterusnya. Manakala yang belum berjaya, ingatlah bahawa perjalanan anda masih panjang dan teruskan berusaha, " katanya. Beliau berkata ketika selesai menyerahkan hadiah kecemerlangan kepada salah seorang pelajar di kampung Tertak Batu yang juga mendapat keputusan 9A. Turut menyerahkan sumbangan tersebut adalah Pengarah Majlis Tindakan Dun Rhu Rendang, Hasan Awang dan Ketua Pemuda PAS Dun Rhu Rendang, Ziyad Zakaria.
07 Jul 21
1132