Artikel "Komuniti" Terkini
2,325 Penoreh, Petani Dan Nelayan Terima Bantuan Hidup
SETIU, 15 Julai - Prihatin dengan nasib para penoreh, petani dan nelayan, agihan makanan asas kepada golongan itu yang menetap di Setiu akan mula diedarkan semalam.
Ahli Parlimennya, Shaharizukirnain Abd Kadir, berkata bantuan berbentuk makanan asas itu memanfaatkan 2,325 individu bermula di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit.
“Batu Rakit terdapat banyak kampung, jadi untuk memudahkan urusan pembahagian nanti, saya meletakkan barangan ini di tujuh tempat penyimpanan untuk DUN Batu Rakit.
"Melibatkan sebanyak 392 bungkusan sumbangan untuk penoreh dan nelayan sebelum diagihkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) masing- masing," katanya kepada UPDI.
Katanya, sumbangan itu turut melibatkan 1,819 penoreh dan 506 nelayan di Parlimen Setiu.
"Alhamdulillah saya juga sempat turun padang pergi ke rumah penerima untuk mengagihkan sumbangan ini.
"Esok (hari ini) kita akan mengedarkan untuk DUN Langkap pula dan diikuti dengan Permaisuri dan Jabi," tambahnya.
14 Jul 21
83
Peruntuk RM21,000 Sebulan Bantu Rakyat DUN Ladang
KUALA TERENGGANU, 14 Julai - Sekurang-kurangnya RM21,000 setiap bulan diperuntukkan untuk membantu rakyat yang terjejas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang.
Peruntukan yang digunakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar itu disalurkan dalam bentuk sistem penebusan baucer barangan dapur dengan nilaian RM100 satu keluarga.
Menurut Pegawai Penyelidik Menteri Besar merangkap Pengarah Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) Ladang, Ahmad Kamal Ali, penduduk yang memerlukan bantuan akan dinilai oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK)
"Setiap bulan JPKK akan menghantar 10 nama penduduk di komuniti masing-masing kepada Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) untuk dibantu, sama ada orang sama ataupun orang berlainan, menjadikan seramai 210 orang satu DUN," ujarnya.
Kata Ahmad Kamal yang ditemui ketika mengadakan lawatan ke Pusat Penebusan Barangan Ladang Sejahtera di Dewan Futsal Gong Gemia.
Mengulas lanjut, beliau berkata bantuan seumpama itu telah dilakukan sejak Julai 2020 lagi.
"Di mana jumlahnya tetap sama iaitu RM100, pihak PKM akan menyerahkan baucer kepada JPKK dan JPKK memberikan kepada penerima yang telah dipilih.
"Penerima tersebut akan datang ke Pusat Penebusan untuk mengambil barang yang diperlukan di mana dibaucer tersebut telah dicatatkan harga setiap barangan," jelasnya.
Menurut Ahmad Kamal, cara tersebut dilaksanakan untuk mengelak daripada memberi barangan yang tidak diperlukan oleh penerima.
"Kalau sebelum ini, dalam pek sumbangan, kita beri susu sedangkan mereka tidak guna susu tetapi sebaliknya mereka suka gula, jadi hal yang sebegini akan berlaku pembaziran.
"Macam mereka yang mempunyai anak yang ramai memerlukan beras, ada yang ambil hingga tiga bag beras, itu terserah kepada mereka dan kita akan menambah baik kaedah ini dari masa ke semasa," ujarnya.
14 Jul 21
801
Perhilitan Pasang Perangkap Khinzir Elak Makan Ayam
MARANG, 25 Julai- Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHITAN) Terengganu memasang perangkap haiwan liar mengelak menganggu haiwan ternakan milik Ahmad Aiman Mohd Arif, 35 di Kampung Sentul Patah di sini.
Menurut Ahmad Aiman, beberapa ekor ternakannya telah dimakan khinzir dan hanya disedari keesokan harinya setelah melihat sisa-sisa bangkai seperti cebisan kaki atau badan serta bulu-bulu yang bersepah.
"Walaupun saya memelihara beberapa ekor anjing untuk menjaga kawasan dan ternakan tersebut, namun tidak diendahkan oleh khinzir tersebut yang bersaiz agak besar," katanya.
Katanya, bidang ternakan ayam organik itu mula diceburinya pada awal tahun lepas di kawasan rumahnya yang sehingga kini mempunyai jumlah sebanyak 2000 ekor.
Sementara itu, Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata, pihaknya telah memaklumkan kepada PERHILITAN agar perangkap tersebut dapat dipasang segera.
"Perangkap itu bagi menglekkan khinzir itu daripada terus menggangu ternakan dan mengancam keselamatan penternak di samping orang-orang kampung sekeliling memandangkan saiznya bukan biasa-biasa.
"Kita berharapa khinzir tersebut dapat ditangkap dan dilupuskan supaya masalah ternakan dan keselamatan ini dapat diselesaikan. Apatah lagi sekarang adalah tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, kerugian ini akan menyusahkan lagi penternak.
"Terima kasih diucapkan kepada pihak PERHILITAN yang memberi ruang dan kerjasama di dalam usaha memasang perangkap serta menghapuskan gangguan khinzir tersebut," tambahnya lagi.
14 Jul 21
198
Minat Dorong Iqmal Haikal Jadi Petani Muda
SETIU, 14 Julai - Minat yang mendalam terhadap bidang pertanian mendorong lepasan Sekolah Menengah Kebangsaan Saujana, Muhammad Iqmal Haikal Ab Mueei untuk menjadi petani muda.
Biarpun baru berusia 19 tahun, Muhammad Iqmal Haikal nekad menjadi salah seorang peserta program tanaman ubi vitato secara berkelompok di Kampung Banggol di sini kerana yakin bidang pertanian menjanjikan pendapatan lumayan sekiranya dilakukan dengan bersungguh-sungguh.
Anak kelima dari tujuh beradik itu berkata, biarpun tidak mempunyai pengalaman, dia tidak malu untuk belajar selok belok pertanian dengan peserta lain.
“Saya terlibat dengan aktiviti pertanian ini baru dua..tiga bulan lepas, sebelum ini saya kerja di sebuah kedai makan di Penarik, tetapi disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kedai tersebut terpaksa ditutup.
“Apabila mula menanam ubi vitato ini dan lihat ianya mula membesar, menjadikan saya lebih bersemangat untuk serius dalam bidang pertanian, apatah lagi peserta lain tidak lokek memberi tunjuk ajar kepada peserta termuda seperti saya,” ujarnya kepada pemberita ketika ditemui di ladang tanaman ubi vitato di Kampung Banggol.
Muhammad Iqmal Haikal merupakan salah seorang dari 70 peserta Program Tanaman Ubi Vitato secara berkelompok di atas tanah seluas 28 hektar itu.
Katanya, dia turut berdepan kesukaran pada awalnya bagi memastikan hasrat menjadi usahawan tani tercapai.
“Mula-mula nak tanam ubi nie susah juga terutamanya dari segi kewangan dan tenaga buruh, saya hanya tanam sendiri dan tidak ada pekerja, mujur emak dengan ayah datang tolong.
“Sekarang tanaman ubi vitato seluas satu ekar yang saya usahakan ini sudah berusia sebulan dan ia dijangka dapat dituai pada September nanti,” ujarnya yang turut mengeluarkan modal lebih dari RM1,000 hasil simpanan sendiri dan sumbangan bapa serta adik-beradiknya.
Menurut anak muda berjiwa cekal itu, walaupun bercita-cita untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi selepas ini, dia tidak akan sesekali akan melupakan bidang pertanian yang menjadi fokus utamanya sekarang.
14 Jul 21
679
Satu Daripada Empat Rakyat Sudah Terima Dos Pertama
PUTRAJAYA, 14 Julai - Satu per empat atau 25 peratus populasi negara sudah menerima suntikan vaksin sekurang-kurangnya satu dos, selepas jumlah pemberian vaksin melebihi 400,000 dos untuk hari kedua berturut-turut.
Menurut lampiran yang dikongsikan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV), sebanyak 424,541 dos telah diberikan pada 13 Julai, menjadikan ia tertinggi setakat ini.
Daripada jumlah itu, 260,286 individu menerima dos pertama, manakala 164,255 lagi lengkap dos kedua.
Selangor terus catat perkembangan memberangsangkan apabila merekodkan jumlah pemberian suntikan tertinggi harian dengan 72,644 bagi dos pertama diikuti Kuala Lumpur dengan 47,244.
Dengan jumlah pemberian vaksin terbaharu itu, ia menjadikan jumlah keseluruhan dos pertama dan dos kedua adalah 12.21 juta.
Mengikut jumlah populasi, 25.6 peratus (8,364,354 individu) sudah melengkapkan dos pertama, manakala 11.8 peratus (3,848,376 individu) sudah melengkapkan kedua-dua dos.
Bagi jumlah populasi mengikut pemberian negeri, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bersama Selangor mencatatkan 38 peratus manakala sarawak merekodkan 51 peratus bagi dos pertama.
-- AWANI
14 Jul 21
388
318 Terlibat PKPD Terima Bantuan
DUNGUN, 14 Julai- Seramai 318 ketua isi rumah yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di mukim Sura menerima bantuan barang keperluan seharian.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun berkata, agihan bantuan dari rumah ke rumah yang terlibat dengan PKPD itu melibatkan tiga lokaliti iaitu Kampung Gong Pasir, Rumah Awam Kos Rendah (RAKR) Gong Pasir dan Taman MAIDAM.
"Agihan terpaksa dilakukan secara berperingkat memandangkan kita menghadapi masalah untuk mendapatkan bekalan," katanya yang ditemui selepas agihan tersebut.
Katanya, kerja-kerja pengagihan sumbangan yang bermula Ahad lalu, diadakan selama tiga hari tetapi mereka akan terus dibantu sehingga berakhir PKPD.
"PKPD yang bermula pada 10 Julai sehingga 23 Julai itu telah menghadkan pergerakkan penduduk untuk mendapatkan barangan keperluan seharian mereka.
"Terima kasih kepada Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK) PAS Cawangan, i-MiTS, Unit Amal serta agensi keselamatan Polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang banyak membantu," katanya.
13 Jul 21
272
80 Rak Amal Inisiatif Kongsi Rezeki Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 13 Julai - Sebanyak 80 unit rak disasar ditempatkan di beberapa lokasi di seluruh negeri Terengganu bagi membantu golongan asnaf dan mereka yang terkesan dengan pandemik Covid-19 melalui inisiatif Rak Amal Kongsi Rezeki.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, usaha sama Yayasan Amal Malaysia (YAM) dan Majlis Getah Malaysia (MRC) berkenaan berkonsep terbuka di tempat awam dan senang diakses bagi mereka yang benar-benar memerlukan.
"Konsepnya mudah bagi mereka yang berhajat untuk menyumbang. Sesiapa yang membeli belah di mana-mana pasaraya atau kedai boleh meletakkan belian sumbangan mereka berbentuk barangan di atas rak tersebut.
"Ia bagi membantu mereka yang benar-benar memerlukan. Sasaran kita adalah sebanyak 80 unit rak akan ditempatkan di seluruh Terengganu daripada 1,000 unit rak yang disasar ditempatkan di seluruh negara," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Pelancaran Rak Amal Kongsi Rezeki di Sabasun HyperRuncit Kuala Terengganu, petang tadi.
Menurutnya, untuk permulaan sudah ada sebanyak 14 unit rak ditempatkan di beberapa lokasi di negeri itu termasuk di pasaraya dan kedai-kedai runcit terpilih.
Hadir sama dalam majlis pelancaran ringkas tersebut, Pengerusi YAM Malaysia, Hussin Ismail, pemilik rangkaian Pasaraya Sabasun Hyperruncit Sdn Bhd, Che Salmi Ibrahim dan Pengarah Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Soud Said.
Wan Sukairi yang juga Ahli Jawatankuasa YAM Cawangan Terengganu turut menyumbang sejumlah barangan keperluan asas yang dibelinya untuk rak terbabit.
Beliau mengajak rakyat Terengganu serta syarikat-syarikat swasta yang ada agar bersama-sama berkongsi rezeki dengan golongan mereka yang kurang bernasib baik.
13 Jul 21
1241
Tempat Mencari Rezeki Dibadai Ribut
KEMAMAN, 14 Julai - Angin kuat yang melanda beberapa tempat lewat petang semalam di kawasan Kertih, telah menyebabkan beberapa buah premis perniagaan mengalami kerosakan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili pergi ke sebuah premis perniagaan tersebut di Kg. Kolam Kertih bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) Kg. Telaga Papan Kertih, Haji Abu Bakar Ngah.
Tempat kejadian angin ribut yang membadai sebuah premis di Jalan Lapangan Terbang, Kg. Kolam Kertih.
Penyewa premis itu, Noorhayati Othaman, 31, berkata, atap dan tiang di hadapan kedai habis dibadai angin kuat dan mengakibatkan atap berlipat sehingga ke belakang kedai.
"Saya baru sahaja mula berniaga di sini tidak sampai satu bulan, namun apakan daya dengan ujian yang menimpa pada waktu ini," katanya lagi.
"Kejadian alam memang tidak dapat diagak, insya-Allah kami akan bantu semampu mungkin dari segi kewangan bagi membaiki beberapa kerosakan," ujar Ir Saiful.
13 Jul 21
164
Penantian Berpuluh Tahun Akan Berakhir
KEMAMAN, 13 Julai - Penantian puluhan tahun oleh warga Ranggong Kertih di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemasik bagi menerima capaian internet yang baik akhirnya bakal direalisasikan.
Sebahagian besar warga Pengkalan Ranggong dan Ranggon Estate bakal menerima liputan Internet 4G yang baik selewat-lewatnya Ogos 2021.
Kerja-kerja akhir proses percubaan dan penentukuran sedang dijalankan oleh pihak kontraktor dan dijadualkan siap sepenuhnya pada akhir Julai 2021 ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili bersama Pengarah Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC) Terengganu, Mohd Fairus Muhamad dan pihak kontraktor Maxis turun ke tapak pembinaan menara telekomunikasi baharu yang telah siap dibina di Kampung Pengkalan Ranggon Kertih.
ADUN Kemasik (kemeja ungu) bersama Pengarah Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC) Terengganu
(kemeja biru gelap) datang melawat ke tapak pencawang baharu di Kampung Pengkalan Ranggong Kertih
Namun bagi memastikan capaian 4G sepenuhnya diterima bermula dari Perumahan Damansara Kertih, Bukit Cakul Kertih sehingga ke Kg. Batu Putih Kertih, pihak SKMM dan kontraktor akan membina satu lagi menara komunikasi baharu di Pengkalan Ranggong dan menaik taraf menara di Batu Putih dengan perkakasan 4G.
Kawasan yang akan dibina satu lagi pencawang baharu nanti.
"Semoga segala halangan dan kesukaran yang berlaku sekian tahun bagi membolehkan anak-anak untuk belajar di rumah serta warga kampung untuk bekerja dari rumah akan selesai tidak lama lagi," kata Ir Saiful.
Menurut MCMC, melalui usaha-usaha yang diambil itu, penduduk kini dapat melaksanakan pelbagai aktiviti seharian seperti tujuan pembelajaran, bekerja dari rumah, perhubungan mahupun aktiviti ekonomi dalam talian dengan lancar,” katanya.
13 Jul 21
676
“Terap Semangat Kerjasama Hadapi Musibah” – ADUN Batu Buruk
KUALA TERENGGANU, 13 Julai - Komuniti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk melalui Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) setempat telah mengadakan program gotong-royong untuk membaik pulih rumah mangsa yang dilanda bencana ribut pada 6 Julai lalu.
“Alhamdulillah, nilai dan semangat kerjasama ini sangat penting untuk kita terapkan dalam menghadapi situasi musibah seperti ini.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terutama penduduk setempat yang turut sama berganding bahu menghulurkan bantuan,” kata ADUN Batu Buruk,
Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi yang turut sama menyertai program gotong-royong tersebut.
Muhammad Khalil memasang atap rumah mangsa.
Menurut Ustaz Muhammad Khalil lagi, sebanyak 392 aduan kerosakan rumah dalam DUN Batu Buruk telah dilaporkan akibat bencana ribut berkenaan dan kerja-kerja membaik pulih rumah telah dijalankan.
Sementara itu, Pemuda PAS DUN Batu Buruk juga telah mengadakan gotong-royong untuk membaik pulih rumah di beberapa kawasan dalam DUN Batu Buruk.
“Alhamdulillah, hari ini kami telah membaik pulih sebanyak lima buah rumah yang telah rosak akibat bencana ribut yang melanda baru-baru ini,” kata Ketua Penyelaras Pemuda PAS DUN Batu Buruk, Ustaz Ahmad Firdaus Mohd ketika ditemu bual pemberita.
“Gotong-royong ini kami mulakan pada pukul 3 petang di Jalan Kenanga sebanyak dua buah rumah dan seterusnya di Kg. Gong Tok Nasek sebanyak tiga buah rumah.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada penduduk di sini kerana sudi menerima kehadiran kami untuk mengadakan gotong-royong membaik pulih atap rumah mereka,” katanya lagi.
12 Jul 21
125