Artikel "Komuniti" Terkini
Walaupun Suasana Aidiladha Berbeza, MB Tetap Sumbang Lembu Korban
MARANG, 20 Julai - Walaupun suasana Hari Raya Aidiladha kali ini masih lagi berbeza kerana pandemik Covid-19, Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar tetap menyumbang sebanyak 30 ekor lembu untuk dijadikan korban.
Sumbangan kepada penduduk kawasan Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang itu diserahkan kepada setiap 25 cawangan di Dun Rhu Rendang di mana masing-masing menerima seekor lembu, manakala empat ekor disumbangkan kepada Maahad Darul Quran Rusila, dan seekor lagi disumbang kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Marang.
Setiausaha Politik Menteri Besar Terengganu, Muhyiddin Abdul Rashid berkata, pihaknya Dato' Seri berterima kasih kepada Permint Granite HCM Sdn Bhd yang telah menyumbang 10 ekor lembu pada kali ini.
"Lembu ini diagihkan kepada kampung-kampung untuk masyarakat kampung turut merasai kemeriahan aidiladha ini dengan baik, harmoni serta penuh dengan ketaatan kepada Allah SWT.
"Walaupun suasana sambutan berbeza tahun ini, kerana perintah kawalan pergerakan, namun sumbangan korperat ini dapat mengubati hati masyarakat kita dari sudut perayaan, yang tidak dapat berkunjung dan merasai kemeriahannya,,"katanya.
Beliau berkata ketika hadir menerima sumbangan lembu korban tersebut daripada Pengarah Permint Granite HCM Sdn Bhd, Ahmad Farid Dato’ Isa @ Ghazali di Kampung Baru Rhu Muda.
Sementara itu, Ahmad Farid berkata, pihaknya berharap dengan sumbangan ini, dapat mengeratkan hubungan di antara syarikat-syarikat korperat atau swasta di negeri Terengganu dan kerajaan negeri Terengganu sendiri.
"Pihak kami juga sangat gembira dapat menyumbang dengan projek komuniti seperti ini sekaligus dapat membantu masyarakat dan komuniti dalam menyambut Aidiladha pada kali ini.
Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga ADUN Rhu Rendang diwakili oleh Setiausaha politiknya juga turut turun sendiri ke beberapa buah cawangan bagi menyerahkan lembu korban tersebut.
Turut hadir adalah Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Sabri Zakaria dan Wahad Osman, Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Rhu Rendang, Mohd Najmuddin Rani.
20 Jul 21
628
Bomba Salur Bantuan Kepada Keluarga Mangsa Kebakaran
KUALA NERUS, 18 Julai – Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu terus membela mangsa kebakaran walaupun selepas tragedi itu berakhir melalui penyaluran bantuan kelengkapan rumah Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).
Ketua BBP Kuala Terengganu, Timbalan Penguasa Bomba Rozizah Abni Hajar berkata, sumbangan pihaknya berupa barangan elektronik dan wang tunai hasil derma semua anggota balainya sebagai tanda prihatin kepada mangsa.
Katanya, terbaru pihaknya mengambil inisiatif itu bagi membantu penduduk yang terlibat kebakaran di Kampung Kesom, Manir.
“Tabung bantuan buat mangsa Semek Mamat, 62, telah dilancarkan 14 julai lalu, ia merupakan satu manifestasi komitmen tanggungjawab sosial sesebuah jabatan terhadap masyarakat.
"Justeru itu, program ini dijalankan bagi menyemarakkan lagi semangat kesukarelaan di kalangan anggota dan juga masyarakat selaras dengan konsep 'Kebajikan Tanggungjawab Bersama', jelasnya ketika ditemubual pemberita.
Terdahulu, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali turut menziarahi dan menyalurkan bantuan kewangan kepada Semek Mamat selepas ditimpa kejadian yang memusnahkan 80 peratus bahagian rumahnya.
Menurut Setiausaha Politik beliau, Mohd Kamal Nazmi Kamaruddin, pembinaan rumah baharu akan digerakkan secepat mungkin sebaik sahaja mendapat persetujuan tuan rumah.
“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu dan Tabung Darul Iman telah mengambil bertanggungjawab membantu mendirikan balik rumah yang musnah dalam kebakaran ini,” jelasnya.
18 Jul 21
254
Tok Wok Dapat Tapak Niaga Kuih Baharu
MARANG, 18 Julai - Seorang peniaga kuih tradisional Mak Cik Wook atau lebih dikenali sebagai Mak Ngah, 82, yang tular di media sosial mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payung, Mohd Nor Hamzah.
Warga emas itu yang pada awalnya membuka gerai perniagaan itu hanya 'suka-suka' bagi mengisi masa lapang tidak menyangka ia mendapat perhatian orang ramai apabila mula tular di halaman Amazing Terengganu.
Perkara itu secara tidak langsung telah mengundang kedatangan orang ramai ke gerainya di Belukar Jambu.
Mohd Nor turut tidak ketinggalan apabila hadir menemui dan membawa khabar gembira untuknya semalam.
"Saya melalui Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) setempat telah memaklumkan kepadanya, insya-Allah kita akan bina tapak yang lebih selesa untuk beliau berniaga," ujar Mohd Nor.
Terdahulu Amazing Terengganu menyifatkan warga emas itu sebagai 'Amazing Woman' dalam usia itu masih mampu berniaga kuih tradisional seperti akob, beker, ketupat dan tepung bungkus secara sendirian.
"Biasanya dalam pukul 5 petang atau lebih akan dibuka perniagaan hadapan rumah, kuih itu semua sedap-sedap," ujar Amazing Terengganu.
18 Jul 21
592
320 Ekor Ayam Diagih Kepada Penduduk Terlibat PKPD
DUNGUN, 19 Julai- Sebanyak 320 ekor ayam telah diagihkan kepada penduduk Gong Pasir yang terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan(PKPD) sebagai usaha menjaga kebajikan mereka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun berkata, inisiatif tersebut dilakukan kerana menyedari mereka menghadapi kesulitan untuk mendapatkan bekalan dalam meneruskan kehidupan seharian setelah dikenakan PKPD sejak 10 Julai lalu.
"Agihan ayam pada hari ini adalah mengira kesukaran untuk mendapatkan bekalan untuk lauk pauk memandangkan pergerakan mereka yang terhad, walaupun seorang dari satu keluarga dibenarkan keluar, itu pun kalau di kawasan ini tiada barang yang amat diperlukan dan perlu mendapat kebenaran pegawai bertugas di pondok sekatan," katanya selepas agihan tersebut dilakukan, semalam.
Menurutnya, PKPD yang akan berakhir pada 23 Julai itu, melibatkan 120 orang sebahagian penduduk di Kampung Gong Pasir, 130 orang Rumah Awam Kos Rendah (RAKR) Gong Pasir, 40 orang yang berada di Taman MAIDAM dan selebihnya yang tinggal di sekitar ketiga-tiga tempat tersebut.
"Jadi diharapkan mereka banyak bersabar apatah lagi terpaksa berhari raya di dalam tempoh PKPD kerana ini adalah kebaikan kita bersama untuk mencegah penularan pandemik COVID-19," ujarnya lagi.
18 Jul 21
172
KETENGAH Sumbang RM2,900 Kepada Mangsa Ribut
DUNGUN, 18 Julai - Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) menyerahkan sumbangan sebanyak RM2,900 kepada tujuh orang penduduk Kampung Wa yang terkesan akibat ribut pada 21 Jun lalu.
Pengerusinya, Datuk Razali Idris berkata, peruntukan itu adalah untuk memperbaiki struktur bumbung yang rosak melalui tabung tanggungjawab sosial korporat (CSR).
"Masing-masing menerima di antara RM300 sehingga RM500 bergantung kepada tahap kerosakan yang dialami.
"Ini membuktikan bahawa KETENGAH sentiasa ambil cakna dengan masalah penduduk yang tinggal di wilayah ini," katanya.
Beliau berkata demikian, ketika menyampaikan sumbangan berkenaan kepada penduduk berkenaan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang, semalam.
Hadir sama, Pengurus Besar KETENGAH, Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa.
Dalam perkembangan lain, Razali memaklumkan bahawa suntikan vaksin Covid-19 kepada penduduk di Wilayah seramai 70,000 orang akan selesai pada akhir Ogos nanti menerusi Program Outreach Vaksinasi Covid 19 yang dilaksanakan bersama Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu.
18 Jul 21
112
Kadar Kebolehjangkitan COVID-19 Terengganu Paling Tinggi
KUALA LUMPUR, 18 Julai - Kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau R-naught di Terengganu adalah tertinggi dengan 1.31, diikuti Putrajaya, Kedah, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.
Bagaimanapun Malaysia mencatat penurunan untuk hari kedua berturut-turut.
Pada Sabtu, ia susut ke 1.18 berbanding 1.19, hari sebelumnya.
Ia menyaksikan lima negeri terbabit mencatatkan kadar kebolehjangkitan melebihi purata kebangsaan.
Lapan negeri lain catat kadar antara 1.18 ke 1.10.
Sarawak dan Labuan catat kadar di bawah 1.0, sementara Perlis rekodkan satu kes baharu.
Kadar kebolehjangkitan terendah yang pernah direkodkan tahun ini ialah 0.81 pada 3 Mac lalu.
Manakala yang tertinggi dicatatkan ialah 1.21 pada 23 Mei.
Nilai R-naught merujuk kepada tahap kebolehjangkitan sesuatu virus, iaitu berapa ramai individu yang boleh dijangkiti oleh satu kes positif.
18 Jul 21
3032
Sarapan Pagi Percuma Untuk Penduduk Memerlukan
KUALA TERENGGANU, 17 Julai - Surau Jalan Tekukur dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Jalan Tekukur mengambil inisiatif menyediakan sarapan pagi percuma kepada masyarakat yang memerlukan pada setiap pagi Jumaat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar berkata, pihaknya sangat teruja dengan usaha baik JPKK dan berharap agar ia dapat meringankan sedikit beban mereka yang terkesan ekoran pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara Fasa 2.
"Orang ramai yang memerlukan boleh ambil untuk keluarga, maknanya tidak perlu risaulah setiap hari Jumaat untuk makan pagi," katanya yang ditemui di Surau Jalan Tekukur hari ini.
Turut bersama meninjau program tersebut ialah Pengerusi surau berkenaan, Shahrom Dayat dan Pengerusi JPKK Jalan Tekukur, Ahmad Fakrulazizi Abu Bakar.
Sementara itu, Ahmad Fakrulazizi memberitahu program tersebut diadakan sejak bermulanya PKP 3.0 dan sehingga kini telah masuk enam kali program seumpama itu dilaksanakan.
"Setiap pagi Jumaat, kami sediakan sarapan pagi percuma, bermacam-macam menu disediakan seperti nasi lemak, laksa, dan mee goreng, jadi hari ini, laksa kuah putih yang kita tempah daripada pembekal di komuniti ini juga.
"Biasanya kita bermula pukul 8.00 pagi dan pukul 8.30 pagi, semuanya sudah habis.
"Sesiapa yang ingin menyumbang, boleh menyumbang dalam bentuk kewangan, dari situ kita guna untuk membeli makanan tersebut," katanya.
17 Jul 21
483
Komited Tunai Janji
DUNGUN, 17 Julai- Kerajaan negeri dibawah pimpinan Parti Islam SeMalaysia (PAS) komited melaksanakan manifesto seperti yang dijanjikan ketika Pilihan Raya Umum ke -14 (PRU-14) yang lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik berkata, ini membuktikan kerajaan hari ini, apabila berjanji, mengotakannya bukan hanya janji-janji manis.
"Saya melihat kepimpinan hari ini dapat melaksanakan amanah dan tanggungjawab dengan baik, kejayaan - kejayaan selain manifesto terlalu banyak untuk kesejahteraan rakyat Terengganu terutama semasa menangani pandemik COVID-19 dengan Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT)," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel Program Bual Bicara Manifesto 'Kata DiKota' yang disiar secara langsung di TV Dungun.
Program anjuran Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) Daerah Dungun itu turut menampilkan Pegawai Penyelidik (Hal Ehwal Tanah Persekutuan) Pejabat Menteri Besar Terengganu, Naraza Muda sebagai ahli panel dan dikendalikan oleh peguam muda, Hafizul Faris Che Razlan.
Ujarnya lagi, kerjasama erat kepimpinan sekarang sehingga ke peringkat kepimpinan paling bawah yang sentiasa prihatin dan cakna kepada rakyat.
"Bukan di peringkat atasan sahaja malah sehinggalah kepada peringkat Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) turut bekerja keras untuk memastikan rakyat hidup selesa," katanya lagi.
16 Jul 21
123
Negeri Yang Beralih Ke Fasa Dua Tidak Kembali Ke Fasa Satu
PUTRAJAYA, 15 Julai - Negeri yang beransur pulih daripada fasa satu Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) ke fasa dua tidak akan ‘berpatah balik’ ke fasa satu.
Menteri Penyelaras PPN, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, adalah tidak mampan bagi negara untuk ‘buka dan tutup’ sesebuah negeri dan PPN merupakan pelan perancangan khusus bagi membolehkan rakyat kembali kepada kehidupan normal.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, sekiranya angka jangkitan Covid-19 di negeri yang telah beralih fasa adalah tinggi, hanya lokasi atau kawasan tertentu akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan bukannya seluruh negeri.
“Kalau kita beransur pulih dari fasa satu PPN ke fasa dua sebagai contoh, kita tak boleh balik ke fasa satu dan kembali ke fasa dua. Sebaik sahaja beralih ke fasa dua, kalau ada kes (Covid-19) di kawasan atau lokasi tertentu, ia akan ditutup atau (dikenakan) PKPD, bukan lagi seluruh negeri,“ katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan di Kiosk D’Harmoni@9 dan Medan Selera Presint 9, di sini pada Rabu.
Lapan negeri telah beralih ke Fasa Dua PPN setakat ini iaitu Perlis, Perak, Pahang, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.
Tengku Zafrul berkata, negeri-negeri lain juga bakal menuruti langkah untuk beralih ke fasa dua dan seterusnya ke fasa tiga.
Menurutnya, prosedur operasi standard (SOP) di kawasan PKPD perlu dipertingkatkan kerana terdapat juga kilang dalam kategori 'essential' yang dibuka.
"Contohnya, ujian saringan Covid-19 perlu dibuat sekurang-kurangnya dua kali seminggu. Yang penting, kita kena kurangkan kes di kawasan PKPD yang menyumbang kepada jumlah keseluruhan kes Covid-19 dalam negara,” katanya.
Sementara itu Tengku Zafrul berkata, beliau mengadakan sesi libat urus berkenaan PPN dengan beberapa parti politik dan pihak berkepentingan pada minggu ini dan akan meneruskan sesi berkenaan dalam masa terdekat.
Katanya sesi libat urus berkenaan amat produktif dan pelbagai input diterima khususnya berkaitan aspek kesihatan dan bantuan untuk mereka yang terjejas di kawasan PKPD.
Menurutnya, perbincangan mengenai PPN telah diadakan dengan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), UMNO, Pas, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan seterusnya dengan Parti Amanah Negara (Amanah), PKR, DAP, Bersatu, MCA dan MIC.
-- Bernama
15 Jul 21
338
Tiga Beranak Tinggal Sehelai Sepinggang
Oleh: Muhammad Afiq Fahmi Ahmad Faris
DUNGUN, 15 Julai - Tiga beranak hilang tempat tinggal apabila rumah mereka di Kampung Bukit Besi di sini musnah dalam kebakaran dipercayai akibat litar pintas.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira 10.30 malam pada 11 Julai lepas, keluarga terbabit dianggarkan mengalami kerugian lebih RM85,000 apabila semua barangan di dalam rumah tidak sempat untuk diselamatkan.
Mangsa, Muhammad Nasril Haqim Mohtar, 23, berkata, ketika kejadian dia dan isteri serta anak tiada di rumah.
"Masa tu saya keluar ke Kampung Jerangau kerana ada urusan penting, isteri dan anak pula berada di rumah ayahnya. Dapat panggilan dari jiran dia beritahu rumah saya terbakar," ujarnya kepada pemberita.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat AMBS, Zul Husni Abdul Rahman berkata, dua buah jentera bomba dari Balai Bomba AMBS dan Balai Bomba Dungun dikejarkan ke lokasi kejadian dengan kekuatan 16 anggota termasuk bantuan daripada penduduk kampung setempat, sebaik menerima panggilan jam 11.41 malam.
Sebaik tiba di lokasi, api didapati sedang marak membakar rumah berkenaan dan kerja pemadaman dilakukan dalam kedaan hujan.
Bagaimanapun katanya, siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran.
Musibah yang menimpa keluarga mangsa mendapat perhatian Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli Dan Pegawai Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman yang turut menziarahi mereka pada keesokan hari kejadian berlaku.
Dalam kunjungan tersebut, Wan Hassan turut menyampaikan sedikit sumbangan wang tunai untuk meringankan beban keluarga terbabit.
15 Jul 21
577