Artikel "Komuniti" Terkini
PKPD : 545 Pek Sumbangan Diagih Kepada Peneroka Felda Neram 2
KEMAMAN, 27 Julai - Sebanyak 545 pek sumbangan berupa barangan keperluan makanan diagihkan kepada semua peneroka Felda Neram 2 yang sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), hari ini.
Pegawai Penyelidik (Tanah Persekutuan) Pejabat Menteri Besar Terengganu, Naraza Muda berkata, sumbangan tersebut bagi membantu mereka yang benar-benar memerlukan ekoran peningkatan kes positif Covid-19 yang masih membimbangkan di sini.
"Hari ini saya bersama Pengurus Besar Wilayah FELDA Terengganu, Mohd Helmi Fakhzan Abd Wahab menyerahkan 545 pek sumbangan daripada FELDA kepada semua peneroka Felda Neram 2 .
"Semalam saya dimaklumkan pihak Ahli Parlimen Kemaman, Ustaz Alias Hamid juga ada menyalurkan sumbangan segera melalui JPKK (Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung) untuk mereka yang menghadapi kerumitan terputus bekalan makanan.
"JPKK juga memaklumkan dalam masa terdekat barangan basah juga akan diagihkan," katanya ketika dihubungi pemberita.
Dalam pada itu, beliau turut berterima kasih kepada semua pihak yang prihatin dan terlibat dalam agihan berkenaan.
"Terima kasih semua, pihak FELDA, Ahli Parlimen Kemaman dan Ahli Dewan Undangan Negeri Air Putih atas sumbangan segera bagi meringankan bebanan warga peneroka Felda di sini yang terpaksa mematuhi arahan pihak berwajib dalam usaha mengawal penularan Covid 19.
"Terima kasih juga kepada 'frontliner' yang bertugas, pihak polis, Rela, KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) dan semua pihak yang terlibat.
"Sama-sama kita doakan agar segera diangkat musibah ini yang sudah meragut ribuan nyawa di Malaysia," ujarnya.
Felda Wilayah Terengganu memperuntukkan lebih 60 ribu ringgit bagi pengagihan bakul makanan di empat kawasan Felda yang dikenakan PKPD sejak Febuari lalu.
Pengurus Felda Wilayah Terengganu, Mohd Helmi Fakhzan Abd Wahab berkata setakat ini, 1230 bakul makanan telah diagihkan kepada setiap ketua isi rumah dan pekerja yang dikenakan PKPD.
27 Jul 21
563
Sistem e-Tanah Bakal Diperluas Ke Terengganu
KUALA LUMPUR, 27 Julai - Kerajaan bercadang memperluaskan Sistem e-Tanah secara kerjasama awam-swasta (PPP), ke beberapa negeri termasuk Terengganu menjelang 2024, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Perdana Menteri berkata, peluasan sistem itu akan turut meliputi Putrajaya, Labuan, Selangor, Pahang, Johor, Kedah, Perlis dan Kelantan.
Katanya, ia susulan kejayaan pelaksanaan sistem itu yang diguna pakai Kuala Lumpur serta Perak, masing-masing pada 2017 dan Februari lalu, selepas diperkenalkan pada 2014.
Justeru, beliau berkata, peluasan Sistem e-Tanah diharap akan memberi impak positif bagi meningkatkan lagi produktiviti negara di mata dunia, sekali gus menarik minat pelabur asing untuk menambah pelaburan di Malaysia.
Pelaksanaan Sistem e-Tanah bertujuan menyeragamkan pentadbiran tanah di negeri berdasarkan perundangan yang berkuat kuasa, selain mengurangkan kerenah birokrasi dan mempertingkat ketelusan serta integriti dalam pentadbiran tanah.
"Saya percaya, pelaksanaan Sistem e-Tanah juga dapat menyumbang kepada kepesatan pembangunan negara, di samping meningkatkan hasil kepada kerajaan negeri khususnya.
"Sistem e-Tanah dijangka selesai dibangunkan di semua negeri berkenaan serta boleh diguna pakai keseluruhan dan sepenuhnya, selewat-lewatnya pada 2024.
"Saya difahamkan, Perjanjian Konsesi Sistem e-Tanah bagi Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan akan dimeterai, hari ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Tanah Negara bertema 'Mendepani Cabaran Pasca COVID-19 dalam Pentadbiran Tanah', yang disiarkan RTM1, hari ini.
Perdana Menteri memaklumkan, Sistem e-Tanah berjaya meningkatkan kualiti dan kecekapan pentadbiran tanah, sejak pelaksanaan secara rintis di Kuala Lumpur pada 2017.
Selain itu, katanya, pelbagai urusan berkaitan tanah seperti carian persendirian, pembayaran cukai, permohonan pindah milik serta permohonan gadaian tanah, juga dapat diteruskan dalam talian dengan cekap dan selamat, terutama ketika awal penularan COVID-19 pada tahun lalu.
Sistem berkenaan turut menunjukkan prestasi cemerlang dan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh Kerajaan Perak bagi pelaksanaan urusan pentadbiran tanah, sejak ia mula diguna pakai pada Februari lalu.
Menerusi Laporan 'Ease of Doing Business' dikeluarkan Bank Dunia, beliau berkata, Malaysia berada di kedudukan ke-12 pada 2020 berbanding ke-15 pada 2019.
"Pihak Bank Dunia turut mengiktiraf usaha Malaysia dalam meningkatkan prestasi sektor awam dengan mengeluarkan satu laporan 'Knowledge and Research' pada 2017, 'The Malaysia Development Experience Series' yang bertajuk 'Enhancing Public Sector Performance: Malaysia's Experience with Transforming Land Administration' untuk dikongsi bersama negara lain mengenai kemajuan Malaysia mentransformasikan pentadbiran tanah.
"Malah, Sistem e-Tanah meraih pengiktirafan pada peringkat antarabangsa, iaitu 'Gold Award Public Sector' di ASEAN ICT Award 2018 yang diadakan di Indonesia pada 2018," katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua pihak berkaitan pada peringkat Persekutuan dan negeri, sempena sambutan Hari Tanah Negara tahun ini.
Walaupun diadakan secara dalam talian untuk kali kedua susulan pandemik COVID-19, beliau percaya, ia langsung tidak mengurangkan kepentingan sambutan berkenaan dalam kalangan kakitangan awam mahupun masyarakat.
Katanya, sambutan tahun ini diteruskan dalam situasi yang mencabar serta memerlukan komitmen pada setiap peringkat bagi mengenal pasti pendekatan terbaik menanganinya.
"Saya teruja dengan persidangan kali ini yang akan membabitkan tiga siri webinar, di samping program bual bicara menerusi siaran radio dan televisyen.
"Platform disediakan ini perlu dimanfaatkan sebaik mungkin oleh semua warga pentadbiran tanah untuk mencetuskan pemikiran baharu ke arah memperkemaskan lagi pentadbiran tanah di Malaysia.
"Idea baharu hasil perkongsian pengalaman dan pengetahuan bersama ahli panel, diharap menghasilkan idea bersifat 'beyond ordinary'.
"Walaupun persidangan menghimpunkan warga pentadbiran tanah bersama pelanggan dan pemain industri tidak dapat diadakan seperti kebiasaan, saya percaya bahawa perhimpunan secara maya ini tetap bererti dalam menghargai jasa dan sumbangan semua pihak terbabit dalam perundangan serta pentadbiran tanah," katanya.
-- BERITA HARIAN
27 Jul 21
657
Pelajar Cemerlang STPM, STAM Setiu Terima Penghargaan
SETIU, 19 Julai - Seramai 98 pelajar Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan seorang pelajar Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2020 di sini diraikan Ahli Parlimen Setiu atas kejayaan memperolehi keputusan cemerlang.
Kesemua pelajar ini mendapat keputusan 3.0 keatas dan mendapat pangkat ‘Mumtaz' bagi STAM.
Shaharizukirnain Abd Kadir berkata, sebelum ini beliau telah meraikan sejumlah 103 orang pelajar cemerlang bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan hari ini kita teruskan dengan meraikan bagi STPM dan STAM pula.
"Namun disebabkan kita berada di dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) jadi, kita tidak boleh buat majlis besar-besaran bagi meraikan anda semua.
"Cuma saya pergi ke beberapa buah rumah pelajar cemerlang tersebut untuk ucap tahniah sambil bawa sedikit buah tangan. Semoga tahun depan kita boleh buat majlis seperti biasa insya-Allah," katanya baru-baru ini.
Menurut Shaharizukirnain, proses pengagihan saguhati telah telah berjalan bermula pertengahan bulan ini mengikut giliran Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berada di dalam Parlimen Setiu.
“Yang saya tidak sempat serahkan kita meminta pihak Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serahkan,” jelasnya.
Sementara itu, pelajar cemerlang STPM, Nur Alia Izzah Ghani, 20, yang berasal dari Kampung Sungai Pinang, Chalok berkata dia sangat gembira dan bersyukur kerana memperoleh keputusan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.0.
"Alhamdulillah, saya sangat gembira dan bersyukur. Pada mulanya saya terkejut kerana tidak menyangka akan memperolah keputusan yang lebih baik daripada jangkaan saya ini," ujarnya.
Alia berkata, rahsia kejayaanya memperoleh keputusan cemerlang kerana dia menumpukan perhatian penuh semasa guru mengajar sama ada di kelas bersemuka mahupun secara dalam talian.
"Saya sentiasa berfikiran positif walau dalam apa jua halangan memandangkan sekarang lebih banyak kelas secara dalam talian yang mungkin menjadi sedikit penghalang, namun sekiranya mahu berjaya kita kena berfikiran positif.
"Insya-Allah, saya berminat untuk menyambung pengajian dalam bidang Sarjana Muda Ekonomi di Universiti Kebangsaan Malaysia," tambahnya
25 Jul 21
577
Peruntukan Segera RM100,000 Selesai Keresahan Mangsa Ribut
KEMAMAN, 24 Julai - Kerajaan negeri telah memperuntukkan dana segera sebanyak RM100,000 bagi membantu mangsa kejadian ribut di Chukai kelmarin.
Tragedi itu mengakibatkan 90 kediaman di 17 buah kampung mengalami kerosakan teruk selain 25 kanopi milik peniaga tepi jalan diterbangkan angin.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat, berkata ia bagi membaiki kerosakan yang dialami penduduk berkenaan.
"97.8 peratus kerja membaik pulih kediaman penduduk telah disiapkan pada hari ini, disamping itu juga 25 unit kanopi telah disumbangkan kepada para peniaga kecil di tepi jalan Kampung Paya Berenjut, Geliga Besar dan sekitarnya bagi menggantikan yang telah rosak dalam kejadian kelmarin," katanya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi pihak media Urus Setia Penerangan Darul Iman semalam
Katanya, kerja-kerja gotong royong juga telah diadakan segera bagi menjamin keselesaan penduduk.
"Aktiviti yang telah dilakukan ialah memotong pokok-pokok besar yang tumbang di atas kediaman penduduk dan kereta serta kerja membersihkan kawasan yang terlibat telah turut dijalankan.
"Diharapkan dengan beberapa tindakan segera yang dilakukan ini dapat meringankan bebanan mereka yang ditimpa musibah dan dipermudahkan oleh Allah SWT," ujarnya.
Untuk rekod 17 buah kampung yang terlibat dalam kejadian angin ribut di sini ialah, Kampung (Kg) Paya Berenjut, Kg Kuala Kemaman, Kg Besut, Kg Geliga Baharu, Kg Bakau Tinggi, Kg Taman Fikri, Kg Fikri, Kg Mak Lagam, Kg Gong Pauh, Kg Geliga Permai, Kg Geliga/ Geliga Pantai, Kg Pengkalan Pandan, Kg Seri Berenjut, Kg Dusun Nyior, Kg Rumah Murah Geliga dan Kg Tuan.
25 Jul 21
264
YaPEIM Sumbang 40 Lembu
MARANG, 23 Julai - Yayasan Pertubuhan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) telah menyumbang 40 ekor lembu untuk dikorban dan diagihkan kepada masyarakat Islam di seluruh Terengganu pada Aidiladha tahun ini.
Sumbangan dengan kerjasama agensi AMCARE itu turut disalurkan melalui Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Rhu Rendang.
Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Wahad Osman berkata, sumbangan tersebut sangat besar di kalangan masyarakat dan seluruh rakyat Terengganu.
"Lembu untuk ibadah korban ini merupakan tanda kerja-kerja ikhlas dan tanggungjawab korperat kepada komuniti khususnya fakir-fakir miskin dan asnaf di negeri ini, "katanya.
Beliau berkata ketika hadir ke tempat penyembelihan ibadat korban Hari Raya Aidiladha bersama penduduk kampung Rhu Rendang di Surau Al-Amin, Jumaat lalu
Menurutnya lagi, pihak Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Rhu Rendang sangat berbesar hati dengan sumbangan tersebut dan berharap sumbangan seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa dan tahun-tahun akan datang.
"Saya juga difahamkan, ini juga merupakan sumbangan lembu pertama daripada pihak YaPEIM melalui agensi AMCARE di daerah Marang dan negeri Terengganu.
"Semoga ibadah korban kita pada tahun ini, diterima oleh Allah serta diberkatinya dan saya sekali lagi mewakili Menteri Besar Terengganu mengucapkan terima kasih kepada pihak YaPEIM," tambahnya lagi.
24 Jul 21
467
KETENGAH Peruntuk RM22,000, Sembelih 10 Ekor Lembu Untuk Diagih Kepada Asnaf
KUALA TERENGGANU, 22 Julai- KETENGAH memperuntuk sebanyak RM22,000 untuk pelaksanaan ibadah korban tahun ini.
Pengurus Besar KETENGAH, Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa berkata, menerusi peruntukan tersebut, sebanyak 10 ekor lembu disembelih untuk diagihkan dagingnya kepada asnaf zakat dan tujuan akikah.
"Setiap tahun KETENGAH menganjurkan program korban dan akikah tanda kesyukuran kepada Allah SWT.
"Pelaksanaan ibadah korban dan akikah kali ini diadakan dengan kerjasama dengan Masjid Sultan Mahmud Bandar Al Muktafi Billah Shah (AMBS)," ujarnya.
Katanya, KETENGAH melaksanakan korban pada kali ini sepanjang dua hari (20 dan 21Julai 2021) bagi membolehkan pengamalan SOP sempurna dilaksanakan.
"Program melibatkan 20 orang petugas yang terdiri daripada kakitangan KETENGAH dan ahli jawatankuasa masjid secara sukalera bagi langkah-langkah mengekang penularan wabak COVID-19.
"Agihan diserahkan kepada wakil iaitu melalui lima JPKK Bandar AMBS untuk menyempurnakan agihan kepada seramai 250 orang asnaf," ujarnya.
22 Jul 21
212
Daging Korban Ubati 'Kekecewaan' Penduduk PKPD
DUNGUN, 22 Julai - Sempena sambutan Hari Raya Aidiladha sebanyak 318 paket daging korban telah diedarkan ke rumah penduduk yang terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tiga lokaliti Mukim Sura,
Tiga lokaliti terbabit ialah Kampung Gong Pasir, Perumahan Awam Kos Rendah (RAKR) Gong Pasir dan Taman MAIDAM.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun berkata, usaha itu dilakukan kerana ada antara penduduk di kawasan terbabit sering terlibat dalam aktiviti korban.
Katanya, ia sedikit sebanyak mengubat 'duka' mereka kerana tidak dapat bersama mengerjakan ibadah terbabit.
"Jadi dengan kita menghantar daging-daging korban ini dapat mengubat sedikit kekecewaan mereka disamping menampung keperluan keluarga," ujarnya.
Menurut Alias lagi, sehingga kini selain agihan daging korban, Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Rantau Abang turut menghantar bekalan barangan dapur dan ayam segar ke rumah di kawasan berkenaan.
"Dan kalau ada yang menghubungi pihak Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) untuk memohon bantuan, kita akan cuba bantu kerana kita sangat memahami permasalahan yang mereka hadapi, tidak dapat keluar bekerja untuk menyara keluarga," katanya.
22 Jul 21
171
Program Lesen Motosikal Percuma Dilanjutkan Setahun
KUALA TERENGGANU, 22 Julai - Kerajaan negeri bersetuju untuk melanjutkan tempoh program Lesen Motosikal Terengganu Sejahtera (LMTS) bagi kumpulan kedua selama setahun.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, program itu sepatutnya berakhir pada penghujung Ogos tahun ini.
Namun katanya, disebabkan faktor semasa ia dilanjutkan sehingga Ogos tahun 2022.
"Kita juga sedia maklum, keadaan pandemik Covid-19 telah mengakibatkan kekangan melalui Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan, yang mana Institut Latihan Memandu merupakan sektor yang tidak dibenarkan beroperasi.
"Ini mengakibatkan separuh daripada jumlah keseluruhan seramai 15,000 peserta masih belum menyempurnakan ujian fasa satu dan dua.
"Diharapkan tempoh lanjutan selama satu tahun ini akan dapat memastikan para peserta dapat menyempurnakan latihan dan seterusnya mendapat lesen berkenaan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas menghadiri upacara korban di DUN Wakaf Mempelam semalam.
Mengulas mengenai program ibadah korban terbabit, Wan Sukairi berkata, pada tahun ini ia diadakan di empat zon dengan melibatkan 13 ekor lembu.
"Dengan mengikut SOP yang telah ditetapkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu(JHEAT), salah satu tempat dijalankan ibadat korban ini ialah di tapak Pusat Khidmat Masyarakat DUN (PKMD) Wakaf Mempelam.
"Pada kali ini turut menerima sumbangan daripada Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim, kita mengagihkan daging korban ini ke semua 35 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).
"JPKK akan mengedarkannya kepada semua penduduk yang layak menerimanya dalam kampung masing-masing," ujarnya.
22 Jul 21
1706
DUN Batu Buruk Agih 1,200 Kilogram Daging Korban
KUALA TERENGGANU, 22 Julai – Sebanyak 1,200kg daging korban telah diagihkan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk melalui Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) setempat, semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, sebanyak tujuh ekor lembu 'ditumbangkan' termasuklah sumbangan daripada Ahli Parlimen Kuala Terengganu.
"Dianggarkan kira-kira 2400 orang dalam DUN ini akan menerima agihan daging korban ini.
“Semoga urusan ini dipermudahkan dan diterima amalan oleh Allah SWT,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), sewaktu turun ke Program Korban Perdana DUN Batu Buruk yang diadakan di Kg. Bukit Depu dan Kg. Raja Baran, Chendering, semalam.
Turut hadir dalam program tersebut ialah Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim.
Program tersebut telah dijalankan dengan jumlah petugas mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.
22 Jul 21
598
2 Lembu Sado Antara Korban Buat Rakyat Kuala Nerus
KUALA NERUS, 22 Julai - Musim perayaan Aidiladha bagi penduduk sekitar Parlimen Kuala Nerus meriah dengan sumbangan dua ekor lembu baka Charolais, dikenali sebagai lembu sado untuk dijadikan korban.
Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mengharapkan, bantuan disalurkannya itu mampu memberi keceriaan kepada komuniti setempat meskipun menyambutnya dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Melalui program korban ini, daging daripada lembu yang beratnya sekitar 500 kilogram dapat diagihkan kepada lebih kurang 4,000 orang di sekitar parlimen ini.
“Kesemua lembu yang dikorban berjumlah 17 ekor adalah sebagai inisiatif menyantuni penduduk dan pelbagai agensi di sini serta menjalani ibadah korban.
“Melalui wadah ini, ia dapat memupuk nilai kasih sayang dengan memberi serta berkongsi rezeki kepada semua, sama ada mereka yang kurang berkemampuan, ataupun golongan berada,” katanya ketika ditemubual pemberita.
Menurut beliau, tumpuan utamanya adalah usaha meringankan beban penduduk terjejas terutamanya golongan B40 yang perlu diberi perhatian terutamanya semasa musim pandemik.
“Kita fokus kepada golongan terkesan teruk, kerana ini adalah sebahagian daripada program bantuan kepada komuniti bagi membantu mereka mengharungi kekangan semasa.
“Sebagai contohnya pada Jun lalu, kita telah mengagihkan bakul makanan sekitar lebih kurang 8,000 unit kepada keluarga yang memerlukan,” jelasnya.
Tambahnya lagi, bagi mengikuti Prosedur Operasi Standard (SOP), agihan daging korban berkenaan diagihkan secara pandu lalu, di hadapan Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Kuala Nerus.
21 Jul 21
434