lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

Jabatan Amal Kerah Anggota Bantu Agih Air
Jabatan Amal Kerah Anggota Bantu Agih Air
KUALA NERUS, 4 Ogos - Jabatan Amal Malaysia (Amal) Kuala Nerus telah menggerakkan anggotanya bagi membantu penduduk yang terputus bekalan air di daerah terbabit. Komander Amal Kuala Nerus, Muzakkir Mohamad berkata, sejak petang semalam hingga 4 pagi hari ini sekitar 50 petugas dikerahkan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN). "Bermula dari petang semalam anggota Amal menyediakan peralatan seperti tong, penyambung paip dan kenderaan untuk bergerak ke setiap tempat. "Sumber air kita ada ambil dari Lori Bomba, SATU dan telaga yang ada, kemudian masuk ke tempat terjejas untuk mengisi air ke tong-tong yang disediakan Jawatankuasa Keselamatan dan Pembangunan Kampung (JPKK) serta mengagihkan kepada rumah penduduk sendiri," katanya ketika dihubungi hari ini. Mengulas tindakan hari ini, beliau memaklumkan, bermula pagi tadi Amal memantau dan memenuhkan tong-tong sedia ada. "Kita juga tengah proses untuk menyediakan tangki-tangki air tambahan di tempat tumpuan bagi menampung keperluan penduduk," jelasnya. Dalam perkembangan sama, Muzakkir mengharapkan anggota Amal agar dapat terus membantu meringankan beban masyarakat. "Bekerjalah dengan ikhlas dan bantu rakyat yang sangat memerlukan sekarang ini dengan sebaiknya," tambah beliau.
04 Aug 21
268
Tangki Air Tambahan Bantu Penduduk Terjejas
Tangki Air Tambahan Bantu Penduduk Terjejas
KUALA NERUS, 3 Ogos - Ketiadaan air berikutan kerosakan paip di dasar Sungai Terengganu mengundang keresahan penduduk tempatan. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim berkata, susulan itu pihaknya telah mengambil langkah dengan membekalkan tangki air untuk kegunaan penduduk. “Pihak Syarikat Air Terengganu (SATU) memang ada membekalkan tangki air yang ditempatkan di Pekarangan Masjid Kampung Buluh Gading, namun ia masih tidak mencukupi. “Oleh itu, kita bantu dengan membekalkan tangki air ke setiap kampung yang terjejas,” ulas beliau ketika meninjau proses pengambilan air di Kampung Buluh Gading hari ini. Beliau juga memaklumkan, pihak SATU akan membekalkan air menggunakan lori tangki ke setiap lokasi tangki air tambahan yang diletakkan di setiap kampung terjejas. “Dalam DUN Buluh gading ini, hampir dua pertiga kampung terjejas. “Oleh itu, satu tangki sahaja sememangnya tidak memadai,” ujar beliau lagi. Beliau juga melahirkan rasa syukur kerana ada juga penduduk yang menggunakan pam air boreng dan telaga di rumah masing-masing berkongsi air dengan masyarakat kampung. “Ini adalah satu tindakan yang terpuji dan patut dicontohi,” tambah beliau lagi. Terdahulu, gangguan bekalan air tersebut telah menjejaskan 28,700 akaun pengguna di daerah Kuala Nerus dan Kuala Terengganu sejak semalam ekoran paip pam yang bersaiz 1,200 milimeter itu pecah di dasar Sungai Terengganu.  
03 Aug 21
1726
PKPD 12 Lokaliti Kemaman, Dungun Dilanjutkan Sehingga 17 Ogos
PKPD 12 Lokaliti Kemaman, Dungun Dilanjutkan Sehingga 17 Ogos
KUALA TERENGGANU, 3 Ogos - Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di dua lokaliti di Mukim Bandi, daerah Kemaman dan 10 lokaliti dalam Mukim Kuala Dungun yang sepatutnya berakhir hari ini, dilanjutkan berkuat kuasa esok sehingga 16 Ogos (Mukim Kuala Dungun) dan 17 Ogos (Mukim Bandi) depan. Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat selepas penilaian risiko Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berikutan masih terdapat penularan kes berlaku di lokaliti itu. "Antara lokaliti terlibat di daerah Kemaman adalah Bandar Cheneh Baru dan Felda Neram 2. Di Dungun pula, antara lokaliti terlibat adalah Kampung Sungai Buaya, Kampung Tanah Lot, Kampung Lembah, Kampung Padang Jambu, Kampung Nibong, Kampung Bukit Chatak Tengah, Kampung Molek, Kampung Bijangga, Kampung Sungai Udang dan Kampung Sungai Penaga. "KKM mendapati masih berlaku penularan berterusan dalam kalangan penduduk serta terdapat juga kes baharu direkodkan di lokaliti tersebut. "Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melanjutkan PKPD di 12 lokaliti di Dungun dan Kemaman bermula esok," katanya dalam satu kenyataan, semalam. Menurutnya, prosedur operasi standard (SOP) bagi semua PKPD adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini dan maklumat lanjut boleh diakses di laman sesawang Majlis Keselamatan Negara (MKN) di www.mkn.gov.my. Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah melaporkan, Terengganu mencatatkan kes positif Covid-19 harian sebanyak 425 kes semalam manakala kes di seluruh negara melebihi 15,000 kes iaitu 15,764 kes.  
03 Aug 21
1494
Dungun Sedia Terima Tambahan Bekalan Vaksin
Dungun Sedia Terima Tambahan Bekalan Vaksin
Oleh: Nooreni Abu Bakar DUNGUN, 2 Julai- Pegawai Daerah Dungun, Anuar Awang mengalu-alukan sekiranya kerajaan negeri menambah bekalan vaksin untuk membolehkan lebih ramai penduduk di daerah itu menerima suntikan vaksin COVID-19. Menurutnya, setakat ini, hanya 14 peratus warga Dungun yang disuntik vaksin dan menyebabkan ramai yang masih menunggu. "Kita sentiasa bersiap sedia sekiranya kerajaan negeri bersetuju menambah PPV di daerah ini, tetapi yang menjadi masalahnya sekarang adalah kekurangan bekalan vaksin,” katanya ketika dihubungi pemberita selepas beliau dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun meninjau Program Outreach Vaksinasi COVID-19 di Sekolah Kebangsaan Gong Pasir, di sini.  Program Outreach tersebut dibuka buat pertama kalinya pada 30 dan 31 Julai lepas dengan  memperuntukkan sebanyak 1,000 dos di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) itu.  Menurutnya, beliau sangat mengharapkan tambahan vaksin diberi keutamaan kepada daerah Dungun memandangkan kes positif di daerah berkenaan telah melebihi angka 100. Sementara itu,  Alias berharap  penambahan vaksin tersebut perlu dipercepatkan memandangkan Dungun dilihat sebagai kawasan kritikal ketika ini dengan penularan COVID-19 meningkat setiap hari.  "Memanglah tiada jaminan selepas suntikan vaksin kita tidak dijangkiti virus COVID-19, tetapi mereka yang telah menerima, insyaAllah tidak bergejala," katanya.  
02 Aug 21
379
DHPP Cegah Aitiviti Tidak Bermoral Rumah Terbengkalai
DHPP Cegah Aitiviti Tidak Bermoral Rumah Terbengkalai
MARANG, 1 Ogos - Rumah terbengkalai di Rhu Renggeh  di sini  yang menjadi sarang bagi aktiviti tidak bermoral mendapat perhatian Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) Negeri Terengganu untuk membuat aduan kepada pihak berwajib. Seorang penduduk kaum Tionghua, Chua Geok Beng, 61 berkata, dia kerap kali menjumpai individu dan pasangan yang memecah masuk kawasan rumah tersebut. "Rumah terbengkalai itu juga membahayakan keselamatan penduduk sekitar apabila berlaku runtuhan bahagian bangunan dan cermin ke atas bumbung rumah. "Bahagian dapur saya juga pernah ditimpa cermin yang jatuh sebelum ini dan menyebabkan saya rugi besar kerana banyak perabot rosak kerana ketika itu, hujan lebat, " katanya. Keadaan di dalam rumah yang ditinggalkan Menurut Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng , Penguatkuasa Syariah Pejabat Agama Daerah Marang bersama Pertubuhan Amar Makruf Nahi Mungkar Kawasan Marang (SKUAD AMAR) dan Sukarelawan Syariah kawasan Marang telah meninjau keadaan rumah tersebut. "Aduan ini juga dibuat melalui, Pegawai Khas (Hal-Ehwal Bukan Islam), Menteri Besar Terengganu, Dr Balachandran Gopal Krishnan dan Ketua Pemuda DHPP Negeri Terengganu, Alex Chan Foo Yew, yang sama-sama komited mengambil tanggungjawab pencegahan secara bersama. "Dari hasil tinjauan, rumah tinggal itu kelihatan seperti tidak berpenghuni dari luar. Namun, apabila melihat daripada keadaan dan suasana di dalam rumah, jelas menunjukkan menjadi sarang bagi aktiviti tidak bermoral dan mungkin pernah menjadi tempat tinggal sebuah keluarga termasuk anak kecil. "Siasatan dibuat selepas menerima aduan daripada seorang penduduk kaum tionghua yang kerap beberapa kali menjumpai individu dan pasangan yang memecah masuk ke rumah tersebut sebelum ini. Tinjauan bersama Pihak Berkuasa Tempatan "Disamping itu, tinjauan telah dibuat bersama Pihak Berkuasa Tempatan bagi mengenal pasti status bangunan itu yang dikatakan terbengkalai lebih dari lima tahun. "Terima kasih diucapkan kepada penduduk setempat walaupun majoritinya berbangsa cina, namun mempunyai kesedaran yang tinggi berkaitan aktviti tidak bermoral. "Sama-sama kita jadi masyarakat yang perihatin dalam mencegah aktiviti tidak bermoral tanpa mengira bangsa dan agama sesuai dengan slogan Terengganu Maju Berkat Sejahtera," tambahnya lagi.
02 Aug 21
216
753 Penduduk Pulau Redang Terima Suntikan Vaksin
753 Penduduk Pulau Redang Terima Suntikan Vaksin
KUALA NERUS, 31 Julai – Seramai 753 orang penduduk Pulau Redang menerima suntikan vaksin COVID-19 dos pertama menerusi program Outreach Imunisasi COVID-19 (PICK). Pegawai Daerah Kuala Nerus, Ahmad Faris Abdul Razak berkata, pejabat daerahnya yang berperanan sebagai urus setia Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) bagi daerah tersebut berkampung di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Sekolah Kebangsaan Pulau Redang selama dua hari. “Seramai lebih 700 orang pada hari ini akan disuntik dos pertama vaksin jenis Pfizer manakala selebihnya iaitu terdiri daripada penggiat pelancongan pada hari esok. “Program PPV Outreach ini dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu melalui Pejabat Daerah Kuala Nerus, dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta 11 lagi agensi lain. “Seramai 110 orang petugas termasuk daripada Polis, Rela, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan sebagainya juga memainkan peranan dalam menjayakan PPV selama dua hari ini,” katanya ketika ditemubual pemberita di sini, semalam. Turut hadir, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail dan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu, Tun Ahmad Faisal Tun Abd Razak. Sementara itu, Mohd Shafizi berkata, pihaknya akan terus bekerjasama dengan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bagi memastikan semua penduduk di sini divaksin. “Antara usaha dijalankan Pusat Khidmat Masyarakat seperti turun ke Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bagi memastikan setiap orang mendaftar untuk divaksin. “Di samping itu, kita juga menghantar nama-nama penerima kepada pihak Kesihatan Daerah,” jelasnya.
31 Jul 21
441
300 Kg Talapia Untuk Penduduk Padang Kubu Yang Dikuarantin
300 Kg Talapia Untuk Penduduk Padang Kubu Yang Dikuarantin
Oleh: Mujahid MK KEMAMAN, 30 Julai - Sebanyak 300 kilogram ikan talapia segar diagihkan kepada komuniti Kampung Padang Kubu yang dikuarantin akibat penularan pandemik Covid-19, semalam. Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, Ustaz Hazri Jusoh ketika membuat serahan tersebut mengucapkan jutaan terima kasih di atas 'Corporate Social Responsibility' (CSR) Syarikat Iman Insani Sdn. Bhd. dengan sumbangan itu. "Alhamdulillah, terima kasih kepada CSR Iman Insani di atas keprihatinan ini. Semoga ia dapat mengurangkan beban penduduk yang dikuarantin di sini. Gimik penyerahan oleh Hazri Jusoh (kanan) kepada Pengerusi JPKK Padang Kubu, Sudin Muda. "Saya menyeru kepada banyak lagi syarikat di luar sana agar tampil mengambil bahagian untuk membantu apa yang patut buat mereka yang sedang ditimpa musibah ini. "Insya-Allah, dengan apa yang kita lakukan ini akan dibalas dengan rezeki yang diberkati dan dilimpahruah kepada kita semua kelak," ujarnya. "Saya juga menyeru kepada semua penduduk Kemaman terutamanya di Kijal supaya mengambil langkah proaktif dengan melakukan sekatan pergerakan kendiri atau 'self lockdown' bagi memutuskan rantaian jangkitan wabak itu," serunya. Iman Insani Sdn. Bhd. adalah sebuah syarikat yang membekal ikan mentah kepada sektor pemakanan di seluruh negara dengan memiliki puluhan buah kolam ikan yang beroperasi di Kampung Ibok. Hazri Jusoh (dua dari kanan) bersama kakitangan Syarikat Iman Insani Sdn. Bhd. Turut hadir dalam program tersebut ialah Mohd Hifzul Iman Pengarah Urusan Iman Insani, Zawawi Mohamed Ketua Lajnah Kebajikan DUN Kijal dan Sudin Muda Pengerusi JPKK Padang Kubu. Kampung Padang Kubu adalah antara kampung di Kijal yang tertinggi bilangan penduduknya yang dikuarantinkan susulan kes harian Covid-19 yang semakin meningkat.
30 Jul 21
539
Bantuan Segera Untuk Penduduk PKPD Kubang Palas
Bantuan Segera Untuk Penduduk PKPD Kubang Palas
HULU TERENGGANU, 27 Julai - Seramai 236 keluarga di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di Kampung Kubang Palas, Kuala Telemong menerima bantuan segera berupa pek bakul makanan, baru-baru ini. Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong, Mohd Safari Abu berkata, bantuan bakul makanan itu bagi meringankan beban penduduk yang terlibat PKPD. Katanya, pelaksanaan PKPD Pentadbiran di kawasan berkenaan menyebabkan penduduk yang terlibat tidak dapat keluar untuk bekerja  dan membeli barangan keperluan. "Dalam tempoh begini, kita perlu memastikan penduduk terlibat mempunyai bekalan makanan mencukupi. "Saya juga memohon kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) untuk melihat keperluan penduduk di kawasan PKPD tersebut," katanya selepas pengagihkan bantuan berkenaan, baru-baru ini. Turut hadir, Pegawai Khas Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Pauzi Yusoff, Penyelia i-MiTS DUN Telemong, Ustaz Mohamad Yusuf Abdullah, Penghulu Kanan Hisham Talib dan Penghulu Mukim Kuala Telemong, Mohd Fadhli Ramli. Tambahnya lagi, beliau turut berterima kasih kepada Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Dato Rosol Wahid kerana turut menyumbang sebanyak 120 pek bakul makanan keperluan dapur dalam bantuan tersebut. "Saya berharap, sepanjang tempoh PKPD dilaksanakan, agihan secara berperingkat-peringkat turut dilaksanakan untuk memastikan penduduk terlibat sentiasa  mempunyai bekalan makanan mencukupi," katanya.  
29 Jul 21
332
'Datuk Pendorong Keberanian’
'Datuk Pendorong Keberanian’
KUALA NERUS, 29 Julai - Seorang anak muda yang juga penyembelih haiwan korban mengakui keberaniannya untuk menceburi bidang sembelihan itu didorong datuknya. Haziq Fakhruddin Hamzah, 26 berkata, dia mula menyembelih binatang korban pada usia 23 tahun dan menganggap ia sebagai pengalaman berharga. “Saya mula terlibat dalam kerja melapah dan urusan sembelihan binatang ini sejak di bangku sekolah rendah lagi kerana saya sering mengikuti bapa saudara saya, Yusof Mohamad yang juga seorang penternak lembu serta kerbau, juga merupakan peraih daging. “Kemudian, saya mula menganjurkan program ibadah korban di kediaman bapa saya di Kampung Sungai Ikan, Tepoh, pada usia 15 tahun lagi dengan dibantu oleh lima orang adik beradik saya yang lelaki.  “Alhamdulillah, sudah lebih 10 tahun saya terlibat dalam kerja-kerja menyembelih binatang korban,” jelasnya ketika Program Ibadah Korban di Kampung Sungai Ikan pada Aidiladha lalu. Dia yang juga Penolong Jurutera di sebuah syarikat swasta berkata, keberanian dan ilmu yang mencukupi perlu ada pada seorang tukang sembelih bagi memastikan ibadah korban dapat dijalankan dengan sempurna.  “Antara individu yang sentiasa mendorong dan berkongsi ilmu ialah datuk dan bapa saudaranya sendiri. Kedua-duanya sering  memberi galakan, semangat dan berkongsi pelbagai teknik dan kaedah yang yang boleh digunakan ketika sembelihan,” ujarnya.  Terdahulu, melalui satu hantaran di laman sosial, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim teruja apabila golongan muda mula menunjukkan minat terhadap aktiviti kemasyarakatan dan boleh menjadi pelapis dimasa akan datang.  “Saya juga minta supaya generasi anak-anak muda ini bersiap sedia untuk memiliki keupayaan memandikan jenazah, menjadi Imam solat jenazah dan boleh membaca doa atau talkin di tanah perkuburan.  “Insya-Allah kita bina satu peringkat demi satu peringkat. Yang penting, ada kemahuan,” tambah beliau.
28 Jul 21
438
Pak Ghani Angkut Durian Empat Kali Sehari
Pak Ghani Angkut Durian Empat Kali Sehari
KUALA NERUS, 27 Julai - Empat sesi setiap hari, itulah rutin Mamat Yahya atau lebih dikenali sebagai Pak Ghani, 64, mengumpul durian sepanjang musim raja buah itu di Terengganu. Biarpun berstatus warga emas, dia tidak sedikit pun menunjukkan keletihan melakukan kerja berkenaan sebaliknya menganggap berbaloi apabila raja buah  itu mendapat permintaan tinggi di kalangan penggemar durian di negeri ini. Menurutnya, pada awal musim durian kira-kira sebulan lalu, duriannya dijual pada harga RM10 sekilogram dan mampu memperoleh sekitar RM700 sehari. "Sekarang ini, kebanyakan kami jual longgok setompok-setompok kerana bekalan durian yang banyak. Adalah dapat sekitar RM200 ke RM300 sehari. "Setiap hari, biasanya saya akan naik ke dusun untuk mengumpulkan durian yang gugur. Pada waktu pagi, adalah dapat dalam dua kandar iaitu sekitar 20-30 biji. Manakala, sekitar jam 10 pagi, saya akan naik semula untuk mengumpulkan bakinya dan dapatlah sekitar 60 ke 80 biji sehari. "Selepas Zohor dan Asar, biasanya hanya satu kandar yang sering dibawa turun untuk dijual. Setakat ini, saya hanya menjualnya kepada penduduk setempat," katanya ketika ditemui pemberita di dusunnya di Kampung Lingai, hari ini. Bapa kepada tujuh orang anak itu turut dibantu anak-anaknya dalam menguruskan dusun durian yang telah diusahakan keluarganya sejak dari tahun 70-an lagi. "Biasanya kalau bukan musim, saya datang untuk menebas, membersihkan kebun serta menoreh getah sebagai pekerjaan harian," katanya. Ditanya tentang harga durian yang agak merudum ketika ini, imam Masjid Kampung Lingai itu tidak menafikan sedikit terjejas. "Namun, bagi saya masih tiada masalah dan sekarang pun permintaan masih ada. Kalau harga tidak turun sehingga tiada permintaan, mungkin lebih teruk. "Durian saya durian kampung yang tidak memerlukan penjagaan yang banyak, berbanding orang lain yang mungkin memerlukan kos lebih tinggi," katanya.        
27 Jul 21
1574