MARANG, 2 Julai - Golongan Orang Kelaianan Upaya (OKU) perlu terus disantuni agar mereka tidak merasa terpinggir malah terus dihargai dan diberi ruang selayaknya dalam masyarakat.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Zuraida Md Noor berkata, dengan sokongan berterusan dan ruang yang inklusif, mereka bukan sekadar dilihat tetapi juga perlu diberi peranan dalam pembangunan negeri.
Katanya, Kerajaan Negeri Terengganu sentiasa cakna terhadap keperluan dan kebajikan OKU khususnya melalui Majlis Tindakan Orang Kurang Upaya Negeri Terengganu (MTOT) yang telah diwujudkan pada 6 Mac 2024, selaras dengan Dasar Orang Kurang Upaya dan Pelan Tindakan OKU 2016–2022.
"MTOT berperanan menyelaras pelaksanaan dasar berkaitan OKU, selain membuat syor kepada kerajaan dalam aspek penjagaan, pembangunan, perlindungan dan kesejahteraan golongan ini di negeri Terengganu," ujarnya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Dwi Tahunan Persatuan Spinal Pantai Timur (PSPT) yang berlangsung di Pusat Khidmat Setempat Bahagian OKU, Marang.
Mengulas mengenai mesyuarat berkenaan, Zuraida yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang berkata, ia bukan sekadar rutin pengurusan persatuan, bahkan menjadi simbol semangat kesatuan dan perjuangan luar biasa ahli PSPT dalam memperjuangkan hak dan kebajikan golongan yang mengalami kecederaan saraf tunjang (spinal cord injury).