lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

Bendera, Badminton Tema Merdeka Hiasi Kedai Pok Mi
Bendera, Badminton Tema Merdeka Hiasi Kedai Pok Mi
Oleh : Muhammad Afiq Fahmi Ahmad Faris DUNGUN, 31 Ogos – Warna warni Jalur Gemilang ditambah dengan hiasan kotak bulu tangkis dan raket badminton sudah menjadi tradisi sambutan hari Kebangsaan di kedai makan Azmi Yusof atau lebih mesra disapa Pok Mi. Terletak di Kampung Gong Pasir, warungnya sering menjadi tumpuan komuniti setempat kerana mahu melihat kibaran bendera Malaysia serta peralatan sukan badminton bertema menjelang sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia. Pemilik kedai berusia 59 tahun itu menceritakan, kebanyakan barangan yang digantung di kedainya hasil daripada minat dalam mengumpul sejak dari umur 20 tahun sehingga sekarang. “Saya mula aktif bermain badminton bermula dari usia 20-an sehingga negara telah merdeka selama 64 tahun, kini minat itu masih ada dan jauh daripada terpadam. "Setiap kali sejak 8 tahun lalu, saya sudah bersiap sedia membeli banyak Jalur Gemilang dan bendera negeri dan menghias kedai saya bila tiba tanggal 31 Ogos. "Harapan saya pada bulan kemerdekaan tahun ini, walaupun keadaan negara kita masih dilanda wabak COVID-19, namun semangat kecintaan tinggi terhadap negara sambutan kemerdekaan perlu ada pada diri kita,” katanya ketika ditemu bual pemberita, baru-baru ini. Tambahnya, orang ramai turut diseru agar terus tabah melawan wabak virus tersebut sehingga mencapai kemenangan dalam menangani peperangan menentang musuh halimunan itu.
31 Aug 21
887
Petugas PPV UniSZA, Penerima Vaksin Pamer Semangat Kemerdekaan
Petugas PPV UniSZA, Penerima Vaksin Pamer Semangat Kemerdekaan
KUALA NERUS, 31 Ogos - Para petugas kesihatan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) hari ini mengadakan sambutan secara sederhana bagi mempamerkan semangat kemerdekaan dan rasa cinta kepada negara. Pengurus PPV, Dr. Ras Azira Ramli berkata, semangat kemerdekaan tetap dipamerkan walaupun negera masih lagi berdepan dengan pandemik Covid-19 ketika ini. "Pada kali ini, kita menyambut Hari Kemerdekaan dalam suasana pandemik bersama para penerima vaksin. "Di antara mereka datang dengan membawa bendera dan mempamerkan bendera di pelitup muka dan sebagainya. Jadi semangat itu masih dirasai," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sambutan tersebut di PPV UniSZA, hari ini. Tambahnya, inilah semangat yang dapat ditunjukkan sebagai barisan hadapan pada masa ini untuk berjuang memerdekakan negara dari pandemik Covid-19. Dalam acara berkenaan, nyanyian lagu negaraku dan lagu Jalur Gemilang serta agihan bendera kebangsaan kepada penerima vaksin turut diadakan. Selain itu, para petugas PPV turut memakai pakaian bertemakan semangat kemerdekaan. Dalam pada itu, penyelaras PPV berkenaan, Dr. Mohamad Ikmal Saharmi menyifatkan, semangat kemerdekaan ini perlu ditanam dalam diri individu selaras suasana pada masa kini. "Biarpun suasana kerja Merdeka tahun ini dalam kekangan pandemik, kami petugas kesihatan tidak kira waktu, sedia berkhidmat. "Bagi merdeka kali ini, kita perlu merdekakan diri kita dari Covid-19 terlebih dahulu, jadi patuhilah prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan," katanya. Hari ini, PPV UniSZA menerima kehadiran 814 penerima vaksin dos kedua dan sebahagian kecil baki penerima dos pertama yang tercicir di kawasan Kuala Nerus.    
31 Aug 21
792
Jalur Gemilang Berkibar Megah Di Drawbridge
Jalur Gemilang Berkibar Megah Di Drawbridge
KUALA TERENGGANU, 30 Ogos - Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu (UPEN) mengibar dan mengedarkan sejumlah Jalur Gemilang kepada orang ramai bagi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan Kali Ke-64, esok. Pengarahnya, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata, program itu diadakan bagi tujuan menyemai rasa cinta orang ramai khususnya masyarakat negeri ini terhadap negara. "Di atas Jambatan Angkat (Drawbridge) Kuala Terengganu sebagai salah satu ikonik pelancongan negeri ini, kita mempromosikan kempen kibar jalur gemilang sempena hari kemerdekaan. "Di samping sekali gus mempromosikan negeri Terengganu sebagai negeri pelancongan. Ia sebagai persediaan bahawa kita mampu melawan Covid-19 dan kembali seperti dahulu menerima kunjungan tetamu-tetamu dari dalam dan luar negeri Terengganu," katanya ketika ditemui pemberita pada Program Kibar Jalur Gemilang di Jambatan Angkat (Drawbridge) di sini, hari ini. Menurut Ahmad Faisal, kempen jalur gemilang yang diadakan itu dalam masa yang sama bagi mengangkat semangat dan kebangkitan masyarakat negeri ini. "Kita tidak tewas dengan bencana yang menimpa kita sebaliknya kita mencari peluang untuk mengembalikan semangat kebangkitan Terengganu semangat hari kemerdekaan," jelasnya. Justeru, orang ramai diingatkan agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan serta mendapatkan suntikan vaksinasi untuk melawan pandemik ini bersama-sama.
30 Aug 21
1062
Dr. Khairuddin Agih 600 Bungkus Bubur Asyura
Dr. Khairuddin Agih 600 Bungkus Bubur Asyura
KUALA NERUS, 30 Ogos - Sebanyak 600 bungkusan bubur asyura telah diagihkan oleh Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Kuala Nerus, baru-baru ini. Ahli Parlimennya, Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, program tersebut merupakan salah satu cara merapatkan lagi hubungan sesama masyarakat setempat. "Walaupun sekarang ini kita berdepan dengan krisis air, namun aktiviti ini kita tetap teruskan kerana ia salah satu aktiviti tahunan yang kita jalankan. "Sudah tentu agihan bubur asyura tersebut bertujuan meraikan Hari Asyura di samping mengeratkan silaturahim dengan masyarakat," katanya ketika ditemui pemberita.  Dalam masa yang sama, Dr Khairuddin turut berkesempatan bersama Ustaz Ridzuan Hashim, ADUN Buluh Gading, mengedarkan bubur asyura di Kg Tanjung Sabtu anjuran JPKK tersebut. "Semoga dengan agihan bubur asyura ini, penduduk dapat menikmatinya di samping dapat merapatkan lagi ukhuwah kejiranan antara kita," jelasnya.
30 Aug 21
199
Talian Hotline Mudahkan Agihan Air Kepada Penduduk Uzur
Talian Hotline Mudahkan Agihan Air Kepada Penduduk Uzur
SETIU, 29 Ogos - Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit mengambil inisiatif menyediakan talian ‘hotline’ bagi memudahkan operasi pengagihkan bekalan air bersih kepada golongan tidak berkemampuan. Pegawai Penyelarasnya, Mohd Shafizi Ismail berkata, pihaknya memfokuskan penghantaran bekalan asas itu buat golongan sasar seperti Orang Kurang Upaya (OKU), menjalani kuarantin, warga emas dan individu uzur. “Mereka ini tidak mampu untuk keluar rumah bagi mengambil air, jadi ini diharapkan mudahkan mereka di lebih 40 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang terkesan. “Bagi golongan dalam kategori tersebut boleh hubungi di talian di 0149650227 (Izzat) atau 01140275425 (Fadil),” jelasnya. Beliau berkata demikian selepas kerja pengagihan bantuan air mineral di Kampung Bukit Chempaka, pagi tadi. Dalam pada itu, Mohd Shafizi turut memaklumkan tiga Unit Daerah Mengundi (UDM) di kawasannya akan menerima bantuan air mineral dalam kotak. Jelasnya, ia sebahagian daripada bantuan segera sebanyak RM1.25 juta seperti mana diumumkan Menteri Besar. “Pagi ini kita menerima lima lori treler bagi kawasan terlibat antaranya Bukit Cempaka, Padang Kemunting dan Darat Batu Rakit, ia akan salurkan pada 12 JPKK pada peringkat ini dengan dua karton setiap rumah. “Selebihnya rumah kita akan agihkan secara berperingkat dengan jumlah lima karton satu rumah, selain itu, pihak kami turut sediakan lebih 100 tangki statik (3 tangki setiap JPKK) dan para petugas disini bergerak pada 9 pagi sehingga lewat 2 pagi,” tambahnya.  
29 Aug 21
212
Petugas Amal Berkampung Di Kuala Nerus Agih Air
Petugas Amal Berkampung Di Kuala Nerus Agih Air
KUALA NERUS, 28 Ogos – Para petugas dan sukarelawan daripada pelbagai daerah berkampung di Kuala Nerus bagi membantu memastikan rantaian bekalan air bersih buat penduduk terkesan tidak putus. Penasihat Jabatan Amal Malaysia (Amal) Dungun, Mohd Fadhil Rahmi Zulkifli berkata, pihaknya telah berkampung di daerah tersebut sejak Khamis lalu bersama 14 anggota lain. “Tujuan kami datang adalah untuk memudahkan urusan bagi mereka yang terjejas bekalan asas ini, menerusi empat buah kenderaan kita meronda di kawasan yang telah diagihkan seperti di sekitar Padang Nenas dan Kampung Alor Jambu. “Selain itu, Jabatan Amal daripada daerah Besut dan Marang turut datang berganding bahu dalam inisiatif ini, reaksi orang tempatan cukup bagi memuaskan hati kami. “Ada yang ternanti-nanti dan memanggil kami, rata-rata penduduk sekitar sini telah banyak merakamkan ucapan terima kasih,” katanya ketika ditemu bual semasa kerja pengagihan air di Kampung Alor Jambu, tengah hari tadi. Sementara itu, Sekretariat Bantuan Bekalan Air Pemuda PAS Negeri, Mohd Riduan Abu Bakar menjelaskan, 400 orang sukarelawan Pemuda dan anggota Jabatan Amal sedang giat berkhidmat di enam kawasan terjejas termasuk misi agihan bantuan segera sebanyak RM1.25 juta berbentuk air minuman dalam kotak. “Waktu operasi kita bermula pada 7 pagi sehingga 12 tengah malam, kadangkala kita juga tidak bersengkang mata menyalurkan air pada sehingga 4 pagi bergantung kepada keperluan semasa. “Jutaan terima kasih kepada kerajaan negeri dan semua pihak terlibat dalam penyaluran bekalan asas ini kepada rakyat yang telah banyak bersabar menghadapi musibah ini,” katanya lagi. Baru-baru ini, masalah gangguan bekalan air kali kedua yang melibatkan 29,151 akaun pengguna di sekitar Kuala Nerus dan Kuala Terengganu telah berlaku. Ia dijangka pulih sepenuhnya pada 12 September, menurut Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh.
28 Aug 21
1092
Terengganu Selesaikan Masalah Internet Di Pedalaman
Terengganu Selesaikan Masalah Internet Di Pedalaman
SETIU, 26 Ogos - Sebahagian rakyat Terengganu di kawasan pedalaman kini mampu menarik nafas lega apabila proses untuk menaik taraf sistem jalur lebar di kawasan terbabit hampir siap sepenuhnya. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, ia berikutan pembinaan 88 menara telekomunikasi baharu di seluruh negeri berkenaan terutama di kawasan luar bandar. Menurut Ariffin, daripada jumlah berkenaan, 13 menara sudah disiapkan, 10 menara telekomunikasi masih dalam pembinaan, manakala 65 lagi dalam proses akhir tender. Mengulas lanjut, katanya, langkah yang dilaksanakan itu antaranya bagi membantu pelajar mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) dengan lebih sempurna. "Alhamdulillah di Kampung Payong sahaja kita akan ada dua menara. Di mana sekarang satu menara sedia ada kita naik taraf daripada 2G hingga 3G sahaja kepada 4G. "Manakala satu lagi menara kita akan bina di Lata Payung. Yang tadi ialah menara komunikasi dan perhubungan 4G penduduk kampung. "Dan satu lagi khusus untuk kawasan pelancongan di sini," katanya ketika ditemui pemberita sewaktu tinjauan ke tapak penaiktarafan jalur lebar 4G di Kampung Payong, Setiu, hari ini. Mengulas lanjut, tambahnya, sebanyak 409 menara komunikasi sedia ada pula dinaik taraf kepada capaian 4G dengan 88 daripadanya sudah selesai proses itu, manakala selebihnya akan siap berperingkat menjelang hujung tahun ini. "Selain itu, 38,216 premis dinaik taraf kepada talian tetap fiber optik dengan sebanyak 22,609 premis telah siap dipasang dan selebihnya akan siap secara berperingkat menjelang hujung tahun depan. "Ketika ini, terdapat 64 pusat internet komuniti (PIK) beroperasi di seluruh Terengganu dengan dua lagi PIK baharu dalam peringkat akhir tender," jelasnya. Terdahulu, Kampung Payong, Setiu menghadapi masalah capaian internet yang serius sehingga menyebabkan lebih 100 pelajar meneruskan sesi pembelajaran secara dalam talian di bangsal usang serta pondok di kawasan ladang.
26 Aug 21
522
e-Perumahan Versi III Pastikan Permohonan Rumah Mampu Milik Diurus Lebih Baik
e-Perumahan Versi III Pastikan Permohonan Rumah Mampu Milik Diurus Lebih Baik
KUALA TERENGGANU, 25 Ogos - Kerajaan negeri sentiasa mengambil berat tentang mutu penyampaian perkhidmatan awam kepada golongan rakyat sasar, antaranya dengan menambahbaik Sistem ePerumahan yang telah beroperasi sejak Januari 2014. Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, penambahbaikan tersebut akan membolehkan pemohon Rumah Mampu Milik (RMM) negeri untuk membuat permohonan RMM dengan lebih mudah dan pantas. Sekali gus dapat memenuhi keperluan semasa dan memastikan pemberian RMM dapat disampaikan kepada golongan sasaran. "Alhamdulillah proses pembangunan sistem berkenaan telah pun siap sepenuhnya. Tahniah kepada portfolio jawatankuasa perumahan yang dikendalikan Yang Berhormat Dr Alias Razak bersama pasukannya. "Juga kepada Bahagian Pembangunan Teknologi Maklumat (BPTM) yang membangunkan sistem ini," katanya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Sistem Permohonan RMM Negeri Terengganu (e-Perumahan) Versi III secara maya, pagi tadi. Hadir sama dalam majlis itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak, Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato’ Mohd Zahari Md Azahar dan Pegawai Kewangan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil. Menurut Ahmad Samsuri, sistem ePerumahan Versi III akan dibuka kepada orang ramai untuk permohonan RMM mulai 1 September 2021. Mengulas lanjut, katanya, kerajaan negeri sedar akan keperluan rumah menjadi antara perkara yang diperlukan oleh rakyat.  "Untuk tujuan itu, kita sedang giat merealisasikan pembinaan 20,000 unit rumah kepada rakyat Terenganu.   "Pelbagai inisiatif telah diambil untuk menjayakan manifesto ini bermula dengan pembinaan RMM dari agensi-agensi di bawah kerajaan negeri serta perbincangan dan kerjasama yang erat dengan pihak Kerajaan Persekutuan turut dipertingkatkan untuk bawa masuk Projek Perumahan ke Negeri Terengganu," jelasnya. Dalam pada itu, beliau menambah, kerajaan negeri turut  memperkenalkan Dasar Perumahan Baharu untuk menarik lebih banyak penyertaan pihak swasta dan pelabur membangunkan lebih banyak RMM di Terengganu.  "Hari ini sistem ePerumahan ditambah baik untuk memastikan setiap permohonan diurus dengan lebih baik dan rumah yang dibina dapat disampaikan secara tepat kepada golongan yang berpendapatan rendah di negeri Terengganu. Insya-Allah," ujarnya.
25 Aug 21
1381
113 Tangki Statik Air Bersih Disedia Di Buluh Gading
113 Tangki Statik Air Bersih Disedia Di Buluh Gading
KUALA NERUS, 25 Ogos - Sebanyak 113 tangki statik air bersih disediakan di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Buluh Gading bagi mengelakkan penduduk di kawasan terbabit terputus bekalan air  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim berkata, tindakan semasa tersebut dilakukan pihaknya dalam menghadapi ketiadaan air kerana kerosakan paip sejak 23 Ogos, baru-baru ini. “Tangki yang sediakan kadang-kadang jaraknya terlalu jauh dengan rumah penduduk, susulan itu kita tambah lagi jumlahnya supaya ia memudahkan urusan rakyat yang ingin mengambil bekalan asas ini. “Dengan cara itu, tidaklah terlalu membebankan penduduk ketika ini,” ulas beliau ketika meninjau proses perbekalan air dengan kerjasama BOMBA di hadapan Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Buluh Gading. Beliau juga memaklumkan, tambahan tangki juga dibuat di tempat-tempat pengambilan sumber air agar tempoh masa mengisi air ke dalam lori transit tidak memakan masa terlalu lama. “Buat masa sekarang, tenaga sepenuh masa agak berkurangan kerana masing-masing bekerja. “Semasa krisis yang dulu, kawasan kita dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKPD), jadi tenaga kerja agak ramai kerana masing-masing tidak bekerja,” ujar beliau lagi. Beliau juga melahirkan rasa syukur kerana pihak Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) juga mengambil inisiatif membantu mengangkut air ke kampung masing-masing untuk diagihkan kepada pemduduk yang dikenakan perintah kuarantin, warga emas yang ketiadaan anak di rumah dan juga pesakit kronik. “Sebanyak 19 JPKK yang terlibat dalam krisis air pada kali ini,” katanya lagi.
25 Aug 21
245
Vaksin 'Walk-in' Buat Penduduk Kuala Nerus Di UniSZA
Vaksin 'Walk-in' Buat Penduduk Kuala Nerus Di UniSZA
KUALA NERUS, 24 Ogos - Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) telah melancarkan program pemberian vaksin COVID-19 secara 'walk-in' di Dewan Al Muktafi Billah Shah (DABS), Kampus Gong Badak buat penduduk di daerah ini. Penyelaras Pusat Pemberian Vaksin (PPV) tersebut, Dr Nik Ahmad Shaifuddin Nik Him berkata, ia dibuka kepada individu berumur 18 tahun ke atas serta tidak mempunyai sejarah alergi teruk. Katanya, inisiatif tersebut diadakan berdasarkan prinsip ‘first come, first serve’ bermula hari ini sehingga 26 Ogos (khamis) ini dan beroperasi pada waktu 9 pagi sehingga 3 petang. “Syarat lain termasuk mereka yang terlepas temujanji vaksinasi di UniSZA, belum mendapat temujanji vaksinasi dalam aplikasi MySejahtera atau belum mendaftarkan diri untuk vaksinasi dalam sistem tersebut. “Ini tertakluk kepada bekalan vaksin yang kita dapat, nasihat saya bagi komuniti di daerah Kuala Nerus yang ingin disuntik agar membawa pen dan kad pengenalan atau pasport masing-masing," katanya ketika dihubungi UPDI hari ini. UniSZA merupakan institusi pengajian tinggi (IPT) ketiga di negara ini menubuhkan sejak 13 Jun bagi membantu kerajaan menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
24 Aug 21
864