Artikel "Komuniti" Terkini
Penduduk Lega, Gembira ADUN Wujudkan Dobi Percuma
KUALA NERUS, 7 September – Sejak pengoperasian Dobi Layan Diri Percuma Sabtu lalu, rakyat berdekatan mahupun di kawasan luar menyuarakan rasa gembira terhadap inisiatif tersebut kerana dapat meringankan beban mereka ketika masalah Air Berangan 2.0 berlaku.
Seorang suri rumah, Rosita Ismail, 37, menyifatkan usaha Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh sebagai langkah tepat dalam memudah dan menjimatkan kos dan masa mencuci pakaian setelah ketiadaan air sejak 28 Ogos lalu.
“Sebelum ini saya basuh dengan air telaga sahaja dan memerlukan tenaga lebih untuk selesaikan pakaian keluarga.
“Namun begitu, setelah melihat di Facebook bahawa wakil rakyat Tepoh, Hishammuddin Abdul Karim buat dobi percuma, saya terus datang ke sini.
“Memang jimat kos jika berbanding ke dobi biasa (RM10 kecuali mesin kering), walaupun lima minit daripada rumah di Kampung Sungai Ikan, tapi dua bakul dapat dibasuh dengan sabun percuma,” katanya ketika ditemubual pemberita di PKM DUN Tepoh, hari ini.
Sementara itu, Hishamuddin berkata, sambutan baik dapat dilihat terutamanya pengunjung paling ramai adalah dari kalangan kaum wanita atau suri rumah.
“Setiap hari puratanya 20 orang datang membasuh daripada dalam dan luar DUN ini, kita tidak memilih kerana niatnya untuk sama-sama menolong golongan terkesan akibat terputus bekalan air.
“Setakat ini, kita menyediakan lapan buah mesin (dua sumbangan PTA First Electrical) dan sabun daripada Dewan Pemuda PAS Negeri dengan kerjasama PASTI.
“Melihat kunjungan penduduk memanfaatkan Dobi Layan Diri Percuma ini, kami cukup berbangga dan berpuas hati menyediakan perkhidmatan ini walaupun bukan dalam tempoh yang lama,” jelasnya.
07 Sep 21
669
Lebih 1,000 Kilogram Lauk Diagih Kepada Individu Dikuarantin
SETIU, 7 September –Lebih 1,000 kilogram lauk mentah diagih kepada penduduk yang dikuarantin di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit.
Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir berkata, akibat peningkatan kes Covid-19 yang di Batu Rakit, kesemua penduduk dua buah kampung iaitu Kampung Wakaf Chatur dan Maras dikenakan kuarantin sekali gus menjejaskan sumber makanan mereka.
Katanya, berikutan itu, pihaknya mengagihkan lauk basah dan air mineral buat penduduk berkenaan.
“Ini merupakan kali kelima agihan lauk basah kepada penduduk di Parlimen Setiu yang dikenakan kuarantin. Kita agihkan juga untuk DUN Jabi, Permaisuri dan Langkap hari ini.
“Pada pagi ini kita turun bersama Bersatu bahagian Setiu di bawah ‘bumbung’ Perikatan Nasional,” katanya kepada UPDI hari ini.
Mengulas lanjut, Shaharizukirnain berkata, agihan hari ini melibatkan 460 buah isi rumah yang dikenakan kuarantin di DUN Batu Rakit dan 370 lagi untuk tiga DUN yang lain.
“Seperti minggu yang telah sudah, 500 buah isi rumah di DUN Langkap yang dikenakan kuarantin. Seperti kebiasaanya, untuk agihan lauk basah ini, kita agih ayam mentah seekor ataupun ikan sebanyak 2 kilogram.
“Untuk hari ini juga, kita akan agihkan air mineral sebanyak tiga kotak bagi setiap rumah hasil sumbangan Kerajaan Negeri Terengganu," katanya.
07 Sep 21
514
Lebih Banyak Projek Perumahan Akan Diagihkan
KUALA TERENGGANU, 6 September - Hasrat kerajaan negeri untuk memastikan 20,000 unit rumah dibina dan diberi kepada rakyat akan tercapai dalam jangka masa dua tahun ini selepas proses pembinaan kembali dibenarkan bermula akhir Ogos yang lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata projek sebelum ini tertangguh kerana ia tidak dibenarkan atas faktor kesihatan dan keselamatan.
"Sepatutnya pada tahun ini ada beberapa projek yang telah siap dan boleh diberikan kepada rakyat, yang tengah dilaksanakan pun ada lebih 11,000 projek namun apabila dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) maka ia terhenti.
"Barulah sekarang bermula kembali, insya-Allah apabila telah mula dibenarkan ini dan apabila masuk kepada fasa ketiga atau keempat nanti projek-projek ini akan berjalan dengan lebih rancak dengan kapsiti penuh pekerja maka pada tahun hadapan akan dapat disiapkan, harapnya rakyat perlu bersabar dahulu," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media secara atas talian, pada Majlis Perasmian Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Daerah (RTD) Besut 2035 hari ini
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) PLANMalaysia (Jabatan perancangan Bandar dan Desa), TPr. Mohd Faidzal Hamzah dan Yang Dipertua Majlis Daerah Besut, Mohd Rashdan Muda.
Mengulas mengenai program yang diadakan itu, beliau berkata ia adalah untuk memberi pemahaman dan peluang kepada semua pihak terutamanya penduduk di daerah berkenaan untuk terlibat secara langsung bagi menyemak, meneliti dan memberikan maklum balas mengenai perancangan bagi memajukan daerah terbabit.
"Perancangan kerajaan untuk mendatangkan manfaat untuk seluruh penduduk Besut, dalam masa terdekat kita hendak naik taraf Majlis Daerah Besut kepada Majlis Perbandaran," ujarnya.
06 Sep 21
1031
Baka Baik Ayam Serama, Jana Pendapatan Lumayan
MARANG, 6 September - Mula berkecimpung dalam dunia ayam serama sejak 22 tahun yang lalu sepenuh masa, banyak pengalaman dan hasil jualan yang telah diperolehi oleh Mohd Abdul Azid Yaacob, 58, yang tinggal di Kampung Kuala Tengah.
Antaranya adalah baka berkualiti daripada Abdul Azid yang telah dijual pernah merangkumi gelaran Johan Asia di suatu pertandingan ayam serama bertempat di Tasik Kenyir suatu masa dahulu.
Abdul Azid berkata, Ayam Serama ini mempunyai nilai yang tinggi dikalangan penggemarnya, sehingga berharga ribuan ringgit bergantung kepada jenis, dan baka yang diternak, keadaan bentuk lenggok tubuh, gaya yang menawan dan lain-lain.
"Baka ayam serama yang berkualiti akan menjadi buruan peminatnya, meskipun harganya yang mahal, saya pernah menjual dengan harga setinggi RM7, 000 dan membeli baka lain, lebih dari RM10, 000.
"Setakat ini saya juga pernah mempunyai baka yang baik, antaranya saya namakan Seri Serating yang juga pernah menyertai dan memenangi pelbagai pertandingan sebelumnya,. " katanya.
Katanya, pengalamannya uga pernah menyertai banyak pertandingan di dalam dan luar negeri. walaupun hadiah tidaklah lumayan, tetapi nilai baka tersebut boleh menjadi lebih tinggi kerana kualiti ayam tersebut.
"Kebanyakan ayam yang dibeli dan merupakan baka yang digilai datang dari negeri seberang, dari Kota Baru, Kelantan. Sepanjang memelihara dan menjual ayam serama ini, hasilnya hampir ratusan ribu," tambahnya lagi.
Katanya, baka ini juga mendapat permintaan di seluruh negara dan negeri membangun seperti di Kuala Lumpur, ada yang dipost dan dihantar menggunakan courier melalui jual beli secara atas talian.
Menurutnya lagi, pembeli yang ingin membeli ayam serama juga harus berhati-hati kerana, gambar ayamnya juga pernah menjadi bahan penipuan seperti 'Scam' lebih-lebih lagi pada zaman serba moden.
"Setakat ini, saya mempunyai lebih 200 ekor ayam yang kini dipelihara di reban, selama dua hari sekali, kerja-kerja pembersihan akan dilakukan untuk menjaga kualiti dan persekitaran di samping mengelakkan penyakit. " katanya.
Abdul Azid berkata ketika menerima kunjungan Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Rhu Rendang ke rumahnya bersama-sama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kuala Tengah.
Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata, pihaknya ke rumah untuk membantunya meningkatkan pemasaran melalui agensi tertentu seperti Yayasan Pembangunan Usahawan.
"Melalui agensi-agensi seperti ini juga, pelbagai bantuan dan khidmat boleh diberikan atau dipohon serta ditawarkan memandangkan kita semua sedang menghadapi satu tempoh sukar pandemik COVID-19.
06 Sep 21
1711
Petugas Dari DUN Sura Bantu Agih Air Bersih Di Kuala Nerus
Oleh : Naim Fadhilah
KUALA NERUS, 5 September - Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura tidak ketinggalan mengagihkan air bersih di Kuala Nerus.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik berkata, rombongan itu membantu masyarakat di Kuala Nerus yang menghadapi kesukaran dalam rutin harian mereka dari sudut penggunaan air.
"Sebanyak enam buah trak pikap lengkap dengan tangki air telah tiba di dewan ini dan sentiasa bersedia menerima arahan daripada Bilik Operasi Agihan Air Dun Tepoh," ujarnya.
"Berdasarkan taklimat yang diberikan, kami dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan dibantu juru arah daripada petugas Jabatan Amal dan juga Ahli Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK) untuk membawa kami ke lokasi berkenaan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemubual pemberita selepas taklimat pergerakan agihan air di Dewan Serbaguna Tepoh, semalam.
Wan Hapandi turut merakamkan rasa syukur apabila masyarakat menerima dengan baik kehadiran rombongan ini membantu mereka di kawasan yang terjejas.
"Insya-Allah, dengan cara ini saya dapat lihat respon positif yang diberikan penduduk dan semua kerja agihan menjadi lebih mudah dan secara tidak langsung menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka.
"Mudah-mudahan dengan sedikit pengorbanan masa dan tenaga ini dapatlah meringankan kerja-kerja agihan air di sekitar Kuala Nerus ini," katanya.
05 Sep 21
218
Terengganu Capai 80 Peratus Populasi Dewasa Lengkap Vaksin Awal Oktober
KUALA NERUS, 5 September - Sebanyak 80 peratus populasi dewasa di Terengganu dijangka menerima dos lengkap vaksin Covid-19 pada hujung bulan ini atau awal Oktober depan.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, sasaran itu diyakini dapat dicapai melalui penghantaran lebih kurang 560,000 dos vaksin tambahan ke Terengganu secara berperingkat pada bulan ini.
“Untuk Ogos semua sekali sebanyak 590,000 dos bekalan vaksin telah diserahkan di Terengganu. Untuk September pula jangkaan kita dalam 560,000 dos. Kita ada jadual lengkap setiap minggu penghantaran vaksin (ke Terengganu).
“Ia menepati jadual sasaran kita untuk menyelesaikan (80 peratus populasi dewasa) hujung bulan ini. Kita hendak selesaikan sebelum musim tengkujuh akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan program Misi Bantuan Air bagi penduduk di Kuala Nerus dan Kuala Terengganu yang kini terjejas dengan krisis bekalan air ekoran insiden paip pecah di dasar Sungai Terengganu, di Jambatan Angkat, di sini pada Sabtu.
Berdasarkan statistik dikeluarkan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), setakat semalam, sebanyak 53 peratus populasi dewasa di Terengganu telah lengkap menerima suntikan vaksin manakala 85 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Ahmad Amzad mengakui terdapat kelewatan penghantaran vaksin ke negeri-negeri yang disifatkan tidak mempunyai kes Covid-19 terlalu tinggi termasuk Terengganu, ekoran kerajaan sebelum ini menumpukan proses vaksinasi ke lokasi yang mempunyai kes positif terlalu tinggi seperti di Lembah Klang.
Namun katanya, setelah lebih banyak pusat pemberian vaksin (PPV) di Lembah Klang ditutup berikutan sasaran vaksinasi kepada penduduk di situ sudah dicapai, kerajaan kini akan mengedarkan lebih banyak bekalan vaksin ke negeri-negeri lain termasuk Terengganu.
-- Bernama
05 Sep 21
522
Penduduk Uzur Syukur Tidak Putus-putus Terima Bantuan Air
KUALA NERUS, 3 September - Wajah redha dan lega jelas terpancar daripada penduduk uzur dan kurang berkemampuan setelah menerima bekalan air sementara dan bantuan air mineral sejak 28 Ogos lalu.
Sumbangan tersebut sebahagian daripada inisiatif bernilai RM1.25 juta kepada setiap rumah yang diagihkan secara berperingkat melalui Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN), Penyelaras dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) masing-masing.
Salah seorang penduduk tersebut adalah Abd Rahman Said, 56, yang telah dua tahun menghidap strok dan tidak mampu lagi berjalan akibat lumpuh.
Isteri kepada tukang rumah tersebut, Noor Azlina Awang, 46, berkata, bantuan air mineral sedikit sebanyak dapat memenuhi keperluan suami bersama seorang anak yang menetap serumah di Kampung Bukit Berangan.
“Setakat ini bantuan disampaikan mencukupi buat kami sekeluarga, selain daripada air yang disalurkan petugas Mobile Team Tepoh, kita juga menggunakan air mandi telaga dengan pam elektrik bagi keperluan harian,” katanya.
Dia berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPD) selepas menerima bantuan air daripada Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim di rumahnya hari ini.
Sementara itu, sepasang suami isteri, Nor Azura dan Muhammad Suhaimi Mahmud turut menyuarakan rasa syukur apabila lima karton bekalan asas tiba buat kegunaan bapa saudaranya, Mansor Awang, 70 yang terlantar akibat strok.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang bersama Tepoh menyampaikan air kepada keluarga Muhammad Suhaimi Mahmud
“Alhamdullilah, boleh dikatakan bekalan air setakat ini tidak putus buat kami enam orang sekeluarga hasil bantuan petugas DUN Tepoh dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) setempat.
“Buat masa kini, kami bergantung kepada tangka statik yang berdekatan di surau Kampung Bukit Berangan buat kebersihan diri dan sebagainya.
“Jika kita lihat situasi sekarang ini, saya masih bersabar, nak buat macam mana, buat masa bekalan air harian kami masih bertahan,” jelas Azura yang juga seorang suri rumah.
Warga emas turut diberi perhatian seperti Sudin Awang, yang tidak risau lagi setelah mendapat kelima-lima karton air.
“Air minum cukup buat saya bersama anak lelaki di sini, memang tidak perlu bimbang lagi,” katanya yang berusia lingkungan 100-an.
Dalam pada itu, Tengku Hassan yang juga ADUN Ladang berkata, pelbagai pihak termasuk wakil rakyat dan sukarelawan telah mengerahkan tenaga bagi meringankan masalah air dihadapi masyarakat di enam DUN terlibat
Terbaharu, tiga unit alat Variable Field Drive (VFD) telah tiba di Terengganu bagi mengaktifkan pam untuk mengalirkan air dari Pulau Bahagia ke Loji Baru Bukit Berapit berkapasiti 60mld.
03 Sep 21
856
18,367 Kotak Air Bagi Fasa 1 Diagih Di DUN Tepoh
KUALA NERUS, 1 September - Sebanyak 18,367 kotak air minuman bagi fasa 1 telah diagihkan kepada 26 kampung yang terjejas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh yang bermula Jumaat lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim berkata, bantuan untuk semua rumah itu telah diagihkan mengikut pentadbiran Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) berdasarkan kaedah pengagihan yang dirasakan sesuai untuk penduduk.
"Insya-Allah agihan air bagi peringkat kedua akan dimulakan kembali pada hari Khamis ini bagi memenuhi hasrat Kerajaan Negeri untuk memastikan setiap kediaman yang terjejas menerima 5 kotak air minuman," jelasnya.
Dalam pada masa yang sama, beliau memaklumkan, terdapat rumah yang menerima dengan kuantiti berbeza kerana terdapat sedikit gangguan pengangkutan daripada pihak pembekal.
"Insya-Allah, kami berusaha agar tidak ada yang tercicir. Meskipun demikian, memahami kelemahan manusia, kami alu-alukan maklum balas kepada pihak kami secara terus atau melalui JPKK masing-masing.
"Jadi, yang rasa nama mereka tercicir dalam agihan ini, sudikanlah memaklumkan kepada kami untuk tindakan selanjutnya"
Mewakili pihaknya, Hishamuddin turut memohon kemaafan atas kekurangan dan kelemahan serta turut berusaha untuk memperbaiki mutu perkhidmatan mereka.
01 Sep 21
377
Agihan Air Minuman Fasa Kedua Di DUN Tepoh Bermula Esok
KUALA NERUS, 1 September - Penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh akan menerima air minuman fasa kedua pada Khamis selepas pengagihan fasa pertama berakhir semalam.
Mekanisme pembahagian secara berperingkat menjadi kaedah alternatif di peringkat DUN tersebut bagi mengatasi beberapa masalah berbangkit.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim berkata melalui cara demikian seluruh penduduk terjejas bekalan air akibat 'Krisis Air Berangan' akan menerima lima kotak bekalan air tersebut sebagaimana dijanjikan kerajaan.
"Agihan diserahkan sepenuhnya kepada budi bicara pihak Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dalam menggunakan kaedah pengagihan yang dirasakan sesuai untuk penduduk.
"Insya-Allah, kami akan berusaha agar tidak ada yang tercicir, meskipun demikian, memahami kelemahan manusiawi, kami alu-alukan maklum balas kepada pihak kami secara terus atau melalui JPKK masing-masing," ujarnya melalui suatu kenyataan di facebooknya semalam.
Katanya, jika masih ada penduduk yang tercicir daripada bantuan tersebut, diminta agar memaklumkan segera kepada pihaknya untuk diambil tindakan selanjutnya dengan segera.
"Atas sebarang kelemahan, kami memohon jutaan kemaafan dan akan sentiasa memperbaiki mutu perhidmatan dengan sebaik-baiknya, dari semasa ke semasa," katanya.
Bekalan air minuman berkenaan melibatkan 26 JPKK yang kesemuanya telah direkodkan mengikut bilangan rumah, jumlah agihan yang telah disampaikan sebanyak 18,367 serta baki yang masih perlu dihantar untuk diselesaikan pada fasa kedua bermula esok.
.
01 Sep 21
658
Pemuda Dikhuatiri Lemas Ketika Mandi Bersama Rakan
Oleh : Nooreni Abu Bakar
DUNGUN, 1 September - Seorang pemuda Mohd Firdaus Afiq Che Yusof, 21, dikhuatiri lemas ketika sedang mandi bersama tiga orang rakannya.
Ketua Operasi Mencari dan Menyelamat, Jabatan Amal Malaysia (JAM) Dungun, Utbah Hassan berkata, kejadian berlaku pada jam 3.00 hingga 4.00 petang semalam di Sungai Kampung Pak Suri, Tok Kah, dan sehingga petang semalam dia masih gagal ditemui
"Ketika kejadian mangsa dan dua rakan mangsa telah dibawa arus deras tetapi dua rakan berjaya ditarik ke tepi oleh orang ramai yang berada di tempat kejadian," katanya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi media selepas operasi yang melibatkan pasukan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Tok Kah, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia(APM), Pejabat Daerah dan orang ramai, diberhentikan pada jam 7.00 petang semalam.
Mangsa yang berasal dari Kampung Alor Mak Bah Alor Mak Bah baru melangsungkan perkahwinan pada bulan Februari lalu.
Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Rantau Abang yang turut hadir di tapak operasi berharap mangsa segera ditemui dan keluarganya tabah di dalam menghadapi takdir Allah Subhanahu Wa Ta'ala itu.
"Berbanyak-banyak terimakasih kepada Jabatan Amal, JPKK, Bomba, PDRM, APM, Pejabat Daerah dan orang ramai yang datang membantu," katanya.
01 Sep 21
739