lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

Jawatankuasa Khas Ditubuh Tangani Masalah Pembentungan Di Politeknik Dungun
Jawatankuasa Khas Ditubuh Tangani Masalah Pembentungan Di Politeknik Dungun
Oleh : Nooreni Abu Bakar  DUNGUN, 20 September - Satu Jawatankuasa Khas akan ditubuhkan sehingga permasalahan sistem pembentungan yang berlaku di Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA), Dungun pulih sepenuhnya. Jawatankuasa tersebut akan dianggotai Pejabat Parlimen Dungun, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Indah Water Konsortium Sendirian Berhad (IWK) dan PSMZA. Pengarah PSMZA, Mohd Fikri Ismail berkata, keputusan berkenaan dibuat hasil daripada lawatan kerja Pengurusan SPAN, yang diketuai Pengerusinya Wan Hassan Mohd Ramli merangkap Ahli Parlimen Dungun ke politeknik itu, kelmarin. "Permasalahan timbul sejak sekian lama apabila air kumbahan yang melimpah berhadapan pintu utama Politeknik boleh membahayakan kenderaan yang lalu lalang," ujarnya lagi.  Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Unit Komunikasi Koperat PSMZA di sini semalam. Hadir sama dalam lawatan kerja tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif, SPAN Terengganu, Azamy Abdul Aziz. Fikri turut melahirkan penghargaan atas lawatan berkenaan yang menggambarkan keprihatinan pihak terbabit terhadap masalah itu. "Terima kasih kepada pihak SPAN dan Ahli Parlimen atas usaha membantu membaik pulih sistem pembentungan di Politeknik ini," jelasnya.
20 Sep 21
702
Hasrat Pengayuh Beca Miliki Rumah Sendiri Tercapai
Hasrat Pengayuh Beca Miliki Rumah Sendiri Tercapai
MARANG, 19 September - Impian seorang pengayuh beca, Mohd Nasir Jusoh, 62 atau Pok Yah untuk memiliki rumah sendiri akhirnya direalisasikan oleh Pertubuhan Kebajikan Masyarakat Cakna Darul Iman (Iman Care) dengan kerjasama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, Wan Sukairi Wan Abdullah. Berkongsi detik kegembiraan menerima rumah menerusi program 'Baiti Saadati' di Kampung Rawai itu, Pok Yah menzahirkan perasaan syukur kerana hasratnya setelah sekian lama dipenuhi. Dia selama ini menjalani hidup bersama isterinya Che Ku Zaiton Che Ku Jalil, 49, beserta dua orang anak, Nur Husna Mohd Nasir, 15 dan Muhamad Safiuddin Mohd Nasir, 12, dengan menyewa sebuah rumah di Kampung Gelugor Raja. "Saya memohon untuk mendapatkan rumah ini sudah sekian lama, dengan kewangan yang dikumpulkan sendiri melalui hasil pendapatan kerja mengayuh beca selama 16 tahun, memang tidak mampu untuk mendirikan sebuah rumah. Kerana pendapatan saya tidak menentu apatah lagi bekerja di dalam waktu menghadapi pandemik COVID-19 ini. "Semasa Wan Sukairi ketika hadir ke rumah sewa saya, saya nyatakan hasrat untuk memiliki rumah sendiri, dan beliau nyatakan jika saya ada geran tanah milik sendiri ia akan memudahkan urusan untuk memiliki kediaman ini, syukur akhirnya saya menerima rumah ini dengan begitu cepat," ujarnya. Pok Yah berkata demikian ketika ditemui pihak media ketika majlis penyerahan rumah berkenaan yang dirasmikan oleh Wan Sukairi Wan Abdullah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO negeri, dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi, Digital Negeri Terengganu, Ariffin Deraman. Dalam pada itu Wan Sukairi berkata, beliau telah berjanji kepada Pok Yah untuk menyempurnakan hasrat itu selepas mengetahui kesulitan yang dihadapi oleh penarik beca berkenaan. "Pada Februari yang lalu saya berjanji untuk merealisasikan impiannya dan Alhamdulillah melalui Iman Care melalui peruntukkan sebanyak RM55,000 dan Pejabat ADUN Wakaf Mempelam dapat membina sebuah rumah yang berkeluasan 600 meter persegi dengan dilengkapi tiga buah bilik beserta sebuah bilik air, bilik mandi satu dapur dan satu ruang tamu. "Insya-Allah projek ini akan diteruskan dari semasa ke semasa dan tumpuan kita adalah membina rumah yang mana pemohon mempunyai halangan dari sudut mendapatkan peruntukkan kerajaan yang menetapkan syarat-syarat tertentu. "Mana-mana individu yang kita fikirkan layak untuk dibantu maka melalui peruntukkan yang ada melalui NGO dan badan-badan yang lain akan membantu mempermudahkan hasrat rakyat untuk memiliki rumah kediaman sendiri," ujarnya. Sementara itu, Setiausaha Iman Care Wan Ikhwan Wan Arif berkata rumah yang diterima oleh penarik beca itu merupakan rumah kelima yang berjaya dibina melalui program terbabit. "Dibina selama 57 hari, Alhamdulillah dapat disiapkan lebih awal dari tarikh yang dijangka. "Dengan bantuan ini diharapkan dapat membantu Pok Yah untuk membina kehidupan yang lebih baik pada usia sudah di penghujung jadi kita harap dapat memberikan sedikit kelegaan kepadanya," katanya. Mengulas mengenai program yang diadakan itu Ikhwan berkata pihaknya komited bagi memastikan setiap tahun 10 buah rumah dapat dibina bagi membantu rakyat. "Program ini sebenarnya kita dah mulakan pada tahun 2018 dan apabila mendapat sumbangan korporat dan orang ramai kalangan rakyat di negara ini yang prihatin dan simpati dapat kita membina kediaman kepada mereka yang memerlukan. "Sebelum ini menerusi program yang sama kita telah membina dua buah rumah di DUN Permaisuri, empah buah rumah di Hulu Terengganu pula kita perbaiki dan rumah keenam akan dibina  seumpama ini di Kampung Sekati DUN Manir, dan juga dalam perancangan akan turut dibina ialah di Seberang Takir dan juga Pengkalan Berangan,"ujarnya lagi.      
19 Sep 21
1370
29 Pelajar Terengganu Selamat Tiba Di Mesir
29 Pelajar Terengganu Selamat Tiba Di Mesir
Oleh : Aswadi Mohamad KAHERAH, 19 September - 29 orang pelajar Terengganu yang melanjutkan pelajaran ke Mesir telah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah pada jam 11.05 pagi tadi waktu tempatan. Mereka tiba setelah perjalanan menerusi Penerbangan Qatar Airways dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mengambil masa selama 12 jam. Menurut Pengarah Sekretariat Pengurusan Pelajar Malaysia ke Mesir 2021, Mohd Zahani Abdul Ghani berkata, perjalanan mahasiswa pada kali ini telah dipermudahkan dan segala urusan berjalan lancar apabila mendapat kerjasama daripada semua pihak. "Setelah selesai urusan di 'airport', para mahasiswa dan pengiring pelajar terus dibawa ke penempatan asrama Yayasan Terengganu di Hayyu Asyier untuk di kuarantin mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan selama tujuh hari. "Sepanjang menjalani proses kuarantin ini, segala keperluan dan kebajikan mahasiswa dipantau dan diuruskan oleh pihak Keluarga Penuntut Terengganu Mesir (KPT). "Insya-Allah selepas selesai menjalani proses kuarantin wajib ini, mahasiswa akan menyertai beberapa siri program yang telah disusun atur bagi proses penyesuaian diri serta pemakluman semasa di negara ini," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika dihubungi pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), pada hari ini. Sehubungan itu pihaknya merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak kerajaan negeri melalui Pengerusi Jawatankuasa  Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat. "Juga sangat berterima kasih kepada Jabatan Pendidikan Islam Terengganu, Yayasan Terengganu, ILMAM negeri, Al-Azhar Care, KPT Mesir, Rabitah Maktab Terengganu, Pusat Bahasa Arab Terengganu (PBAT), ibu bapa pelajar yang telah membantu dalam urusan penghantaran pelajar ke Mesir ini," ujarnya lagi.    
19 Sep 21
697
284 Pelajar Golongan Asnaf Terima Bantuan Zakat
284 Pelajar Golongan Asnaf Terima Bantuan Zakat
Oleh : Nooreni Abu Bakar DUNGUN, 19 September - 284 pelajar daripada golongan asnaf di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang telah terpilih untuk menerima zakat daripada Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) bagi meringankan beban sebelum memulakan persekolahan nanti. Pengerusinya, Datuk Razali Idris berkata, jumlah agihan zakat tersebut sebanyak RM56,800 . "Program ini merupakan rutin setiap tahun yang kita agihkan kepada golongan asnaf didalam wilayah KETENGAH dan pada kali ini turut memberi manfaat kepada kawasan sekitar dimana setiap pelajar menerima RM200," ujarnya. Beliau berkata demikian selepas ditemui pada Majlis Agihan Zakat kepada pelajar berkenaan yang diadakan secara pandu lalu di DUN terbabit, di Dewan Al Husna Markas Tarbiyah Darul Ansor, di Kampung Alor Mak Bah, di sini, kelmarin. Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Rantau Abang, Alias Harun dan Pegawai Penyelidik Pejabat Menteri Besar Terengganu, Azman Shapawi Abdul Rani. Dalam pada itu Alias merakamkan ucapan terima kasih atas insiatif yang diperuntukkan itu untuk memilih 10 orang daripada setiap 28 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di dalam DUN tersebut. "Kalau diikutkan hanya 10 JPKK sahaja yang berada dalam wilayah KETENGAH yang layak menerimanya, namun Allah rezekikan kesemua mereka untuk mendapat manfaat ini. "Semoga melalui peruntukkan zakat yang diagihkan ini akan dapat meringankan beban yang dialami oleh kesemua mereka yang terpilih ini sebagai persiapan untuk menghadapi penggal persekolahan nanti," ujarnya.
19 Sep 21
147
Kerajaan Dicadang Bina Penempatan Awam Di Bandar Baharu
Kerajaan Dicadang Bina Penempatan Awam Di Bandar Baharu
KUALA TERENGGANU, 16 September - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim mencadangkan agar kerajaan negeri membina penempatan kakitangan dan rakyat awam di Bandar Baharu Kuala Nerus kerana ia berpotensi untuk memajukan kawasan tersebut. Katanya, saranan itu bertepatan dengn titah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang memberi fokus tentang Kompleks Pentadbiran Al-Wathiqu Billah yang dijangka beroperasi pada Februari tahun hadapan. "Kakitangan awam daripada pelbagai peringkat ini (menjadi) sebagai satu nukleus penting untuk memastikan bandar ini hidup, (jadi) menempatkan rakyat awam adalah wajar untuk untuk melihat pertumbuhan ekonomi yang pesat dan cepat. "Bandar Hijau yang diimpikan dalam perancangan asal ini hendaklah dibuktikan oleh pihak berkuasa untuk dijadikan contoh bandar baharu lestari," ujarnya. Beliau berkata demikian, ketika membahaskan titah ucapan Sultan Terengganu, pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri ke-14, di sini, kelmarin. Dalam perkembangan berbeza, Hishamuddin turut mencadangkan agar istilah 'pembangkang' tidak lagi digunakan, sebaliknya diganti dengan istilah 'rakan kerajaan'. "Tuanku memperingatkan kita sebagai ahli badan perundangan dan pemimpin politik supaya  memelihara perpaduan, saling hormat menghormati, menjauhi fitnah, menjunjung profesionalisme. "Bersikap rasional dan objektif, mematuhi undang-undang, membuktikan Islam sebagai sistem kehidupan serta mengutamakan kepentingan rakyat mengatasi (kepentingan) diri dan parti," ujarnya.  
16 Sep 21
638
Rumah Siap Dibaiki, 100 Keluarga Mangsa Ribut Terharu
Rumah Siap Dibaiki, 100 Keluarga Mangsa Ribut Terharu
SETIU, 14 September – Sekitar 100 keluarga yang menjadi mangsa ribut di Batu Rakit baru-baru ini menerima khabar gembira selepas rumah mereka siap dibaiki tidak sampai dua hari selepas kejadian. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Pagar Besi, Rozi Mohd Nor berkata, semua mangsa yang terdiri daripada warga emas, ibu serta bapa tunggal itu amat berpuas hati dan bersyukur apabila Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail mengambil tindakan segera membaiki rumah mereka. "Memang mereka terharu kecaknaan Pegawai Penyelaras, selepas kejadian pada 7 malam khamis lalu, wakil Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Pegawai Penyelaras Batu Rakit datang untuk menilai kerosakan pada keesokan harinya. "Pihak PKM DUN Batu Rakit juga menghantar tukang rumah untuk kerja-kerja membaik pulih segera dan dilakukan dengan bantuan orang kampung, jadi 80 buah rumah dapat disiapkan pada hari Jumaat dan Sabtu,” katanya. Jelasnya selepas dihubungi oleh pemberita Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) baru-baru ini. Sementara itu seorang warga emas, Bariah Ahmad, 57, melahirkan rasa syukur setelah kerosakan atap rumahnya yang diterbangkan ribut siap dibaiki.  "Alhamdulillah, cepat pihak PKM DUN membaiki atap rumah mak cik, taklah bimbang kalau hujan lebat turun.  “Selepas kejadian mak cik bimbang, fikir macam mana nak baiki tapi Shafizi dan JPKK tolong baiki semua sehingga siap," katanya.  Bercakap mengenai kejadian ribut itu, bariah berkata, ketika itu dia sangat takut kerana ribut sangat kuat dan berlaku dengan cepat. "Memang takut sungguh masa tu, dengan bunyi angin yang sangat kuat, hujan lebat dan lepas itu nampak angin macam angkat atap rumah, habis satu rumah dimasuki air hujan, tapi alhamdulillah kami semua selamat," ujarnya lagi.
13 Sep 21
167
64 Penduduk Terima Geran Tanah
64 Penduduk Terima Geran Tanah
SETIU, 10 September – Seramai 64 penduduk di daerah ini telah menerima geran Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) secara pandu lalu di perkarangan Pejabat Daerah dan Tanah di sini semalam. Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir berkata, penerima tersebut adalah antara 400 yang akan mendapat hak mereka kembali secara berperingkat akibat. Katanya, kesemua penerima ini ialah peserta RTB yang terkilan pada tahun 1999 sehingga 2004 dahulu. “Alhamdullilah, pagi ini (semalam) kita buat satu majlis penyerahan geran RTB bagi peserta-peserta yang terkilan bagi Daerah Setiu dan mereka mendapat kembali hak mereka hari ini. Majlis serahan geran seumpama ini merupakan kali kedua kita telah laksanakan. “Sebanyak 64 orang penerima, kesemuanya RTB tapak rumah. Di daerah Setiu ini melibatkan 400 penerima kesemuanya,” katanya selepas program. Tambah beliau, tanah RTB itu melibatkan dua Dewan Undangan Negeri (DUN) Langkap dan Permaisuri. “Ini merupakan manifesto Kerajaan Terengganu untuk mengagihkan semula tanah-tanah RTB yang terkilan pada tahun 1999-2004," jelasnya. Selain itu, katanya lagi, walaupun mempunyai sedikit halangan kerana tapak cadangan RTB dahulu telah diberi hak milik kepada individu lain, pihaknya tetap mencari tapak cadangan yang baharu.  “Kita berusaha untuk mencari ganti di tempat yang lain dan sebahagian besar sekarang dalam proses penyediaan pelan dan lain-lain,” tambahnya lagi.
10 Sep 21
826
Warga Setiu Dirayu Patuh SOP
Warga Setiu Dirayu Patuh SOP
SETIU, 8 September – Seluruh komuniti di daerah ini dirayu supaya mengamalkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) selepas kesemua penduduk di lebih lima buah kampung telah dikenakan perintah kuarantin kerana terdapat peningkatan kes positif COVID-19. Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir berkata, penularan Covid-19 menyebabkan ramai yang dikuarantin akibat mempunyai kontak rapat dengan individu yang positif. “Untuk hari ini, dua buah kampung dikenakan kuarantin kesemua penduduknya iaitu penduduk Kampung Maras dan Wakaf Chatur.  “Sebelum ini, perkara sedemikian telah terjadi, kita dapat lihat yang mana Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Anak Ikan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakkan Diperketatkan (PKPD)," katanya hari ini. Tambah beliau lagi, pada minggu lepas perkara itu turut berlaku di beberapa buah kampung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Langkap. “Di Kampung Banggol pun pernah terjadi yang mana satu kampung dikenakan ujian calitan akibat terdapat kes COVID-19 yang tinggi. “Boleh dikatakan setiap kampung di Parlimen Setiu ini mempunyai kes dan mempunyai kontak rapat yang ramai. "Jadi saya memohon kepada penduduk di Parlimen Setiu untuk sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan,” katanya lagi.
08 Sep 21
967
Rumah Ibu Tunggal Hangus Dijilat Api
Rumah Ibu Tunggal Hangus Dijilat Api
KUALA NERUS, 8 September – Seorang ibu tunggal bersama dua orang anaknya kini hidup sehelai sepinggang selepas rumah mereka musnah dijilat api. Mahani Ali, 55, berkata dia menyedari kejadian tersebut semasa sedang menjemur keropok di rumah jiran berdekatan. "Sekitar jam 9 pagi saya terkejut apabila melihat asap hitam berdekatan kawasan rumah saya di Kampung Gong Pak Jin. “Ingat ada orang membakar sampah, rupanya api sudah marak di bahagian kayu rumah saya, kemudian saya bergegas menutup segala suis elektrik dan tong gas. “Dalam masa yang sama, anak terus telefon Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu untuk padamkan api. “Alhamdullilah tiada orang berada di dalam rumah pada masa kejadian, tapi saya tidak sempat selamatkan barang-barang, hanya motosikal dan kereta sahaja dialihkan,” luahnya ketika ditemubual pemberita semalam. Melihat situasi menyayat hati ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishammuddin Abdul Karim berkata, pihaknya telah menyediakan rumah sewa dalam kadar segera yang berdekatan keluarga terbabit. “Terpulang kepada pihak keluarga sama ada mereka ingin tumpang sewa atau kembali ke rumah mereka ini selepas ini. “Sehingga rumah bantuan dapat disiapkan di bawah kelolaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri, kita telah menyumbang sumbangan tunai dan akan menyokong melalui beberapa barang keperluan harian,” katanya lagi. Katanya, sehingga semalam, punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan JBPM.
08 Sep 21
497
Masalah Air Serlah Semangat Kejiranan, Perpaduan Antara kaum
Masalah Air Serlah Semangat Kejiranan, Perpaduan Antara kaum
KUALA NERUS, 8 September – 'Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat', itulah perumpamaan sesuai terhadap semangat perpaduan merentasi kaum di Kampung Pulai Baru dalam mengharungi Insiden Air Berangan 2.0. Pegawai Khas (Hal-Ehwal Bukan Islam), Menteri Besar Terengganu, Dr Balachandran Gopal Krishnan berkata, antara usaha dijalankan dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) kampung tersebut adalah penyediaan telaga tiub air. “Dengan ilham daripada pengerusi JPKK, Lai Liang Qing, sumber air ini telah siap dibina semasa krisis air pertama dengan pihak kami mendapatkan motor bagi kerja menyedut air. “Selain usaha ini, kita konsisten dalam memastikan kebajikan rakyat berbilang bangsa di Terengganu terus dijaga tanpa mengira pinggiran,” katanya selepas kerja pengagihan bantuan air di Kampung Pulai Baru, Tepoh, pagi semalam. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Satiful Bahri Mamat dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim. Menurut Ling Qing, sejumlah 65 rumah terkesan akibat terputus bekalan air pada 23 Ogos lalu. “Namun begitu, inisiatif oleh Team Mobile Tepoh dalam memastikan komuniti sini sentiasa mendapat air daripada tangka statik adalah memuaskan," katanya. Sementara itu, seorang warga emas, Kam Ah Yong, 72, berkata, bantuan air sentiasa disambung oleh JPKK dan pihak ADUN bagi memenuhi keperluan harian bersama isterinya. “Liang Qing juga banyak bantu dalam menaikkan air ke rumah memandangkan saya sudah tua dan kita rumah kami terletak di kawasan berbukit,” katanya yang juga bapa kepada dua orang anak. Jelas Balachandran, pihaknya sentiasa bekerja rapat dengan warga negeri bukan islam dalam menyelesaikan isu keselesaan komuniti bersama pihak berkuasa tempatan. “Antara inisiatif diadakan seperti kerja kebersihan kampung, pelebaran jalan dan sebagainya. “Diharapkan agar suatu hari nanti, Kampung Pulai Baru dapat dijadikan contoh simbol perpaduan di Terengganu,” tambahnya lagi. Dalam perkembangan lain, kerajaan negeri memperuntukkan RM2.5 juta bagi membaik pulih paip dasar sungai Tangki Berangan yang pecah dan patah dalam dua kejadian berasingan dan dijangka tamat pada 12 September depan.
08 Sep 21
899