Artikel "Komuniti" Terkini
Balu Nelayan Jatuh Bot Dapat Perhatian Exco Terengganu
DUNGUN, 24 September - Isteri kepada nelayan yang terkorban dalam satu tragedi di muara Kuala Dungun baru-baru ini, Rohani Hashim, 60, menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim semalam.
Menurut Dr Azman, pihaknya telah mengarahkan agar Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Terengganu untuk menghulurkan bantuan segera kepada Rohani dalam menguruskan keperluan segera.
"Malang tidak berbau, nelayan yang mencari rezeki di laut berhadapan risiko terutama dalam musim angin tenggara sekarang.
"Semoga para nelayan kita sentiasa mengutamakan keselamatan paling utama perlu memakai jaket keselamatan. Ajal maut ketentuan Allah, kita sebagai hamba hanya mampu berusaha," ujarnya selepas menziarahi keluarga terbabit semalam.
Terdahulu, seorang nelayan mayat Mohd Noor Mamat ditemui terapung di kawasan perairan Pulau Kapas.
Mayat mangsa ditemui bot pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada jarak 38 batu nautika dari Kuala Dungun.
Operasi SAR yang diketuai Ketua Polis daerah, Superitendan Baharuddin Abdullah digerakkan dengan kekuatan 50 anggota termasuk polis, bomba, Pasukan Penyelamat Air (PPDA) Bomba, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Angkatan Pertahanan Awam.
Mangsa dilaporkan hilang selepas terjatuh dari bot bersama dua rakannya ketika pulang menangkap ikan pada 21 September baru-baru ini.
24 Sep 21
230
Kerajaan Negeri Beri Geran 'One Off' RM4.2 Juta Kepada JPKK
KUALA TERENGGANU, 23 September - Kerajaan negeri bersetuju menyalurkan bantuan secara geran 'One Off' sebanyak RM4,000 kepada 1,050 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM4.2 juta.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, dana berkenaan membolehkan JPKK merancang program yang mendatangkan kebaikan kepada seluruh rakyat di negeri ini dalam berhadapan situasi sukar akibat pandemik Covid-19.
"Bantuan ini bolehlah dimanfaatkan untuk pelbagai aktiviti kebajikan serta memenuhi keperluan setempat di kampung masing-masing, kerajaan juga merakamkan ucapan penghargaan dan berterima kasih di atas khidmat bakti yang luar biasa daripada semua anggota JPKK dalam menyantuni pelbagai lapisan rakyat.
"Dalam menghadapi situasi pada waktu ini. Semoga Allah mengurniakan ganjaran sebaiknya atas segala jasa dan bakti," ujarnya melalui suatu kenyataan media, semalam.
23 Sep 21
1629
22 Ribu Lebih Benih Ikan Dan Udang Dilepaskan Di Sungai Berang
HULU TERENGGANU, 23 September – Sebanyak 22,550 ekor benih dilepaskan di Sungai Berang Kampung Buloh hari ini.
Pegawai Penyelaras Parlimen Hulu Terengganu, Muhyiddin Abdul Rashid berkata, ia terdiri dari 20,000 ekor udang galah, 2,000 ikan lampam, 500 ikan Baung dan 50 ekor Kelah.
Katanya, kerjasama yang baik daripada pihak Jabatan Perikanan dan penduduk kampung Buloh dapat menjayakan program sebegini walaupun secara ringkas.
“Dengan usaha ini, sedikit sebanyak dapat membantu penduduk kampung sebagai orang tempatan sebagai sumber mata pencarian dan juga dapat menjadi tarikan pelancong samaada dalam negeri ataupun luar negeri.
“Saya juga mengharapkan penduduk kampung di sini dapat menjaga ekosistem di sungai kita daripada tercemar dan juga membanteras kegiatan yang tidak membantu antaranya menuba ikan atau bom ikan dalam sungai," jelasnya.
Beliau berkata ketika hadir merasmikan Program Pelepasan Benih Ikan Ke Perairan Umum Serentak Seluruh Terengganu bersempena Tahun Pertanian Negeri Terengganu 2021 di Kampung Buloh.
Menurut Pegawai Perikanan Negeri Terengganu, Mariam Manip, setiap tahun Jabatan Perikanan akan mengadakan program sebegini dengan melibatkan masyarakat di beberapa lokasi yang yang terpilih.
Tambahnya, pihak jabatan sentiasa berusaha mencapai sasaran pelepasan benih tahunan bagi memastikan segala usaha tersebut mampu memberi impak kepada nelayan darat yang bergantung kepada hasil hidupan air tawar untuk membantu menampung kehidupan mereka.
“Pada hari ini bersempena dengan Program Pelepasan Benih Ikan yang dijalankan secara serentak, pihak kami ingin penglibatan komuniti kampung khususnya nelayan (darat) supaya dapat membantu meningkatkan biodiversiti di sungai-sungai, dan membantu merancakkan sosiokenomi penduduk kampung”.
“Pelepasan benih ikan dan udang ini bagi memulihara, meningkatkan populasi dan menjamin kelestarian sumber perikanan darat, meningkatkan sumber pendapatan serta menyokong dan pemangkin kepada pembangunan industri perikanan rekreasi," ujarnya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut mengalu-alukan sekiranya ada komuniti ataupun penduduk kampung yang ingin bantuan daripada pihak Perikanan untuk melihat agro pelancongan dan sosioekonomi khususnya di sungai Hulu Terengganu terjaga.
Sementara itu, Mukhtar Ismail bersyukur dengan program sebegini dapat membantu menaiktaraf ekonomi penduduk kampung yang ada sebahagiannya menangkap ikan di sungai.
Beliau yang juga Pengerusi JPKK Kampung Buloh turut menyeru agar masyarakat kampung sama-sama menyedari akan kepentingan menjaga ekosistem hidupan air tawar dan kepentingan menjaga alam sekitar.
“Alhamdulillah, terima kasih kepada pihak Jabatan Perikanan dan Pegawai Penyelaras Parlimen Hulu Terengganu membantu dan menjayakan program hari ini,"katanya.
23 Sep 21
701
Vaksin Pelajar Sekolah Legakan Ibu Bapa
Oleh : Hafiz Sahidi
MARANG, 23 September – Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bagi golongan remaja yang mula dilaksanakan kepada pelajar-pelajar sekolah menengah beberapa hari lalu memberi kelegaan kepada ibu bapa dan penjaga.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, rata-rata ibu bapa yang ditemui menyambut baik usaha itu sebagai persiapan menghantar anak-anak mereka ke asrama tidak lama lagi.
Katanya, penjaga berpandangan langkah itu turut membolehkan anak-anak mereka belajar seperti biasa dalam keadaan lebih selamat.
“Saya melihat sambutan yang sangat baik daripada anak-anak pelajar kita dan diraikan oleh ibu bapa mereka dengan aturan baik dan tersusun.
“Dalam program hari ini (kelmarin) sekitar 1,200 dos akan diberikan kepada pelajar-pelajar yang terlibat,” kata beliau kepada pemberita selepas PICK pelajar sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Sawa.
Hadir sama dalam program itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong, Pegawai Daerah, Lizan Che Mat, Pegawai Kesihatan Daerah, Dr Tan Sin Yiew dan Pegawai Pendidikan Daerah, Mohamad Nawawi Rani.
Dalam pada itu, mewakili kerajaan negeri, Mohd Nor mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak Jabatan Pendidikan Marang dan pihak sekolah yang dapat menyempurnakan program vaksinasi tersebut.
“Semoga program seumpama ini akan terus berjalan dengan baik,” katanya.
Program tiga hari vaksinasi pelajar sekolah berkenaan bertujuan membendung penularan Covid-19 di sekolah yang dijadualkan akan dibuka tidak lama lagi.
23 Sep 21
215
68 Penduduk Tajin Terima Geran Tanah Selepas 20 Tahun Menanti
HULU TERENGGANU, 23 September – Penantian 68 orang penduduk Kampung Tajin untuk memiliki geran hak milik tanah selepas 20 tahun berakhir apabila menerima geran Rancangan Tanah Berkelompok (RTB), baru-baru ini.
Penyelaras Parlimen Hulu Terengganu, Muhyidin Abdul Rashid berkata, seramai 56 daripada 68 orang peserta yang terlibat untuk menerima geran tanah tersebut.
“Insya-Allah seramai 12 orang peserta lagi akan menerima geran tanah selepas pihak Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Terengganu menyelesaikan dahulu beberapa masalah teknikal antaranya menyelesaikan urusan pertukaran nama si mati kepada anak atau waris.
“Hari ini merupakan hari yang bersejarah buat mereka setelah lebih 20 tahun menunggu untuk mendapatkan geran tanah dan hak mereka.
“Sebahagian mereka ingin mendirikan rumah diatas tapak tanah ini dengan seberapa segera," ujarnya.
Dalam pada itu, rata-rata penerima geran yang ditemui selepas majlis berkenaan menzahirkan rasa kesyukuran kepada Allah S.W.T.
Menurut Normah Salleh, dia begitu gembira dan teruja apabila menerima geran tanah tersebut.
"Alhamdulillah, pertama sekali saya bersyukur kepada Tuhan kerana permintaan selama ini telah dikabulkan selepas menanti selama lebih 20 tahun.
“Penantian tersebut hampir seusia dengan anak saya yang kini berumur 21 tahun,” katanya lagi.
Bagi Samsuri Musa, dia merakamkan jutaan terima kasih kepada pihak kerajaan negeri, Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Terengganu dan pihak JPKK Tajin di atas usaha menyelesaikan urusan pembahagian tanah RTB tersebut.
Menurut Normah Salleh, beliau begitu gembira dan teruja dengan pemberian geran tanah tersebut.
" Alhamdulillah, pertama sekali saya bersyukur kepada Tuhan kerana permintaan selama ini telah dikabulkan selepas menanti selama lebih 20 tahun.
“Penantian tersebut hampir seusia dengan anak saya yang kini berumur 21 tahun,” katanya lagi.
“Sekian lama tunggu, Alhamdulillah mendapat hak milik tanah sendiri dan geran sendiri di Limau Rendang," katanya.
Rasa penghargaan turut dizahirkan Ahmad Rozali Osman, yang gembira kerana akhirnya tanah tersebut menjadi miliknya.
“Terima kasih kepada Pusat Khidmat Masyarakat Adun Kuala Berang dan JPKK yang peka dengan keperluan rakyat dan sentiasa berusaha untuk membantu rakyat dalam meneruskan kehidupan yang lebih baik," katanya
23 Sep 21
733
12 Warga Emas, OKU Seberang Takir Disuntik Team Mobile Vaksin
KUALA NERUS, 23 September – Usaha pemvaksinan golongan kurang berkemampuan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) terus difokuskan menerusi pasukan ‘mobile’ kerjasama Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Pegawai Penyelaras di Seberang Takir.
Menemubual seorang wakil perubatan daripada Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Nabil Ali berkata, Seramai 12 orang terdiri daripada warga emas dan orang kurang upaya (OKU) terima vaksin di rumah masing-masing.
“Ini bagi memudahkan golongan berkenaan untuk mendapatkan vaksin pada masa yang sama fokus UniSZA untuk mencapai kadar vaksinasi 90% bagi golongan dewasa.
“Selain itu juga pelaksanaan PPV sememangnya berisiko bagi golongan sasar ini kerana ia membabitkan pengumpulan ramai individu,” katanya lagi.
Sementara itu, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, Mohd Fadhil Wahab beliau memandang serius keadaan penduduk yang menghadapi kekangan untuk menerima suntikan vaksin COVID-19.
“Dengan adanya kaedah ini, sekaligus memudahkan mereka divaksin seperti insan lain disamping membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menyelesaikan proses vaksinasi dengan kadar segera," tambahnya ketika ditemui di rumah penerima vaksin.
Beliau juga hadir bersama-sama pasukan Fakulti Perubatan UniSZA turut menghulurkan sedikit barangan dapur kepada penerima vaksin sebagai penghargaan dan sokongan.
Seorang penjaga, Zainun Ismail, 48, menceritakan, dia menjaga kakaknya Sarifah Ismail bergilir-gilir dengan adik beradik dan menghadapi sedikit kesukaran dengan mencecah usia 84.
“Dengan adanya bantuan barangan dan kesihatan ini, saya berterima kasih kepada Mohd Fadhil Wahab atas usaha dan Pusat Khidmat Masyarakat di sini," katanya lagi.
Sehingga hari ini, Terengganu telah mencapai peratusan individu dewasa divaksin sebanyak 80 peratus dengan jumlah keseluruhan seramai 648,775 orang.
23 Sep 21
205
Pemilik RPMM Pulau Redang Terima Kunci November Ini
SETIU, 22 September - Penduduk Pulau Redang menerima khabar gembira apabila Rumah Pangsa Mampu Milik (RPMM) di pulau berkenaan dijangka diserahkan kepada pemilik-pemiliknya, November ini.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Perumahan Kesihatan dan Alam Sekitar, Ahmad Shah Muhamed dalam lawatan pra penyerahan ke RPMM berkenaan, baru-baru ini berkata, projek kediaman rakyat yang menelan belanja RM28.5 juta itu siap sepenuhnya dalam beberapa minggu lagi.
"Hari ini kita melawat RPMM Pulau Redang yang dimulakan sejak 2012 yang telah siap sebanyak 99.90 peratus. Kini, tinggal bakinya hanya 0.01 peratus sahaja bagi memenuhi syarat Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) dan insya-Allah dalam beberapa minggu lagi kita akan selesai semuanya.
"Bangunan yang dibina ada empat blok dan setiap bloknya ada 40 unit dan keseluruhan sebanyak 160 unit. Ini adalah projek yang dinanti-nantikan penduduk Pulau Redang ini, insya-Allah hasrat mereka akan tercapai.
"Kita jangkakan kerajaan negeri boleh menyerahkan kunci kepada para pemilik dalam awal November ini," katanya.
Turut hadir, Ketua Pengawai Operasi Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Azmal Azaddin, Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan (Perumahan), Nor Sophia Azura Mohd Husin dan wakil-wakil jabatan berkaitan.
Jelas Ahmad Shah lagi, kerajaan negeri sentiasa mengambil perhatian tentang perkara tersebut kerana rumah adalah satu keperluan mendesak kepada rakyat.
"Sebab itu, ketika kita mengambil alih pentadbiran negeri kita melihat mana-mana projek yang boleh dibaik pulih secepat mungkin untuk diberi rakyat, kita akan percepatkan dan ini salah satu buktinya," katanya.
Dalam pada itu, Azmal turut memaklumkan baki proses yang belum siap hanyalah dari segi permohonan dan penilaian CCC.
"Hari ini, kita hendak tahu apa lagi yang diperlukan untuk memperoleh CCC, kita sudah mengenal pasti masalah yang ada dan kita jangkakan selewat-lewatnya bulan Oktober ini akan selesai dan kita akan buat penyerahan selepas itu," katanya.
Berdasarkan data terbaru, sebanyak 1,657 unit Rumah Mampu Milik (RMM) di Terengganu telah diagihkan kepada penerima. Manakala, sebanyak 9,776 unit RMM sedang giat dibangunkan di seluruh negeri.
22 Sep 21
1644
Nelayan Hilang Setelah Jatuh Di Muara Sungai
Oleh : Nooreni Abu Bakar/Naim Fadhilah
DUNGUN, 21 September - Seorang nelayan hilang setelah terjatuh di Muara Sungai Dungun dari bot yang dinaikinya bersama dua orang rakan.
Juragan bot yang juga rakan mangsa, Mahadi Ibrahim, 56, berkata, Mohd Nor Mamat, 67, tiba-tiba terjatuh selepas bot yang mereka naiki dipukul ombak kuat.
Katanya, sebelum kejadian Mohd Nor sedang duduk di atas tong ikan.
"Apabila bot dipukul ombak, tong ikan tersebut menggelongsor, mangsa dan seorang lagi rakan saya, Mohd Ibrahim, 63 terhumban ke dalam muara sungai itu.
"Dalam keadaan itu, saya mencampak pelampung, hanya Mohd Ibrahim sahaja berjaya menyambutnya tetapi Mohd Nor sebaliknya," ujar Mahadi yang terkilan gagal menyelamatkan rakannya kepada pemberita selepas kejadian itu.
Mahadi dan Mohd Ibrahim yang ditemui di tempat kejadian kelihatan sugul atas kehilangan rakan baik mereka.
Sementara itu, Ketua Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR), Shahrizal Shamsuddin berkata, kejadian tersebut berlaku pada pukul 1.59 tengah hari, operasi mencari mangsa terus dilakukan oleh Pasukan Bomba dan Penyelamat serta orang awam.
"Anggota bomba dan orang awam memulakan pencarian di kawasan mangsa jatuh dengan menggunakan bot Penyelamatan dan bot fiber," katanya.
Hingga jam 10 malam ini, mangsa belum ditemui dan operasi pencarian masih diteruskan.
21 Sep 21
455
2,300 Penghuni Penjara Marang Terima Suntikan Vaksin Mulai Hari Ini
MARANG, 20 September - Seramai 2,300 penghuni Penjara Marang menerima suntikan vaksin COVID-19, mulai hari ini.
Program tiga hari vaksinasi penghuni penjara berkenaan bertujuan membendung penularan COVID-19 di penjara.
Program tersebut bermula jam 9 pagi dan seramai 1,000 penghuni menerima vaksin jenis CanSino pada hari ini.
Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, kesemua penghuni Penjara Marang akan menerima suntikan vaksin COVID-19.
"Hanya 300 daripada 2,600 penghuni penjara dikecualikan buat sementara waktu kerana beberapa faktor, termasuk masalah kesihatan dan sedang dikuarantin.
"Mereka akan diberikan vaksin selepas menepati syarat yang ditetapkan," ujarnya ketika ditemui di Penjara Marang, di sini, hari ini.
Hadir sama dalam program itu, Pengarah Penjara Marang, Penolong Kanan Komisioner Nik Robidin Ab Rahman dan Pegawai Daerah Marang, Lizan Che Mat.
Menurut Kasemani, pihaknya dibekalkan 5,000 dos vaksin CanSino pada 19 September dan akan menerima lebih 4,000 dos lagi akhir September ini.
Mengulas lanjut, tambahnya, sebanyak 364 kes positif dilaporkan di Penjara Marang sejak penularan COVID-19 di negeri itu.
"Jangkitan berpunca daripada pergerakan kakitangan dan penghuni sendiri walaupun sekatan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dipenjara, ketat," katanya.
Dalam pada itu, seorang penghuni, Man (bukan nama sebenar), 34, berkata, beliau bersyukur kerana menerima suntikan vaksin COVID-19 itu.
"Walaupun berada di penjara, saya berasa tidak selamat selagi tidak menerima suntikan vaksin itu.
"Kami faham akan kepentingan vaksin dan berasa lega apabila menerima vaksin sekarang.
"Sekurang-kurangnya peratus dijangkiti penyakit COVID-19 kurang berbanding sebelum ini," katanya.
Abu (bukan nama sebenar), 28, berterima kasih kepada semua pihak kerana tidak menyisihkan penghuni penjara.
"Walaupun kami berada di penjara, kami tetap diberi keutamaan untuk menerima vaksin," katanya.
20 Sep 21
297
Masjid Haji Muhammad Dibangunkan Semula
KUALA TERENGGANU, 20 September – Kerja-kerja membina semula Masjid Haji Muhammad di Kg. Mengabang Tengah telah dimulakan sejak 22 Ogos yang lalu.
Masjid berusia lebih seratus tahun itu telah mengalami kerosakan hampir keseluruhannya pada tahun 2019 yang lalu akibat bencana.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi telah turun meninjau proses pembinaan masjid tersebut, semalam.
“Alhamdulillah, setelah beberapa proses dibuat, masjid ini telah dapat dibangunkan semula.
“Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Batu Buruk akan sentiasa memantau dan memberikan bantuan untuk memastikan pembinaan masjid ini selesai dan dapat digunakan kembali,” kata Ustaz Muhammad Khalil kepada pemberita.
Tambahnya lagi, penduduk di kampung tersebut ketika ini menggunakan masjid sementara yang dibina berdekatan tapak tersebut.
Turut hadir dalam tinjauan tersebut pihak Jawatankuasa Masjid Haji Muhammad dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) setempat.
20 Sep 21
602