Artikel "Komuniti" Terkini
Trek Basikal Siap Dibina, Dimanfaat Anjur Kejohanan Basikal
Oleh: Muhammad Afiq Fahmi Ahmad Faris
DUNGUN, 3 Oktober - Trek basikal yang baru siap dibina pada Mac lalu di Kampung Bukit Chatak Dua telah dimanfaatkan oleh Pemuda Bukit Chatak Dua, Dungun dengan menganjurkan kejohanan sukan berbasikal.
Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli berkata, kejohanan yang dianjurkan oleh Geng Basikal Dungun (GBD) bersama Komuniti Pemuda Bukit Chatak Dua itu telah disertai oleh 18 pasukan dari seluruh Terengganu khususnya daerah ini.
“Program ini turut mendapat kerjasama dari DACS Kawasan Dungun dan Persatuan Lumba Basikal Terengganu.
“Antara tiga kategori yang dianjurkan pada kejohanan kali ini iaitu kategori amatur (Newbie), Bawah 16 tahun (U16) untuk bakat baru, serta kategori open (Pro),” ujarnya.
Beliau yang juga Yang Dipertua Pas Dungun berkata demikian ketika ditemui pihak media, selepas merasmikan gimik pelepasan kejohanan tersebut, di Trek Basikal MTB Bukit Chatak XC Trail, Kampung Bukit Chatak Dua, kelmarin.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Cikgu Wan Hapandi Wan Nik.
“Alhamdulillah acara yang julung-julung kali diadakan selama sehari ini telah dimenangi oleh pasukan Dungun yang mengungguli tempat pertama bagi dua kategori ‘newbie’ dan ‘U16’.
"Manakala kategori terbuka dimenangi oleh pasukan Kemaman. Tahniah kepada semua yang terlibat dalam menjayakannya.
"Terima kasih juga kepada Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Amal Sura di atas kerjasama. Semoga Allah permudahkan segala urusan kita semua, insya-Allah,” katanya.
03 Oct 21
695
1,300 Kes Tuntutan Covid-19 Diselesaikan PERKESO Terengganu
KUALA TERENGGANU, 3 Oktober - Sebanyak 1,300 tuntutan kes berkaitan Covid-19 telah direkodkan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Negeri Terengganu bermula Mac lalu hingga September.
Pengarahnya, Farihah Che Husin berkata, rata-rata kes yang dituntut adalah kes daripada kluster pejabat yang dikuarantin dengan 70 peratus daripadanya sudah diselesaikan dan berjaya dituntut oleh pencarum.
“Sehingga kini, alhamdulillah kita sudah berjaya menyelesaikan 70 peratus kes tuntutan. Manakala 30 peratus lagi adalah kes baharu yang sedang diproses dan dikemaskini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sidang media selepas Majlis Sambutan Jubli Emas Peringkat PERKESO Negeri Terengganu di sini hari ini.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Ahli Parlimen Setiu, Shaharizulkarnain Abd Kadir. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu (THRDC), Aminuddin Omar dan Ketua-Ketua Jabatan Kerajaan Negeri Terengganu.
Menurut Farihah, jumlah keseluruhan tuntutan membabitkan bayaran sebanyak RM1.3 juta telah dibayar kepada 910 pencarum.
“70 peratus tersebut membabitkan bayaran RM1.3 juta yang telah selesai dibayar kepada 910 pencarum,” katanya.
Mengulas lanjut, tambahnya, sebanyak 30 kes kematian akibat Covid-19 telah memberi manfaat dan faedah perlindungan kepada wakil pencarum.
“Sebanyak 30 kes kematian akibat Covid-19 layak menerima bayaran faedah membabitkan tuntutan berjumlah RM105,000 sehingga akhir September,” jelasnya.
Sementara itu, katanya, faedah bulanan bergantung kepada nilai caruman. Kesemua kes yang diterima di PERKESO akan diproses dokumen yang lengkap dalam masa tujuh hari bekerja.
03 Oct 21
703
Program Vaksinasi Pelajar, Persediaan Pembukaan Sekolah
SETIU, 2 Oktober – Program Vaksinasi terhadap kumpulan remaja berusia 12 hingga 17 tahun di negara ini sedang dilakukan sebagai persediaan pembukaan persekolahan bermula esok.
Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir sempat melawat dua tempat yang melaksanakan program vaksinasi kepada pelajar sekolah pada hari ini.
Beliau mengucapkan ribuan terima kasih buat kepada semua yang terlibat dalam menjalankan program seperti ini demi mengembalikan kehidupan seperti dahulu.
“Selesai program vaksinasi kepada orang awam, pihak yang terlibat seperti Pejabat Kesihatan Daerah meneruskan lagi dengan Porgram Vaksinasi kepada para pelajar pula.
"Jasa dan usaha mereka semua memang tidak terbalas. Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung mahupun tidak,” ujarnya di program terbabit.
Tambah beliau lagi, untuk hari ini Program Vaksinasi kepada para pelajar juga sedang dilakukan di SMK Renek.
Sementara itu, menurut Pegawai Perubatan Penyelaras Program Vaksinasi Covid-19 Setiu, Muhammad Fahmi Mohd Zuber, sebanyak 1,197 dos vaksin jenis Comirnaty (Pfizer) diperuntukkan untuk hari ini di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Ibrahim, di nini.
“Program seperti ini sudah berlangsung selama dua minggu dan ini kali kedua kami bertandang ke sekolah ini.
"Untuk hari ini, para pelajar dari empat buah sekolah datang untuk mendapatkan vaksin disini iaitu Sekolah Menengah Agama Setiu, SMK Putera Jaya, Sekolah Menengah Sains Setiu dan SMK Tengku Ibrahim.
“Prosesnya hanyalah sama seperti program vaksinasi untuk orang awam sebelum ini cuma para pelajar perlu datang bersama penjaga mereka," jelasnya.
Kata Muhammad Fahmi lagi, prosesnya pendaftaranya juga sama iaitu menggunakan aplikasi Mysejahtera untuk pelajar itu sendiri atau diisi dibawah tanggungan para penjaga.
02 Oct 21
305
Malaysia Kekal Jadi Tumpuan Pelabur - Wan Hassan
Oleh : Afiq Fahmi
DUNGUN, 2 Oktober - "Malaysia kekal menjadi tumpuan pelabur asing. Januari hingga Jun tahun ini telah berjaya menarik pelaburan bernilai RM107.5 bilion meliputi sektor perkilangan perkhidmatan dan utama," ujar Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli.
Katanya, Malaysia telah merekodkan lonjakan ketara sebanyak 69.8 peratus berbanding RM63.3 bilion bagi tempoh yang sama pada tahun 2020.
"Daripada jumlah ini, pelaburan langsung asing (FDI) menyumbang sebanyak 58.1 peratus atau RM62.5 bilion iaitu tiga kali ganda daripada jumlah FDI yang telah diluluskan pada tahun 2020 bagi tempoh yang sama iaitu dengan nilai RM19.8 bilion.
"Manakala pelaburan langsung tempatan (DDI) menyumbang sebanyak 41.9 peratus atau RM45.1 bilion yang melibatkan 2,110 projek dan dijangka mewujudkan hampir 45,000 peluang pekerjaan dimana sektor perkilangan telah mencatatkan jumlah tertinggi sebanyak RM58.2 bilion atau 93.1 peratus daripada jumlah kelulusan.
"Sektor perkhidmatan dan utama pula masing-masing mencatatkan pelaburan sebanyak RM2.16 bilion (3.5 peratus) dan RM2.15 bilion (3.4 peratus)," katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas jawapan yang diberikan oleh Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Dato'Seri Mohamed Azmin Ali, pada Persidangan Dewan Rakyat, baru-baru ini.
Terdahulu, Wan Hassan telah mengajukan soalan untuk mengetahui rancangan strategik kementerian terbabit dalam menjadikan negara ini mesra pelabur pasca Covid-19 untuk terus menarik pelaburan daripada syarikat-syarikat gergasi antarabangsa.
Katanya, kerajaan juga melalui MITI telah melaksanakan Program Imunisasi Covid-19 Kerjasama Awam Swasta (PIKAS) dalam usaha mencerdeaskan semula ekonomi.
"Sebagai langkah tambahan dalam memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja dilindungi yang bertujuan mempertingkatkan kadar vaksinasi pekerja sektor pembuatan.
"Kerajaan juga akan terus memperkukuhkan asas-asas ekonomi negara melalui pelaksanaan dasar-dasar perdagangan dan pelaburan yang terbuka, telus serta mesra perniagaan dimana akan terus menyasarkan nilai pelaburan berkualiti tinggi berpandukan National Investment Aspiration (NIA).
"Kerajaan turut memberi fokus kepada kelestarian jangka masa panjang dengan menekankan elemen 'environmental, 'social and governance (ESG)' dalam pengoperasian," katanya.
Justeru beliau berharap MITI akan terus komited dalam menarik pelaburan asing bagi memastikan rantaian ekonomi terus berkembang dalam kerajaan sedang berusaha melakukan pemulihan kesihatan.
"Rakyat di negara ini sudah tentu akan menerima manfaat dari setiap hasil pelaburan yang datang ke dalam negara kita dari segi peluang pekerjaan mahupun pengalaman," ujarnya lagi.
01 Oct 21
307
Setiu Perlukan Pembangunan Infrastruktur
KUALA LUMPUR, 2 Oktober – Ahli Parlimen Setiu mahu kerajaan pusat membasmi kemiskinan dengan memacu pembangunan infrastruktur di daerah terbabit.
Shaharizukirnain Abd Kadir berkata, permasalahan miskin tegar bukan sahaja berlaku di luar bandar malah turut berlaku di bandar.
“Namun yang membezakanya oleh kerana faktor yang menyebabkan masalah ini berlaku. Bagi luar bandar, bukan disebabkan masalah kekurangan peluang pekerjaan sahaja, malah kekurangan kemahiran dan infrastruktur juga menjadi penyumbang besar.
“Di Setiu contohnya, hampir 35 tahun penubuhan daerah Setiu, namun masih lagi jauh ketinggalan berbanding daerah-daerah yang lain," jelasnya pada sesi ucapan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) baru-baru ini.
Katanya lagi, bagi memacu lagi pembangunan penduduk luar bandar, pembangunan dari segi fasiliti dan infrastruktur di luar bandar seperti Setiu amatlah penting.
“Bagi merancakkan ekonomi di setiu, satu Institusi Pengajian Tinggi Awam perlu diwujudkan segera di Setiu," jelasnya.
Shaharizukirnain yakin jika pembinaan itu bulatan di simpang tiga ke Penarik dapat realisasikan dan Bukit Lama Balai Polis dapat diratakan, Bandar Permaisuri di Setiu akan rancak membangun.
Selain itu, beliau juga menegaskan Setiu juga memerlukan Pejabat Kesihatan Daerah dan Klinik Kesihatan Permaisuri yang baru dan beberapa lagi fasiliti-fasiliti yang perlu diwujudkan di Setiu.
30 Sep 21
504
Peruntukan RM1.4 Juta Bina Baru Rumah Nelayan Terengganu
MARANG, 28 September - Sebanyak RM1.4 juta diperuntukkan bagi pembinaan baru rumah nelayan menerusi Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN) di negeri Terengganu tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, projek membina rumah berharga RM56,000 seunit itu membabitkan 25 nelayan di seluruh Terengganu.
"Melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Terengganu, kita telah menerima peruntukan sebanyak RM 1.4 juta untuk melaksanakan 25 buah bina baru rumah nelayan di seluruh negeri Terengganu.
"Sehingga sekarang kita telah berjaya menyiapkan 12 buah rumah baru kepada nelayan termasuk di Paka, Marang, Setiu dan Besut.
"Baki 13 unit lagi bina baru dijangka akan dimulakan pada tahun ini bergantung kepada situasi semasa berikutan pandemik Covid-19," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Bina Baru Rumah Nelayan di bawah PKPN LKIM Terengganu di Kampung Alor Ketitir Merchang di sini hari ini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong dan Pengarah LKIM Malaysia.
Menurut Azman, selain bina baru rumah, kerajaan turut menyalurkan bantuan yang diberikan kepada nelayan berpendapatan rendah untuk membaikpulih rumah dan membangunkan penempatan semula nelayan.
Mengulas lanjut, tambah beliau, ia tidak lain bertujuan untuk memberi kesejahteraan kepada keluarga nelayan agar dapat menikmati kualiti hidup yang lebih baik dan selesa.
Sementara itu, penerima rumah patuh syariah PKPN, Mohd Zulkifli berkata, penantiannya untuk memiliki rumah sejak turun ke laut pada usia 17 tahun sebagai nelayan akhirnya berakhir.
Beliau sangat bersyukur atas keprihatinan kerajaan terhadap nasib para nelayan.
28 Sep 21
1693
Lebih 300 Kg Sampah Dikutip Di Pantai Batu Buruk
KUALA TERENGGANU, 25 September- Sekitar lebih 300 kilogram sampah dikutip di pantai Batu Buruk sempena 'Beach Plogging Program' yang disertai 74 orang sukarelawan.
Ketua Bahagian Geng Plastik Ija Kuala Terengganu, Dr. Mohd Arif Hafizi Fauzi berkata, program bersama Primula Beach Hotel (PBH) itu telah berjaya mengumpulkan sebanyak 80 beg plastik sampah yang dikutip sepanjang pantai Batu Buruk.
"Program hari ini dengan penglibatan ahli-ahli GPI Kerteh dah kakitangan PBH dengan seramai 20 orang dan selepas ini harap sangat selepas ini tiada lagi sampah di pantai ini," ujarnya kepada pemberita.
Sementara itu Pengurus Besar PBH, Suaibah Harun melahirkan penghargaan kepada GPI yang mengambil inisiatif untuk membersihkan pantai Batu Buruk berada di belakang hotel tersebut.
"Buat pertama kalinya kami berkolaborasi dengan GPI dan ini amat patut dipuji memandangkan pantai ini adalah satu 'spot' pelancong ke Negeri Terengganu sudah tentu sentiasa bersih dan sedap mata memandang," katanya.
26 Sep 21
973
Nelayan Melecur Badan Terkena Air Enjin
Oleh: Nooreni Abu Bakar
DUNGUN, 26 September - Seorang nelayan melecur badan apabila beliau cuba membetulkan saluran keluar air enjin motor bot yang tercabut klipnya.
Menceritakan kejadian tragis itu yang berlaku pada Isnin, 20 September, Rosmadi Rahim, 47, berkata, ketika dia sedang membaiki saluran air tersebut tiba-tiba air yang panas itu memancut ke arahnya.
"Terkena tangan kanan dan bahagia dada, kulit pun jadi bergelembung, masa berlaku atas bot masa di tengah laut, saya hanya mampu menahan kesakitan kerana perjalanan untuk balik ke darat mengambil masa selama tiga jam, sampai pula pukul tujuh petang, klinik sudah tutup.
"Dua hari jugak tadah besen, sebab air bisa keluar tidak berhenti, walaupun sudah sudah enam hari berlaku, air gelembung masih lagi keluar," ceritanya yang mendapat rawatan di klinik swasta.
Rosmadi memberitahu demikian ketika ditemui di rumahnya di Kampung Teluk Bidara sewaktu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang mengunjunginya semalam.
Turut sama dalam kunjungan tersebut, Pengerusi Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar (LATAS) Pas Dungun, Zakaria Tahir dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Teluk Bidara, Mohd Affendi Ngah.
Mereka turut menyampaikan sumbangan sebagai usaha untuk meringankan beban kehidupan bapa kepada empat orang anak itu.
Menurutnya, kebiasaannya bot tersebut akan berada di laut empat malam untuk menangkap ikan tetapi disebabkan kejadian yang menimpanya itu, bot tersebut terpaksa bergegas pulang.
"Kalau kira ada dua tiga malam lagi, tetapi sudah jadi begini, mereka terpaksa balik hantar saya untuk mendapatkan rawatan," jelasnya.
26 Sep 21
325
Tunai Manifesto, Generasi Kedua Peneroka Felda Neram 1 Terima Lot Tapak Kediaman
KEMAMAN, 26 September - Kerajaan Negeri Terengganu membuktikan bahawa manifesto yang dijanjikan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang lalu bukan sekadar janji kosong apabila sebanyak 79 lot tapak kediaman diserahkan kepada generasi kedua anak-anak peneroka Felda Neram 1 baru-baru ini.
Bertempat di Dewan Felda Neram 1, para peserta Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) dari Felda Neram 1, Kemaman kini mampu tersenyum lega setelah menerima lot tapak bangunan kediaman masing-masing di dalam Majlis Undi Lot RTB yang lalu.
Rata-rata peserta yang hadir di majlis tersebut melahirkan rasa kesyukuran atas penyerahan RTB berkenaan.
Usaha untuk mendapatkan lot tapak kediaman yang terletak di kawasan Perasing Jaya Fasa 2 itu mula giat dilakukan semenjak lebih dua tahun yang lalu.
Difahamkan, para peserta yang terdiri daripada generasi kedua anak-anak peneroka di Felda Neram 1 kurang berkemampuan untuk membeli kediaman sendiri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Air Putih, Ab RAzak Ibrahim ketika ditemuramah berkata, kejayaan yang dicapai pada hari ini merupakan hasil usaha sama daripada pelbagai pihak dalam memastikan RTB itu dapat diserahkan kepada mereka yang lebih memerlukan misalnya kepada generasi kedua peneroka felda ini.
“Pihak kami akan terus komited dalam menyelesaikan isu berkaitan RTB ini. Diharapkan agar dengan terlaksananya salah satu manifesto PRU14 ini, dapat mengurangkan bebanan yang ditanggung oleh rakyat untuk memiliki kediaman sendiri,” ujar beliau kepada wartawan.
Jutaan terima kasih diucapkan kepada pihak yang terlibat khususnya Pejabat Daerah dan Tanah Kemaman, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Felda Neram 1 dan Pusat Khidmat Masyarakat Dun Air Putih yang telah berganding bahu membantu melancarkan proses mendapatkan lot tapak kediaman.
25 Sep 21
688
Pemandu Teksi, Pekerja Kebersihan Kemaman Terima Bantuan YaPIEM
KEMAMAN, 24 September - Sebanyak 132 keluarga terpilih terdiri daripada pemandu teksi, pengusaha teksi, pekerja kebersihan dan pengusaha bas sekolah di daerah Kemaman menerima bantuan melalui Program Inspirasi Qaseh Kami : Food Bank Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPIEM) 3.0 hari ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary yang menyempurnakan pemberian bantuan tersebut berkata, sumbangan berupa barangan keperluan bernilai RM100 setiap seorang itu adalah sebahagian daripada siri-siri bantuan agensi agama tersebut kepada masyarakat.
"Hari ini kita menyantuni sebahagian golongan terjejas kerana kerja-kerja asas mereka tidak dapat di laksanakan secara langsung berikutan pandemik Covid-19.
"Kita melihat keperluan mereka untuk dibantu melalui program 'food bank' dan daripada jumlah keluarga terpilih, dua keluarga terpilih meneruma sumbangan Inspirasi Prihatin YaPIEM berjumlah RM500 setiap keluarga.
"Secara keseluruhan sumbangan yang hari ini adalah sebanyak RM14,200 dan semoga sumbangan ini meringankan beban keluarga dan menjadi pemangkin dalam menjalani hari-hari mendatang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pemberian bantuan tersebut kepada wakil penerima di perkarangan Stesen Teksi Kemaman, hari ini.
Turut hadir, Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM, Dato’ Haji Mohd Redza Shah Abdul Wahid.
Terdahulu, YaPIEM turut menyalurkan bantuan kepada nelayan-nelayan di Kemaman sebagai golongan sasar dan RM24,000 telah disalurkan kepada penerima dalam kedua-dua program berkenaan.
YaPIEM merupakan antara agensi agama yang efektif dalam menyalurkan bantuan kepada keluarga-keluarga memerlukan melalui inisiatif dan program-program yang dianjurkan.
Sejak 1985, YaPIEM telah membelanjakan RM638 juta kepada lebih lima juta penerima manfaat. Melalui program 'food bank' sahaja, sebanyak RM21.65 juta telah disalurkan kepada 1.15 juta penerima.
Barangan yang disumbangkan dibeli daripada pengusaha tempatan bagi membantu ekonomi setempat secara tidak langsung- Ahmad Marzuk.
24 Sep 21
351