Artikel "Komuniti" Terkini
Mayat Tiga Kanak-kanak Lemas Ditemui
SETIU, 9 Oktober - Mayat tiga kanak-kanak yang lemas di Sungai Kuala Baru, Kampung Mangkok ditemui awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah Setiu merangkap Ketua Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) DSP Afandi Hussin berkata, mayat pertama Nur Amni Insyirah Saiful Tarmizi, 9, ditemui pada pukul 1.08 pagi manakala adiknya Muhammad Aryyan Faheem, 7, ditemui pada 1.47 pagi.
"Mangsa ketiga dan terakhir Nurul Hasya Humaira Che Mohd Humaizi, 11, ditemui pada 8.15 pagi ini.
"Kesemua mangsa yang ditemui berada tidak jauh dari lokasi kejadian," katanya hari ini.
Terdahulu Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir bersama ADUN Jabi, Azman Ibrahim, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri dan Langkap, Zulbhari A Rahman serta Azmi Maarof menemui keluarga mangsa dan mengucapkan takziah atas kejadian yang berlaku.
Pegawai Daerah Setiu yang juga Pengerusi Bencana Daerah Setiu, Rosli Latif dalam pada itu mengumumkan penutupan operasi pada 8.40 pagi dan mengucapkan tahniah kepada semua petugas SAR.
Sementara itu, Che Jemani Abdullah datuk kepada mangsa ketiga Nurul Hasya Humaira ditemui tidak dapat menahan sebak mengenangkan kejadian yang berlaku kepada cucu sulungnya itu.
Dia juga mengucapkan terima kasih kepada semua anggota penyelamat yang terlibat operasi mencari cucunya.
09 Oct 21
1554
Kaum India Terbela Di Bumi Terengganu
DUNGUN, 9 Oktober - Walaupun komuniti kaum India tidak ramai di Terengganu, tetapi kerajaan negeri tidak pernah meminggirkan mereka dan mereka juga menerima bantuan seperti rakyat yang lain.
Seorang pemuda India, Anbalangan Sathanathan, 26, yang tinggal di Tanah Lot berkata, beliau merasai kelainan pemerintahan yang ada sekarang berbanding sebelum ini.
"Saya tidak minat politik, tetapi saya sekarang saya banyak dapat bantuan, bantuan masa PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), PKPD (Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan) dan hari ini dapat bantuan hanya untuk orang India sahaja," katanya.
Anbalangan yang merupakan anak kelahiran Dungun dan keluarganya adalah satu-satunya kaum India di Bandar Dungun itu ditemui ketika menerima Kotak MITRA 2021 daripada Pegawai Khas Parlimen Dungun, Cikgu Mohd Amin Hamid di Pejabat Pas Kawasan Dungun di sini.
Kotak MITRA adalah sumbangan berupa bakul makanan yang disumbangkan oleh Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) yang diterajui oleh Kementerian Perpaduan Negara (KPN).
Dalam majlis ringkas itu, turut hadir, Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Pas Dungun, Serena Lim Abdullah.
Menurut Serena, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Terengganu dan KPN untuk menjaga kesejahteraan hubungan antara kaum bagi mencapai Keluarga Malaysia.
"Tidak kira agama, bangsa dan apa fahaman politik asal rakyat Malaysia akan dijaga kebajikan mereka," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP) Negeri Terengganu, Dr. Balachandran G. Krishnan memberitahu, DHPP adalah sayap Pas yang menjaga kebajikan non-Muslim.
"Sekali gus membuktikan Pas prihatin kepada semua kaum tanpa mengira agama dan fahaman politik.
"DHPP akan membantu menangkan Pas dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU 15)," katanya ketika Program Agihan Bakul Makanan untuk golongan miskin non-muslim.
Seramai 40 orang di Wakaf Tapai dan Pengkalan Berangan, Marang menerima bantuan tersebut yang turut dihadiri Ketua Dewan Muslimat Pas Marang, To' Puan Hajah Zarani Othman baru-baru ini.
08 Oct 21
1556
Stadium Mini Di Setiu Akan Dinaik Taraf
KUALA LUMPUR, 9 Oktober – Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Datuk Seri Ti Lian Ker dalam ucapan penggulunganya dalam sidang Parlimen baru-baru ini menyatakan Kementerian Belia dan Sukan akan menambah kemudahan sukan kepada rakyat termasuk di Setiu.
“Oleh yang demikian, kementerian ini sedia mempertimbangkan cadangan untuk menaiktaraf Stadium Mini Sg Tarom dan membina baharu Stadium Mini Sg Bari di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12)," katanya.
Selain itu juga, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan juga ada menjawab pertanyaan yang diajukan oleh Ahli Parlimen Setiu berkaitan melanjutkan tempoh diskaun eletrik yang pada asalnya tamat pada september dan dilajutkan hingga ke disember tahun ini.
“Kerajaan semasa dilanda pandemik covid-19, sejak pada awal tahun 2020 lagi, kerajaan telah bagi diskaun bil eletrik dengan melibatkan perbelanjaan sebanyak RM 2.75 bilion. Peruntukkan ini dibiayai oleh Kerajaan melalui Kementerian kewangan," jelasnya.
Seterusnya kata beliau lagi, untuk tahun 2021 kerajaan telah meneruskan iniasitif untuk membantu pegguna elektrik domestik dan Perusahaan Mikro Kecil dan sederhana dan melibatkan belanja sebanyak RM 2.274 bilion.
“Bagi menjawab cadangan yang telah diajukan,”bagi pihak kerajaan, pertimbangan akan diambil untuk melanjutkan diskaun ini akan tertakluk kepada keadaan kewangan negara.
“Mengenai bekalan eletrik ke Pulau Redang dan Perhentian pula, bekalan di pulau-pulau di perairan Terengganu disediakan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB), melalui stesen jana eletrik diesel. Sebanyak 2000kwatt di Pulau Redang dan 1400kwatt di Pulau Perhentian," ujarnya.
Tegas beliau, kerajaan sedang mengadakan perbincangan dengan TNB dan Suruhanjaya Tenaga bagi memenuhi peningkatan pemintaan ini.
07 Oct 21
286
Terengganu Luluskan Jumlah Lesen Nelayan Terbesar
KUALA NERUS, 7 Oktober – Kelulusan lesen sampan khas 2021 sebanyak 600 lesen yang juga merupakan jumlah terbesar dalam sejarah, menunjukkan komitmen kerajaan negeri dalam memperjuangkan golongan nelayan dalam negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata isu lesen nelayan sampan sebelum ini dikatakan lapuk dan tidak diselesaikan sejak berpuluh tahun lalu.
“Kebanyakkan warga ini telah lama turun ke laut mencari rezeki sepenuh masa, namun tidak mempunyai lesen sampan.
“Ini menyebabkan mereka dinafikan beberapa hak seperti minyak subsidim elaun sara diri nelayan, bantuan bencana dan sebagainya, ini yang kita perjuangkan di peringkat kementerian bersama jawatankuasa khas dianggotai pelbagai jabatan dan persatuan nelayan.
“Hasilnya, kita buat pemutihan sebanyak 800 orang nelayan sampan yang belum mendapat lesen untuk dibawa ke ibu pejabat Jabatan Perikanan di Putrajaya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Program Labuh Tukun Tiruan, di perairan Tok Jembal Kuala Nerus, pagi tadi.
Turut hadir, Pengarah Perikanan Terengganu, Ruzaidi Mamat, Pengarah Pertanian Negeri Terengganu Zulkepli Amin Mat Jusoh @ Yusof dan Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, Mohd Fadhil Wahab.
Jelasnya, daripada jumlah tersebut, 600 lesen diluluskan dengan 503 telah diagihkan ke Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman.
“Baki 200 lagi yang belum diluluskan akan diteliti dalam beberapa aspek teknikal sebelum diselesaikan,” tambahnya.
07 Oct 21
406
Susulan Dibenar Rentas Negeri Orang Ramai Dinasihat Berjaga-jaga
PUTRAJAYA, 7 Oktober - Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia menasihatkan orang ramai agar mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengamalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) sekiranya berhasrat merentas negeri apabila ia dibenarkan dalam tempoh beberapa hari lagi.
"Penting untuk semua orang melaksanakan langkah-langkah berjaga-jaga ini seperti memakai pelitup muka, membasuh tangan dan menjaga penjarakan fizikal walaupun yang sudah lengkap divaksin.
"Ia bagi menjaga keselamatan individu tersayang dan ahli keluarga, tolong lakukan ujian kendiri RTK-Ag menggunakan air liur secara berkala," ujar Tan Sri Dato' Nor Hisham Abdullah melalui Twitternya,hari ini.
Untuk rekod sehingga semalam portal COVIDNOW menunjukkan kadar populasi dewasa lengkap divaksinasi telah mencapai 88.8 peratus, bertepatan dengan keputusan dibuat kerajaan sebagaimana diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob rentas negeri akan dibenarkan apabila mencecah 90 peratus.
07 Oct 21
1898
Lakukan Kit Ujian Kendiri Sebelum Balik Kampung - KJ
PUTRAJAYA, 6 Oktober - Rakyat Malaysia yang berhasrat pulang ke kampung atau melakukan ziarah bertemu keluarga apabila rentas negeri dibenarkan disaran untuk melakukan kit ujian sendiri.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, endemik nanti akan menjadi cabaran buat kerajaan kerana sekatan jalan raya dan langkah memastikan setiap individu divaksinasi tidak lagi dijalankan.
"Kini tanggungjawab dan tingkah laku bergantung kepada individu itu sendiri. Saya percaya kita dapat menghadapi cabaran ini dalam #ReopeningSafely.
"Sekiranya ingin pulang ke kampung dan bertemu dengan golongan berusia, lakukan kit ujian kendiri Covid-19 (RTK) air liur, ini kerana keselamatan mereka perlu dijaga," ujarnya melalui ciapan di Twitternya hari ini.
Khairy berkata, hanya tinggal 1.6 peratus sahaja lagi mereka yang masih belum divaksin untuk mencapai 90 peratus kadar vaksinasi.
"Kini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah beralih ke ujian simptomatik. Kami meminta orang yang berada dalam persekitaran dan bertemu dengan orang ramai atau mobiliti tinggi untuk melakukan ujian secara berkala," katanya.
Terdahulu laman web COVIDNOW merekodkan sebanyak 20,698,852 atau 88.4 peratus populasi dewasa di Malaysia sudah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin manakala 94.5 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah memutuskan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik kelonggaran rentas negeri akan dibenarkan apabila telah mencapai 90 peratus kadar vaksinasi dewasa.
06 Oct 21
865
Kesesakan Penjara Diatasi Elak Penularan Jangkitan Covid-19
Oleh : Afiq Fahmi
DUNGUN, 6 Oktober- Kerajaan Malaysia sedang memperincikan beberapa tindakan berkaitan bagi mengurangkan kesesakan dalam penjara sebagai langkah untuk mengurangkan penularan wabak Covid-19 di seluruh institusi tersebut.
Antara langkah diambil ialah memindahkan banduan dari penjara yang sudah padat penghuninya kepada yang tidak sesak
Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli berkata, pihaknya difahamkan Jabatan Penjara Malaysia dengan sokongan Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga telah mewujudkan penjara sementara.
"Sebanyak 13 bekas Kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) telah diubahsuai sebagai penjara satelit untuk penempatan banduan yang baharu untuk tujuan pengasingan sebelum dimasukkan ke penjara, selain turut mewujudkan Pusat Transit Penerimaan (PTP).
"Bagi menempatkan banduan sabitan dan reman kategori risiko keselamatan minimun dengan mengambil kira keperluan pengasingan berdasarkan tarikh-tarikh kemasukan," ujarnya.
Beliau berkata demikian melalui kenyataan medianya, setelah menerima jawapan daripada Timbalan Menteri I, KDN, Dato' Sri Dr. Ismail Mohamed Said, di Persidangan Dewan Rakyat, baru-baru ini.
Dimana Wan Hassan mengemukakan soalan apakah rancangan KDN dalam menyelesaikan masalah kesesakan penjara pada waktu ini berikutan penularan Covid-19 berlaku secara pantas di kalangan banduan.
Mengulas lanjut berkenaan tindakan mengasingkan banduan berkenaan ia selaras dengan hala tuju Jabatan Penjara Malaysia dimana dua pertigas banduan sabitan tertentu akan menjalani latihan di luar tembok institusi terbabit atau pemulihan dalam komuniti (PDK).
"Melalui pelaksanaan dan pemerkasaan seperti pelepasan secara perintah parol, kehadiran wajib, pelepasan awal 14 hari menjadi keistimewaan bagi banduan peringkat khas ini.
"Kita mengalu-alukan tindakan kementerian yang prihatin kepada nasib banduan dalam tempoh mereka menjalani hukuman. Kita berharap langkah-langkah yang dibuat ini akan mengekang penularan jangkitan berbahaya kepada para banduan dan kakitangan penjara sendiri," katanya.
Untuk rekod statistik Jabatan Penjara Malaysia sehingga 25 Ogos 2021 menunjukkan jumlah keseluruhan banduan di penjara adalah seramai 69,507 orang yang mana melebihi kapasiti sebenar 61,242 pada kadar 13.50 peratus bersamaan melebihi kapasiti sejumlah 8,265.
06 Oct 21
62
DUN Batu Buruk Turap 25 Jalan Kampung
KUALA TERENGGANU, 6 Oktober – Sebanyak 25 batang jalan kampung dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk telah diturap bagi fasa pertama tahun ini.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi, kerja-kerja penurapan jalan tersebut bagi memberikan keselesaan dan kemudahan buat penduduk setempat.
Keadaan Jalan Selepas Diturap
“InsyaAllah, sebanyak 23 lagi jalan kampung akan dinaik taraf pada fasa yang kedua yang akan bermula pada penghujung Oktober ini.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terutama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang telah menjadi mata dan telinga kami dalam menyalurkan aduan penduduk kampung berkenaan jalan ini,” katanya.
Tambah beliau lagi, bulan oktober ini juga pihak Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Batu Buruk akan memberikan fokus kepada persiapan bagi menghadapi musim tengkujuh.
Keadaan Jalan Sebelum Diturap
06 Oct 21
1069
Kerajaan Disaran Tambah Bantuan Berbentuk Geran Kepada Rakyat
KUALA LUMPUR, 5 Oktober – Kerajaan Persekutuan disaran menambah bantuan berbentuk geran kepada daripada kalangan miskin tegar.
Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir melalui ucapannya dalam sesi Perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) berkata, langkah itu perlu bagi membantu usahawan bumiputera B40.
“Saya mencadangkan agar lebih banyak bantuan dalam bentuk geran diberikan kepada mereka berbanding dalam bentuk pembiayaan ataupun pinjaman.
“Hal ini kerana sebahagian besar daripada mereka tidak mahu memohon pinjaman kerana dibimbangi tidak mampu membayar pinjaman yang ditawarkan," katanya hari ini.
Selain itu juga, beliau juga turut mencadangkan agar kerajaan menyediakan pelan perlindungan hari tua yang turut merangkumi golongan tidak bekerja seperti suri rumah mahupun mereka daripada kalangan pekerja tidak formal serta mereka yang kekurangan caruman akibat pandemik COVID-19.
“Saya juga ingin menekan kepada persediaan negara menghadapi negara tua 2050. Saya mencadangkan agar kerajaan turut menyediakan Skim Pencen Insuran Sosial sebagai satu jaminan asas kepada golongan miskin tegar untuk hari tua.
“Skim ini turut merangkumi individu seperti suri rumah, penganggur dan mereka yang bekerja secara tidak formal dan tidak standard," jelasnya.
05 Oct 21
247
7,082 Rakyat Terengganu Berjaya Dapat Kerja
KUALA TERENGGANU, 3 Oktober - Setakat Ogos 2021, seramai 7,082 rakyat Terengganu telah berjaya mendapat pekerjaan melalui penganjuran pelbagai temuduga termasuk karnival pekerjaan yang diadakan Terengganu Human Resources Development Center (THRDC).
Pengarah PERKESO Negeri Terengganu, Farihah Che Husin berkata, bersama PERKESO Terengganu, mereka telah berjaya menganjurkan sebanyak 55 temuduga termasuk Karnival Pekerjaan Negeri Terengganu di samping kerjasama Urusetia Pekerjaan Negeri Terengganu (UPNT) dan Majlis Pekerjaan Negeri Terengganu (MPNT).
"Di Terengganu, PERKESO bekerja rapat dengan kerajaan negeri, sentiasa bersama-sama agensi kerajaan dan swasta serta NGO (Badan Bukan Kerajaan Negeri) bagi membantu rakyat.
"Hasil daripada penganjuran temuduga ini, seramai 7,082 rakyat Terengganu telah berjaya mendapat pekerjaan sekali gus mengurangkan indeks pengangguran di Terengganu.
"Kerajaan negeri turut prihatin di mana hasilnya pada awal Julai tahun ini tertubuhnya UPNT dan MPNT yang ditubuhkan daripada cetusan idea THRDC, anak syarikat kerajaan negeri bersama PERKESO.
"UPNT mempunyai lebih 30 agensi daripada pihak majikan, pendana, pemain industri serta pusat latihan dan pembelajaran bagi menjalankan tanggungjawab membawa semula kerjaya kepada rakyat yang terkesan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Jubli Emas Peringkat PERKESO Negeri Terengganu di sini hari ini.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Ahli Parlimen Setiu, Shaharizulkarnain Abd Kadir. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu (THRDC), Aminuddin Omar dam Ketua-Ketua Jabatan Kerajaan Negeri Terengganu.
Menurut Farihah, selain menawarkan pekerjaan, UPNT dan MPNT juga berperanan menyalurkan bantuan-bantuan Kerajaan Pusat kepada rakyat Terengganu agar tiada yang ketinggalan dalam mendapat manfaat berkenaan.
Sementara itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) THRDC, Aminuddin Omar, sebuah berita gembira untuk rakyat Terengganu apabila sebuah syarikat di Shah Alam, Kilang Panasonic Appliances Air-Conditioning Malaysia Sdn.Bhd. menawarkan kerjasama kepada kerajaan negeri bagi mengisi kekosongan peluang pekerjaan yang memerlukan 800 pekerja dari Terengganu.
Sehingga kini, permohonan sedang giat berjalan dan pengambilan akan dibuat dalam masa terdekat.
03 Oct 21
2583