Artikel "Komuniti" Terkini
Kebersihan Tanggungjawab Bersama – ADUN Batu Buruk
KUALA TERENGGANU, 17 Oktober - Kebersihan merupakan tanggungjawab semua pihak baik di peringkat kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) mahupun individu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi bersama NGO Geng Plastik Ija pada Jumaat lalu telah mengadakan gotong-royong membersihkan kawasan Pantai Pandak, Chendering.
Program tersebut juga mendapat sambutan yang menggalakkan daripada komuniti setempat termasuklah para pengunjung yang hadir ke situ.
“Apa yang kita buat hari ini untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat betapa pentingnya kita menjaga kebersihan.
“Kita sering memberikan contoh negara Jepun yang begitu berdisiplin tentang kebersihan.
“Justeru, kita perlu mendidik masyarakat kita sehingga ke tahap itu dan ditambah lagi Islam juga sangat menekankan kepentingan menjaga kebersihan,” kata Ustaz Muhammad Khalil dalam ucapannya.
Tambah beliau lagi, Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Batu Buruk mengucapkan terima kasih kepada Geng Plastik Ija dan semua yang turut serta dalam program tersebut.
“Semoga kerjasama ini dapat diadakan lagi pada masa akan datang,” katanya lagi.
Program gotong-royong itu telah berjaya mengumpulkan sebanyak 706kg sampah dan melibatkan seramai 200 orang sukarelawan.
ADUN Batu Buruk menyerahkan sumbangan kepada NGO Geng Plastik Ija.
17 Oct 21
537
One Stop Centre Pusatkan Maklumat Belia Setiap Daerah
KUALA TERENGGANU, 14 Oktober - Belia Terengganu bakal mempunyai kemudahan mendapatkan maklumat secara pantas dan tepat melalui Pusat Sehenti Belia yang akan diwujudkan di setiap daerah.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pusat tersebut diyakini akan membantu mereka mendapatkan maklumat kerajaan negeri sewajarnya.
"Fokus utama menjadikan pusat ini sebagai pemudahcara kepada golongan belia khususnya. Bila ada sebarang keperluan, mereka boleh datang untuk mendapatkan panduan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sidang media selepas persidangan Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Peringkat Negeri Terengganu di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Md Noor, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu, Mohd Izwandy Ismail dan Presiden Majlis Belia Negeri Terengganu, Amirullah Othman.
Menurut Wan Sukairi, usul berkenaan mendapat respon positif daripada ahli-ahli persidangan sebagai langkah untuk dilaksanakan dengan kerjasama agensi dan jabatan.
Dalam pada itu, mengulas lanjut, jelasnya, beliau mengharapkan agar kesemua 10 usul yang dikemukakan dilaksanakan dengan sebaik mungkin.
"Harapan saya agar kesemua 10 usul ini perlu penambahbaikan agar lebih membumi. Keutamaan kepada portfolio belia supaya kita dapat membangunkan mereka dari sudut modal insan dan ekonomi," ujarnya.
Persidangan MPBN kali ini diadakan secara hibrid. Seramai 15 orang hadir secara fizikal manakala 126 orang ahli hadir secara virtual.
14 Oct 21
537
Pengundian Baki 9 Buah RMM Batu Hampar, Secara Atas Talian
HULU TERENGGANU, 14 Oktober – Proses Pengundian pemilikan baki kekosongan sembilan unit Rumah Mampu Milik (RMM) Hamparan Permai Batu Hampar Manir daripada 444 kediaman berjaya diselesaikan melalui pengundian atas talian semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Ustaz Hilmi Dato’ Harun berkata, sebanyak 1200 pemohon berdaftar e-perumahan SUK Terengganu bermula 2015 sehingga 2019 berjaya ditapis kelayakan dan telah berjaya tersenarai dalam proses pengundian.
“Isu pemilikan ini berlarutan sejak pembinaan perumahan tersebut bermula 2010 dan mula didiami fasa pertama pada tahun 2014 dengan timbul kekhilafan dari segi pembahagian sehingga berlaku penarikan hak milik.
“Terlalu ramai yang datang jumpa dengan saya nak mohon rumah, maka kami diperingkat DUN buat keputusan untuk buat pengundian, walaupun masih ramai yang marah, saya harap ianya dapat meredakan keadaan,"ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan Majlis Pengundian RMM Batu Hampar dibilik Seminar Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat PKM ADUN Manir Kubang lembek yang turut diadakan siaran langsung (Live) di Facebook Page rasmi YB Hilmi Dato’ Harun.
Turut hadir Penolong Setiausaha PSU Operasi dan Penguatkuasaan bahagian perumahan SUK Terengganu, Muhammad Hazimin Mat Yassin, Penolong Kanan Pegawai Daerah (Pembangunan Fizikal), Puan Syarifah Nabihah Syed Omar dan Penghulu Mukim Manir, Khairul Syahril Othman.
Tambah Hilmi lagi, sembilan nama pemohon yang telah dibuat cabutan akan diproses syarat-syarat kelayakan semula oleh SUK Perumahan dan sembilan lagi nama dicabut untuk calon pemilikan menunggu jika berlaku penolakan kelayakan 9 undian awal mengikut angka giliran.
Rumah RMM berkenaan dijual kepada yang layak dengan nilai RM68,000 setiap unit daripada harga kos sebenar RM130,000 yang mana tanggungan subsidi kerajaan kepada setiap unit bernilai RM62,000.
14 Oct 21
1130
GLC Terengganu Buka 'Food Bank' Di Stesen Minyak
KUALA TERENGGANU, 13 Oktober - Kerajaan negeri melalui Anak syarikatnya (GLC), Terengganu Intercroprated Sdn Bhd (Terengganu Inc) mewujudkan bank makanan di beberapa stesen minyak terpilih di sekitar Kuala Terengganu sebagai inisiatif meringankan beban rakyat pada waktu ini.
Ketua Komunikasi Strategik Terengganu Inc, Suridah Supian berkata, pihaknya memperuntukkan RM100,000 sehingga akhir tahun ini bagi menjayakan program itu yang telah beroperasi di beberapa tempat seperti Shell Wakaf Mempelam, Pulau Kambing dan Stesen Minyak Petron.
Katanya, bank makanan itu menyediakan segala keperluan asas seperti beras, kicap,mihun, sardin gula, tepung gandum dan sebagainya di lokasi tumpuan umum terbabit.
"Persetujuan telah dicapai antara pihak kami dan pemilik stesen minyak, mereka bersetuju untuk membenarkan kita meletakkan segala barangan di premis mereka, pekerjanya akan sentiasa memastikan barangan mencukupi.
"Kita target dalam seminggu atau dua minggu sekali kita akan tambah barangan ini bergantung pada keadaan, apabila sesuatu barangan habis akan dimaklumkan kepada syarikat untuk ditambah.
"Sasaran kita adalah khusus untuk membantu golongan susah terdiri daripada golongan asnaf, daif, mereka yang mengalami kesempitan hidup akibat terjejas pandemik Covid-19 dan sebagainya. Mereka yang betul-betul memerlukan boleh datang ke sini," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), pada perasmian 'Terengganu Inc Food Bank' di Shell Wakaf Mempelam semalam.
Program tersebut telah dirasmi serta dilancarkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Wan Sukairi Wan Abdullah.
Suridah turut memaklumkan sebuah sekolah akan turut terpilih bagi dijadikan bank simpanan makanan, dalam memastikan rakyat Kuala Terengganu dan sekitarnya mendapat manfaat menerusi usaha kebajikan diadakan tersebut.
Dalam pada itu Wan Sukairi yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam berkata kerjasama diantara syarikat dan pemilik stesen terbabit adalah efektif dalam memudahkan golongan tidak berkemampuan untuk mendapatkan segala keperluan harian mereka
"Jadi ini merupakan suatu usaha baik jadi kepada masyarakat atau rakyat yang berada di sini dan sekitarnya khusunya penduduk Kampung (Kg) Tok Jamal, Kg Wakaf Mempelam, Padang Midin, Pengadang Baru, Sungai Rengas, Kubang Tangga boleh datang ke sini untuk mendapatkan barangan keperluan harian.
"Boleh diambil mengikut apa yang mereka perlukan. Bekalan ini akan sentiasa mencukupi kerana akan sentiasa ditambah. Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak terbaik menerusi usaha murni ini dalam membantu meringankan kesusahan dialami rakyat dalam suasana penuh mencabar ini," ujarnya.
Dalam pada itu, Pengurus Stesen Minyak Shell Wakaf Mempelam, Wan Ahmad Farhan Dato' Wan Hazmi berkata, pihaknya sangat berbesar hati apabila premisnya itu dipilih untuk menempatkan 'Food Bank' berkenaan.
"Dengan menjadikan stesen minyak ini sebagai perantaraan, untuk menyampaikan sumbangan kebajikan yang disalurkan secara khusus kepada penduduk di sekitar Kuala Terengganu ini khususnya penduduk di Wakaf Mempelam pihak kami telah melantik kakitangan untuk menjaga barangan ini.
"Kami akan pastikan sampai betul-betul kepada mereka yang memerlukan, bagi menjamin tidak berlaku ketirisan, dan mengelak daripada pihak yang sengaja mengambil kesempatan, jadi setiap hari akan ada staf untuk 'monitor'.
"Terima kasih saya ucapkan kepada pihak Terengganu INC, ADUN setempat serta mana-mana pihak yang terlibat menjayakan program ini," ujarnya.
Sementara itu, ibu tunggal kepada lima anak, Rohaya Ismail, 44, berkata inisiatif yang diwujudkan itu mampu membantu golongan kurang berkemampuan dan mengalami keperitan hidup.
"Terutama yang terkesan dengan pandemik Covid-19, alhamdulillah syukur kepada Allah apabila datang ke sini saya dimaklumkan bahawa ada program ini telah dilancarkan, jadi saya mengambil kesempatan untuk mengambil barangan keperluan ini.
"Barangan ini menjadi keperluan untuk keluarga saya, jadi ia sangat membantu saya dan anak-anak yang alami kepayahan setelah diceraikan suami untuk meneruskan kelansungan hidup," ujarnya yang berasal dari Merbau Patah.
14 Oct 21
816
Derita 35 Tahun Menanti Bekalan Air Bersih Bakal Berakhir
HULU TERENGGANU, 14 OKTOBER - Kesukaran lima keluarga di Kampung Jerlan, Ajil dekat sini, bagi mendapatkan bekalan air bersih bakal berakhir tidak lama lagi selepas projek penyaluran kemudahan itu sedang giat dijalankan selepas permohonan diluluskan Kementerian Kemajuan Pembangunan Luar Bandar (KPLB).
Wakil penduduk, Che Nawang Abdullah, 62, berkata, selama bertahun-tahun mereka terpaksa mengangkut air dari sebuah perigi yang dibina untuk kegunaan harian.
"Kami hanya bergantung pada air perigi, selain air hujan untuk memasak yang terletak kira-kira 20 meter dari rumahnya untuk rutin harian. Mujur ada air perigi berdekatan rumah dan tidak kering walaupun kemarau panjang.
“Air itulah kami anak beranak guna setiap hari. Namun, pada waktu malam kami bimbang haiwan berbisa seperti ular berada di kawasan itu kerana ia terletak di pinggir tebing dan kawasan semak,” katanya selepas lawatan Ahli Dewan Undangan Negeri ( AJIL ), Maliaman Kassim ke rumahnya, hari ini.
Menurutnya, kemudahan itu memberikan manfaat cukup besar buat lima keluarga yang sudah lama mengimpikan bekalan air bersih.
"Selepas ini , tidak perlu lagi bersengkang mata atau 'bermandi' peluh mendapatkan bekalan air untuk kehidupan harian.
"Saya harap meter yang akan dipasang di kawasan rumah kami nanti dapat berfungsi dan dapat menyalurkan bekalan air bersih untuk kegunaan kami," katanya yang bekerja sendiri.
Seorang lagi penduduk, Mizi Mat Rashid, 44, berkata walaupun sudah biasa menggunakan air perigi untuk kegunaan harian, dia berharap masalah itu diselesaikan kerana mengambil kira kebersihan air digunakan mereka sekeluarga.
"Air perigi yang digunakan untuk memasak dan minum kadang-kadang dibimbangi tahap kebersihannya, selain kami juga turut menggunakan air hujan sekiranya bekalan air perigi habis," jelasnya.
Dalam pada itu,Ketua Teknikal SATU Hulu Terengganu Izul Badri Muhamad berkata, bekalan air yang disalurkan kepada penduduk di sini melibatkan kos kira kira RM250,000.
Menurutnya, kemudahan itu memberikan manfaat cukup besar buat seluruh penduduk kampung yang sudah lama mengimpikan bekalan air bersih.
13 Oct 21
396
Ketam Nipah Makin Kurang
MARANG, 11 Oktober - Saban tahun ketam nipah semakin berkurangan namun permintaan terhadap hidupan sungai itu bertambah.
Keadaan itu mendatangkan kerisauan beberapa nelayan darat di daerah ini berikutan sumber pendapatan mereka semakin sukar dicari.
Nelayan darat, Muhammad Tajuddin Othman, 29, berkata, sejak lima hingga enam tahun lepas ketam nipah semakin payah dicari sedangkan permintaan semakin hari bertambah 20 kilogram (kg) sehingga 30 kg sehari.
"Sekali keluar menggunakan umpan bento ketam yang memerlukan modal RM 40 sehari untuk minyak, umpan, serta lain-lain, manakala jika keluar berdua terpaksa pula bahagikan hasil rezeki tersebut, "katanya menjadikan pencarian sumber sungai itu sebagai pendapatan utama
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung, Mohd Khairul Nizam Roslam berkata, pihaknya telah merujuk pihak Pejabat ADUN Rhu Rendang dan pihak Pejabat Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim.
"Antara inisiatif awal yang dicadangkan adalah mengusahakan pemberian 50 biji bento ketam kepada pihak nelayan dan salah satu kaedah lagi untuk meningkatkan pengeluaran hasil ketam nipah ini adalah melalui pembenihan ketam nipah di kawasan sungai yang sesuai di sini,"katanya
Menurutnya lagi, jika dibandingkan 10 tahun dahulu, tangkapan ketam nipah mencapai 10 hingga 15 kg sehari, kini ianya terjejas teruk sehinggakan dalam masa seminggu ada yang hanya dapat dua sehingga tiga kg seorang.
"Ini agak merugikan bagi nelayan darat dalam faktor hasil itu dicari dengan banyak, tetapi tidak dapat menawarkan hasil mengikut permintaan tersebut, tambahnya lagi.
13 Oct 21
602
23 Kanopi Manfaat Buat Rakyat Bukit Besi
Oleh : Amiruddin Zamri
DUNGUN, 13 Oktober - Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi mengambil inisiatif menyerahkan 23 kanopi kepada setiap Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dalam memudahkan urusan rakyat di setiap kampung terbabit.
Pegawai Penyelaras DUN berkenaan, Ghazali Sulaiman berkata, ia sekali gus dapat meningkatkan peranan serta perkhidmatan JPKK dalam memberikan kebaikan dan manfaat untuk rakyatnya.
"Jadi apa jua sebarang majlis yang hendak dilakukan, samada majlis kahwin, aktiviti kemasyarakatan dan sebagainya kanopi ini dapat digunakan.
"Kaedah yang kita guna pakai adalah, dengan JPKK meminjamkan kepada mana-mana anggota komuniti yang berhajat untuk mengunakannya, adalah menjadi harapan kita agar ia dijaga dengan baik untuk memastikan ia dapat digunakan secara terus menerus," ujarnya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), sebaik menyerahkan kanopi berkenaan kepada 23 JPKK di DUN Bukit Besi, semalam.
Katanya, Kanopi berkenaan telah ditempah secara khusus dari Jerantut,Pahang melalui syarikat pembekal dimiliki Shahrolrizam Ismail atau lebih dikenali sebagai 'Along Encik Kanopi'.
13 Oct 21
194
DUAT Sebar Agenda Dakwah
Oleh : Azizah Mahmood
KUALA TERENGGANU, 12 Oktober - Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) menyebar luas agenda dakwah kepada rakyat untuk menjadikan negeri Terengganu sebuah negeri yang patuh syariah.
Pengarahnya, Ramlan Mahmood berkata, DUAT bertanggungjawab memperkasakan agenda dakwah kerajaan negeri di bawah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Penerangan dan Dakwah, Mohd Nor Hamzah supaya sampai ke akar umbi.
"DUAT turun ke setiap parlimen adalah bertujuan melihat sejauh mana landskap dakwah di setiap DUN (Dewan Undangan Negeri)," ujarnya.
Ramlah berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam di sini.
Lawatan turut dihadiri semua kakitangan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) dan kakitangan Pusat Khidmat Masyarakat DUN tersebut.
Sehubungan itu, Penyelia i-MiTS DUN, Radzali A. Ghani berkata, kunjungan dan lawatan pimpinan DUAT negeri ke DUN adalah satu langkah menjalin hubungan yang lebih baik dalam menjadikan misi dan visi DUAT tercapai.
"Di samping merealisasikan hasrat kerajaan negeri yang mahu menjadikan negeri Terengganu sebuah negeri yang patuh syariah," ujarnya yang juga Pengarah PKM DUN.
12 Oct 21
110
Nelayan Seberang Takir Terima Manfaat Tukun
KUALA NERUS, 11 Oktober – Golongan nelayan seperti di Seberang Takir menyambut baik usaha kerajaan negeri dalam memperkayakan sumber lautan melalui pelabuhan tukun dan unjam.
Menemubual seorang nelayan berlesen daripada 100 lebih di sini, Abdullah Abdul Ghani, 64, yang mendapati dengan adanya tukun-tukun tersebut, ia akan menambahkan pendapatan pada jangka masa panjang
“Ini memandangkan ikan-ikan akan membuat berkampung di binaan tersebut sebagai sarang.
“Diharapkan para nelayan lain elakkan penggunaan pukat-pukat tunda kerana boleh menyebabkan kerosakkan kepada tukun-tukun ini.
“Ada juga nelayan yang tidak bertanggungjawab memotong pelampung kerana mahu memonopoli dan menjual pelampung itu untuk kepentingan sendiri tapi sekarang ramai nelayan alat navigasi yang mengesan kedudukannya,” tambahnya yang berpengalaman sebagai penggiat laut selama 18 tahun
Baru-baru ini, sejumlah sembilan tukun tiruan rekreasi telah dilepaskan dalam sebuah program sempena Tahun Pertanian Negeri Terengganu 2021, yang dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim.
Menurutnya, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM1,069,000.00 untuk membina dan melabuh 45 unit Tukun Tiruan Juvenil Penghalang Pukat Tunda (Rekreasi) di lima (5) daerah di Terengganu, empat kali ganda daripada peruntukan pusat.
“Manakala pada tahun ini juga, kerajaan persekutuan membelanjakan sebanyak RM325,000.00 bagi membina dan melabuh 12 unit tukun konservasi di Pulau Kapas, Marang. Jumlah kos keseluruhan adalah RM1,394,000.00.
“Purata berat tukun ini adalah 17 tan matrik dengan menggunakan simen Gred 35. Tukun ini bersaiz 2.5' tinggi dan lebar 3.0"
“Dianggarkan lebih 2000 orang nelayan di Besut, Setiu, Kuala Nerus, Marang dan Kemaman akan menerima manfaat jangka panjang dengan adanya tukun ini yang menjadi habitat baru kepada ikan-ikan dan haiwan marin lain,” katanya dalam satu kenyataan.
11 Oct 21
598
Peratus Penggunaan Katil Hospital Di Terengganu Tertinggi
KUALA LUMPUR, 11 Oktober - Kadar penggunaan katil di hospital seluruh negara direkodkan sebanyak 67.7 peratus semalam, dengan penggunaan katil tertinggi adalah di Terengganu iaitu 83.4 peratus.
Berdasarkan laman web COVIDNOW, jumlah itu meliputi penggunaan katil untuk kes bukan COVID-19, bagi memberi gambaran yang tepat mengenai sistem kesihatan awam secara menyeluruh.
Selain itu, penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) direkodkan sebanyak 61.6 peratus, manakala bagi alat bantuan pernafasan (ICU) adalah 42.5 peratus.
Kadar kapasiti di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) pula berada pada tahap 51.3 peratus.
Sebanyak 64 kes kematian akibat COVID-19 dilaporkan semalam, dengan 14 kes adalah kematian di luar hospital (BID), menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat virus itu setakat ini adalah 27,329 kes.
Selain itu, sebanyak 116,596 kes aktif COVID-19 turut dilaporkan semalam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, semalam memaklumkan, data terkini Kementerian Kesihatan (KKM) menunjukkan vaksinasi berjaya menurunkan kadar kemasukan pesakit COVID-19 ke ICU sebanyak 83 peratus dan kadar kematian akibat jangkitan COVID-19 sebanyak 88 peratus.
Katanya, vaksin mengurangkan risiko jangkitan, mencegah daripada mendapat jangkitan yang lebih teruk, mengurangkan risiko kematian akibat COVID-19 dan mengurangkan beban sistem kesihatan.
-- BERITA HARIAN
11 Oct 21
1259