lightning-solid
Berita :

Artikel "Ekonomi" Terkini

Beras Pun Naturalisasi?
Beras Pun Naturalisasi?
KUALA TERENGGANU, 6 November- 'Kehilangan' beras tempatan terus menjadi isu di kalangan rakyat marhaen sehingga mendapat reaksi Pengerusi Jawatankuasa. Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa Terengganu, Dr. Azman Ibrahim. Dalam kenyataan di laman Facebooknya pagi ini, beliau menegaskan isu beras tempatan bertukar kepada beras import setelah masuk ke kilang padi sering kali diutarakan, tetapi tiada tindakan yang lebih baik dilaksanakan. "Banyak kali saya bentangkan isu ini kepada Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras Negara. Antara jawapan yang saya perolehi ialah, kami bekerja ikut peraturan. Apabila kami pergi 'check'  (siasat), didapati ada guni beras import di kilang pembungkusan sebagai bukti. Rupa luaran beras import dan beras tempatan adalah hampir sama. Susah nak dibezakan! Kami tak boleh nak ambil tindakan. "Saya cuba buka minda mereka, apakah mungkin guni beras import itu hanya diletakkan sebagai sample untuk mengelirukan anggota penguatkuasa? Sedangkan yang dibungkus sebagai beras Super Import sebenarnya adalah beras tempatan. Mereka tidak pula berani menafikannya kebenaran fakta ini," katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan. Tambahnya, apa yang lebih penting ialah fokus kepada isu pokok yang menjadi punca masalah berkenaan. "Peningkatan kos pengeluaran padi dan kos pembelian padi di kilang sekarang ini sekitar RM1500/tan, beras tempatan dijual kepada pemborong dengan harga RM2650 bagi beg saiz jumbo 1 tan. Maknanya harga kilang sudah RM2.65/kg. Mana mungkin pihak pemborong dan pembungkus boleh jual dengan harga runcit kawalan beras tempatan RM2.60/kg? "Kerana itulah kita perlu berpijak di bumi nyata dan selesaikan masalah dari punca," katanya. Dr Azman menjelaskan, dengan peningkatan kos pengeluaran ekoran dari peningkatan harga diesel, harga lantai belian padi RM1300/tan sudah tak relevan lagi. Ia mesti dinaikkan pada paras antara RM1500-RM1800/tan. Menurut beliau, kenaikan harga belian padi akan membawa kepada kenaikan harga beras. Namun, pengguna masih boleh bertoleransi jika ada sedikit kenaikan harga beras tempatan pada kadar yang munasabah. "Contohnya, antara RM2.80-RM3/kg. Ia sebenarnya lebih murah dari harga beras tempatan yang dijenamakan sebagai beras import sekarang iaitu antara RM3.50-RM3.80/kg. Beras sama saja!," ujarnya.
06 Nov 24
106
Rakyat Resah Gelisah Kos Sara Hidup Kian Meningkat
Rakyat Resah Gelisah Kos Sara Hidup Kian Meningkat
KUALA TERENGGANU, 5 November - Rata-rata rakyat di negeri ini meluahkan rasa terbeban dengan kos sara hidup yang kian menghimpit ekoran kenaikan harga barangan dan perkhidmatan. Seorang rakyat, Zulfakri Amin Manaf berkata dengan keadaan yang berlaku ini, dia berharap agar kerajaan negeri mencari jalan dan menyediakan inisiatif terbaik bagi memastikan bebanan dapat dikurangkan. Katanya, kerajaan boleh memikirkan alternatif bagi menaikkan ekonomi melalui pelancongan Terengganu. "Jadi saya mengharapkan belanjawan pada kali ini akan ada pengumuman untuk menaik taraf sektor pelancongan. "Saya tengok untuk tahun 2024 ini, Alhamdulillah sebab kita menerima pelancong yang ramai jadi ambil kesempatan dengan apa jua cara bagi memastikan ia akan menjana peluang pendapatan untuk orang Terengganu. "Dari segi binaan bangunan-bangunan atau pasar raya saya rasa tidak perlu kerana orang datang ke Terengganu mereka hendak 'healing' lari daripada kesibukan," ujarnya yang juga merupakan peniaga di Pasar Chabang Tiga di sini. Sementara itu, Abdullah Ibrahim pula menyuarakan kembimbangan tentang hala tuju Kerajaan Malaysia hari ini apabila dilihat tidak dapat menyelesaikan kos sara hidup yang semakin menghimpit rakyat malah ditambah dengan kenaikan harga barangan. "Walaupun saya peniaga tetapi saya dapat rasakan yang rakyat sangat tertekan dengan kenaikan harga barang, misalnya saya sendiri yang berniaga santan dahulunya santan hanya dijual dengan harga RM10 sekilogram sekarang terpaksa dijual RM14 bagi sekilogram. "Bayangkan harga kelapa yang dibeli dari pembekal dahulunya RM2.00 sekarang mencecah RM2. 70 sebiji, keadaan ini sudah tentu membebankan para pembeli," ujarnya. Tambahnya, seandainya royalti dapat dikembalikan sudah tentu banyak agenda boleh dirancang dan direncanakan kerajaan negeri bagi memastikan inisiatif yang diberikan berupaya mengurangkan bebanan dihadapi. Sementara itu, Timbalan Pengerusi Persatuan Peniaga-Peniaga Melayu Pasar Chabang Tiga, Marzuki Omar berkata kuasa membeli rakyat yang semakin terbatas kerana himpitan ekonomi dapat dilihat apabila pembeli di pasar itu tidak sebagaimana sebelum ini. Dalam pada itu seorang anak muda, Mohd Arif Raidi pula mengharapkan agar belanjawan yang akan dibentangkan nanti akan memberi tumpuan dan fokus kepada pembangunan belia dengan memperbanyakkan program serta apa jua aktiviti yang bemanfaat untuk mereka. "Insya-Allah dengan perhatian dan fokus yang diberikan akan menjadi pendorong untuk kami menjadi modal insna yang baik untuk negeri Terengganu selayaknya sebagai aset yang berperanan menyumbang kemajuan kepada negeri ini secara khusus dan Malaysia secara amnya," katanya.  
05 Nov 24
358
‘Lepas Cukai, Cukai’ - Abdul Hadi Kritik Kerajaan Bebankan Rakyat
‘Lepas Cukai, Cukai’ - Abdul Hadi Kritik Kerajaan Bebankan Rakyat
KUALA LUMPUR, 5 November - Tindakan Kerajaan Persekutuan memperkenalkan beberapa cukai baharu dan menaikkan kadar cukai semasa dalam Belanjawan Madani 2025 mengundang kritikan pedas Ahli Parlimen Marang yang menganggap ia sangat membebankan rakyat. Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan, peruntukan besar tidak memberi apa-apa erti sekiranya para pemerintah gagal menunaikan tanggungjawab dengan betul.  "(Berdasarkan kewangan) Islam, (pemerintah) tidak menambah bebanan rakyat dengan pelbagai jenis cukai, sebaliknya menggalakkan pelaburan dari negara luar dan pengurusan sumber secara adil, contohnya, hasil zakat digunakan untuk membangun masyarakat tanpa perlu membebankan rakyat dengan cukai tambahan. “Dalam Islam ada cukai, bukan tak ada tetapi tidak banyak seperti diamalkan ketika ini yang diajar oleh negara kapitalis, dengan kekayaan hanya berpusing dalam golongan tertentu sahaja. “Dalam Islam ada cukai Jizyah, cukai keselamatan orang bukan Islam, Kharaj, cukai tanah pertanian milik negara yang diusahakan oleh orang bukan Islam dan ‘Ushur, cukai import dan eksport barang dagangan, ini cukai yang dikenakan dalam Islam dengan kedatangan pelabur (musafir khanah) ke negara Islam,” jelas beliau. Presiden PAS itu berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan Madani 2025 di Dewan Rakyat hari ini.  Dalam perkembangan lain, Abdul Hadi turut menyuarakan rasa bimbang tentang sekatan suara terhadap rakyat Malaysia yang mengkritik kerajaan. “Bagi menjamin keadilan berlaku dalam negara, mestilah kebebasan kelompok yang memberi nasihat kepada kerajaan, tetapi sekarang kita ada 3R. 3R tak boleh sentuh, pemimpin kalau salah tak boleh sentuh, agama kalau silap tak boleh sentuh. “Sedangkan Allah berfirman, manusia mesti saling menasihati dalam kebenaran dan kesabaran. Kita kena sedar kerajaan manusia ini tidak suci, ada silap dan kelemahan, jadi kerajaan mesti ditegur dengan nasihat-nasihat itu. “Tetapi apa yang berlaku sekarang kelemahan-kelemahan tidak boleh ditegur, kalau tegur akan dikenakan macam-macam tindakan termasuk disiasat pihak polis,” jelasnya. Justeru, Abdul Hadi berharap agar pihak Kerajaan Persekutuan tidak menutup pintu nasihat sebagaimana diamalkan pemimpin Islam terdahulu. “Ketua-ketua negara Islam, Saidina Abu Bakar dalam ucapan ketika dilantik menjadi Ketua Negara berkata ‘kalau saya betul, tolong saya, kalau saya salah, tegur saya, taatlah saya kalau saya betul, kalau saya salah, jangan taat saya’. “Saidina Umar mengatakan, ‘kalau saya betul, tolong saya, kalau saya salah, tegur saya’. Pernah dalam satu peristiwa  Saidina Umar, menyampaikan ucapan sebagai Ketua Negara, selepas dia berucap ada wanita tegur dia, ‘wahai Amirul Mukminin, ucapan ini salah tak betul, lalu Saidina Umar menarik balik ucapannya, ini cara terbuka yang diajar oleh Islam,” tambah beliau.
05 Nov 24
1610
Sistem Rawatan Kumbahan Bakal Atasi Masalah Longkang Busuk
Sistem Rawatan Kumbahan Bakal Atasi Masalah Longkang Busuk
KUALA TERENGGANU, 4 November - Sistem rawatan kumbahan yang akan diperkenalkan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dijangka mampu menyelesaikan masalah longkang busuk di semua restoran dan kedai makan. Datuk Bandar, Dato' Rosli Latif, memaklumkan sebagai projek permulaan, semua restoran dan kedai makan di Jalan Sultan Zainal Abidin yang menjadi tumpuan orang ramai termasuk pelancong dari dalam dan luar negara diminta menaik taraf sistem rawatan kumbahan. "Sistem itu akan diperkenalkan bagi mengelak pelbagai sisa makanan dan kumbahan mengalir ke dalam longkang dan parit sehingga mengeluarkan bau busuk. "Sistem rawatan kumbahan di semua restoran dan kedai makan itu juga akan diperluaskan di seluruh kawasan pentadbiran MBKT," katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), semalam. Mengulas lanjut, Rosli berkata, projek berkenaan merupakan antara proses naik taraf di bawah peruntukan RM100 juta bagi membina gerai dan membaik pulih prasarana pasar awam di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara, yang diumumkan Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober lalu. Tambahnya, tindakan undang-undang akan dikenakan ke atas pengusaha restoran dan kedai makan terutama di tepi jalan yang enggan menggunakan kaedah sistem rawatan kumbahan. "Setakat ini MBKT sudah melakukan kerja menaik taraf infrastruktur restoran dan kedai makan di tepi jalan termasuk di Batu Burok dan di Teluk Ketapang. "MBKT juga sedang melakukan kerja menaik taraf serta memindahkan gerai makan di Kampung Tanjung ke muara utara," katanya. Rosli turut menasihati pengusaha restoran dan kedai makan agar lebih berdisiplin terutama menjaga kebersihan premis masing-masing termasuk tidak menaikkan harga jualan makanan serta minuman.  
04 Nov 24
163
Sertai Brics Luaskan Peluang Ekonomi Buat Malaysia - Dr Sam
Sertai Brics Luaskan Peluang Ekonomi Buat Malaysia - Dr Sam
KUALA LUMPUR, 29 Oktober - Langkah Malaysia menyertai BRICS yang kini diketuai oleh Rusia dijangka dapat memperluaskan peluang ekonomi dan memainkan peranan lebih aktif di arena antarabangsa. Ahli Parlimen Kemaman, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, menyatakan sokongan penuh terhadap kedudukan Malaysia sebagai rakan strategik dalam blok ekonomi BRICS. “Usaha pembangunan negara tidak boleh hanya bergantung pada inisiatif domestik semata-mata, jika kita terus bersikap pasif di peringkat antarabangsa, kemajuan negara mungkin terencat.  “Justeru, dengan keterlibatan Malaysia dalam BRICS, kita bukan sahaja mempunyai akses kepada pelbagai peluang ekonomi, malah dapat berperanan dalam membentuk naratif geopolitik global,” ujarnya. Menteri Besar Terengganu itu turut menekankan bahawa kerjasama dalam BRICS membuka pintu yang luas bagi Malaysia, terutama dalam aspek perdagangan, pelaburan dan perkongsian sumber.  “Sebagai sebuah negara kecil, peluang untuk bekerjasama dalam rangkaian yang luas ini memberi kita ruang untuk menentukan hala tuju sendiri dalam landskap ekonomi global yang kini sangat dinamik.  “Ini adalah langkah untuk mengukuhkan kestabilan ekonomi kita sambil membina hubungan lebih erat dengan negara-negara rakan di BRICS,” jelas beliau. BRICS, sebuah blok ekonomi yang dianggotai oleh Brazil, Rusia, India, China, dan Afrika Selatan, mempunyai pengaruh besar dalam pelbagai sektor ekonomi global, dengan kemasukan Malaysia sebagai rakan strategik, peluang ekonomi yang lebih luas dijangka bakal dinikmati, khususnya melalui perdagangan dan pelaburan.  BRICS juga menawarkan akses kepada sumber yang lebih murah dan perjanjian perdagangan yang lebih fleksibel, sesuatu yang amat bernilai bagi negara sedang membangun seperti Malaysia. Dalam ucapan beliau, Ahmad Samsuri turut menyatakan bahawa menjadi tanggungjawab Malaysia untuk mengoptimalkan peluang ini demi kepentingan rakyat.  “Yang penting adalah, kita mesti memenuhi keinginan dan aspirasi kita sebagai sebuah negara berdaulat, sambil memanfaatkan peluang ini dengan bijak,” tambah beliau.
29 Oct 24
155
Persekutuan Disaran Bantu Negeri Perluas Sektor Halal
Persekutuan Disaran Bantu Negeri Perluas Sektor Halal
KUALA TERENGGANU, 24 Oktober- Kerajaan Persekutuan disaran agar lebih proaktif membantu kerajaan negeri dalam melonjakkan sektor halal berikutan kepesatan industri itu kini dianggarkan bernilai sehingga USD  dua trilion di peringkat antarabangsa.  Ahli Parlimen Kemaman, Dato' Dr. Ir. Ahmad Samsuri Mokhtar memaklumkan, saranan itu sejajar dengan peningkatan memberangsangkan bilangan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) di Terengganu yang melonjak sebanyak 300 peratus berbanding seramai 74 orang pada tahun 2018. "Jumlah ini merangkumi pelbagai sektor seperti premis makanan, barang kegunaan, produk makanan dan sebagainya. Bilangan ini juga dijangka akan terus meningkat dari tahun ke tahun. "Sejajar peningkatan ini, saya mengharapkan pihak kementerian dapat membantu kerajaan negeri melonjakkan lagi sektor halal di negeri ini melalui pembinaan Halal Hub dalam menyokong ekosistem sedia ada," katanya. Beliau berkata demikian ketika meminta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk menyatakan usaha dan kerjasama yang dibuat kerajaan untuk memperluas industri dalam kelangan negara ASEAN di sidang Parlimen, semalam. Dalam perkara berkenaan, Tengku Zafrul menyatakan bahawa pemain industri hala negara diperkenalkan kepada rakan-rakan perdagangan luar negara melalui penganjuran expo perdagangan seperti Malaysia International Halal Showcase (MIHAS).  "Beberapa usaha melibatkan kerjasama antara negara ASEAN sedang dilaksanakan bagi tujuan mempromosi produk dan perkhidmatan berkaitan halal seperti ASEAN Working Group on Halal Food (AWGHF), Working Group on Halal Products and Services (WGHAPAS) dan Pertemuan Tidak Rasmi Menteri-menteri Agama Negara antara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura (MABIMS)," ujarnya. "
24 Oct 24
123
SUKSEM: Cenderamata Dari Terengganu Jadi Sisipan Kenangan
SUKSEM: Cenderamata Dari Terengganu Jadi Sisipan Kenangan
KUALA TERENGGANU, 19 Oktober- Cenderamata bertemakan Temasya Sukan SUK Se-Malaysia kali ke-9 (SUKSEM IX) mendapat sambutan hangat dari kalangan peserta dan pengunjung yang hadir. Memasuki hari terakhir, cenderamata ini masih boleh didapatkan di Ar-Riyadah Residence selain akan turut dibuka pada majlis penutup malam ini. Pengerusi Jawatankuasa Jualan,  Keusahawanan dan Tugas-tugas Khas, Maldiana Abd Patah pada temasya sukan kali ini menyifatkan, cenderamata yang dibuat mendapat respon positif para atlet dari kontinjen yang bertanding. "Saya dimaklumkan, beberapa penganjuran terakhir sebelum ini tiada jualan cenderamata khusus bagi temasya, mungkin ada suatu waktu dahulu tetapi ramai memaklumkan tiada. Jadi, ketika saya diberi tugas ini saya putuskan untuk buat beberapa produk bertemakan SUKSEM IX dan hasilnya ada lebih 10 produk yang dijual. "Sewaktu majlis perasmian, ramai pengunjung yang tengok dahulu. Tetapi, selepas itu ramai yang datang membeli, tambahan pula kita juga edarkan risalah jualan membolehkan ramai yang buat tempahan. Paling saya gembira apabila pasukan badminton Pahang memakai baju SUKSEM IX untuk bermain di perlawanan akhir baru-baru ini. "Saya juga berterima kasih kepada ahli-ahli jawatankuasa saya yang banyak membantu melakukan penghantaran tempahan ke hotel-hotel penginapan kontinjen dan venue pertandingan, termasuk secara pos kepada pembeli," katanya yang turut berterima kasih kepada atlet-atlet SUKSEM yang memberikan sokongan. Beliau berkata demikian ketika ditemui di Ar-Riyadah Residence, semalam. Tambahnya, SUKSEM IX adalah satu jenama ekslusif yang harus diketengahkan. "SUKSEM adalah jenama sebagaimana SUKMA. Jadi setiap tuan rumah wajar buat produk bertemakan SUKSEM pada setiap penganjuran yang menunjukkan identiti negeri berkenaan. "Kalau di Terengganu kali ini, kami cuma meletakkan identiti Terengganu iaitu warna asas hitam dan putih pada jersi serta baju yang dijual.  "SUKSEM itu ekslusif dan menjadi peluang kepada setiap tuan rumah untuk menonjolkan ciri-ciri kenegerian mereka pada produk yang dijual sebagai kenangan para atlet dan pengunjung," katanya.      
19 Oct 24
2062
Cengkaman Kos Sara Hidup, Rakyat Tagih ‘Penawar’ PM
Cengkaman Kos Sara Hidup, Rakyat Tagih ‘Penawar’ PM
Menjelang pembentangan Belanjawan 2025, Kerajaan Persekutuan sekali lagi dijangka meletakkan krisis kos sara hidup sebagai tumpuan utama. Penumpuan terhadap kenaikan melampau harga barang, inflasi dan gaji minima rakyat mengulangi janji ketika pengumuman Belanjawan 2024 dan sebelumnya. Tahun-tahun terdahulu, Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah acap kali berikrar untuk menoktahkan miskin tegar, mengatasi kenaikan harga barang dan menyelesaikan masalah ketiadaan bekalan makanan asas terutama beras tempatan. Namun, dua tahun berlalu di bawah kerajaan campuran PH-BN, tanda-tanda untuk ‘barah’ kos sara hidup reda masih tidak kelihatan, bahkan masalah itu makin meruncing. Perkara ini dibuktikan melalui kajian Pusat Penyelidikan Undian UCSI pada Julai 2024 yang menyatakan 99 peratus daripada 921 rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas bimbang akan kos sara hidup semasa. 80 peratus daripada responden merupakan golongan pekerja, satu peratus menganggur, 18 peratus pelajar dan satu peratus lagi pesara. Hasil tinjauan sama mendapati 98 peratus responden berpendapat kerajaan tidak melakukan secukupnya untuk menangani peningkatan kos sara hidup. Catatan ini merekodkan peningkatan ketara berbanding 61 peratus yang berpandangan sedemikian pada tinjauan sama tahun 2023. Masalah ini juga diakui Anwar pada 24 Ogos lalu ketika berucap dalam majlis Amanat Perdana Menteri bersama warga penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Pelancaran Portal Ihsan Madani. Menteri Kewangan itu berkata, beliau menerima kenyataan walaupun pelbagai usaha dilakukan untuk menangani isu kos sara hidup dan mengawal inflasi, ia masih menjadi masalah utama rakyat. “Walaupun kos sara hidup dan inflasi (naik) dua, tiga peratus berbanding 40 peratus di Turkiye tapi kita terima kenyataan kerana adanya ihsan,” katanya sebagaimana dipetik Astro Awani. Melihat keadaan semasa, rakyat Malaysia pastinya mahu langkah serius diambil Kerajaan Persekutuan bukan hanya ibarat ‘melepas batuk di tangga’ dan melakukan ‘stunt’ politik melampau dengan ucapan-ucapan ‘bombastik’ di sisi rakyat. Apatah lagi wujud banyak laporan mengenai subsidi seperti minyak RON95, telur dan gula bakal dihapuskan di samping lima cukai baharu iaitu Cukai Makanan Berlemak atau Cukai Makanan Tidak Sihat (Fat Tax), Cukai Penetapan Harga Karbon, Cukai Warisan, Cukai Barang Bernilai Tinggi (HVGT) dan Kecerdasan Buatan (AI) akan diperkenalkan dalam Belanjawan 2025 Madani. Jika tahun ini rakyat menerima 'hadiah' kenaikan harga diesel sebanyak RM1.20 dan pertambahan SST kepada 8 peratus, adakah tahun depan lima cukai baharu serta penarikan subsidi petrol juga menanti warga Malaysia?. Langkah ini sangat bertentangan dengan akur janji Anwar untuk menangani kos sara hidup dalam Belanjawan yang akan dibentangkan esok di saat rakyat sudah di ‘hujung nyawa’ lemas dalam kesesakan harga barang tak masuk akal. Di pihak rakyat, mereka sudah kerap menyuarakan harapan agar kerajaan memberi tumpuan kepada isu-isu utama melibatkan kesejahteraan keluarga terutama kenaikan harga barang yang menyebabkan peningkatan kos sara hidup di bandar. Kenaikan harga barang mentah makanan memberi tekanan hidup kepada mereka terutama yang memiliki anak ramai. “Barang dapur sekarang memang semua naik harga. Dulu dengan duit sebanyak RM300 penuh satu troli, sekarang tak dapat, suku sahaja,” katanya kepada MalaysiaGazette pada 14 Oktober 2024. Justeru, Belanjawan 2025 sekali lagi menjadi harapan baru kepada rakyat, jika berlaku jika sebaliknya amarah rakyat pasti berterusan. Ima Wahida Mohd Zaid, Editor TRDI News.
17 Oct 24
642
GBS Marang Jadi Hub Pertama di Pantai Timur
GBS Marang Jadi Hub Pertama di Pantai Timur
KUALA TERENGGANU, 13 Oktober - Pusat Perkhidmatan Perniagaan Global (GBS) di Marang merupakan yang pertama di Pantai Timur  bakal menjadi hub penting bagi perkhidmatan inovasi dan teknologi yang bertujuan untuk meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan sekali gus menarik para pelabur yang akan melonjakkan pertumbuhan ekonomi Terengganu. Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, secara tidak langsung GBS bakal menjadikan Terengganu sebagai destinasi perniagaan yang akan dikenali dunia. Menurutnya, pusat GBS akan  berperanan sebagai pusat kemudahan digital dan penrniagaan kepada rakyat memenuhi kehendak masa kini sekali gus bertepatan dengan visi kerajaan negeri di bawah Pelan Penjanaan Pendapatan Baharu Negeri Terengganu. "Di bawah pelan ini, kerajaan negeri Terengganu membuat perancangan untuk jangka masa panjang bagi menjana pendapatan baharu dari sumber yang lebih pelbagai dan pembukaan pusat ini akan menyokong perancangan pelan tersebut. "Selain dari meningkatkan kecekapan operasi syarikat-syarikat yang beroperasi di negeri Terengganu khususnya dan saya percaya potensi yang dimiliki oleh pusat GBS ini. "Tengok kepada fasiliti, kemudahan dan komitmen yang ditunjukkan oleh semua pihak saya percaya ia akan muncul sebagai 'centre' yang sangat penting dan dikenali bukan sahaja dalam negara kita bahkan di seluruh dunia, insya-Allah," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pelancaran Pusat GBS Pertama di Pantai Timur, Dewan Kristal Redang, KompleksTM Medah jaya, di sini, hari ini. Dalam pada itu, Ahmad Samsuri mengharapkan agar para pelabur dan peniaga sama ada dari syarikat kecil atau syarikat besar di luar sana khususnya dari Terengganu akan menjadi faktor untuk negeri ini  menjadi salah satu destinasi perniagaan. "Penubuhan pusat ini juga akan memastikan negeri kita mempunyai persekitaran kondusif untuk kejayaan mereka (pelabur dan peniaga). "Banyak perkara yang boleh dimanfaatkan melalui penubuhan GBS ini dan saya percaya syarikat-syarikat yang berada di bawah kerajaan negeri, di bawah GLC negeri akan berunding dan bebrincang dengan TM One untuk sama-sama kita mewujudkan kerjasama PINTAR. "Mewujudkan kerjasama bagi meningkatkan kecekapan syarikat-syarikat dan juga membantu mengupayakan lagi TM One, insya-Allah," jelasnya lagi.   Beliau turut merakamkan tahniah kepada pasukan TM yang diyakini ia merupakan salah satu kejayaan yang penting untuk syarikat terbabit. "Saya percaya ia merupakan salah satu milestone yang penting kepada TM dan juga kepada daerah Marang dan juga negeri Terengganu secara khususnya," ujarnya.
13 Oct 24
3007
Sultan Mizan Labuh Tukun Pulihara Sumber Perikanan Terengganu
Sultan Mizan Labuh Tukun Pulihara Sumber Perikanan Terengganu
KUALA TERENGGANU, 10 Oktober - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin mencemar duli menyempurnakan Program Melabuh Tukun Tiruan Kuboid Juvenil Penghalang Pukat Tunda di Perairan Marang, hari ini. Dalam program yang bermula di Jeti Duyong Marina Resort, keberangkatan tiba baginda pada jam 9.00 pagi disambut Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ir. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Industri Asas Tani Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim. Hadir sama menyambut keberangkatan tiba baginda ialah ketua-ketua jabatan dan sebahagian pegawai-pegawai kerajaan negeri. Sultan Mizan (berbaju biru) melakukan selaman dasar. Sebaik berangkat tiba, Tuanku Mizan berkenan menandatangani plak perasmian disaksikan tetamu yang hadir. Bagi meneruskan program, Timbalan Mufti Negeri Terengganu, Sahibul Fadhilah Prof Madya Dr Syed Hadzrullathfi Syed Omar membacakan doa. Sultan Mizan kemudian berkenan menaiki bot Jabatan Perikanan Malaysia Terengganu yang mula bergerak ke lokasi melabuh tukun tiruan pada jam 9.15 pagi di kawasan Alur Tuman. Sultan Mizan berkenan melakukan selaman dasar bagi menyempurnakan simbolik program dengan meletakkan plak perasmian ke dalam tukun. Sebanyak 20 tukun tiruan dilabuhkan di perairan Marang pada program ini merupakan sebahagian daripada 100 unit tukun yang dibina dan dilabuhkan menerusi Program Memperkayakan Sumber Perikanan Marin Negeri Terengganu bagi tahun ini. Sebelum ini, sebanyak 20 tukun telah dilabuhkan di sekitar perairan Dungun, Setiu, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu dengan kos projek berjumlah RM3.1 juta. Pada 5 Oktober lalu juga, Sultan Mizan telah berkenan menandatangani plak perasmian 'Pembangunan 500 Tukun (5 Tahun) Tiruan Garisan Sempadan Zon Persisir Pantai Perairan Terengganu'. Melaluinya, kerajaan negeri meletakkan sasaran untuk mewujudkan garisan semladan tukun di sepanjang 244 kilometer pantai negeri ini. Ia merupakan usaha jangka masa panjang bagi menangani isu kekurangan sumber dan pendapatan nelayan seterusnya meningkatkan sosioekonomi rakyat Terengganu.
10 Oct 24
367