Artikel "Ekonomi" Terkini
Gerai Kuih Pok Him 'Sayang’ Popular Di Pasar Payang
Sudahlah banyak pilihan, harga yang ditawarkan pula berpatutan. Jadi tidak hairanlah Gerai Kuih Pok Him di Pasar Kedai Payang, Kuala Terengganu sentiasa menjadi tumpuan dan penuh dengan pelanggan yang meminati makanan manis mahupun `pencuci mulut’.Walaupun harga kuih-muih dikebanyakan kedai dan gerai di kebanyakan tempat meningkat ekoran kenaikan kos bahan mentah, namun pemilik gerai yang mesra menyapa pelanggannya dengan panggilan ‘sayang’ , Ibrahim Jusoh, 62, tetap menawarkan harga yang lebih rendah.Pok Him anak jati Kampung Tanjung berkata, dia mendapatkan bekalan kuih-muih dari peniaga sekitar Kuala Terengganu dan Marang dengan mengambil keuntungan sebanyak 30 peratus pada setiap kuih yang dijualnya. Gerai Kuih Pok Him menjual lebih 50 jenis kuih-muih tempatan setiap hari kecuali pada Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha bermula seawal pukul 7 pagi hingga 5.30 petang.Antaranya tepung gomak, keria, seri muka, bingka ubi, donat, tepung talam, cucur badak, buah melaka, kuih ketayap, kuih cara, tepung pasung, kuih belimbing, akok, kuih kasturi dan pelbagai lagi.“Mungkin ada gerai yang menaikkan harga kuih tetapi Pok Him tetap kekal jual harga lama seperti tahun-tahun sebelum ini dan masih bertahan dengan kuih tradisional kerana terdapat peminatnya yang tersendiri.“Walaupun turut jual kuih moden lain, permintaan terhadap kuih-muih tradisional tetap tinggi,” ujarnya yang menjual kuih-muih kebanyakannya sekitar RM1 untuk empat biji.
14 Sep 16
2362
Nikmati Masakan Peranakan Di Restoran Mek Awang
Teringin menikmati keenakan masakan peranakan, anda kini tidak perlu lagi bersusah ke Melaka tetapi boleh berkunjung ke Restoran Mek Awang di Kampung Cina, Kuala Terengganu.Bukan hanya masakan, malah restoran ini turut menampilkan suasana seolah-olah anda berada di perkampungan Baba Nyonya apabila kehadiran disambut dengan senyuman manis penyambut tetamu berkebaya.Pengurusnya, Ashley Kuan berkata, penubuhan Restoran Mek Awang awal Februari lalu bukan kerana keuntungan semata, tetapi lebih kepada memaparkan keunikan kehidupan masyarakat Cina Peranakan Terengganu yang telah bertapak di negeri ini sejak beratus tahun dahulu. “Komuniti ini digelar Mek dan Awang kerana kehidupan seharian mereka seakan-akan sama dengan kehidupan harian masyarakat Melayu. Mereka fasih bertutur dalam Bahasa Melayu dan loghat Terengganu, selain makan menggunakan tangan dan memakai kain batik dan kebaya seperti bangsa Melayu.“Restoran peranakan dengan sentuhan Melayu ini bukan sahaja berkongsi kelazatan makanan kaum Cina keturunan Baba Nyonya di Terengganu bahkan keunikan cara hidup masyarakat tersebut turut dipertontonkan khususnya kepada pelancong luar,” ujarnya.Katanya, orang ramai terutama yang belum pernah mencuba masakan peranakan berpeluang untuk menikmati pelbagai pilihan menu termasuk Laksa Nyonya, Kay Hong (Ayam Kicap) serta Kay Pacok hasil kepakaran tukang masak Melayu yang mahir dalam masakan Baba Nyonya.Menurut beliau, selain menu peranakan, restoran yang beroperasi dari pukul 11 pagi hingga 12 malam setiap hari kecuali Rabu ini menyediakan lebih 15 menu menarik termasuk hidangan tradisi Terengganu seperti Keropok Lekor dan Laksam Terengganu.“Tidak ketinggalan beberapa pilihan makanan lain seperti pencuci mulut dan pelbagai jenis air buah-buahan segar serta minuman lain yang turut menjadi sebahagian daripada menu restoran berkonsepkan santai ini,” ujarnya.Katanya, restoran yang mampu memuatkan 60 pelanggan pada satu-satu masa ini juga menawarkan harga berpatutan antara RM8.90 hingga RM16.90 setiap hidangan.Dengan kehebatan rumah kayu cengal lama diubah suai, ditambah susunan pintu rumah lama yang dilekatkan di satu sudut dinding restoran serta hiasan bot, beca dan lesung lama, pastinya memberikan suatu kedamaian ketika menjamu selera di restoran ini.
13 Sep 16
1397
Setengah Abad Rempah Cap Bunga Ros
Menguruskan perniagaan keluarga bukannya tugas mudah, lebih-lebih lagi dalam usaha mempertahan dan mengembangkan perusahaan yang berusia hampir setengah abad.Namun, semua itu tidak dapat ditandingi dengan usaha dan jerit perih diharungi ibu bapa mereka pada awal penubuhan Syarikat Hassan Majid Sdn. Bhd, pengeluar produk rempah masakan jenama Cap Bunga Ros.Pengarahnya, Mohd Zulpian Hassan berkata, dengan menjadikan kegigihan orang tua mereka sebagai sumber inspirasi dan bersandarkan sikap tidak mudah putus asa serta kerjasama erat mereka sebelas beradik, kini Rempah Cap Bunga Ros bukan sahaja menjadi pilihan utama rakyat Terengganu malah turut dipasarkan secara meluas ke seluruh negeri.Menceritakan bagaimana perusahaan ini bermula, Mohd Zulpian berkata, semuanya dibuat secara kecil-kecilan.“Rempah Cap Bunga Ros bermula kira-kira 48 tahun lalu iaitu pada 1968. Pada masa itu, emak saya, Hajah Kembang Abd Rahman hanya membuatnya dirumah untuk dijual kepada jiran, rakan dan sanak saudara.“Pada masa sama, arwah ayah, Haji Hassan Majid turut jual di pasar berdekatan dengan menunggang basikal. Selepas mendapat reaksi positif daripada orang ramai, maka dari situ bermulalah pelbagai inisiatif dilakukan oleh emak terutamanya dalam mencipta resipi tersendiri bagi mengkormesialkan rempah buatannya,” ujarnya.Katanya, berkat kesabaran dan kerja keras, perusahaan Syarikat Hassan Majid Sdn. Bhd yang beroperasi di No.158-A Kampung Kepong, Kuala Terengganu akhirnya berjaya mengeluarkan rempah masak dan rempah gulai yang diproses menjadi kering dalam bentuk serbuk sehingga popular di negeri ini dan menepati citarasa ramai.Menurut Mohd Zulpian, rempah masak produk keluarganya dijual di pasaran dengan harga 50 sen sepaket bagi seberat 12 gram, RM1.00 (25 gram) dan RM4.50 (105 gram).Sementara rempah gulai dengan harga 50 sen sepaket bagi seberat 15 gram, RM1.00 (35 gram) dan RM4.50 (205 gram).Katanya, selain dua jenis rempah tersebut, syarikat keluarganya itu turut memproses serbuk kacang hijau yang dijual dengan harga RM6.00 sepaket bagi berat 400 gram.Mohd Zulpian berkata, selain dijual secara borong untuk pasaran Terengganu dan Pahang, mereka juga memasarkan secara dalam talian dan mendapat permintaan memberansangkan dari seluruh negeri termasuk Sabah dan Sarawak. “Kami mementingkan kualiti dalam proses penghasilan produk dimana tidak memasukkan sebarang campuran dan hanya mengunakan bahan mentah asli untuk memastikannya bermutu tinggi. Sekarang ini, seramai 30 pekerja diupah bagi melancarkan operasi syarikat termasuk urusan pembuatan rempah, pembungkusan serta pengedaran.Kami turut menitikberatkan kebersihan semasa proses pembuatan dan syarikat ini telah mendapat pengiktirafan halal JAKIM,” ujarnya yang turut memaparkan cara penggunaan dan resepi pilihan di setiap paket rempah dijual.Lebih unik katanya, paket rempah masak dan gulai yang dijual dengan harga 50 sen tidak pernah diubah untuk mengekalkan identitinya.“Kita pernah bercadang untuk mengubahnya tetapi pelanggan tidak berpuas hati kerana boleh mengelirukan mereka. Oleh itu, kita ambil inisiatif untuk terus kekalkan penggunaan warna putih dan merah yang sinonim dengan Rempah Cap Bunga Ros bersaiz kecil.” jelasnya.Seperti pengusaha lain, Mohd Zulpian berkata, beliau dan adik beradiknya mempunyai wawasan untuk terus maju dalam bidang keusahawan yang mereka warisi.‘Kami berhasrat untuk memasarkan produk Syarikat Hassan Majid Sdn. Bhd sehingga menembusi pasaran dunia dan bercadang menghasilkan rempah dalam bentuk pes tidak lama lagi,” katanya.
12 Sep 16
1430
RM34 Juta MARA Terengganu Biayai Perusahaan Rakyat Sehingga Julai 2016
Majlis Amanah Rakyat (Mara) memperuntukkan sebanyak RM34 juta untuk membantu syarikat Bumiputera di negeri ini bagi memajukan perniagaan mereka sehingga Julai tahun ini.Pengarah Mara Negeri, Salemi Yusof berkata, peruntukan dalam bentuk pinjaman itu diharap dapat meringankan bebanan syarikat untuk mengembangkan perniagaan mereka."Sebanyak 300 syarikat mendapat manfaat dari pinjaman ini dan pinjaman ini adalah untuk pembangunan."Diharap ianya dapat membantu mempertingkat produktiviti syarikat masing-masing sekaligus membantu bumiputra untuk bersaing dalam bidang perniagaan," katanya pada pemberita ketika hadir di Majlis Pelancaran Mesin Pembotolan Air Mineral Syarikat Teratai Tenang Sdn Bhd oleh Timbalan Ketua Pengarah Mara, Datuk Salmah Hayati Ghazali di Kampung Kepah, Hulu Terengganu, hari ini.Dalam pada itu, Salmah Hayati berkata pinjaman sebanyak RM1.5 juta diberi kepada syarikat berkenaan untuk membeli mesin pembotolan itu."Pinjaman ini adalah diharapkan dapat membantu syarikat Teratai Tenang untuk meningkatkan pengeluaran air botol mineral yang dikeluarkanya sejak dua tahun lalu, " katanya.
06 Sep 16
79
Gabungkan Koperasi Disertai OKU Secara Konsortium
Koperasi di Malaysia khususnya koperasi kecil dan mikro yang dijalankan oleh Orang Kelainan Upaya (OKU) disarankan agar menjalankan organisasi secara konsortium.Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Dato’ Abdul Fattah Abdullah berkata, di Malaysia hanya terdapat 17 buah koperasi yang ahlinya terdiri daripada OKU fizikal, buta, pekak dan bisu.Fattah berkata, dengan gabungan beberapa koperasi ianya mampu meningkatkan kadar keuntungan yang bakal diperoleh oleh satu-satu oganisasi tersebut.“Untuk OKU, kita hanya mempunyai 17 buah koperasi sahaja di seluruh Malaysia dengan bilangan ahli seramai lebih 1,000 sahaja kerana minimum bagi satu-satu koperasi dalam 50 orang dan paling ramai hanya mencecah 200 orang.“Kesemua daripada koperasi itu merupakan koperasi kecil dengan bilangan ahli yang kecil. Jadi kita harap dengan adanya gabungan ini kita akan boleh pertama sekali modalnya akan menjadi besar sekaligus dapat melibatkan diri dalam perniagaan lebih besar,” katanya.Beliau ditemui pemberita pada Majlis Dialog Bersama Presiden Angkasa di Pusat Pertis Wilayah Terengganu, Seberang Takir, hari ini.Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Angkasa Negeri Terengganu, Mohamed Jais Hassan dan Pengerusi Pertis Wilayah Terengganu Darul Iman, Mohd Fauzi Mansor.Tambahnya, tiga daripada koperasi OKU iaitu Persatuan Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia Wilayah Terengganu (Pertis), Persatuan Orang Pekak Terengganu (Peka) dan Persatuan Pembangunan Orang Kurang Upaya Anggota Terengganu (Pokuat) akan dijadikan sebagai perintis koperasi konsortium OKU pertama di Terengganu.“Di Terengganu kita gabungkan dahulu tiga sahaja koperasi sebagai perintis selepas itu kita harap 17 yang lain nanti akan mengikut jejak langkah persatuan ini.“Kita sasarkan penubuhan konsortium ini dapat disempurnakan dalam tahun ini cuma prosesnya akan mengambil masa selama tiga bulan sehingga diberikan kebenaran oleh pihak koperasi dan dapat diteruskan dengan melakukan mesyuarat agung,” katanya.
06 Sep 16
159
Barang Terbuang Jadi Hasil Seni Ukiran Seni Kayu Memukau
Oleh : Mastura JamaldinSeni ukiran kayu sangat sinonim dengan tradisi masyarakat Melayu dan merupakan warisan turun-temurun lagi.Walaupun begitu, jumlah kepakarannya semakin berkurangan kerana tidak ramai yang berminat untuk menceburinya.Bagaimanapun bakat semulajadi Pegawai Penerangan Daerah Hulu Terengganu, Abidin Abd Ghani ternyata memberi kelebihan apabila mampu menghasilkan pelbagai seni ukiran hasil sentuhan kreatif selepas waktu bekerja.Dia kini mampu menukarkan sekeping kayu buruk serta terbuang kepada satu ukiran yang bernilai tinggi dan mampu memukau pandangan penggemar seni ukiran itu.Jika sebelum ini Abidin hanya menghasilkan kerja seni itu untuk mengisi masa lapang,melihat sambutan dan sokongan ramai kenalan serta saudara-mara dia mahu menjadikannya sebagai pendapatan sampingan.Menurut Abidin, jiwanya sejak kecil lagi sukakan sesuatu yang halus dan unik selain suka berkongsi kepada masyarakat tentang manfaat bahan kitar semula sejak berusia 20 tahun.“Pada awalnya saya menghasilkan kerja seni ini hanya mengisi masa lapang dan kebanyakannya digunakan untuk menghias kediaman saya.“Antara ukiran yang saya telah hasilkan termasuklah ayat-ayat suci al-Quran, kerusi, meja serta beberapa perhiasan lain tanpa disedari semua hasil seni berkenaan mencuri perhatian tetamu yang datang berkunjung.“Alhamdulilah selepas itu ramai yang bertanyakan hasil kerja saya dan menyatakan keinginan untuk membuat tempahan sehinggalah ke hari ini,” katanya ketika ditemui The Iman Tribune di kediamannya hari ini.Menurutnya, sikap berani mencuba idea baharu perlu ada bagi memastikan setiap yang dihasilkan seiring dengan kehendak semasa."Apabila saya mula memegang kayu, secara automatik saya mendapat ilham untuk sesuatu yang dipandang buruk dan terbuang menjadi seni ukiran indah dan diminati mereka yang menghargai kesenian."Sebelum dan semasa mengukir saya memerlukan idea dan kreativiti tersendiri untuk diadaptasi menjadi sebuah monumen yang mampu membangkitkan nilai estetika yang unik, "katanya lagi.Tambahnya lagi, bukanlah satu kerja mudah menzahirkan sesuatu imaginasi kepada satu bongkah kayu padat kerana setiap kerja seni ukiran kayu memerlukan tahap ketelitian yang tinggi dalam proses pembuatannya.Kata Abidin, nilai utama ukiran terletak kepada kehalusan dan kualiti motif ukiran yang dihasilkan setiap pereka seni.
06 Sep 16
1330