lightning-solid
Berita :

Artikel "Ekonomi" Terkini

KUTT Bayar Royalti RM1.1 Juta kepada Kerajaan Terengganu
KUTT Bayar Royalti RM1.1 Juta kepada Kerajaan Terengganu
KUALA TERENGGANU, 15 Disember - Kerajaan Terengganu telah menerima bayaran royalti daripada anak syarikat kerajaan negeri (GLC), Koridor Utiliti Teknologi Terengganu Sdn Bhd (KUTT) sebanyak RM1,101,489.15 bagi tahun 2024. Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, KUTT selama ini diberi tanggungjawab untuk membangunkan koridor utiliti negeri termasuk menyediakan pangkalan data bersepadu bagi semua jajaran utiliti. Katanya, ia merangkumi tenaga elektrik, bekalan air, rangkaian telekomunikasi dan sistem kumbahan. "Imbalan bagi pelantikan itu, KUTT disyaratkan untuk membayar sebahagian daripada pendapatan sebagai kontribusi kepada negeri bagi setiap tahun beroperasi,"katanya dalam satu kenyataan media sempena Sesi Penyerahan 'Mock Cheque' di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini. Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif KUTT, Ir. Ts. Ahmad Azhan Suhaili. Cek pembayaran royalti itu diserahkan oleh Ahmad Azhan kepada Pegawai Kewangan Negeri Terengganu, Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham. Dalam pada itu, Ahmad Azhan berkata KUTT telah mencatatkan pertumbuhan kewangan memberansangkan hasil prestasi cemerlang daripada semua bahagian membolehkan syarikat sekali lagi berpeluang mengembalikan bayaran kontribusi buat kerajaan negeri. Di samping itu juga, KUTT turut sama berganding bahu dengan kerajaan negeri bagi membantu rakyat Terengganu dengan menyerahkan cek sumbangan RM350,000 kepada Tabung Darul Iman di bawah peruntukan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR). Cek itu telah diserahkan kepada Timbalan Pengerusi Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Zuraida Md. Noor.  Selain daripada itu, KUTT bersama Menteri Besar Incorporated (MBI) Terengganu bekerjasama menyalurkan sumbangan RM500,000 untuk Program MBI-Youth Talent Scholarship melalui tabung biasiswa GLC kerpada Yayasan Terengganu yang mengendalikan dan mengurus biasiswa pelajar cemerlang terpilih. Cek pembayaran sumbangan Tabung Biasiswa GLC tersebut telah diserahkan oleh Ketua pegawai Eksekutif KUTT kepada Pengarah Yayasan Terengganu.  
15 Dec 24
7088
Terengganu Salur Bekalan Air Bersih ke Pahang
Terengganu Salur Bekalan Air Bersih ke Pahang
KUANTAN, 12 Disember – Terengganu kini memainkan peranan penting dalam menyokong pembangunan ekonomi Pantai Timur apabila menyalurkan bekalan air bersih ke Pahang menerusi Projek Paip Pengagihan Air Kemaman-Gebeng.  Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata projek sepanjang 29.8 kilometer yang dikendalikan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) itu akan memastikan penyaluran bekalan air terawat yang stabil ke kawasan perindustrian Gebeng, sekali gus menyokong pertumbuhan industri dan ekonomi di Wilayah Pantai Timur. "Projek ini bukan sekadar infrastruktur, tetapi simbolik kepada hubungan erat antara Terengganu dan Pahang.  “Dengan saluran air ini, kita memenuhi keperluan industri sambil memperkukuhkan kerjasama dua negeri," ujar beliau. Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian dan Penyerahan Projek Pembinaan Paip Agihan Air dari Kemaman, Terengganu ke Gebeng, Pahang yang berlangsung di Gebeng, di sini hari ini. Turut hadir, Menteri Besar Pahang; Dato' Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nara Setia Dato' Zulkifli Ali, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat. Menurut Ahmad Samsuri, projek itu juga menjadi bukti kepada kerjasama strategik antara ECERDC, Syarikat Air Terengganu (SATU) dan Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP).  “Peranan Terengganu sebagai penyedia bekalan air menunjukkan komitmen negeri ini untuk berkongsi sumber demi kemajuan bersama. "Terengganu bangga dapat menyumbang kepada pembangunan industri di Pahang.  “Kejayaan ini adalah hasil usaha bersama antara Kerajaan Persekutuan, negeri, dan semua pihak berkepentingan," jelasnya. Kata beliau, dengan bekalan air yang mencukupi, kawasan perindustrian Gebeng, termasuk Malaysia-China Kuantan Industrial Park (MCKIP), kini lebih bersedia untuk menyokong pelaburan dan operasi industri bernilai tinggi. Tambahnya, selain memberi manfaat kepada Pahang, projek tersebut turut menjana pertumbuhan ekonomi di Daerah Kemaman.  “Aktiviti industri yang berkembang dijangka mencipta peluang pekerjaan baharu untuk penduduk setempat, sekaligus merancakkan ekonomi Terengganu. "Inisiatif ini adalah pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dua negeri, memperkukuhkan kedudukan Wilayah Pantai Timur sebagai destinasi pelaburan strategik," ujarnya. Dalam pada itu, projek itu turut menyumbang kepada pengukuhan daya saing kawasan perindustrian Gebeng menerusi sambungan infrastruktur utama seperti Pelabuhan Kuantan, Lebuhraya Pantai Timur, dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) “Ia adalah contoh terbaik bagaimana perkongsian sumber dan kerjasama strategik dapat memacu pembangunan serantau secara mampan,” katanya. Sebagai rekod, projek tersbut mencatat pencapaian signifikan dengan membekalkan tambahan 90 juta liter air terawat setiap hari dari Tangki Bukit Kolam, Kemaman ke Tangki Central B, Gebeng, Pahang. Bekalan ini menjadi tonggak utama dalam memenuhi permintaan air bersih yang dijangka melonjak kepada 466 juta liter sehari menjelang 2025, jauh mengatasi kapasiti semasa sebanyak 290 juta liter sehari. Sebagai nilai tambah, SATU memastikan bekalan ini diberikan kepada PAIP pada kadar kompetitif RM1.40 setiap meter padu, menjadikannya penyelesaian mampan yang mesra kos untuk pembangunan industri di kawasan ini.  
12 Dec 24
531
Digital Terengganu 2024: Lonjakan Ekonomi Digital Usahawan Tempatan
Digital Terengganu 2024: Lonjakan Ekonomi Digital Usahawan Tempatan
KUALA TERENGGANU, 23 November - Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim, merasmikan program Digital Terengganu 2024 di Dewan Besar Grand Puteri, Kuala Terengganu semalam. Program selama dua hari bermula semalam, Sabtu 23 November itu akan berakhir esok, 24 November.  Program ini merupakan inisiatif beliau dengan kerjasama D&P Process Services Sdn Bhd yang bertujuan membantu usahawan-usahawan Terengganu memanfaatkan teknologi digital bagi meningkatkan perniagaan mereka, sejajar dengan arus pembangunan ekonomi digital. Dalam ucapan perasmian, beliau enegaskan bahawa usaha tersebut adalah sebahagian daripada komitmennya untuk memperkasakan komuniti usahawan dalam parlimen Kuala Terengganu khususnya dan negeri Terengganu amnya agar lebih berdaya saing di peringkat yang lebih tinggi. "Program ini dijangka menjadi platform penting dalam memperkukuh ekosistem perniagaan digital di negeri ini. "Program ini tidak hanya habis di sini tetapi akan berterusan lagi dengan program pemantauan dan kelas-kelas khas secara atas talian (online). "Selepas 6 bulan nanti, semoga D&P Process Services Sdn Bhd dapat melaporkan peningkatan jualan peniaga yang hadir. "Saya ingin lihat lebih ramai peniaga dari Kuala Terengganu yang berjaya bukan setakat di Terengganu malah di seluruh Malaysia," tambahnya lagi. Bekas Menteri Sains, Telnologi dan Inovasi itu turut berharap agar usaha Kerajaan negeri, bersama Syarikat-syarikat seperti D&P itu dapat menghasilkan lebih ramai Hero-hero Digital, melalui inisiatif Digital Terengganu. "Kita berhasrat menggerakkan rakyat kearah ekonomi digital, di samping memastikan negeri Terengganu terus melangkah maju untuk mencapai wawasan Terengganu yang Maju, Berkat dan Sejahtera, Insya-Allah. "Selepas 6 bulan nanti, semoga D&P Process Services Sdn Bhd dapat melaporkan peningkatan jualan peniaga yang hadir. Saya ingin lihat lebih ramai peniaga dari Kuala Terengganu yang berjaya bukan setakat di Terengganu malah di seluruh Malaysia," tambahnya lagim
24 Nov 24
119
TIS 2024: Lima Teras Bangun Kesatuan & Solidariti Keamanan Global
TIS 2024: Lima Teras Bangun Kesatuan & Solidariti Keamanan Global
KUALA TERENGGANU, 24 November - Persidangan Antarabangsa Terengganu (TIS) 2024 menggariskan lima teras dalam rangka kerja kesatuan dan solidariti untuk keamanan, kemakmuran, nilai budaya, dan maruah manusia secara global. Menghimpunkan pemimpin komuniti, masyarakat sivil, dan warga global dari Malaysia, Rusia, Oman, Turki, Filipina, Indonesia, dan Palestin, persidangan berkenaan turut mencadangkan 12 pelan tindakan dalam usaha menyelesaikan permasalahan yang dibentangkan. Ketua pegawai eksekutif TSIS, Profesor Madya Dr Mohd Hanif Yaacob berkata, antara teras yang digariskan ialah memperkukuh kepimpinan global yang strategik dengan menubuhkan Majlis Kepimpinan untuk Kesatuan dan Solidariti Ummah bertujuan memupuk kerjasama, persefahaman, dan visi bersama dalam kalangan pemimpin dari  pelbagai sektor. "Insya-Allah, TSIS yang merupakan agensi strategik kerajaan Terengganu akan menjalankan amanah sebagai sekretariat kepada majlis kepimpinan ini. "Selain itu teras ini menekankan pentingnya pembangunan kapasiti untuk pemimpin yang mana negara anggota akan melatih pemimpin dalam penyelesaian konflik dan rundingan, dengan mengintegrasikan nilai-nilai Islam dalam kepimpinan," katanya.  Beliau berkata demikian ketika membentangkan pengisytiharan resolusi TIS 2024 di Duyong Marina & Resort, semalam. Menurut Dr. Hanif, teras kedua ialah memberdaya pengetahuan dan pendidikan menuju Kesatuan melalui peningkatan pengetahuan kontemporari dan memanfaatkan teknologi untuk advokasi dan serta penyebaran maklumat agar mesej kesatuan dan soldariti sampai kepada lebih banyak pihak terutamanya generasi muda melalui tindakan memajukan pemikiran Islam dan pelbagai sumber ilmu bagi manfaat ummah serta membebaskan ummah dari penjajahan intelektual. "Teras yang ketiga adalah mengurus konflik dalaman secara berkesan dengan menekankan toleransi dan kerjasama antara mazhab serta kelompok Muslim dalam menangani cabaran bersama, selain memperbanyakkan kerjasama dan dialog di kalangan pemimpin mazhab serta pemimpin Sunni dan Syiah supaya umat Islam dapat bersatu menentang ketidakadilan. "Teras yang keempat ialah mentransformasi kerjasama ekonomi untuk pembangunan, diterjemahkan dengan menggalakkan negara Islam yang kuat untuk melakukan  pelaburan di negara-negara kurang membangun sebagai satu langkah penting ke arah kesatuan ummah.  "Tindakan seterusnya ialah menyeru individu berpengaruh untuk mengutamakan pelaburan ummah dalam pembangunan lestari dan pelaburan selari dengan prinsip keadilan selain mempromosikan produk tempatan untuk memperkukuh kemandirian ekonomi dan meningkatkan kerjasama serantau," ujarnya. Teras terakhir yang digariskan TIS 2024 adalah memperkasa diplomasi dan solidariti ummah secara global melalui seruan gencatan senjata dalam genosid di Gaza disertai penyelarasan usaha bantuan serantau untuk Palestin demi memenuhi keperluan kemanusiaan dan kestabilan jangka panjang. Tindakan terakhir dari teras kelima ialah menggalakkan strategi pelaburan beretika, termasuk menyokong gerakan Boikot, Divestasi, dan Sekatan (BDS) terhadap entiti yang melanggar hak asasi manusia. Dr. Hanif turut memaklumkan, TIS akan berfungsi sebagai platform untuk membangunkan penyelesaian kepada cabaran ummah, menjadikan resolusi yang digariskan sebagai agenda strategik nasional, dan memupuk kerjasama antara pemimpin pendapat serta pembuat dasar untuk menyepadukannya ke dalam pelan pembangunan negara.  
24 Nov 24
74
Janaan Hasil Era Dr. Sam Lebih Tinggi Ketimbang MB Terdahulu
Janaan Hasil Era Dr. Sam Lebih Tinggi Ketimbang MB Terdahulu
KUALA TERENGGANU, 24 November - Janaan hasil negeri Terengganu di bawah pentadbiran Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar merekodkan pencapaian yang lebih tinggi berbanding pada era dua Menteri Besar terdahulu. Ketua Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan Dasar Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS), Mohd Eikhwan Ali berkata, data berkenaan dikumpul bagi tempoh tiga tahun perkhidmatan penuh yang terakhir dan tidak termasuk tahun peralihan. “Di bawah pentadbiran Dato’ Seri Ahmad Said (2011-2013) sebanyak RM673.5 juta hasil dicatatkan dengan purata RM224.5 juta setahun, semasa pentadbiran Dato’ Seri Ahmad Razif Abdul Rahman (2015-2017) pula, hasil dikumpul ialah RM713.2 juta dengan purata RM237.7 juta setahun. “Manakala di era Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar iaitu bagi tahun 2021 hingga 2023, Kerajaan Negeri menjana hasil sebanyak RM791.7 juta dengan purata RM263.9 juta setahun, sekali gus menjadikan ia paling tinggi berbanding dua Menteri Besar sebelumnya,” jelas beliau ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman hari ini. Mohd Eikhwan. Menurut beliau lagi, data itu juga selari dengan kadar kebergantungan Kerajaan Negeri terhadap royalti petroleum bagi tempoh sama tiga pentadbiran terbabit. Jelasnya, Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Ahmad Said merekodkan kadar kebergantungan terhadap royalti paling tinggi mengatasi Ahmad Razif dan Ahmad Samsuri. “Ahmad Said menerima royalti petroleum dari 2011 hingga 2013 berjumlah RM6.64 bilion dengan purata RM2.21 bilion setahun, manakala Ahmad Razif Abdul Rahman yang memimpin negeri pada 2015 hingga 2017 mendapat RM4.70 bilion dengan purata RM1.57 bilion setahun. “Sementara itu, Ahmad Samsuri menerima royalti petroleum paling sedikit dengan jumlah RM3.48 bilion bagi 2021 hingga 2023 menjadikan purata RM1.16 bilion setahun,” katanya. Tambah Mohd Eikhwan, sekalipun hanya ‘bergantung’ dengan sejumlah RM3.48 bilion hasil royalti petroleum, Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Ahmad Samsuri masih mampu mengekalkan keutuhan pentadbiran walaupun penuh mencabar.  “Bahkan lebih banyak inisiatif baru diperkenalkan seperti lesen motosikal percuma untuk belia, pencen warga emas, baucer RM500 bagi rawatan kesihatan di klinik swasta dan caj percuma bagi pesakit di wad kelas ketiga di hospital kerajaan. “Menerusi Belanjawan 2025 yang dibentangkan minggu lepas pula, Menteri Besar menyasarkan hasil janaan negeri ini bakal mencecah RM510 juta menjelang 2030,” katanya.
24 Nov 24
589
Tindakan Sekat Hak Royalti Suburkan Dendam
Tindakan Sekat Hak Royalti Suburkan Dendam
KUALA TERENGGANU, 21 November - Kerajaan Negeri tiada autoriti ke atas hampir 60 peratus hak royalti Terengganu sebagaimana keadaan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) November 2022. Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menjelaskan, tindakan politik kuno itu sudah pasti menyebabkan rakyat Terengganu mempunyai perasaan tidak puas hati terhadap kepimpinan kerajaan di peringkat Persekutuan. "Jangan kita mendera pilihan rakyat yang dijamin oleh perlembagaan. Dek kerana rakyat tidak memilih kita, kita dera rakyat dengan sekatan dan penyempitan pelbagai perkara. "Tindakan politik kuno yang dilakukan ini telah mencetuskan suasana tidak harmoni dan akan membangunkan dendam lebih dalam. "Sedangkan kita di peringkat kerajaan negeri, bertahun-tahun berusaha memadam api dendam dan permusuhan dalam kalangan masyarakat," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Penggulungan Belanjawan 2025 Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu Kelima Belas (Bajet) Wisma Darul Iman, hari ini. Tambahnya, disebabkan itu segala urusan perbelanjaan negeri yang berkait dengan peruntukan daripada royalti dipaksa untuk mendapatkan kelulusan daripada Kementerian Kewangan terlebih dahulu. "Lebih menyusahkan, pegawai kewangan negeri terpaksa berulang alik setiap minggu ke Putrajaya untuk membuat permohonan satu per satu, 'case by case' kepada MOF bagi mendapatkan kelulusan peruntukan royalti yang merupakan hak kita. "Sehingga Oktober 2024, secara atas kertas diluluskan RM1.265 bilion wang royalti, akan tetapi hanya RM528 juta sahaja yang disalurkan ke akaun kerajaan negeri, itu pun sebahagian besarnya melibatkan emolumen. "Manakala selebihnya iaitu RM737 juta dibayar terus oleh MOF kepada pihak-pihak berkenaan," katanya.  
21 Nov 24
228
TSV Sebagai Hab Strategik Silika dan Kuarza di Terengganu
TSV Sebagai Hab Strategik Silika dan Kuarza di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 21 November - Lembah Silika Terengganu (TSV) berpotensi dijadikan sebagai hab strategik untuk industri silika dan kuarza, di negeri ini. Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, lokasinya strategik dan  mempunyai simpanan silika dan kuarza yang besar, menyokong strategi pertumbuhan ekonomi mampan. "TSV bertujuan menjadi pusat aktiviti hiliran berasaskan silika dan kuarza, dengan kawasan perindustrian seluas 4,000 hektar yang dirancang di Marang, Terengganu. "Ia mempunyai infrastruktur lengkap, termasuk akses kepada gas asli, elektrik, dan air, serta pelabuhan dan jaringan logistik berdekatan (Pelabuhan Kemaman dan Kuantan, Lebuhraya Pantai Timur, dan Laluan Rel Pantai Timur yang akan datang). "TSV disusun untuk aktiviti huluan (perlombongan dan pemprosesan silika) serta hiliran (pembuatan kaca, panel solar, elektronik)," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli  Dewan Undangan Negeri (ADUN)Kemasik, Ir. Saiful Azmi Suhaili dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu hari ini. Tambahnya, pelan induk melibatkan pembangunan secara berfasa untuk memenuhi pelbagai keperluan industri, termasuk kawasan seluas 1,272 hektar untuk fasa awal. "TSV akan disokong oleh bekalan utiliti yang kukuh, termasuk elektrik berkuasa tinggi, gas, dan air.  "Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) menawarkan insentif seperti pengecualian cukai, elaun pelaburan, dan pengecualian duti import untuk menarik industri pembuatan dan penyewa utama," ujarnya lagi. Menurutnya, TSV juga mewakili peluang besar untuk industri silika dan kuarza di Asia Tenggara, menyediakan ekosistem perindustrian yang lengkap untuk pelabur tempatan dan antarabangsa.
21 Nov 24
921
Terengganu Sasar Jana Hasil RM510 Juta
Terengganu Sasar Jana Hasil RM510 Juta
KUALA TERENGGANU, 18 November - Kerajaan negeri menetapkan sasaran masa depan Terengganu untuk memperoleh hasil janaan mencecah RM510 juta menjelang tahun 2030. Menurut Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, ke arah merealisasikan kesemua sasaran itu kerajaan negeri menetapkan 25 inisiatif yang akan diberikan keutamaan tinggi atau High Priority Initiatives (HPI). "Menerusi keberkesanan pelbagai strategi dilaksanakan Jawatankuasa Meningkatkan Hasil dan Perbelanjaan Hemat Negeri, hasil janaan negeri pada tahun 2023 berjumlah RM283.15 juta, lebih tinggi 41.1 peratus berbanding anggaran RM200.66 juta. "Sehingga September tahun ini pula, sejumlah RM221.39 juta yang berjaya dikutip juga, adalah lebih tinggi 14.0 peratus berbanding kutipan tempoh sama tahun lalu iaitu RM194.13 juta," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap membentangkan Belanjawan Terengganu 2025 di Wisma Darul Iman, hari ini. Selari dengan itu tambahnya, pelbagai mekanisme turut dipertimbangkan untuk memastikan kestabilan jangka panjang ini dapat dicapai tanpa membebankan sesiapa terutamanya rakyat kebanyakan dan golongan peniaga. Dalam pada itu, kerajaan negeri turut menyasarkan perkembangan ekonomi antara 6.0 hingga 7.2 peratus setahun mencecah RM51.5 billion dengan jumlah pelaburan dan perdagangan terkumpul melebihi RM29 bilion dan RM172 bilion.  
18 Nov 24
762
Terengganu Tumpu Projek Gas, Hidrogen Hijau dan Kredit Karbon
Terengganu Tumpu Projek Gas, Hidrogen Hijau dan Kredit Karbon
KUALA TERENGGANU, 18 November - Kerajaan Negeri akan memberi tumpuan kepada projek pembekalan dan perdagangan gas cecair asli (LNG), pembangunan loji hidrogen hijau serta penjanaan dan perdagangan kredit karbon selain industri Unsur Nadir Bumi (REE) pada tahun mendatang. Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, dalam keadaan jumlah populasi dan bilangan penduduk bekerja yang secara relatifnya masih rendah, projek pelaburan dan perindustrian harus dirancakkan supaya lebih ramai penduduk mendapat manfaat. Katanya, melalui aktiviti ekonomi di negeri kita ia menyumbang kepada peningkatan gaji dan upah, pertambahan pekerjaan berkemahiran tinggi serta pengukuhan daya saing pasaran. “Menteri Besar Terengganu Incorporated (MBI) dalam usaha meneroka potensi projek pembekalan dan perdagangan gas cecair asli (LNG) dan menjalankan kajian kebolehlaksanaan cadangan pembangunan loji hidrogen hijau yang akan beroperasi menggunakan sumber tenaga boleh diperbaharui. “Dua projek rintis juga sedang diusahakan oleh Terengganu Inc. bagi memajukan penjanaan dan perdagangan kredit karbon. “Menerusi kerjasama dengan TNB Genco pula, usaha digerakkan untuk membangunkan ladang solar terapung di Tasik Kenyir yang berpotensi menghasilkan sehingga 2,000 MW tenaga elektrik melibatkan nilai pelaburan berjumlah hampir RM10 bilion bagi tempoh beberapa tahun,” katanya. Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) 2024 di Wisma Darul Iman, di sini hari ini. Di samping itu jelas Ahmad Samsuri, bagi memudahkan urusan dan memberikan nilai tambah kepada para pelabur, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan Perbadanan Memajukan Uktisad Negeri Terengganu (PMINT) akan melaksanakan prosedur dan proses kelulusan projek yang lebih efisien. “Serta menawarkan insentif yang lebih kompetitif menerusi dasar pembangunan perindustrian yang akan dilancarkan nanti. “Usaha menarik bilangan projek dan nilai pelaburan yang lebih besar ke negeri kita sangat penting bagi menjamin peluang pekerjaan sekali gus merangsang pertumbuhan sosioekonomi yang lebih mampan,” ujarnya.
18 Nov 24
926
Terengganu Makin Rancak Cari Hasil Baru
Terengganu Makin Rancak Cari Hasil Baru
Tidak seperti dulu, Terengganu hari ini bagaikan sebuah negeri baru, yang rancak meneroka sumber tambahan bagi menjana pendapatan negeri demi masa depan rakyat yang lebih terjamin. Dulu, majoritinya bergantung penuh kepada wang royalti sehingga rakyat tidak nampak usaha kerajaan menambah pendapatan daripada industri lain. Ini dibuktikan melalui catatan kewangan tahun 2012 yang mencatatkan kadar kebergantungan Kerajaan Negeri terhadap royalti petroleum paling tinggi berbanding tahun-tahun lain. Kerajaan Negeri ketika itu merekodkan kebergantungan kepada royalti sebanyak 87.41 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan dengan penerimaan RM2.35 bilion. Manakala kadar paling rendah direkod pada tahun 2020 iaitu 62.95 peratus dengan perbezaan sehingga 21.46 peratus berbanding 2012 dengar kadar sebanyak RM1.25 bilion. Daripada wang royalti itulah lahir pelbagai bantuan ‘one-off’ antaranya dana raya dan dana remaja, bantuan-bantuan ini sudah tentu membuat rakyat terpesona. Namun pesona itu boleh menjadi ‘kegembiraan sementara’ kerana wang royalti walau pada hakikatnya ada akta mengesahkan ia milik Terengganu tetapi ahli politik yang menjadi pemerintah di peringkat Persekutuan boleh ‘menyekatnya’ dengan ‘dalil-dalil’ tertentu. Ini sudah berlaku, justeru langkah yang dibuat Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar ketika ini, memberi harapan baru buat rakyat untuk memiliki aset sendiri tanpa ‘dijajah’ pihak berkepentingan peribadi. Selepas menang dengan majoriti besar pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu, Terengganu terus rancak meneroka potensi pendapatan baharu. Banyak industri diteroka seperti Unsur Nadir Bumi (REE), Hidrogen Hijau dan Silika dari negara Korea Selatan, Jepun dan China. Industri solar dan hidro terutama di ladang solar terapung di Tasik Kenyir dijangka mampu memberi pulangan berharga buat Terengganu jika projek berjalan sebagaimana dirancang. Tidak cukup dengan itu, terbaru  dalam tempoh seminggu lalu Terengganu dilapor menandatangani perjanjian dengan negara Brunei dan Oman masing-masing dalam industri maritim dan minyak serta gas.  Industri pertanian juga tidak kurang hebatnya, pelbagai usaha dirangka dan dilaksanakan sejajar dengan pengunaan teknologi moden bagi memastikan majoriti rakyat yang bekerja sebagai petani, penternak dan nelayan mendapat keuntungan berkali ganda. Perkhabaran ini pastinya mengembirakan seluruh rakyat yang mahu ekonomi negeri terus berkembang maju. Dijangka pelbagai inisiatif baharu meliputi segenap sektor demi kesejahteraan hidup rakyat di masa hadapan akan diumumkan Menteri Besar dalam pembentangan Belanjawan Terengganu 2025 pada 18 November ini. Semoga masa depan gemilang milik Terengganu. Editor TRDI News.
17 Nov 24
513