Artikel "Ekonomi" Terkini
EPIC, Tujuh Rakan Strategik Jalin Kerjasama
KUALA LUMPUR, 18 Februari - Syarikat Kerajaan Terengganu, Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC Berhad) dan anak-anak syarikatnya telah memeterai kerjasama strategik dengan tujuh rakan perniagaan bagi merancakkan lagi pertumbuhan serta memperkukuh daya saing dan ekonomi tempatan.
Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian & Teknologi Hijau, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata, kerjasama yang dijalinkan melalui majlis menandatangani memorandum itu melambangkan satu lagi pencapaian penting untuk EPIC Berhad serta anak-anak syarikatnya.
"Saya percaya perancangan dan perbincangan rapi telah dijalankan bagi memastikan kerjasama ini dapat memenuhi potensi dan objektif yang ingin dicapai bersama.
"Kerjasama ini diharapkan dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada EPIC Berhad untuk terus meningkatkan keupayaan syarikat, menyediakan perkhidmatan yang kompetitif dan memberi manfaat yang besar kepada rakyat serta ekonomi negeri Terengganu," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Kerjasama Antara EPIC Berhad dan Rakan Perniagaan Strategik di Junior Ballroom, Aras 6A, Four Seasons Hotel, di sini, hari ini.
Turut Hadir, ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Dr.Ts. Mukhtar Suhaili.
Mengulas lebih lanjut, Nurkhuzaini berkata melalui majlis bersejarah yang telah diadakan itu ia membuktikan bahawa EPIC Berhad kini berada pada landasan yang kukuh dalam menyokong agenda pembangunan ekonomi negeri.
"Jalinan kerjasama yang dibina ini selaras dengan aspirasi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP2030) dan Dasar Pembangunan Pelaburan Perindustrian Negeri Terengganu 2023-2030.
"Dasar ini bertujuan mempercepatkan transformasi Terengganu ke arah menjadi hab industri berteknologi tinggi dan mampan," ujarnya.
Mengulas mengenai kerjasama yang diadakan itu, Mukhtar berkata ia membabitkan tujuh rakan perniagaan strategik yang akan menjadi pemangkin kemajuan industri yang akan memberi nilai tambah kepada pihak berkepentingan dan memacu perkembangan sosioekonomi negeri.
Jalinan kerjasama itu menurutnya membabitkan sebuah syarikat pengendali pelabuhan, Begas Energy Sdn Bhd, Saujana Upstream Sdn Bhd, Saujana Marine Sdn Bhd, University College TATI (UC TATI).
"Serta pengoperasian rasmi Rahar Niaga Sdn Bhd, sebuah syarikat penyedia perkhidmatan bunkering yang diambil alih oleh EPIC Berhad pada akhir tahun 2024,"jelas beliau.
18 Feb 25
314
720 Bekas Banduan Temui 'Sinar' Untuk Bangkit Semula
KUALA TERENGGANU, 18 Februari- Jabatan Penjara Negeri Terengganu menyasarkan seramai 720 bekas banduan mendapat peluang pekerjaan sebelum akhir tahun ini memandangkan semakin banyak majikan yang sanggup menawarkan peluang pekerjaan kepada golongan tersebut.
Menurut Pengarah Penjara negeri, Penolong Kanan Komisioner Penjara, Mohd. Nasir Yusof, sasaran itu optimis untuk dicapai dengan kebanyakan bekas banduan itu bekerja dalam sektor perkhidmatan seperti kedai makan, restoran, bengkel perkhidmatan mencuci kereta, bidang pertanian, perladangan dan pelancongan.
“Pada tahun 2024, seramai 410 bekas banduan mendapat pekerjaan yang disediakan 62 majikan seluruh Terengganu. Daripada jumlah itu, hanya empat bekas banduan yang melanggar syarat ditetapkan dan diberhentikan kerja.
“Ia adalah kes sangat terpencil dan Terengganu menunjukkan kejayaan cemerlang dalam program ini untuk menarik lebih banyak majikan dalam masa terdekat,” katanya selepas mengadakan sesi libat urus Pejabat Penjara Negeri Terengganu bersama majikan, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Jabatan Tenaga Kerja Negeri Terengganu di sini, semalam.
Katanya, antara keistimewaan yang bakal diperoleh majikan yang menggajikan bekas banduan ialah pelepasan cukai hingga RM4,000 serta pemantauan berterusan daripada Jabatan Penjara.
17 Feb 25
71
RMK13 : Peluang Terengganu Jangkau Pasaran ASEAN
KUALA TERENGGANU, 2 Februari - Terengganu kini bersiap sedia untuk mengharungi revolusi ekonomi melalui pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), yang bukan sahaja menawarkan peluang baru bagi negeri ini, tetapi juga membuka pintu kepada pasaran ASEAN yang besar, dengan lebih 700 juta penduduk.
Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Dato’ Nor Azmie Diron, menegaskan bahawa Terengganu perlu melangkah lebih jauh daripada pasaran domestik.
"Kita tidak boleh hanya melihat pasaran 30 juta penduduk di Malaysia.
"Produk dan perkhidmatan kita perlu merentasi pasaran ASEAN yang besar,” katanya dalam Sesi Libat Urus RMK13 di Primula Beach Hotel, di sini baru-baru ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri; Dato’ Nara Setia, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu; Dato' Mohd Nor Hamzah, Pegawai Kewangan Negeri; Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham.
Menurut Nor Azmie, RMK13 membawa pendekatan baru dalam meningkatkan daya saing Terengganu dengan menumpukan perhatian kepada eksport dan pasaran luar negara.
"Dengan sokongan infrastruktur moden seperti East Coast Rail Link (ECRL), Terengganu kini mempunyai akses lebih mudah ke pasaran ASEAN dan dunia," tambahnya.
Tambah beliau, ECRL memberi kelebihan dalam pengangkutan barangan dari Terengganu ke pelabuhan tempatan dan antarabangsa, menjadikan eksport lebih efisien dan lancar.
"Infrastruktur ini adalah asas utama untuk membuka peluang besar dalam eksport ke negara ASEAN dan seterusnya,” jelasnya.
Nor Amie turut menegaskan bahawa selain sektor pembuatan, peluang besar juga terbuka dalam pertanian, makanan, dan perkhidmatan.
"RMK13 bertujuan untuk menjadikan Terengganu sebagai hab ekonomi utama Pantai Timur yang berdaya saing di peringkat global.
"RMK13 dijangka akan memberi impak besar dalam pembangunan ekonomi negeri, serta meningkatkan kualiti hidup rakyat Terengganu, seiring matlamat mencapai kemakmuran yang lebih inklusif dan berdaya saing," ujarnya.
02 Feb 25
277
RMK13: Terengganu Terajui Industri Penyimpanan Karbon
KUALA TERENGGANU, 28 Januari – Terengganu kini melangkah ke hadapan dengan perancangan strategik menjadikan negeri ini sebagai hab utama industri Carbon Capture, Utilization, and Storage (CCUS).
Langkah ini dilihat sebagai persediaan awal menghadapi masa depan ekonomi apabila pergantungan kepada minyak dan gas semakin menyusut.
Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Dato’ Nor Azmie Diron, industri CCUS adalah peluang besar yang mesti direbut untuk memastikan kelangsungan ekonomi negeri.
"Teknologi penyimpanan karbon ini penting, terutamanya apabila kita tahu sebahagian besar industri di Malaysia menyumbang kepada pelepasan karbon yang tinggi," katanya dalam sesi libat urus Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) di Primula Beach Hotel, di sini baru-baru ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri; Dato’ Nara Setia, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu; Dato' Mohd Nor Hamzah, Pegawai Kewangan Negeri; Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham.
Nor Azmie menjelaskan, CCUS adalah industri masa depan yang tidak hanya mengawal pelepasan karbon, tetapi juga menjadi tarikan kepada pelabur luar.
"Kita tahu 25% hingga 35% pelepasan karbon di negara ini datang daripada industri besar seperti gas, besi, keluli, dan simen.
"Dengan adanya kemudahan penyimpanan karbon di Terengganu, ia akan mendorong industri-industri ini berpindah ke pantai timur," katanya.
Tambah beliau, Terengganu mempunyai kelebihan dari segi infrastruktur sedia ada di Kertih dan kawasan sekitar yang sesuai untuk pelaksanaan CCUS.
"Kita ada medan minyak yang telah habis digunakan (depleted oil fields) yang boleh diubah menjadi kemudahan penyimpanan karbon.
"Peluang ini tidak wajar dilepaskan," katanya lagi.
Menurut Nor Azmie, walaupun margin keuntungan industri CCUS dilihat kecil, beliau optimis impaknya terhadap ekonomi negeri akan lebih besar pada jangka panjang.
"Ia adalah langkah strategik untuk menarik lebih banyak pelaburan industri baharu ke negeri ini," tegasnya.
Selain CCUS, Nor Azmie turut mengulas cabaran yang bakal dihadapi Terengganu apabila sumber minyak dan gas semakin berkurangan.
"Hari ini, kita tahu ekonomi Terengganu sangat bergantung kepada industri minyak dan gas, khususnya di Kertih dan Kemaman.
"Namun, sumber ini tidak kekal. Ia akan habis satu hari nanti," kata beliau.
Beliau menyatakan bahawa rancangan awal perlu dibuat untuk mengimbangi semula ekonomi negeri.
"Soalannya, apa yang akan berlaku kepada ekonomi negeri apabila sumber ini habis?.
"Kita perlu bersedia daripada sekarang," katanya lagi.
Dengan pelaksanaan industri CCUS, Nor Azmie percaya ia akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan industri baharu di Terengganu.
"Pantai timur mempunyai potensi besar untuk menjadi hab industri.
"Secara beransur-ansur, industri besar yang kini berada di pantai barat akan berpindah ke pantai timur kerana kos penyimpanan karbon lebih rendah di sini.
"Inilah masanya kita bergerak ke hadapan, dengan aset seperti Kertih dan Gebeng, kita mampu menjadi magnet pelaburan dan membuka lembaran baharu untuk ekonomi Terengganu,” ujarnya.
28 Jan 25
909
Terengganu Catat Pelaburan RM3.178 Bilion pada 2024
KUALA TERENGGANU, 27 Januari - Terengganu mencatatkan kejayaan besar apabila menerima pelaburan sebanyak RM3.178 bilion pada tahun 2024, yang bukan sahaja mengukuhkan kedudukan negeri ini sebagai destinasi pelaburan berdaya saing tetapi juga membuka 2,356 peluang pekerjaan baharu untuk rakyatnya.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nara Setia, menyifatkan pencapaian ini sebagai bukti keyakinan pelabur terhadap potensi ekonomi Terengganu.
"Pelaburan yang diterima adalah hasil usaha gigih kerajaan negeri bersama Kerajaan Persekutuan dalam merangka dasar ekonomi yang kukuh.
"Ia membawa impak besar kepada pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Sesi Libat Urus Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), di Dewan Gamelan, Primula Beach Hotel, di sini semalam.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi; Dato’ Nor Azmie Diron, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu; Dato' Mohd Nor Hamzah, Pegawai Kewangan Negeri; Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham.
Menurut Nara Setia, selain rekod pelaburan yang memberangsangkan, Terengganu turut mencatatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bernilai RM38.2 bilion dengan pertumbuhan 2.3% pada tahun 2023.
"Sektor perkhidmatan mendominasi ekonomi negeri dengan sumbangan 52%, diikuti sektor perkilangan (36.9%) dan sektor pertanian (7.5%)," jelasnya.
Beliau juga menekankan peranan infrastruktur strategik seperti East Coast Rail Link (ECRL) dalam menarik pelaburan baharu.
"ECRL adalah pemangkin utama pembangunan ekonomi Terengganu.
"Ia menghubungkan kita dengan Pantai Barat, menjadikan negeri ini lebih kompetitif, terutamanya dalam sektor logistik dan perdagangan," ujar beliau.
Menurut beliau, pembesaran Pelabuhan Kemaman dan pembangunan konsep Transit Oriented Development (TOD) di sepanjang laluan ECRL turut menarik perhatian pelabur domestik dan antarabangsa.
"TOD akan mencipta pusat-pusat ekonomi baharu, sementara pelabuhan yang diperluas akan meningkatkan kapasiti logistik, memberi manfaat kepada sektor perkilangan dan eksport,” tambahnya.
Pelaburan ini turut memberi kesan langsung kepada rakyat melalui penciptaan pekerjaan dan peningkatan taraf hidup.
"Peluang pekerjaan yang diwujudkan bukan sekadar angka, tetapi ia memberi jaminan masa depan yang lebih baik kepada rakyat Terengganu.
"Dengan rekod pelaburan ini, Terengganu berada di landasan kukuh untuk terus maju dalam ekonomi mampan dan inklusif, menjadikan negeri ini hab pelaburan utama di Pantai Timur," ujarnya.
27 Jan 25
1602
Hotel Paya Bunga Kini Bertaraf Empat Bintang
KUALA TERENGGANU, 23 Januari – Hotel Paya Bunga (PB) di Terengganu kini secara rasmi diiktiraf sebagai sebuah hotel bertaraf empat bintang bagi kategori hotel bandar.
Pengiktirafan ini diberikan di bawah Penggredan Bintang Premis Penginapan Pelancongan (PPP) oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).
Majlis penyerahan sijil telah diadakan baru-baru ini dengan penyerahan dilakukan oleh Pengarah MOTAC Terengganu, Mazshida Ruslal, kepada Pengurus Besar PB Hotel, Abdul Hadi Alias.
Menurut kenyataan pihak hotel, pengiktirafan tersebut menjadi simbol kejayaan usaha mereka dalam menawarkan perkhidmatan dan hospitaliti berkualiti tinggi kepada para tetamu.
"Kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada MOTAC atas pengiktirafan ini.
“Ia pastinya menjadi pemangkin semangat buat kami untuk terus memberikan perkhidmatan dan hospitaliti yang cemerlang kepada semua tetamu kami," katanya.
PB Hotel, yang terletak di tengah-tengah Kuala Terengganu, merupakan sebahagian daripada kompleks bersepadu Paya Bunga Square, Sentral, dan Plaza, dengan akses mudah melalui jambatan berhawa dingin.
Hotel ini menawarkan 208 bilik dan suite yang menggabungkan elemen budaya tradisional Terengganu dengan kemudahan moden, termasuk bilik standard, suite keluarga, dan suite eksekutif dengan pemandangan bandar atau laut.
Hotel ini juga dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti kolam renang, gimnasium, ruang acara, dan dewan besar, menjadikannya pilihan utama bagi pelancong perniagaan, pelancong santai, dan penganjur acara.
Reka bentuk interiornya menonjolkan elemen warisan budaya Terengganu, memberikan pengalaman unik kepada para tetamu.
Selain itu, lokasi strategiknya yang berhampiran mercu tanda utama seperti Chinatown, Pasar Payang, dan Masjid Sultan Zainal Abidin, PB Hotel terus memainkan peranan penting dalam menyokong sektor pelancongan negeri.
Sempena pengiktirafan berkenaan, Hotel PB berhasrat untuk mengekalkan dan meningkatkan kualiti perkhidmatannya, sejajar dengan visinya untuk menjadi pilihan utama penginapan di Terengganu.
23 Jan 25
2727
Anak Syarikat Terengganu Lakar Sejarah, Raih Pendapatan Tertinggi
KUALA TERENGGANU, 21 Januari – Anak Syarikat Kerajaan Terengganu, Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC Berhad) berjaya melakar rekod baharu dalam sejarah syarikat selepas meraih pendapatan berjumlah RM404 juta.
Keuntungan bersih selepas cukai juga melonjak kepada RM28 juta, lebih tiga kali ganda berbanding tahun sebelumnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Dr. Ts. Muhtar Suhaili, menyifatkan kejayaan tersebut sebagai hasil kerja keras semua pihak.
"Sejak penubuhan EPIC pada 1981, ini kali pertama pendapatan kita mencapai RM404 juta.
"Dengan keuntungan besar ini, kami komited untuk memperluaskan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) sebagai nilai teras syarikat. Ini adalah pencapaian yang sangat membanggakan.
"Kejayaan ini bukan sekadar mengukuhkan nama EPIC dalam industri, tetapi juga membuka peluang lebih besar untuk melaksanakan program CSR yang memberi impak kepada masyarakat," katanya.
Beliau berkata demikian katika berucap dalam program EPIC Back To School 2025 edisi pertama, di Pusat Sains & Kreativiti Terengganu (PSKT), di sini semalam.
Hadir sama, Ahli Parlimen Kuala Terengganu; Dato' Ahmad Amzad Hashim, Pengurus Besar Komunikasi Strategik dan Keselamatan Kumpulan EPIC, Rusdi Ngah.
Beliau turut menekankan bahawa kejayaan sebenar tidak hanya diukur melalui keuntungan, tetapi juga melalui sumbangan kepada masyarakat.
"Bagi kami, kejayaan bermakna memberikan kembali kepada rakyat, terutama di Terengganu.
"Kami menaja pelbagai inisiatif seperti Terengganu FC, Terengganu Cycling Team (TSG), hoki, ragbi dan bola jaring.
"Selain itu, kami juga melaksanakan program untuk nelayan, anak yatim, ibu tunggal, dan pelbagai komuniti lain,” jelas beliau.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Ahmad Amzad Hashim, yang juga Ahli Lembaga Pengarah EPIC Berhad, turut memuji pencapaian luar biasa syarikat tersebut, beliau menggelar tahun 2024 sebagai detik bersejarah bagi EPIC.
"Hasil tertinggi RM404 juta ini membuktikan kemajuan syarikat.
"Lebih membanggakan, EPIC berjaya memperoleh kontrak penyelenggaraan pelantar carigali bernilai RM1.5 bilion, yang merupakan kontrak terbesar dalam sejarah syarikat,” katanya.
Beliau turut mengenang cabaran yang pernah dihadapi EPIC enam tahun lalu.
"Dulu, EPIC sinonim dengan kerugian. Saya ingat lagi waktu awal menyertai lembaga pengarah, syarikat berdepan hutang saman hampir RM80 juta.
"Tapi alhamdulillah, kini semua masalah itu selesai. Dari rugi, kita kini untung dan terus untung,” ujarnya dengan penuh semangat.
Menurut Amzad, kontrak RM1.5 bilion itu, adalah susulan kejayaan EPIC melaksanakan projek penyelenggaraan pelantar carigali ExxonMobil sebelum ini yang bernilai hampir RM500 juta.
"Saya yakin ini bukan pencapaian terakhir.
"Saya doakan EPIC terus maju dan keuntungan yang diperoleh dapat dinikmati oleh rakyat,” tambah beliau.
Amzad turut menegaskan bahawa sebagai syarikat milik kerajaan negeri, EPIC Berhad tidak hanya berorientasikan keuntungan semata-mata, tetapi juga bertanggungjawab kepada rakyat Terengganu.
"Kejayaan ini diharap menjadi pemangkin untuk syarikat terus menyumbang kepada masyarakat, baik dalam sektor pendidikan, sosial, mahupun ekonomi," ujarnya.
21 Jan 25
6740
Pembayar Cukai Taksiran Premis Perniagaan Terima Penghargaan
KUALA TERENGGANU, 31 Disember - Kerajaan negeri melalui Majlis Bandaraya Kuala Terengganu sangat menghargai pembayar cukai taksiran premis perniagaan.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, seramai 100 orang yang diraikan dalam Majlis Penyampaian Hadiah Cabutan Bertuah itu merupakan pembayar-pembayar cukai taksiran yang setia menjalankan aktiviti perniagaan di premis MBKT.
"Ini merupakan suatu inisiatif yang dilakukan oleh MBKT bagi memberi galakan kepada warganya untuk membayar cukai.
"Juga merupakan satu penghargaan kepada pembayar-pembayar cukai yang membayaranya pada awal waktu.
"Hasil pembayaran cukai ini adalah digunakan oleh pihak MBKT bagi menjamin keselesaan, kesenangan serta kesejahteraan yang manfaatnya dapat dinikmati oleh seluruh warga termasuklah mereka yang mencari rezeki dengan peniagaan dan sebagainya dalam kawasan pentadbiran MBKT," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa ditemui ketika sidang medianya, selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Porgram Cabutan Bertuah dan Penyampaian Hadiah Pemenang Cabutan Cukai Taksir, di Menara MBKT baru-baru ini.
Dalam pada itu Wan Sukairi memaklumkan cukai pintu kediaman rakyat di negeri ini ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri bermula 2019.
"Sehingga sekarang kita masih menanggung kos tersebut, cukai itu dikenakan kepada semua rumah-rumah kediaman, cuma ia dibayar oleh kerajaan negeri kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)," ujarnya.
26 Dec 24
92
Terengganu Laksana Sistem E-Invoice Menjelang 2026
KUALA TERENGGANU, 23 Disember - Terengganu akan setanding dengan negara-negara Eropah apabila merancang untuk melaksanakan sistem E-Invoice bagi cukai menjelang 2026.
Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau, Mohd Nur Khuzaini Ab Rahman berkata, langkah proaktif itu juga akan mengoptimumkan hasil pendapatan negeri.
"Alhamdulillah, perbincangan awal mengenai pelaksanaan E-Invoice di Negeri Terengganu telah memberikan gambaran yang jelas dan positif.
"Ini adalah langkah proaktif yang perlu diteruskan oleh pihak kerajaan untuk meningkatkan hasil negeri," ujarnya dalam satu kenyataan di facebooknya, di sini, baru-baru ini.
Tambah Khuzaini dengan pelaksanaan E-Invoice itu juga Terengganu akan berpeluang bukan sahaja berupaya mengoptimumkan kutipan cukai malah akan turut memperbaiki sistem pengurusan kewangan.
"Ini menunjukkan bahawa kita berada di landasan yang tepat untuk mengikuti arus kemajuan global," katanya.
23 Dec 24
263
Pahang Rayu Terengganu Kurangkan Harga Jual Air
KUANTAN, 17 Disember – Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail, merayu agar kadar harga air yang dibeli daripada Terengganu dikaji semula supaya lebih murah.
“Terengganu kini menetapkan harga jualan air pada kadar RM1.40 semeter padu, jauh lebih tinggi berbanding kadar yang dikenakan oleh Pahang kepada Selangor dan Negeri Sembilan sebelum ini.
“Sebagai jiran yang berkongsi sempadan, saya memohon agar Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) dan CEO Syarikat Air Terengganu (SATU) dapat berbincang untuk menyeimbangkan kadar harga ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian dan Penyerahan Projek Pembinaan Paip Agihan Air dari Kemaman, Terengganu ke Gebeng, Pahang yang berlangsung di Gebeng, di sini baru-baru ini.
Turut hadir, Menteri Besar Terengganu; Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Kerajaan Negeri; Dato’ Nara Setia Dato' Zulkifli Ali, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri; Hanafiah Mat.
Menurut Wan Rosdy, Pahang sebelum ini menjual air kepada Negeri Sembilan pada kadar hanya 80 sen semeter padu.
“Namun, harga air yang kita beli daripada Terengganu kini RM1.40.
“Kalau boleh, saya harap harga tersebut dikurangkan walaupun sedikit,” tambahnya.
Beliau turut menegaskan kepentingan kerjasama antara negeri jiran untuk mencapai situasi menang-menang.
“Kita saling memerlukan, jadi sewajarnya harga air ini lebih munasabah.
“Kalau lebih mahal sedikit daripada harga jualan kita ke Negeri Sembilan pun, kita masih boleh terima,” ujarnya lagi.
Terdahulu, Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) telah menyerahkan projek paip agihan air terawat sepanjang 29.8 kilometer, yang menjadi penyelesaian penting kepada gangguan bekalan air di kawasan perindustrian Gebeng, Pahang.
Paip ini, yang menghubungkan Tangki Bukit Kolam, Kemaman, ke Tangki Central B, Gebeng, menyalurkan tambahan 90 juta liter air terawat sehari. Bekalan ini akan memastikan keperluan air bersih kawasan Gebeng dipenuhi, seiring dengan pertumbuhan industri di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).
Projek ini juga dijangka menangani lonjakan permintaan air bersih, yang diunjur meningkat kepada 466 juta liter sehari menjelang 2025, berbanding bekalan semasa sebanyak 290 juta liter sehari.
Projek ini kini membuka laluan kepada pertumbuhan industri yang lebih mapan, sekaligus memberi keyakinan kepada pelabur untuk terus menyokong pembangunan ekonomi wilayah ini.
17 Dec 24
5686