lightning-solid
Berita :

Artikel "Ekonomi" Terkini

Empty Image
Usahawan Terengganu Diharap Lebih Ramai Miliki Sijil Mesti Dan Halal
Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) berharap lebih ramai usahawan di negeri ini tampil memohon untuk mendapatkan sijil Skim Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (Mesti) dan sijil halal bagi produk mereka.Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Dr Tengku Khairi A. Rahman berkata, sijil ini secara tidak langsung membuka ruang kepada usahawan untuk memajukan lagi perniagaan mereka.“YPU sentiasa bersedia untuk membantu kerana hasrat kita adalah untuk memastikan wujud peningkatan usahawan yang ada sijil Mesti dan halal pada tahun hadapan.“Justeru, kita mengharapkan transformasi daripada para usahawan. Kalau boleh ubahlah persepsi negatif di mana terdapat segelintir menjadikan alasan permohonan sijil-sijil ini terlalu rumit kerana YPU sentiasa bersedia menjadi pemudah cara,” ujarnya.Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Pengerusi Jawatankuasa Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri, Nawi Mohamad merasmikan Seminar Penutup Transformasi Halal dan Mesti Terengganu di Dewan Kovensyen Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu, hari ini.Turut hadir, Naib Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) Malaysia, Dato’ Prof. Dr Naim Mohammad.Sementara itu katanya, semua usahawan yag terlibat dalam seminar tersebut diharap akan berusaha menjadikan seminar itu sebagai batu loncatan untuk menjadi pengusaha halal yang mampu menembusi pasaran yang lebih luas.“Sekurang-kurangnya, pada tahun hadapan kita akan melihat bilangan peningkatan daripada 126 orang yang memiliki sijil halal meningkat kepada 200 orang, menjadi satu pencapaian yang agak baik kepada kita sebagai usahawan negeri Terengganu,” ujarnya.
17 Nov 16
75
Empty Image
Pasarnita Terengganu Jadi Contoh Dilaksana Seluruh Negara
  Pasarnita di Pasar Malam Tanjung, Kuala Terengganu akan dilaksanakan di seluruh negara bagi menambah pendapatan golongan wanita, sekali gus berupaya melonjak ekonomi negeri dan negara amnya.Penasihat Pembangunan Keusahawan dan Iktisas Wanita di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Shahrizat Abd Jalil berkata,Terengganu muncul negeri perintis yang merealisasikan perniagaan berkonsepkan tapak jualan khas untuk golongan wanita sebagai langkah membantu golongan sasar menjana ekonomi dan pendapatan keluarga."Saya sangat berbangga dengan komitmen kerajaan negeri dan tindakan bijak Menteri Besar (Ahmad Razif Abd Rahman) yang merealisasikan projek ini dalam masa yang sangat singkat, sebaik dicadangkan dua tahun lalu, sewajarnya  dipuji.“Saya mahu supaya usahawan wanita memanfaatkan peluang diberikan dengan sebaik mungkin. Ia menjadi satu pengiktirafan kerajaan negeri untuk golongan wanita dan saya mahu konsep pasarnita ini juga dilaksanakan di negeri lain. Wilayah Persekutuan akan menjadi negeri seterusnya melaksanakan konsep yang sama seperti di Terengganu," katanya ketika ditemui pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Pasarnita@Tanjung Kuala Terengganu di sini, hari ini.Majlis perasmian pasarnita itu disempurnakan Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman.Sementara itu, Ahmad Razif berkata, sebanyak RM13.9 juta diperuntukkan untuk membangunkan pasarnita berkenaan yang menyediakan 34 tapak kekal dari enam pavilion dan 101 tapak sementara yang akan menjadi pusat aktiviti keusahawanan negeri dengan menampilkan konsep yang lebih menarik, bersih dan eksklusif.Menurut beliau, premis perniagaan berkenaan mampu memberi manfaat kepada 135 usahawan wanita bagi mempamer serta memasarkan produk seperti pakaian, makanan, kesihatan, kecantikan dan seni kraftangan.Pasarnita beroperasi tiga hari seminggu iaitu Rabu, Khamis dan Jumaat bermula jam 3 petang hingga 12 tengah malam, manakala pasar malam akan mengambil tempat dan tempoh masa  yang sama sepanjang empat hari berikutnya.
16 Nov 16
262
Empty Image
Pusat Perniagaan Binjai Rendah RM8.2 Juta Dijangka Siap Pertengahan 2018
Penduduk di Marang bakal menikmati kemudahan perniagaan lebih kondusif apabila Kompleks Perniagaan Binjai Rendah, yang bernilai RM8.2 juta dijangka siap menjelang pertengahan 2018 nanti.Premis dua tingkat yang dilengkapi 42 unit lot kedai, sebuah kafe,  dataran, surau dan tandas bakal dibangunkan di atas tanah berkeluasan kira-kira 0.7 hektar.Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman berkata, reka bentuk projek yang berkonsepkan pusat perniagaan moden merupakan satu medium yang menyediakan kemudahan kepada peniaga untuk mengkomersialkan produk masing-masing dan menyediakan peluang pekerjaan kepada masyarakat sekitarnya.“Projek dengan inisiatif bersama oleh YB A. Latiff Awang (Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Berangan) sejak September yang lalu, bersama-sama dengan pihak JKR (Jabatan Kerja Raya) Negeri Terengganu dan Pejabat Daerah Marang ini juga akan merangsang kerancakan pembangunan dan aktiviti di sekitarnya.“Kemudahan ini sudah selesai direkabentuk oleh pihak perunding untuk direalisasikan pembinaannya dan bakal menjadi mercu tanda baru di Pekan Binjai Rendah,” katanya.Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis Peletakan Batu Asas Bangunan Komersil Binjai Rendah Marang di Pekan Binjai Rendah, Marang, semalam.Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Negeri, A. Latiff Awang.Dalam pada itu, Ahmad Razif berkata, setiap Adun Barisan Nasional diberikan peruntukan untuk melaksanakan projek pembangunan sebagai mercu tanda di kawasan masing-masing sebanyak RM30 juta.Katanya,  peruntukan RM30 juta  kepada setiap Adun dengan jumlah keseluruhan RM510 juta seluruh Terengganu itu akan diagihkan RM10 juta setiap tahun.Sementara itu, A. Latiff berkata bagi DUN Pengkalan Berangan, selain RM8.2 juta dibelanjakan bagi membina pusat perniagaan berkenaan, RM1.8 juta lagi digunakan bagi membina jambatan dari Kampung Merchang ke Pulau Ragut, Merchang.Selain itu, lebihan peruntukan sebanyak RM20 juta lagi akan digunakan untuk membina Kompleks Sukan di Wakaf Tapai merangkumi pusat boling , dewan futsal dan badminton yang bernilai kira-kira RM15 juta . Katanya, projek-projek lain yang dirancang di DUN itu termasuklah membina Masjid Kampung Jerong Tuan dan membaikpulih bangunan Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Binjai Rendah.
15 Nov 16
278
Empty Image
Pasarnita Pertama Terengganu Lancar 16 November Ini
Terengganu merintis transformasi ekonomi wanita apabila Pasarnita pertama di Terengganu bakal dilancarkan di Pasar Malam Tanjung, Kuala Terengganu pada 16 November ini.Majlis pelancaran akan disempurnakan oleh Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman, kira-kira jam 3.30 petang. Turut hadir Penasihat Ekonomi Wanita, Tan Sri Shahrizat Abd Jalil.Pengurus Pembangunan Perniagaan, Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu, Engku Mohd Hairulnizam Tuan Ahmad  berkata, sempena pelancaran itu, pelbagai program menarik akan disajikan kepada orang ramai seperti penampilan artis terkenal dan juga termasuk aktiviti jualan produk daripada usahawan tempatan wanita sepanjang enam hari bermula dari jam 3 petang hingga 12 malam. Walaubagaimanapun, pada hari perasmian, perniagaan akan bermula seawal jam  9 pagi. “Kita mensasarkan kira-kira 3,000 tetamu akan mengunjungi lokasi perasmian sempena pelancaran itu nanti terutama golongan wanita dari pelbagai agensi dan juga badan bukan kerajaan serta orang ramai,” katanya kepada Teganukita, hari ini. Menurut Hairulnizam, Pasar Malam Tanjung yang menyediakan 34 lot premis kekal dari enam Pavillion dan 78 lot untuk diisi oleh pelbagai usahawan, akan menjadi pusat aktiviti keusahawanan negeri dengan menampilkan konsep yang lebih menarik, bersih dan eksklusif. Katanya, pasarnita akan beroperasi tiga hari seminggu, iaitu pada Rabu, Khamis dan Jumaat, bermula jam 3 petang hingga 12 tengah malam,  manakala pasar malam akan mengambil tempat dan tempoh masa  yang sama sepanjang tiga hari berikutnya.Tambahnya, pusat perniagaan itu juga mampu menjadi tarikan utama bagi menjual dan mempamer pelbagai produk meliputi makanan, kraftangan, selain persembahan serta aktiviti seni.“Konsep yang diketengahkan juga berbeza dengan pasar malam biasa seperti peralatan jualan yang seragam, susun atur lebih kemas, penampilan usahawan dan kekemasan gerai, perkhidmatan kelas pertama, mengikut tema jualan berdasarkan hari tertentu.“Pasarnita akan menjadi tapak perniagaan khusus untuk usahawan kecil wanita tempatan dan menjadi pusat sehenti kepada orang ramai mendapatkan pelbagai jenis barangan keperluan keluarga,”katanya. Menurut beliau lagi, projek yang menjadi inisiatif pertama menerusi Pejabat Penasihat Pembangunan Keusahawanan dan Ikhtisas Wanita Jabatan Perdana Menteri itu pada awalnya tercetus  ketika kunjungan Tan Seri Shahrizat sempena pelancaran program wanita peringkat negeri di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, Kuala Nerus , dua tahun lalu.
10 Nov 16
429
Empty Image
Terengganu Buka Pintu Untuk Pelabur China
Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abd Rahman turut mempelawa pelabur China melabur ke Terengganu.Beliau kini bersama-sama Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abd Razak mengadakan lawatan rasmi enam hari ke China, sejak semalam dengan matlamat mengukuhkan lagi hubungan dua hala yang lama terjalin antara kedua-dua negara. Ketika dihubungi melalui aplikasi WhatsApp, beliau amat yakin bahawa dengan suasana ekonomi yang baik dan kestabilan politik akan membawa keinginan dan potensi yang baik kepada pelabur untuk datang ke negeri ini.Katanya, dalam mesyuarat meja bulat bersama pengusaha industri di China hari ini, ramai di kalangan pelabur berkenaan berminat untuk datang melabur ke Malaysia dan peluang itu digunakan untuk menawarkan agar Terengganu tidak ketinggalan menjadi destinasi pilihan mereka.Program itu adalah sebahagian dari aturcara lawatan Perdana Menteri ke China atas jemputan Perdana Menteri China.Turut sama ialah beberapa Menteri Kabinet Malaysia.
01 Nov 16
74
Empty Image
YPKT Peruntuk RM61 juta Biayai 17,800 Peserta PJD
Roslee bersama sebahagian peserta PJD pada Majlis Penyampaian Modal Program Jati Diri, di Dewan Utama YPKT, Kuala Terengganu, hari ini. Foto oleh Harish Fadzillah KassimYayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) membiayai 17,800 peserta Program Jati Diri (PJD) dengan kadar pinjaman modal perniagaan  kira-kira RM61 juta sejak 1995.  Daripada jumlah itu, hanya 48 peserta melibatkan pinjaman hampir RM100,000 dikesan gagal membayar balik atas pelbagai faktor.Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri, Roslee Daud, berkata pada masa kini seramai 4,225 peserta PJD aktif membuat pinjaman.Katanya, kebanyakan peminjam menjalankan perniagaan jualan makanan, kedai runcit, jahitan, penternakan, salun kecantikan, kedai pengantin, jualan langsung dan pertanian.“Mana-mana isi rumah yang berpendapatan bawah RM3,000 sebulan layak membuat pinjaman sehingga RM20,000 atau bergantung kepada jenis peniagaan yang diusahakan .“Syarat pinjaman cukup mudah iaitu mengutamakan  suri rumah dan ibu tunggal.  Golongan belia dan kaum lelaki dipertimbangkan jika bersesuaian,” katanya.Menurutnya, syarat lain, peminjam  perlu menubuhkan kumpulan yang terdiri empat peserta yang akan berperanan sebagai penyokong, pemerhati dan penasihat.“Kaedah ini (berkumpulan) berjaya mengurangkan risiko kegagalan projek dan juga pembayaran balik pinjaman,”katanya.Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Modal Program Jati Diri, di Dewan Utama YPKT, Kuala Terengganu, hari ini.Hadir sama, Pengarah YPKT, Mohd Shafaruddin Mustaffa.Di majlis itu, seramai 139 peserta PJD menerima modal program PJD yang membabitkan pinjaman lebih RM1 juta.
30 Oct 16
131
Empty Image
NABZ Food Industries Hasil 3,600 Pau Sehari
Pau Nurul bukan sesuatu yang asing buat masyarakat Terengganu memandangkan perniagaan yang berasaskan makanan sejuk beku itu telah bertapak di negeri ini sejak 12 tahun lalu.Produk syarikat NABZ Food Industries Sdn Bhd bukan saja berjaya menebusi beberapa pasaraya terkenal tempatan malah luar Terengganu menawarkan lapan perisa istimewa, termasuk kacang merah, strawberi, kaya, kelapa, coklat dan kari ayam.Pengurusnya, Nor Aini Zakaria, 45, berkata, perniagaan itu bermula dengan modal sendiri sebanyak RM7,500 dan dari masa ke semasa perusahaan itu semakin berkembang dan mendapat perhatian ramai pihak.Katanya, tanpa adanya bantuan seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), SME Bank, Tekun atau Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) mungkin agak sukar sedikit untuk sama mengembangkan lagi perniagaan ini.“Seiring dengan arus kemodenan hari ini, pembuatan pau di kilangnya menggunakan mesin seratus peratus serta tujuh orang pekerja bagi menampung permintaan yang sentiasa bertambah dari masa ke semasa.“Kesemua proses pembuatan menggunakan mesin di mana sekurang-kurangnya 3,600 biji pau sehari perlu dihasilkan kerana kalau hendak harapkan kerja-kerja manual mungkin agak sukar memenuhi permintaan,” katanya.Justeru, tidak hairanlah dengan kegigihan yang dilakukannya itu, beliau memperoleh pelbagai pengiktirafan serta memenangi pelbagai anugerah antaranya Anugerah Usahawan YPU, Anugerah Usahawan Negeri Terengganu dan sebagainya. Nor Aini berkata bagi memastikan Pau Nurul terus berkembang, NABZ tampil dengan cara tersendiri iaitu mempromosikan produk dengan van bergerak.“Sebenarnya van bergerak ini telah lima tahun saya perkenalkan, di mana kami akan pergi ke pasar-pasar tani, pasar malam, selain aktif terlebih dalam pelbagai pameran berkait produk makanan halal yang dianjurkan pelbagai jabatan,” ujarnya.
28 Oct 16
734
Empty Image
Bazar Warisan Dimajukan Semula Syarikat Dari China
Bazar Warisan yang terletak berhampiran Pasar Payang akan dibangunkan semula menjadi restoran Cina Muslim oleh sebuah syarikat swasta dari China, Amber Resources Sdn Bhd.Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman berkata, kerajaan negeri menyerahkan Bazar Warisan kepada syarikat itu secara pajakan."Selain restoran halal Cina Muslim, syarikat itu juga akan mewujudkan gerai makanan antarabangsa dan hotel bajet. "Kita telah pun menandatangani kontrak untuk menyerahkan Bazar Warisan secara pajakan selama 20 tahun dengan tambahan lagi lima tahun (berdasarkan prestasi syarikat) kepada Amber Resources Sdn Bhd,” ujarnya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Paya Bunga Sentral dan paya Bunga Square, Kuala Terengganu, semalam.Turut hadir, Pengurus Besar Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu, Samiun salleh.Katanya, kos pengubahsuaian Bazar Warisan ditanggung sepenuhnya oleh syarikat tersebut."Mereka akan membuat pengubahsuaian di Bazar Warisan dan kos itu ditanggung mereka sepenuhnya, apabila siap kelak, Kuala Terengganu adalah cawangan kedua restoran itu yang terletak luar dari China selepas cawangan pertama di Kuala Lumpur, " katanya.
17 Oct 16
283
Empty Image
PMINT Square Beroperasi Menjelang 2017
PMINT Square, di tengah-tengah pusat bandar Kuala Terengganu yang dilengkapi pusat komersial, ruang pejabat serta hotel bakal mengubah landskap Bandar Raya Kuala Terengganu, apabila beroperasi sepenuhnya menjelang awal 2017.Komponen bangunan seperti Plaza Paya Bunga, Paya Bunga Square, Paya Bunga Sentral, Paya Bunga Hotel, Wisma PMINT dan Menara PMINT dihubungkan dengan jejantas pejalan kaki akan menjadi mercu tanda baru Terengganu yang merubah landskap pembangunan Kuala Terengganu khasnya dan Terengganu, amnya.Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman berkata, projek yang dibangunkan menerusi Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) dengan kos RM500 juta masih dalam pembinaan dan dijangka siap selewat-lewatnya Februari tahun hadapan.Katanya, pusat boling 36 lorong di Paya Bunga Sentral akan dibuka terlebih dahulu kepada orang ramai pada Disember ini.“Manakala 11 panggung wayang yang ditempatkan di bangunan yang sama akan mula beroperasi Februari tahun hadapan kerana terdapat beberapa masalah berkaitan rekaan dalaman yang memerlukan tempoh sekurang-kurangnya empat bulan untuk disiapkan.“Apabila kedua-dua pusat rekreasi keluarga di Paya Bunga Sentral ini beroperasi sepenuhnya secara tidak langsung ianya menjadi kekuatan dalam mempromosikan Tahun Melawat Terengganu 2017,” ujarnya kepada pemberita ketika melawat Paya Bunga Sentral dan Paya Bunga Square, Kuala Terengganu, hari ini.Turut hadir, Pengurus Besar PMINT, Samiun Salleh.Katanya, kerja-kerja hiasan dalaman 215 bilik hotel di Paya Bunga Square sedang rancak dilaksanakan sebelum hotel itu dijangka beroperasi pada Februari ini.
17 Oct 16
190
Empty Image
Raih RM1,800 Sebulan Hasil Tanaman Nangka Madu Semusim
Walaupun mengusahakan tanaman nangka madu hanyalah sebagai pekerjaan sambilan,  Roslan Mohamad, 47, mampu memperolehi pendapatan sekitar RM1,800 untuk semusim hasil perusahaannya itu.Ketika ditemui di kebun nangkanya Projek Kelompok Tanaman Nangka Madu yang terletak kira-kira lima kilometer dari Kampung Pelong, Setiu, Roslan yang bekerja sendiri itu mengakui dia tidak memerlukan banyak tumpuan untuk menjaga kebunnya."Saya lakukan kerja ini secara sambilan sahaja. Saya mula menanam nangka madu itu sejak 2012 dan hasilnya boleh dituai pertengahan tahun lepas dengan memperolehi pendapatan sekitar RM1,800 sehingga selesai musim berbuah," katanya.Roslan berkata, pada peringkat awal dia mengeluarkan modal sendiri sebanyak RM3,000 untuk membersih tanah berkelompok itu yang sebelum ini adalah tanah hutan yang belum diusahakan."Saya berterima kasih kepada kerajaan termasuk Jabatan Pertanian kerana menghulurkan semua bantuan untuk menjayakan kebun nangka itu termasuklah bantuan anak benih dan baja," katanya.Roslan yang menggunakan masa lapangnya untuk menguruskan kebun nangka itu mengakui sambutan orang ramai terhadap nangka madu amat menggalakkan."Buah ini memang laku kerana rasanya yang enak dan berkhasiat, saya tidak perlu menjualnya ke tempat lain kerana pembeli akan datang ke rumah setiap kali musim berbuah ataupun saya menjualnya hanya di kawasan sekitar kampung dan tidak sempat memasarkan di tempat lain," katanya.Seramai 29 penduduk menyertai Tanaman Berkelompok Nangka Madu itu dengan setiap peserta diberi tanah 0.8 hektar untuk diusahakan.Mereka mula mengusahakan kebun berkenaan sejak 2012 dan kini sedang memperolehi hasil kedua yang akan tamat Januari ini.
06 Oct 16
584