Artikel "Ekonomi" Terkini
Industri LNG : Anak Terengganu Tidak Ketinggalan
KUALA TERENGGANU, 15 April – Kerajaan Negeri Terengganu memberi jaminan bahawa pembangunan industri LNG turut memberi fokus kepada pembangunan modal insan tempatan serta penjenamaan semula Terengganu sebagai destinasi pelaburan berteknologi tinggi.
Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi, Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, projek LNG yang sedang dirancang akan membuka peluang latihan dan pembangunan kemahiran kepada rakyat tempatan.
"Kita akan menyediakan latihan dalam bidang teknologi LNG kepada tenaga kerja negeri ini,” katanya.
"Ini penting bagi memastikan anak Terengganu dapat terlibat secara langsung dan menjadi aset penting kepada industri tenaga masa hadapan.” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera berkata demikian ketika menjawab soalan lisan ADUN Bandar, Ahmad Shah Muhamed dalam Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga, Dewan Undangan Negeri Kelima Belas, di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Menurut Nurkhuzaini, selain meningkatkan kemahiran tenaga kerja, projek ini juga akan memperkukuh imej Terengganu sebagai negeri pelaburan yang dinamik dan berdaya saing.
"Kehadiran hab LNG akan menjadikan negeri ini lebih menarik kepada pelabur antarabangsa.
"Sektor perkhidmatan, pelancongan dan perniagaan tempatan juga bakal menerima limpahan manfaat secara langsung daripada pembangunan ini," tambahnya.
15 Apr 25
543
1,637 Ekar Ladang Solar: Terengganu Terus Pacu Tenaga Baharu
KUALA TERENGGANU, 15 April – Terengganu kini memiliki keluasan ladang solar mencecah 1,637 ekar atau bersamaan 662.47 hektar, menjadikannya antara negeri yang aktif mengembangkan tenaga boleh diperbaharui di Malaysia.
Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi, Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau Negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, perkembangan ini menunjukkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam menyokong agenda tenaga hijau.
"Sehingga kini, keluasan keseluruhan ladang solar negeri Terengganu adalah berjumlah 1,637 ekar.
"Ini menunjukkan perkembangan positif dalam sektor tenaga boleh diperbaharui di negeri ini," beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan ADUN Manir, Hilmi Harun dan ADUN Seberang Takir, Khazan Che Mat dalam Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga, Dewan Undangan Negeri Kelima Belas, di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Menurut beliau, projek ladang solar di daratan diberi keutamaan khususnya di kawasan yang tidak dapat dibangunkan dengan industri lain.
"Kalau pelabur berminat untuk di daratan, kita sangat memberi keutamaan jika tanah itu kawasan banjir atau berpaya.
"Ini kerana kita dapat menebus guna tanah yang tidak sesuai untuk pembangunan lain," jelasnya.
15 Apr 25
936
Terengganu Kaji Pertambahan Wakil Wanita
KUALA TERENGGANU, 20 Mac - Terengganu mengambil perhatian terhadap gesaan Projek Kestabilan dan Akauntabiliti untuk Malaysia (Projek SAMA) dan Bait Al Amanah agar kerajaan negeri menaikkan bilangan perwakilan wanita dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 3.1 peratus kepada 13.9 peratus.
Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya akan membuat penilaian atas cadangan yang dikemukakan badan bukan kerajaan (NGO) tersebut.
"Kita akan nilai dan kaji cadangan mereka, bergantunglah jika kita rasa selepas kajian pertimbangan itu perlu dibuat sesuatu pindaan, insya-Allah kita akan buat. Jadi bergantung kepada bagaimana pendapat selepas kita buat kajian nanti.
"Apapun, kita ucapkan terima kasih kepada NGO dan pihak-pihak di luar yang memberikan pandangan, pandangan ini akan dinilai mengikut keperluan semasa, kedudukan struktur masyarakat, budaya dan sebagainya yang ada di negeri Terengganu ini," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan insentif kemenangan Sukan Malaysia (SUKMA) dan Sukan Para SUKMA 2024 di Wisma Darul Iman, semalam.
Tambahnya, sebarang perubahan perlu melihat kepada struktur demografi masyarakat yang ada di negeri Terengganu.
"Saya difahamkan, kajian dilaksanakan NGO ini melihat dari segi nombor, bilangan. Sedangkan kalau kita hendak tengok keseluruhannya, ia perlu dilihat daripada pelbagai aspek dan menilai kedudukan masyarakat di sini, permintaan wanita sendiri. Ini yang kita kata kena lihat A to Z, bukan hanya dari sudut nombor.
"Kita kurang atau lebih, dibandingkan dengan negeri lain, kita kena lihat struktur demografi masyarakat negeri lain tidak sama dan ada keperluan untuk kita kaji secara holistik perkara ini," tambahnya.
Beliau turut menafikan kekurangan perwakilan wanita akan menyebabkan berlakunya pengabaian hak wanita-wanita di negeri itu.
"Hak wanita? tentu kita jaga. (Wakil rakyat) lelaki juga rapat dengan (isu-isu) wanita, saya tidak menafikan ada kepentingannya untuk mempunyai exco wanita secara khusus dan pertambahan adun wanita. Namun, kita perlu melihat banyak aspek sebelum dipertimbangkan," katanya.
20 Mar 25
144
Terengganu Menuju Era Bandar Pintar & Ekonomi Digital
KUALA TERENGGANU, 19 Mac – Terengganu kini bersedia untuk melonjak sebagai pusat bandar pintar dan ekonomi digital, hasil daripada kerjasama strategik antara syarikat milik penuh Kerajaan Negeri, Terengganu Advance Joint Digital Intelligent Developement Corporation (TAJDID) Corporation Sdn. Bhd. dan tiga syarikat teknologi terkemuka.
Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau Negeri Terengganu, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata, kerjasama dengan syarikat Kiwitech Sdn. Bhd., Digital Dagang Sdn. Bhd., serta Mieruka Sdn. Bhd. itu dijangka mempercepatkan transformasi bandar pintar, e-dagang, dan industri perkilangan digital negeri.
"Kiwitech komited untuk menjadikan Terengganu sebagai negeri pintar yang lebih selamat dan efisien.
"Dengan teknologi canggih, kita dapat membangunkan bandar yang lebih lestari dan mesra rakyat serta mengubah landskap pembangunan negeri.
"Kita mahu Terengganu menjadi contoh dalam penggunaan teknologi bandar pintar," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Menandantangani perjanjian Persefahaman (MOU) bersama Industri, di Wisma Darul Iman, di sini baru-baru ini.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri; Mohd Husaimi Hussin, Pengarah Eksekutif TAJDID Corporation Sdn. Bhd.; Azih Yusof.
Menurut Mohd Nurkhuzaini, inisiatif ekonomi digital terus diperluaskan melalui platform e-dagang Cartsini oleh Digital Dagang Sdn. Bhd. yang bakal membantu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) menembusi pasaran global.
"Platform e-dagang akan menjadi pemacu utama kepada usahawan digital negeri ini, kita mahu melihat lebih banyak produk tempatan menembusi pasaran nasional dan antarabangsa.
“Kemajuan teknologi membuka pintu baharu kepada perniagaan kita, kita yakin, dengan sokongan penuh, PMKS Terengganu mampu bersaing di peringkat global," jelasnya.
Sementara itu dalam sektor perkilangan, Mieruka Sdn. Bhd. akan memperkenalkan teknologi perkilangan pintar yang bakal meningkatkan daya saing industri tempatan.
"Teknologi ini akan merevolusikan sektor perkilangan di Terengganu.
"Automasi dan digitalisasi industri akan meningkatkan kecekapan serta mengurangkan kos operasi, lebih banyak syarikat tempatan perlu mengadaptasi teknologi baharu untuk kekal relevan.
"Kita mahu melihat industri tempatan berkembang ke peringkat lebih tinggi dengan teknologi moden," ujarnya.
17 Mar 25
282
Sukan Tradisional 'Tonik' Baru Pikat Pelancong Ke Terengganu
KUALA TERENGGANU, 24 Mac - Sukan tradisional seperti memanah, gasing dan wau mampu dijadikan tonik baharu dalam meningkatkan kehadiran pelancongan ke negeri Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, kejayaan mengangkat sukan-sukan berkenaan mampu mewujudkan segmentasi baru dalam tumpuan pelancong ke negeri itu.
"Tujuan saya sebenarnya besar, tetapi terlebih dahulu saya ingin lihat kesungguhan penganjur, sebab acara-acara tradisional ini dia perlu ada kesungguhan penganjur yang mempunyai minat mendalam. Kalau kita tengok ia biasanya dilaksanakan penganjur yang bersifat pemain atau pengamal sukan tersebut dan menjadi peserta sekali.
"Acara memanah tradisional memang kita hendak masukkan dalam kalendar pelancongan negeri, saya sedang buat penelitian mendapatkan jumlah berapa pembuat busur, pemanah tradisional dan pemain yang sudah berada di taraf antarabangsa.
"Sukan lain seperti gasing, wau ini kita telah ada di Kampung Budaya Terengganu (KBT). Suma sukan ini tidak sebesar sebagaimana dulu-dulu kerana pemainnya dari dalam negara sahaja. Saya telah maklumkan pengurus besar KBT, supaya sukan ini diadakan pertandingan untuk menghidupkannya," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), baru-baru ini.
Tambahnya, sukan memanah menjadi tumpuannya ketika ini berikutan ia bersifat antarabangsa.
"Dari Iran pun ada, di sebelah Timur Tengah juga ada peminatnya sama ada memanah sahaja atau memanah berkuda. Saya fikir memanah ini memang kita akan kumpul persatuan mereka untuk dijadikan satu produk baru pelancongan Terengganu," jelasnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal itu berharap, tahun ini dapat dijadikan momentum dalam menerima pelancong bagi Tahun Melawat Malaysia 2026.
"Pada 2024, saya amat bangga dengan kehadiran pelancong melebihi sasaran, cuma penyusunan dari segi acara perlu dikemas kini. Disebabkan itu pada tahun ini acara-acara utama lebih banyak dari tahun lepas dan lebih bersifat antarabangsa.
"Dalam masa sama, kita cuba membaik pulih beberapa kemudahan dan infrastruktur yang wajib. Di Terengganu ini, pulau-pulau menjadi segmen pelancongan paling panas, sebab itu kita membaik pulih jeti dan kemudahan di pulau-pulau di seluruh Terengganu.
"Tahun depan, kita akan sambut pelancong ke negara kita dan berusaha memastikan Terengganu jadi destinasi wajib singgah," ujarnya.
Dalam pada itu, hasrat itu tampak bakal menjadi nyata apabila Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hishamuddin Abdul Karim baru-baru ini memaklumkan, Festival Memanah Tradisional Busur OWL 916 akan kembali lagi bagi edisi penganjuran tahun 2025 yang akan diadakan di Padang Polo, Terengganu Equestrian Resort pada 28 hingga 29 Jun 2025.
Dijangka 2000 orang peserta melibatkan penyertaan daripada dalam dan luar negara yang akan menyertai festival berkenaan.
13 Mar 25
58
Kerjasama Terengganu-PNB Lonjak Ekonomi dan Peluang Pelaburan Baharu
KUALA TERENGGANU, 13 Mac - Kerjasama antara kerajaan negeri bersama Permodalan Nasional Berhad (PNB) bakal membuka ruang kepada perbincangan mengenai potensi kerjasama strategik dalam usaha memperkukuhkan ekonomi negeri melalui pelbagai inisiatif pelaburan.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya amat berbesar hati atas kunjungan hormat daripada PNB yang diketuai Pengerusinya, YM Raja Tan Sri Dato' Seri Arshad Raja Tun Uda, semalam.
Beliau menzahirkan keyakinannya bahawa kerjasama itu bakal memberikan impak positif terhadap pertumbuhan ekonomi negeri dan kesejahteraan rakyat.
“Kerajaan Negeri juga sentiasa positif untuk membuka peluang kerjasama antara kedua-dua pihak terutamanya bagi mengukuhkan ekonomi yang lebih mampan melalui projek-projek yang dilaksanakan.
“Saya juga amat menggalakkan masyarakat khususnya di Terengganu untuk mengambil peluang dalam pelaburan yang ditawarkan oleh PNB," ujarnya, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, semalam.
Kerjasama yang erat ini bukan sahaja akan meningkatkan daya saing Terengganu, malah turut menyumbang kepada kesejahteraan rakyat melalui pembangunan ekonomi yang inklusif dan mampan.
Dr. Samsuri percaya, dengan langkah proaktif, inisiatif-inisiatif yang bakal dilaksanakan akan memberi manfaat jangka panjang kepada negeri Terengganu sejajar dengan matlamat memperkukuhkan ekonomi negeri dan meningkatkan taraf hidup rakyat.
13 Mar 25
1053
TDM Catat Hasil Tertinggi Sepanjang Masa, Untung Naik 23 Peratus
KUALA TERENGGANU, 2 Mac – Anak syarikat kerajaan negeri, TDM Berhad sekali lagi mencatat rekod baharu dengan pendapatan tertinggi sepanjang masa sebanyak RM645 juta bagi tahun kewangan 2024.
TDM dalam satu kenyataan berkata, pendapatan itu meningkat 9 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Jelas kenyataan itu lagi, Keuntungan Sebelum Cukai (PBT) Kumpulan juga meningkat kepada RM29.5 juta bagi suku keempat yang berakhir pada 31 Disember 2024.
"Melonjak 23 peratus berbanding RM24.0 juta pada tempoh yang sama tahun lalu.
"Sepanjang tahun kewangan 2024, pendapatan Kumpulan meningkat sebanyak RM51.1 juta atau 9 peratus, didorong oleh pertumbuhan hasil daripada Bahagian Perladangan sebanyak RM29.6 juta (+11 peratus) dan Bahagian Penjagaan Kesihatan sebanyak RM21.5 juta (+6 peratus)," ujar TDM.
Tambah TDM lagi, walaupun terdapat sedikit penurunan dalam PBT tahunan kepada RM11.3 juta berbanding RM14.8 juta tahun sebelumnya, EBITDA masih mencatat jumlah kukuh sebanyak RM110.1 juta.
"Prestasi Bahagian Perladangan mencatat EBITDA sebanyak RM37.1 juta (+3 peratus) berbanding RM33.9 juta tahun sebelumnya, dengan PBT sebanyak RM19.7 juta bagi suku ini.
"Prestasi Bahagian Penjagaan Kesihatan Bahagian Penjagaan Kesihatan juga mencatat prestasi kukuh dengan peningkatan hasil sebanyak 3 peratus, daripada RM93.8 juta kepada RM96.9 juta sepanjang suku ini.
"Bagi tahun kewangan penuh, pendapatan meningkat 6 peratus kepada RM354.3 juta berbanding RM332.8 juta tahun sebelumnya. EBITDA meningkat kepada RM53.9 juta, manakala PBT turut meningkat kepada RM31.8 juta berbanding RM31.0 juta tahun sebelumnya," kata TDM.
02 Mar 25
2160
Terengganu, E&H Energy Meterai Perjanjian Kukuh Sektor Gas Asli Cecair
KUALA TERENGGANU, 21 Februari - Kerajaan Terengganu menerusi anak syarikatnya, Mentri Besar Trengganu Incorporated (MBI) memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan E&H Energy Sdn Bhd bagi mengukuhkan sektor gas asli cecair (LNG) di negeri berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian & Teknologi Hijau, Mohd Nurkhuzaini Ab.Rahman berkata, pengalaman syarikat terbabit diperlukan dan dijangka boleh menyumbang kepada ekosistem di Terengganu.
"MoU ini adalah kerjasama strategik antara anak syarikat Terengganu dengan pihak tersebut dengan memiliki pengalaman lebih 15 tahun di dalam industri, E&H Energy Sdn Bhd akan menyumbang kepada ekosistem tenaga di Terengganu dan mengukuhkan rantaian bekalan LNG tempatan.
"Kerajaan Negeri Terengganu komited menyokong pelaburan LNG dengan menyediakan kemudahan dan sokongan dasar yang diperlukan.
"Kerjasama ini diharapkan akan dapat menjadikan Terengganu sebagai destinasi pilihan bagi perniagaan LNG dan menyokong peralihan tenaga hijau," jelasnya di Facebook rasminya kelmarin.
Ujar Nurkhuzaini, melalui Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS 2030), pihaknya telah mengenal pasti pelaburan dalam minyak dan gas serta tenaga sebagai kluster utama untuk pembangunan ekonomi.
Ujarnya, sektor LNG berperanan sebagai alternatif lebih bersih bagi mengurangkan emisi karbon dan Terengganu bakal menjadi Hub LNG.
"E&H Energy Sdn Bhd telah menganjurkan Majlis 'RGT Kemaman Market Engagement- Business Procpect& Talk' yang telah mempertemukan Terengganu dengan pengusaha utaman LNG," jelasnya.
Katanya, permintaan global untuk LNG dijangka akan berlaku peningkatan lebih 50 peratus menjelang 2030 kerana peralihan industri arang baru batu kepada gas.
"Pasaran LNG Global dianggarkan berninail USD135.21 bilion pada 2023 dan dijangka mencapai USD 284.10 bilion pada 2032, mencerminkan potensi pelaburan besar dalam infrastruktur dan pendagangan LNG.
"'Liberalisation' pasaran gas di Malaysia perlukan pengembangan termila LNG untuk meningkatkan kecekapan dan keselamatan bekalan," tambah beliau.
21 Feb 25
1263
RM30.8 Bilion Disalur Bangun Tiga Negeri Maju, Terengganu Hanya RM4.2 bilion
KUALA TERENGGANU, 20 Februari - Kerajaan Persekutuan membelanjakan lebih RM30.8 bilion perbelanjaan pembangunan untuk negeri Johor, Selangor dan Pahang dalam Rolling Plan Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) berbanding hanya sekitar RM4.2 bilion sahaja untuk Terengganu.
Ketua Jabatan Penyelidikan & Pembangunan Dasar Institut Strategik dan Integriti Terengganu (TSIS), Mohd Eikhwan Ali berkata, jumlah itu merangkumi 49.3 peratus daripada jumlah keseluruhan RM62.5 bilion bagi perbelanjaan untuk negeri-negeri di Semenanjung Malaysia setakat ini.
Selain itu katanya, Johor, Selangor, Perak dan Pahang juga merupakan antara negeri yang merekodkan jumlah terimaan tertinggi pelbagai pemberian oleh Kerajaan Persekutuan.
"Justeru, tidak hairanlah negeri-negeri ini mempunyai infrastruktur pengangkutan, utiliti dan komunikasi yang jauh lebih baik berbanding negeri-negeri lain.
"Negeri-negeri ini juga mendapat kelebihan perdagangan daripada pelabuhan dan lapangan terbang bertaraf antarabangsa seperti Pelabuhan Klang, Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Pelabuhan Pulau Pinang serta KLIA, KLIA2, Senai International Airport dan Penang International Airport ditambah pula dengan jaringan lebuh raya yang menghubungkan dengan banyak destinasi.
"Kemudahan-kemudahan ini sangat penting untuk kemampanan ekonomi sesebuah negeri terutamanya dalam merapatkan jurang jarak, masa dan kos untuk perbekalan bahan mentah dan manarik pelaburan asing untuk mempercepat pembangunan dan menambah peluang pekerjaan," katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini.
Mohd Eikhwan.
Jelas Mohd Eikhwan, landskap negeri-negeri berkenaan juga sangat berbeza dengan Terengganu yang tiada lapangan terbang dan pelabuhan bertaraf antarabangsa manakala Lebuhraya Pantai Timur 1 dan 2 juga hanya menghubungkannya dengan Pahang dan Selangor serta KL.
"Setelah 68 tahun sejak Rancangan Malaya Pertama diperkenalkan, saiz ekonomi Terengganu sekarang hanya 2.5 peratus daripada saiz ekonomi negara.
"Terbukti, betapa terpinggirnya negeri ini sejak dahulu. Tidak mudah untuk membawa keluar negeri ini daripada keterpinggiran ini lebih-lebih lagi oleh Kerajaan Negeri yang baru memasuki penggal kedua," jelasnya.
Walau bagaimanapun ujar beliau, berdasarkan data, Terengganu mencatatkan peningkatan lebih baik dalam kadar pertumbuhan ekonomi berbanding negeri maju lain terutamanya selepas pemulihan ekonomi pasca-pandemik Covid-19 pada 2021, meskipun masih belum mampu menyaingi negeri-negeri maju yang memiliki belanja pembangunan yang tinggi.
"Di Semenanjung Malaysia, negeri-negeri yang boleh disifatkan sebagai maju seperti Selangor, Johor, Pulau Pinang, Perak dan Pahang mempunyai KDNK yang besar.
"Ini antaranya adalah disokong oleh populasi yang besar atau oleh perbelanjaan pembangunan besar diperuntukkan oleh kerajaan Persekutuan," ujarnya.
19 Feb 25
1097
Syarikat Terengganu, EPIC Berhad Sasar Pendapatan RM477 Juta
KUALA LUMPUR, 18 Februari - Anak syarikat kerajaan Terengganu, Eastern Pasific Industrial Corporation Sdn Bhd (EPIC Berhad) menyasarkan untuk meningkatkan pendapatan kepada RM477 juta tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC berhad, Dr. Ts. Muhtar Suhaili berkata, pihaknya optimis sasaran itu dapat dicapai melalui perancangan serta strategi yang telah dirangka.
"Antaranya EPIC Berhad telah mengembangkan portfolio perniagaan melalui pengambil alihan 70 peratus kepentingan dalam Rahar Niaga Sdn Bhd, syarikat yang terlibat dalam pembekalan bahan api marin.
"Selain kita mendapat dua kontrak besar syarikat minyak dan gas negara, PETRONAS iaitu 'Pan Malaysia, maintenance, commissioning and modification (MCM) and Hook-Up and Commissioning (HUC) services for package A2- (Penninsular Malaysia Asset (PMA) (5+3+2)' .
"Selain itu kita juga juga mendapat kontrak 'Panel contractor for Petronas' Downstream operating units under the provision of panel contractors for construction and modification works (CMW). (3+1+1)," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas menghadiri Majlis Menandatangani Memorandum Kerjasama Antara EPIC Berhad dan Rakan Perniagaan Strategik di Junior Ballroom, Aras 6A, Four Seasons Hotel, di sini, hari ini.
Tambah Muktar, antara strategi yang dilakukan bagi meningkatkan pendapatan adalah menambahbaik Pengkalan Kemaman Sdn. Bhd. dengan beberapa inisiatif baharu.
Terdahulu, EPIC berhad telah melakar rekod baharu dalam sejarah selepas meraih pendapatan berjumlah RM404 juta bagi tahun 2024.
Menurut Muhtar, sejak ditubuhkan pada tahun 1981 tahun lalu merupakan kali pertama pendapatan mencecah sebanyak itu.
18 Feb 25
739