lightning-solid
Berita :

Artikel "Ekonomi" Terkini

Tarif Tinggi AS Jejas Ekonomi Negara, Kerajaan Digesa Perluas Dagangan Baharu
Tarif Tinggi AS Jejas Ekonomi Negara, Kerajaan Digesa Perluas Dagangan Baharu
KUALA LUMPUR, 6 Mei – Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh menyuarakan kebimbangan terhadap tindakan Amerika Syarikat (AS) yang mengenakan tarif import tinggi ke atas Malaysia, yang disifatkannya sebagai satu bentuk tekanan yang mampu menggugat kestabilan ekonomi negara. Beliau berkata demikian ketika Mengulas mengenai isu perdagangan antarabangsa dalam Mesyuarat Khas Penggal Keempat Parlimen Kelima Belas semalam. Menurut beliau, kadar tarif yang dikenakan oleh AS ke atas produk Malaysia kini mencecah 24 peratus, jauh lebih tinggi berbanding Filipina (17 peratus) dan Singapura (10 peratus). Jelasnya, situasi ini sebagai serius dan memerlukan tindakan segera daripada kerajaan. “Ekonomi kita menjadi tidak menentu apabila tarif dikenakan terlalu tinggi. Ini satu bentuk tekanan yang memerlukan tindakan balas yang proaktif dari kerajaan,” katanya. Mengulas lanjut, beliau menegaskan keperluan Malaysia untuk memperluaskan pasaran dagangan dengan rakan dagang baharu bagi mengurangkan kebergantungan terhadap AS yang kini menyumbang lebih 40 peratus kepada jumlah perdagangan negara. Che Mohamad Zulkifly turut mempersoalkan sejauh mana inisiatif rundingan perdagangan baharu telah digerakkan serta negara-negara mana yang telah terlibat setakat ini. Katanya lagi, antara sektor utama yang terkesan dengan tarif tinggi ini termasuk sektor elektrik dan elektronik (E&E), getah, minyak sawit dan bahan kimia. Beliau turut memberi amaran bahawa sektor semikonduktor, yang menyumbang hampir 20 peratus kepada eksport E&E negara, juga berpotensi menjadi sasaran tarif pada masa akan datang. “Kita tak boleh tunggu sehingga semuanya dikenakan tarif. 'Prevention is better than cure'. Kita perlu bersedia dari sekarang dan cari rakan dagangan strategik yang baharu,” ujarnya. Dalam pada itu, Ahli Parlimen Besut itu turut menyentuh ketidaktentuan dasar ekonomi dalam negara termasuk peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta kenaikan tarif elektrik yang belum dijelaskan sepenuhnya. Tambahan pula, pelaksanaan subsidi bersasar yang dijangka bermula pertengahan tahun ini turut menambah kebimbangan rakyat terhadap beban kos sara hidup yang semakin meningkat. Beliau turut mencadangkan agar dasar import negara dikaji semula supaya selari dengan kapasiti pengeluaran dalam negara. “Kalau tarif kita terlalu tinggi, mereka tidak akan beli. Kita juga terlalu banyak bergantung kepada import. "Bila kita kurangkan import tanpa cukup pengeluaran dalam negara-pertanian, perkilangan – kita akan hadapi masalah besar. Ini perlu diberi perhatian segera,” jelasnya. 
06 May 25
130
Terengganu Tarik Pelaburan Komited RM1 bilion Sehingga Suku Pertama 2025
Terengganu Tarik Pelaburan Komited RM1 bilion Sehingga Suku Pertama 2025
KUALA TERENGGANU, 29 April - Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) berjaya memudahcara pelaburan komited berjumlah RM1 bilion di Terengganu setakat suku pertama tahun 2025. ECERDC dalam kenyataan hari ini berkata, angka itu mewakili 43 peratus daripada sasaran pelaburan sebanyak RM2.4 bilion yang ditetapkan untuk negeri tersebut tahun ini. Menurut ECERDC, sebahagian besar daripada pelaburan itu didorong oleh sektor pelancongan, yang mengukuhkan kedudukan Terengganu sebagai hab strategik untuk inisiatif pelancongan bernilai tinggi. Selain pelancongan, pelaburan tersebut turut merangkumi sektor utama lain seperti pertanian, pembuatan dan perkhidmatan. Ia sekali gus mencerminkan keyakinan tinggi pelabur terhadap kepelbagaian ekonomi dan potensi pembangunan negeri tersebut. “Pelaburan komited ini mewakili sebuah langkah penting dalam transformasi pelancongan dan pertanian di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER). “Antara projek di bawah pelaburan komited ini termasuklah ladang solar fotovoltaik berkapasiti 60MW yang telah diintegrasikan dengan projek pertanian, fasiliti pemprosesan Ammonium Paratungstate, serta pusat pengumpulan dan rawatan sisa. “Projek lain yang sedang dilaksanakan adalah ladang tenusu yang disokong oleh penanaman rumput napier dan sistem biodigester, serta fasiliti pengeluaran Calcined Kaolin,” kata kenyataan itu. Sementara itu, Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dalam kenyataan yang sama berkata, setakat Mac 2025, pelaburan yang telah direalisasikan di Terengganu mencecah RM729.7 juta dan berjaya mewujudkan lebih 1,000 peluang pekerjaan baharu. Beliau  berkata negeri ini terus meletakkan kedudukannya sebagai destinasi strategik untuk pelabur selain disokong oleh kerjasama erat antara kerajaan negeri, ECERDC dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA). "Sektor pembuatan kekal sebagai pemacu utama diikuti oleh pelancongan, pertanian dan perkhidmatan. "Kami komited untuk memajukan inovasi serta pertumbuhan mampan di seluruh sektor utama dari pertanian sehingga pembuatan berteknologi tinggi bagi mewujudkan pekerjaan berkualiti, merangsang kemajuan ekonomi jangka panjang dan mengukuhkan asas ekonomi negeri," katanya.
29 Apr 25
505
PMINT Peroleh Peruntukan RM82.1 Juta
PMINT Peroleh Peruntukan RM82.1 Juta
KUALA TERENGGANU, 23 April - Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) telah berjaya mendapatkan peruntukan berjumlah RM82.1 juta daripada Kementerian Ekonomi melalui pelbagai program pembangunan. Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PMINT, Dato' Wan Adnan Wan Derahman berkata, ia juga termasuk melalui 'Rolling Plan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), Projek 'People-Centric, inisiatif kemudahan rakyat dan projek khas. Ujarnya, antara cadangan pembangunan baharu pula membabitkan Kubang Parit (KP) Perdana fasa 8, dijangka dilancarkan pada suku ketiga 2025 merangkumi 140 unit kediaman dengan reka bentuk moden kotemporari. "Dalan pengurusan Perindustrian PMINT pula terlah berjaya memeterai 13 perjanjian pajakan tanah industri dan sedang berunding dengan pelabur berpotensi untuk pelaburan baharu bernilai RM6 bilion. "Antara pelabur termasuk Nova RE Suria (Hydrogen Plant), Eastern Steel (Hot Rod Coil0 dan JXR Manufacturing (Alumina)," ujarnya ketika ditemui pemberita semasa sidang medianya selepas menghadiri Majlis Pelancaran Logo 60 Tahun bertemakan Membina Masa Hadapan yang dirasmikan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Majlis berkenaan telah diadakan di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam. Dalam pada itu, Wan Adnan turut memaklumkan sebanyak RM46 juta dana pembangunan juga telah diluluskan melalui peruntukan Kerajaan Persekutuan dan negeri bagi kerja-kerja infrastruktur. "Bagi kerja-kerja infrastruktur di kawasan industri seperti Gong Medang, Bukit Labohan, Gong Badak, Kertih dan Dungun. "PMINT turut mengemudi pelaksanaan Dasar Pembangunan Pelaburan Perindustrian Negeri Terengganu 2023-2030 bertujuan menjadikan negeri ini sebagai hab pelaburan terkemuka menjelang 2030,"jelas beliau.  
23 Apr 25
696
Terengganu Jana Hasil Secara Progresif
Terengganu Jana Hasil Secara Progresif
KUALA TERENGGANU, 20 April - Kerajaan Terengganu telah membuktikan keupayaan menjana hasil secara progresif tanpa bergantung sepenuhnya kepada petroleum melalui usaha berani meneroka sektor-sektor baharu seperti mineral nadir bumi (REE), tenaga hijau serta pelaburan berasaskan kelestarian. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, melalui usaha terbabit dapat dilihat kesungguhan sebuah pentadbiran yang memilih jalan mencabar demi kepentingan jangka panjang rakyat dan negeri. "Berdasarkan data rasmi, purata hasil negeri menunjukkan peningkatan ketara berbanding kerajaan terdahulu iaitu RM189.1 juta bagi tempoh 2008-2013, RM234.9 juta (2014-2017) dan RM256 juta bagi tempoh 2018-2024. "Namun begitu, dalam kesungguhan menjana pendapatan baharu, Negeri Terengganu tidak sesekali melupakan haknya yang masih belum dikembalikan sepenuhnya iaitu royalti petroleum. "Perkara ini telah ditegaskan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu yang berakhir (minggu lalu) bahawa kerajaan negeri akan tetap menuntut kepunyaan rakyat Terengganu itu," ujarnya. Beliau berkata demikian melalui kenyataan medianya, 'Terengganu Tidak Tunggu Disuap, Tapi Tidak Reda Hak Diragut, di sini, semalam. Mengulas lebih lanjut isu berkait tuntutan royalti ini bukan baharu namun ia juga bukan satu permintaan tetapi hak yang telah termaktub dan dijamin. "Selagi mana hak ini belum dilunaskan, selagi itu suara dan tuntutan akan terus disuarakan dengan tegas, konsisten dan tanpa kompromi," tegasnya. Jelas beliau, Terengganu tidak pernah dibina atas dasar kebergantungan. "Sejak dahulu, asas pembinaan negeri ini berpaksikan kedaulatan, maruah dan daya tahan. "Menjadi amanah dan tanggungjawab kerajaan yang diberi mandat untuk memastikan hasil negeri bukan sahaja dipelihara, malah terus diperkasa secara bermaruah," ujar beliau.  
20 Apr 25
258
Terengganu Serius Teroka Sumber Ekonomi Baharu
Terengganu Serius Teroka Sumber Ekonomi Baharu
KUALA TERENGGANU, 18 April — Komitmen dan kesungguhan Kerajaan Negeri Terengganu dalam meneroka sumber ekonomi baharu yang mampan dan berdaya saing wajar diberikan penghargaan, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor. Beliau berkata, langkah berani dan berpandangan jauh ini membuktikan bahawa kerajaan negeri tidak hanya bergantung kepada sumber tradisi seperti minyak dan gas semata-mata. "Sebaliknya, Terengganu sedang giat meneroka pelbagai sumber ekonomi baharu selaras dengan perubahan global ke arah tenaga bersih dan mampan," katanya. Tambah beliau, usaha mempelbagaikan sektor ekonomi seperti pelancongan, ekonomi digital, pertanian moden, industri halal, tenaga boleh diperbaharui serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dilihat seiring dengan aspirasi negara menuju ke arah ekonomi berpendapatan tinggi. “Pendekatan ini mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap kelestarian ekonomi jangka panjang serta peningkatan taraf hidup rakyat, khususnya anak muda dan graduan,” ujarnya lagi. Menurut Zuraida, inisiatif bersepadu ini juga memberi impak besar dalam memperkasakan sosioekonomi luar bandar dan mengurangkan kadar kemiskinan negeri. Beliau optimis bahawa dengan sokongan padu semua pihak, Terengganu akan terus melonjak sebagai negeri contoh yang membangun secara holistik, berintegriti dan diberkati.
18 Apr 25
145
Terengganu Tetapkan Hala Tuju Jadi Peneraju Industri REE
Terengganu Tetapkan Hala Tuju Jadi Peneraju Industri REE
KUALA TERENGGANU, 17 April – Kerajaan Negeri Terengganu menetapkan hala tuju baharu untuk menjadi peneraju industri Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE) menerusi pendekatan berfasa, lestari dan strategik, dengan tekad untuk memastikan manfaatnya kembali kepada rakyat dan ekonomi negeri. Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri sangat komited meneroka sumber NR-REE secara beretika dan berhati-hati demi mengelakkan kesilapan silam. “Kita tidak mahu ulangi kelemahan dalam sektor silika – perkara sama yang dibangkitkan oleh YB Seberang Takir dan lain-lain. “Pembangunan sektor ini mesti dilaksana dengan pematuhan teknikal, pendekatan berhemah dan libat urus komuniti bagi memastikan keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan kelestarian alam sekitar,” katanya. Beliau berkata demikian dalam sesi pergulungan Usul Menjunjung Kasih sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Kelima Belas yang berlangsung di Wisma Darul Iman, semalam.  Beliau berkata, Terengganu telah mengenal pasti potensi terbesar sektor NR-REE di Malaysia dan bersedia memimpin pembangunan sumber ini secara strategik. "Potensi yang ada di Terengganu adalah paling signifikan di Malaysia. "Satu kerangka kerja dan peta jalan NR-REE telah dirangka bagi memastikan manfaat yang terbanyak kembali kepada rakyat negeri ini," tambah beliau. Katanya, penguasaan teknologi pemprosesan menjadi keutamaan kerana kebergantungan global kini masih tertumpu kepada satu negara. "Hala tuju Negeri dalam sektor NR-REE turut dipacu oleh keperluan mengakses teknologi pemprosesan, yang kini banyak dikuasai oleh China. "Kerajaan Negeri sedang giat meneroka kerjasama strategik dengan negara-negara lain seperti Australia, Jepun, dan Korea bagi mendapatkan teknologi alternatif yang lebih terbuka dan lestari," jelasnya. Tambah beliau, pelaburan dalam sektor ini bukan sahaja menjana pendapatan, malah membuka ruang pekerjaan dan industri sokongan yang lebih kukuh. "Matlamat kita jelas, iaitu untuk memastikan rantaian nilai industri ini dibina dan kekal di Terengganu. "Melalui pewujudan peluang pekerjaan, pembangunan industri sokongan, pelaburan berimpak tinggi, dan pemindahan teknologi, ekonomi negeri dapat dipacu ke hadapan," ujar beliau. Beliau turut memaklumkan bahawa kerja-kerja awal telah bermula dan sambutan pelabur global amat memberangsangkan. "Setakat ini, dua kawasan telah diluluskan bagi kerja-kerja persampelan dan eksplorasi NR-REE. "Kerajaan Negeri turut berusaha menarik minat pelabur global, untuk membangunkan segmen pertengahan dan hiliran industri ini di Terengganu," jelas beliau. Katanya lagi, pendekatan menyeluruh ini mampu meletakkan NR-REE sebagai tonggak ekonomi baharu negeri. "Langkah ini dijangka memberi kesan pengganda ekonomi yang besar. "Sektor NR-REE bakal menjadi salah satu sumber pendapatan strategik baharu untuk Negeri," ujarnya.
18 Apr 25
891
Terengganu Peroleh RM1.06 Juta Hasil Perlombongan Silika
Terengganu Peroleh RM1.06 Juta Hasil Perlombongan Silika
KUALA TERENGGANU, 16 April - Kerajaan Terengganu memperoleh pendapatan sebanyak RM1.069 juta pada tahun 2024 hasil daripada perlombongan dan perusahaan silika.  Menurut Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman, jumlah tersebut berdasarkan perkiraan kadar lama royalti iaitu sebanyak RM1.50 per metrik tan daripada nilai. "Untuk tahun 2025 ini, kita telah meluluskan kadar baharu royalti iaitu sebanyak lima peratus daripada nilai jualan atau sekitar RM4.00 per metrik tan. Dengan pertambahan royalti ini, insya-Allah akan meningkatkan jumlah kepada RM6.529 juta. "Perkiraan kadar tersebut masih dalam peringkat rundingan antara pemegang lesen, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Negeri Terengganu bersama Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Malaysia Terengganu untuk dimuktamadkan. "Ini kerana, apabila kita lontarkan suatu angka pihak pemain industri ini mengatakan ia agak tinggi. Cuma, menerusi perbincangan yang diadakan walaupn kita melihat permintaan di peringkat dunia agak menurun, tetapi permintaannya masih ada," katanya ketika berucap dalam sesi penggulungan di Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini. Jelasnya, dianggarkan kutipan hasil keseluruhan boleh mencapai RM7.5 juta dan hasil tersebut diperoleh melalui pemajak yang telah diberi kelulusan iaitu PMINT-PERMINT GRANITE Sdn Bhd di Bukit Senyamok, Mukim abang Dungun dan Terengganu Silika Consortium, anak syarikat Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) di Darat Bari, Setiu. "Dalam pada itu, keberkesanan penguatkuasaan bagi memastikan hasil yang sepatutnya dibayar kepada Kerajaan Negeri oleh pengusaha silika bergantung kepada beberapa faktor yang melibatkan tindakan penguatkuasaan, pemantuan dan kesediaan pengusaha untuk mematuhi peraturan. "Kita mendapat maklum balas daripada Pejabat PTG bahawa mereka kekurangan kakitangan  dan memohon kerajaan mempertimbangkan untuk melengkapkan kakitangan tersebut," katanya yang menekankan pemantauan terhadap pengusaha silika bagi memastikan mereka memenuhi setiap syarat- syarat kelulusan yang telah ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Negeri.  Dalam pada itu, Nurkhuzaini turut menjawab celahan ADUN Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili yang mencadangkan penglibatan kerajaan negeri secara langsung dalam industri berkenaan supaya mampu menjana kutipan hasil lebih tinggi. "Kita telah pun mengambil langkah-langkah ke arah itu. Kerjasama kita dengan pihak Terengganu Silika (Consortium) dan sekarang ini untuk makluman dewan, Terengganu Silika membuka ruang untuk kita turut serta secara langsung. "Begitu juga dengan kaedah terbaru ini, kita mengambil pendekatan untuk pihak kerajaan melalui anak syarikat berkaitan untuk terlibat sama dalam pengeluaran dan insya-Allah akan berlaku di sebelah Terengganu Utara dalam masa terdekat ini," ujarnya.
16 Apr 25
2083
Kaji Potensi Tinggalan Perlombongan Sebagai Sumber Baharu Negeri
Kaji Potensi Tinggalan Perlombongan Sebagai Sumber Baharu Negeri
KUALA TERENGGANU, 15 April - Selaras titah DYMM Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin sempena Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga DUN ke-15, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman mengusulkan kerajaan negeri menguruskan peninggalan perlombongan secara bijak yang amat berpotensi, bukan sahaja sebagai tapak warisan tetapi juga sebagai tapak sumber baharu seperti Rare Earth Elements (REE). "Kajian menyeluruh dan penglibatan komuniti setempat amat penting agar hasil bumi ini memberi manfaat kepada penduduk, bukan menjejaskan alam sekitar yang seharusnya dijaga dipelihara dengan baik. "Kawasan bekas perlombongan yang boleh dijadikan tarikan sejarah dan eko pelancongan juga diberi tumpuan seperti Tasik Puteri Bukit Besi. "Bukit Besi menyimpan sejarah penting sebagai pusat perlombongan bijih besi terbesar di Asia Tenggara sekitar tahun 1920 hingga 1970-an. "Lokasi seperti Laluan Rel Lama, terowong tinggalan lombong, dan kawasan perkampungan bekas pekerja lombong boleh dibangunkan sebagai produk pelancongan warisan dan pendidikan," katanya dalam ucapan perbahasan titah di Wisma Darul Iman, hari ini. Jelasnya, pelaburan dan kemudahan asas serta promosi pelancongan lestari perlu ditingkatkan agar memberi limpahan ekonomi kepada penduduk tempatan sekali gus membuka ruang serta peluang pekerjaan terutamanya kepada golongan muda. "Dalam masa sama, saya turut menyambut baik cadangan pembinaan yang melibatkan tenaga solar & hidro di Hulu Dungun yang diketahui umum berada jauh dari bandar. "Ia bukan sahaja menjimatkan kos malah menyokong usaha kelestarian alam sekitar," katanya.  
15 Apr 25
173
Terengganu Semakin Maju, Tarik Minat Pelabur Luar
Terengganu Semakin Maju, Tarik Minat Pelabur Luar
KUALA TERENGGANU, 15 April - Peningkatan jumlah kedai francais dan pasar raya di daerah kecil seperti Dungun menjadi petunjuk jelas bahawa Terengganu semakin diyakini sebagai destinasi pelaburan yang berpotensi. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahimi Zulkifli berkata, kewujudan pelbagai vendor luar di Terengganu menunjukkan keyakinan pihak luar terhadap pembangunan ekonomi negeri itu. “Saya juga perasan bahawa telah wujud lebih banyak kedai-kedai franchise dari luar. Bahkan bandar sekecil Dungun telah ada pasaraya GIANT, Sushi King, Subway, EMart dan macam-macam vendor luar yang mula bertapak. “Saya berfikir mungkin inilah masanya negeri ini telah mendapat kepercayaan pihak luar untuk bertapak,” katanya ketika membahaskan titah DYMM Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin sempena istiadat Pembukaan Penggal ketiga DUN ke-15 di Wisma Darul Iman, hari ini. Menurut beliau, negeri Terengganu turut menikmati pembangunan pesat hasil daripada kekayaan sumber semula jadi yang dimiliki, termasuk dari sektor darat dan lautan. “Inilah kurniaan Allah kepada negeri Terengganu yang bertuah. Hasil dari darat dan lautan yang menjadi rezeki agar kita bersyukur. Dan kita sendiri dapat melihat Pembangunan yang semakin rancak di negeri ini,” katanya lagi. Mohd Fadhli turut menyentuh perubahan landskap di kawasannya yang kini menyaksikan pertumbuhan pesat sektor industri. “Jika ditempat saya, telah tersergam bangunan industri dilaluan utama jalan persekutuan Rantau Abang. Pembangunan seperti ini tentu akan memberi manfaat kepada penduduk sekitar dan Pembangunan tenaga kerja profesional dalam bidang-bidang Baharu kelak,” jelasnya. Beliau menzahirkan keyakinan bahawa Terengganu sedang berada di landasan tepat menuju status negeri membangun. “Insya-Allah Terengganu mempunyai masa depan yang cerah dalam menjadikan negeri ini sebagai hab ekonomi yang mampu menarik pelaburan Baharu dalam 5 tahun mendatang,” katanya penuh optimis.
15 Apr 25
845
Suntik Inisiatif Khas Atasi Lambakan Buah-buahan
Suntik Inisiatif Khas Atasi Lambakan Buah-buahan
KUALA TERENGGANU, 15 April - Inisiatif secara berterusan perlu dilaksanakan bagi mengelakkan isu lambakan buah-buahan terus berulang. "Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata, pertumbuhan sebanyak 7.4 peratus berbanding negatif 4.7 peratus pada tahun 2022 sehingga menjadikan sektor pertanian sebagai antara sektor terbaik, merupakan satu usaha yang cemerlang dilaksanakan kerajaan negeri. "Namun, isu lambakan tembikai dan buah-buahan kampung saban tahun menjadi masalah utama yang menyebabkan harga (jualan) menjadi terlalu murah. "Jadi, Batu Rakit mohon isu lambakan ini diambil perhatian serius oleh pihak kerajaan supaya petani kita gembira apabila sampai masa menuai.  "Kerajaan ada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang boleh bantu tembusi pasaran dimana-mana sahaja dalam negara atau ke luar negara," katanya ketika membahaskan titah DYMM Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin sempena Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga DUN ke-15 di Wisma Darul Iman, hari ini. Tambahnya, kerajaan negeri perlu memperkasakan tindakan yang diambil, supaya gerak kerja sedia ada yang sedang berlangsung mampu mencapai hasil terbaik. Sebagai rekod, kerajaan negeri telah melancarkan Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2024-2030 sebagai pemangkin kepada usaha memodenkan sektor pertanian, sekali gus mendorong pertumbuhan KDNK sektor itu sehingga 12 peratus menjelang tahun 2030.          
15 Apr 25
83