Artikel "Ekonomi" Terkini
ECE 2025 : Masa Depan Tenaga Hijau Malaysia Bermula di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 23 Jun – Persidangan East Coast Energy (ECE) 2025 membuka lembaran baharu dalam sejarah tenaga negara apabila Terengganu tampil sebagai peneraju transformasi tenaga bersih, sekali gus menyalakan obor masa depan hijau Malaysia melalui pelaburan strategik, inovasi teknologi dan kerjasama serantau yang berimpak tinggi.
Pihak ECE 2025 dalam satu kenyataan memaklumkan, persidangan sulung yang berlangsung di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, di sini menghimpunkan lebih 900 perwakilan termasuk pembuat dasar, pemimpin industri tenaga, pelabur dan inovator dari dalam dan luar negara.
Ujar kenyataan berkenaan, Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar memaklumkan penganjuran ECE 2025 menjadi simbol tekad dan gerakan besar untuk menjadikan Terengganu sebagai peneraju dalam transformasi tenaga bersih berasaskan inovasi, ketahanan dan pemerkasaan serantau.
Dengan tema ‘Inovasi Tenaga, Memacu Pantai Timur’, ECE 2025 memberi tumpuan kepada empat teras utama iaitu Memperkasa Komuniti Tempatan, Keselamatan dan Inovasi Tenaga, Peralihan Tenaga dan Penangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS).
Ucapan khas turut disampaikan oleh Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia PETRONAS, Datuk Ir. Bacho Pilong yang menegaskan komitmen PETRONAS dalam membentuk masa depan industri tenaga di Pantai Timur.
“Pantai Timur kekal sebagai wilayah berpotensi besar. PETRONAS mengambil langkah proaktif untuk menarik pelabur, mempercepat transformasi dan membawa kemajuan berimpak tinggi,” kata kenyataan itu.
Terdahulu, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan merasmikan ECE 2025.
Baginda diiringi Ahmad Samsuri Mokhtar selaku Penaung Eksekutif ECE 2025.
Turut hadir ialah Pengerusi ECE 2025, Dato’ Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc., Dato’ Burhanuddin Hilmi Mohamed, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Dr. Ts. Muhtar Suhaili, serta beberapa wakil kanan PETRONAS dan agensi teknikal lain.
Selain forum berimpak tinggi, ECE 2025 turut menampilkan pameran teknologi tenaga hijau, program outreach komuniti termasuk rawatan pergigian kepada lebih 300 penduduk luar bandar, serta Program Pemimpin Muda yang menghubungkan pelajar dan profesional muda dengan mentor sektor tenaga.
23 Jun 25
546
Terengganu Pimpin Pembangunan Tenaga Boleh Diperbaharui - Petronas
KUALA TERENGGANU, 23 Jun – Terengganu kini berada di landasan tepat untuk muncul sebagai negeri peneraju dalam pembangunan tenaga boleh diperbaharui negara.
Perkara itu dinyatakan oleh Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia PETRONAS, Datuk Ir. Bacho Pilong dalam ucapan beliau sempena Seminar East Coast Energy (ECE) 2025 di Kuala Terengganu hari ini.
Katanya, perkara itu boleh dilihat menerusi pelaksanaan projek-projek berimpak tinggi termasuk Ladang Solar Terapung Hibrid Kenyir dan pembangunan hab hidrogen hijau pertama di Terengganu.
"Projek Ladang Solar Terapung Hibrid Kenyir mampu menjana sehingga 1,000 megawatt kuasa solar dan separuh daripada kapasiti tersebut akan digerakkan khusus untuk projek hab hidrogen hijau pertama Terengganu hasil kerjasama Terengganu Inc, PETRONAS,TNB," katanya.
Tambah beliau, langkah tersebut bukan sahaja meneruskan legasi Terengganu sebagai pemain utama industri minyak dan gas negara, malah menandakan permulaan era baharu di mana negeri itu memimpin peralihan kepada tenaga bersih dan lestari.
"Projek ini akan terus meletakkan Terengganu di peta, memperkukuh legasi minyak dan gas serta memimpin tenaga boleh diperbaharui," ujar beliau lagi.
Selain tumpuan kepada pembangunan tenaga hijau, PETRONAS juga ujarnya terus komited dalam memperkasa komuniti setempat serta memelihara kelestarian alam sekitar di Terengganu.
"Antara inisiatif utama yang turut digerakkan PETRONAS di negeri ini termasuk Akademi Peralihan Tenaga PETRONAS ditubuhkan di Institut Teknologi Petroleum PETRONAS (INSTEP), Terengganu, bagi melatih tenaga kerja masa depan dalam industri rendah karbon.
"Program Pembangunan Vendor dan Pembiayaan yang telah menyalurkan lebih RM342 juta kepada 54 syarikat berasaskan Terengganu sejak 2018, serta melibatkan penyertaan aktif 10 vendor tempatan di bawah program pembangunan vendor Bumiputera.
"Projek Pemuliharaan Marin seperti Rigs-to-Reef dan Tubular-to-Reef yang berjaya meningkatkan biodiversiti ikan sehingga 30 peratus, mencatat peningkatan tahunan 10 peratus dalam nutrien ikan dan pengesanan 42 spesies unik di sekitar struktur terumbu tiruan di Pulau Kapas," jelasnya.
Ir. Bacho turut menegaskan bahawa pembangunan pesat sektor tenaga tidak seharusnya terhad kepada keuntungan industri semata-mata, sebaliknya perlu memberi impak secara menyeluruh kepada kehidupan masyarakat dan alam sekitar.
"Dengan pelbagai inisiatif strategik dan sokongan menyeluruh daripada semua pihak, Terengganu dilihat semakin kukuh mendepani perubahan dan berpotensi menjadi hub tenaga baharu negara menjadikan Pantai Timur bukan sahaja pengeluar utama sumber tenaga, malah peneraju transformasi ke arah masa depan yang lebih lestari dan mapan," tambah beliau.
23 Jun 25
1852
GLC Terengganu, EPIC Berhad Catat Peningkatan Pendapatan, Untung
KUALA TERENGGANU, 20 Jun – Anak Syarikat Kerajaan Terengganu, Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC Berhad) mencatat prestasi cemerlang bagi tahun 2024 dengan pendapatan berjumlah RM403.8 juta, peningkatan 17.4 peratus berbanding RM344 juta pada tahun sebelumnya.
Keuntungan kasar syarikat turut meningkat kepada RM164.8 juta, berbanding RM129.8 juta pada 2023, hasil kecekapan operasi dan pengurusan kos secara berhemah.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Dr. Ts. Muhtar Suhaili berkata, pencapaian kewangan dan kejayaan mendapatkan kontrak baharu meletakkan EPIC di landasan kukuh untuk meneruskan pertumbuhan berdaya saing dan mampan pada tahun 2025.
“Gabungan prestasi operasi, pengambilalihan strategik dan projek baharu meletakkan EPIC dalam kedudukan bersedia untuk terus menyokong ekosistem minyak dan gas negara, khususnya di Pantai Timur,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-44 EPIC Berhad yang dipengerusikan oleh Pengarah EPIC, Datuk Ahmad Amzad Mohamed@Hashim, mewakili Pengerusi EPIC, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
Untuk rekod, meneruskan momentum tersebut, EPIC Berhad berjaya memperoleh dua kontrak utama daripada PETRONAS.
Kontrak pertama adalah bagi penyediaan perkhidmatan Penyelenggaraan, Pentauliahan dan Ubah Suai (MCM & HUC) Pan Malaysia untuk Pakej A2 – Aset Gas Semenanjung Malaysia dengan tempoh perjanjian selama 5+3+2 tahun.
Kontrak kedua pula melibatkan pelantikan sebagai kontraktor panel kerja pembinaan dan ubah suai (CMW) bagi unit operasi hiliran PETRONAS di tiga wilayah utama iaitu Pantai Timur, Pantai Barat dan Selatan, bagi tempoh 3+1+1 tahun.
20 Jun 25
1043
Tenaga Baharu : Persidangan East Coast Energy 2025 Tarik 800 Pemain Industri
KUALA TERENGGANU, 18 Jun – Negeri Terengganu bakal menjadi tumpuan dunia apabila lebih 800 delegasi dari pelbagai latar belakang termasuk pembuat dasar, pemimpin industri, penyedia teknologi serta pendokong kelestarian berkumpul dalam Persidangan dan Pameran Tenaga Pantai Timur (ECE 2025) yang berlangsung 23 hingga 24 Jun nanti.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC Berhad). Dr.Ts Muhtar Suhaili berkata, berkata penyertaan besar itu jelas menunjukkan keyakinan terhadap peranan strategik Terengganu sebagai pemacu tenaga masa depan negara.
“ECE 2025 adalah platform utama yang membuka jalan kepada pelaburan, perkongsian ilmu dan kerjasama strategik.
“Kehadiran lebih 800 delegasi menunjukkan bahawa dunia luar melihat Terengganu sebagai rakan kongsi penting dalam transformasi tenaga Malaysia,” katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman.
Jelas beliau, empat objektif utama digaris bagi menjadikan ECE 2025 bukan sahaja relevan kepada industri tetapi juga berimpak tinggi kepada rakyat.
“Antara objektifnya ialah mengukuhkan dialog antara kerajaan, industri dan komuniti dalam isu tenaga, memastikan komuniti tempatan turut serta dalam proses pembangunan tenaga.
“Selain itu ECE juga berbincang tentang peranan memaksimumkan peluang untuk PKS, belia dan usahawan agar pembangunan tidak bersifat eksklusif selain menekankan isu peralihan tenaga, kelestarian dan pendigitalan sebagai asas masa depan sektor tenaga,” ujar beliau.
Dalam pada itu, Naib Presiden Kanan Pelaksanaan Projek dan Teknologi PETRONAS, Ir. Mohd Yusri Mohamed Yusof, turut menyuarakan sokongan penuh terhadap platform ini.
“Kami percaya Pantai Timur, khususnya Terengganu, memainkan peranan penting dalam landskap tenaga negara. PETRONAS komited untuk terus memupuk inovasi dan kerjasama demi masa depan yang mampan,” katanya.
18 Jun 25
205
EPIC Berhad, GTR Kerjasama Jayakan Projek Panel Solar di Terminal Kargo
KUALA LUMPUR, 17 Jun – Anak Syarikat Kerajaan Terengganu, Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC Berhad) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) strategik dengan Ground Team Red Sdn Bhd (GTR) bagi meneroka projek pemasangan panel solar di Terminal Kargo dan Pusat Penyelenggaraan Peralatan Perkhidmatan Darat milik GTR.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Dr. Ts. Muhtar Suhaili berkata, menerusi perjanjian itu, EPIC Berhad melalui anak syarikatnya, Eastern Pacific Properties Sdn Bhd (EPPSB), akan menjadi penyedia utama infrastruktur solar, manakala GTR akan menilai integrasi sistem tenaga solar dalam operasi utama mereka.
Jelas beliau, kerjasama berkenaan adalah langkah signifikan menyokong peralihan tenaga rendah karbon negara.
“Kerjasama ini satu komitmen bersama dalam mempercepatkan penggunaan tenaga boleh baharu dalam sektor sokongan penerbangan.
“Melalui inisiatif ini, kami menyokong matlamat kelestarian GTR dengan kepakaran EPIC dalam pemasangan sistem solar dan penyelesaian tenaga hijau,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam majlis menandatangani MoU itu yang berlangsung sempena pembukaan Energy Asia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.
Menandatangani MoU tersebut ialah Dr. Muhtar dan Ketua Pegawai Eksekutif GTR, Musdalifa Abdullah.
Turut hadir, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Incorporated, Dato’ Haji Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun serta Ketua Pegawai Operasi GTR, Bobban Phillip Jose.
Menurut Dr. Muhtar, kerjasama tersebut seiring dengan aspirasi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan memberi hasil nyata dalam pelaksanaan tenaga bersih.
Sementara itu, Musdalifa berkata kerjasama dengan EPIC adalah satu langkah penting ke arah operasi darat yang lebih mampan.
“Dengan mengintegrasikan tenaga solar dalam fasiliti kargo dan penyelenggaraan kami, kami memperkukuh komitmen terhadap penerbangan lestari. Kami yakin kerjasama ini akan membawa impak yang ketara dalam menyokong peralihan tenaga Malaysia,” jelasnya.
Untuk rekod, GTR sebelum ini mencatat kejayaan dengan pelancaran armada Traktor Elektrik (EV Tractors) terbesar dalam industri penerbangan Malaysia pada 2024, dan kini terus melangkah maju dalam strategi nyahkarbon melalui pelaburan dalam teknologi hijau.
17 Jun 25
573
YPU Tawar Peluang Bantu Pengusaha Vape Beralih Angin
KEMAMAN, 28 Mei - Bagi menyokong usaha kerajaan negeri mengharamkan penjualan rokok elektronik atau vape secara terbuka, Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) menawarkan peluang kepada pengusaha-pengusaha vape yang ingin beralih mengusahakan perniagaan lain.
Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Afnida Aini Alwi berkata, yayasan tersebut sebagai badan yang membantu usahawan ada menyediakan pelbagai kemudahan bagi menyokong usaha mereka 'beralih angin'.
"Jadi, kepada pengusaha vape yang berminat, kita minta mereka kalau boleh daftar dahulu sebagai ahli YPU, dari situ kita akan salurkan informasi dan mereka boleh hadir mengikuti kursus berkaitan.
"Kita ada menyediakan kemudahan pinjaman tanpa faedah. Tempohnya juga agak lama dan kita sediakan antara RM7,000 hingga RM50,000 bergantung kepada jenis dan saiz perniagaan.
"Walaubagaimanapun, kalau mereka memerlukan pinjaman yang lebih besar, kita akan membantu menyalurkan mereka membuat pinjaman dengan agensi-agensi lain yang menyediakan kemudahan sama dengan nilai lebih tinggi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui sewaktu hadir dalam program Sembang Usahawan di Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), semalam.
Majlis yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Terengganu, Dato' Ariffin Deraman itu dihadiri lebih 100 usahawan daerah Kemaman dan melibatkan komunikasi dua hala bersama sekitar 16 agensi negeri dan persekutuan.
Afnida menjelaskan, YPU turut diperkasakan dengan jawatankuasa dinamakan Urus Setia Pembangunan Usahawan Terengganu (PEUTER) yang melibatkan kira-kira 40 agensi keusahawanan di dalamnya yang boleh dimanfaatkan bagi membantu usahawan negeri itu.
"Sebab itu kita minta mereka datang ke YPU dan menyertai kursus yang ditawarkan, supaya mereka nampak ke arah mana untuk ubah perniagaan sama ada industri makanan dan minuman atau pakaian dan sebagainya.
"(Tawaran) ini terbuka kepada semua usahawan, janji rakyat Terengganu dan lebih baik yang berdaftar sebagai ahli YPU," jelasnya.
28 May 25
96
DUIT Terengganu Bantu Usahawan 'Upgrade' Perniagaan
KUALA NERUS, 26 Mei - Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Terengganu, Dato' Ariffin Deraman menyifatkan, geran Dana Usahawan & Industri Mikro Terengganu (DUIT) yang diperuntukkan melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) dapat menyuntik semangat usahawan pemula untuk lebih fokus dalam perniagaan.
Menurutnya, DUIT bertujuan untuk membantu peniaga-peniaga kecil serta Industri Mikro melalui dua kategori bantuan iaitu Program Gerai Maju (PGM) dan Bantuan Perniagaan Peniaga Kecil (BPPK).
"Kita mencari peniaga yang bersungguh-sungguh memajukan diri dengan keupayaan kewangan yang ada.
"Jadi, kita sebagai kerajaan negeri membantu mengikut kesesuaian perniagaan yang mereka telah mulakan.
"Maknanya, kita sudah nampak usaha yang dibuat dan dengan apa yang diberikan dapat menambahkan lagi peluang dan ruang untuk mereka di luar meneruskan perniagaan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan geran DUIT kepada pengusaha produk pastri, Rosnewati Jusoh di Kampung Bukit Tok Beng, di sini hari ini.
Hadir sama ialah Pengurus Pembangunan Pengurusan Aset & Pembiayaan YPU, Samihah Abdul Rahman.
Rosnewati atau lebih dikenali Kak Ani, menerima bantuan lima peralatan iaitu Dapur Masak, 'Mixer', 'Mixer Waffle', 'Oven Gas' dan 'Freezer Sow' dengan nilai keseluruhan sebanyak RM7,000.
Ariffin memaklumkan, dari jumlah tersebut sebanyak RM5,000 dibayar oleh YPU, jumlah maksimum bagi peruntukkan DUIT dalam kategori BPPK.
Manakala, baki RM2,000 ditambah oleh Kak Ani sendiri.
"Dengan peralatan yang ada ini, kita mengharapkan supaya beliau dapat meneruskan tempahannya.
"Saya yakin dengan apa yang kita beri hari ini dapat meningkatkan lagi pendapatannya," jelasnya.
26 May 25
927
Bermasalah Sejak 2017, Restoran Taman Panorama Akan 'Hidup' Semula
KUALA TERENGGANU, 21 Mei - Restoran di Taman Panorama yang bermasalah sejak 2017 akan dibangunkan semula dan beroperasi selewat-lewatnya tahun hadapan.
Demikian penjelasan diberikan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris kepada media dalam satu pertemuan yang diatur bersama Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) semalam.
"Sekarang ada satu pengusaha (syarikat) yang sanggup membaik pulih dan kontrak perjanjian dimeterai berpandukan jumlah kos yang mereka gunakan, akan ditolak melalui sewa bulanan.
"Saya melihat pengusaha ini agak bagus dan kontrak perjanjiannya melangkau sehingga sembilan tahun (3+3+3) dan operasinya akan bermula pada Januari nanti, mungkin selepas enam bulan selepas proses renovasi dengan anggaran kos sekitar RM500,000," katanya ketika ditemui sewaktu meninjau keadaan semasa restoran berkenaan, semalam.
Hadir sama ialah Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (Tourism Terengganu), Hilman Hajijan dan Ketua Penolong Pengarah (Pembangunan dan Khidmat Pengurusan) YM Raja Faisal Raja Haron.
Jelasnya, Taman Panorama di Bukit Pak Apil merupakan lokasi orang berkunjung untuk menikmati keindahan bandar raya Kuala Terengganu, bukan makan semata-mata.
"Sebenarnya pihak kerajaan (negeri) dan MBKT tidak kilas siku (berselindung atau lepas tangan) dalam hal ini, sebabnya beberapa kontraktor terdahulu mempunyai kontrak di atas premis ini selama beberapa tahun, jadi kita tidak boleh hentikan kontrak (sedia ada) serta-merta.
"Bermula tahun 2017 lagi telah terdapat kerosakan dan kami mendapat laporan mengenai kontraktor yang tidak lagi mempunyai 'ruh' (keinginan) untuk menguruskan restoran ini.
"Apabila dia (kontraktor) tak mampu lagi, kerajaan negeri terpaksa menunggu sehingga kontrak tamat pada 2021 untuk menggantikannya dengan kontraktor (pengusaha) baru.
"Kemudian berlaku pandemik COVID-19 menyebabkan operasinya tergendala sehingga tahun 2022 dan 2023.
"Jadi, saya harap untuk kali ini MBKT benar-benar teliti melihat pengusaha, biar orang yang mempunyai jiwa mengusahakan restoran dan juga pelancongan, kalau tidak ia tidak akan menjadi kerana ia bukannya seperti berniaga gerai tepi jalan," ujarnya.
21 May 25
875
EPIC Marine Jalin Kepakaran Teroka Peluang Sektor Minyak
KUALA TERENGGANU, 19 Mei - Anak syarikat EPIC Berhad, Eastern Pacific Marine Services Sdn Bhd (EPIC Marine atau EPMS) menjalinkan kerjasama strategik bersama SINOPEC Heavy Lifting and Transportation Co., Ltd. (SINOPEC SLT) dan syarikat pelaburan Yayasan Sabah Group (YSG), Innoprise Corporation Sdn Bhd (ICSB) untuk meneroka serta mengambil bahagian dalam peluang-peluang sektor minyak dan gas huluan serta hiliran di Malaysia.
Melalui satu kenyataan dikeluarkan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Muhtar Suhaili memaklumkan, kerjasama itu bertujuan menggabungkan kepakaran teknikal, keupayaan operasi dan pengetahuan serantau yang dimiliki ketiga-tiga pihak bagi menyediakan penyelesaian berimpak dan berorientasikan nilai, sekaligus menyokong aspirasi pertumbuhan bersama dalam sektor berkaitan.
"Perjanjian kerjasama ini memfokuskan khususnya kepada penyampaian perkhidmatan Kejuruteraan, Persediaan, Penyingkiran dan Pemulihan secara bertanggungjawab untuk penyahtauliahan pelantar luar pesisir (Engineering, Preparation, Removal, & Remediation (EPRR) services for offshore decommissioning)," jelas kenyataan yang dikeluarkan di Facebook rasmi EPIC Berhad, hari ini.
Jalinan kerjasama tiga hala itu dimuktamadkan di Sabah International Convention Centre (SICC) oleh Pengarah Yayasan Sabah, Dato’ Sri Haji Gulamhaidar @ Yusof Khan Bahadar, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc), Dato’ Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun, dan Naib Presiden SINOPEC SLT, Guo Zhong.
Muhtar Suhaili selaku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad turut menghadiri majlis menandatangani persefahaman itu bersama Pengurus Besar SINOPEC SLTYB, Liu Han dan Pengerusi Eksekutif ICSB, Datuk Jasnih Daya.
19 May 25
471
Bidong Flora Fest 2025 Dibanjiri Peminat Bunga
SETIU, 17 Mei - Penganjuran Bidong Flora Fest (BFF) 2025 yang merupakan tarikan utama Karnival Terengganu International Endurance Park (TIEP) dilihat benar-benar mendapat sambutan meriah para pengunjung.
Berdasarkan tinjauan urusetia, dianggarkan malam tadi, karnival selama empat hari yang dianjurkan sempena Sambutan Ulang Tahun ke-63 Hari Keputeraan DYMM Sultan Terengganu itu, dibanjiri sekitar 10,000 pengunjung.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim berkata, BFF 2025 telah mencapai sasaran yang dimahukan samada dari aspek kehadiran pengunjung ataupun dari sudut persembahan peserta dalam festival berkenaan.
"Penganjuran ini (festival flora) adalah kali pertama untuk kami dan kali pertama juga diadakan untuk Terengganu.
"Kalau berjaya, saya yakin pihak kerajaan negeri akan mempertimbangkan penganjuran secara tahunan.
"Elemen-elemen yang diterapkan dalam reruai dan taman ini sebenarnya memang bertujuan mendidik rakyat untuk menghargai alam, mencintai tumbuhan dan keindahan yang ada dalam negeri kita.
"Proses ini perlukan masa dan kita harap dengan agenda ini kita mampu terapkan pada masyarakat untuk menyantuni alam kita," katanya ketika ditemui selepas sesi walk about di sepanjang reruai BFF 2025, semalam.
Tambahnya, festival flora itu disertai lapan pejabat daerah dan tiga syarikat yang bertanding merebut gelaran juara taman flora terbaik yang akan diumumkan esok.
Selain itu, Karnival TIEP turut mengetengahkan pelbagai acara sukan berkuda seperti Horse Jumping, kereta kuda berhias dan Horse Show.
Malam ini, pertandingan dikir barat akan meneruskan saingan dengan enam lagi pasukan akan mempersembahkan kehebatan mereka.
Oleh itu, Hishamuddin menyeru masyarakat sekitar mahupun yang berkelapangan untuk hadir memeriah malam terakhir Karnival TIEP, hari ini.
17 May 25
952