Artikel "Ekonomi" Terkini
TDM Untung RM27.7 Juta Bagi Suku Ketiga
KUALA TERENGGANU, 25 November - Anak syarikat milik kerajaan negeri, TDM Berhad (TDM) mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM27.7 juta pada untuk suku ketiga yang berakhir pada 30 September 2020.
Pengerusi TDM Berhad, Raja Dato’ Idris Raja Kamarudin berkata, ia menunjukkan peningkatan lebih dari 100 peratus berbanding suku ketiga tahun lalu.
Katanya, ia telah disumbangkan oleh bahagian perladangan dengan jumlah tanaman yang lebih tinggi dan harga CPO purata yang lebih baik.
“Pendapatan Kumpulan juga telah meningkat lebih tinggi sebanyak 15 peratus iaitu RM121.4 juta berbanding suku sebelumnya. Pada suku tersebut, pembelian tandan buah kelapa sawit luar meningkat kepada 62 peratus berbanding suku tahun lalu dan ini telah membantu meningkatkan jumlah CPO serta kadar penggunaan kilang.
“Perniagaan bahagian perladangan TDM di Malaysia mencatatkan EBITDA sebanyak RM38 juta pada suku tersebut, berbanding RM12.5 juta pada suku yang sama tahun lalu.
“Pengambilalihan TDM-YT Plantation Sdn Bhd (TDM-YT) telah menyumbang kepada peningkatan jumlah penjualan CPO dan PK pada suku tersebut. Pihak pengurusan telah mengenal pasti Pelan Penciptaan Nilai untuk TDM-YT dan kini melaksanakan rancangan untuk meningkatkan prestasi ladang tersebut. Pengambilalihan ini telah memberi sumbangan positif kepada prestasi TDM,” kata Raja Dato’ Idris dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, bahagian penjagaan kesihatan pula semakin pulih daripada kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sejak Mac 2020.
Ia dibuktikan dengan pendapatan RM49.9 juta atau lebih rendah sebanyak 15 peratus berbanding suku sebelumnya.
“Pada suku ketiga, bahagian ini mencatat EBITDA yang lebih rendah sebanyak RM7.6 juta, berbanding EBITDA sebanyak RM8.6 juta pada suku yang sama tahun lalu.
“Walaupun bahagian ini mencatatkan pendapatan yang lebih rendah sebanyak 15 peratus berbanding suku sebelumnya, TDM didorong dengan pemulihan yang baik berbanding suku kedua 2020, di mana jumlah pesakit dalam dan luar berbanding suku kedua 2020 meningkat masing-masing sebanyak 65 peratus dan 28 peratus,” katanya lagi.
Justeru itu, Raja Dato’ Idris berkata, TDM akan tetap fokus dalam meningkatkan produktiviti dan mengoptimumkan kos pengeluaran untuk perniagaan bahagian Perladangan.
“Pengambilalihan TDM-YT baru-baru ini adalah salah satu inisiatif utama dalam usaha syarikat untuk meningkatkan pengeluaran dan meningkatkan profil usia keseluruhan Kumpulan.
“Kami telah merumuskan beberapa strategi bagi mengatasi cabaran melalui pelan kesinambungan perniagaan dan pemulihan perniagaan. Secara keseluruhannya, TDM tetap optimis bagi mencapai prestasi operasi yang memuaskan pada tahun kewangan semasa," ujar beliau.
25 Nov 20
2990
Sidang DUN: Wujud 'Task Force' Bagi Pemutihan Lot Industri
KUALA TERENGGANU, 24 November - Kerajaan negeri telah bersetuju melaksanakan proses pemutihan atau pelucutan hak terhadap lot-lot industri yang tidak dibangunkan, terbiar dan melanggar syarat di kawasan perindustrian yang diberi milik di Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar berkata, bagi menjalankan tindakan pemutihan tersebut, kerajaan negeri akan mewujudkan satu Jawatankuasa 'Task Force' untuk memantau dan mengemaskini maklumat dan data-data serta proses tindakan pelucutan hak.
Katanya, jawatankuasa itu akan dianggotai oleh Pengarah Tanah dan Galian Terengganu sebagai Pengerusi, Penasihat Undang-Undang Negeri, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri, Pengarah PLAN Malaysia, semua Pentadbir Tanah dan Yang Dipertua Pihak Berkuasa Tempatan.
“Di peringkat Jawatankuasa Task Force, proses pemutihan ini melibatkan situasi pelanggaran syarat nyata tanah setelah pemberi milikan yang sepatutnya dibangunkan dalam tempoh ditetapkan.
“Ini termasuk pelucutan hak disebabkan oleh tunggakkan sewa atau cukai tanah yang membolehkan Pentadbiran Tanah Daerah untuk memulakan prosiding bagi tujuan pelucutan hak tanah tersebut. Ini adalah selaras dengan peruntukan undang-undang melalui Kanun Tanah Negara (KTN) (Akta 56/1965) Seksyen 127 iaitu tanggungan untuk pelucuthakan kerana pelanggaran syarat dan Seksyen 100 pelucuthakan kerana tunggakan sewa atau cukai tanah,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman selepas Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Keempat Belas(Bajet) hari ini.
Tambahnya lagi, fungsi dan peranan Jawatankuasa Task Force ini juga memantau dan mengemaskini maklumat dan cita-cita industri yang bermasalah di semua kawasan perindustrian negeri Terengganu termasuk mengkaji dan menentukan keadaan pelucutan hak mengikut perundangan yang berkuatkuasa.
“Mereka juga akan melaksanakan tindakan perlucutan hak ke atas lot-lot industri yang tidak dibangunkan, tidak menjelaskan bayaran premium dan sebab sebab lain yang membolehkan pelucutan hak tanah.
“Di samping itu, Jawatankuasa Task Force ini juga telah mengenal pasti lot-lot industri dan telah meneliti situasi pembangunan dan pengoperasian kilang-kilang oleh syarikat-syarikat yang telah diluluskan pemberi milikan sama ada aktif atau tidak aktif di semua daerah,”ujarnya.
24 Nov 20
454
Belanjawan 2021 : Kawasan Perdagangan Bebas Diwujudkan
KUALA TERENGGANU, 23 November - Bagi menggalakkan lagi aktiviti import dan eksport serta pergudangan dan perniagaan secara pukal, kerajaan negeri bakal mewujudkan kawasan perdagangan bebas di Teluk Kalong, Kemaman.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, usaha melalui anak syarikat kerajaan, Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC) turut berpeluang merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri dan masyarakat setempat.
"Bagi memenuhi keperluan pelabur-pelabur baharu seperti Emerald USA dan Malaysia Phosphates, Pelabuhan Kemaman juga akan diperbesarkan.
"Ini kerana pada masa sekarang kadar purata pengendalian kargo di Dermaga Timur adalah melebihi 50 peratus kapasiti iaitu bersamaan dengan 4 juta metrik tan kargo setahun dan dijangka melebihi 14 juta metrik tan kargo pada tahun 2024; melangkaui kapasiti kemudahan sedia ada.
"Diharapkan pembesaran ini dapat memenuhi keperluan pelabur-pelabur baharu," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2021 pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini.
Mengulas mengenai kemajuan perkhidmatan kesihatan pula, beliau berkata ia telah berkembang sebanyak 13 peratus dalam kumpulan Terengganu Incorporated di bawah Kumpulan Medic Iman.
"Ia juga dilihat maju setapak lagi apabila kita bakal menyaksikan Pusat Jantung akan dibuka di Kuala Terengganu Specialist Hospital, dalam suku pertama tahun 2021. Kerajaan Negeri juga akan membina hospital baharu di Chukai, Kemaman dengan kapasiti sebanyak 150 katil dan pembesaran Kuantan Medical Centre serta Kelana Jaya Medical Centre.
"Selain itu, pengambilalihan dan pembesaran Tawau Specialist Hospital dengan kapasiti sebanyak 75 katil akan dilaksanakan dalam suku kedua tahun 2021," jelasnya.
23 Nov 20
727
Belanjawan 2021 : Pengecualian Bayaran Lesen Peniaga Kecil, Penjaja
KUALA TERENGGANU, 23 November – Bayaran lesen perniagaan untuk peniaga kecil dan penjaja di Terengganu tidak akan dikutip sepanjang tahun 2021.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri memahami tekanan yang dihadapi oleh golongan terbabit lebih-lebih dalam tempoh COVID-19.
"Dengan ini kerajaan negeri mengumumkan tiada kutipan lesen peniaga kecil dan penjaja bagi tahun 2021. Kita mengharapkan dengan inisiatif ini dapat merancakkan lagi ekonomi Negeri Terengganu dan membantu meringankan beban yang dihadapi oleh para peniaga dan penjaja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2021 Terengganu pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Terengganu Yang ke-14 di Wisma Darul Iman hari ini.
Menurut beliau, golongan warga emas tidak akan dipinggirkan apabila program Pencen Rakyat diperkenalkan bermula tahun depan.
“Bayaran sebanyak RM600 setahun bakal memberi manfaat kepada golongan terbabit,” ujarnya.
Sementara itu, Ahmad Samsuri turut memaklumkan, kerajaan negeri bersetuju memberikan bantuan Tunai Cakna Rakyat Terengganu bernilai RM200 kepada golongan B40.
“Bantuan ‘one-off’ itu akan memberi manfaat kepada 48,500 isi rumah dengan jumlah RM9.7 juta,” jelasnya yang memaklumkan ketiga-tiga bantuan tersebut adalah inisiatif khas COVID-19.
23 Nov 20
2145
Sidang DUN : Rantaian Ekonomi Projek Dipantau
KUALA TERENGGANU, 23 November - Kawalan dan pemantauan terhadap keseluruhan rantaian ekonomi bagi projek yang akan dilaksanakan kelak antara usaha dan penambahbaikan dilaksanakan oleh kerajaan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar berkata, langkah itu bagi memanfaatkan sepenuhnya industri petroleum termasuk sektor hiliran bagi kepentingan rakyat dan negeri ini.
Jelasnya, PETRONAS sedang menjalankan kajian kebolehlaksanaan untuk menambah nilai kepada sumber hidrokarbon negara dalam sektor hiliran dan petrokimia yang berpotensi tinggi di negeri ini melalui beberapa projek mengikut kesesuaian.
“Bagi industri petroleum dan gas sedia ada, kerajaan negeri dengan kerjasama PETRONAS sentiasa berusaha memastikan rantaian ekonomi sehingga kepada produk akhir berasaskan petroleum dan gas dihasilkan di dalam negeri ini.
“Produk-produk lain yang mengguna pakai bahan mentah daripada gas dan petroleum dan gas juga boleh berkembang seperti yang dapat dilihat di Taman Biopolimer Kertih yang terletak bersebelahan dengan Kompleks Petrokimia Bersepadu Kertih (KIPC),” ujarnya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan Hishamuddin Abdul Karim (PAS-Tepoh) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Penggal Ketiga, Kali ke-14 (Bajet) di Wisma Darul Iman, hari ini.
Katanya, bagi syarikat anak tempatan pula, kerajaan negeri memanfaatkan peranan Terengganu Petroleum Council (TPC) untuk membida tender-tender yang dikeluarkan oleh pihak PETRONAS.
“TPC diwujudkan di bawah seliaan Terengganu Inc yang menjadi payung kepada syarikat-syarikat yang dimiliki oleh anak- anak negeri Terengganu dan saling bekerjasama untuk mendapatkan kerja-kerja kontrak yang ditawarkan.
“Peranan TPC yang menjadi medium kerajaan negeri bagi memastikan kedaulatan Negeri Terengganu sebagai pengeluar minyak dan gas yang utama di Malaysia dapat dilindungi haknya dengan sewajarnya demi kepentingan rakyat dan negeri,” ujarnya.
Dalam pada itu katanya, kerjasama secara 'smart partnership dengan PETRONAS secara berterusan dengan memperkasakan Jawatankuasa Kerja Bersama Kerajaan Negeri Terengganu dan PETRONAS atau Joint Working Committee (JWC) yang mempunyai objektif bagi pengukuhan hubungan dua hala dan penjajaran kepentingan di antara Kerajaan Negeri Terengganu dan PETRONAS melalui saluran kerjasama rasmi untuk merealisasikan lanjutan faedah bersama daripada pembangunan petroleum di negeri ini.
“Kerajaan negeri sentiasa mengutamakan rakyat tempatan menerusi penetapan syarat sebanyak 70 peratus daripada pekerja dalam mana-mana perusahaan di kawasan perindustrian di negeri ini perlulah terdiri daripada rakyat negeri Terengganu.
“Secara tidak langsung pelaksanaan projek berpotensi tinggi dalam sektor hiliran dan petrokimia ini akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan dengan memberi keutamaan kepada rakyat Terengganu,” jelasnya.
Katanya, peluang pekerjaan yang tersedia akan ditambah nilai dengan latihan bagi memastikan tenaga kerja ini berkemahiran tinggi dan memenuhi keperluan industri.
“Dengan penambahbaikan berterusan secara komprehensif dan kerjasama secara 'smart partnership dengan PETRONAS, kerajaan negeri yakin usaha ini akan memberikan hasil yang positif serta manfaat jangka panjang kepada rakyat dan Terengganu terutamanya menerusi pertambahan peluang pekerjaan dan perniagaan,” ujarnya.
23 Nov 20
362
Belanjawan 2021 Terengganu Peruntuk RM1.375 Bilion
KUALA TERENGGANU, 23 November - Kerajaan Terengganu mengumumkan peruntukan RM1.375 bilion bagi perbelanjaan mengurus dalam Belanjawan 2021 berbanding anggaran hasil yang bakal diperoleh sebanyak RM1.25 bilion dengan defisit RM125 juta.
Bertemakan 'Melestarikan Kesejahteraan Bersama', belanjawan kali ini didokong dengan lima teras utama iaitu meneguhkan pelaksanaan agenda Islam dan pembangunan modal insan, menjana semula ekonomi dan pendapatan rakyat, menjamin kesejahteraan keluarga dan sosial, mendigitalisasikan perkhidmatan awam dan melestarikan alam sekitar.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, demi kesejahteraan penduduk, kerajaan mencadangkan peruntukan sebanyak RM1.375 bilion untuk perbelanjaan mengurus manakala perbelanjaan pembangunan dan Kumpulan Wang Bekalan Air masing-masing sebanyak RM615 juta dan RM20.17 juta.
“Sementara itu, pendapatan hasil cukai adalah sebanyak RM58.56 juta, hasil bukan cukai sebanyak RM130.64 juta dan terimaan bukan hasil sebanyak RM1.06 bilion termasuk RM933.33 juta royalti petroleum,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2021 Terengganu pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Terengganu Yang ke-14 di Wisma Darul Iman hari ini.
23 Nov 20
959
Belanjawan 2021: Terengganu Suntik 'Tonik' Buat Pengusaha Kecil
KUALA TERENGGANU, 23 November - Para peniaga Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) di Terengganu bakal menerima suntikan baru apabila kerajaan negeri mengumumkan Pusat Bersepadu Pemasaran PKS dalam pembentangan Belanjawan 2021, hari ini.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar memaklumkan, pemerkasaan tersebut bukan sekadar berbentuk latihan kemahiran kepada peniaga-peniaga sebagaimana sebelum ini.
"Inisiatif ini adalah bagi mempercepatkan proses pemulihan PKS dan pertumbuhan ekonomi negeri. Ia sebagai sokongan kepada program-program latihan pemasaran sedia ada.
"Pemilik PKS akan ditawarkan pilihan pakej yang sesuai dengan yuran yang rendah untuk memasarkan barangan dan perkhidmatan mereka dengan lebih berkesan yang akan diurus oleh tenaga pakar dalam bidang pemasaran terutamanya pemasaran digital," katanya ketika berucap pada pembentangan berkenaan dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Terengganu Yang ke-14 di Wisma Darul Iman, hari ini.
Jelasnya, inisiatif terbabit melibatkan peruntukan berjumlah RM1.5 juta termasuk RM400 ribu bagi menaik taraf aplikasi GanuShop.
23 Nov 20
284
Usahawan Muda Raih Pendapatan Lumayan Jual Belacan
KUALA NERUS, 15 November - Meskipun di usia muda, seorang pemuda sudah mampu meraih pendapatan yang lumayan dengan hanya menjual belacan.
Menurut pemilik Belacan Sri Tanjung Mas, Muhammad Aimy Shahril, 19, kesbiasaannya dia berjaya meraih hasil jualan purata RM1,000 sehari.
Katanya, dia pada mulanya sekadar suka-suka dan ingin meneruskan usaha ayah yang menjalankan perniagaan belacan secara kecil-kecilan.
"Saya bersekolah sampai tahun lima sahaja dan belajar agama di sekolah pondok selepas itu.
"Ketika musim cuti, saya akan membantu arwah bapa membuat belacan dan pada usia 14 tahun, bapa mula mengajar saya selok belok berniaga belacan.Saya mewarisi perniagaan ini selepas ayah meninggal kerana saya merupakan anak tunggal,"ujarnya lagi.
Tambahnya lagi, ayahnya mengusahakan belacan lebih 20 tahun dan beliau kini mengambil alih perniagaan itu setelah lima tahun pemergian ibu bapanya dengan pekerja seramai 12 orang berusia 18 hingga 50 tahun.
“Setakat ini kami dapat membuat 1,600 ketul belacan sehari jika cuaca panas," katanya.
Dalam pada itu, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, Mohd Fadhil Wahab merasa bangga dengan usaha anak muda tersebut yang juga anak jati Seberang Takir.
"Kejayaannya dalam bidang perniagaan belacan boleh dicontohi oleh remaja lain," katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI).
Menurut Muhammad Aimy Shahril, dia merancang mengembangkan lagi perniagaannya di seluruh negara pada masa akan datang.
15 Nov 20
1376
160 Peruncit Terpilih Sedia Bekalan Musim Tengkujuh
KUALA TERENGGANU, 15 November- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah melantik peruncit dan pemborong terpilih sebagai pusat penyimpanan stok bekalan tambahan bagi menghadapi musim tengkujuh yang bakal tiba.
Timbalan Menteri KPDNHEP, Dato' Rosol Wahid memaklumkan, langkah itu sebagai persediaan menghadapi bencana banjir yang dijangkakan bermula pada November ini.
"Rakyat tidak perlu bimbang akan musim tengkujuh yang akan berlaku terutama di pantai timur. Bukan KPDNHEP sahaja semua pihak dalam keadaan siap sedia, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), pejabat-pejabat daerah dan negeri-negeri telah bersedia.
"Kita telah melantik peruncit dan pemborong daerah terpilih yang akan menyediakan stok barang melebihi 30 peratus daripada stok biasa. Di Terengganu sahaja, sebanyak 160 peruncit dan 74 pemborong telah dilantik dan ini memberi keyakinan kepada rakyat dengan keberadaan barang keperluan dan pengguna tidak perlu risau dengan kenaikan harga," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita slepas melakukan tinjauan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena sambutan Deepavali 2020 di Mydin Gong Badak, hari ini.
Tambahnya, dalam skim kawalan bermula 9 November sehingga 17 November itu, sebanyak 26 kes tidak patuh SHMMP telah direkodkan.
"Sebanyak 24 kes tidak memaparkan tanda harga dan dua kes menjual barang melebihi harga kawalan dan KPDNHEP telah mengeluarkan kompaun bernilai RM5,847," katanya.
Dalam SHMMP 2020,KPDNHEP telah menetapkan harga maksimum bagi 20 jenis barang keperluan harian sepanjang perayaan Deepavali termasuk dua barangan baharu iaitu timun dan kacang panjang.
Sepanjang dilaksanakan, penguatkuasa kementerian telah melakukan pemantauan ke lebib 8,300 premis untuk pematuhan harga di seluruh negara.
15 Nov 20
215
Ujian Mungkin Sama, Tetapi Peritnya Berbeza
KUALA TERENGGANU, 13 November - Hampir seminggu sejak Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kembali dilaksanakan di seluruh negara, rata-rata peniaga di Pasar Kedai Payang merasai kesannya.
Pengusaha beca, Omar Awang, 75, memaklumkan bahawa suasana di lokasi membeli-belah itu semakin sunyi sejak empat hari lalu.
"Hari ini, sudah empat jam saya menunggu namun masih tiada pelanggan.
"Sewaktu rakyat Malaysia boleh merentas negeri dahulu, bolehlah dapat RM20 hingga RM30 sehari, sekarang tiada langsung," katanya ketika ditemui di sana dalam tinjauan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), petang semalam.
Hal itu turut diakui pekerja kedai produk songket, Siti Nordiana Ibrahim, 20.
Jelasnya, semenjak PKPB dilaksanakan, bilangan pengunjung ke Pasar Kedai Payang berkurangan mendadak.
"Memang sunyi dan tiada orang datang, apatah lagi hendak membeli. Mujur, kami ada juga menjual secara dalam talian, tetapi masih kurang sambutan.
"Produk songket memang mengharapkan pembelian daripada pengunjung luar dan sebelum ini kita mendapatkan jualan sehingga mencecah RM500 sehari," katanya.
Sementara itu, peniaga kedai kain pasang dan sutera, Ani Liyana Jalil,26 juga mengatakan, sebelum ini, kedai-kedai di lokasi terkenal itu sentiasa memperoleh jualan.
"Setakat ini, waktu sekarang yang dirasakan paling teruk, bulan Ramadan pun tidak begini.
"Tiada orang langsung yang masuk ke kedai," katanya.
Bagi pengusaha kedai peralatan tembaga dan dapur, Ahmad Bakar, 68, yang telah hampir 20 tahun berniaga di situ, kekurangan pelanggan terutama dari luar negeri memang memberi kesan.
"Sekarang orang kurang, namun sekurang-kurangnya ada sedikit orang tempatan yang membeli.
"Alhamdulillah, saya masih memperoleh jualan sekitar RM200 hingga RM300 sehari. Jika ada pelancong sebelum ini, bolehlah dapat sehingga RM600 sehari," katanya.
13 Nov 20
3761