lightning-solid
Berita :

Artikel "Ekonomi" Terkini

'Rigger Scaffolder' KKYT Penuhi Pasaran Industri Minyak, Gas
'Rigger Scaffolder' KKYT Penuhi Pasaran Industri Minyak, Gas
DUNGUN 10 Januari - Kolej Kemahiran Yayasan Terengganu (KKYT) berjaya melahirkan 40 pelatih ringger scaffolder berkemahiran tinggi bagi memenuhi pasaran kerja tempatan dan luar negeri. Kursus itu adalah projek perintis bagi kolej kemahiran itu yang ditubuhkan akhir 2019 lalu. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja Negeri, Mohd Nurkhuzaini  Abd Rahman berkata, jumlah pelatih itu dilihat agak kecil tetapi ia cukup besar maknanya kerana semua pelatih yang tamat latihan berjaya mendapat pekerjaan. Katanya, sebahagian besarnya mendapat penempatan kerja dalam industri minyak dan gas di Paka, Dungun, Terengganu dan ada juga di Lumut, Perak. "Kerajaan akan terus memperkasakan kursus  seumpama itu melalui KKYT kerana dilihat mampu memenuhi keperluan industri. "Pada masa yang sama mampu mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga asing dan secara beransur-ansur mengecilkan angka kadar pengangguran," katanya. Beliau berkata demikian kepada wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman selepas Majlis Perasmian Kursus  Ringger Scaffolder di Paka, di sini hari ini. Mohd Nurkhuzaini turut memberitahu, pihaknya berharap KKYT akan terus memperluaskan rangkaian kerjasama dengan pemain-pemain industri tempatan dan juga luar negara. "Langkah itu pastinya dapat meneroka lebih banyak peluang kerjaya untuk diserapkan kepada anak jati Terengganu," katanya. Untuk rekod, kerajaan negeri membelanjakan RM520,000 atau RM13,000 bagi setiap peserta yang mengikuti kursus kemahiran itu selama enam bulan. Setiap peserta diberi elaun RM150 sebulan dan dijanjikan peluang kerja.
10 Jan 21
931
2020, Tahun Mencabar Bagi DITC
2020, Tahun Mencabar Bagi DITC
KEMAMAN, 2 Januari - Tahun 2020 merupakan tahun yang paling mencabar buat Darul Iman Training Centre (DITC) akibat penularan pandemik COVID-19 berserta Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Dengan persetujuan pihak pengurusan, DITC telah diwartakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai pusat kuarantin untuk Zon Terengganu Selatan bagi mereka yang disyaki bergejala dengan COVID-19. Pengerusinya, Ustaz Hazri Jusoh ketika berucap di Majlis Makan Tengahari di Dewan Makan DITC kelmarin menyatakan, banyak tempahan pelanggan terpaksa dibatalkan. Ustaz Hazri Jusoh sedang berucap. "Kita terpaksa membatalkan tempahan yang telah diterima bermula pada bulan April sehingga Ogos dan Oktober hingga Disember 2020 disebabkan perkara ini. "Ini bermakna DITC telah kehilangan pendapatannya kira-kira RM1.13 juta dalam tempoh tersebut. Kakitangan DITC. "Tapi dalam masa yang sama kita juga berasa bangga kerana dapat membantu kerajaan dalam menyediakan prasarana untuk membantu para petugas barisan hadapan dalam membendung virus ini," ujarnya. Beliau yang juga Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal memberitahu, ramai pekerja dan syarikat daripada sektor swasta telah dibuang kerja bagi mengawal aliran keluar kewangan mereka akibat penularan virus ini. "Ramai di kalangan sahabat kita di luar sana telah diberhentikan kerja kerana majikannya tidak lagi mampu menanggung overhead cost akibat kelembapan ekonomi. Kakitangan DITC. "Elaun dan kerja lebih masa mereka terpaksa dipotong dan diatur oleh syarikat kecil dan sederhana bagi meneruskan operasinya," katanya. Pada masa yang sama, Hazri turut mengumumkan imbuhan saguhati sebanyak RM300 kepada semua kakitangannya sebagai tanda terima kasih di atas komitmen dan kesabaran mereka dalam menempuh situasi yang sukar itu. Saguhati dari pihak pengurusan DITC. Turut hadir dalam majlis tersebut, Chief Executive Officer DITC, Suhaimi Embong dan semua pegawai dan kakitangan bagi meraikan majlis akhir tahunnya dengan penuh kesederhanaan.
01 Jan 21
543
TDM, EY Teroka Kerjasama Lahir Pakar Akaun
TDM, EY Teroka Kerjasama Lahir Pakar Akaun
KUALA TERENGGANU, 23 Disember - TDM Berhad hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama organisasi perkhidmatan profesional Ernst & Young PLT bagi melahirkan tenaga kerja perakaunan dan kewangan mahir. Pengarah Eksekutif TDM Berhad, Najman Kamaruddin memaklumkan, persefahaman tersebut terdiri daripada dua program iaitu Program Pelatih untuk Kelayakan Perakaunan Profesional dan Program Peminjaman Kakitangan. "Kolaborasi ini akan berlangsung bagi tempoh dua tahun pertama ini dan kita akan melihat keperluan untuk meneruskannya pada masa akan datang. "Program ini akan bermula seawal Januari dengan tiga calon bagi sesi pertama melibatkan kedua-dua program," katanya. Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas majlis menandatangani MoU tersebut yang disaksikan oleh Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato' Mohd Zahari Md. Azahar di Wisma Darul Iman, hari ini. Jelasnya, kerjasama yang diusahakan itu merupakan peluang berharga bagi pihak syarikat untuk mengetengahkan bakat perakaunan supaya dapat menerima latihan yang relevan dan menimba pengalaman kerja dengan salah satu firma perakaunan terkemuka negara. "Calon Program Pelatih untuk Kelayakan Perakaunan Profesional akan menjalani latihan selama dua tahun bersama EY sebagai pelatih dan akan diambil bekerja tertakluk pada terma dan syarat kontrak pekerjaan EY. "Manakala kakitangan TDM yang mengambil bahagian dalam Program Peminjaman Kakitangan akan bekerja bersama EY selama enam bulan untuk memperoleh pengetahuan dan kemahiran dalam bidang pengkhususan perkerjaan masing-masing," katanya. Tambahnya lagi, inisiatif berkenaan juga merupakan misi untuk mendorong pembangunan modal insan di negeri Terengganu dan komitmen Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat untuk memperkasakan bukan sahaja tenaga kerja perakaunan profesional di TDM tetapi juga graduan perakaunan yang berkelayakan "Kita berusaha menyediakan platfom untuk merealisasikan potensi mereka sepenuhnya dan terus maju dalam kerjaya profesional masing-masing. Kami juga ingin memastikan pekerja kami mengikuti perkembangan kemahiran dan kepakaran yang berkaitan untuk menyokong pertumbuhan syarikat secara tidak langsung," katanya.    
23 Dec 20
591
YPU Agih RM96,000 Bantu Peniaga Kecil
YPU Agih RM96,000 Bantu Peniaga Kecil
KUALA TERENGGANU, 20 Disember- Sebanyak RM96,000 diperuntukkan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) sebagai bantuan kepada peniaga dan penjaja kecil di negeri itu. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Nurkhuzaini bin Ab Rahman memaklumkan, bantuan tersebut merupakan satu lagi kaedah yang dilaksanakn YPU supaya dapat membantu usahawan diperingkat bawah. "Dari segi bantuan memang kita nampak kecil apabila dibahagikan kepada 32 Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ada. Namun, jumlah penerima  mengikut pertimbangan DUN terbabit untuk mengenal pasti apa yang diperlukan oleh peniaga-peniaga di kawasan mereka dengan jumlah RM3,000 yang diperoleh. "YPU tidak tunggu banyak dahulu baru beri. Dengan dana yang ada, ambil dahulu dengan tujuan menyebar luaskan bantuan-bantuan yang ada sebelum bantuan yang lebih besar diperoleh," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Bantuan Perniagaan Kepada Penjaja dan Peniaga Kecil Negeri Terengganu anjuran Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu di Primula Beach Hotel, hari ini. Tambahnya, melalui penilaian pihak YPU, terdapat usahawan dari segmen tertentu ada yang mula pulih selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) kali kedua ini. "Tetapi, ada lagi usahawan yang masih cari rentak. Untuk mereka, kita buka pintu YPU untuk datang berbincang tentang keperluan mereka melalui khidmat yang ada. Kita juga telah berbincang dengan agensi-agensi yang mempunyai bantuan PENJANA (Pelan Jana Semula Ekonomi Negara) untuk memohon bantuan bagi negeri Terengganu antaranya, Agro Bank yang menjadi salah satu agensi yang menerima amanah dana tersebut,  "Bagi bantuan Covid-19 pula, sebagaimana yang diumumkan dalam Belanjawan 2021 iaitu sebanyak RM3.5 juta, ia akan diproses pada tahun hadapan," katanya.        
20 Dec 20
998
Status OKU Bukan Alasan
Status OKU Bukan Alasan
KEMAMAN, 9 Disember - Pasangan Orang Kurang Upaya (OKU) ini tidak pernah menjadikan status mereka sebagai alasan untuk bermalas-malasan. Kekurangan mereka yang tidak dapat berjalan normal seperti manusia lain bukanlah penghalang untuk mereka menjadi penternak ikan keli yang berjaya. Muhammad Firdaus Hassan, 27, dan pasangannya, Nurul Jannah Roh, 25, telah menjalani kehidupan mereka dengan berkerusi roda sejak lebih sembilan tahun lamanya. Mereka mengusahakan perternakan ikan keli bermula bulan Mac tahun ini, ketika permulaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Firdaus ketika ditemui pihak Urusetia Penerengan Darul Iman di kediamannya di Kampung Tanjung, Bukit Mentok memberitahu, beliau telah terlibat dengan kemalangan jalan raya pada 2011. Manakala isteri beliau menderita sakit saraf sejak berumur 17 tahun. "Lebih kurang 400 ekor ikan keli kami ternak dan ada juga sebahagiannya sudah dijual. Kami berharap semoga perniagaan ikan keli kami lebih maju dan dikomersialkan dengan lebih jauh," ujar Firdaus ketika ditanya mengenai harapan beliau. Pihak Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) telah bersetuju untuk menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mereka. Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Ab. Razak Ibrahim yang turut hadir semalam telah menyampaikan sedikit sumbangan buat pasangan OKU terbabit. "Semoga anak muda di luar sana dapat jadikan kisah mereka ini sebagai sumber inspirasi untuk terus berjuang dan berjaya dalam hidup," kata Ab. Razak.
08 Dec 20
136
Pasar Nelayan Baharu Dibuka Di Dun Batu Buruk
Pasar Nelayan Baharu Dibuka Di Dun Batu Buruk
KUALA TERENGGANU, 2 Disember – Pembukaan Pasar Nelayan di Pelabuhan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Chendering, sejak semalam mendapat sambutan yang menggalakkan. Timbalan Pengarah LKIM Terengganu, Haslin Marlina Hashim memaklumkan, pasar terbabit diwujudkan bagi menjaga kebajikan para nelayan disamping menawarkan harga jualan yang berpatutan kepada pembeli. “Hari ini merupakan percubaan  untuk melihat sambutan masyarakat setempat. Sekiranya sambutan yang menggalakkan ini berterusan, pihak LKIM akan perluaskan lagi pemasaran dan akan menambahkan lagi infrastruktur di sini," katanya.   Dalam pada itu, Pengurus Persatuan Nelayan Negeri Terengganu (Penentu), Zahan bin Mamat menyifatkan, dengan adanya pasar tersebut diharapkan agar suasana di Pelabuhan LKIM Chendering ini akan kembali meriah setelah sekian lama menjadi suram. “Alhamdulillah kita lihat sambutan yang memberangsangkan dan kita juga ada membuat perkhidmatan penghantaran kepada pembeli di sekitar Kuala Terengganu ini,” katanya kepada pemberita sewaktu kunjungan di lokasi tersebut, semalam. Disamping itu, rata-rata peniaga memberikan respon yang positif kerana kemudahan yang disediakan sangat baik dan mesra pengguna.   Pembukaan Pasar Nelayan ini turut menarik perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi yang turut hadir bagi meninjau dan beramah mesra bersama para peniaga di situ. Sebagai makluman, Pasar Nelayan ini akan dibuka setiap hari bermula jam 8.00 pagi hingga 2.00 petang.
01 Dec 20
4601
Pendapatan Golden Pharos Melonjak 36 Peratus
Pendapatan Golden Pharos Melonjak 36 Peratus
KUALA TERENGGANU, 1 Disember - Pendapatan syarikat pembalakan milik Kerajaan Negeri Terengganu, Golden Pharos Bhd (GPB) melonjak naik sebanyak 36 peratus kepada RM18.8 juta pada suku ketiga tahun 2020 berbanding RM13.8 juta pada suku yang sama tahun lalu. Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Nadza Abdul berkata, peningkatan itu direkodkan selepas syarikat mencatat keuntungan sebelum cukai sebanyak RM3.6 juta pada suku ketiga berakhir 30 September 2020. "Pengeluaran balak yang meningkat, peningkatan prestasi pemprosesan kayu balak, penggunaan pakej stimulasi yang efektif dalam menangani isu ekonomi syarikat ketika berlakunya pandemik COVID-19. "Dalam suku ketiga tahun ini, segmen pembalakan meningkat sebanyak 72 peratus kepada 10,716 hektar per tan berbanding 6,246 hektar per tan tahun lalu.  "Peningkatan ini berikutan ketidaklewatan kelulusan lesen penebangan balak, pengurusan kontraktor penebangan yang berkesan dan cuaca yang baik sepanjang tempoh aktiviti pembalakan diadakan," katanya  dalam satu kenyataan hari ini. Mengulas lanjut, jelasnya, berdasarkan kepada peningkatan balak yang ditebang, sektor perkayuan dan venir juga meningkat. "Di mana pendapatan bagi sektor tersebut meningkat sebanyak 14 peratus dan keuntungan sebelum cukai adalah 203 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu," ujarnya. Nadza Abdul menjelaskan, GPB juga mendapat manfaat daripada pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan oleh Perdana Menteri di mana syarikat tersebut menerima program subsidi berjumlah RM1.4 juta bagi keenam-enam syarikat di bawah GPB bermula Mac sehingga September 2020. “Syarikat menganggarkan kerugian sebanyak RM24 juta akibat daripada pandemik. Tetapi dengan pakej rangsangan ekonomi serta pengurangan kos yang dijalankan oleh syarikat, kami optimis bahawa tahun ini sebenarnya adalah tahun yang lebih baik berbanding tahun 2019,” katanya.
01 Dec 20
3279
TDM Kembali Tersenarai Sekuriti Patuh Syariah
TDM Kembali Tersenarai Sekuriti Patuh Syariah
KUALA TERENGGANU, 27 November - Anak syarikat kerajaan Terengganu, TDM Berhad dimasukkan semula ke dalam senarai sekuriti Patuh Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) bersama dengan 34 syarikat perladangan lain yang telah berada dalam senarai. Senarai-senarai sekuriti Patuh Syariah terkini yang diluluskan oleh Majlis Penasihat Syariah (MPS) SC berkuat kuasa hari ini. Pengerusi TDM Berhad, Raja Dato' Idris Raja Kamarudin berkata, pengiktirafan itu mengukuhkan lagi jaminan kepada pelabur dan pihak berkepentingan bahawa perniagaan syarikat adalah mematuhi kriteria yang ditetapkan oleh Metodologi Saringan Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. "Pada tahun 2015, Kumpulan TDM dikecualikan daripada senarai Patuh Syariah kerana tidak mematuhi tanda aras berasaskan aktiviti yang disemak semula di mana had yang dibenarkan diperketatkan kepada lima peratus daripada 10 peratus. "Pada bulan Oktober 2018, TDM telah menyusun 'IDR Note' dan 'Credit Linked Note' mengikut tetapan tanda aras yang disemak semula. "Hari ini, TDM dengan bangganya merupakan salah satu daripada 715 saham patuh Syariah di Bursa Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini. Menurut beliau, Kumpulan TDM kini memberikan fokus kepada strategi dan pelan kesinambungan perniagaan untuk mengembangkan perniagaan syarikat. "Dengan pengambilalihan TDM-YT Plantation Sdn Bhd, yang sebelum ini dikenali sebagai THP-YT Plantation Sdn Bhd, TDM kini memiliki dan menguruskan 17 ladang kelapa sawit, tiga buah kilang, tiga kilang Bio-Organik dan tiga loji Biogas yang terletak di Terengganu dan Indonesia. "Kumpulan juga aktif dalam bidang penjagaan kesihatan melalui anak syarikat, Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KMIHealthcare), yang menguruskan empat hospital pakar iaitu Kuala Terengganu Specialist Hospital (KTSH), Kuantan Medical Centre (KMC), Kelana Jaya Medical Centre (KJMC) and Taman Desa Medical Centre (TDMC)," tambah beliau.  
27 Nov 20
614
'Kita Di Landasan Yang Betul'
'Kita Di Landasan Yang Betul'
KUALA TERENGGANU, 25 November - Situasi pandemik COVID-19 yang melanda banyak menjejaskan peluang ekonomi masyarakat dan meningkatkan pengangguran. Namun begitu, Terengganu menegaskan bahawa kerajaan negeri berada di landasan yang betul untuk mengurangkan kadar pengangguran di negeri itu. Pengerusi jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman menjelaskan, penubuhan Pusat Pembangunan Sumber Manusia Negeri Terengganu atau 'Terengganu Human Resource Development Center' (THRDC) banyak membantu usaha-usaha menyelesaikan kadar pengangguran dalam negeri. "Jika kita meilhat data Jabatan Perangkaan Malaysia, pada tahun 2018, kadar pengangguran di Terengganu adalah sebanyak 4.8 peratus dan menurun kepada 3.5 peratus pada tahun lalu. "Manakala, bagi suku pertama 2020, kadar menurun kepada 3.3 peratus tetapi pada suku kedua iaitu selepas pandemik COVID-19, ia meningkat kepada 3.8 peratus," katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi terakhir Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini. Jelasnya, bagi menangani masalah penggangguran di negeri Terengganu, beberapa tindakan bersepadu telah diambil kerajaan negeri melalui kerjasama pelbagai pihak. "Antaranya, kita berkerja rapat dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kerana mereka adalah salah satu agensi yang menguruskan dana bantuan kerajaan Persekutuan melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) Malaysia bagi membantu golongan yang kehilangan pekerjaan.  "Kita juga bercadang mengadakan karnival kerjaya pada Oktober lalu tetapi ditangguhkan. Namun, bagi program itu kita ditawarkan lebih 80 majikan dengan hampir 10,000 kekosongan jawatan dan sekiranya ia dilaksanakan nanti akan membantu mengurangkan kadar pengangguran negeri," katanya.
25 Nov 20
390
AKPK Sambut Baik Inisiatif Pelan Literasi Kewangan Terengganu
AKPK Sambut Baik Inisiatif Pelan Literasi Kewangan Terengganu
KUALA TERENGGANU, 25 November - Inisiatif kerajaan negeri mewujudkan literasi kewangan Terengganu bagi membantu rakyat menguruskan kewangan secara berhemah disambut baik Agensi Kewangan dan Pengurusan Kredit (AKPK) Terengganu. Ketua Cawangan AKPK Terengganu, Junainah Ahmad Esa menyifatkan inisiatif berkenaan sebagai batu loncatan ataupun kesinambungan atas usaha untuk meluaskan lagi rangkuman pendidikan kewangan di kalangan rakyat Terengganu. "Dengan sokongan kerajaan melalui inisiatif ini, kita yakin bahawa literasi kewangan akan berkembang di seluruh negeri. Usaha ini diperkenalkan tepat pada masanya sebab suasana pasca COVID-19 ini memperlihatkan masyarakat memang menghadapi cabaran kewangan yang besar terutama ketika berdepan keadaan ketidaktentuan ini. "AKPK sebagai agensi utama yang diberi mandat untuk melaksanakan program membudayakan pengurusan kewangan berhemat di kalangan masyarakat amat berbesar hati untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi merealisasikan hasrat murni ini," katanya ketika di temui Urus Setia Penerangan Darul Iman, di sini, semalam. Jelasnya, dengan adanya usaha yang mampan dan bersepadu daripada kerajaan negeri, AKPK secara tidak langsung akan dapat memperluaskan pembudayaan pengurusan kewangan baik dengan sokongan yang kukuh. "Maknanya, kita akan mendapat kerjasama daripada lebih banyak agensi-agensi dengan sokongan kerajaan negeri.  “Peningkatan literasi kewangan di kalangan masyarakat juga memerlukan penglibatan daripada agensi-agensi lain yang kita lihat mampu untuk memberi nilai tambah kepada pelaksanaan program ini demi mencapai hasil seperti yang diharapkan," katanya. Tambah Junainah, rakyat Terengganu perlu mengambil peluang melibatkan diri dalam menjayakan inisiatif tersebut. "Rakyat Terengganu amat beruntung dengan inisiatif yang diambil oleh kerajaan negeri dan perlu mengambil peluang sepenuhnya dengan melibatkan diri dalam program-program literasi kewangan yang bakal dilaksanakan kelak. "Ilmu itu sangat penting dan menjadi 'game changer' dalam hidup kerana dengan ilmu baru kita boleh merubah nasib. Ilmu literasi kewangan akan membekalkan masyarakat dengan kesedaran, ilmu, kemahiran, sikap dan tabiat yang diperlukan untuk membuat keputusan kewangan yang bijak. Keputusan kewangan yang kita ambil hari ini boleh memberi impak kepada kesejahteraan kehidupan hari esok,” katanya.      
25 Nov 20
1022