lightning-solid
Berita :

Artikel "Ekonomi" Terkini

Belanjawan 2021 : Peruntukan RM510 Juta, TEKUN Pacu Usahawan IKS
Belanjawan 2021 : Peruntukan RM510 Juta, TEKUN Pacu Usahawan IKS
KUALA LUMPUR, 10 November - TEKUN Nasional akan terus memberikan komitmen sepenuhnya dalam membantu usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) melalui pembiayaan perniagaan. Pengerusinya, Shaharizukirnain Abdul Kadir berkata, peruntukan sebanyak RM510 juta yang telah diumumkan dalam Belanjawan 2021 pada jumaat lalu menunjukkan kerajaan Perikatan Nasional komited membantu usahawan IKS yang terjejas mata pencarian akibat penularan wabak COVID-19. "Pengumuman Kerajaan bagi menyalurkan lebih banyak peruntukan kepada TEKUN bagi tahun 2021 menunjukkan Kerajaan memberi keprihatinan yang konsisten kepada golongan usahawan dan PKS yang mengalami kemerosotan perniagaan akibat penguatkuasaan PKP. "Justeru, sebagai Pengerusi TEKUN Nasional, saya akan berusaha bersungguh-sungguh bagi memastikan peruntukan yang besar ini dapat dimanfaatkan kepada rakyat sepenuhnya terutamanya kepada para usahawan dan PKS di negara ini," ujar beliau ketika ditemuramah wartawan hari ini. Sebelum ini ujaranya, sebanyak hampir RM300 juta telah disalurkan kerajaan kepada TEKUN Nasional dalam menjana semula pertumbuhan ekonomi negara melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang menyasarkan peniaga dan usahawan IKS.  "Kerajaan ada menyalurkan peruntukan RM200 juta melalui Dana Prihatin bagi Skim Pembiayaan Pemulihan Perniagaan Sektor Mikro (CBRM) manakala RM100 juta melalui Dana Penjana bagi Skim Pemulihan Perniagaan TEKUN (TBRS). "Begitu juga, TEKUN Mobilepreneur 1.0 dan 2.0 bagi membantu golongan yang terlibat dengan aktiviti ekonomi Gig untuk membaikpulih dan membeli kenderaan baharu," tambah beliau. Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Setiu berkata, masyarakat India dan kaum wanita juga tidak ketinggalan dalam menerima faedah dari Belanjawan 2021 ini. "Dalam usaha membantu golongan usahawan wanita, peruntukan pembiayaan berbentuk mikro kredit turut disalurkan kepada TEKUN Nasional, MARA dan Agrobank dengan jumlah RM95 juta. "Peruntukan sebanyak RM20 juta bagi Skim Pembiayaan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) dan selain itu dua skim baru diwujudkan iaitu RM5 juta untuk masyarakat Orang Asli dan Siam,"
10 Nov 20
1273
Kedai Mesra Crystal Dan Crystal Barbershop Mula Dibuka
Kedai Mesra Crystal Dan Crystal Barbershop Mula Dibuka
Foto oleh: Aminji KEMAMAN, 9 November - Crystal Auto Car Wash telah beroperasi sejak 3 tahun yang lalu. Namun kini perniagaan ini mula diperhebatkan lagi dengan pembukaan Kedai Mesra Crystal dan Crystal Barbershop (gunting rambut) di lokasi yang sama iaitu di Batu 1 1/2, Jalan Air Puteh.  Pemiliknya, Kamarul Azmi Othman, 38 tahun memanjat kesyukuran ke hadrat Ilahi di atas pembukaan kedainya itu. "Alhamdulillah, syukur hari ini saya berjaya memperluaskan lagi dalam bidang perniagaan yang saya ceburi ini dengan pembukaan dua lagi kedai iaitu kedai runcit dan kedai gunting rambut. Saya mengharapkan perniagaan yang saya usahakan bersama dua lagi rakan niaga saya ini akan memperoleh keberkatan dari Ilahi dan diberikan rezeki yang melimpah ruah, insya Allah," ujarnya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika ditemui selepas majlis perasmian kedainya itu, kelmarin. Majlis perasmian disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat. Turut hadir memeriahkan majlis, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Ab.Razak Ibrahim. Crystal Auto Car Wash pula menyediakan  perkhidmatan cuci kereta secara pandu lalu. Ianya cepat, mudah dan harga yang dikenakan pula sangat berpatutan.
08 Nov 20
571
Gara-Gara Kritikan, Faiz Kini Kuasai Pasaran Dim Sum Halal
Gara-Gara Kritikan, Faiz Kini Kuasai Pasaran Dim Sum Halal
Foto : Atika Hussin BESUT, 1 November - Walaupun berdepan pelbagai dugaan, dan pernah dikatakan melakukan kerja  'gila' ketika memulakan perniagaan dim sum di sebuah kampung dalam Daerah Besut Che Faiz Man kini menguasai pasaran dim sum halal. Pemilik LeBest Dim Sum itu berkata hasil yang dikecapinya hari ini memerlukan usaha keras dan pengorbanan yang memakan masa hampir tiga tahun. Beliau yang bermula dengan menjual dim sum frozen (sejuk beku), menerima kritikan daripada rakan-rakannya yang mengatakan makanan tersebut hanya sesuai untuk orang-orang di bandar besar dan ditambah pula dengan harganya yang agak mahal berbanding dengan makanan biasa. Bekas pelajar kejururawatan ini sebaliknya menjadikan kritikan tersebut sebagai pembakar semangatnya dan selepas yakin dengan sambutan yang diterima, beliau mengorak langkah dengan mula membuka kedai kecil di tepi jalan raya dan pada 2019,  membuka premis di Dataran Limbongan, Kampung Raja. “Saya asalnya bekerja di sebuah training company (syarikat latihan) di Shah Alam kemudian pulang ke Besut dan rasa mahu mengusahakan sebuah kedai makanan tetapi masalah saya pada masa itu, di Besut sudah banyak kedai makanan. “Pada masa yang sama kedai makan ini banyak masalah, nak kena ada tukang masak dan sebagainya lagi pula, saya bukan daripada bidang makanan. Jadi saya boleh kata, saya ni terjebak secara tidak sengajalah. “Saya lihat dim sum ini satu benda yang tak ada orang buat lagi di Besut, jadi pada masa itu saya fikir mahu jadi perintis dan biasanya market (pasaran) tu lagi luas lah apabila benda baru cuma atas berani atau tidak sahaja untuk ambil risiko,” ujarnya. Che Faiz berkata demikian ketika ditemui oleh wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di premisnya di Dataran Limbongan, baru-baru ini. Anak jati Besut itu turut mengakui bahawa dia tidak percaya dengan sambutan yang diterimanya dan apa yang telah diperolehinya hari ini, selepas mengharungi detik sukar untuk bertahan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, awal tahun lalu.  “Pesanan saya untuk anak muda yang mahu memulakan perniagaan, paling utama kita kena ada ilmu sebab kita tak boleh semata-mata nak ikut orang, orang boleh arah kita untuk buat begini, begini tetapi kadang-kadang tahap pemahaman berbeza. “Jadi sebelum kita nak terjun sesuatu bidang tu kita kena ada ilmu dalam bidang tersebut, saya sendiri bila saya nak masuk bidang makanan, saya memang tanya orang dulu, belajar, tanya, apabila kita dapat maklumat yang cukup baru kita buat. “Kemudian satu lagi kita kena rancang, bila kita tidak merancang, kita tak tahu perniagaan kita nak pergi sampai ke tahap mana dan yang paling penting, kena berani ambil risiko serta kena pandai urus risiko jangan ambil risiko saja tapi tak pandai urus,” katanya. Perniagaan ini turut menerima suntikan dana daripada Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga Nasional (TEKUN Nasional) pada tahun 2009 dan telah terpilih untuk Program Dana Usahawan Belia Sejahtera (UBES) di bawah kendalian Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU). LeBest Dim Sum pernah tular dalam kalangan penduduk sekitar Besut kira-kira dua tahun yang lalu sebelum melangkau jauh dan mampu menyewa sebuah premis khas di Dataran Limbongan, bersebelahan dengan Masjid Al-Islah, Limbongan. Dim sum merupakan makanan yang berasal daripada masyarakat Cina, iaitu sejenis makanan yang menggunakan tepung sebagai kulitnya dan diisi dengan ayam, daging atau bahan-bahan lain dan kemudian dimasak dengan cara kukus atau goreng.
01 Nov 20
6404
AGRO Bank Tawar Pinjaman Sehingga RM50 Ribu
AGRO Bank Tawar Pinjaman Sehingga RM50 Ribu
KEMAMAN, 1 November - AGRO Bank menawarkan pinjaman atau pembiayaan mudah maksima sehingga RM50 ribu bagi setiap permohonan dengan bayaran balik selama lima tahun tanpa cagaran dan penjamin. Pengarah Agro Bank Wilayah Timur, Syed Ibrahim Syed Mohd menjelaskan, pembiayaan ini disasarkan kepada petani, nelayan, penternak dan pemain yang berkaitan dengan asas tani. Syed Ibrahim sedang berucap, Hazri Jusoh (dua dari kanan). "Kami menyasarkan pembiayaan mudah ini kepada petani, penternak, nelayan dan individu, koperasi atau syarikat yang mengeluarkan produk makanan berasaskan pertanian sama ada yang berskala kecil mahupun besar. "Justeru itu, saya menyeru kepada semua supaya dapat menghebahkan perkara ini kepada mereka yang memerlukan dan mengambil peluang ini untuk dimanfaatkan. Siapa cepat dia dapat," katanya. Syed Ibrahim berucap ketika sesi taklimat di Balai Raya Kampung Jong Belaboh pada 27 Oktober lalu. Sementara itu, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri Kijal, Ustaz Hazri Jusoh yang turut berucap sebagai tuan rumah menyarankan kepada belia dan beliawanis supaya merebut peluang yang ada ini. "Kepada para pemuda dan pemudi yang beminat di dalam sektor ini, rebutlah peluang yang terbuka ini. "Banyak aduan dan rintihan yang diterima sebelum ini kebanyakannya ketiadaan modal bagi memulakan projek sama ada pertanian maupun penternakan. Inilah masanya," ucapnya. Sesi taklimat itu dianjurkan oleh urusetia Koperasi Jong Belaboh bersama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung tersebut. Sebanyak RM350 juta yang diperuntukkan kepada AGRO Bank oleh Kerajaan Malaysia di bawah skim Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) untuk diagihkan ke seluruh negara.
30 Oct 20
2001
Laksana Titah Agong, Fokus Bajet 2021
Laksana Titah Agong, Fokus Bajet 2021
KUALA TERENGGANU, 29 Oktober – Titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah perlu dihayati masyarakat serta pemimpin negara dalam menghadapi COVID-19 dan perbentangan Bajet 2021. Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, titah Baginda yang percaya terhadap kerajaan dalam menjaga kebajikan rakyat perlu diberi perhatian. “Seri Paduka Baginda telah menyatakan, bajet 2021 sangat penting dalam menangani pandemik, titah sebegini menunjukkan Baginda memandang berat perkembangan yang berlaku dalam negara. “Ramai yang belum faham bahawa Baginda mahu melihat suasana politik negara yang ada dalam negara diredakan dan tumpuan semua pihak tidak kira kerajaan atau pembangkang, seharusnya menyatukan rakyat bagi menghadapi masalah besar ini,” kata beliau selepas program Bulan Dakwah di Masjid Gong Tok Nasek, Kuala Terengganu, pagi tadi. Mengulas lanjut mengenai Bajet 2021, beliau berkata, kawasan Parlimen Kuala Terengganu ada permintaan khusus melibatkan isu kemiskinan dan infrastruktur di bandar raya. “Isu kesusahan hidup rakyat sentiasa memerlukan perhatian dan bantuan walaupun dianggap bandar raya, namun isu kemiskinan bandar perlu diberi perhatian bukan sekadar rupa luar dengan rumah dan bangunan batu tetapi isinya kosong. “Kedua, isu infrastruktur seperti sistem perparitan dan longkang juga memerlukan peruntukan untuk penambahbaikan kualiti. Hal ini demikian kerana, isu kesihatan seperti denggi dan kebersihan turut berhubung kait dengan saluran perparitan jadi ini harus dimantapkan lagi,” ujarnya lagi. Beliau yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), turut mengulas tentang rancangan penambahan peruntukan sektor tersebut yang sedang menghadapi cabaran COVID-19. “Negara kita dicabar dari segi cara kerja dahulu yang secara manual perlu disesuaikan dengan pengenalan digitalisasi teknologi. MOSTI sudah kemukakan saranan dan akan diulas dalam belanjawan nanti,” kata beliau.
29 Oct 20
192
YPU Belanja RM500,500 Bina Kiosk Untuk Usahawan
YPU Belanja RM500,500 Bina Kiosk Untuk Usahawan
BESUT, 28 Oktober - Kerajaan Negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu telah membelanjakan sebanyak RM500,500 bagi membina kiosk perniagaan untuk usahawan di negeri ini.  Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, sehingga September tahun ini, sebanyak 77 buah kiosk perniagaan telah dibina.  "Bagi Parlimen Besut sahaja, 18 unit telah dihantar ke lokasi terpilih seperti di Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Besut, DUN Kota Putera dan DUN Kuala Besut melibatkan peruntukan sebanyak RM117,000.  "Pelaksanaan program ini adalah selaras dengan hasrat kerajaan negeri agar gerai-gerai di Terengganu lebih bersih dan menarik sekaligus dapat menarik lebih ramai pelanggan dalam membantu meningkatkan hasil jualan pengusaha,” katanya ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Surat Tawaran Sewa Program Gerai Maju di Besut, semalam.  Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Ahmad Farhan Abdul Wahab, Ketua Pegawai Operasi YPU, Zulkifli Yunus dan Pegawai Penyelaras DUN Kuala Besut, Azbi Salleh.  Tambah Nurkhuzaini, beberapa syarat telah ditetapkan untuk memohon Program Gerai Maju tersebut.  "Kesemua kadar sewaan bagi 77 buah kiosk ini hanya serendah RM150 untuk sebulan.  "Permohonan gerai ini adalah untuk rakyat Terengganu yang berumur 18 hingga 55 tahun serta mempunyai pendaftaran perniagaan sekurang-kurangnya enam bulan," katanya.  Nurkhuzaini juga berharap agar usahawan yang diberi peluang menyertai Program Gerai Maju dapat memberi tumpuan dan komitmen tinggi dalam menjalankan perniagaan sekaligus dapat meningkatkan pendapatan.  "Inilah masanya untuk kita membuktikan kepada kerajaan negeri bahawa pelaksanaan Program Gerai Maju ini merupakan salah satu program terbaik yang memberikan peluang kepada usahawan-usahawan untuk menjalankan perniagaan dan seterusnya dapat meningkatkan pendapatan.  "Dalam jangka masa panjang, program ini juga diharapkan menjadi contoh kepada peniaga-peniaga lain untuk menaiktaraf gerai-gerai mereka sepertimana kiosk ini yang lebih kemas dan mampu menarik lebih ramai pelanggan," katanya.  
28 Oct 20
1377
Muara Sungai Cetek : Kerja-Kerja Awal Telah Dilakukan, Nelayan Tidak Dipinggirkan
Muara Sungai Cetek : Kerja-Kerja Awal Telah Dilakukan, Nelayan Tidak Dipinggirkan
KUALA TERENGGANU, 26 Oktober - Kerajaan negeri menyangkal dakwaan sesetengah pihak berkenaan permasalahan nelayan di muara sungai Merchang dan muara sungai Ibai berikutan tiada tindakan diambil bagi menyelesaikan isu muara sungai cetek yang menjejaskan nelayan-nelayan untuk turun ke laut. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, apa yang berlaku tidak seperti yang diceritakan kerana kerajaan negeri melalui pemilik konsesi masing-masing telah menjalankan kerja-kerja pengorekan pasir bagi tujuan alur pelayaran seperti yang dijanjikan sebagai langkah penyelesaian jangka pendek. "Video yang tular itu baharu tetapi bukan terkini. Apa yang berlaku sekarang pendalaman muara sungai sudah dimulakan sejak Ogos lepas dan sekarang ini melalui penyediaan laporan Method of Statement oleh pihak konsesi yang telah pun dipersetujui oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri, maka kerja-kerja mendalamkan laluan pelayaran boleh dijalankan bagi mengatasi masalah muara sungai yang cetek. "Nelayan sudah boleh keluar masuk walaupun ketika air surut. Alhamdulillah kerjasama baik dari persatuan nelayan setempat banyak membantu melicinkan usaha ini," katanya ketika dihubungi pemberita, hari ini. Sementara itu, tambahnya, di muara Merchang sekarang ini timbul isu simpanan pasir (stockpile) terlalu tinggi. "Insya-Allah isu ini akan selesai dalam masa terdekat ini. Susulan itu, minggu lepas, pihak konsesi muara sungai Merchang telah mendapat kebenaran dari Jabatan Laut Malaysia (JLM) Wilayah Timur dan jabatan yang berkaitan. "Kita menjangkakan pada hujung minggu ini atau minggu depan jentera akan masuk dan kerja-kerja mengalihkan pasir dapat dijalankan di samping meneruskan kerja mendalamkan muara. "Kajian Marine Risk Assessment (MRA) telah diluluskan dan pemeriksaan kapal telah dibuat. JLM telah mengeluarkan kelulusan operasi untuk kapal-kapal melakukan kerja-kerja pengerukan di Merchang dan melakukan aktiviti Ship-to-Ship (STS) di hab pelabuhan Dungun. "Namun begitu, untuk muara Kuala Ibai, kerja-kerja mendalamkan alur pelayaran juga telah bermula cuma kebenaran untuk mengalihkan timbunan pasir masih belum diperolehi. Kita jangkakan selepas Akta Pengurusan Air dijangka dikuatkuasakan pada 1 Disember ini, semua muara di Terengganu akan dapat mengeluarkan pasir untuk dieksport insya-Allah," jelasnya.
26 Oct 20
2887
Koperasi Ladang Kelapa Sawit Terengganu Berhad Masuk Tahun Ke 48
Koperasi Ladang Kelapa Sawit Terengganu Berhad Masuk Tahun Ke 48
KEMAMAN, 26 Oktober - Ditubuhkan sejak tahun 1972, usia Koperasi Ladang Kelapa Sawit Terengganu Berhad kini menjangkau 48 tahun dan masih aktif beroperasi menjaga kebajikan ahli. Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Koperasi Ladang Kelapa Sawit Terengganu Berhad, Abdullah Zawawi Jusoh berkata, selama 36 tahun berada di TDM Plantation, tahun ini kali pertama perasmian mesyuarat agung dirasmikan oleh Ahli Parlimen merangkap Ahli Lembaga Pengarah TDM Plantation. “Inisiatif penubuhan koperasi ladang kelapa sawit ini ditubuhkan bagi mengelakkan ahli meminjam duit daripada orang luar atau kontraktor-kontraktor," ujarnya ketika berucap pada majlis perasmian mesyuarat agung di Dewan Komuniti Ladang Tebak, Kemaman di sini semalam. Tambahnya, koperasi itu mempunyai 21 lot kedai di Padang Kubu. Sehingga 2019 kutipan yang diperolehi melalui sewaan bulanan adalah sebanyak RM21,000. Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid turut memberitahu, mereka mempunyai keahlian seramai 146 orang dan kebajikan ahli diutamakan lebih-lebih lagi semasa COVID-19 melanda negara Malaysia. "Alhamdulillah koperasi ini dapat memberi bantuan kepada ahli semasa pandemik COVID-19 sebanyak RM250 seorang bagi menampung kos harian,” katanya. Keahlian Koperasi Ladang Kelapa Sawit Terengganu Berhad adalah dalam kalangan kakitangan pejabat di Ladang TDM Kemaman sahaja.
26 Oct 20
1911
ADUN Kota Putera Sedia Bot Bantu Nelayan Musim Tengkujuh
ADUN Kota Putera Sedia Bot Bantu Nelayan Musim Tengkujuh
BESUT, 26 Oktober - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman menyediakan bot bersaiz 32 kaki dengan enjin 300 kuasa kuda bagi membantu nelayan menjelang musim tengkujuh. Katanya, sebelum ini beliau mendapat aduan daripada para nelayan yang tidak dapat mencari rezeki kerana jentera (bot) mereka kecil dan tidak mampu beroperasi apabila musim tengkujuh tiba. “Kalau di Terengganu, musim tengkujuh bermula dari bulan November hingga Februari. “Pada waktu itu, para nelayan terutama nelayan di laut dan pesisir pantai tidak dapat keluar menangkap ikan dan ianya menjejaskan pendapatan mereka pada tempoh itu.  "Lantaran itu, satu inisiatif daripada Koperasi Kota Putera adalah membeli sebuah bot untuk diguna pakai secara berjadual  kepada nelayan yang berminat sahaja. Kelebihan kepada nelayan kerana bot itu boleh digunakan secara percuma sahaja," ujarnya dalam pertemuan bersama nelayan di Kampung Benting Lintang. Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Kampung Benting Lintang yang lebih dikenali sebagai "Pak Dor" ketika ditemui mengucapkan terima kasih kepada ADUN Kota Putera di atas bantuan yang diberikan kepada golongan nelayan. “Bantuan sebegini amat bermakna buat kami yang tidak dapat ke laut menangkap ikan dalam tempoh empat bulan itu,” ujarnya.
25 Oct 20
1809
Terengganu Kelima Tertinggi Dalam Pelaburan, Projek Perkilangan
Terengganu Kelima Tertinggi Dalam Pelaburan, Projek Perkilangan
KUALA TERENGGANU, 24 Oktober – Terengganu merupakan negeri kelima tertinggi dalam pelaburan dan projek perkilangan berdasarkan data daripada The Malaysian Investment Development Authority (MIDA) sehingga 5 Oktober. Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar berkata, kedudukan tersebut dicatatkan dengan jumlah pelaburan sebanyak RM1.8 billion. “Sabah yang pertama, diikuti dengan Pulau Pinang, Johor dan Selangor. Ini adalah pencapaian dan penambahan yang mendadak berbanding dengan tahun lepas. Penambahan pelaburan berbanding tahun lepas juga mencatat peningkatan sebanyak 185 peratus. “Namun begitu, kita masih mencari peluang dan mencari pelabur tetapi ia bukan sesuatu yang mudah. Contohnya, potensi pelabur yang bersetuju dalam tahun ini mungkin dua tahun lagi mereka akan datang seperti pengalaman sektor pelaburan di Sarawak,” katanya ketika bersiaran di Studio TVDI, petang kelmarin. Mengulas tentang empat kategori pelaburan, beliau berkata, tahap pertama adalah pelabur yang bertanya tentang potensi pelaburan, kedua mereka komited dengan menunjuk surat minat untuk berurus dengan lebih lanjut. “Ada yang kita lulus tapak untuk bagi pelabur datang. MIDA mengeluarkan kelulusan untuk pelaburan dan perkilangan, kemudian ia akan mengambil masa untuk membangunkan kilang di tapak, dikenali sebagai tahap realisasi. “Hasilnya, pelbagai projek industri yang sedang berjalan seperti di Teluk Kalong, Kerteh, Chendering dan lain-lain lagi. Potensi pelaburan untuk datang ke Terengganu juga kita ramalkan sebanyak RM5.78 billion bersama dengan peluang pekerjaan kepada negeri,” ujarnya lagi.
24 Oct 20
10458