Artikel "Ekonomi" Terkini
Permai Hotel Promosi Frontliner Hot Pot Dan Aromatic Delivery Sambil Beramal
KUALA TERENGGANU, 16 Februari - Gaya hidup norma baharu memaksa semua pengusaha perhotelan mencari inisiatif yang lain bagi meneruskan kelangsungan hidup termasuklah Permai Hotel Kuala Terengganu. Susulan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 baru-baru ini, Permai Hotel telah merancakkan kembali promosi Aromatic Delivery yang telah diperkenalkan sejak Januari tahun lalu.
Pengurus Besarnya, Noralizan Abdul Rahman berkata, Permai Hotel turut menawarkan Pakej Frontliner Hot Pot dengan harga serendah RM20 per set, bersesuaian dengan keadaan semasa.
“Setakat hari ini, pakej ini antara pakej yang disambut baik oleh masyarakat setempat di mana mereka boleh membeli sambil beramal. Tempahan-tempahan yang dibuat oleh mereka akan dihulurkan kepada petugas-petugas barisan hadapan,” katanya.
Frontliner Hot Pot mempunyai dua set pilihan makanan dengan set lauk yang berbeza. Ianya menjadi tarikan bukan sahaja kerana harganya yang murah malah para pelanggan boleh membuat pilihan dengan Set A atau Set B.
“Alhamdulillah, kami menerima tempahan sebanyak 50 hingga 100 set sehari. Set A antara set yang paling popular dalam kalangan pembeli. Ada juga yang memesan untuk menjamu selera bersama rakan-rakan di pejabat masing-masing," tambahnya.
Beliau sama sekali tidak menyangka bahawa Frontliner Hot Pot ini juga mendapat perhatian mereka yang berada di luar Terengganu. Ada di kalangan mereka memesan set makanan itu untuk dihantar kepada asnaf, fakir miskin dan anak-anak yatim.
Jelas beliau lagi, pihak Permai Hotel akan mencuba sedaya upaya untuk merealisasikan impian mereka yang ingin beramal di saat pandemik melanda negara ini.
Bagi membuat persediaan menghadapi tempoh mencabar ini, Permai Hotel akan memperkenalkan menu baharu di samping mengekalkan menu-menu yang ada. Menu ala carte yang menjadi kegemaran ramai ialah Nasi Ayam Khabsa. Uniknya Nasi Ayam Khabsa ini kerana ianya berasaskan ayam kampung.
“Kami juga sedang mengusahakan sesuatu yang baru yang diberi nama Jom Singgah Beli,” ujarnya.
Aromatic Delivery dibuka setiap hari dan menerima tempahan daripada jam 9 pagi hingga jam 5 petang. Caj penghantaran dikenakan sebanyak RM5 bagi kawasan yang beradius 10 kilometer dari hotel. Waktu penghantaran telah ditetapkan oleh pihak hotel dari jam 12 tengahari hingga jam 6 petang. Tempahan minimum pula ialah sebanyak RM15.
Bagi anda yang berminat untuk menghulurkan sumbangan, boleh berhubung terus dengan pihak hotel melalui talian 09-622 2122 atau menggunakan aplikasi Whatsapp di talian 011-2637 2964. Untuk maklumat lanjut mengenai pakej-pakej dan promosi terkini, anda boleh like dan follow Facebook dan Instagram Permai Hotel Kuala Terengganu.
16 Feb 21
886
Jadi Saudagar Mainan 'FB Live' Sara Keluarga Semasa PKP
KUALA TERENGGANU, 16 Februari - Kekangan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak menghalang seorang tukang gunting, Baharin Jaafar, 26, bagi mencari pendapatan lain sebagai seorang saudagar mainan melalui' Facebook live'.
Baharin atau lebih dikenali sebagai Pok Ren di laman sosial tersebut berkata, dia telah mula berkecimpung dalam perniagaan atas talian sejak penguatkuasaan PKP pada bulan Mac tahun lepas ekoran pelaksanaan kawalan tersebut menghalangnya meneruskan kerja asal di kedai gunting rambut.
“Ideanya datang daripada melihat trend peniaga lain menjual barangan seperti jam, baju dan sebagainya dalam ‘FB Live’, jadi saya mengambil peluang itu bagi menyara keluarga saya ketika waktu pandemik.
“Antara mainan dijual adalah barangan ‘second-hand’ berjenama dari Jepun, Amerika Syarikat dan China seperti Kamen Rider, Dragonball, Star Wars, Ultraman dan lain-lain lagi, stok barangan ini dibeli daripada pengedar di Terengganu sehingga dari China dan Jepun.
“Cara menjual saya kira siapa cepat kunci (lock) barangan dengan harga ditetapkan atau secara bidaan, contohnya seperti mainan ‘GI Joe’ ini saya lock dengan harga RM80, jadi siapa cepat dia dapat,” katanya ketika ditemu bual pemberita, baru-baru ini.
Tambahnya yang menetap di Kuala Terengganu, harga mainan dijualnya antara RM20 hingga RM100 bergantung kepada kos dan harga pasaran barangan, tetapi murah kerana kebanyakannya adalah barangan terpakai.
“Pendapatan bulanan dengan lima hingga enam sesi siaran langsung boleh meraih daripada RM2,000 hingga RM4,000, dengan penonton boleh mencecah bermula dengan 20 hingga 200 orang,” katanya lagi.
Mengulas tentang kebaikan berniaga atas talian, Pok Ren menyifatkan ia sebagai platform yang baik terutamanya apabila pergerakan fizikal membataskan perniagaan fizikal.
“Kos perniagaan juga jimat dan mempunyai capaian luas dari segi potensi pelanggan, kebanyakan pembeli adalah penonton luar Terengganu dan ada juga dari Sabah dan Sarawak.
"Jadi sementara menunggu PKP habis, saya boleh menyara isteri dan anak kecil saya dengan menjadi saudagar mainan 'online' sepenuh masa," tambahnya.
Untuk maklumat lebih lanjut, Pok Ren bersiaran live di Facebook ‘Kedai Mainan Pok Ren’ setiap Rabu dan Jumaat pada pukul 9.00 malam sehingga 3.00 pagi.
14 Feb 21
1087
Teknologi CMA Bantu Lonjak Pasaran Getah Negara
KUALA NERUS, 13 Februari - Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi berusaha memperluaskan penggunaan getah beku dalam pembinaan jalan raya bagi membantu meningkatkan pengeluaran getah negara.
Menterinya, Dato' Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali memaklumkan, pihaknya telah berbincang dengan The Iskandar Regional Development Authority (IRDA) untuk memperluaskan penggunaan Asfalt Terubahsuai Getah Bekuan (CMA) dan teknologi turapan bitumen sekerap terubahsuai (CMB) bagi laluan baru sepanjang 20 kilometer (km) yang akan dikembangkan IRDA.
"Kerjasama ini bagi memperluaskan penggunaan getah beku yang merupakan bahan komoditi utama tempatan sekaligus meningkatkan pengeluaran getah serta harganya di pasaran.
"Walaupun penggunaannya untuk peringkat awal lebih mahal iaitu sekali ganda kos asal, tetapi ia memberi keuntungan jangka masa panjang dari segi penyelenggaraan kerana lebih tahan. Itu hasrat kita," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media ketika menyantuni beberapa keluarga berbangsa Tionghua di Taman Wakaf Tembesu, hari ini.
Mohd Khairuddin berkata, teknologi tersebut telah diperkenalkan sebelum ini, namun perlu diperluaskan lagi.
"Sebelum ini, teknologi CMA dan CMB sudah berjaya digunakan bagi jalan selenggaraan Jabatan Kerja Raya (JKR) sepanjang 200 km.
"Kita berhasrat melaksanakannya bersama kementerian lain seperti Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan kerajaan negeri bagi pembangunan jalan-jalan kampung," katanya.
Jelasnya lagi, usaha itu akan membantu dari sudut pembelian harga getah dan melonjakkan pendapatan pekebun kecil.
"Sekarang kita bergantung kepada harga dunia yang tidak boleh dikawal.
"Tetapi untuk pembelian dalam negara oleh syarikat yang membekalkan CMA dan CMB, kita mahu mereka membeli dengan harga tinggi daripada pengusaha kecil dan ini akan meningkatkan pengeluaran getah beku kita," katanya.
13 Feb 21
660
JPKK Agih 260 Bungkusan Ikan Kepada Penduduk
BESUT, 7 Februari - Cakna akan derita rakyat sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 pihak Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Air Tawar mengagihkan 260 bungkusan ikan selayang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, ramai yang terjejas pendapatan dan tidak kurang juga yang kehilangan mata pencarian terutamanya mereka yang bekerja sendiri seperti pengusaha restoran, tukang gunting rambut dan peniaga pasar malam.
"Semalam kita menghantar ikan menggunakan motosikal berbekalkan 'storage bag' supaya perjalanan lebih lancar masuk ke pelusuk kampung.
“Kita juga berharap agar agihan yang tidak seberapa ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan kegusaran ketua-ketua keluarga dalam menyediakan lauk untuk dihidangkan kepada isi rumah yang menanti,” tambah beliau yang turut turun padang membantu para petugas menghantar sumbangan ikan selayang.
Sementara itu, Pengerusi JPKK Air Tawar, Nik Mazli Mat Yusoff memberitahu, bagi tujuan itu pihaknya mengumpul dana sendiri untuk disumbangan kepada penduduk Air Tawar.
"Terima kasih kepada Tengku Harun selaku Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Besut yang turut sama bertungkus lumus membantu menjayakan program agihan sumbangan ini," jelasnya.
07 Feb 21
485
Peniaga Lebih Gembira PKP 2.0
KUALA NERUS, 7 Februari - Rata-rata para peniaga yang ditemui menzahirkan kesyukuran kerana keadaan berbeza berbanding Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 yang lepas ekoran keputusan untuk membenarkan lebih banyak premis perniagaan beroperasi sempena PKP 2.0
Seorang penjual cendol, Izzati Azmi menzahirkan syukur boleh berniaga dan pendapatan tidak seperti PKP yang dahulu.
"Kalau PKP dahulu, saya tidak boleh berniaga tapi PKP kali ini dibenarkan dan hasil jualan seperti sebelum wabak dahulu iaitu RM500 ke RM600 sehari,” katanya yang turut menasihati orang ramai serta pelanggannya mematuhi SOP.
“Kita sedia maklum bahawa kerajaan sedang menjaga rakyat dan juga menjaga kestabilan ekonomi, kerana itu perniagaan dibenarkan. Sebagai rakyat kita kenalah jaga SOP yang ditetapkan”, katanya lagi.
Seorang lagi peniaga makanan sejuk beku, Aqilah Amran lega masih meraih pendapatan walaupun jualan tidak menentu.
"Kita mengikut apa sahaja arahan yang ditetapkan dan memberi kerjasama dengan pihak berkuasa untuk urusan jual beli. Semua pihak akan mendapat manfaat,” ujarnya ketika ditemui Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), baru-baru ini.
Dalam pada itu, Pegawai Penyelaras DUN Seberang Takir, Mohd Fadhil Wahab berkata beliau dan Pusat Khidmat Masyarakat sentiasa peka dengan permasalahan penduduknya dan menyarankan jika ada yang terkesan dengan PKP 2.0 ini boleh hadir ke PKM.
“PKM sedang giat mengagihkan barangan keperluan asas dan sudah mengarahkan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) untuk mengenalpasti mereka yang terkesan akibat PKP 2.0.”
Jelas Mohd Fadhil lagi, walaubagaimanapun jumlah bilangan yang dikenal pasti mendapat barang keperluan tidak seramai PKP 1.0 memandangkan kerajaan membenarkan aktiviti ekonomi berjalan seperti biasa.
07 Feb 21
487
Duyung Marina Jual Nasi Bajet Demi Pekerja, Kelangsungan Operasi
KUALA TERENGGANU, 6 Februari - Demi kelangsungan operasi dek pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah mendorong Duyung Marina & Resort (DMR) mengambil inisiatif membuka gerai hidangan nasi bajet berharga RM3 di tepi jalan berhampiran Jambatan Sultan Mahmud.
Pengurus Besarnya, Wan Mohd. Faizul Wan Abas berkata, ia dirancang secara proaktif supaya tidak mengharapkan sumber pendapatan teras sedia ada sahaja dan dalam masa yang sama menaikkan semula semangat 156 kakitangan hotel tersebut.
Katanya, cetusan idea ini adalah hasil perbincangan dengan chef dan strategi membuka gerai nasi bajet menjadi bukti pihak majikan tidak hanya berpeluk tubuh dalam berdepan dengan situasi ekonomi penuh mencabar akibat pandemik Covid-19.
"Setiap hari gerai kami akan beroperasi dari pukul 11 pagi hingga 3 petang di Jambatan Sultan Mahmud di sini dengan menawarkan pelbagai menu menarik seperti ayam goreng berempah, gulai ayam, gulai lemak ikan masin nenas, sambal ikan tenggiri limau, sambal telur dan sayur goreng.
“Pada hari pertama beroperasi kelmarin (Khamis) kita hanya menyediakan hidangan untuk 80 orang sahaja tetapi sambutan yang di luar jangkaan mendorong kita menggandakan kuantiti makanan kepada 300 orang pada hari ketiga hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita semasa mempromosikan jualan nasi bajet tersebut.
Jelasnya lagi, tindakan DMR menjual nasi bajet tidak bermaksud mahu mengganggu punca pendapatan peniaga-peniaga lain.
"Ini merupakan salah satu usaha DMR untuk melakukan kebajikan kepada golongan B40 menerusi jualan makanan pada harga murah sekaligus pada masa yang sama membuka ruang sumber pendapatan baru bagi DMR.
"Keuntungan daripada jualan nasi bajet ini tidak sampai 10 peratus kepada perniagaan teras DMR tetapi sekurang-kurangnya kita dapat membawa keceriaan dan semangat kepada pekerja,” katanya.
Tambah Wan Mohd Faizol, DMR juga membuat promosi untuk bilik, iaitu pakej pada harga serendah RM280 untuk tiga hari dua malam.
"Beli satu pakej percuma satu pakej. Promosi ini akan tamat pada 18 Februari tidak lama lagi," katanya.
06 Feb 21
2796
Tiga Inisiatif Khas COVID-19 Bantu Golongan Belia
KUALA TERENGGANU, 3 Februari – Kerajaan negeri memperkenalkan tiga inisiatif khas dalam membantu golongan belia dan beliawanis Terengganu yang terjejas akibat pandemik COVID-19.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, usaha tersebut termasuk tabung pemulihan Perniagaan Kecil Sederhana (PKS) berjumlah RM3.5 juta.
“Tabung ini berperanan membantu pemulihan peniaga termasuk usahawan belia yang terlibat dalam projek pembangunan kecil dan sederhana terkesan akibat pandemik, golongan tersebut adalah diantara sasaran kerajaan.
“Kedua, Bantuan Cakna Rakyat Terengganu dengan peruntukan sebanyak RM9.7 juta, memfokuskan golongan b40 disertai belia dibawah kategori tersebut dengan pengagihan ‘One-off’ sebanyak RM200 untuk satu isi rumah (keluarga).
“Inisiatif ketiga adalah pengecualian bayaran lesen perniagaan kecil dan penjaja disamping penerusan program penangguhan dan diskaun diberi oleh pihak Yayasan Terengganu (YT),” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI, pagi semalam.
Tambah beliau, peminjam tabung YT telah membuat keputusan bagi penangguhan dan diskaun pinjaman sejak tahun lepas, meringankan beban usahawan yang kebanyakan terdiri daripada golongan belia.
Mengulas lanjut berkenaan Pelan Literasi Kewangan, Wan Sukairi memaklumkan, inisiatif tersebut juga boleh dimanfaatkan oleh belia dan beliawanis untuk meluaskan lagi rangkuman pendidikan kewangan pada situasi mencabar tersebut.
“Selain itu, lapan program dibawah rangka latihan kemahiran dan peluang pekerjaan juga membuka pintu kepada golongan belia dan akan dilaksanakan segera jika keadaan mengizinkan.
“Program sebegini dibawah pengelolaan portfolio Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna, namun kerjasama sentiasa diadakan merentasi portfolio kerana ia melibatkan inisiatif buat warga belia juga,” tambahnya.
03 Feb 21
2173
Terengganu Pertimbang Salur Bantuan Rakyat Terjejas Covid-19
KUALA TERENGGANU, 23 Januari – Terengganu akan mengkaji serta menilai bantuan Covid-19 yang diperlukan oleh mereka yang terjejas berdasarkan kes dan laporan sewajarnya.
Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya akan sentiasa menilai keperluan rakyat melalui Ahli Dewan Undangan Negeri dan pemimpin komuniti di seluruh Terengganu.
"Saya percaya semua wakil rakyat di Terengganu daripada semua parti politik sentiasa terbuka untuk menerima apa jua maklum balas daripada rakyat atas kesusahan yang dialami dan menyelesaikan masalah tersebut.
"Buat masa ini, kita meminta mereka yang terkesan untuk berhubung terus dengan wakil rakyat, ahli majlis atau Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di kawasan masing-masing.
"Kerajaan negeri juga akan melihat keperluan dari masa ke semasa bagi memberi bantuan kepada mereka yang betul-betul terkesan.
"Kita juga akan berusaha dan mencari jalan bagi mengurangkan beban mereka, walaupun setakat ini masih tidak dibuat sebarang keputusan," katanya.
Beliau berkata ketika ditemubual wartawan sebaik sahaja selesai menghadiri program Amal Blood Donation 2021 yang diadakan di sini hari ini.
Mengulas mengenai program terbabit, Ahmad Samsuri menyatakan aktiviti tersebut bertujuan membantu meningkatkan bekalan darah negara.
"Program ini telah mendapat kelulusan dan kebenaran daripada Majlis Keselamatan Negara memandangkan Pusat Darah Negara kekurangan bekalan darah.
"Hari ini, sebanyak 131 beg darah telah berjaya dikumpulkan dalam program anjuran Jabatan Amal Malaysia (JAM) ini, tambahnya.
23 Jan 21
3658
Ubah Cara Berniaga Sepanjang Tempoh PKP
KUALA NERUS, 22 Januari - Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula hari ini bukan penghalang bagi pengusaha Kedai Kopi Ngabang yang terletak di Kg. Wakaf Tengah untuk kekal beroperasi.
Pengusahanya, Sharifah Nur Aqilah Syed Mohd Zaris mengambil pendekatan perkhidmatan 'take away' dan penghantaran terus kepada pelanggan sepanjang tempoh PKP dijalankan ekoran keputusan tidak membenarkan pelanggan untuk makan di dalam premis bagi tempoh tersebut.
"Sekiranya kedai ini ditutup terus sepanjang PKP ini, sudah pasti akan menjejaskan pendapatan kami sepenuhnya.
"Jadi, sejurus pengumuman PKP tersebut kami terus membuat persiapan untuk mengubah cara perniagaan kami dari 'dine in' kepada bungkus dan perkhidmatan penghantaran terus kepada pelanggan," jelasnya.
Menurutnya, para peniaga hari ini perlu lebih kreatif dan perlu menggunakan segala kemudahan yang ada untuk menghadapi cabaran masa hadapan yang tidak menentu.
"Kita tidak tahu lagi bila akan berakhirnya penularan wabak Covid-19 ini, jadi kita perlu fikirkan beberapa 'back up plan' untuk keberlangsungan perniagaan kita," ujarnya lagi.
Kedai Kopi Ngabang yang baru sahaja mula beroperasi pada tahun ini mengenakan tema kedai kopi ala tradisional dengan juadah seperti nasi dagang, pulut nyiur dan lain-lain lagi.
Iklan yang disiarkan dalam laman sosial
22 Jan 21
1913
OKU Pendengaran Terharu Terima Mesin Jahit
SETIU, 18 Januari - Orang Kelainan Upaya (OKU) pendengaran, Tengku Noraini Tengku Mansor terharu apabila menerima sebuah mesin jahit industri dan sebuah mesin jahit tepi (kelim).
Tengku Noraini berkata, 'hadiah' daripada kerajaan negeri itu cukup bermakna buat dirinya yang telah telah menjana pendapatan dalam bidang terbabit sejak berusia 21 tahun.
"Saya mengambil upah menjahit di rumah, ini lah sumber pendapatan saya.
"Berkat sokongan suami, Kamaruzaman Yatim, perniagaan saya semakin baik dan kini dibantu oleh seorang pekerja sejak setahun yang lepas.
"Saya sangat bersyukur dengan bantuan mesin ini. Terima kasih atas keprihatinan Exco Kerajaan Negeri dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di sini yang sentiasa cakna akan penduduk yang memerlukan bantuan," katanya.
Tengku Noraini berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Mesin Jahit di kedai jahit Kampung Chalok Kedai, di sini kelmarin.
Majlis berkenaan turut dihadiri, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), Mohd Iskandar dan Pegawai Khas Penyelaras DUN Langkap, Arif Mazlan.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Abd Rahman yang hadir menyempurnakan majlis itu berkata, sumbangan tersebut adalah di bawah peruntukan Dana Prihatin Terengganu – OKU (D-HATI).
"Ia disediakan bertujuan untuk membantu usahawan OKU tempatan mengembangkan lagi perniagaannya.
"Mesin jahit industri dan sebuah mesin jahit tepi (kelim) yang baru ini mampu menyiapkan jahitan dengan kadar segera.
“Kita harapkan infrastruktur yang diberi ini boleh menyelesaikan masalah dari segi kuantiti jahitan pakaian & mempercepatkan proses kerja," ujarnya.
18 Jan 21
528