lightning-solid
Berita :

Artikel "Ekonomi" Terkini

Lokasi Pelancongan Terengganu Dibuka Bermula September
Lokasi Pelancongan Terengganu Dibuka Bermula September
KUALA TERENGGANU, 30 Ogos - Kerajaan Terengganu mengumumkan sektor pelancongan negeri itu akan dibuka bermula 1 September ini selaras dengan pengumuman Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkenaan pembukaan sektor tersebut kepada negeri yang berada dalam fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN). Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, semua lokasi pelancongan dibuka kecuali yang bersifat 'indoor' seperti Taman Tamadun Islam dan Muzium Negeri. "Pulau-pulau peranginan iaitu Pulau Kapas, Tenggol, Redang dan Lang Tengah turut dibuka dengan kapasiti penuh mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan MKN. "Walau bagaimanapun, tiada aktiviti pelancongan bagi Pulau Perhentian berikutan penularan dalam Covid-19 sehingga dimaklumkan kelak. Pergerakan keluar masuk ke pulau tersebut turut dibataskan," katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Solat Hajat sempena pembukaan semula sektor pelancongan negeri Terengganu di Duyong Marina & Resort, semalam. Hadir sama, Pengarah Jabatan Pelancongan Terengganu, Fadli Yusof Zakaria. Menurut Ariffin, pembukaan sektor berkenaan lebih bersifat dalaman pada peringkat awal dengan kebenaran rentas antara daerah. "Sebenarnya, pembukaan ini jelas untuk rakyat Terengganu sehingga dibenarkan untuk merentas negeri. Memang Perancangan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) untuk mewujudkan gelembung pelancongan, tetapi masih banyak negeri khususnya di Pantai Barat masih berada di fasa satu PPN. "Namun, kita sentiasa bersedia dan berusaha memastikan sektor pelancongan Terengganu selamat dengan promosi terbaharu iaitu 'We Save To Visit'," katanya.      
30 Aug 21
727
Kerajaan Negeri Umum Bantuan Kewangan Buat Usahawan Kecil, Sederhana
Kerajaan Negeri Umum Bantuan Kewangan Buat Usahawan Kecil, Sederhana
KUALA TERENGGANU, 25 Ogos - Kerajaan negeri bakal melancarkan bantuan kewangan patuh syariah kepada usahawan kecil dan sederhana sebagai suntingan untuk kembali bernafas susulan impak ekonomi pandemik COVID-19. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro Dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Abdul Rahman berkata, ia dijangka bakal bermula pada September melihat kepada kebanyakan golongan sasar tersebut tidak mempunyai modal untuk beroperasi kembali. Katanya, pakej ditawarkan adalah bantuan kewangan tanpa penjamin kepada golongan usahawan dan peniaga kecil, yang diuruskan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu dengan kerjasama Bank Islam Malaysia Berhad. “Inisiatif dalam perancangan ini adalah tanpa riba (termasuk cas perkhidmatan) sebagai modal pusingan buat usahawan di luar sana. “Dinamakan sebagai Skim Pembiayaan Mikro Bangkit BIMB-YPU menggunakan dana Sadaqa House, dana-dana yang diperuntukkan itu tidak ada hadnya, cuma suntingan itu bermula serendah RM3,000 sehingga RM20,000. “Diharapkan agar rakyat khususnya golongan terlibat bersedia untuk membuat permohonan kepada YPU sebaik sahaja ia dijalankan,” katanya. Beliau berkata demikian semasa siaran langsung Dialog Rakyat Terengganu Peringkat Besut, di Facebook TVDI, baru-baru ini. Selain itu, Mohd Khuzaini berkata, kontraktor kecil yang memperolehi projek kerajaan badan berkanun, syarikat pautan kerajaan, syarikat tersenarai awam, PBT dan yang tidak mampu memulakan kerja kerana ketiadaan modal yang cukup juga ditawarkan bantuan melalui pakej pemfaktoran. Katanya, kerajaan sedar ada kontraktor kecil yang mendapat projek tidak mempunyai modal yang cukup dan kerana tiada pilihan, terpaksa meminjam daripada 'along'. Menyedari hakikat itu, jelasnya, pihaknya bersama YPU dan sebuah syarikat menyediakan skim pembiayaan pemfaktoran kepada kontraktor tersebut. Tambahnya, untuk tahun pertama, kerajaan melalui YPU akan menyediakan peruntukan sebanyak RM20 juta dan akan dijadikan pusingan untuk kemudahan kontraktor membiayai 80 peratus daripada modal projek mereka.
25 Aug 21
480
Peniaga Kedai Pakaian Lega Premis Boleh Operasi
Peniaga Kedai Pakaian Lega Premis Boleh Operasi
KUALA NERUS, 15 Ogos – Pembukaan lebih banyak sektor perdagangan dan pengedaran yang berkuat kuasa pada semalam bukan sahaja melegakan peniaga bahkan orang ramai. Seorang peniaga pakaian wanita, Husna Syahirah Rosdi, 25, berkata, dia sangat bersyukur apabila dimaklumkan kedai sepertinya boleh beroperasi setelah tiga bulan tidak dapat berniaga seperti biasa. "Sepanjang tidak beroperasi, bayaran sewa juga perlu bayar iaitu sebanyak RM4,500. Oleh itu, saya dan rakan-rakan usahawan lain mengambil kaedah alternatif dengan menjual secara atas talian sahaja sepanjang pandemik bagi menyara diri dan kos perniagaan," katanya. Tambahnya, sambutan pada hari pertama dibuka semalam amat memberangsangkan dengan pelanggan dalam daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus berkunjung di kedainya di KTCC Mall. Sementara itu, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri Seberang Takir, Mohd Fadhil Wahab ketika dihubungi berkata, hari ini dijangka banyak lagi sektor terlibat dibuka ekoran pengumuman tersebut, baru-baru ini. “Dalam DUN Seberang Takir yang kita dapat kenalpasti beberapa buah kedai yang berdaftar dengan kita untuk Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT) 2021 baru-baru ini,” jelasnya.
17 Aug 21
453
Fasa 2: Lagi 11 Aktiviti Ekonomi Dibenarkan Buka Di Terengganu
Fasa 2: Lagi 11 Aktiviti Ekonomi Dibenarkan Buka Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 16 Ogos - Sebanyak 11 lagi aktiviti ekonomi di dalam sektor perdagangan dan pengedaran dibenarkan untuk kembali beroperasi di Terengganu serta negeri Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula hari ini. Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memaklumkan kesemua 11 aktiviti ekonomi itu adalah tambahan kepada 11 aktiviti ekonomi yang dibenarkan beroperasi semula di dalam Fasa 1. Aktiviti-aktiviti ekonomi tersebut adalah seperti berikut : 1. Kedai barang fotografi dan perkhidmatan fotografi 2. Kedai barangan terpakai 3. Kedai bunga dan nurseri 4. Kedai kraftangan dan cenderahati 5. Kedai antik 6. Kedai alat permainan 7. Kedai permaidani 8. Kedai kandungan kreatif dan peralatan industri kreatif 9. Kedai peralatan outdoor (termasuk peralatan perkhemahan, memancing dan lain-lain) 10.Kedai kosmetik, penjagaan kulit dan minyak wangi 11.Kedai tembakau termasuk vape dan rokok elektronik Namun, Muhyiddin berkata pemilik premis yang tersenarai itu perlu memastikan pelanggan yang memasuki premis menunjukkan sijil digital vaksinasi COVID-19. Katanya lagi, ia bertujuan bagi membuktikan individu tersebut telah menerima vaksinasi lengkap, serta mengurangkan risiko penularan wabak COVID-19 dalam kalangan masyarakat. Selain Terengganu, negeri-negeri dalam Fasa 2 PPN buat masa ini ialah ialah Pulau Pinang, Perak, Pahang, Kelantan dan Sabah.
16 Aug 21
3088
137 Nelayan Terengganu 'Drive Thru' Terima Lesen Sampan
137 Nelayan Terengganu 'Drive Thru' Terima Lesen Sampan
KUALA NERUS, 12 Ogos - Seramai 137 nelayan dari daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus memperolehi lesen sampan khas daripada kerajaan negeri melalui Jabatan Perikanan Malaysia (Jabatan Perikanan) Terengganu, hari ini. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim memaklumkan, penyerahan lesen tersebut dilakukan secara pandu lalu bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN). "Alhamdulillah, kita dapat menyelesaikan salah satu isu utama yang dihadapi nelayan iaitu perlesenan. Berdasarkan pemutihan yang dibuat, kita ada sekitar 800 orang nelayan sampan zon A di seluruh Terengganu dan kita berjaya mendapatkan kelulusan khas 600 lesen bagi tahun ini. "Hari ini, sebanyak 137 lesen diserahkan kepada nelayan di sini sebagai usaha membantu para nelayan zon A yang menjadikan aktiviti menangkap ikan sebagai punca pendapatan utama. Bagi nelayan daerah lain, penyerahan akan dilakukan dalam tempoh terdekat ini," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas program berkenaan di Pangkalan Batu Rakit, hari ini. Turut hadir, Pengarah Perikanan Terengganu, Ruzaidi Mamat, Pengarah Pertanian Negeri Terengganu Zulkepli Amin Mat Jusoh @ Yusof dan Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail. Menurut Dr. Azman, penyerahan lesen itu turut memberi keistimewaan kepada nelayan tempatan daripada pelbagai sudut. "Mereka telah berpuluh tahun menangkap ikan, tetapi tiada lesen. Apabila tiada lesen, nelayan dinafikan banyak hak antaranya elaun sara hidup nelayan, minyak bersubsidi dan kalau ada berlaku kemalangan di laut mereka tidak layak mendapat bantuan bencana. "Hari ini, 137 orang nelayan kini menerimanya selepas penyerahan pertama yang dibuat bagi nelayan Besut dan Setiu sebanyak 84 lesen, awal tahun ini. Mudah-mudahan, mereka boleh cari rezeki dengan lebih tenang selepas ini," katanya. Dalam program tersebut, kerja-kerja melabuhkan unjam turut diadakan di perairan Batu Rakit. Sebanyak 40 unjam dilabuhkan dan ia akan memberi manfaat kepada 20 hingga 30 orang nelayan bagi setiap pangkalan. Bagi tahun 2021, Jabatan Perikanan melaksanakan tujuh program Melabuh Unjam iaitu di Pangkalan Tanjung bagi Kuala Terengganu, Pangkalan Bari di Setiu dan Pangkalan Kijal di Kemaman. Selain pelabuhan unjam di Pangkalan Batu Rakit bagi Kuala Nerus hari ini, unjam akan turut dilabuhkan di Pangkalan Kuala Besut bagi Besut dan Pangkalan Pasir Putih di Marang.  
12 Aug 21
635
Yayasan PETRONAS Taja 735 Pelajar Terengganu
Yayasan PETRONAS Taja 735 Pelajar Terengganu
KUALA TERENGGANU, 12 Ogos - Yayasan PETRONAS telah memberikan tajaan kepada 735 pelajar menerusi program tanggungjawab sosial (CSR) CERDIK bagi membolehkan pelajar meneruskan pembelajaran secara dalam talian dari rumah. Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pelajar ini dipilih dari lima buah daerah untuk menjadi penerima iPad, papan kekunci Logitech dan pelan jaringan Maxis dengan pakej pendidikan. "Jumlah keseluruhan sumbangan program CERDIK tajaan Yayasan PETRONAS ini adalah RM1.8 juta untuk negeri Terengganu sahaja," katanya. Jelas Ahmad Samsuri, pembangunan industri ini sekali gus membantu rakyat di negeri ini menikmati limpahan manfaat ekonomi dan kesejahteraan komuniti. "Besar harapan saya agar kerjasama dan hubungan baik antara Kerajaan Negeri Terengganu dan PETRONAS ini berterusan ibarat kata orang tua-tua, "pecak boleh dilayangkan, bulat boleh digulingkan, batu segiling pecak setapik", ujarnya setelah Sesi Gimik Sumbangan CERDIK secara atas talian.
12 Aug 21
246
Tahun Pertanian Terengganu Rancak Berjalan Walau Alami Kekangan
Tahun Pertanian Terengganu Rancak Berjalan Walau Alami Kekangan
SETIU, 5 Ogos - Hasrat Kerajaan Terengganu menjayakan program Tahun Pertanian terus berjalan di saat sedang berhadapan kekangan akibat pandemik Covid-19 pada waktu ini.  Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata,  bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri melalui sektor pertanian, penternakan dan perikanan, inisiatif berkenaan tetap diteruskan mengikut segala perancangan dalam keadaan agak terbatas. "Sebagaimana yang diwarwarkan sebelum ini sebanyak 73 program dan 13 projek disusun, perancangannya tetap diteruskan dengan sempurna, sebab itu sektor ini agak meriah walaupun dalam situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). "Kerana kita cuba mencari jalan bagi memastikan setiap perancangan berjaya, walaupun dalam skala terhad agar berjalan dengan lancar. "Tidak boleh ditangguhkan kerana setiap bulan terdapat sekitar tiga atau empat program perlu dilakukan, jika tidak ia mengakibatkan kita tidak mempunyai kemampuan untuk melaksanakan kesemuanya. Di antara programnya adalah memperkayakan sumber perikanan sebagaimana termaktub dalam agenda Tahun Pertanian Terengganu," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Melabuh Unjam Komuniti Perikanan (myKP) Bari dan myKP Rhu 10, di perairan Setiu, kelmarin. Turut hadir, Pegawai Daerah Setiu, Rosli Latif, Pemangku Pengarah Pertanian negeri, Zulkifli Amin Mat Jusoh dan Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superitendan Afandi Husin. Program tersebut katanya merupakan siri yang kedua bagi tahun ini di mana ia mempunyai beberapa siri lagi yang membabitkan kesemua daerah dalam negeri ini. "Di mana setiap daerah akan mendapat bahagian sama ada tukun ataupun unjam, membabitkan peruntukan sebanyak RM1.2 juta oleh kerajaan negeri dan ditambah sebanyak RM300,000 oleh Kerajaan Persekutuan menjadikan jumlahnya RM1.5 juta. "Pagi ini kita melabuhkan unjam di sini dengan kerjasama di antara komuniti nelayan Rhu 10 dan Pantai Bari, dalam jarak lima batu nautika dari pantai bagi mengelakkan unjam rosak, di mana zon A ini dilarang bagi setiap aktiviti berkaitan pukat tunda bagi manfaat nelayan pantai," ujarnya. Katanya, aktiviti berkenaan akan diteruskan dalam tempoh terdekat untuk diselesaikan segera sebelum Oktober, bagi persiapan menghadapi laut bergelora.
03 Aug 21
261
Sektor Perladangan Buka Peluang Buat Tenaga Kerja Tempatan
Sektor Perladangan Buka Peluang Buat Tenaga Kerja Tempatan
KUALA NERUS, 31 Julai - Berdepan situasi semasa Covid-19 hari ini, sektor perladangan terutama industri kelapa sawit mungkin berpeluang melepaskan kebergantungan kepada tenaga kerja asing. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, pergantungan sepenuhnya sektor sawit kepada khidmat pekerja asing adalah sekitar 250 ribu pekerja  "Sejak Covid-19 melanda, kita berhadapan dengan kekurangan tenaga kerja dalam industri sawit kerana kita bergantung kepada tenaga pekerja asing, tetapi kita 'cover' sedikit demi sedikit dan mula bergantung kepada rakyat tempatan termasuklah dengan membekalkan mekanisasi serta automasi dalam pengurusan ladang. "Melaluinya, kita berjaya kurangkan sebahagian ruang pekerjaan untuk diisi dengan rakyat tempatan. Sebab itu, kita terus buat promosi besar-besaran dari sudut peluang pekerjaan di ladang kepada rakyat yang menjanjikan pulangan lumayan sebenarnya," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan kios Amal Kongsi Rezeki di Sabasun Hypermarket Wakaf Tembesu, hari ini. Menurutnya, usaha itu turut membawa kepada peningkatan tenaga kerja tempatan dalam sektor perladangan.  "Memang ada peningkatan, cuma angka tepat belum dapat dikumpulkan sepenuhnya daripada syarikat-syarikat terlibat. "Tetapi pada masa yang sama, unjuran kerugian kita disebabkan kekurangan tenaga kerja ini adalah kira-kira RM6 bilion setahun berikutan kerajaan masih menutup sempadan kepada warga asing untuk masuk bekerja," katanya. Jelasnya, ada beberapa pengecualian yang sedang dibincangkan pada peringkat kementerian untuk mendapatkan sekitar 30 ribu pekerja asing khusus bagi pekhidmatan penuaian buah kelapa sawit bagi menampung kekurangan tersebut. "Namun, ia masih lagi dalam peringkat perbincangan melibatkan kementerian-kementerian lain dan kita mengkhususkan keperluan khidmat tenaga kerja itu hanya dalam bidang penuaian sahaja. "Jumlah tenaga kerja dianggarkan yang masih ada dalam sektor perladangan ialah sebanyak 80 ribu pekerja yang masih lagi ada permit," katanya. Terdahulu, Khairuddin pada April lalu telah menyuarakan saranan dan galakan kepada rakyat tempatan untuk mengisi kekosongan 32 ribu peluang pekerjaan dalam sektor perladangan. Tambahnya, kementerian telah melaksanakan karnival kerjaya dan iklan secara besar-besaran termasuk menerusi laman web JobsMalaysia dan berharap rakyat terutama yang terjejas akibat pandemik Covid-19 mengambil peluang tersebut.      
31 Jul 21
211
Peserta Terkejut MB Terengganu Sertai Zoom Mereka
Peserta Terkejut MB Terengganu Sertai Zoom Mereka
KUALA TERENGGANU, 27 Julai - Peserta-peserta Program Rintis ACES Web App dari Terengganu teruja apabila dikejutkan dengan penyertaan Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam sesi Zoom mereka selepas beliau mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan ECER (ICC) Terengganu. Ahmad Samsuri turut berasa gembira dapat meluangkan masa bersama mereka. Beliau juga menerima taklimat mengenai program rintis berkenaan dan sempat memberikan kata-kata semangat kepada para peserta. "Tahniah atas penyertaan anda dalam program ini. Sangat penting anda menyesuaikan diri dengan sistem dan teknologi baharu kerana ia akan memberi impak yang besar kepada pekerjaan di masa hadapan. "Semoga anak-anak terus melengkapkan diri dengan teknologi dan pengetahuan tentang Industri Revolusi 4.0 (IR4.0) agar dapat menyumbang kepada pembangunan negeri di masa depan insya-Allah," ujarnya ketika bersiaran dalam lawatannya. Program Rintis ACES Web App telah dimulakan baru-baru ini bagi mensiap siaga rakyat di Terengganu untuk pekerjaan masa akan datang, yang melibatkan lebih daripada 3,100 pelajar di seluruh Wilayah Pembangunan Ekonomi Pantai Timur (ECER). Ia bertujuan mewujudkan kesedaran tentang IR4.0 di kalangan pelajar dan menyediakan bakat di ECER dengan kemahiran dan pengetahuan untuk memenuhi kehendak masa hadapan. Program terbabit sedang dilaksanakan melalui satu siri webinar yang menyasarkan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di bawah program empower ECER di negeri-negeri ECER dan kini sedang berjalan sehingga 31 Julai 2021. Selain itu, dapatan awal menunjukkan bahawa program perintis tersebut berkesan dalam menerapkan pengetahuan tentang IR4.0 di kalangan para peserta. Kira-kira 740 peserta dan 12 jurulatih di enam lokasi di Terengganu iaitu Kemaman, Dungun, Hulu Terengganu, Marang, Setiu dan Besut terlibat dalam program tersebut, yang akan berlangsung selama tiga minggu.
27 Jul 21
1534
ECERDC Tarik RM2.7 Bilion Pelaburan Ke Terengganu
ECERDC Tarik RM2.7 Bilion Pelaburan Ke Terengganu
KUALA TERENGGANU, 26 Julai - Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) yakin dalam mencapai sasaran pelaburan tahun 2021 untuk negeri Terengganu menjelang penghujung tahun ini. ECERDC dalam kenyataannya hari ini berkata, sehingga 30 Jun 2021 pihaknya telah berjaya RM2.7 bilion ke Terengganu. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Baidzawi Che, perkembangan itu dijangka akan mewujudkan sebanyak 3,040 pekerjaan dan 214 peluang keusahawanan baharu bagi rakyat di Terengganu. “Susulan kemasukan pelaburan yang memberangsangkan untuk tahun 2021 setakat ini, ECERDC akan meneruskan usaha untuk memastikan projek-projek dan inisiatif-inisiatif yang sedang berjalan. “Ini meliputi kerja-kerja infrastruktur dan program-program pembangunan modal insan dilaksanakan seperti yang dirancang untuk mempertingkatkan daya tarikan negeri ini sebagai sebuah destinasi pelaburan,” katanya. Beliau berkata demikian selepas mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan ECER (ICC) Terengganu yang dipengerusikan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mohkhtar. Pada mesyuarat tersebut, Ahmad Samsuri menggesa semua pihak untuk terus berusaha menarik pelaburan baharu ke Terengganu, terutamanya dalam pembangunan Kuala Terengganu City Centre (KTCC) dan Taman Biopolimer Kerteh. “Kerajaan Negeri juga komited untuk menyokong inisiatif agrofood@ECER yang sedang dirancang oleh ECERDC. “Terutamanya projek Lembah Tenusu Terengganu, serta projek-proiek Penanaman Kelapa, Makanan Ternakan dan Fertigasi, agar sektor pertanian dapat menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri yang berterusan,” katanya lagi.
26 Jul 21
1230