Artikel "Ekonomi" Terkini
Kerajaan Negeri Peruntuk RM1 juta Perkayakan Sumber Laut
MARANG, 24 Julai – Kerajaan negeri memperuntukkan RM1 juta bagi pembinaan 45 tukun tiruan rekreasi yang akan memperkayakan sumber marin.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, pembinaan tukun tersebut juga bertujuan untuk mengawal tangkapan hidupan laut secara rekreasi.
“Insya-Allah kita letak sasaran sebelum bulan Oktober 2021 untuk selesaikan program melabuhkan tukun ini di perairan Terengganu
“Ia akan melibatkan beberapa daerah bermula dari Kemaman sehingga Besut, khususnya kepada zon tangkapan nelayan pantai 5 batu nautika daripada pesisiran pantai,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas kerja melabuh tukun tiruan konservasi di perairan Pulau Kapas, pagi tadi.
Tambahnya lagi, usaha lain seperti program unjang komuniti bersama nelayan setempat dan melabuhkan bot-bot nelayan asing yang dirampas sebagai inisiatif menambahkan sumber perikanan.
“Kita juga telah bekerjasama dengan pihak PETRONAS dan Jabatan Perikanan, komponen pelantar yang telah dinyahtauliahkan (Rig-To-Reef) telah dijadikan tukun dan dilabuhkan pada tahun 2017 berdekatan Pulau Kapas, Marang, Terengganu,” katanya.
Untuk rekod, laporan diterbitkan pada 2020 mendapati terdapat antara 129 sehingga 6,047 kilogram biomass ikan direkodkan pada satu tapak tukun tiruan dengan nilai sumber tertinggi berjumlah RM 84,759.60 (Muhammad Amirullah Al Amin Ayob et. Al, 2020. Jabatan Perikanan Malaysia).
24 Jul 21
260
Malaysia Mahu Pertingkat Eksport Sawit Ke Mesir
KUALA TERENGGANU, 18 Julai - Malaysia-Mesir memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi bekerjasama meneroka peluang memperkasakan eksport sawit ke negara utara Afrika itu.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, berkata persetujuan itu dicapai ketika pertemuan dengan Menteri Perbekalan dan Perdagangan Dalam Negeri Mesir, Dr Ali El Moselhy.
Katanya, MoU itu bertujuan melihat keperluan mewujudkan terminal sawit di Zon Ekonomi Terusan Suez (SCZone) bagi menjamin bekalan berterusan sawit kepada pemain industri berkaitan komoditi itu di Mesir.
"Ia juga bertujuan mengkaji kepentingan perkongsian pintar antara dua kementerian membabitkan teknologi pengeluaran dan strategi pemasaran sawit menerusi pelaburan bersama dalam syarikat berkaitan kerajaan antara dua negara dengan kerjasama swasta dan pemain industri sawit di kedua buah negara," katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau sebelum itu melakukan lawatan kerja Misi Ke Mesir: Memperkasa Hubungan Dagang Agrikomoditi Negara selama empat hari bermula Sabtu lalu.
Mohd Khairuddin berkata, pada tahun 2020 sebanyak 155,000 tan sawit dan produk sawit dieksport ke Mesir dengan nilai dagangan sebanyak RM777 juta, manakala eksport getah pula mencatatkan nilai RM184 juta manakala subsektor koko sebanyak RM87 juta.
"Eksport sawit, getah dan koko mempunyai potensi yang besar untuk diperkasakan dengan melihat pada bilangan penduduk seramai 104 juta orang serta kedudukan geografi strategik Mesir yang strategik iaitu berada pada laluan masuk ke Eropah menerusi Terusan Suez.
"Begitu juga Mesir berpotensi untuk menjadi pintu ke negara-negara Afrika Utara kerana Mesir menandatangani perjanjian perdagangan bebas dengan negara-negara tersebut," katanya.
Mengulas mengenai misi itu, Mohd Khairuddin berkata, lawatan itu bertujuan memperkukuhkan hubungan dagang antara Malaysia dan Mesir khususnya membabitkan AgriKomoditi Malaysia seperti sawit, perkayuan, getah dan koko.
Katanya, ia sebagai menyambung perbincangan dua hala secara maya antara Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin dan Presiden Republik Mesir, Abdul Fattah al-Sisi pada 17 Jun lalu.
Dalam pertemuan dengan Menteri Perdagangan dan Perusahaan Mesir, Dr Nigena Gamea, Khairuddin berkata, kedua-dua pihak turut memeterai MoU bagi memperkasakan bekalan kayu dari Malaysia untuk perusahaan perkayuan di Bandar Perabot di Dimyat, Mesir khususnya membabitkan kayu getah.
Katanya, peluang itu juga bertujuan meneroka perkongsian pintar antara dua kementerian membabitkan teknologi getah Malaysia seperti teknologi 'seismic bearing' yang mampu menyerap gegaran gempa bumi untuk bangunan tinggi, jambatan, lebuh raya dan platform minyak di laut.
"Selain peluang itu juga bertujuan meneroka perkongsian pintar teknologi tauar Ecoprina yang dimiliki oleh Lembaga Getah Negara (LGM)," katanya.
Mohd Khairuddin berkata, dalam mesyuarat khas bersama pimpinan Kumpulan Savola diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Samih yang terbang khusus dari Arab Saudi ke Mesir untuk pertemuan itu, beberapa isu teknikal membabitkan pemasaran sawit ke Mesir dibincangkan secara terperinci ke arah usaha memperluaskan pemasaran sawit di bumi Mesir dan Afrika Utara.
Katanya, Kumpulan Savola adalah syarikat terbesar milik kerajaan Arab Saudi dan bidang utama perniagaannya ialah pemakanan dengan pendapatan tahunan sekitar USD8 bilion (RM33.27 bilion).
"Kumpulan Savola memiliki anak syarikat yang besar di Mesir iaitu Savola Foods Egypt dengan fokus utama perniagaan dalam bidang pemprosesan dan bekalan makanan.
"Menariknya Kumpulan Savola juga bersetuju meneroka peluang pemasaran koko Malaysia untuk pasaran tempatan Mesir dan juga Asia Barat," katanya.
Beliau berkata, dalam majlis makan malam bersama ahli perniagaan dan pemain industri utama sawit di Mesir anjuran Ketua Pegawai Eksekutif Pasifik Interlink, Dr Fuad Hayel, iaitu sebuah syarikat pengeksport sawit berpangkalan di Malaysia, beberapa cadangan pemerkasaan pemasaran sawit dilontarkan oleh pemain industri menerusi ucapan Dr Fuad dan ucapan oleh Pengerusi Majlis Industri Makanan dan Komoditi Mesir, Syafie Zakaria.
"Saya juga berpeluang berbincang bersama pakar kajian sawit, Prof Dr Hanafi Abd Elaziz Hashem dan Dekan Fakulti Pertanian, Universiti al-Azhar, Prof Dr Gamal A Abdurrabah untuk mewujudkan kerjasama antara kementerian dan Universiti al-Azhar bagi mengkaji dan meneliti penemuan terkini membabitkan kelebihan sawit terhadap dunia pemakanan, nutrisi dan farmaseutikal," katanya.
"Prof Dr Hanafi adalah pakar pertanian yang banyak membuat kajian berkaitan dengan sawit. Ia satu langkah ke arah kempen yang baik untuk sawit di seluruh dunia khususnya Asia Barat oleh sebuah universiti terkemuka dunia," katanya.
-- Berita Harian
18 Jul 21
110
Enam Tapak Bina Diarah Tutup Sejak 1 Jun Lalu
KUALA LUMPUR, 13 Julai - Sebanyak enam tapak pembinaan diarah tutup serta-merta di negeri Terengganu sepanjang tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) sejak 1 Jun lalu.
Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dalam kenyataan semalam berkata, ia berikutan kegagalan pihak berkenaan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi membendung penularan pandemik Covid-19.
Berdasarkan rekod, CIDB menjalankan pemeriksaan membabitkan 4,855 tapak pembinaan di seluruh Malaysia.
"Daripada jumlah itu, sebanyak 946 (19 peratus) tapak pembinaan didapati beroperasi, manakala sebanyak 3,909 (81 peratus) tidak beroperasi.
"Daripada 946 tapak yang beroperasi, didapati 209 tapak pembinaan (22 peratus) tidak mematuhi SOP, manakala 737 (78 peratus) tapak lagi mematuhi SOP.
"Semua 209 tapak pembinaan tidak mematuhi SOP berkenaan diarah tutup serta-merta," menurut CIDB.
Bagaimanapun, menurut CIDB, 50 daripada tapak pembinaan yang diarah tutup dibenar dibuka semula selepas mereka mematuhi SOP ditetapkan.
Daripada 209 tapak pembinaan yang ditutup, katanya, 59 terletak di Sarawak, Selangor (45), Kuala Lumpur (17), Melaka (16), Johor (14), Sabah (13), Pulau Pinang (11), Negeri Sembilan dan Pahang (masing-masing lapan), Terengganu (enam), Perak (empat), Kedah dan Perlis (masing-masing tiga) dan Kelantan, dua.
"Sementara 50 tapak pembinaan yang dibuka semula selepas didapati mematuhi SOP terletak di negeri Sarawak (15), Selangor (9), Melaka (sembilan), Terengganu dan Perak (masing-masing empat), Kuala Lumpur (tiga), Johor (dua) dan masing-masing satu di Kelantan, Sabah, Pulau Pinang serta Kedah," ujarnya.
Semalam sahaja, CIDB memaklumkan empat tapak pembinaan di Sarawak dan satu di Sabah diarah ditutup.
Antara kesalahan yang dilakukan adalah tiada keputusan saringan Covid-19 pekerja, gagal mempamerkan permit sementara bangunan (rumah kongsi/penempatan pekerja/asrama/CLQ) daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) di tapak bina, gagal mempamerkan MySejahtera dan gagal mengemukakan senarai nama kehadiran serta semakan suhu pekerja.
Kesalahan lain, jumlah pekerja di tapak pembinaan melebihi 60 peratus seperti dibenarkan dalam SOP PPN.
13 Jul 21
480
Utamakan Budi Bicara Dalam Penguatkuasaan
KUALA TERENGGANU, 9 Julai – Kerajaan Negeri sentiasa berkomunikasi dengan seluruh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) supaya menjalankan penguatkuasaan dengan budi bicara apabila berdepan dengan sebarang kes terutamanya melibatkan peniaga dan penjaja.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, ia selari dengan polisi asas yang sudah termaktub dalam akta PBT dan sudut penguatkuasaannya.
“Jika ada masalah, kita sarankan jangan terus saman, bincang dahulu dengan berpandukan prinsip ‘case by case’ yang bermakna jangan beri tindakan terburu-buru, elakkan menyakiti, meroboh kedai atau bangsal mereka.
“Ia mesti didahului dengan perbincangan baik. Contohnya, jika ada peniaga yang mengganggu laluan dan membawa risiko keselamatan kepada pengguna jalan raya lain, penguatkuasaan perlu berbudi bicara dahulu.
“Kadang-kadang PBT boleh ketepikan atau pindahkan operasi perniagaan mereka agar laluan jalan raya tersebut selamat buat pengguna lain,” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI, semalam.
Tambah Mohd Nor, polisi tersebut diutamakan mengambil kira kesusahan dihadapi rakyat semasa menghadapi kesan ekonomi akibat pandemik COVID-19.
“Jadi kita tekan untuk selamatkan kehidupan mereka, jika berlaku kes lain daripada polisi ini, maka aduan boleh dibuat kepada wakil rakyat, wakil kampung, dan sebagainya untuk tindakan lanjut.
“Kerajaan negeri mengamalkan nilai adil kepada semua, sama ada penguatkuasa, pengguna malah peniaga,” ujarnya.
09 Jul 21
873
MP Kemaman Serah Sumbangan Buat Kelab India Kemaman
KEMAMAN, 8 Julai - Kelab India Kemaman (KIK) menerima sumbangan barangan dapur dan wang tunai daripada Ahli Parlimen Kemaman.
Che Alias Hamid berkata, langkah itu dibuat bagi meringankan beban golongan terbabit yang terjejas teruk.
"Sebanyak 35 barangan keperluan dan wang tunai diagihkan kepada ahli KIK yang terjejas akibat pandemik.
"Kita mengambil cakna dan prihatin tanpa mengira agama dan bangsa apabila menghulurkan bantuan kepada masyarakat yang memerlukan," ujar Ahli Parlimen Kemaman itu ketika ditemui semalam.
Program berlangsung secara pandu lalu berhadapan Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Ahli Parlimen Kemaman berikutan Prosedur Operasi Standard (SOP) tidak membenarkan sebarang aktiviti yang melibatkan orang ramai pada satu-satu masa.
Turut bersama dalam program tersebut, Setiusaha KIK, Siva Shankar Arunasalam dan pemudah cara dalam program yang ringkas petang semalam.
Beberapa hari yang lalu pihak PKM menerima maklumat berkenaan masyarakat india yang terjejas melalui KIK dan ia telah diluluskan oleh Che Alias.
08 Jul 21
283
PIKAS Pertama Di Kemaman
KEMAMAN, 8 Julai - Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) atau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Industri pertama telah diadakan di Kemaman untuk pekerja kilang Eastern Steel Sdn. Bhd. (ESSB).
Seramai 1,380 orang pekerja daripada 1,600 orang di EESB akan menerima suntikan vaksin dos pertama dan yang selebihnya sudah mendapat suntikan mengikut pendaftaran Mysejahtera sebelum ini.
Pengarah EESB, Tee Choon Hock ketika ditemui Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) berkata, beliau berterima kasih kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kemaman yang membantu dalam pelaksanaan PPV Industri tersebut.
"Tidak lupa kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang melancarkan PIKAS bagi sektor perkilangan sekali gus membantu memastikan pemulihan daripada pandemik," ujarnya.
"Pelaksanaan PIKAS juga sedikit sebanyak dapat memfokuskan sektor perkilangan dalam kelancaran ekonomi setempat dan lokasi PPV Industri yang diguna pakai hari ini terbuka untuk kilang di sekitar Kemaman," katanya.
Dalam lawatan hari pertama PPV Industri itu dibuka, Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid berkata, beliau mengharapkan agar kilang-kilang di sekitar Kemaman dapat segera mendaftar dengan MITI melalui program PIKAS ini bagi persiapan Malaysia keluar dari kemelut COVID-19.
Program kerjasama MITI dan PKD Kemaman untuk pekerja EESB diadakan selama lima hari bermula 6 Julai dan berakhir 10 Julai bertempat di kilang lama Lion Plate Sdn. Bhd, Teluk Kalong Kemaman.
Turut bersama dalam lawatan pertama PPV Industri di Teluk Kalong Kemaman, Pegawai Daerah Kemaman, Mohd Sophian Abu Bakar dan diiringi Pegawai-pegawai Kesihatan Daerah Kemaman.
07 Jul 21
1315
Elaun Petugas Kesihatan PICK Naik Kepada RM600
KUALA LUMPUR, 1 Julai - Kerajaan akan menyelaras kadar pembayaran elaun khas petugas barisan hadapan kesihatan yang terlibat dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) daripada RM200 kepada RM600.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, elaun tersebut melibatkan kira-kira 14,0000 petugas dan bayaran tersebut akan dibuat bermula Julai ini untuk tempoh selama enam bulan.
“Peruntukan ini merupakan pengiktirafan berterusan kepada jasa dan sumbangan petugas barisan hadapan kesihatan kita yang masih terus berjuang demi bangsa negara yang tercinta,” katanya ketika mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang disiarkan secara langsung, baru-baru ini.
01 Jul 21
359
Pengeluaran i-Citra KWSP Sehingga RM5,000
KUALA LUMPUR, 1 Julai - Kerajaan akan memperkenalkan kemudahan pengeluaran baharu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), iaitu i-Citra, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata, seramai 12.6 juta ahli KWSP boleh membuat pengeluaran sehingga RM5,000, dengan kadar bayaran tetap RM1,000 sebulan selama lima bulan, tertakluk kepada jumlah simpanan semasa.
“Pelaksanaan i-Citra dijangka dapat menyalurkan RM30 bilion kepada rakyat untuk menampung keperluan harian.
“Ahli boleh mula memohon kemudahan pengeluaran KWSP di portal dalam talian i-Citra di icitra.kwsp.gov.my mulai 15 Julai 2021, dengan pembayaran pertama dijangka akan dikreditkan dalam akaun ahli pada bulan Ogos 2021,” katanya lagi.
Perdana Menteri berkata, hakikatnya ia merupakan keputusan sukar kerana Kerajaan sedar, dana tersebut adalah simpanan hari tua rakyat, dan penyelesaian i-Citra mengambil jalan tengah antara keperluan mendesak hari ini, dan pulangan yang wajar bagi ahli-ahli KWSP yang tidak memerlukan pengeluaran.
Beliau berkata demikian dalam perutusan khas sempena pengumuman Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), baru-baru ini.
01 Jul 21
552
PEMULIH : Empat Manfaat Buat Usahawan Kecil
KUALA TERENGGANU, 29 Jun - Kerajaan telah membangunkan Program Pemerkasaan Pendigitalan Usahawan Kecil atau PUPUK sebagai inisiatif menyeluruh dan bersetuju memperuntukkan RM200 juta untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan RM100 juta untuk PKS.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, empat langkah untuk meneruskan usahawan kecil iaitu meneruskan kempen Shop Malaysia Online dan Go-eCommerce Onboarding dengan sasaran lebih 300,000 peniaga mikro seperti peniaga bazar, pasar tani, pasar malam dan warung serta pengusaha kraf tangan untuk beralih ke perniagaan dalam talian dan menggunakan sistem e-tunai.
"Kedua, menambah peruntukan sebanyak RM100 juta di bawah SME Digitalisation Grant bagi membolehkan usahawan PKS mendapat geran padanan sehingga RM5,000 untuk pembelian sistem atau langganan platform digital.
"Ketiga, menggalakkan penyertaan PMKS menceburi platform e-dagang melalui program Pemerkasaan Pendigitalan Usahawan Kecil yang diterajui SKMM.
"Sehubungan itu, kerjasama strategik antara penyedia platform digital, syarikat telekomunikasi serta Pusat Internet Komuniti akan diperkasakan untuk membantu usahawan luar bandar terlibat dalam ekonomi digital," katanya ketika mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), semalam.
Tambah muhyiddin, usaha keempat iaitu memperkasa usahawan tani khususnya di luar bandar untuk menggunakan teknologi terkini di bawah Program Digitalisasi dan Transformasi Sektor Pertanian.
"Program ini yang akan dilaksanakan melalui kerjasama MDEC dan Pertubuhan Peladang Kawasan akan mengenal pasti petani yang berpotensi untuk beralih ke platform teknologi baharu," katanya lagi.
Sebelumnya, program Shop Malaysia Online yang diperkenalkan di bawah pakej PENJANA tahun lalu telah berjaya membantu lebih 200,000 usahawan tempatan meningkatkan jualan mereka melalui platform e-Dagang dengan nilai transaksi mencecah RM1.8 bilion.
29 Jun 21
323
PEMULIH : Berita Baik Buat Pengusaha Kantin, Sukan, Taska Dan OKU
KUALA TERENGGANU, 28 Jun – Kerajaan persekutuan meneruskan bantuan kepada golongan khusus seperti pengusaha kantin sekolah, industri sukan dan Orang Kurang Upaya (OKU) dalam membela nasib semua dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Kerajaan bersetuju untuk menyalurkan RM1,000 kepada semua pengusaha kantin berdaftar setelah melihat situasi di sekolah yang masih ditutup dan menyebabkan hilang mata pencarian.
“Sementara itu, Kerajaan sedar bahawa pengusaha industri sukan dan operator arena sukan seperti gym, bowling, futsal dan sebagainya turut terkesan dan mereka hanya boleh beroperasi semula seawal fasa ketiga PPN nanti.
“Sehubungan itu, Kerajaan bersetuju untuk memberikan bantuan one-off sebanyak RM3000 kepada mereka,” katanya ketika pengumuman khas Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Muhyiddin turut mengumumkan bantuan kewangan RM500 seorang selama tiga bulan kepada golongan OKU yang telah kehilangan pekerjaaan atau ketiadaan kerja, dan bukan penerima bantuan Elaun Pekerja Cacat sedia ada.
“Untuk itu, RM30 juta diperuntukkan bagi memanfaatkan seramai 20 ribu orang OKU,” katanya lagi.
Tambah Muhyiddin, Kerajaan telah menerima banyak permintaan supaya bantuan kewangan yang diberikan kepada pusat asuhan anak-anak dan tadika pada tahun lepas dapat diperkenalkan semula.
“Sehubungan itu, Kerajaan akan memberikan Bantuan Khas Taska yang berjumlah RM3,000 kepada lebih 4,400 pengusaha taska seliaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta lebih 8 ribu pengusaha tadika swasta seliaan Kementerian Pendidikan.
“Diharapkan dengan pemberian bantuan ini, ia dapatlah digunakan antaranya untuk keperluan sanitasi dan pembelian peralatan nyahkuman bagi memastikan kebersihan dan keselamatan anak-anak yang ditempatkan di pusat asuhan dan tadika,” jelasnya.
28 Jun 21
590