Artikel "Ekonomi" Terkini
TDM Plantation Tawar Peluang Pekerjaan Sektor Perladangan
KEMAMAN, 4 Oktober - TDM Plantation (TDMP) menawarkan peluang pekerjaan di sektor perladangan kelapa sawit di mana pendapatannya agak lumayan kepada rakyat Terengganu terutama golongan muda.
Pengawal Perladangan TDMP Zon Selatan, Roslan Othman ketika berucap pada sesi taklimat tempoh hari berkata, ini adalah peluang terbaik kepada penduduk tempatan mahupun di luar dengan tawaran pakej yang terbaik dari TDMP.
"Kami menawarkan pakej yang terbaik kepada mereka yang berminat dalam sektor ini dengan memasukkan potongan caruman Kumpalan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk masa tua mereka dan caruman insuran Perlindungan Keselamatan Sosial daripada Pertubuhan Kebajikan Sosial (PERKESO) jika berlaku kemalangan kepada mereka,
"Terdapat enam ladang kelapa sawit TDMP seluas 17 ribu hektar di Zon Selatan ini yang perlu diisi kekosongannya oleh anak Terengganu," katanya.
Sementara itu, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, Ustaz Hazri Jusoh yang turut hadir berkata, masyarakat perlu mengubah pemikirannya daripada makan gaji di sektor gas dan minyak kepada sektor perladangan.
"Kita perlu beralih daripada sektor minyak dan gas yang agak lembab kebelakangan ini kepada sektor perladangan kelapa sawit di mana pendapatannya agak lumayan sekarang,
"Peluang yang terhidang ini perlu direbut sebaik mungkin demi kelangsungan pengeluaran minyak kelapa sawit kita di mana harga minyak sawit mentah di pasaran dunia sekarang adalah sekitar RM4,000 hingga RM4,500 per tan," ujarnya.
Hazri Jusoh (depan, tiga dari kiri) berfoto selepas taklimat.
Turut hadir dalam sesi taklimat tersebut yang diadakan di Kompleks Kemaman TDMP, Padang Kubu itu ialah Ketua Komuniti Outreach TDMP, Nor Ashari Abd. Latif, Pengurus-Pengurus Ladang di Zon Selatan dan beberapa orang Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung di sekitar kawasan tersebut.
TDMP adalah anak syarikat kepada TDM Berhad yang merupakan syarikat milik kerajaan negeri Terengganu.
03 Oct 21
1194
Panasonic Cadang Bina Kilang Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 2 Oktober - Syarikat teknologi gergasi Jepun, Panasonic Appliances Air-Conditioning Malaysia Sdn Bhd (PAPAMY) bakal berkerjasama dengan Terengganu sebagai kerajaan negeri pertama sejak 1972 dalam membangunkan ekonomi dan modal insan tempatan.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro Dan Hal Ehwal Pengguna, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, antara cadangan awal kerjasama itu adalah melalui pembinaan kilang pembuatan penghawa dingin serta keutamaan jawatan buat lepasan institusi latihan dalam negeri ini.
“Kita akan menawarkan kepada PAPAMY untuk melebarkan sayap perkilangan pertama kali di Pantai Timur, saya difahamkan jumlah kilang elektronik dibawah cabang itu adalah 22.
“Terengganu mempunyai tanah industri bersesuaian dengan lokasi strategik berdekatan dengan perlabuhan, tambahan lagi dengan projek Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), faktor pemilihan akan berdasarkan jajaran tersebut,” katanya ketika ditemubual pemberita, baru-baru ini.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera itu turut berkongsi hasrat kedua PAPAMY iaitu mereka mahu menjadikan pusat latihan kemahiran dalam negeri sebagai ‘anchor’ bagi meningkatkan jaminan pekerjaan buat lepasan pendidikan tersebut.
“Mereka ingin menghasilkan satu kursus dalam bidang penghawa dingin sebagai silibus pembelajaran, menerusinya, ia memberi jaminan buat pelajar kita bagi terus bekerja sebaik sahaja menamatkan latihan tidak mengira sijil, diploma atau degree.
“Silibus mereka sudah diiktiraf Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), bagi menyelaraskan pelaksanaannya, Urus setia Pekerjaan Terengganu (UPNT) yang mempunyai 30 agensi bercampur dibawahnya akan meneliti cadangan awal ini,” katanya lagi.
Terdahulu, Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Terengganu Human Resource Development Centre (T-HRDC) dengan Panasonic Appliances Air conditioning Malaysia Sdn Bhd (PAPAMY) telah dimeterai bagi memastikan kadar pengangguran dikurangkan seterusnya akan meningkatkan mutu dan taraf hidup rakyat.
02 Oct 21
4824
KMI Tandatangani Perjanjian Perolehi Tawau Specialist Hospital
KUALA LUMPUR, 2 Oktober – Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (“KMI Healthcare”) melalui anak syarikat milik penuhnya, KMI Tawau Medical Centre Sdn Bhd telah menandatangani perjanjian bagi pemerolehan operasi Tawau Specialist Hospital (TSH).
Perjanjian itu juga meliputi penyewaan bangunan milik TSH SDN Bhd dengan nilai RM8 juta melalui majlis menandatangani perjanjian itu yang telah diadakan di Mandarin Oriental, Kuala Lumpur, kelmarin.
Pengerusi KMI Healtcare, Raja Dato' Haji Idris Raja Kamaruddin berkata bangunan baru yang sedang dalam pembinaan itu akan siap menjelang suku pertama 2024 dan ia turut memperkenalkan beberapa perkhidmatan pakar residen baru.
"Seperti Ortopedik, Telinga, Hidung dan Tekak (ENT), selain daripada Pakar Obstetrik & Ginekologi (O&G), Pakar Pediatrik, Pakar Bedah dan juga Pakar Perubatan yang telah sedia ada. Mungkin lebih banyak klinik pakar akan diperkenalkan. Kami menjemput dan mengalualukan lebih banyak doktor pakar untuk meneroka Timur Sabah.
“Pada masa ini terdapat empat hospital lain di bawah KMI Healthcare iaitu KMI Kuala Terengganu Medical Centre, sebelum ini dikenali sebagai Kuala Terengganu Specialist Hospital, KMI Kuantan Medical Centre, KMI Kelana Jaya Medical Centre dan KMI Taman Desa Medical Centre," ujarnya.
Katanya, dengan kekuatan yang dimiliki dijangka akan menarik lebih ramai orang dan dapat melayani pelanggan sedia ada dengan lebih baik terutamanya di Borneo Sabah.
"Pengambilalihan ini adalah sebahagian daripada usaha syarikat dalam strategi pengembangan ‘brownfield’ nya dan mempelbagaikan lagi operasi perniagaan di negeri lain di Malaysia.
"Kami terbuka untuk bekerjasama dengan pakar industri dan pembekal penjagaan kesihatan yang turut sama berdedikasi dalam memberikan perkhidmatan kesihatan yang selamat dan berkualiti,” ujarnya lagi
Melalui pemerolehan tersebut katanya, TSH akan ditukar nama kepada KMI Tawau Medical Centre (“KMI Tawau”).
"Penjenamaan semula ini merupakan sebahagian dari program transformasi menyeluruh yang akan dilakukan oleh KMI Healthcare untuk KMI Tawau, yang akan diikuti dengan pengembangan kapasiti kepada 76 katil melalui pembangunan enam tingkat bangunan bagi memenuhi permintaan penjagaan kesihatan yang berkualiti dan berpatutan di kawasan ini dan sekitarnya.
"Perjanjian yang ditandatangani ini terdiri daripada Perjanjian Pemindahan Perniagaan dan Perjanjian Sub-Sewa di mana kedua-dua pihak bersetuju untuk pemindahan sepenuhnya operasi TSH dan asetnya kepada KMI Healthcare.
"Melalui Perjanjian Sub-Sewa tersebut, KMI Healthcare akan menyewa tanah dan bangunan hospital dari TSHSB untuk jangka masa 30 tahun,15 tahun dan boleh diperbaharui selama 15 tahun lagi," ujarnya.
02 Oct 21
1755
Malaysia Kekal Jadi Tumpuan Pelabur - Wan Hassan
Oleh : Afiq Fahmi
DUNGUN, 2 Oktober - "Malaysia kekal menjadi tumpuan pelabur asing. Januari hingga Jun tahun ini telah berjaya menarik pelaburan bernilai RM107.5 bilion meliputi sektor perkilangan perkhidmatan dan utama," ujar Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli.
Katanya, Malaysia telah merekodkan lonjakan ketara sebanyak 69.8 peratus berbanding RM63.3 bilion bagi tempoh yang sama pada tahun 2020.
"Daripada jumlah ini, pelaburan langsung asing (FDI) menyumbang sebanyak 58.1 peratus atau RM62.5 bilion iaitu tiga kali ganda daripada jumlah FDI yang telah diluluskan pada tahun 2020 bagi tempoh yang sama iaitu dengan nilai RM19.8 bilion.
"Manakala pelaburan langsung tempatan (DDI) menyumbang sebanyak 41.9 peratus atau RM45.1 bilion yang melibatkan 2,110 projek dan dijangka mewujudkan hampir 45,000 peluang pekerjaan dimana sektor perkilangan telah mencatatkan jumlah tertinggi sebanyak RM58.2 bilion atau 93.1 peratus daripada jumlah kelulusan.
"Sektor perkhidmatan dan utama pula masing-masing mencatatkan pelaburan sebanyak RM2.16 bilion (3.5 peratus) dan RM2.15 bilion (3.4 peratus)," katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas jawapan yang diberikan oleh Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Dato'Seri Mohamed Azmin Ali, pada Persidangan Dewan Rakyat, baru-baru ini.
Terdahulu, Wan Hassan telah mengajukan soalan untuk mengetahui rancangan strategik kementerian terbabit dalam menjadikan negara ini mesra pelabur pasca Covid-19 untuk terus menarik pelaburan daripada syarikat-syarikat gergasi antarabangsa.
Katanya, kerajaan juga melalui MITI telah melaksanakan Program Imunisasi Covid-19 Kerjasama Awam Swasta (PIKAS) dalam usaha mencerdeaskan semula ekonomi.
"Sebagai langkah tambahan dalam memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja dilindungi yang bertujuan mempertingkatkan kadar vaksinasi pekerja sektor pembuatan.
"Kerajaan juga akan terus memperkukuhkan asas-asas ekonomi negara melalui pelaksanaan dasar-dasar perdagangan dan pelaburan yang terbuka, telus serta mesra perniagaan dimana akan terus menyasarkan nilai pelaburan berkualiti tinggi berpandukan National Investment Aspiration (NIA).
"Kerajaan turut memberi fokus kepada kelestarian jangka masa panjang dengan menekankan elemen 'environmental, 'social and governance (ESG)' dalam pengoperasian," katanya.
Justeru beliau berharap MITI akan terus komited dalam menarik pelaburan asing bagi memastikan rantaian ekonomi terus berkembang dalam kerajaan sedang berusaha melakukan pemulihan kesihatan.
"Rakyat di negara ini sudah tentu akan menerima manfaat dari setiap hasil pelaburan yang datang ke dalam negara kita dari segi peluang pekerjaan mahupun pengalaman," ujarnya lagi.
01 Oct 21
305
Panasonic Tawar Kerja Kosong, Anak Terengganu Diutamakan
KUALA TERENGGANU, 29 September – Syarikat gergasi Jepun, Panasonic Appliances Air-Conditioning Malaysia Sdn Bhd (PAPAMY) buat julung kali mengadakan kerjasama dengan kerajaan negeri membuka peluang pekerjaan bagi rakyat Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro Dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, syarikat elektronik yang memfokuskan pengeluaran penghawa dingin itu memerlukan tenaga tempatan setelah mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.
Katanya, PAPAMY mempunyai 800 kekosongan dengan lebih 500 daripadanya memerlukan pekerja dengan kadar segera.
“Sebuah Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Terengganu Human Resource Development Centre (T-HRDC) telah dijalin bagi pembekalan tenaga daripada anak-anak Terengganu yang berkelayakan,” katanya ketika dihubungi pemberita.
Menurutnya, syarikat Jepun tersebut amat positif dalam kolaborasi itu dan memberi keutamaan kepada Terengganu.
"Kami di peringkat pengurusan bersama T-HRDC serta Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan membentuk pakej pekerjaan sesuai bagi proses seterusnya.
“Apa yang ditawarkan PAPAMY, T-HRDC akan menjadi platform untuk rakyat bagi memperoleh pakej tersebut dan melalui proses interview dan pengambilan kerja.
“Insya-Allah sebuah mekanisma baik akan dibentuk bagi mencapai matlamat mengurangkan kadar pengangguran dalam negeri,” katanya lagi.
Tambahnya, antara jawatan pekerjaan ditawarkan seperti pengendali (operator) di kilang dengan gaji sehingga RM2,700 (termasuk elaun tambahan).
Terdahulu, sebuah majlis MoU diadakan di Seksyen 21, Shah Alam, Selangor yang dihadiri CEO T-HRDC, Tuan Aminuddin Bin Omar, manakala PAPAMY diwakili oleh Pengarah Urusannya, Toshikatsu Fukunaga.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar.
29 Sep 21
5911
2,000 Peluang Pekerjaan Khas Buat Wanita Terengganu
KUALA TERENGGANU, 20 September - Golongan wanita dalam negeri diseru agar merebut kira-kira 2,000 peluang kekosongan jawatan dan ilmu keusahawanan dalam Karnival Kerjaya dan Usahawan Wanita 2021 Peringkat Negeri Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, karnival atas talian yang julung kali diadakan itu memfokuskan peluang pekerjaan dan penjanaan pendapatan khusus kepada golongan hawa.
“Tujuan program ini diadakan bagi membantu masyarakat dalam mengatasi kesan ekonomi teruk akibat pandemik COVID-19.
“Dengan peningkatan kecil kadar pengangguran Terengganu kepada 4.1 peratus pada tahun lepas, pelaksanaan ini penting dalam merancakkan lagi ekonomi wanita.
“Sehubungan itu, saya berharap warga Terengganu mengambil peluang ini untuk sama-sama mengikuti karnival melalui pelbagai platform seperti Cisco Webex, Zoom dan siaran langsung Facebook di ‘JPW Terengganu’,” katanya ketika bersiaran langsung di FB JPW Terengganu.
Tambah beliau, pengisian program bermula hari ini sehingga 23 September turut melibatkan peluang mendapatkan insentif-insentif kerajaan serta perkongsian penceramah berpengalaman dalam pelbagai industri.
Untuk pengetahuan, pelaksanaan tersebut dianjurkan oleh Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Terengganu dengan kerjasama Urus Setia Pekerjaan Negeri Terengganu.
20 Sep 21
1289
Lapan Lagi GLC Terengganu Ditutup, Tak Aktif Sejak 2011-2016
KUALA TERENGGANU, 15 September – Lapan anak syarikat kerajaan negeri telah dan akan ditutup pada tahun ini kerana mengalami kerugian, tidak mempunyai pekerja serta tidak menjalankan apa-apa aktiviti sejak 2011 hingga 2016.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, secara umumnya syarikat yang mengalami proses penutupan tersebut mempunyai pelbagai justifikasi tertentu.
“Antara syarikat itu (dalam proses penutupan) ialah TI Offshore Service Sdn Bhd, syarikat ini berstatus tidak aktif sejak 2016 dan tidak menjalankan apa-apa aktiviti.
“Suterasemai Sdn Bhd sejak 2011 tidak beroperasi tetapi ditanggung kos pentadbiran tetap perlu ditanggung pada setiap tahun,” ujarnya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap, Dato Sabri Mohd Noor pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Ke-14, di Wisma Darul Iman hari ini.
Tambah Ahmad Samsuri, syarikat lain yang turut ditutup ialah Terengganu Marine Works Sdn Bhd yang tidak beroperasi sejak diambil alih daripada GLC Terengganu sejak 2014.
“Selain itu, TI Merchandise Sdn Bhd, tidak beroperasi sejak mula ditubuhkan pada 2014, kemudian diaktifkan pada 2018 sebagai syarikat menjual cenderamata, dan dihentikan pada 2019 untuk menghentikan persaingan dengan peniaga tempatan,” katanya.
Untuk rekod, syarikat lain yang berdepan situasi sama ialah Pemika Terengganu Sdn Bhd, dalam proses penutupan, manakala TI Global Food Management Limited (Labuan), TI Overseas Resources Limited, dan TI Overseas Limited telah ditutup sejak Februari lalu.
Difahamkan, meskipun tidak aktif, syarikat tetap menanggung kos pentadbiran tetap yang merangkumi pengurusan, kesetiausahaan syarikat, yuran audit, yuran berkanun dan lain-lain berkaitan perlu ditanggung pada setiap tahun.
Penutupan tersebut juga akan membolehkan Terengganu Inc mengalihkan sumber pengurusannya ke anak syarikat lain.
15 Sep 21
4919
Sidang DUN : TKEA Masih Diberi Perhatian Sebagai Pelan Ekonomi Kerajaan
KUALA TERENGGANU, 15 September - Kerajaan masih lagi merujuk 'Key Economic Area' (TKEA) di bawah Majlis Ekonomi Negeri Terengganu (MEN-T) sebagai pelan ekonomi negeri.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, dalam perkara tersebut beberapa unit dan agensi bertanggungjawab telah mengendalikannya mengikut bidang serta fokus masing-masing.
Katanya, antaranya ialah Invest Terengganu, Jabatan Pelancongan negeri dan Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu (UPEN) mengikut sektor masing-masing.
"Manakala Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) 2030 adalah pelan komprehensif yang merangkumi sektor ekonomi dan sosial sehingga 2030 untuk memandu semua pelan strategik kerajaan negeri.
"Ingin saya tegaskan bahawa mana-mana perkara baik yang dilaksanakan sebelum ini dan perlu kepada penambahbaikan maka kita tambah baik. Oleh kerana itu, mana-mana yang tersenarai dalam tindakan MEN-T sebelum ini kita ambil kira dan sesuaikan dengan pelan rancangan komprehensif yang terkandung dalam PITAS 2030," ujarnya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan lisan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir (BN), Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman ketika Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri ke-14, di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata faktor pandemik menyebabkan beberapa pengubahsuaian terhadap PITAS telah dibuat.
"Kerana mengambil kira perkembangan ekonomi yang berlaku akibat wabak Covid-19 ini yang juga sebenarnya menjadi pendekatan kepada banyak negara di dunia yang lain.
"Sebagaimana pakar daripada 'University of Cambridge' melalui penulisan jurnalnya menyebut bahawa kemelesetan global akibat pandemik adalah berpanjangan dan tidak ada negara yang mampu untuk mengelaknya walau dalam apa jua strategi yang diambil," ujarnya lagi.
15 Sep 21
151
Dr Mohd Zaki Hamzah Dilantik Pengarah Eksekutif Golden Pharos
KUALA LUMPUR, 6 September - Dr Mohd Zaki Hamzah dilantik menjadi Pengarah Eksekutif Golden Pharos Bhd yang baharu berkuatkuasa pada 3 September yang lalu.
Dalam satu kenyataan melalui Bursa Malaysia, Golden Pharos berkata, Mohd Zaki telah dilantik berikutan perletakan jawatan Dato’ Nadza Abdul sebagai Ketua Pegawai Eksekutif pada 2 September.
Nadza Abdul telah dilantik menjadi ketua pegawai eksekutif bermula 14 September 2017.
Sebelum itu, beliau merupakan Pengarah Urusan Kumpulan Panglima Group of Companies dalam bidang perlombongan di Indonesia dan kuasa hidro di Laos.
Mohd Zaki juga merupakan pengarah di Pusat Kecemerlangan Pelan Induk Terengganu Sejahtera bermula pada 15 Jun 2020 selama dua tahun.
Sementara itu, dalam satu kenyataan yang lain, Pengerusi Golden Pharos Bhd, Dato’ Tengku Hasan Tengku Omar mengucapkan tahniah di atas pelantikan Mohd Zaki sebagai Pengarah Eksekutif GPB dan turut menzahirkan penghargaan kepada Nadza Abdul di atas perkhidmatan beliau selama hampir empat tahun di syarikat pembalakan milik Kerajaan Negeri Terengganu itu.
06 Sep 21
1939
Tindakan Tegas Jika Pengusaha Pelancongan Langgar SOP
KUALA TERENGGANU, 30 Ogos - Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman memberi amaran keras kepada penggiat-penggiat industri pelancongan supaya meletakkan keselamatan pengunjung sebagai perkara utama menjelang pembukaan sektor pelancongan di negeri berkenaan pada September ini.
"Apabila pusat pelancongan beroperasi nanti, semua aktiviti seperti snorkeling dan diving juga dibenarkan tetapi syaratnya, kena mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sebagaimana ditetapkan.
"Kali ini kita akan bertegas, tahun lepas kita ada isu bot lebih muatan dan tidak memakai jaket keselamatan. Kita akan pastikan, dan kita akan denda mana-mana pengusaha yang melanggar peraturan dan SOP.
"Sekarang ini zaman 'viral' (tular), kita tidak mahu ia berlaku lagi (memburukkan nama pelancongan Terengganu) dan kita akan pastikan ia tidak berlaku," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Solat Hajat sempena pembukaan semula sektor pelancongan Terengganu di Duyong Marina & Resort, semalam.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Pelancongan Terengganu, Fadli Yusof Zakaria.
Ariffin turut berharap, pembukaan semula sektor pelancongan akan merancakkan kembali ekonomi penduduk di lokaliti terlibat.
"Sektor pelancongan Terengganu tidak memberi keuntungan secara langsung kepada kerajaan negeri, tetapi ia mengalir terus kepada masyarakat dan penggiat industri dalam negeri.
"Kita sama-sama berdoa, supaya aktiviti pelancongan yang beroperasi semula dapat mengimbangi kerugian dan meningkatkan pendapatan penduduk tempatan yang terbabit dalam bidang ini," katanya.
30 Aug 21
380