Artikel "Ekonomi" Terkini
Eastern Steel Tambah Pelaburan RM3 Bilion Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 10 Mac - Syarikat berasaskan besi dan keluli terkemuka, Eastern Steel Sdn. Bhd. (ESSB) menambah pelaburan berjumlah RM3 bilion dengan menubuhkan Hot Rolled Coil (HRC) di negeri ini.
ESSB dalam satu kenyataan berkata, pembukaan HRC tempatan di Terengganu adalah yang pertama di Malaysia dan ia bakal membuka 1,000 peluang pekerjaan untuk anak tempatan.
"ESSB akan meningkatkan tiga kali ganda kapasiti pengeluaran daripada 700,000 tan metrik kepada 2.7 juta tan setiap tahun menjelang tahun 2023.
"Dengan HRC yang dihasilkan secara tempatan kelak, ESSB menyokong kerajaan negeri dalam menentukan hala tuju tempatan," ujar ESSB.
Kenyataan itu dikeluarkan sempena Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) bersama Kolej Universiti Tati (UC TATI), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan TESDEC Sdn.Bhd di Kuala Lumpur semalam.
Hadir sama, Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim, Tengku Seri Bijaya Raja Setiausaha Kerajaan Negeri, Pengerusi ESSB, Tan Sri Abdul Rahman Mamat, Naib Canselor UMT, Dato' Dr. Mazlan Abd Ghaffar, Rektor UC TATI, Dr. Anuar Ahmad dan Pengerusi TESDEC, Sulaiman Sulong.
Mengulas lanjut, ESSB berkata pekerjaan yang tersedia adalah daripada pelbagai kategori seperti bidang profesional, pengurusan serta kemahiran untuk pelajar lepasan tahun 2022.
Katanya, tumpuan khusus diberikan dalam bidang industri besi dan keluli.
"ESSB juga turut menaja program kemahiran semula dan peningkatan kemahiran untuk pekerja sedia ada.
"Hal ini adalah untuk membangunkan pekerja ESSB dalam persekitaran pembelajaran berterusan di samping meneruskan mereka untuk mendapat kelayakan," jelasnya.
Menurut ESSB, dalam mencari tenaga bagi mengisi kekosongan dan melatih sumber manusia baharu, pihaknya akan memanfaatkan produk UC TATI, UMT dan TESDEC.
Sementara itu, Ahmad Samsuri berkata jalinan tiga institusi tempatan dengan ESSB membuka lembaran baharu buat graduan dan akan memberi limpahan manfaat kepada masyarakat.
"Kewujudan projek ini juga diharapkan dapat meningkatkan pembangunan sosio-ekonomi rakyat Terengganu, mengurangkan penghijrahan luar bandar, menarik lebih ramai pelabur dan mencapai pemindahan teknologi asing ke Malaysia," tambah beliau.
10 Mar 22
2369
85 Peserta Rimbunan Kaseh Terima Hak Milik Kekal Rumah
DUNGUN, 7 Mac - Kerajaan Terengganu menoktahkan teka-teki status kediaman bagi 85 peserta projek Rimbunan Kaseh, apabila menyerahkan hak milik kekal kediaman mereka melalui kaedah sewa beli pada kadar RM68,000 kepada peserta terlibat.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar, Dr. Azman Ibrahim mewakili kerajaan negeri menzahirkan kelegaan dalam kejayaan kerajaan negeri menyelesaikan isu yang belanjutan sejak tahun 2017 itu.
Katanya, projek dbermula sejak 2015 melalui dua komponen iaitu kawasan perumahan terdiri 100 buah rumah serta infrastruktur, dan komponen kedua ialah 26 rumah hijau.
"Pada 2017 projek ini terbengkalai, kemudian IRIS meninggalkan projek ini dan Jabatan Pembangunan Persekutuan menyerahkan kepada kerajaan negeri untuk menyelesaikan projek ini.
"Pada awalnya, kita selesaikan penstrukturan ladang dan pada tahun 2020 ia telah dimajukan Terengganu Agrotech Development Corporation Sdn Bhd (TADC) dengan tanaman Melon Manis Terengganu dan telah beroperasi semula.
"Bagi komponen perumahan, kita telah berjanji dengan pemilik bahawa tidak semua daripada mereka akan diambil bekerja di ladang, tetapi rumah ini akan diselesaikan dalam bentuk pemberian hak milik kekal dan ini yang kita laksanakan petang ini," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penyerahan Kunci dan Surat Tawaran RMM Rimbunan Kaseh kepada semua peserta di sini, hari ini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun, Yang Di Pertua (YDP) Majlis Perbandaran Dungun, Azizul Abdul Hadi, Pegawai Daerah Dungun, Jusman Ibrahim, Pengarah Pertanian Negeri Terengganu, Zulkifli Amin dan Timbalan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Terengganu, Ahmad Ridzuan Abdul Rahman.
Jelas Dr Azman, walaupun rumah berkenaan bernilai RM140,000, ia cuma diberikan kepada peserta dengan kaedah sewa beli selama 25 tahun pada kadar RM68,000 sahaja.
"Ini menjadikan pemilik perlu membayar hanya kira-kira RM180 sebulan yang dikira tidak membebankan kepada 85 peserta asal dan 10 peserta tambahan yang kita berikan surat tawaran pada hari ini.
"Melalui perbincangan, penghuni Rimbunan Kaseh bersetuju dengan keputusan ini asalkan mereka dapat tinggal di sini kerana ini telah menjadi tanah air mereka," katanya.
07 Mar 22
649
Kerajaan Buka Pintu, Percepat Proses Buat Pelabur Di KTIP - MB
KEMAMAN, 7 Mac - Kerajaan negeri mengalu-alukan penyertaan para pelabur dengan memberikan komitmen memudahkan proses bagi mereka melabur di Taman Perindustrian Kertih Terengganu (KTIP) bagi merancakkan ekonomi penduduk setempat.
Menteri Besar Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, KTIP dijangka turut menjadi salah satu faktor peningkatan infrastruktur dan perkhidmatan sokongan serta menjadi pemangkin industri hiliran sekitar Kemaman dan negeri.
“Setakat ini dua (pelabur) telah menyertai KTIP (407 ekar), dan sasaran kita untuk manfaatkan kawasan ini sepenuhnya dengan keluasan 1,007 ekar.
“Rakyat Terengganu juga bakal menikmati curahan ekonomi menerusi peluang pekerjaan yang akan ditawarkan KTIP peluang pekerjaan yang akan ditawarkan kelak,” katanya.
Terdahulu Ahmad Samsuri berkata demikian dalam Majlis Pelancaran Kertih Terengganu Industrial Park di Resort World Kijal, semalam.
Kerajaan melalui anak syarikat miliknya (GLC) Terengganu Incorporated (Terengganu Inc) serta anak kumpulan TI Properties bersama MGB Berhad merasmikan projek KTIP bernilai RM680 juta.
06 Mar 22
486
KETENGAH Lancar PASKET Tawar Harga Terendah Pada Rakyat
KUALA TERENGGANU, 4 Mac - Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) mengumumkan usaha membantu pengusaha dan masyarakat setempat dengan pelaksanaan Program Jualan Keluarga Malaysia Pasar Prihatin Wilayah KETENGAH (PASKET) di 17 lokasi yang akan bermula di Bandar Al Muktafi Billah Shah (AMBS), Sabtu ini.
Pengerusi KETENGAH, Senator Datuk Razali Idris berkata, PASKET dilihat sebagai satu usaha membantu terutama kepada golongan B40 yang terkesan dengan pandemik COVID-19 yang berdepan situasi sukar meneruskan kehidupan seharian.
"Biasanya program jualan ini cuma diadakan sekali-sekala, namun kami melihat untuk mengadakan PASKET dalam dua fasa. Fasa pertama melibatkan tujuh lokasi di tujuh lokasi dalam daerah Dungun sebanyak tiga lokasi, Kemaman (2) dan Hulu Terengganu (2) yang berlangsung dari Mac hingga Mei.
"Manakala fasa kedua kita jadualkan berlangsung dari Jun hingga September melibatkan 10 lokasi iaitu di Dungun (4 lokasi), Kemaman (2) dan Hulu Terengganu (2) yang mana kita utamakan kawasan dalam wilayah KETENGAH," katanya kepada pemberita dalam sidang media, di sini hari ini.
Menurutnya lagi, program berkenaan berbeza dengan program jualan lain kerana diadakan dalam skala besar melibatkan lebih 80 pengusaha tempatan dengan kos subsidi kira-kira RM2 juta untuk memastikan harga ditawarkan pada kadar rendah.
"Kita juga bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) termasuk para pengusaha yang datangnya dari pasar tani, pasar malam dan pasar besar di wilayah KETENGAH.
"Untuk kehadiran, kita jangka akan menerima kedatangan sekitar 70 peratus penduduk kerana PASKET diadakan pada skala besar kali ini. Sebagai tambahan, kita melangsungkan PASKET di AMBS ini selama dua hari satu malam dengan diserikan persembahan buskers-buskers yang kitaa panggil dari seluruh Terengganu.
"Kita juga adakan permainan rakyat seperti memanah, silat, cabutan bertuah untuk menarik minat pengunjung hadir memeriahkan PASKET ini," katanya.
Antara barangan yang akan dijual terus kepada rakyat ialah ikan segar dan beku, sayur dan buah-buahan, barangan kawalan seperti minyak masak, barangan proses dan tin, daging dan ayam serta produk-produk industri kecil sederhana (IKS).
03 Mar 22
608
'Bukankah Ini Juga Pembangunan?'
BESUT, 27 Februari- Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja Terengganu, Nurkhuzaini Ab Rahman menyifatkan pembangunan yang terbaik perlu mengambil kira keperluan rakyat, bukan hanya mencari gah semata-mata sehinggakan memberi bebanan kewangan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera itu berkata, salah satunya perlu dilihat adalah usaha kerajaan negeri meluluskan pembangunan 993 buah rumah untuk keperluan rakyat DUN Kota Putera memiliki rumah sendiri.
"Jambatan baru akan dibina dari Kampung Pengkalan Kubur ke Kampung Keluang sebagai jalan alternatif dan menjimatkan masa. Bukankah ini juga satu pembangunan?"
"Tidak perlu dipertikaikan tentang pembangunan projek mega, kerana kita lebih melihat kepada kepentingan keperluan rakyat dalam pemilikan tanah dan rumah serta jalan perhubungan yang baik.
"Pembangunan-Pembangunan ini, walaupun bukan projek mega, ia secara langsung akan membantu kewangan dan keselesaan rakyat untuk kehidupan sehari-hari," katanya sambil tidak menafikan projek-projek ekonomi yang diusahakan kerajaan negeri dari pelbagai sektor secara berterusan.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Temu Murni anjuran Pemuda PAS Cawangan Pengkalan Kubur di Bukit Bubus, Jumaat lalu.
Program berkenaan dianjurkan bertujuan merapatkan ukhwah antara belia kawasan tersebut selain menyokong aktiviti riadah serta sukan-sukan setempat yang diadakan seperti Cubross dan sebagainya.
26 Feb 22
157
Aplikasi Smart Besut Mudahkan Pengguna, Jimatkan Masa
BESUT, 24 Februari - Penggunaan aplikasi Smart Besut secara langsung menambah baik kemudahan sistem tempat letak kenderaan (parking) dan membiasakan komuniti dengan proses urusan yang lebih efisyen.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, beberapa penambahbaikan telah dibuat kepada aplikasi seperti pengguna tidak lagi perlu mengisi nombor lot kotak parking disamping kad gores yang akan disediakan untuk warga emas.
"Ini benar-benar memudahkan pengguna. Dengan penggunaan aplikasi Smart Besut, pengguna tidak perlu lagi bersedia dengan syiling, tidak perlu berkejar mencari kiosk (gerai) pembayaran dan tidak bermasalah dengan mesin tempat letak kereta (TLK) yang rosak.
"Lebih daripada 70 peratus TLK tidak mempunyai kadar setengah jam. Oleh itu, kemudahan pembayaran untuk tempoh setengah jam pada kadar 30 sen ini dilihat sebagai satu langkah penjimatan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepa sesi penerangan kepada Pengerusi Jawatankuasa Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) DUN Hulu Besut, baru-baru ini.
Tambahnya, kerajaan negeri menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) juga telah bersetuju untuk meneruskan penggunaan aplikasi Smart Besut bagi bayaran di daerah Besut.
"Kerajaan negeri turut meminta syarikat konsesi Smart Besut untuk mempergiatkan penerangan kepada pengguna supaya rakyat tahu untuk menggunakan aplikasi ini selain menyebarkan kebaikan penggunaan aplikasi TLK ini berbanding sistem mesin TLK," tambahnya lagi.
Untuk pengetahuan, sebarang pertanyaan dan masalah berhubung penggunaan aplikasi Smart Besut boleh hubungi Pejabat Pengurusan Smart Besut di talian 09-6930998 atau melalui WhatsApp rasmi 0125454700.
24 Feb 22
1896
356 Rumah Di Semayor, Kerteh Jaya Dijual Pada Harga RM80,000
KUALA TERENGGANU, 23 Februari - Sebanyak 356 unit rumah mampu milik (RMM) yang bakal dibina di Kerteh Jaya dan Kampung Semayor, Kemaman, dijual pada harga RM80,000 kepada rakyat.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, walaupun kos pembinaan sebuah rumah terbabit bernilai kira-kira RM140,000, pembeli akan mendapat keuntungan sehingga RM60,000 dalam pelaksanaan projek berkenaan.
“Harga jualan itu merupakan harga subsidi daripada Ireka Corporation sendiri di samping kerajaan negeri turut menerima pulangan sebanyak 34.720 juta iaitu pada kadar 7.89 peratus.
“Ini merupakan projek pertama tahun ini yang dilaksanakan secara hybrid (pembangunan di dua lokasi berbeza dalam daerah sama) dengan pembangunan selama enam tahun.
“Ia bakal bermula pertengahan Julai ini dan dijangka siap pada tahun 2028 melibatkan tiga fasa,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Usahasama Cadangan Projek Pembangunan Perumahan Mampu Milik dan Bercampur secara Penswastaan di Wisma Darul Iman, hari ini.
Hadir sama, Tengku Seri Bijaya Raja Setiausaha Kerajaan Negeri, Ahli Parlimen Kemaman; Che Alias Hamid, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT); Wan Adnan Wan Derahman dan Pengarah Urusan Ireka; Mohd Hasnul Ismar Mohd Ismail.
Jelasnya, pembinaan tersebut merupakan sebahagian daripada 1,716 unit rumah yang melibatkan kos sebanyak RM468 juta hasil usaha sama kerajaan negeri melalui Kumpulan PMINT dan Kumpulan Ireka Corporation Berhad.
Pembinaan berkenaan melibatkan kawasan berkeluasan 200 ekar di Kerteh Jaya, 11.55 ekar di Kampung Semayor.
Setakat ini, kerajaan negeri telah membina 18,619 unit rumah pelbagai kategori bersamaan 93.10 peratus dalam usaha merealisasikan manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 untuk membina 20,000 unit RMM.
Selain itu, seramai 330 individu telah dipilih bagi menerima manfaat Tabung i-RAHMAN yang diluluskan sebanyak RM17 juta tahun lalu.
“Tahun ini pula, kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM30 juta bagi Tabung i-RAHMAN permohonannya akan ditutup 28 Februari ini,” katanya.
23 Feb 22
972
Gadis Kampung Buat Duit Dengan 'Bigo Live'
MARANG, 17 Februari - Bergiat aktif sebagai pempengaruh aplikasi 'Bigo live' sejak 2021, gadis dari Kampung Jerung Surau, Syafiqah Rashid, 25, mampu meraih pendapatan hampir RM6,000 sebulan.
Katanya, dia sangat meminati bidang berkaitan media sosial dan memasang tekad untuk terus memanfaatkan kelebihan platform itu.
"Saya akui untuk sampai ke tahap sekarang bukanlah sesuatu yang mudah, namun ia bukanlah menjadi satu halangan apabila ada usaha daripada kita.
"Sebelum ini saya merasakan cukup sukar untuk meraih pendapatan bulanan sedemikian, namun setelah belajar daripada beberapa 'influencer' saya mampu melangkah ke depan.
"Dulu, sukar untuk saya jadi seperti sekarang, kena kerja dari pagi sampai malam, penat lagi, nak dapat RM2,000 pun susah, dengan pendapatan sekarang, sekurang-kurang saya mempu membantu keluarga," jelasnya ketika ditemui UPDI semalam.
Syafiqah Rashid yang sedang dalam pengambaran untuk dimuat naik ke You Tube.
Menurut lulusan Diploma Pengurusan Zakat Wakaf, Kolej profesional Baitulmal itu, 'gaji' tersebut diperolehi selepas dia berjaya mengumpulkan 26 ribu pengikut.
Katanya, setiap kali bersiaran langsung di aplikasi berkenaan, dia menjadikan topik atau tips masakan kampung dan penjagaan kecantikan serta tutorial penggunaan alat solek sebagai bahan menjana wang.
"Daripada 26 ribu pengikut itu, ramai yang meminati topik berkenaan dan memberi galakan setiap kali saya bersiaran," jelasnya.
Ditanya mengenai 'Bigo live' yang mempunyai persepsi negatif dalam kalangan masyarakat kerana kandungan melampaui batas, Syafiqah berkata dia mahu merubah persepsi itu.
"Sama juga juga tik tok sebelum ini, banyak kandungan negatif kerana kurang individu yang mengetengahkan 'content' positif.
"Bagi saya, selagi kita menggunakan sesuatu platform itu untuk memberi manfaat kepada orang ramai, ia tiada masalah,
"Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pun pernah mengeluarkan kenyataan tiada masalah untuk menggunakan aplikasi itu selagi bukan bertujuan untuk melakukan kemaksiatan dan perkara yang diharamkan," tambahnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Syafiqah turut menjelaskan dia sedang memperluaskan 'content' media sosialnya ke You Tube.
"Saya juga boleh menambah pendapatan dengan menjual biskut buatan tangan secara atas talian di dalam aplikasi shopee dan juga instagram," jelasnya.
17 Feb 22
5648
Isu Bekalan Ayam, Telur Perlu Dipandang Serius
KUALA NERUS, 16 Februari - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN Tepoh), Hishamuddin Abdul Karim menggesa pihak kerajaan persekutuan agar isu kekurangan bekalan ayam dan telur dipandang lebih serius dalam menghadapi musim bulan Ramadan
Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Yaakob dan semua menteri terlibat secara langsung dengan sektor kepenggunaan perlu menggiatkan lagi usaha untuk memastikan bekalan ayam dan telur dapat dipulihkan seberapa segera khususnya menghadapi bulan puasa akan datang.
"Ia tidak boleh dibebankan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) semata-mata.
“KPDNHEP hanya mengawal harga di peringkat akhir ketika turun kepada pembeli. Kesukaran penternak dengan modal semasa juga perlu dipertimbangkan," jelasnya kepada kepada pemberita ketika hadir di Karnival Jualan Keluarga Malaysia, perkarangan Pasaraya PXR Kampung Gong Datuk, baru-baru ini.
Menurut Hishamuddin, pelbagai rungutan serta kebimbangan diluahkan oleh masyarakat susulan kekurangan bekalan telur di pasaran menjelang musim perayaan Islam tersebut.
Jelasnya, ia memerlukan penglibatan semua kementerian berkait supaya dapat memberikan komitmen dan juga dapat memastikan supaya semua sumber bekalan ini dapat diselesaikan dengan segera.
Sementara itu, beliau turut menjelaskan, pihaknya serta Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato Khairuddin Aman Razali telah memperuntukkan subsidi buat penganjuran Karnival Jualan Keluarga Malaysia di kawasan yang sambutan luar biasa khususnya masyarakat dalam daerah tersebut.
"Hari ini makanan seperti ayam ditaja oleh parlimen dengan memberikan sedikit subsidi jualan. Insya-Allah berkat kerjasama semua rakyat tidak terhimpit dan terbeban.
“Maka harga dapat diturunkan dengan lebih rendah, sekadar untuk sokongan dalam program seperti ini dan kita juga memberikan potongan separuh harga ikan sangkar sungai yang berada di dalam kaunter jualan.
“KPDNHEP telah memainkan peranan yang cukup baik dengan inisiatif penganjuran Karnival Jualan Keluarga Malaysia dan seumpamanya,” katanya lagi.
16 Feb 22
384
'Rugi Orang Kita Tak Ambil Peluang Ini'
SETIU, 3 Februari – “Rugi kita orang tempatan jika tidak ambil peluang kerja di sini,” kata seorang penuai kelapa sawit TDM Plantation Sdn. Bhd. (TDMP) sambil mengalu-alukan anak Terengganu merebut 800 peluang pekerjaan di bawah anak syarikat milik kerajaan negeri, TDM.
Bekerja di Ladang Jaya bermula empat bulan lalu, Mohd Nazeri Sidek, 45 berkata, pengalaman kerjanya sebagai ‘harvester’ amat positif berbanding di sektor perladangan lain dengan pelbagai faedah disediakan oleh TDMP.
“Walaupun tanggapan orang terhadap pekerjaan ini adalah ia jauh daripada kemudahan, namun di sini cukup lengkap dengan pelbagai prasarana, penginapan selesa, surau, kedai runcit dan segala keperluan sentiasa ada.
“Berbanding dengan kerja kampung lain, elaun di sini agak tinggi dan memang berbaloi, pendapatan saya di sini sebagai penuai adalah RM2,000, jika kutip buah kelapa sawit atau ‘pruning’ ganjaran akan ditambah lagi (bergantung kepada tenaga),” katanya ketika ditemu bual pemberita.
Jelasnya, persepsi anak tempatan tidak mampu bekerja di ladang perlu dibuang kerana hasilnya yang cukup lumayan.
“Kita sudah lalui sendiri, sebelum ini orang asing memonopoli kerja ini, namun saya cukup bangga dapat bekerja di TDMP dan penduduk tempatan tidak patut melepas peluang ini,” katanya lagi.
Bagi seorang warga Selangor, Abi Suffian Abdul Mutalib, 35, dia berkecimpung dalam sektor pertanian tersebut kerana faedah pekerja yang disediakan serta pembayaran tinggi.
“Saya paling tinggi dapat RM4,000 sebulan, di samping itu, saya turut didedahkan dengan cara-cara pengurusan ladang, standard dan cara penyusunan, cara potongan dan kutipan sistematik kelapa sawit.
“Bagi saya yang datang dari jauh, rugilah kepada anak jati disini tidak merebut kekosongan yang ada di ladang TDMP.
“Ini kerana ilmu dan ganjaran serta semangat kerja tinggi bersama pihak pengurusan TDMP amat baik, dan banyak perkara saya telah belajar dalam bidang perladangan ini,” katanya yang juga bapa kepada seorang anak.
Sementara itu, Pengarah Eksekutifnya TDMP Najman Kamaruddin menjelaskan, pihaknya sedang merancakkan proses mekanisasi di kawasan operasinya sebagai kemudahan kepada pekerja dan penambahbaikkan produktiviti syarikat itu.
Katanya, penggunaan jentera moden tersebut merupakan usaha pihaknya bagi meningkatkan lagi kadar efisyen di dua zon ladangnya disamping memodenkan suasana kerja di sektor pertanian tersebut.
“Sehubungan dengan itu, TDMP berhasrat menarik minat penduduk rakyat Terengganu yang berkeinginan menerokai bidang kerja bersama kami dengan pembukaan sehingga 800 kekosongan di 13 ladang.
“Persepsi orang luar terhadap pekerjaan di ladang sawit ini sebagai kerja lekeh dan hanya layak kepada warga asing, namun ini pandangan silap, dengan penuai kita sedia ada yang mampu menjana pendapatan sehingga RM3,000 dan RM4,000 sebulan
“Selain latihan, penginapan dan kesihatan, pihak syarikat turut memberikan pakej gaji yang kompetitif, bayaran insentif, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), cuti tahunan, elaun dan kemudahan pengangkutan untuk anak-anak ke sekolah di samping pelbagai manfaat lain kepada pekerja ladang," ujar Najman.
Untuk maklumat lebih lanjut berkenaan pekerjaan kosong disediakan TDM Berhad boleh merujuk paparan iklan di bawah :
03 Feb 22
1604