lightning-solid
Berita :

Artikel "Ekonomi" Terkini

'Mari Cuba Dulu, Masuk 8 Pagi Balik 2 Petang'
'Mari Cuba Dulu, Masuk 8 Pagi Balik 2 Petang'
SETIU, 2 Februari – “Mari cuba dulu, beban kerja di sini bergantung kepada kebolehan kita dan pelbagai faedah diperoleh dapat berbanding bekerja sendiri," luah seorang pekerja ladang TDM Plantation Sdn. Bhd. (TDMP) yang menyarankan anak negeri merebut peluang pekerjaan dalam sektor tersebut. Menurut Mohd Rozi Ghazali, 44, pengalaman bekerja selama empat bulan bekerja di ladang sawit milik anak syarikat kerajaan negeri amat positif di samping jadual kerja yang fleksibel. Mohd Rozi Ghazali memikul alat penuai kelapa sawit “Memang kita lihat industri sawit ini agak penat dari segi kudrat digunakan, namun di sini ia diringkaskan dengan jadual bergantung keupayaan sendiri bersama suasana kerja berpasukan yang akrab. “Jika masuk 8 pagi boleh pulang waktu 2 petang (mengikut keupayaan), jika orang tempatan tidak ambil kerja ini amat rugi, dengan elaun rumah, minyak dan lain-lain sehingga RM600. “Pendapatan di sini amat memadai dan saya dapat sara empat orang anak beserta isteri, cuma perlu rajin berkhidmat sahaja,” katanya ketika ditemu bual pemberita, hari ini. Berkongsi pendapat serupa, rakan setugasnya, Mohd Adam Abdul Samad, 32, menjelaskan pendapatan kerja diraihnya sebagai seorang penuai mencecah hampir RM4,000. Menurutnya yang berasal dari Kampung Lembah Bidong, dia tidak menyesal beralih bidang daripada menjadi seorang penternak udang kepada penuai sawit apabila menerima manfaat caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) serta manfaat kesihatan. “Kalau kita sakit, semua TDMP tanggung, jika kerja kampung kita tiada jaminan tersebut. Jadi kepada mereka diluar sana jangan takut kerja di ladang sawit, jika kita bekerja bersungguh-sungguh, hasil amat lumayan,” jelasnya. Bagi seorang pekerja berusia 50 tahun, Fauzi Mohamad menceritakan usia bukan penghalang bagi orang kampung dan tempatan untuk bergiat dalam industri perladangan tersebut. “Paling tinggi gaji saya lebih RM3,000 berdasarkan prestasi kerja, kalau saya umur sedekad ini mampu apatah lagi orang muda dalam Terengganu di luar sana boleh raih pendapatan dan peluang ini,” tambahnya. Baru-baru ini, TDM Berhad (“TDM” atau “Kumpulan”) menawarkan 800 peluang pekerjaan kepada warga tempatan dalam tempoh pandemik COVID-19. Pengarah Eksekutifnya, Najman Kamaruddin berkata pihaknya kini giat menjalankan usaha merekrut penduduk tempatan, terutamanya masyarakat di kawasan perniagaan syarikat berada dan beroperasi di kesemua 13 ladang miliknya di Terengganu. Untuk maklumat lebih lanjut berkenaan pekerjaan kosong disediakan TDM Berhad boleh merujuk paparan iklan dibawah :  
02 Feb 22
10930
Pembangunan Tenaga Solar Jana Hasil Baharu Terengganu
Pembangunan Tenaga Solar Jana Hasil Baharu Terengganu
DUNGUN, 27 Januari - Pembangunan projek penjanaan solar bakal menjana pendapatan baharu kepada negeri Terengganu.  Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, inisiatif pihak swasta dan negeri dalam menyediakan tapak seluas 200 ekar itu bakal memberi pulangan lumayan kepada negeri. “Ini adalah salah satu usaha kerajaan negeri dalam memastikan tanah-tanah terbiar selain untuk pertanian dan industri, digunakan untuk projek penjanaan sumber Tenaga Boleh Baharu (TBB). “Ini komitmen kita dan kita akan memastikan bahawa penjanaan tenaga dan projek-projek seperti ini dapat dibawa masuk ke Terengganu demi kepentingan ekonomi kepada negeri dan khususnya rakyat di sini,” katanya kepada pemberita. Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Projek Large Scale Solar (LSS) berkapasiti 29.99 Megawatt oleh Kenyir Gunkul Solar Sdn Bhd (KGS) di Kawasan Perindustrian Santong, di sini hari ini. Majlis tersebut dihadiri Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan sebagai tetamu utama. Turut hadir, YBM Tengku Seri Bijaya Raja Setiausaha Kerajaan Terengganu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau; Dr. Mamad Puteh, Pengarah Kenyir Gunkul Solar Sdn Bhd; Dato' Sri Ong Ah Hwa dan Pengarah Malaysian Solar Resources Sdn Bhd; Ong Kah Hui. Jelasnya, projek berkenaan dimulakan sejak 2018 dengan memanfaatkan 70 peratus tenaga kerja mahir dikalangan pekerja bumiputera.  LSS dibangunkan di tanah berkeluasan 200 ekar (80.937 hektar) bagi menempatkan 197,000 panel solar melibatkan kos sebanyak RM180 juta. Melalui projek tersebut, sebanyak 52,000 MW tenaga dapat dijana setahun dan dapat dibekalkan kepada sekurang-kurangnya 2,600 unit rumah setahun. KGS menjalankan projek penjanaan solar tersebut dengan pajakan tanah selama 21 tahun daripada kerajaan negeri, termasuk menanggung kos menaik taraf kondisi tanah melibatkan kira-kira RM20 juta. Dalam pada itu, Dr. Takiyuddin menyatakan, usaha Terengganu memulakan pembangunan tenaga solar merupakan antara terawal berbanding negeri-negeri lain. “Kerajaan Persekutuan juga sedang mempertimbangkan permohonan-permohonan daripada beberapa kerajaan negeri untuk TBB ini. “Kita hendak target tahun 2025 untuk mencapai 31 peratus sumber penjanaan elektrik daripada TBB antaranya melalui solar, tenaga hidro, hidrogen dan mungkin juga tenaga nuklear. “Setakat ini, kita telah ada 22 peratus sumber penjanaan melalui TBB yang kita mahu tingkatkan sehingga mencapai 40 peratus pada tahun 2035,” katanya. Beliau turut memaklumkan, Suruhanjaya Tenaga mengamalkan tender terbuka bagi mengawal kuota dan lebihan pengeluaran yang boleh menyebabkan harga jatuh. “Semua sumber TBB yang dibuat di Malaysia juga tidak dibenarkan dieksport ke luar. Ini kerana, dengan TBB kita boleh menarik pelaburan negara luar yang mengamalkan dasar teknologi hijau,” katanya.  
27 Jan 22
2626
Karnival Permotoran 'Booster' Ekonomi Penduduk Kota Putera
Karnival Permotoran 'Booster' Ekonomi Penduduk Kota Putera
BESUT, 25 Januari - Bukan untuk suka-suka, sebaliknya penganjuran Karnival Permotoran Pantai Timur yang dianjurkan baru-baru ini merupakan salah satu cara merancakkan ekonomi masyarakat di Kota Putera. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan,Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri mrangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, hal itu menjadi antara objektif Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Putera dalam membantu penduduk di kawasan itu. “Dari segi menggerakkan ekonomi setempat, kita telah berbincang dengan Pejabat Daerah Besut bagaimana hendak merancakkan ekonomi dan dengan aktiviti penganjuran seperti ini atau lebih lagi. “Umpamanya dalam program ini, kita dapat penyertaan 300 pengunjung dari luar Terengganu yang akan memenuhi 300 penginapan serta membelanjakan wang di kedai-kedai makan penduduk setempat. “Ini sekali gus menggerakkan ekonomi setempat yang telah lama beku sebelum ini dan boleh dikatakan ‘booster’ untuk ekonomi kita bagi jangka masa pendek,” katanya. Selain membuka ruang ekonomi, beliau menyifatkan penganjuran tersebut juga sebagai langkah pihaknya memperkenalkan kembali kawasan-kawasan menarik bagi perkembangan pelancongan yang terdapat di sana. “Jadi, dengan kedatangan pengunjung ini kita serlahkan kepada mereka tempat-tempat menarik melalui siri konvoi kenderaan klasik yang diadakan,” katanya. Tambah Mohd Nurkhuzaini, aspek acara hiburan yang diadakan mengikut dasar yang jelas sebagaimana ditetapkan kerajaan negeri.   “Kita ada dasar yang jelas. kalau mahu berhibur kita ada dasar hiburan. Kalau mahu bersiar-siar kita ada dasar sosial, jadi mengapa kita tidak pelbagaikan dengan mengikut peraturan yang ada. “Ini yang kita cuba sebarkan, supaya orang lihat Islam itu kontemporari dan memiliki konteks luas dalam kehidupan kita, sekali gus membetulkan pandangan orang ramai terhadap kecantikan Islam,” katanya.  
25 Jan 22
530
Warga Marang Terima Potongan Harga Barang Dapur Sehingga 20 Peratus
Warga Marang Terima Potongan Harga Barang Dapur Sehingga 20 Peratus
Oleh : Mohd Fakhrullah Mohamad  MARANG, 24 Januari - Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) yang menawarkan barangan asas lebih murah antara 15 hingga 20 peratus menerima sambutan baik dalam kalangan masyarakat Marang. Penganjuran selama dua hari bermula 22 sehingga 23 Januari di Dataran Pejabat Daerah Marang tersebut menawarkan diskaun terhadap barangan dapur seperti ayam, ikan, telur, sayur-sayuran, minyak masak, gula, tepung, beras serta produk harian lain. Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu (DUN), Dato' Yahaya Ali berkata, usaha kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dapat meringankan beban kos rakyat terutamanya dalam pembelian barangan harian. “Penduduk setempat tidak terkecuali dengan masalah harga barangan, tentulah program ini dapat memberi kemudahan untuk membeli barangan yang lebih murah berbanding harga di pasaran seperti pasaraya dan supermarket. "Saya juga berharap program ini dapat diwar-warkan kepada sedaramara dan sanak saudara agar dapat hadir untuk mengambil peluang ini bagi membeli bekalan yang secukupnya. "Inisiatif program sebegini harap dapat dipanjangkan lagi dimasa akan datang agar masyarakat yang terkesan dengan pendapatan dan pandemik Covid-19 yang melanda negara kita hari ini dapat mengurangkan sedikit bebanan harian," katanya. Beliau berkata demikian selepas meninjau serta menyantuni para pengunjung sempena PJKM di Dataran Pejabat Daerah Marang, Terengganu, semalam. Turut hadir, Ketua Pegawai Penguatkuasa (KPDNHEP) Terengganu, Nor Azmi Lamisza, Ketua Cawangan (KPDNHEP) Hulu Terengganu, Fauzi Mamat dan Pembantu Ehwal Ekonomi LKIM Terengganu, Mohd Farhan Haminullah.
24 Jan 22
807
Anak Muda Hasilkan Pes Makanan Sendiri
Anak Muda Hasilkan Pes Makanan Sendiri
HULU TERENGGANU, 23 Januari - Warung Santai D'River (WDSR) akhirnya berjaya mengeluarkan produk dengan jenamanya sendiri iaitu Pes Kari Kepala Ikan, Kari Ayam Daging dan Ikan Bakar. Pemiliknya, Abdul Talib Mohamad, 38, berkata dengan pencapaian awal tersebut, hasratnya selama ini telah tertunai. Katanya, kejayaan itu hasil bantuan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) yang menyediakan program untuknya. "Bermula daripada sana saya dapat 'networking' dan tahu cara hendak mengeluarkan produk ini, sebelum ini saya tidak tahu dan fikir sangat, saya hanya menumpukan perniagaan saya di tapak sedia ada yang dimulakan pada tahun 2015. "Fasa kedua nanti, saya menyasarkan untuk menembusi pasaran Asia Tenggara sebelum hujung tahun 2022, dan saya telah mendapat tawaran awal daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk membawa produk saya ini ke Dubai, pada Februari ini. "Untuk masa terdekat ini saya akan mengeluarkan 1,000 paket Pes dahulu untuk dijual di lima cawangan Pasar Raya Sabasun seluruh Terengganu dan dua cawangan WSDR iaitu di Kuala Terengganu dan Paka," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran produknya yang disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu, Mohd Iskandar Muhammad Aziz, di sini, semalam. Abdul Mutalib berkata, beliau menggunakan modalnya sendiri sebanyak RM10,000 dalam menghasilkan produk tersebut dan idea itu datang setelah menerima maklum balas yang sangat baik dari pelangganya. "Ramai yang mencadangkan supaya saya menghasilkan PES ini untuk mereka yang sukakan kari kepala ikan, sebelum ini saya sendiri tidak tahu bagaimana cara untuk menghaslkannya. "Sehinggalah saya dicadangkan agar mengikuti kursus MARDI Terengganu pada tahun lepas dan terus berusaha merealisasikannya dalam tempoh tidak sampai dua bulan," katanya. Berkongsi rahsia mengenai sambutan terhadap kedai makannya yang mendapat sambutan ramai, beliau berkata menu utama kari kepala kan dipelajari dengan ibunya sendiri. "Ibu saya dahulu pernah berkerja sebagai tukang giling rempah kari di Singapura sebelum berkahwin dan berpindah ke Terengganu, dan saya sangat gemari masakan ibu saya, sehingga apa yang ibu saya masak, saya akan cuba pelajari. "Alhamdulillah setelah saya perkenalkan kari ini kepada orang ramai, berkat usaha dan sokongan daripada keluarga, orang kampung serta orang ramai yang hadir perniagaan saya makin membesar hingga jualan dan menu utama berasaskan kari kepala Ikan ini semakin laris. "Daripada ruang niaga yang kecil, sekarang sudah membesar bersaiz restoran, jika permulaanya hanya sekadar 10 meja sekarang mencecah 40 meja makan pelbagai saiz dengan staf semakin ramai berjumlah 30 orang, dahulunya hanya melibatkan empat orang adik beradik," ujar beliau. Dalam pada itu katanya, bantuan daripada Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) juga banyak telah membantu dari segi promosi dan bimbingan perniagaan.  
23 Jan 22
767
Bayar Ikut Jadual, Lebih Ramai Dapat Manfaat
Bayar Ikut Jadual, Lebih Ramai Dapat Manfaat
HULU TERENGGANU, 23 Januari - Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu mengharapkan agar peminjam Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUGAS) membayar balik bayaran mengikut jadual bagi memastikan lebih ramai rakyat di negeri ini mendapat manfaat daripada skim itu. Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Iskandar Muhammad Aziz berkata, tabung yang diwujudkan bermula pada tahun 2018 itu telah membantu lebih 1,000 usahawan mengembangkan perniagaan mereka. "Jadi saya menyeru kepada mereka yang telah mendapat pinjaman bayarlah mengikut masa yang ditetapkan, kita mahu ini dijadikan satu bentuk budaya yang cukup baik di kalangan usahawan kita di negeri ini. "Setakat ini kita berpuas hati dengan jumlah bayaran yang dibuat oleh peminjam, kita berjaya membuat kutipan sekitar 86 peratus, pada tahun lepas berlaku peningkatan dari sudut kutipan walaupun berlaku pandemik Covid-19. "Ini kerana kesedaran peminjam itu sendiri adalah tinggi walaupun pada waktu itu kitaberikan moratorium sebagaimana keputusan kerajaan persekutuan dan negeri termasuk penyewaan premis pun kami buat pengecualian sewaan," ujarnya. Beliau berkata demikian, ketika ditemui pihak media, selaps merasmikan Pelancaran  Pes D'River, di Warung Santai D'River, Kampung Pasir Tinggi, di sini, pada semalam. Mengulas lanjut mengenai TUGAS, jelasnya ia adalah mengikut kaedah pusinga, bayaran yang dijelaskan oleh para pemimjan dikembalikan kepada usahawan-usahawan yang lain. "Sama ada melalui pembiayaan pembiayaan, ataupun latihan yang disediakan. Pada tahun ini melalui kaedah yang sama dengan peruntukan sebanyak RM10 juta dan permohonan untuk tabung berkenaan juga telah dibuka kembali," katanya.
23 Jan 22
713
Kota Putera Himpun 300 Otai Kenderaan Klasik
Kota Putera Himpun 300 Otai Kenderaan Klasik
BESUT, 22 Januari- Lebih 300 pemilik kenderaan klasik terdiri daripada kereta-kereta keluaran Mercedes Benz dan jenama lain, selain motosikal dan basikal berusia lebih 100 tahun berhimpun di Dataran Limbungan, di sini sejak semalam. Kenderaan tersebut dihimpunkan sempena Karnival Permotoran Pantai Timur anjuran bersama Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Putera dan Kelab Otai Mercedes Benz Besut dibantu Majlis Daerah Besut dan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS). Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, program yang julung kali diadakan itu mempersembahkan keunikan tersendiri dan mendapat sambutan hangat di kalangan masyarakat setempat. “Kita merancang karnival ini dalam tempoh kurang sebulan untuk adakan tetapi, dengan  dukungan semua pihak, kita terima sambutan begini baik daripada peserta sehingga urus setia terpaksa mengubah target kehadiran mereka beberapa kali.  Nurkhuzaini bergambar di hadapan salah satu kereta klasik yang dipamerkan. “Daripada kurang 200 peserta yang dijangkakan semalam, hari ini kita dapati melebihi 300 kenderaan hadir mewakili kelab-kelab Mercedes Benz daripada enam buah negeri,” katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI). Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan perasmian karnival berkenaan, malam tadi. Antara basikal unik yang dipamerkan. Jelasnya, program berlangsung semalam diwarnai dengan siri konvoi kenderaan klasik ke kawasan-kawasan menarik di sekitar Kota Putera. “Besut ibarat mini Terengganu. Kalau orang kata Terengganu terkenal dengan pantai, kita ada Pantai Bukit Keluang dan Pulau Perhentian. Di sini juga kita ada air terjun dan air panas, ada tasik di Hulu Besut, kenapa tidak digembleng untuk diketengahkan kepada umum?  “Jadi Kota Putera ingin memulakan hasrat ini dengan menaikkan benda-benda yang perlu diketengahkan kepada masyarakat bagi menarik pengunjung dalam dan luar negara dan kita memulakan pecutan ini sebagai persediaan pelancongan pada masa akan datang,” katanya.  
22 Jan 22
789
Terengganu Inc Tekankan Pematuhan Seksyen 17A Akta SPRM
Terengganu Inc Tekankan Pematuhan Seksyen 17A Akta SPRM
KUALA TERENGGANU, 18 Januari – Anak syarikat kerajaan negeri, Terengganu Incorporated (Terengganu Inc) sentiasa menekankan pemahaman serta pematuhan terhadap Seksyen 17(A) Akta SPRM 2009 (pindaan 2018) dalam operasi kumpulan terbabit bagi gerak kerja berjalan lancar dan berintegriti. Presiden dan Pengarah Eksekutif, Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun berkata, seksyen 17(A) merujuk kepada kesalahan oleh organisasi komersial yang boleh didakwa dan dihukum sekiranya kakitangan mereka melakukan kesalahan rasuah. Katanya, pelbagai perkara telah dipelajari lebih 200 barisan ahli lembaga pengarah daripada lebih 100 buah syarikat tentang tanggungjawab, tugas dan masalah yang timbul jika tidak mematuhi akta tersebut. “Impak perubahan sistem percukaian dan krisis ekonomi disebabkan pandemik COVID-19 dan bisnes perlu berubah mengikut arus ini. “Kita yakin dengan Perancangan Strategik Perniagaan 2022 yang optimis serta momentum kejayaan mengharungi pandemik ini, akan menghasilkan peningkatan pendapatan lebih besar," katanya. Beliau berkata demikian selepas Program Pengarah-Pengarah Korporat Kumpulan Terengganu Inc 2022, Duyong Marina, petang semalam.    Menurut beliau, antara perancangan pada tahun ini adalah melaksanakan pengoperasian pusat peranginan di Pulau Poh, Kenyir dan projek pembangunan Kuala Terengganu City Centre (KTCC) utara di bawah kerajaan negeri, Unit Perancangan Ekonomi Negara (UPEN) dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC). Jelas Burhanuddin, pihaknya turut merancang untuk menyediakan lebih 400 peluang pekerjaan dengan keutamaan pada orang tempatan menerusi kekosongan di dalam GLC lain seperti TDM Berhad dan Ladang Rakyat Terengganu Sdn Bhd (LRT). Sementara itu, Menteri Besar Terengganu merangkap Pengerusi Terengganu Inc, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar turut hadir dalam majlis penutup program tersebut termasuk Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu (MMKN) dan barisan Ahli Lembaga Pengarah daripada pelbagai GLC negeri. Acara tertutup tahunan tersebut telah diadakan selama sehari bersama penceramah-penceramab jemputan yang merangkumi pelbagai perkara terutamanya tanggungjawab Pengarah syarikat menerusi sesi forum bertajuk 'Meningkatkan Tadbir Urus dan Kepimpinan : Dalam Suasana Pasca Pandemik'.
18 Jan 22
707
Perwaja Steel Kemaman Bakal Dibangunkan Semula
Perwaja Steel Kemaman Bakal Dibangunkan Semula
KEMAMAN, 17 Januari - Kilang Besi Perwaja di Telok Kalong, bakal dibangunkan semula dalam tempoh terdekat. Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ir. Wee Ka Siong berkata pelabuhan Kemaman akan menerima pelabur baharu iaitu JXR Manufacturing yang akan membangun semula kilang Perwaja Steel Kemaman. "Syarikat yang menghasilkan 'steel billet' ini dijangka mula beroperasi pada tahun 2024 dengan pengendalian sebanyak tujuh juta metrik tan kargo setahun. "Ini adalah perkara yang dinantikan oleh pemain industri dan akan memberi impak yang besar kepada masyarakat setempat kelak," ucapnya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pelancaran Cadangan Pelan Pembangunan Pelabuhan Kemaman, baru-baru ini. Turut hadir, Timbalan Menteri Sains,Teknologi & Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim, Ketua Setiausaha, Kementerian Pengangkutan Malaysia, Datuk Isham Ishak dan Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid. Illustrasi Pelabuhan Kemaman yang baru. Dalam masa yang sama, beliau yakin dan percaya dengan kesungguhan kerajaan dan agensi yang terlibat, perancangan itu dapat direalisasikan dalam masa yang terdekat. "Kementerian berharap pelan pembangunan jangka panjang pelabuhan ini mampu meningkatkan kapasiti bagi menampung keperluan pengguna pelabuhan semasa dan akan datang dapat direalisasikan. "Kementerian juga yakin pembesaran pelabuhan Kemaman yang diterajui Lembaga Pelabuhan Kemaman dan Konsortium Pelabuhan Kemaman (KPK) dapat dilaksanakan dan bakal memberi manfaat kepada Malaysia dengan menjadi pemangkin ekonomi bagi Kemaman, sekali gus merancakkan pembangunan Koridor Pantai Timur," ujarnya.  
17 Jan 22
8472
Pelabuhan Kemaman Diperbesar Tampung Permintaan Tinggi Pelabur
Pelabuhan Kemaman Diperbesar Tampung Permintaan Tinggi Pelabur
KEMAMAN, 16 Januari - Kapasiti Pelabuhan Kemaman akan dipertingkatkan lebih empat kali ganda daripada keluasan asal bagi menampung permintaan tinggi pelabur. Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong berkata, kapasiti pelabuhan kargo akan diperbesar kepada 33 juta metrik tan setahun menjelang tahun 2025. "Buat masa ini pelabuhan ini hanya mampu menampung kira-kira tujuh juta metrik tan setahun. "Syarikat Eastern Steel Sdn Bhd (ESSB) telah mengeksport barangan mereka sebanyak sejuta metrik tan setahun setakat ini dan akan meningkat kepada lima juta tan dengan adanya pelabuhan itu," katanya ketika merasmikan Majlis Pelancaran Cadangan Pelan Pembangunan Pelabuhan Kemaman di Dermaga Timur, Pelabuhan Kemaman semalam. Turut hadir, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Amzad Hashim, Ketua Setiausaha, Kementerian Pengangkutan Malaysia, Datuk Isham Ishak dan Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid. Ujar Wee Ka Siong, Pelabuhan Kemaman menerima pelabur baharu iaitu syarikat JXR Manufacturing yang akan mengambil alih kilang PERWAJA. "Syarikat yang menghasilkan 'steel billet' ini dijangka mula beroperasi pada tahun 2024 dengan pengendalian sebanyak 7 juta metrik tan kargo. Tambah Wee Ka Siong, perancangan pembangunan ini mengambil kira keperluan kemudahan pelabuhan dan tambahan dermaga. Caption "Keperluan Pelabuhan Kemaman akan ditambah bagi meningkatkan kapasiti pengendalian kargo dengan penambahan kemudahan-kemudahan pelabuhan seperti kren, ‘conveyer belt’ dan sistem aliran trafik dalam pelabuhan," katanya. Wee Ka Siong turut berkata, bagi tujuan pembesaran dermaga dan penambahan kemudahan itu, Konsortium Pelabuhan Kemaman (KPK) akan memperuntukan kos sebanyak RM500 juta. "Bagi fasa pertama tahun ini, KPK akan membina empat buah kren membabitkan perbelanjaan RM100 juta, manakala fasa selanjutnya akan digunakan untuk membina dermaga sepanjang 650 meter yang akan dimulakan pada tahun depan," katanya. Beliau berkata, dengan adanya tambahan itu, ia bukan sahaja menjadi pemangkin kepada negeri Terengganu malah mampu menyediakan banyak peluang pekerjaan dan menjana ekonomi setempat. "Kementerian berharap pelan pembangunan jangka panjang pelabuhan yang akan membabitkan modenisasi dan pembesaran pelabuhan dan kemudahan-kemudahan baru termasuk peralatan pelabuhan mampu meningkatkan kapasiti bagi menampung keperluan pengguna pelabuhan semasa dan akan datang dapat direalisasikan dalam masa terdekat ini. "Kementerian juga yakin pelabuhan Kemaman yang diterajui Lembaga Pelabuhan Kemaman dan KPK dapat dilaksanakan dan bakal memberi manfaat kepada Keluarga Malaysia dengan menjadi pemangkin ekonomi bagi Kemaman, sekali gus melengkapi kawasan lain sekitarnya yang sedang rancak membangun," katanya.
15 Jan 22
1373