lightning-solid
Berita :

Artikel "Ekonomi" Terkini

87 Usahawan Terima Pinjaman Pembiayaan Modal
87 Usahawan Terima Pinjaman Pembiayaan Modal
KUALA TERENGGANU, 23 Jun – Seramai 87 orang usahawan telah menerima pinjaman Pembiayaan Modal Program Jaya Diri yang berjumlah RM795 ribu daripada Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT). Para usahawan tersebut juga akan diberikan kursus sepanjang tempoh pinjaman pembiayaan tersebut bagi meningkatkan kemahiran serta memajukan perniagaan mereka.  Menurut Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu, Wan Mohd Zaki Wan Abdullah, pinjaman pembiayaan tersebut akan sentiasa berjalan dan terbuka kepada semua yang berkelayakan untuk memohon.  “Yayasan Pembangunan Keluarga telah menganjurkan pelbagai program di seluruh Negeri Terengganu bagi membangunkan kehidupan keluarga dan rakyat dengan lebih baik. “Kita sebenarnya telah mengatasi beberapa masalah kekeluargaan di Negeri Terengganu seperti masalah kemiskinan, pendidikan kanak-kanak, kesihatan dan hubungan kekeluargaan,” kata Wan Mohd Zaki dalam ucapannya.  Ucapan perasmian oleh ADUN Batu Buruk Majlis yang diadakan di Kompleks Ibu Tunggal, Chendering itu telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi.  Menurut Ustaz Muhammad Khalil, Islam melihat institusi kekeluargaan adalah satu institusi sangat penting kerana ia merupakan punca kepada pembinaan masyarakat sejagat. “Justeru, kerajaan Negeri Terengganu telah telah menyediakan pelbagai bantuan dan insentif bagi membantu rakyat membina keluarga yang sejahtera,” kata beliau.  Beliau turut berharap agar inisiatif pinjaman pembiayaan ini dapat membantu meningkatkan lagi daya usaha dan kemampuan yang ada pada para usahawan tersebut.   
23 Jun 22
220
Terengganu Hasilkan Silaj, Baja Kompos Dari Rumput Napier
Terengganu Hasilkan Silaj, Baja Kompos Dari Rumput Napier
SETIU, 13 Jun - Rumput Napier di Terengganu bakal memberi manfaat berganda kepada negeri serta golongan tani apabila tanaman itu boleh dijadikan silaj dan baja kompos untuk makanan ternakan dan pemulihan tanah. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, silaj dan baja kompos itu kemudiannya akan diproses bagi pemulihan tanah untuk projek penanaman lada hitam syarikat McCormick di Lembah Bidong. "Projek ini bukan hanya melibatkan TADC, tetapi dalam masa yang sama melibatkan usahawan-usahawan tempatan melalui terma-terma perjanjian yang telah ditetapkan. Di antaranya adalah, mereka akan membekalkan rumput yang ditanam itu kepada TADC untuk dijadikan makanan ternakan dan baja kompos ini. "Dengan adanya projek ini, kita harap rakyat setempat mampu mengambil sebanyak mungkin manfaat yang ada. "Dalam masa sama, projek di bawah Gedung Pengeluaran Makanan Negeri Terengganu sebanyak 18 projek ini dapat menyokong di antara satu sama lain kerana di antara salah satu projek ini, kita ada juga penternakan kambing tenusu, sekaligus memerlukan sumber pemakanan dari projek ini. "Rantaian yang dapat kita lihat berdasarkan projek ini adalah saling melengkapi antara satu sama lain," katanya ketika ditemu bual semasa Majlis Perasmian Projek Ladang Rumput Napier dan Kompos bertempat di Kampung Setia Jaya, Merang, semalam. Sementara itu, Pengurus Besar Terengganu Agrotech Development Corp Sdn.Bhd (TADC), Azhar @ Wahab Jusoh memaklumkan, setiap usahawan akan diberikan lima ekar tanah untuk diusahakan ladang rumput napier. Katanya, dianggarkan 20 metrik tan hasil dapat dituai dalam jangka masa 40 hingga 45 hari untuk seekar tanah.  "Selain bahan asas seperti baja, racun dan benih akan dibekalkan oleh TADC, kita juga akan membeli hasil ini dengan harga rm80/metrik tan. Para pengusaha tidak perlu untuk mengeluarkan sebarang modal untuk mengusahakan projek ini. "Paling menarik, sebanyak RM8,000 akan dibayar untuk usahawan yang mengusahakan lima ekar tanah bersamaan dengan hasil yang dapat dituai selama 45 hari sekali gus dapat mengeluarkan mereka daripada garis kemiskinan yang membelenggu rakyat negeri ini," katanya. 
13 Jun 22
1815
MB Terengganu Runding Semula Projek Jalan Hulu Besut-Kuala Krai
MB Terengganu Runding Semula Projek Jalan Hulu Besut-Kuala Krai
BESUT, 10 Jun- Kerajaan negeri akan berunding dengan kerajaan Persekutuan berkaitan pelaksanaan semula projek pembinaan jalan raya menghubungkan Keruak, Hulu Besut ke Lata Rek, Kuala Krai yang sebelum ini dibatalkan. Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, projek jalan sejauh 12 kilometer itu telah berada pada proses mengeluarkan tender sebelum Pilihan Raya Umum ke-14, namun dibatalkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas itu. "Saya memberi jaminan kepada penduduk di Hulu Besut untuk berunding dengan kerajaan Persekutuan iaitu kementerian yang berkaitan bagi membolehkan projek ini dilaksanakan. "Saya rasa perkara ini boleh dipercepatkan kerana seperti saya katakan tadi, kerajaan pusat sebenarnya sudah dalam proses hendak tender projek ini. "Untuk makluman, bagi projek-projek yang besar seperti ini, apa yang sering bermasalah adalah kerja-kerja teknikal seperti laporan yang perlu disiapkan sebelum dokumen tender keluar, apabila maklumat teknikal sudah ada, tinggal tender sahaja dan itu lebih cepat sebenarnya," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Geran Hak Milik Kekal Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) di Pasir Akar, semalam. Beliau turut memohon rakyat negeri itu mendoakan semoga projek tersebut menjadi kenyataan. "Saya rasa ia tidak sesukar mana, cuma ihsan daripada kerajaan pusat supaya kalau tidak dimasukkan dalam Rolling Plan, mungkin boleh dijadikan satu projek khas di peringkat kerajaan pusat," katanya.
10 Jun 22
1621
Noor Arfa Batik Sasar 300 Ribu ‘Reseller’ Menjelang 2025
Noor Arfa Batik Sasar 300 Ribu ‘Reseller’ Menjelang 2025
KUALA TERENGGANU, 8 Jun – Noor Arfa Holding Sdn. Bhd. mensasarkan seramai 300,000 orang pengedar rasmi produk berasaskan batik itu menjelang tahun 2025. Menurut Pengarah Noor Arfa, Wan Mohd Hafiz Wan Mohd Ariffin setakat ini Noor Arfa mempunyai seramai lebih 4,000 orang pengedar dan menjangkakan akan mencapai 10,000 hingga 15,000 orang pada akhir tahun ini.  “Orang ramai yang ingin menyertai kami boleh mengisi borang di laman sesawang kami dan kami akan memilih mereka yang betul-betul komited untuk berniaga. Barisan penerima anugerah Noor Arfa Stylist “Kita berniat untuk membantu mereka yang berminat untuk menjana pendapatan di samping sama-sama memartabatkan industri batik ini,” kata Wan Mohd Hafiz ketika ditemui pemberita dalam Majlis Anugerah Noor Arfa Stylist yang diadakan di Hotel Permai.  Turut hadir dalam majlis itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Md Noor dan ADUN Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi. Mengulas berkenaan program tersebut, beliau berkata program tersebut merupakan julung kalinya diadakan bagi meraikan kejayaan para pengedar rasmi Noor Arfa atas jualan yang dilakukan sepanjang tahun 2021 yang lalu. Majlis tersebut juga diisi dengan perkongsian berkenaan sejarah penubuhan syarikat tersebut oleh Pengasas Noor Arfa iaitu Wan Mohd Ariffin Wan Long dan pasangannya, Noor Hijerah Hanafiah. Penerima anugerah utama Master Leader Achiever 2021  
08 Jun 22
815
Air Tuak Kini Digelar 'Sweet Nira Terengganu'
Air Tuak Kini Digelar 'Sweet Nira Terengganu'
MARANG, 7 Jun - Kerajaan negeri menjenamakan semula nira kelapa atau lebih dikenali air tuak oleh penduduk Terengganu sebagai minuman isotonik dengan nama Sweet Nira Terengganu bagi meluaskan pasaran produk berkenaan. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar, Dr. Azman Ibrahim berkata, industri air nira merupakan industri yang dapat menjana pendapatan jutaan ringgit. "Jabatan Pertanian Terengganu melihat air nira adalah satu produk berpotensi besar yang boleh dikomersialkan. Tambahan pula, minuman ini mendapat permintaan yang tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia kerana khasiatnya yang tinggi dan juga semula jadi, tanpa bahan pengawet, bahan kimia dan pewarna. “Insya-Allah dengan adanya potensi ini, kerajaan negeri akan mengambil langkah-langkah yang sebaiknya melalui Jabatan Pertanian Terengganu agar industri ini mampu menjadi industri yang mampu menyumbang kepada peningkatan sosio-ekonomi rakyat kita dalam masa yang sama menyumbang ke arah jaminan makanan (food security) negeri kita,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Minuman Isotonik (Air Nira) Negeri Terengganu bertempat di Dataran Batu Putih, hari ini. Jelas Dr Azman, Sweet Nira Terengganu akan dikomersialkan serta-merta melibatkan 28 orang pengusaha berdaftar untuk menghasilkan air nira yang menghasilkan lebih 900,000 liter dengan. pendapatan tahunan dalam RM6.3 juta. Menurut beliau, pasaran lokal telah lama ditembusi dan sijil amalan pertanian baik (MyGap) diperlukan untuk menembusi pasar raya ternama di Malaysia. "Untuk makluman, sebatang pokok kelapa tanpa pengairan boleh menghasilkan sekitar 2.3L sehari. Jika seorang pekebun itu mempunyai 100 batang pokok, pekebun itu akan untung sebanyak RM2,300 sehari bersamaan dengan RM69,000 sebulan. “Selain produk air nira, gula merah (nissan kerek) juga akan turut dikomersialkan ke pasaran. Gula merah turut menjadi tumpuan orang ramai kerana telah dijadikan bahan alternatif untuk gula putih biasa dan terbukti lebih berkhasiat khususnya untuk yang menghidap penyakit kencing manis (diabetes)," katanya.
07 Jun 22
1364
Terengganu Teraju Langkah Atasi Krisis Makanan
Terengganu Teraju Langkah Atasi Krisis Makanan
MARANG, 7 Jun- Dalam krisis yang mencetuskan keselamatan makanan (food security), diam-diam negeri Terengganu telah berada di landasan terbaik untuk muncul sebagai negeri pengeluar makanan. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Luar Bandarnya, Dr. Azman Ibrahim berkata, sejak sebelum krisis melanda sebenarnya kerajaan negeri telah melaksanakan Pelan Strategik Terengganu 2019-2023 untuk menjadikan negeri pesisir pantai itu sebagai negeri pengeluar makanan. "Sebelum orang lain bercakap tentang 'food security', Terengganu telah bercakap tentang perkara ini dan kita sedang bergerak sebagaimana dirancang. "Sebagai contoh bahan makanan asas kita iaitu beras padi. Pada tahun 2018, penghasilan kita ada sebanyak 43 peratus, tetapi setahun kemudian kita berjaya naik kepada 48 peratus. Manakala, pada tahun 2020 kita meningkat kepada 53 peratus dan tahun lalu, kita berjaya capai penghasilan beras padi pada 55 peratus, cuma kurang satu peratus dari sasaran asal," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Minuman Isotonik Terengganu di Dataran Batu Putih, hari ini. Tambahnya, selain peningkatan hasil daripada pertanian, program memperkaya sumber perikanan turut menampakkan hasil apabila data tangkapan ikan yang direkodkan daripada Januari sehingga April baru-baru ini menunjukkan peningkatan sekitar 10 peratus. "Begitu juga dengan bekalan ayam yang menjadi isu utama ketika ini. bekalan ayam di negeri kita kini adalah sebanyak 64 peratus dan hanya 30 peratus lebih sahaja dibawa dari luar. "Namun, kita berusaha membangunkan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di Telaga Papan, Setiu sebagai Zon Penternakan Unggas dan kita mempelawa pemaju-pemaju untuk melabur dengan infrastruktur asas yang telah tersedia bagi meningkatkan bekalan sedia ada," katanya. Selain itu menurutnya, kerajaan negeri juga sedang berusaha mewujudkan kilang makanan ternakan bagi menyelesaikan masalah sumber makanan ternakan di Bukit Kor, Marang. "Kilang ini akan dibangunkan hasil usahasama anak syarikat kerajaan negeri dan swasta yang mana kita akan memanfaatkan sehingga 80 peratus sumber bahan mentah sedia ada. "Isu peningkatan harga makanan ternakan adalah disebabkan kebergantungan keterlaluan kita kepada bahan mentah yang diimport iaitu di antaranya jagung bijian dan juga kacang soya. "Jadi, jagung bijian akan kita ganti dengan esktrak sisa isi rung kelapa sawit (PKC) dan sumber protein kacang soya pula akan digantikan dengan isi ikan tilapia yang menjadi satu daripada sumber protein di samping kita manfaatkan sumber tempatan," katanya.  
07 Jun 22
929
e-BECA Diperkenal Bantu Tingkat Pendapatan Pengayuh
e-BECA Diperkenal Bantu Tingkat Pendapatan Pengayuh
KUALA TERENGGANU, 2 Jun- Inovasi baharu, e-BECA telah diperkenalkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi meningkatkan pendapatan pengayuh beca dan merancakkan industri pelancongan di Terengganu. Timbalan Menteri MOSTI, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata. transformasi yang pertama di Malaysia itu dilakukan bagi memastikan industri beca di negeri ini tidak akan pupus. "Idea ini datang melalui Pertandingan Inovasi Beca Terengganu 2021 secara dalam talian semasa fasa Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan. "Inovasi ini mampu membantu 20 pengusaha beca yang sudah berusia untuk meneruskan pencarian rezeki mereka dengan menggunakan sistem yang lebih mudah tanpa menggunakan kudrat yang banyak. "Ia menggunakan tenaga solar, dan tidak perlu banyak berkayuh serta boleh bergerak dalam tempoh yang lebih lama sehingga berupaya untuk beroperasi selama 24 jam, selain ia masih mengekalkan ciri-ciri sedia ada,"ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media, selepas merasmikan Majlis Pelancaran e-BECA, di Dataran Syahbandar, di sini, hari ini. Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital 2, Abdul Razak Ibrahim, Timbalan Setiausaha Kerajaan negeri, Anuar Awang, Timbalan Ketua Setiausaha MOSTI, Dr. K. Nagulendran, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Inovasi Malaysia (YIM), Sharmila Mohamed Salleh. Mengulas lanjut inovasi berkenaan katanya ia dihasilkan melalui kerjasama antara YIM, SME Corp, Malaysia dengan disokong oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu, Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT), Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM), Jabatan Pelancongan negeri serta Persatuan Pelancongan Terengganu. "Teksi Terengganu ini selain rekaannya yang moden ia turut dinaiktaraf dengan menggunakan paparan skrin LED bagi penyampaian maklumat dan promosi serta dilengkapi dengan sistem audio yang menarik saya merasa bangga dengan apa yang dibuat oleh 'innovator' tempatan ini. "KIta juga akan turut membincangkan agar bayaran dikenakan nanti adalah berpatutan dan bersesuaian, jika dikenakan pada kadar mahal maka ia tidak akan lagi menarik dalam masa yang sama kita hendak pastikan ia mampu menjana pendapatan yang lumayan kepada golongan B40 serta menarik golongan muda untuk turut menceburi bidang perkhidmatan ini bagi dijadikan sebagai kerjaya," ujarnya. Sementara itu, Pengayuh Beca, Abdullah Mohamad, 64, berkata, inovasi tersebut sangat membantu untuknya terus terbabit dalam perusahaan berkenaan yang telah diceburinya semenjak 40 tahun lalu. "Saya tidak lagi rasa penat sebagaimana sebelum ini, hendak ke sesuatu tempat pun lebih cepat, dimana ia sangat ringan berbanding beca yang saya ada sebelum ini, jadi ini suatu yang sangat baik. "Sangat membantu dari sudut penambahan pendapatan, jika sebelum ini berupaya untuk beroperasi dalam masa yang singkat selepas ini dapat berkerja lebih lama untuk memenuhi kehendak pelancong-pelancong yang datang bertandang ke negeri ini," katanya lagi.
02 Jun 22
804
Pendapatan Suku Pertama TDM Meningkat 40 Peratus
Pendapatan Suku Pertama TDM Meningkat 40 Peratus
KUALA TERENGGANU, 31 Mei - TDM Berhad mengumumkan hasil keputusan kewangan untuk suku pertama tahun ini yang berakhir 31 Mac 2022 adalah memberangsangkan. TDM Berhad dalam satu kenyataan memaklumkan, pendapatan TDM bagi suku pertama tahun ini meningkat sebanyak 40 peratus berbanding suku yang sama sebelum ini hasil daripada pendapatan yang tinggi dijana oleh Bahagian Perladangan (67 peratus) dan Penjagaan Kesihatan syarikat (13 peratus). “Pendapatan yang baik dicatatkan Bahagian Perladangan adalah didorong terutamanya oleh harga purata minyak sawit mentah (CPO) dan isirong sawit (PK) yang lebih tinggi, masing-masing sebanyak 51 peratus dan 83 peratus,” ujar kenyataan tersebut. Sementara itu katanya, pertumbuhan positif daripada Bahagian Penjagaan Kesihatan TDM pula disumbangkan oleh kadar penghunian yang semakin memulih sebanyak 18 peratus dan bilangan pesakit dalam dan pesakit luar yang lebih tinggi masing-masing sebanyak 17 peratus dan 6 peratus.  Menurut kenyataan itu, Kumpulan TDM mencatatkan Keuntungan Sebelum Cukai (PBT) sebanyak RM17.0 juta pada suku tersebut, peningkatan sebanyak RM20.3 juta berbanding Kerugian Sebelum Cukai (LBT) sebanyak RM3.3 juta ketika tempoh yang sama tahun lalu.  “Perolehan Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) syarikat juga meningkat daripada RM23.3 juta kepada RM40.8 juta pada suku ini,” ujarnya.  
31 May 22
553
Dasar Baharu Bakal Realisasikan Terengganu Sebagai Hub Pelaburan
Dasar Baharu Bakal Realisasikan Terengganu Sebagai Hub Pelaburan
KUALA LUMPUR, 28 Mei – Kerajaan negeri merangka satu dasar perindustrian baharu dengan menetapkan sasaran untuk menarik lebih banyak bisnes dengan konsep mesra pelabur, sekali gus menjadikan Terengganu sebagai hub pelaburan menjelang 2030. Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar berkata,  komited membangunkan Terengganu secara mampan melalui pelaburan perindustrian bagi semua sektor dengan perancangan yang lebih teratur dan komprehensif. “Dasar ini bermatlamat untuk membangunkan ekonomi melalui peningkatan Pelaburan Langsung Domestik (DDI) dan Pelaburan Langsung Asing (FDI) di Negeri Terengganu khasnya dalam sektor pembangunan perindustrian. “Kerajaan Negeri bersedia menawarkan ruang dan peluang kepada pelabur dalam pelbagai sektor seperti petrokimia, perkayuan, pembuatan dan pemprosesan.  “Melalui perkembangan dalam sektor perindustrian ini, pihak Kerajaan Negeri yakin ianya dapat meningkatkan ekonomi rakyat di Negeri Terengganu dengan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan,” katanya. Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Perasmian Penutup Bengkel Dasar Pembangunan Pelaburan Perindustrian Negeri Terengganu, di Kuala Lumpur, semalam. Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PMINT, Wan Adnan Wan Derahman dan Timbalan Pengarah (Makro) Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Muhd Wan Masyhum Wan Harujan. Jelas Tengku Hassan, pihak Kerajaan Negeri berharap dengan wujudnya Dasar Pembangunan Pelaburan Perindustrian ini ia akan menjadi asas rujukan dan panduan kepada jabatan-jabatan serta agensi di bawah Kerajaan Negeri untuk mempromosikan tanah-tanah perindustrian kepada pelabur. “Kerajaan Negeri turut memberi penekanan dalam program Pemutihan Kawasan Perindustrian bagi tanah-tanah yang tidak dibangun dan dimajukan di kesemua kawasan perindustrian di seluruh daerah di Negeri Terengganu secara berperingkat. “Kerajaan Negeri juga komited dalam usaha untuk menjadikan Negeri Terengganu sebagai Hub Pelaburan penting di Malaysia menjelang 2030,” katanya lagi.  
27 May 22
489
Koperasi Berperanan Tingkatkan Ekonomi Rakyat
Koperasi Berperanan Tingkatkan Ekonomi Rakyat
KUALA TERENGGANU, 28 Mei - Bermula 1922, gerakan koperasi mula diperkenalkan dan telah memainkan peranan yang amat penting dalam pembangunan ekonomi Negara.  Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato' Yahaya Ali berkata, sebagai usaha mengatasi masalah penindasan oleh orang tengah, koperasi diperkenalkan sebagai organisasi yang berdikari dalam memajukan kehendak sosio-ekonomi anggota-anggotanya. "Sehingga kini, Gerakan Koperasi telah memasuki pelbagai bidang ekonomi dan menjalankan pelbagai fungsi seperti perumahan, pengangkutan, kemajuan tanah, insurans, percetakan dan perkhidmatan bank. "Dimaklumkan bahawa sehingga akhir tahun 2022, sebanyak 773 buah koperasi telah didaftarkan di Terengganu, dengan jumlah keanggotaan berjumlah 246,333 orang, jumlah aset bernilai RM680 juta dan jumlah perniagaan koperasi bernilai RM360 juta. "Jumlah ini didapati meningkat jika dibandingkan pada tahun sebelumnya. Ini menunjukkan sambutan yang baik oleh masyarakat terhadap konsep berkoperasi, lebih-lebih lagi apabila proses penubuhannya yang semakin dipermudahkan," katanya.  Beliau kerkata demikian ketika berucap Merasmikan Majlis Hari Koperasi Negara 2022 Peringkat Negeri Terengganu, Sempena Sambutan 100 Tahun Koperasi yang diadakan di The Payang Scout Hotel (Scout Inn), Teluk Ketapang, Kuala Nerus, kelmarin.  Turut sama hadir dalam majlis tersebut, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi, Datuk Muslimin Yahaya, Naib Pengerusi Eksekutif (Dasar Dan Pembangunan) Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Datuk Umar Sarim Saidin, Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Negeri Terengganu, Encik Mohd Aznan Abdul Aziz, Pengarah Institusi Koperasi Malaysia Zon Timur, Puan Haslinda Sujak dan para tetamu semua. Katanya lagi, Sambutan Hari Koperasi tahun ini yang bertemakan '100 Tahun Gerakan Koperasi Membangun Keluarga Malaysia' mencerminkan bahawa koperasi telah matang dan perlu terus bergerak ke hadapan dengan menggunakan kemahiran untuk menjana peluang-peluang perniagaan. "Tambahan lagi ketika ini, peluang-peluang perniagaan terbuka luas dalam sektor pertanian, ternakan, perkhidmatan dan perindustrian. Jika kita tidak mampu di segi modal, kita bergabung melalui koperasi untuk merebut peluang-peluang tersebut," jelasnya.  
27 May 22
444