Artikel "Ekonomi" Terkini
Boikot Restoran : 'Kerajaan Tak Wajar Salahkan Rakyat'
KUALA TERENGGANU, 24 januari - Rakyat di negeri ini mahu kerajaan Persekutuan bekerja dan tidak hanya bercakap kosong bagi mengurangkan bebanan mereka berkaitan harga barangan.
Gesaan itu timbul selepas mereka tersinggung dengan kenyataan kurang cermat Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang menggesa orang ramai memboikot restoran mahal di saat harga bahan mentah sudah turun.
Pengurus Kedai Makan Nasi Kukus Amaz, Jamilah Said berkata, dakwaan Rafizi itu tidak benar kerana bahan mentah termasuk ayam dan telur masih tidak menunjukkan penurunan harga.
Katanya, sewajarnya kerajaan berfikir dan mencari penyelesaian tuntas berkenaan masalah tersebut, bukan menyalahkan rakyat di bawah.
"Sekarang ini harga makanan tidak dinaikkan lagi, tetapi jika kos bahan mentah terus meningkat macam mana pengusaha kedai makan seperti kami hendak berniaga.
"Tidak berupaya untuk menurunkan harga makanan dalam keadaan sekarang, dalam masa yang sama kena menggajikan enam pekerja lagi," ujarnya.
Dia berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), ketika tinjauan di beberapa kedai makan, di sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus, hari ini.
Sementara iti, menurut Pengusaha Kedai Makan Nasi Padang di Kuala Nerus, Mohd Yusof Ghazali, jika harga bekalan dan bahan mentah terus naik kenaikkan harga makanan tidak dapat dielakkan.
Katanya, gesaan memboikot kedai makan yang tidak menurunkan harga sangat tidak relevan.
"Sepatutnya bukan kita yang kena berfikir bagaimana hendak menurunkan harga makanan, tapi itu tanggungjawab kerajaan perlu fikirkan bagaimana mencari jalan bagi memastikan bekalan bahan mentah supaya harga dapat distabilkan serta tidak berlaku kenaikkan.
"Bila selalu naik macama mana kami hendak berniaga, dengan menyediakan harga yang berpatutan kepada pelanggan, 'sakitlah'," ujarnya.
Sementara itu, peniaga kedai runcit serta barang basah dan sayuran, Nur Dalilah Diyana Azmi, mengakui tidak faham dengan sikap pembekal dalam menentukan harga barang.
"Kalau hendak diikutkan, 'orang tengah' ini yang meletakkan harga tinggi, yang saya sendiri tidak faham, adakah disebabkan cukai atau faktor lain yang mengakibatkan harga barang itu menjadi tinggi.
"Betul harga barang ini naik secara tidak menentu, kita ambil contoh limau nipis misalnya mana ada dah yang dijual secara tompok sebagaimana dahulu, sekarang semua kena timbang jika sebelum ini dijual secara runcit dengan harga RM3.00 atau RM4.00 sekarang mencecah kepada RM9.00 ke RM12.00, begitu juga dengan harga-harga sayuran lain, ikan, ayam, telur.
"Dahulu saya menjadi pembekal juga kepada peniaga-peniaga kecil di tepi jalan, sekarang ini saya tidak mampu jual dengan harga borong dengan keadaan sekarang, tambahan pula peniaga runcit sering dipantau tidak boleh meletakkan harga sewenang-wenangnya sedangkan kami dibekalkan dengan harga yang begitu tinggi, beli barang pun dalam kuantiti sedikit mengharapkan pembekal," luahnya.
Dalam pada itu pelanggan kedai makan, Mohd Faris Nurul Huda berpandangan, geasan memboikot kedai makan sangat tidak relevan dalam keadaan ramai peniaga mendapatkan bahan mentah pada harga mahal.
"Sebaliknya, saya rasa kerajaan perlu ambil inisiatif mengawal harga bahan mentah serta menurunkan harga, dengan cara memboikot tidak mampu meningkatkan ekonomi rakyat, apatah lagi kedai makan tetap menjadi pilihan rakyat,"ujarnya.
24 Jan 23
685
RM14.5 Juta Bagi Projek Rumah PPTS Marang
MARANG, 17 Januari- Kerajaan negeri telah membelanjakan RM14.5 juta sejak tahun 2018 sehingga 2022 bagi pembinaan Projek Perumahan Terengganu Sejahtera (PPTS) dan baik pulih rumah di daerah Marang.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, jumlah tersebut melibatkan sebanyak 67 buah rumah PPTS dibina baharu di empat Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam parlimen Marang.
"Selain daripada Rumah Mampu Milik (RMM) yang telah dibina kerajaan negeri, PPTS ini juga sebenarnya termasuk sebahagian daripada manifesto yang dijanjikan dan ia telah dibina di seluruh DUN di Negeri Terengganu.
Ahmad Samsuri menandatangani plak penyerahan di rumah yang diterima Nurhayana Ismail (kiri).
"Pada kerajaan dan saya sendiri, saya merasakan ini adalah antara usaha kita memastikan bahawa rakyat yang memerlukan dapat memiliki rumah sebagai tempat mereka berteduh bersama anggota keluarga masing-masing," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas menyampaikan PPTS kepada lapan penerima di Kampung Alur Tuman, di sini hari ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang itu turut memberi jaminan bahawa usaha tersebut akan dilakukan secara berterusan.
"Kita juga sentiasa perhatikan dari masa ke masa kepada mereka yang memerlukan dan insya-Allah, PPTS ini akan terus dilaksanakan untuk keperluan rakyat seluruhnya," katanya.
Berdasarkan rekod, sebanyak 15 buah rumah PPTS telah dibina di DUN Rhu Rendang dengan kos sebuah rumah sebanyak RM56,000. Selain itu, DUN Bukit Payung merekodkan pembinaan 19 buah PPTS, Alor Limbat sebanyak tujuh buah dan 26 buah di DUN Pengkalan Berangan.
17 Jan 23
1029
Peruntukan RM40,000 Naik Taraf Kampung Tiong
KUALA TERENGGANU, 11 Januari – Peruntukan sebanyak RM40,000 disalur bagi menaik taraf dan penambahbaikan Kampung Tiong.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata Kampung Tiong sentiasa menjadi tumpuan para pelancong dalam dan luar negeri ketika berkunjung ke Kuala Terengganu.
Katanya, penambahbaikan itu akan memberi keselesaan buat para pengunjung dengan pemandangan indah dan lebih kondusif.
“Yang pertama adalah projek menaik taraf serta mencantikkan kawasan penjaja pasar tani.
“Kedua iaitu kerja-kerja mengecat, menyelenggara serta menceriakan bangunan medan selera pasar pagi deretan kawasan penjaja,” jelasnya.
Beliau berkata demikian melalui satu kenyataan dalam laman Facebook Miliknya pada hari ini.
Turut hadir dalam tinjauan tersebut, Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu bagi hal ehwal bukan Islam, Dr Balachandran Gopal Krishnan.
Tambah Amzad, Kerja-kerja yang akan dilakukan adalah seperti membaiki bumbung yang uzur, membaiki longkang serta penutup yang rosak.
Di samping, membaiki lantai, tapak gajah dan penghadang jalan, dan menambah tong sampah juga turut dilakukan.
“Semoga usaha ini akan berjaya menjadikan Kampung Tiong lebih indah serta menarik lebih ramai lagi pelancong untuk datang ke Kuala Terengganu.
“Secara tidak langsung akan merancakkan ekonomi di kawasan sekitarnya,” katanya.
11 Jan 23
705
Usahawan Makanan ‘Frozen’ Teruja Terima Peti Sejuk Beku
KUALA TERENGGANU, 10 Januari – Seorang usahawan makanan sejuk beku berasa teruja apabila menerima bantuan peti sejuk beku melalui insentif Dana PUTERA oleh Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU).
Nur Amalina Nadirah Mohamad, 28, merupakan salah seorang daripada 51 orang penerima dana bantuan tersebut dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk.
“Saya rasa macam tidak percaya dapat peti ini pada hari ini sebab saya memang memerlukannya.
Nur Amalina (dua dari kanan) sedang menunjukkan antara produk yang dijual
“Sebelum ini saya tidak dapat buat produk dengan banyak sebab tidak cukup ruang untuk menyimpan dan kekurangan tenaga kerja.
“Alhamdulillah, dengan sumbangan ini akan dapat membantu untuk meningkatkan lagi penghasilan produk saya,” kata Nur Amalina ketika ditemui pemberita.
Peti sejuk beku itu telah diserahkan oleh isteri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Dr. Farhaana Husainy Hasbullah kepada beliau di premis jualannya di Kg. Kubang Ikan, hari ini.
Selain itu, beliau juga memaklumkan sambutan terhadap perniagaan beliau sangat baik.
“Perniagaan ini telah dimulakan sejak tahun 2016 dan alhamdulillah setakat ini sentiasa ada pelanggan yang membuat tempahan untuk mendapatkan produk saya.
“Selain jualan secara atas talian dan di kedai ini, saya juga ada hantar di beberapa pasaraya di sekitar kawasan ini,” tambah beliau lagi.
Antara produk yang dijual ialah popiah satar, karipap, samosa dan lain-lain lagi.
“Harapan saya agar dapat memperluaskan lagi pasaran produk ini pada masa akan datang,” katanya.
Beliau juga berharap agar produknya dapat menjadi antara makanan yang di cari oleh pelancong yang datang ke Terengganu suatu hari nanti.
10 Jan 23
878
331 Nelayan Terima Bantuan Musim Tengkujuh
KUALA NERUS, 3 Januari – Ekoran tidak dapat ke laut musim tengkujuh, seramai 331 nelayan terima Bantuan Khas (Nelayan) Dewan Undangan Negeri Seberang Takir.
Bantuan berupa wang tunai serta barangan keperluan harian disampaikan dalam satu majlis di sini.
Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri Seberang Takir, Mohd Fazil Wahab dalam ucapannya berkata, setiap tahun menjelang musim tengkujuh pihaknya akan mengenalpasti nelayan-nelayan yang terjejas kerana tidak dapat turun ke laut.
“Sebut sahaja Seberang Takir, pasti kita ingat para nelayan, sinonim dengan nelayan-nelayan, tambahan pula musim ini mereka tidak dapat turun menangkap ikan dan mencari pendapatan,
“Seperti tahun-tahun sebelumnya, bile tiba musim tengkujuh, kerajaan akan mengenalpasti mereka yang terjejas dan mereka mestilah nelayan sepenuh masa dan bukan nelayan ‘part time’," jelasnya ketika dihubungi media.
Dalam pada itu, seorang penerima Mohd Zorni Md. Ali ketika ditemui selepas majlis berkata, beliau tidak turun ke laut sejak bulan November lagi.
“Waktu ini bahaya bagi bot kecil. Dijangka bulan Mac pula nelayan akan turn ke laut, buat masa ini duduk rehat lah di rumah dulu," ujarnya.
Seorang lagi, Ali Tawan menzahirkan ribuan terima kasih atas bantuan yang diberikan oleh kerajaan negeri.
“Bantuan hari ini Alhamdulillah sedikit sebanyak boleh menampung bebanan sehingga musim kembali seperti biasa nanti.
“Saya dan anak masing-masing mencari rezeki dengan turun ke laut, musim ini sedikit sukar lah," katanya.
Turut hadir, Ahli Parlimen Kuala Nerus Dato’ Dr. Haji Alias Razak.
03 Jan 23
283
AMCT 2022 Tarik Penyertaan Antarabangsa
HULU TERENGGANU, 3 Disember - Asean Monsoon Casting Tournament 2022 (AMCT 2022) menarik tumpuan antarabangsa apabila menerima penyertaan 14 peserta dari Amerika Syarikat, Thailand (18 peserta), Singapura (3 peserta) dan beberapa penyertaan dari Lithuania untuk saingan kali ini.
Program selama tiga hari bermula hari ini, menghimpunkan 433 peminat sukan memancing melibatkan gerombolan 24 buah rumah bot (houseboat) dan 60 kayak.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Sulaiman Sulong berkata, sejak diperkenalkan pada tahun 2009, aktiviti tahunan itu bukan sahaja menonjolkan imej Tasik Kenyir ke persada dunia melalui penyertaan antarabangsa.
"Program ini kita harapkan menjadi mercu tanda aktiviti sukan memancing di peringkat tasik.
"Penyertaan melibatkan peminat sukan memancing tempatan dan antarabangsa, kita rasa satu sambutan yang cukup dalam mempromosikan Terengganu dan Tasik Kenyir itu sendiri," katanya ketika ditemui selepas merasmikan pelepasan peserta AMCT 2022 di jeti Pulau Poh, hari ini.
Jelasnya, dengan kerjasama yang erat daripada tourism Malaysia dan Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT), penganjuran tersebut memberi banyak manfaat terutama kepada pengusaha rumah bot, pemandu bot dan penduduk setempat.
Turut hadir Pengarah Perikanan Terengganu, Ruzaidi Mamat.
AMCT 2022 mempertandingkan empat kategori iaitu King of Sebarau, King of Toman, King of Special dan Best of Barra.
Berkonsepkan tangkap dan lepas, program berkenaan mampu memupuk kesedaran awam terutama peminat aktiviti memancing dalam usaha pemuliharaan dan pemeliharaan ekosistem serta biologi marin Tasik Kenyir.
Bersempena AMCT 2022, sebanyak 10,000 anak ikan lampam hasil sumbangan Jabatan Perikanan Terengganu turut dilepaskan sebagai usaha menggalakkan pemancing meraih kemenangan.
Berdasarkan rekod, sejumlah 500,000 anak benih ikan spesies eksotik tempatan asli termasuk Temoleh, Lampam, Kelah, Jelawat, Kerandang dan Sebarau telah dilepaskan penganjur di setiap penganjuran AMCT bermula 2015 hingga 2021.
03 Dec 22
554
Terengganu Nikmati Impak Ekonomi Pelancongan Sukan
KUALA TERENGGANU, 22 November - Kejohanan Sukan Gabungan Agensi-agensi Amanah Bumiputera & Perusahaan- Perusahaan Awam Malaysia (Gemaputra) yang akan membuka tirai perlawanan esok dijangkakan turut memberi impak kepada industri pelancongan negeri secara berterusan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) baru-baru ini.
YDP Gemaputra Malaysia merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PMINT, Wan Adnan Wan Derahman berkata, dijangkakan seramai 1,200 orang atlet melibatkan 14 Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN) akan berkampung di Kuala Terengganu sepanjang kejohanan berlangsung bermula hari ini hingga 26 November.
"Ini tidak termasuk keluarga mereka yang turut hadir memeriahkan lagi suasana.
"Bukan hanya semata-mata sukan, yang kita lihat kehadiran mereka akan memeriahkan tempat-tempat pelancongan di Terengganu.
"Saya dimaklumkan hotel-hotel di sini pada masa ini penuh ditempah kontinjen yang hadir," katanya.
Tambahnya, PMINT sendiri bakal merasai pengalaman berbeza dengan penganjuran kejohanan kali ini.
"Kali terakhir kita menjadi tuan rumah adalah pada tahun 1996 dengan mempertandingkan 15 acara, tetapi saya rasakan pengalaman kali ini berbeza.
"Saya harap sepanjang program, jawatankuasa dilantik dapat melaksanakan tugas dengan baik. Dengan cuaca semasa yang baik, harapnya kita dapat menyediakan program terbaik," katanya.
Antara hotel-hotel yang terlibat sebagai penginapan kontinjen itu adalah hotel patuh syariah Terengganu iaitu Paya Bunga Hotel, Grand Puteri, Tanjung Vista, Grand Continental, Sri Malaysia, YT Midtown dan Hotel Quinara.
21 Nov 22
180
PRU15: Calon PN Pengundi Pertama Bukit Tunggal
KUALA NERUS, 19 November - Calon Perikatan Nasional (PN) bagi parlimen Kuala Nerus, Dato'Dr Alias Razak menjadi orang pertama membuang undi di pusat pengundian Daerah Mengundi Sekolah Kebangsaan Bukit Tunggal (SKBT) pada 8.05 pagi, hari ini.
Beliau yang hadir bersama isterinya, To' Puan Fatimah Omar, tiba di SKBT pada jam 7.50 pagi dibenarkan masuk oleh petugas sebaik pengundian dibuka pada jam 8.00 pagi.
Dr. Alias ketika ditemui selepas mengundi di hadapan SKBT berharap, penduduk Kuala Nerus dapat turun beramai-ramai menunaikan tanggungjawab mengundi untuk kebaikan negara.
"Alhamdulillah, kita diizinkan menerima cuaca yang baik hari ini dan ini memberi kemudahan bagi penduduk di Terengganu amnya dan Kuala Nerus khususnya untuk hadir ke pusat pengundian.
"Saya berharap, kita mendapat peratusan tinggi keluar mengundi di seluruh negara terutama di Terengganu dalam usaha kita bersama memilih kepimpinan terbaik untuk menerajui negara," katanya.
Bagi parlimen Kuala Nerus, seramai 104,345 pemilih berdaftar dijangka hadir membuang undi hari ini, melibatkan 40 pusat mengundi.
Dalam pada itu, calon dari Barisan Nasional (BN), Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali membuang undi di Sekolah Menengah Kebangsaan Kompleks Seberang Takir pada jam 10.30 pagi.
19 Nov 22
649
Agihan Pendapatan ASDI Meningkat 10 Peratus
KUALA TERENGGANU, 2 November - Tabung Amanah Saham Darul Iman (ASDI) membuat agihan pendapatan dalam bentuk tunai sebanyak 1.10 sen seunit kepada 20,304 pelabur bagi tahun kewangan berakhir 31 Okt 2022.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan, agihan berkenaan menunjukkan peningkatan pengagihan sebanyak 10 peratus berbanding tahun lepas iaitu pengagihan tunai pada kadar 1.0 sen seunit.
Ujar kenyataan itu, pengagihan tersebut adalah berdasarkan jumlah pendapatan yang direalisasikan (sehingga 30 Okt 2022) sebanyak RM5.427 berbanding RM4.92 juta bagi tempoh yang sama tahun lalu.
"Komitmen ASDI meneruskan pengagihan pendapatan bagi tahun kewangan ini adalah selari dengan objektif pelaburan tabung iaitu untuk memberikan pulangan yang munasabah dan berterusan kepada pemegang-pemegang unit.
"Agihan pendapatan dalam bentuk tunai ini akan dibuat berdasarkan pemegang-pemegang unit yang berdaftar pada 31 Okt 2022 dan akan dilaksanakan pada bulan Dis 2022," jelas kenyataan itu.
Serdasarkan rekod, sepanjang tempoh penubuhannya sejak 1994, ASDI telah membuat agihan pendapatan berjumlah 87.10 sen (75.50 sen agihan tunai dan 11.60 sen agihan unit) kepada semua pemegang unit. Ini menjadikan purata agihan pendapatan setahun ialah 3.23 sen seunit.
Sebagai sebuah tabung unit amanah yang berteraskan syariah, ASDI memiliki 500 juta unit. Sehingga Okt 2022, kedudukan jumlah langganan unit ialah 487.546 juta unit dengan jumlah pelabur seramai 20,304 pelabur. Jumlah baki unit yang masih boleh dilanggan adalah sebanyak 12.45 juta unit.
02 Nov 22
423
Duyong Marina Dapat Pengiktirafan Empat Bintang
KUALA TERENGGANU, 30 Oktober - Resort milik kerajaan negeri, Duyong Marina & Resort (DMR) menerima pengiktirafan empat bintang daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).
Pengurus besarnya, Wan Mohd Faizul Wan Abas berkata, sebelum ini pengiktirafan tersebut tidak pernah dipohon dan diterima.
Katanya, DMR kini dalam proses dinaik taraf termasuk dalam sektor patuh syariah sepenuhnya dalam semua aspek.
"Ketika mula-mula diamanahkan saya melihat semua aspek termasuk pengurusannya dari segi pemakaian, pergaulan antara kakitangan dan disenaraikan semua aspek, bagi mewujudkan suasana islamik,kita ada pegawai syariah yang memantau keseluruhan operasi.
"Dari sudut pengurusan dahulu ada perempuan yang terlibat dalam 'manager of duty' sekrang ini kita telah tidak membenarkannya kerana pada kebiasaan tugasan yang dilakukan adalah bersendirian pada waktu malam dan kini hanya ditugaskan pada lelaki sahaja.
"Dari sudut pemakanan kita telah dapat sijil halal membabitkan tempat menyediakan makanan dan juga bahan-bahan yang digunakan,"ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas hadir menyerahkan bayaran zakat kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) Terengganu berjumlah RM42,159.65, di Pejabat MAIDAM di sini, baru-baru ini.
Tambah Wan Mohd Faizul, dalam memastikan hotel berkenaan patuh syariah, pelan induk pembangunan DMR akan dilaksanakan.
"Kita berhasrat mewujudkan kolam tertutup sebagaimana di Raia Hotel & Convention Centre Terengganu, ini melibatkan kos yang besar jadi ini disenaraikan dalam pelan induk pembangunan dan tidak boleh dilakukan sekarang cuma yang mampu dibuat adalah menentukan masa berbeza antara lelaki dan perempuan," katanya.
Ujarnya, setiap urusan melibatkan penyewaan lot diperhalusi dan menggunakan penyewaan terma Islamik dan dibincangkan dengan peguam untuk mewujudkan perjanjian yang tida ada unsur riba.
Mengenai perolehan pendapatan pada tahun ini, beliau yakin akan berlaku peningkatan berbanding tahun lepas.
"Sehingga September kita berjaya perolehi RM8 juta, dan untuk mencapai sasaran pendapatan RM12 juta pula agak mustahil dalam tempoh yang berbaki ini. Pendapatan banyak diperolehi daripada majlis dan 'event' yang dibuat merangkumi 60 peratus, kini kita memiliki 147 kakitangan," katanya.
Dalam pada itu menurutnya, kerja-kerja pengubahsuaian DMR telah bermula pada 1 Ogos baru-baru dan dijangka siap lebih awal daripada tarikh sebenar.
30 Oct 22
349