lightning-solid
Berita :

Artikel "Ekonomi" Terkini

'Sasaran Defisit Fiskal Bajet 2023 Sukar Dicapai'
'Sasaran Defisit Fiskal Bajet 2023 Sukar Dicapai'
KUALA TERENGGANU, 1 Mac- Sasaran kerajaan Persekutuan untuk mengurangkan defisit fiskal daripada 5.6 kepada 3.2 dalam tempoh dua tahun sebagaimana dibentangkan dalam Bajet 2023 oleh Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan, Dato Sri Anwar Ibrahim dilihat terlalu optimis dan sukar untuk dicapai. Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar ketika ditanya tentang Bajet 2023 itu menyifatkan, ada perkara yang perlu difikirkan secara realistik atau tidak sebelum dibentangkan. "Bajet yang telah dibentangkan ada yang positif, ini kita sokong. Antaranya ialah kenaikan cukai kepada golongan berpendapatan tinggi, insentif kepada golongan B20 dan M40 yang dijadikan fokus, cukai barang mewah serta beberapa perkara lain. "Dalam masa sama, ada antara yang dibentangkan agak optimis dan kadangkala kita perlu memikirkan samada ia realisitik atau tidak. Defisit fiskal ini memberi gambaran tentang hasil (revenue) kerajaan berbanding belanja mengurus dan belanja pembangunan, pengurangan itu bermakna peningkatan hasil bagi kerajaan dan juga bermakna pengurangan belanja mengurus dan pembangunan. "Dalam tahun 2023 ini, pakar-pakar ekonomi antarabangsa menjangkakan cabaran lebih hebat berbanding tahun lalu. Tahun lalu kita berdepan kesan geo-politik akibat perang Rusia-Ukraine. Dalam tempoh dua minggu ini, kita dapat lihat berlaku ketegangan kuasa-kuasa besar seperti Amerika, China bahkan India juga membuat keputusan yang berbeza daripada Eropah dalam beberapa perkara untuk mendapatkan tenaga daripada Rusia, menandakan cabaran geo politik tahun ini lebih besar. "Dalam keadaan demikian, bagaimana untuk kita meningkatkan hasil kerajaan atau mengurangkan defisit fiskal ini?," katanya ketika ditemui pemberita di Setiu, baru-baru ini. Tambahnya, cara paling mudah bagi sebuah kerajaan untuk menjayakan sasaran berkenaan ialah melalui tiga perkara. "Pertama adalah dengan melaksanakan pinjaman di luar negara dalam skala besar untuk meneruskan belanja mengurus. Kedua, bagi negara seperti Amerika Syarikat adalah dengan mencetak lebih banyak dolar. "Ketiga, ialah dengan meningkatkan cukai. Sekiranya, tahun mendatang ini berlaku peningkatan cukai terutama yang melibatkan kesan berantai kepada rakyat, saya rasa ini merupakan cabaran. "Sebab itulah jangkaan pihak kerajaan bahawa pengurangan defisit fiskal itu sangat optimis dan sangat mencabar untuk dicapai," katanya.
01 Mar 23
326
Anak Syarikat Terengganu Rekod Pendapatan Tertinggi Sepanjang Masa
Anak Syarikat Terengganu Rekod Pendapatan Tertinggi Sepanjang Masa
KUALA TERENGGANU, 28 Februari - Anak Syarikat Kerajaan Terengganu, TDM Berhad melakar sejarah apabila merekodkan pendapatan tertinggi syarikat sejak 1995. TDM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, kewangan syarikat yang berakhir pada 31 Disember 2022 mencatatkan pendapatan sebanyak RM614.2 juta. Jelas kenyataan itu, ia meningkat 20 peratus berbanding tahun sebelumnya, RM511.6 juta. "Pendapatan Bahagian Perladangan meningkat sebanyak 17 peratus kepada RM335.4 juta. "Manakala hasil daripada bahagian Penjagaan Kesihatan pula meningkat sebanyak 24 peratus kepada paras tertinggi sepanjang masa iaitu RM278.7 juta," ujar TDM. Mengulas lanjut, TDM berkata walaupun mengalami penurunan pendapatan sebanyak lima peratus bagi suku keempat 2022, ia tidak menjejaskan kenaikan pendapatan keseluruhan. "Bahagian Perladangan merekodkan pendapatan sebanyak RM78.5 juta, menyusut sebanyak 24 peratus berbanding tahun lepas. "Walau bagaimanapun, ini diimbangi dengan pertumbuhan hasil bahagian penjagaan kesihatan sebanyak 28 peratus yang berjumlah RM79.3 juta daripada RM61.9 juta sebelumnya," kata kenyataan itu. TDM juga aktif dalam bidang penajaan sukan apabila menjadi penaja pasukan TSG. Sementara itu, Pengarah Eksekutif TDM Najman Kamaruddin teruja dengan kemajuan yang dicapai oleh bahagian penjagaan kesihatan. "Matlamat kami untuk menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang terkemuka dan kos efektif kepada masyarakat kekal teguh dan dalam pada waktu yang sama. "Kami akan terus berusaha untuk mengembangkan penawaran serta meningkatkan kualiti perkhidmatan kami," tambah beliau.
28 Feb 23
1836
Beli Tenaga Solar, MBKT Jimat 30 Peratus
Beli Tenaga Solar, MBKT Jimat 30 Peratus
KUALA TERENGGANU, 27 Februari - Pembelian tenaga solar bakal memberikan penjimatan sehingga 30 peratus kepada kos operasi Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT). Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Wan Sukairi Wan Abdullah selaku pengerusi ahli lembaga pengarah Tesdec Berhad, berkata melalui usahasama perjanjian tersebut memberikan ruang MBKT menawarkan perkhidmatan lebih baik dengan kekuatan kewangan lebih besar. "Untuk makluman, dengan penggunaan sistem tenaga solar ini kita dapat menjimatkan sekitar 30 peratus dari segi kos elektrik secara amnya. Sepertimana yang saya maklumkan, antara agensi yang mengalami kesusutan pendapatan kerana pelaksanaan manifesto pelupusan cukai kediaman ialah MBKT yang mengurangkan pendapatan mereka. "Dalam perjanjian ini, Tesdec Green Energy Sdn Bhd (TGESB), sebuah anak syarikat Tesdec Berhad sebagai pelaksana, akan membekalkan tenaga solar kepada tujuh fasiliti milik MBKT yang mana dua daripadanya telah disiapkan sepenuhnya dan beroperasi iaitu di Pasar Kedai Buloh dan Pasar Batu Enam. "Jadi, ada lima lagi fasiliti yang sedang diuruskan iaitu Pasar Payang 2, Pusat Akuatik di Batu Buruk, Stesen bas MBKT, parkir Pasar Payang dan Pasar Bukit Besar dengan keseluruhan nilai perjanjian sebanyak RM2.8 juta," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Menandatangani Perjanjian Pembelian Tenaga Solar antara MBKT dan TGESB di pejabat MBKT, hari ini. Perjanjian pemberlian berkenaan ditandatangani tiga wakil MBKT diketuai Dato’ Bandar MBKT; Rosli Latif, Setiausaha MBKT; Mohd Sukeri Ibrahim dan Wakil Ahli Majlis Bandaraya Kuala Terengganu; Haji Wan Mokhtar @ W. Moxtor Wan Kadir, serta wakil dari TGESB iaitu Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah TGESB; Shukrimun Bin Shamsudin, Pengarah Eksekutif TGESB; Dr. Zakiyah Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif TESDEC Berhad; Mohd Iskandar Muhammad Aziz. Beliau menambah, sekiranya projek berkenaan berjalan dengan baik dan memberi impak besar kepada MBKT, ia akan turut diperluaskan ke tempat-tempat lain. Dalam pada itu, Rosli turut memaklumkan, dengan penjimatan yang bakal diterima MBKT, dapat dimanfaatkan kepada projek-projek lain di Kuala Terengganu. "Penjimatan sebanyak 30 peratus itu besar bagi kita. Ia boleh digunakan kembali untuk manfaat rakyat kita dan itulah yang akan dipulangkan menerusi perkhidmatan yang ditawarkan dalam operasi kita. "Kita tidak boleh bergantung kepada kerajaan negeri semata-mata. Kos operasi MBKT memerlukan RM5.5 juta hingga RM6 juta untuk perbelanjaan bulanan. Maka, kita menyasarkan pendapatan sehingga RM100 juta bagi tahun 2023, mengikut akta dan undang-undang sedia ada untuk meningkatkan perkhidmatan kita dan ini antara inisiatif yang diusahakan" katanya.    
27 Feb 23
418
Kerajaan Terengganu Tuntut DKKP Diteruskan
Kerajaan Terengganu Tuntut DKKP Diteruskan
KUALA TERENGGANU, 26 Februari - Kerajaan Terengganu menyeru Kerajaan Persekutuan supaya meneruskan Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) sebagaimana amalan biasa pada tahun-tahun sebelum ini. Ketika ditanya sama ada ucapan Bajet 2023 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini, menandakan hak royalti Terengganu bakal dinafikan, Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata ia akan diperhalusi selepas ini. "Saya lihat itu dua perkara berbeza kerana apa yang dibayar kepada Terengganu sebelum ini disebut DKKP, soalnya sama ada ia sama seperti royalti atau tidak itu adalah perkara yang akan kita terokai pada fasa berikutnya. "Apa yang disebut oleh Menteri Undang-undang, Dato' Sri Azalina Othman Said, itu adalah royalti dan ia juga pernah disebut oleh Menteri Kewangan sebelum ini (Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz) pada tahun 2021. "Termanya seperti itu, apa yang dihantar kepada kerajaan negeri selama ini seingat saya mereka memang tidak pernah menyebut royalti, sebaliknya DKKP. "Jadi, bagi kerajaan Terengganu pada saat ini,  DKKP ini wajar diteruskan sebagaimana amalan biasa. Soal dari peruntukan mana, itu kita akan nantikan perbincangan selanjutnya dengan Kementerian Kewangan," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan penutup Karnival Gedung Pengeluaran Makanan Terengganu (GPMT) di Sungai Tarom, Setiu semalam. Beliau turut meluahkan kekecewaan terhadap beberapa keputusan kerajaan Persekutuan yang diputuskan tanpa libat urus kerajaan negeri.  "Yang agak mengejutkan kita semua apabila kerajaan persekutuan telah membentangkan satu perkara dengan tidak dilibat urus kerajaan negeri.  "Perkara ini jika tidak melalui libat urus atau perbincangan lebih awal dengan kerajaan negeri, terutama dalam keadaan tahun 2023 adalah tahun yang telah berlaku pelaksanaan bagi negeri-negeri yang berkenaan seperti Terengganu, berbanding Sabah dan Sarawak yang telah diberi gambaran telah dilibat urus dalam teks ucapan belanjawan itu, menyebabkan adanya kecanggungan. "Sebab itu pada saya, antara perkara yang penting dalam melaksanakan bajet yang efisien adalah dengan menghormati konsep federalisme dan melakukan reformasi ke arah lebih positif untuk meningkatkan hubungan antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri. "Jadi, banyak perkara yang boleh kita capai dengan cara libat urus, perbincangan dua hala antara kedua-dua pihak yang mana banyak perkara sebenarnya ada dibawah kerajaan negeri, ada juga dibawah kerajaan persekutuan dan ada di bawah kuasa bersama sebagaimana diperuntukkan dalam pelembagaan," katanya.    
26 Feb 23
1359
Nelayan Terengganu Terima Berita Gembira
Nelayan Terengganu Terima Berita Gembira
SETIU, 26 Februari - Kira-kira 2,000 nelayan di Terengganu menerima berita gembira apabila kerajaan negeri mengumumkan akan menanggung kos pembaharuan lesen bagi nelayan sampan kecil di negeri itu. Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, ketika mengumumkan perkara itu menyifatkan pemberian itu sebagai satu usaha untuk membantu golongan nelayan sampan kecil. "Setiap tahun, mereka harus membayar lesen. Bagi tahun, kita memberi insentif pengecualian bagi membayar kos itu. "Ini bukan kali pertama, kita pernah melaksanakan insentif ini pada tahun 2019 sebelum ini. "Biarlah para nelayan sampan kecil ini fokus kepada gerak kerja mereka," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan penutupan Karnival Gedung Pengeluaran Makanan Terengganu (GPMT) di Sungai Tarom, semalam. Karnival selama tiga hari itu adalah simbolik usaha kerajaan negeri untuk menjadikan Setiu sebagai gedung pengeluaran makanan bagi negeri berkenaan. "Ini bukan slogan semata-mata tetapi mengandungi tempoh pelaksanaan dan pelan strategik yang akan dilaksanakan," katanya.
26 Feb 23
2276
'MB Terengganu Ada Bakat Terpendam' - Menteri
'MB Terengganu Ada Bakat Terpendam' - Menteri
KUALA TERENGGANU, 14 Februari - Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mendedahkan Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mempunyai bakat terpendam dalam bidang perkayuan dan seni. Tengku Zafrul berkata, ketika beliau dalam lawatan kerja di kediaman rasmi Ahmad Samsuri, Ahli Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang itu telah menunjukkan perabot yang dihasilkannya daripada barang terbuang. "Saya baru tahu Menteri Besar Terengganu ini sebenarnya ada bakat terpendam. "Kamu semua boleh tengok sendiri perabot yang beliau hasilkan daripada kayu terbuang dan pelbagai bahan lain.  "Bukan setakat perabot, lukisan pun ada. Kalau Dato’ Seri jual kerja tangan ini, mesti ramai nak beli," ujar beliau teruja di Facebook rasminya sebentar tadi. Terdahulu, Tengku Zafrul memaklumkan beliau berada di Terengganu bagi meneruskan lawatan ke industri-industri tempatan.  Katanya, lawatan dimulakan dengan kunjungan hormat ke Seri Setia, kediaman rasmi Ahmad Samsuri. "Kami telah membincangkan tentang hala tuju pembangunan industri tempatan bagi merancakkan sektor pelaburan di Terengganu," katanya.  
14 Feb 23
2102
Terengganu Mahu Luaskan Penjanaan Hasil Minyak
Terengganu Mahu Luaskan Penjanaan Hasil Minyak
KUALA LUMPUR, 8 Februari - Kerajaan Terengganu berhasrat untuk meluaskan penjanaan hasil berkaitan minyak dan gas demi kesejahteraan rakyat di negeri terbabit. Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, langkah berkenaan bakal diambil bagi menambah hasil dan pendapatan negeri. Katanya, ia juga bagi mengelakkan Terengganu hanya bergantung kepada wang royalti semata-mata. "Selain kebergantungan negeri ini kepada royalti minyak, kita juga ingin meluaskan lagi penjanaan hasil berkaitan industri minyak dan gas," katanya. Beliau berkata demikian selepas mesyuarat bersama ahli Majlis Petroleum Terengganu (TPC) di The Majestic Hotel, Kuala Lumpur hari ini. Tambah Ahmad Samsuri, mesyuarat berkenaan turut membincangkan pelbagai perkara bagi mencari formula terbaik demi menjayakan misi itu.
08 Feb 23
530
Projek Hakisan Pantai RM73.5 Juta Beri Perlindungan Jangka Panjang
Projek Hakisan Pantai RM73.5 Juta Beri Perlindungan Jangka Panjang
KUALA NERUS, 30 Januari – Projek Pengawalan Hakisan Pantai yang bernilai RM73.5 Juta di Pantai Tok Jembal di sini memberi perlindungan jangka panjang. Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Tuan Nik Nazmi Nik Ahmad berkata ia juga memberi manfaat kepada penduduk dan para nelayan di kawasan ini. “Projek di bawah Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) itu telah dimulakan sejak 2010, siap sepenuhnya pada 24 Julai 2019. “Projek itu dilaksanakan susulan keadaan pantai yang mengalami hakisan terutama ketika musim Monsun Timur Laut dan terdedah kepada ombak kuat dengan ketinggian maksimum sehingga tiga (3) meter sekitar November hingga Mac. Beliau berkata demikian ketika Lawatan kerja YB Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim di Tapak Projek Perlindungan Hakisan bertempat di Pantai Tok Jembal, Kuala Terengganu. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak dan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh. Tambah Nik Nazmi, hakisan semakin kritikal selepas tahun 2010 berikutan terdapat pembangunan dan penebusgunaan tanah pesisir pantai dengan kehilangan kawasan pantai selebar 60m setiap tahun. Justeru, kementerian mengambil langkah segera bagi mengawal dan melindungi pengunduran garis pantai daripada terus terhakis. “Usaha ini juga merupakan salah satu projek jangka panjang yang memberi manfaat kepada kawasan sekitar yang terjejas teruk iaitu Kampung Tok Jembal, Kampung Tanjung Gelam dan Kampung Kubang Badak,” ujarnya.  
30 Jan 23
868
Bangunan Perniagaan Islamik Mercu Tanda Baharu Dungun
Bangunan Perniagaan Islamik Mercu Tanda Baharu Dungun
DUNGUN, 28 Januari - Daerah ini akan menjadi salah satu lokasi tumpuan pelancong menjelang tahun 2025 apabila bangunan perniagaan bercirikan senibina Islam kontemporari moden serta unik akan menjadi mercu tanda terbaharu di Dungun. Projek berkenaan akan mula dibangunkan bulan depan di Pusat Bandar Dungun berhampiran Pantai Peranginan Teluk Lipat secara usahasama antara Majlis Perbandaran Dungun (MPD) dan Syarikat Artha Global Sdn Bhd menelan dengan kos lebih RM20 juta. Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata bangunan yang direka oleh arkitek terkenal negara, Ar Hud Abu Bakar yang sebelum ini telah menyumbang kepakaran dalam membina 'Menara Merdeka 118' diyakini mampu memberi impak besar terhadap bandar Dungun serta menjadi nilai tambah bagi memajukan pembangunan di kawasan sekitar dengan lebih terancang dan teratur. "Melalui penerapan seni bina Islam Kontemporari, serta moden dan unik dengan adanya Jabatan Penghubung yang akan dibina ditingkat atas (tingkat empat) di antara kedua-dua bangunan menghadap pemandangan laut sudah tentu selayaknya menjadi mercu tanda baharu di bandar ini. "Saya berharap projek yang direncanakan ini akan memberi impak yang besar terhadap Bandar Dungun, saya yakin momentum ini mampu diteruskan menerusi jalinan kerjasama MPD dengan pihak Artha Global Sdn Bhd dalam menyakinkan pelabur baharu dan juga pelabur sedia ada untuk memilih Dungun sebagai destinasi pelaburan," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Pecah Tanah Projek Pembangunan Perniagaan Secara Usahasama Antara MPD dengan Syarikat Artha Global SDN BHD di atas Lot PT 22647 & PT 18106, di sini, hari ini. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dato' Dr Alias Razak. Mengulas lanjut katanya, kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan penglibatan mana-mana pihak swasta untuk turut sama membantu kerajaan melaksanakan projek-projek pembangunan, termasuklah di tanah milik Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sebagaimana hari ini dalam usaha merancakkan pembangunan di Terengganu. "Saya yakin dengan kapasiti pembangunan sebanyak 72 unit ruang niaga ini, ia mampu memberi peluang kepada rakyat tempatan untuk memiliki hartanah tersebut memandangkan penjualannya adalah secara per unit (hakmilik strata) dan seterusnya mampu melibatkan para peniaga dengan berbagai aktiviti peningkatan ekonomi kepada mereka, warga Dungun, serta Majlis Daerah sendiri,"katanya. Untuk rekod selain mempunyai Jambatan Pautan yang menhadap pemandangan Laut China Selatan, ia juga akan dilengkapi skrin seni bina bermotif Islam, pinggiran hijau serta 'Angular Carpark' berhadapan dengan kedai yang selesa. Juga akan menjanjikan pengalaman mewah memberi belah di lot komersil di tepi pantai serta menikmati pemandangan yang indah kerana kompleks bangunan berkenaan akan dilengkapi dengan beranda instragrammable atau mesra foto pada jambatan penghubung yang menghadap ke laut.
28 Jan 23
3297
Rakyat Tersinggung Dengan 'Cakap Kosong' Menteri
Rakyat Tersinggung Dengan 'Cakap Kosong' Menteri
KUALA TERENGGANU, 25 Januari - Sebahagian besar rakyat terguris dan tersinggung dengan 'cakap kosong' atau kata-kata sembrono salah seorang Menteri Kerajaan Persekutuan berkaitan harga barang. Kenyataan kurang cermat Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang menggesa orang ramai memboikot restoran mahal di saat harga bahan mentah sudah turun adalah salah dan disifatkan tidak berpijak dalam realiti semasa. Pelanggan kedai makan, Mohd Faris Nurul Huda berpandangan, gesaan memboikot kedai makan sangat tidak relevan dalam keadaan ramai peniaga mendapatkan bahan mentah pada harga mahal. "Sebaliknya, saya rasa kerajaan perlu ambil inisiatif mengawal harga bahan mentah serta menurunkan harga, dengan cara memboikot tidak mampu meningkatkan ekonomi rakyat, apatah lagi kedai makan tetap menjadi pilihan rakyat kerana kesibukan tanggungjawab lain," ujarnya. Dia berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), ketika tinjauan di beberapa kedai makan, di sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus semalam. Sementara itu, Pengurus Kedai Makan Nasi Kukus Amaz, Jamilah Said mengesahkan harga bahan mentah termasuk ayam dan telur masih tidak menunjukkan penurunan harga. Katanya, sewajarnya kerajaan berfikir dan mencari penyelesaian tuntas berkenaan masalah tersebut, bukan menyalahkan rakyat di bawah. "Sekarang ini harga makanan tidak dinaikkan lagi, tetapi jika kos bahan mentah terus meningkat macam mana pengusaha kedai makan seperti kami hendak berniaga. "Tidak berupaya untuk menurunkan harga makanan dalam keadaan sekarang, dalam masa yang sama kena menggajikan enam pekerja lagi," ujarnya. Sementara itu, menurut Pengusaha Kedai Makan Nasi Padang di Kuala Nerus, Mohd Yusof Ghazali, jika harga bekalan dan bahan mentah terus naik kenaikkan harga makanan tidak dapat dielakkan. Katanya, gesaan memboikot kedai makan yang tidak menurunkan harga sangat tidak relevan. "Sepatutnya bukan kita yang kena berfikir bagaimana hendak menurunkan harga makanan, tapi itu tanggungjawab kerajaan perlu fikirkan bagaimana mencari jalan bagi memastikan bekalan bahan mentah supaya harga dapat distabilkan serta tidak berlaku kenaikan. "Bila selalu naik macama mana kami hendak berniaga, dengan menyediakan harga yang berpatutan kepada pelanggan, 'sakitlah'," ujarnya.      
25 Jan 23
537