lightning-solid
Berita :

Artikel "Ekonomi" Terkini

Terengganu Mahu Lahir Lebih Ramai Usahawan
Terengganu Mahu Lahir Lebih Ramai Usahawan
KUALA TERENGGANU, 17 Mei -  Kerajaan Terengganu mahu memastikan lebih ramai usahawan dapat dilahirkan serta lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan di negeri ini. Menteri Besarnya, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, untuk mencapai hasrat tersebut kerajaan negeri akan terus bersedia membantu dan menyokong golongan usahawan melalui pelbagai inisiatif dan program yang dilaksanakan dengan mengambil kira perkembangan ekonomi semasa. "Yayasan Pembangunan Usahawan dan Urusetia Pembangunan Usahawan Terengganu (PEUTER) diharapkan dapat menjadi nadi penggerak dan memainkan peranan yang penting dalam usaha pembangunan semua golongan usahawan. "Adalah menjadi harapan saya, YPU dengan kerjasama PEUTER dapat menganjurkan lebih banyak program dan menjalankan inisiatif secara kolaboratif bagi memastikan usahawan Terengganu terus mendapat manfaat serta sokongan dan terus Maju, Berkat dan Sejahtera,"ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Anugerah Usahawan Terengganu 2022 (AUT2022) di Pusat Konvesyen, Taman Tamadun Islam, di sini, kelmarin. Dalam pada itu Ahmad Samusi berkata, Perusahaan Mikro Kecil Sederhana (PMKS) boleh dianggap sebagai tulang belakang ekonomi negeri kerana itu pelbagai inisiatif diperkenalkan bagi memastikan sektor keusahawanan kekal berdaya saing. "Kerajaan Terengganu melalui YPU telah menyediakan dana Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUGAS) bagi membantu meringankan beban usahawan Terengganu dimana seramai 2002 usahawan telah memperolehi dana TUGAS berjumlah keseluruhan sebanyak RM5.157 juta pada tahun 2022. "Setakat April 2023 pula, seramai 1,428 usahawan telah memperolehi dana TUGAS dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM4.36 juta,"ujarnya.  
17 May 23
344
AUT Pemangkin Semangat Usahawan Terus Berkembang
AUT Pemangkin Semangat Usahawan Terus Berkembang
KUALA TERENGGANU, 16 Mei - Penganjuran Anugerah Usahawan Terengganu 2022 (AUT2022) menjadi pemangkin semangat untuk golongan berkenaan terus berkembang maju dalam sektor terbabit. Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, program itu bukan sahaja mengiktiraf pencapaian cemerlang usahawan negeri ini tetapi turut menjadi pendorong kepada rakyat negeri ini untuk turut menceburkan diri dalam bidang keushawanan. "Tidak dinafikan bahawa cabaran yang dihadapi sepanjang pandemik Covid-19 bukannya mudah, namun usahawan-usahawan yang diraikan pada malam ini telah berjaya membuktikan bahawa adalah sesuatu yang bukan mustahil untuk bangkit semula daripada apa jua cabatan yang mendatang. "Syabas dan tahniah kepada semua usahawan yang berjaya menerima anugerah pada malam ini, semoga ianya menjadi motivasi kepada usahawan Terengganu yang lain,"ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Usahawan Terengganu 2022 (AUT2022) di Pusat Konvensyen, Taman Tamadun Islam, di sini, semalam. Pada tahun ini, Pengerusi Eksekutif AIMS Global Engineering Sdn. Bhd., Aminudin Mat Yusof telah dipilih sebagai Tokoh Usahawan Terengganu. Selain itu AUT turut menyediakan beberapa anugerah anugerah lain untuk kategori Ushawan Baru dan Usahawan Muda, Digital, Usahawan Mikro dan Penjaja Kecil, Halal dan Standard Persijilan Halal, Pengukuhan Usahawan dan Usahawan Berprestasi Tinggi, Produk Kraf, Warisan & Pelancongan. Selain turut menyediakan anugerah kepada Usahawan Muda Pendapatan Melebihi RM10,000 sebulan dan Anugerah Khas Usahawan Mikro Desa yang dipilih dari 33 Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk DUN Wanita. Untuk rekod, AUT merupakan program Dwi Tahunan yang dianjurkan oleh Urus Setia Pembangunan Usahawan Terengganu (PEUTER) yang dilaksanakan bermula pada tahun 2002 yang merupakan pengiktirafahan dan anugerah daripada kerajaa negeri di atas sumbangan dan pencapaian cemerlang usahawan Terengganu.
16 May 23
426
TUGAS Tingkat Prestasi Usahawan
TUGAS Tingkat Prestasi Usahawan
KUALA TERENGGANU, 16 Mei - Skim di bawah Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUGAS) telah ditambah baik sejak ia diperkenalkan 2019 bagi meningkatkan prestasi perniagaan usahawan di negeri ini. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, berdasarkan rekod sebanyak RM21.258 juta telah diberikan kepada 3,317 usahawan melalui skim-skim geran dan pembiayaan. "Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu juga mempunyai program khas untuk golongan muda untuk turut mencipta kerjaya melalui keusahawanan melalui Program Usahawan Belia Sejahtera (U-BES). "Bagi tahun 2022, seramai 40 orang belia telah dipilih untuk menyertai program U-BES 3.0 dimana para peserta telah meningkatkan jualan mereka kepada jumlah keseluruhan RM3,928,918.70 dan pada masa yang sama telah memberikan peluang pekerjaan kepada 83 orang. "YPU juga sering mengadakan program kursus secara berkala bai usahawan 'Start-Up', 'Scale-Up' dan 'High Performing' dengan sejumlah 44 kursus telah diadakan pada tahun 2022 yang disertai 2,290 orang peserta," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Usahawan Terengganu 2022 (AUT2022) yang disempurnakan perasmiannya oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, di Pusat Konvensyen, Taman Tamadun Islam (TTI), di sini, semalam. Dalam pada itu, Nurkhuzaini berkata tidak dinafikan produk-produk yang dihasilkan dihasilkan oleh usahawan Terengganu selama ini sangat berpotensi untuk diketengahkan dalam dan luar negera. "Walau bagaimanapun, masih ramai usahawan yang tidak berjaya dalam mempromosikan produk mereka ini, Justeru itu, YPU juga turut membantu mempromosikan produk-produk ini melalui penganjuran dan penyertaan pelbagai 'event' (acara). "Bagi tahun 2022, YPU telah membantu usahawan Terengganu menyertai 22 'event' di dalam dan luar negara dan telah berjaya mendapatkan jumlah jualan sebanyak RM1.301,674,55," katanya. Sementara itu beliau menyatakan kejayaan mengadakan acara berprestij AUT2022 adalah hasil kerjasama seluruh agensi keusahawanan di bawah Sekretariat Pembangunan Ushawan Terengganu (PUETER). "Di mana matlamat penubuhan urusetia ini ialah bagi mengoptimakan penggunaan sumber dan tenaga antara agensi-agensi untuk memaksimakan pelaksanaan program dan aktiviti pembangunan keushawanan negeri Terengganu," ujarnya.
16 May 23
371
Besut Bakal Dibangunkan Setara Daerah Lain
Besut Bakal Dibangunkan Setara Daerah Lain
BESUT, 12 Mei - Kerajaan negeri komited membangunkan sebuah kawasan industri bagi mewujudkan peluang pekerjaan khusus untuk rakyat di daerah ini. Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, selama ini pihaknya mengambil maklum mengenai suara hati anak Besut termasuk yang berada di perantauan untuk melihat Besut pesat membangun serta wujudnya peluang pekerjaan. "Saya hendak beri komitmen kepada semua rakyat Besut, penggal kedua nanti kita (PAS) mentadbir Negeri Terengganu kita akan naikkan penggunaan tanah peratus daripada 0.2 peratus (keluasan Besut 10 peratus daripada keseluruhan negeri Terengganu) sekurang-kurangnya setara dengan Daerah Dungun 0.3 peratus. "Bunyi sedikit naik 0.1 peratus (tetapi) lening (sekarang ini) kita lebih rendah daripada daerah lain, (kerana itu) kita akan buat pelbagai perkara kita akan bincang dengan agensi di peringkat Persekutuan untuk membolehkan pembukaan tanah Industri," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap ketika Perasmian Program Himpunan Teguh Pertahan Kawasan Besut, di Dataran Jerteh, di sini, semalam. Mengulas lebih lanjut, Ahmad Samsuri berkata, tidak mustahil untuk dibangunkan Industri kecil dan Sederhana di daerah ini kerana laluan ECRL terdekat akan siap. "ECRL di Terengganu ini sudah mencapai kemajuan 62 peratus lebih cepat berbanding negeri lain kerana kita begitu cakna dan sangat cekap menguruskannya. "Yang kedua dengan adanya Lebuhraya Pantai Timut (LPT) 3 fasa pertama yang menghubungkan Gemuroh sehingga Tok Bali sejauh 90 Kilometer (KM) yang telah mencapai persetujuan dengan Kerajaan Persekutuan (untuk disiapkan segera) . "Ini akan dilaksanakan dengan lebih mendalam dengan pihak Kerajaan Persekutuan dimana pembinaan ECRL (dan LPT 3) ini akan memudahkan perancangan bagi membangunkan kawasan Industri di Besut ini yang akan membukan peluang pekerjaan," katanya. Justeru tegasnya, penting untuk Kerajaan yang ditadbir oleh PAS dipertahankan oleh rakyat dan dikurniakan mandat bagi meneruskan segala agenda yang telah dirancang yang terbukti pada penggal lalu dapat menunaikan 20 manifesto yang dijanjikan. "Kalau diserahkan kuasa kepada orang (parti) lain berjanji macam-macam tapi tak boleh hendak buat, (jadi)sudah tentulah hendak  diberikan kepada orang yang boleh berjanji berjanji dan buat kerja," katanya.  
12 May 23
344
Jika Harga Sewa Bazar Rendah, Makanan Jadi Murah
Jika Harga Sewa Bazar Rendah, Makanan Jadi Murah
KUALA TERENGGANU, 22 Mac- Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan Sumber Manusia Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna Terengganu, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman menasihati pengusaha-pengusaha bazar Ramadan supaya lebih bertimbang rasa dalam mengenakan harga kepada peniaga yang menyewa tapak perniagaan di bazar sepanjang bulan mulia itu. Ketika ditanya tentang isu berkenaan, beliau menjelaskan ia merupakan bidang kuasa pihak berkuasa tempatan di lokasi terbabit. "Lihat juga kemampuan peniaga-peniaga kita, biarlah 30 hari atau 28 hari, 25 hari yang mereka berniaga dapat pulangan. Jangan fikir janji khemah dan tapak terjual, peniaga dapat pulangan itu bukan urusan kita. "Bagi kerajaan, agak sukar membendung perkara itu sebab ia di luar kawalan kita, kita hanya boleh mencadangkan supaya mereka ingat, jika gerai rendah harga, makanan pun jadi tidak berapa mahal. Itu rantaian yang ada. "Kita cuba buat penyelarasan dan bangkitkan dari masa ke masa supaya ada ruang di peringkat persatuan sebab kadang-kadang bagi PBT, ini masa mereka cari duit cuma apabila bertembung dengan persatuan yang mengutamakan kebajikan ahli, ada antara mereka (peniaga) tidak mampu bersaing atau memenuhi harga semasa," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan Skim Pembiayaan Khas Bazar Ramadhan (SPBAR) bernilai RM250,000 bagi membantu usahawan-usahawan Terengganu memperkukuh modal untuk berniaga di bazar Ramadan, di pejabat Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), hari ini. Tambah Nurkhuzaini, terdapat ramai juga peniaga di bazar Ramadan tidak berdaftar dengan persatuan peniaga yang membolehkan mereka memohon bantuan SPBAR. "Di situ, kita perlu ada keharmonian di peringkat PBT, kalau ada berlaku mungkin boleh dilaporkan maklumat dari peringkat awal supaya dapat diharmonikan. "Apabila harga benda ini (tapak dan khemah) terlalu tinggi, kita mencadangkan kepada pengusaha bazar-bazar Ramadan supaya jangan pentingkan keuntungan semata-mata," nasihatnya. Terdahulu, kerajaan negeri melalui YPU menyampaikan SPBAR kepada Yang Dipertua Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Terengganu (PPPKMT), Tuan Chik Tuan Muda Skim pembiayaan segera itu bakal diagihkan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Terengganu (PPPKMT) kepada 124 penjaja dan peniaga kecil yang membuka perniagaan di bazar Ramadan seluruh negeri berkenaan.    
22 Mar 23
443
Bayaran DKKP : Terengganu Pegang Janji PM
Bayaran DKKP : Terengganu Pegang Janji PM
KUALA TERENGGANU, 22 Mac - Kerajaan negeri berpegang kepada janji Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim bahawa Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) akan dibayar seperti biasa dan optimis diberi sebelum berakhir Mac. Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, janji telah dimeterai hasil pertemuan antara beliau dan Anwar sebelum ini. "Dalam proses, Mac tidak berakhir lagi, jadi kita sama-sama berdoa supaya tiada apa-apa masalah. Mungkin malam ini (terima), mungkin esok, masih belum diketahui. "Tengok saya senyum sahaja, sebagaimana biasa kita berharap (akan) dapat sebagaimana keputusan yang telah dibuat dan (perkara ini) telah disebut dalam buku bajet," ujarnya. Beliau berkata demikian pada sidang medianya selepas Majlis Penyerahan Bantuan One-Off Kepada Imam dan Bilal di Bawah Skim Mubaligh, di Perkarangan U2, di Wisma Darul Iman (WDI), di sini, hari ini. Turut hadir Setiausaha Kerajaan negeri, Tengku Seri Bijaya Raja dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah. Mengulas mengenai bantuan imam dan bilal menerusi Skim Mubaligh itu, beliau berkata seramai 141 orang individu telah menerimanya. "Melalui peruntukan sebanyak RM28,200 setiap orang menerima RM200," ujarnya.
22 Mar 23
610
KTSB Jana Pendapatan Baharu Terengganu
KTSB Jana Pendapatan Baharu Terengganu
KUALA TERENGGANU, 15 Mac – Kerajaan negeri bakal menjana pendapatan tambahan baharu bernilai puluhan juta ringgit termasuk RM6 juta setahun daripada Kuala Terengganu Support Base (KTSB). Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar berkata, KTSB telah ditubuhkan bagi mengelakkan Terengganu hanya bergantung kepada royalti petroleum. Katanya, KTSB yang diwujudkan melalui anak syarikat kerajaan negeri, Epic Berhad dijangka beroperasi pada April ini. “KTSB berfungsi sebagai satu hub pertukaran anak kapal untuk industri minyak dan gas di kawasan Kuala Terengganu. “Pihak Epic juga sedang menilai beberapa pasaran berpotensi untuk memanfaatkan sepenuhnya kegunaan KTSB sebagai balai pelepasan dan ketibaan penumpang untuk kegunaan industry minyak dan gas serta pelancongan,” katanya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mesyuarat Keempat Penggal Kelima DUN ke-14, hari ini. Menurut Tengku Hassan, selain itu pada 2022 Epic berjaya mendapatkan kontrak menyediakan perkhidmatan bot tunda. “Ia diserahkan kepada Syarikat Petra Energy Development di kawasan pelantar minyak Banang, daripada itu kita jangka hasil sebanyak RM6.6 juta akan diperolehi dalam setahun,” jelasnya. Tambah beliau, satu lagi anak syarikat EPIC, Epic OG Sdn Bhd sedang aktif membida projek minyak dan gas yang berpotensi bagi tahun 2023, pulangan hasil yang disasarkan adalah sebanyak RM70 juta setahun. “EPIC juga turut memberi perhatian kepada beberapa projek baharu, salah satunya ialah perkhidmatan kemudahan limbungan pelupusan kapal dan struktur pelantar minyak (onshore deconstruction facility) di Pangkalan Bekalan Kemaman. “Projek ini akan diterajui oleh salah satu anak syarikat EPIC, iaitu EPIC Marine Service Sdn. Bhd. (EPMS) dan mensasarkan pendapatan tahunan sebanyak RM15 hingga RM30 juta,” jelasnya.          
15 Mar 23
2394
AUT Iktiraf Jerih Payah Usahawan
AUT Iktiraf Jerih Payah Usahawan
KUALA LUMPUR, 11 Mac-Buat julung-julung kalinya, kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) akan mengadakan Anugerah Usahawan Terengganu (AUT) bagi mengiktiraf para usahawan di negeri Terengganu. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna Terengganu, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata, penganjuran AUT menunjukkan kerajaan negeri 'cakna' kepada usahawan-usahawan di negeri berkenaan. "Ini merupakan inisiatif memartabatkan usaha mereka, dengan adanya AUT kita ingin mengiktiraf usaha dan gerak kerja para usahawan ini. "Ini juga menunjukkan kita ada data berkenaan usahawan kita dan boleh mengelaskan kategori usahawan, untuk ini kita adakan enam kategori. Contohnya, perniagaan songket dan batik pada satu kategori, perusahaan pembuatan pasa satu kategori serta satu anugerah khas kepada usahawan yang layak untuk diiktiraf sebagai usahawan contoh negeri," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas merasmikan Taklimat berkenaan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), Dana Putera dan Anugerah Usahawan Terengganu di sebuah hotel di sini, semalam. Hadir sama, timbalannya yang juga ADUN Sura, Wan Hapandi Wan Nik, Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Mohd Rashdan Muda, ADUN Rantau Abang, Alias Harun serta ADUN Wanita, Zuraida Md Noor. Tambah Mohd Nurkhuzaini, inisiatif penganjuran AUT bukan semata-mata menyampaikan penghargaan kepada usahawan, tetapi memiliki kesinambungan berterusan. "Kita tidak berhenti di situ sahaja, ini kerana pemenang-pemenang yang telah dipilih akan ditawarkan peluang-peluang untuk mereka melangkah lebih maju lagi. "Ini ibarat membina laluan pantas untuk mereka. Contohnya, ada antaranya kita akan beri keutamaan mendapatkan pinjaman-pinjaman di bawah YPU. "Ada juga beberapa agensi yang menawarkan keutamaan dari segi bantuan sekiranya mereka memenangi anugerah dalam bidang ini," jelasnya sambil menyifatkan penganjuran berkenaan dapat mewujudkan lebih banyak usahawan berprestasi tinggi. "Setakat ini, hadiahnya masih dirahsiakan, tetapi insya-Allah agak 'grand' juga buat pemenang," tambahnya.  
11 Mar 23
193
RM1.65 Juta Dana PUTERA Suntik Modal Segera Usahawan Terengganu
RM1.65 Juta Dana PUTERA Suntik Modal Segera Usahawan Terengganu
KUALA LUMPUR, 10 Mac- Sebagaimana telah dilaksanakan tahun lalu, kerajaan Terengganu melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) mengumumkan untuk mengekalkan inisiatif Dana PUTERA bagi membantu usahawan-usahawan di negeri berkenaan dengan nilai keseluruhan peruntukan sebanyak RM1.65 juta. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna Terengganu, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman memaklumkan, bagi tahun 2023 suntikan dana sebanyak RM50,000 dikekalkan kepada setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk khusus buat ADUN Wanita. "Ini adalah satu peruntukan kerajaan berbentuk geran kepada DUN untuk diberikan kepada usahawan yang layak pada kadar RM500 hingga RM1,000 seorang. "Saya umpamakan sebagai buah tangan, itu kerana ketika wakil rakyat turun ke kawasan mereka, mereka dapat memberikan bantuan segera kepada usahawan-usahawan kecil yang memerlukan. "Kita akan mulakan pada hari ini sehingga 15 April bagi setiap DUN mendapatkan maklumat usahawan-usahawan di kawasan yang layak dibantu. "Jadi, hari ini kita memanggil wakil setiap DUN untuk menyampaikan maklumat berkenaan agihan dana tersebut" katanya. Beliau berkata demikian selepas merasmikan Taklimat Dana Putera di sebuah hotel di sini, hari ini. Turut hadir ialah timbalannya yang juga ADUN Sura, Wan Hapandi Wan Nik Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Mohd Rashdan Muda, ADUN Rantau Abang, Alias Harun serta ADUN Wanita, Zuraida Md Noor. Menurut Mohd Nurkhuzaini, beberapa penambahbaikan turut dibuat bagi melancarkan proses agihan dana berkenaan. "Antaranya kita tidak lagi tetapkan pada kadar siling RM1,000 seorang, sekiranya diperlukan had maksimum boleh dinaikkan sehingga RM1,500 bagi bantuan peralatan. "Sebelum ini, kita wajibkan calon ada pendaftaran SSM(Suruhanjaya Syarikat Malaysia), tetapi tahun ini jika tiada SSM mereka boleh dapatkan pengesahan daripada ADUN atau penyelaras kawasan masing-masing. "Perniagaan juga kita tidak hadkan kepada sepenuh masa, sebaliknya bagi yang melakukan perniagaan separuh masa juga layak memohon," jelasnya. Bagaimanapun beliau memaklumkan bahawa pemberian dana PUTERA hanya terhad kepada satu penerima untuk satu isi rumah. Selain itu, penerima bagi tahun 2022, tidak layak memohon. Dana PUTERA akan ditutup pada 15 April ini bagi memudahkan semakan oleh pihak YPU. "15 hingga 30 April adalah tempoh YPU turun membuat semakan dan kita jangkakan seawal Mei, kita dapat salurkan dana kepada DUN-DUN untuk diagihkan. "Kita harap setiap DUN dapat aktifkan jentera untuk mendapatkan maklumat usahawan-usahawan pada kadar segera," katanya.
10 Mar 23
1658
Ahmad Maslan Beri Bayangan GST Akan Kembali
Ahmad Maslan Beri Bayangan GST Akan Kembali
KUALA NERUS, 2 Mac - Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan memberikan bayangan bahawa Kerajaan Persekutuan akan kembali melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST). Katanya, walaupun pada pembentangan Bajet 2023 Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan tiada pelaksanaan GST pada tahun ini, ia tidak bermakna kerajaan tidak akan menguatkuasakan semula cukai itu pada tahun-tahun akan datang.. Ini kerana katanya,  negara perlu mendapatkan hasil yang banyak dan GST adalah baik untuk rakyat. "Kita tahu bahawa GST ini memberikan (hasil) RM44 billion kepada kerajaan berbanding Cukai Jualan Dan Perkhidmatan (SST) serta boleh mengurangkan 'the black economy' 'the underground economy' (dan) 'the shadow economy' (yang semuanya) membawa maksud yang sama iaitu penipuan cukai. "Orang tak bayar cukai akibat daripadanya, kerajaan akan dapat hasil yang kurang daripada sepatutnya dan ia dilaksanakan di 174 negara daripada 194 negara, 20 negara sahaja yang tidak laksana diantaranya Malaysia, adakah 174 negara itu Salah? pasti ia tidak Salah," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan 'Academic Sharing Session', di Majlis Makan Malam Sempena The 3rd International Centre & Communication (ICMC) di Raia Hotel, di sini, semalam. Turut hadir, Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Ahmad Maslan berpendirian, jika GST  kembali semula dilaksanakan masyarakat yang merupakan golongan sasaran perlu diberi pendidikan yang berterusan mengenai dasar dan polisi yang pernah dilakukan pada April 2015. "Masalah kita tidak ada seorang pun suka bayar cukai, jadi bagaimana elok pun kita menyampaikanya orang (tetap tidak akan suka). Jadi ini satu cabaran yang perlu diatasi, kita perlu menggunakan teknologi media terutama media sosial untuk disampaikan kepada rakyat," katanya. Dalam pada itu katanya, melalui Persatuan Pengilang-Pengilang Malaysia 499 syarikat menyatakan sokongan padu agar GST dikembalikan semula. "Kerana GST ini mempunyai satu sistem yang dipanggil 'tax refund' mereka boleh dapat balik sejumlah tertentu. Sebenarnya pendapatan yang diperolehi daripada GST bukan RM44 billion itu hasil bersih, sebenarnya yang diperolehi adalah 62 billion pada tahun kemuncaknya 2017 dan baki itu dipulangkan semula kepada mereka yang bayar," ujarnya. Justeru katanya, pendidikan mengenai cukai perlu teruskan dilakukan sama ada oleh Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan di Universiti. "Bagi memberikan kefahaman kepada rakyat kenapa perlu membayarnya serta bagaimana ia akan dikembalikan semula kepada mereka yang memerlukan," ujarnya.
02 Mar 23
272