lightning-solid
Berita :

Artikel "Ekonomi" Terkini

Kerajaan Sambut Baik Kolaborasi Usahawan Terengganu-Indonesia
Kerajaan Sambut Baik Kolaborasi Usahawan Terengganu-Indonesia
KUALA TERENGGANU, 18 Disember – Kerajaan negeri menyambut baik kerjasama perniagaan antara usahawan Republik Indonesia dengan Terengganu yang bertujuan memasarkan produk Terengganu ke negara jiran itu. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata usaha sama itu membolehkan usahawan tempatan meluaskan pasaran produk mereka hingga ke peringkat luar negara. "Usahawan negeri Terengganu mempunyai peluang amat besar untuk menembusi pasaran perniagaan negara tersebut kerana jumlah penduduknya mencecah kira-kira 278 juta orang," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Menembusi Pasaran Indonesia di Hotel Paya Bunga di sini hari ini. Turut hadir Pengarah MATRADE Terengganu Zaimah Osman, Ketua Eksekutif Kumpulan PMINT, Dato’ Wan Adnan Wan Draman dan Raja Muda Kabaena, Wakil Kesultanan Indonesia dan Dewan Perwakilan Daerah Republik Indonesia, Dr Yurisman Star. Ariffin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat berkata kerjasama strategik turut diadakan dengan sebuah syarikat Indonesia PT Larra World, bertindak sebagai ejen kemasukan produk usahawan Terengganu ke republik itu. “Dengan pengalaman yang ada pada PT Larras World, lebih-lebih lagi daripada pihak MATRADE akan dapat membantu lebih ramai usahawan yang berpotensi untuk memasarkan produk mereka ke Indonesia,” ujarnya. Di samping itu katanya Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) akan berperanan membantu usahawan Terengganu mengembangkan perniagaan mereka ke luar negara termasuk ke republik itu. “Saya berharap jalinan hubungan (usahawan Terengganu dan Indonesia) hari ini akan terus mekar dan mampu menyumbang kepada perkembangan keusahawanan sekali gus dapat membantu mengembangkan ekonomi negeri Terengganu,” jelasnya.
18 Dec 23
223
Agong Rasmi Pemasangan Landasan Pertama ECRL
Agong Rasmi Pemasangan Landasan Pertama ECRL
KUANTAN, 11 Disember - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mencemar duli menyempurnakan Majlis Perasmian Pemasangan Landasan Pertama Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), hari ini. Dalam majlis yang penuh bersejarah di tapak Stesen ECRL Sekseyen 10 di Gebeng turut dihadiri Duta Besar Republik Rakyat China Ke Malaysia, Ouyang Yujin dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook. Turut hadir, Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ; Menteri Besar Kelantan, Dato' Panglima Perang Dato Mohd Nassuruddin Daud. Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Wan Rosdy Wan Ismail, Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn Bhd, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Pengerusi China Communication Company Ltd (CCCC), Wang Tongzhou. Perasmian itu menandakan sebuah titik permulaan penuh bersejarah bagi memulakan pemasangan landasan pertama sejauh 94 kilometer (KM) dari Stesen Bandar Pelabuhan Kuantan (KPC) di Gebeng ke Dungun, di mana ia dijangka mengambil masa dalam tiga ke empat bulan untuk dilengkapkan. Selepas itu, projek ini akan disambung untuk memasang landasan dari Stesen KPC ke Temerloh, dan menuju ke arah utara di Dungun ke Kota Bharu dan diakhiri dengan Temerloh ke Jalan Kastam, Selangor. Dalam pada itu, Pengerusi CCCC, Wang Tongzhou berkata majlis pelancaran ini merealisasikan era baru untuk proses pembinaan infrastruktur mega kereta api ECRL di negara ini. "Kami akan meneruskan usaha dengan mengukuhkan dedikasi kami untuk kecemerlangan, keselamatan dan kesinambungan komuniti, "Inspirasi kami adalah untuk mencipta sistem pengangkutan rel yang merangkumi aspirasi Malaysia terhadap masa hadapan yang berhubung" ujarnya ketika menyampaikan persembahan ucapan. Sementara itu,Anthony Loke memaklumkan kadar kemajuan Keseluruhan ECRL telah mencapai lebih 56 peratus sehingga November lepas ia selari dengan jadual penyiapan projek dari Kota Bharu ke Terminal Bersepadu Gombak pada Disember 2026, dan dijadualkan beroperasi pada Januari 2027.  
11 Dec 23
298
Dr Sam Saksi Epic, Lima Syarikat Meterai MOU Bangunkan Kemaman
Dr Sam Saksi Epic, Lima Syarikat Meterai MOU Bangunkan Kemaman
KEMAMAN, 4 Disember - Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memulakan tugas sebagai Ahli Parlimen Kemaman dengan menyaksikan anak syarikat kerajaan negeri, EPIC Berhad memeterai perjanjian persefahaman (MOU) dengan lima rakan industri bagi membangunkan Pelabuhan Kemaman. Menteri Besar Terengganu itu berkata, kerjasama dengan BOID Global Sdn Bhd, GSPARX Sdn Bhd (GSPARX), Eastern Steel Material Handling Sdn Bhd (ESMH), JXR Manufacturing Sdn Bhd (JXR) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) bakal merancakkan Pelabuhan Kemaman.  Katanya, jalinan kolaborasi antara organisasi-organisasi yang terlibat meliputi aspek advokasi, pembangunan kapasiti, pembekalan dan penyenggaraan serta perkhidmatan media. "Tahniah atas jalinan kerjasama strategik antara semua pihak selain perkembangan operasi di Kumpulan EPIC dengan kehadiran dua kren gantri di Dermaga Timur (yang dijangka memulakan operasi selewat-lewatnya bulan Mac tahun hadapan). "Operasi kren gantri tambahan ini akan menambah lagi kecekapan Pelabuhan Kemaman kepada sekali ganda sekali gus membawa limpahan ekonomi kepada penduduk daerah ini. "Kekerapan kapal-kapal (kargo) masuk ke sini akan bertambah sekali gus memberi kelebihan kepada pemain-pemain industri di kawasan," katanya ketika ditemui di Dermaga Timur, Pelabuhan Kemaman di sini hari ini. Ahmad Samsuri berharap perkembangan Pelabuhan Kemaman dapat mendorong lebih banyak syarikat untuk melabur dan melebarkan operasi mereka di Kemaman. "Ia membolehkan lebih banyak peluang pekerjaan dapat ditawarkan kepada warga tempatan," tambah beliau.    
04 Dec 23
2484
Tujuh Strategi Jana Pendapatan Baharu
Tujuh Strategi Jana Pendapatan Baharu
KUALA TERENGGANU, 30 November - Kerajaan Terengganu mewujudkan portfolio pendapatan baharu bagi menjana pendapatan negeri dengan merancang tujuh strategi untuk mengurangkan kebergantungan kepada hasil royalti petroleum dan gas serta krisis kekurangan simpanan minyak. Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata strategi tersebut termasuk kajian semula cukai, serahan GLC, sumber galian dan mineral, sumber batuan, sumber air, sumber hijau serta fi pelancongan dan rekreasi dengan jumlah jangkaan nilai hasil (secara berfasa) sebanyak RM1 bilion pada tahun 2030. Katanya hala tuju pendapatan baharu adalah dengan mengoptimumkan sumber negeri sedia ada, mengeksplorasi sumber baharu negeri serta mencari peluang jana pendapatan baharu. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik Ir Saiful Azmi Suhaili di Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke 15 di Wisma Darul Iman di sini hari ini. Ir Saiful Azmi dalam soalannya ingin tahu definisi dan hala tuju portfolio pendapatan baharu dalam portfolio Kerajaan Negeri. Mohd Nurkhuzaini yang juga ADUN Kota Putera menjelaskan bahawa definisi pendapatan baharu dalam portfolio Kerajaan Negeri ialah hasil yang diperolehi daripada sumber sedia ada dan baharu yang berpotensi menjana hasil pendapatan kepada negeri, selain mengurangkan kebergantungan kepada royalti minyak dan gas serta krisis kekurangan simpanan minyak. "Bidang tugas bagi portfolio ini adalah bertanggungjawab merancang, menyelaras dan menjayakan pelan penjanaan pendapatan baharu negeri serta membangunkan industri baharu selain minyak dan gas seperti galian dan sumber alam sekitar," jelasnya. Katanya dua fokus utama terkini adalah di dalam sektor Teknologi Hijau dan Unsur Nadir Bumi (REE). Menurut beliau pada tahun 2030, permintaan minyak di Terengganu dijangka menurun sebanyak 25 peratus. "Sehubungan dengan itu, satu Pelan Penjanaan Pendapatan Baharu Negeri Terengganu telah diluluskan di Mesyuarat Majlis Tindakan PITAS bertarikh 17 Januari 2023 dengan tujuan merangka strategi penjanaan pendapatan baharu kepada negeri," ujarnya lagi.
30 Nov 23
232
Pembuatan Bot Tradisional Pulau Duyong Akan Kembali Bersinar
Pembuatan Bot Tradisional Pulau Duyong Akan Kembali Bersinar
KUALA TERENGGANU, 30 November - Kerajaan negeri memberi jaminan perusahaan pembuatan bot tradisional di Pulau Duyong akan kembali bersinar. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, usaha membangunkan semula perusahaan warisan itu akan dibuat melalui pelan penyelarasan kolaborasi produk-produk pelancongan pesisir sungai Terengganu. "Termasuklah Shah Bandar, Pesisir Payang, Seberang Takir, Pulau Duyong, Pulau Warisan, Kampung Budaya Terengganu, Taman Tamadun Islam dan lain-lain. "Bagi memartabatkan industri pembuatan bot tradisional di negeri ini," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, Sr. Zaharudin Zahid, pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri (DUN), Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini. Dalam pada itu, Ariffin berkata kerajaan negeri turut mempunyai perancangan untuk menyediakan latihan dan kursus bagi pembuatan bot tradisional bagi memastikan lebih ramai yang akan terlibat dalam industri terbabit. Katanya, kerajaan negeri juga turut merancang untuk berkerjasama dengan Jabatan dan Kementerian Pelancongan serta Malaysian Timber Industry Board (MTIB) bagi penyediaan latihan serta kursus-kursus yang berkaitan pembuatan bot tradisional. "Buat masa ini kerajaan negeri telah menyediakan latihan ukiran kayu di Desa Ukiran Kayu, Besut. "Bagi Tabung Pusingan Modal, kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) ada menawarkan skim pembiayaan tanapa riba di bawah Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUGAS) dengan had maksima sebanyak RM50,000 tertakluk kepada terma dan syarat. "Antara skim pembiayaan dan perniagaan yang boleh dipohon termasuklah Sektor Warisan (Pembuatan Bot Tradisional)," katanya.  
30 Nov 23
592
Bina Taman Industri Hijau di Hulu Terengganu
Bina Taman Industri Hijau di Hulu Terengganu
KUALA TERENGGANU, 29 November - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh mencadangkan tanah seluas 5,000 ekar di Hulu Terengganu dijadikan  sebagai salah satu Taman Industri Hijau (Green Industry Park) negeri Terengganu. Dr Mamad mencadangkan demikian ketika berucap membahas Ucapan Belanjawan 2024 Menteri Besar Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke 15 di Wisma Darul Iman di sini hari ini. Beliau berkata Hulu Terengganu mempunyai sumber untuk dibangunkan industri baru kerana di daerah tersebut tersedia tenaga elektrik 660 megawat dari Tasik Kenyir. "Di Hulu Terengganu ada cadangan membangunkan industri tenaga solar, kuasa hidro-elektrik sedia ada dan juga sumber air yang banyak, pengangkutan yang paling dekat dengan Lebuhraya Pantai Timur II (LPTII) dan ECRL di Durian Guling yang jauhnya kira-kira 15 kilometer sahaja," jelas beliau. Tanah berkenaan katanya berhampiran kira-kira 80 kilometer dari kawasan industri  Dungun. "Jadi dengan tenaga kerja yang murah Kuala Berang mencadangkan satu tanah seluas 5,000 ekar dijadikan 'Green Industry Park'. "Saya telah sebut di sidang DUN yang lepas yang mana tanah tersebut telah dipajakkan dan sebahagiannya telah diberi kepada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan  (PTP)," ujarnya. Beliau mengharapkan kerajaan negeri mengambil maklum tentang maklumat berkenaan dan mengharapkan wujud industri baru di Hulu Terengganu.
29 Nov 23
351
Umat Islam Mesti Kuasai Teknologi Kewangan
Umat Islam Mesti Kuasai Teknologi Kewangan
DUNGUN, 29 November -  Umat Islam mesti menguasai teknologi kewangan (fintech) agar dapat dimanfaatkan dalam urusan seperti wakaf, zakat dan sedekah. Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli berkata, seiring dengan perkembangan teknologi kewangan ini, adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai umat Islam untuk beradaptasi dan menyesuaikannya dengan keperluan muamalah agar tidak ketinggalan. "Perkembangan teknologi kini menjadikan semakin banyak aspek kehidupan kita dapat dilaksanakan secara maya termasuklah pelabagai bentuk transaksi kewangan," ujarnya.  Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Pembangunan Waqaf Digital, yang diadakan di Mayang Sari Resort di sini baru-baru ini. Menurut Wan Hassan, Revolusi Perindustrian 4.0 telah memperkenalkan istilah 'financial technology' atau singkatannya 'fintech' yang akan bersaing dengan kaedah transaksi kewangan konvensional dalam penyampaian perkhidmatan kewangan. "Ilmu - ilmu empat serangkai ABCD iaitu Artificial intelligence, Blockchain, Cloud computing, dan Big data yang merupakan empat aspek utama fintech. " Walaupun ilmu dan teknologi ini dipelopori bukan Islam, ingatlah Islam telah mengajarkan kepada kita bahawa hikmah atau kebijaksanaan itu adalah barangan yang tercicir dari tangan mukmin di mana saja kita menemukannya, maka kita berhak mengambilnya untuk kemaslahatan umat,  "Kini terdapat platform pendanaan alternatif ini yang selain memastikan platform mereka berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti, mereka turut berusaha mengambil langkah lebih terkehadapan iaitu mendapatkan pengesahan kepatuhan syariah." jelasnya.
29 Nov 23
230
Kakitangan Kerajaan Perlu Bergerak Seiring Capai Era Baharu Terengganu
Kakitangan Kerajaan Perlu Bergerak Seiring Capai Era Baharu Terengganu
KUALA TERENGGANU, 28 November- Kakitangan kerajaan mestilah seiring dan fokus dengan hala tuju negeri bagi mencapai hasrat dan matlamat meneraju era baharu negeri Terengganu. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed berkata, jika kakitangan diberikan kepercayaan sebagai akar dalam menggerakkan perancangan sumber dan kebajikan yang diatur untuk rakyat, maka sudah pasti buah-buah (hasil) akan tumbuh dengan baik dan keindahan dapat dilihat dengan jelas. "Begitu juga sebaliknya, andai kepercayaan dirosakkan, tidak seiring dan tidak berfokus maka keindahan itu tidak dapat dilihat, bahkan memburukkan lagi negeri mahupun pokok yang diibaratkan sebagai contoh," katanya ketika membahaskan Belanjawan Terengganu 2024 pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 (Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini. Tambahnya, sebuah negeri bukan sahaja memerlukan nakhoda yang hebat dan berwawasan untuk mendepani badai, tetapi dalam masa sama perlukan sokongan yang menghayati hasrat dan matlamat untuk menerajui era baharu Terengganu. "Para kakitangan ini tidak boleh lagi hanya selesa bekerja menyempurnakan rutin semata-mata. Bahkan, mereka  diharap dapat menyumbang sepenuh kemampuan demi mencapai kemajuan sejagat. "Saya penuh yakin kakitangan negeri Terengganu yang berada dalam bahtera ini merupakan individu yang telah terpilih dan memiliki kemampuan mapan, masakan tidak trend dan data pembangunan yang lepas menunjukkan prestasi yang baik," ujarnya. Oleh itu, beliau mengingatkan supaya pihak kerajaan tidak melakukan sebarang pertukaran jawatan dalam masa singkat sehingga mengganggu tugas dan fokus kakitangan, apatah lagi ketua-ketua jabatan yang sentiasa berfikir untuk merangka perancangan jangka masa panjang. "Walaupun dalam masa sama, kita tidak menafikan ada keperluan tertentu, tetapi pertukaran terlalu kerap boleh mencacatkan pembangunan dan kemajuan yang ingin dicapai. "Kepada kakitangan yang mencapai prestasi pula, haruslah diberi penghargaan," katanya.    
28 Nov 23
138
TDM Berhad Terima Anugerah ACES 2023
TDM Berhad Terima Anugerah ACES 2023
KUALA TERENGGANU, 26 November- Anak syarikat kerajaan negeri, TDM Berhad menerima Anugerah Bintang Meningkat Kelestarian (Sustainability Rising Star Award) di Anugerah Kecemerlangan dan Kelestarian Korporat Asia (ACES) 2023, pada Jumaat. Menurut Pengarah Eksekutif TDM, Najman Kamaruddin, pengiktirafan tersebut merupakan bukti komitmen TDM dalam mencapai Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDGs) dalam pelaksanaan pembangunan serta kelestarian yang juga menjadi sebahagian usaha menyokong serta menyumbang kepada inisiatif Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) syarikat. "Anugerah ini adalah sebuah kejayaan yang begitu bermakna kerana kami sangat memandang serius soal kelestarian syarikat dalam usaha ke arah masa depan yang lebih lestari dan berdaya tahan. "Usaha dan komitmen terhadap kemampanan ini merupakan usahasama ramai pihak yang diketuai oleh Lembaga Pengarah, Jawatankuasa Kelestarian (SCoM) dan Kumpulan Kerja Kelestarian (SWG) bagi memastikan aspek kelestarian sentiasa dititikberatkan serta dapat disepadukan ke dalam pertumbuhan jangka panjang syarikat," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kepada pemberita, hari ini. Dalam majlis yang berlangsung di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur itu, TDM diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Medic Iman Sdn. Bhd. (KMI Healthcare); Dr. Rayney Azmi Ali dan Ketua Pemantauan Prestasi Pelaburan TDM; Hasnol Zariman Mohd Hashim. Sebagai rekod, antara pencapaian TDM yang membanggakan pada tahun 2023 sekaligus menyumbang kepada kejayaan memperoleh pengiktirafan ACES 2023 adalah melalui pelancaran serta perasmian dua loji biogas yang inovatif di Sungai Tong dan Kemaman, Terengganu. Selain itu, komitmen TDM juga dapat dilihat melalui inisiatif peralihan lampu kalimantang kepada lampu diod pemancar cahaya (LED) cekap tenaga di pejabat-pejabat korporat sehingga berjaya mencapai pengurangan 16.6% dalam pelepasan gas rumah hijau bersih pada tahun 2022.
26 Nov 23
168
Usahawan Terengganu Berpotensi Pasar Produk Halal Ke Peringkat Global
Usahawan Terengganu Berpotensi Pasar Produk Halal Ke Peringkat Global
KUALA TERENGGANU, 23 November - Usahawan Terengganu digesa mengambil peluang bagi memasarkan produk halal yang berkualiti ke peringkat antarabangsa. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna, Ariffin Deraman berkata, kesempatan itu boleh diambil usahawan mikro negeri ini kerana Malaysia memiliki reputasi yang baik sebagai pengeluar produk halal berkualiti. "Kebolehpasaran dan penguatkuasaan produk halal ke pasaran luar memegang peranan kritikal dalam meningkatkan daya saing industri halal di peringkat global. "Dalam konteks pasaran global produk halal yang berkembang pesat, Malaysia sebagai negara dengan populasi penduduk Islam mempunyai peluang besar untuk menjadi pemain utama (industri halal). "Populasi orang Islam di seluruh dunia juga yang semakin meningkat, dijangka mencapai 2.3 bilion pada tahun 2030, membuka pintu lebar menjadikan Malaysia sebagai pelopor pasaran halal yang sangat besar," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Seminar Pemantapan Eksekutif Halal Negeri Terengganu 2023, di Hotel Tanjung Vista, di sini, semalam. Mengulas mengenai seminar berkenaan, Ariffin berkata ia merupakan rentetan dari Seminar Eksekutif Halal yang dibuat sebelum ini dan membincangkan pelbagai isu yang juga kerap timbul berkenaan kebolehpasaran produk halal di negeri ini secara khususnya yang dianjurkan Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu. "Seminar ini bertujuan memberi pendedahan kepada usahawan dan agensi pembimbing tentang perkembangan isu semasa berkaiatan halal. "Selain itu ia juga bertujuan untuk membuka mata dan memberikan sudut pandang baru dalam kalangan usahawan mengenai potensi kebolehpasaran produk halal (negeri ini) ke pasaran luar," katanya. Ujarnya lagi, topik yang disentuh dalam seminar berkenaan mengenai 'Peranan Eksekutif Halal Dalam Pemerkasaan Pasaran Halal' dan 'Potensi Kebolehpasaran dan Penguatkuasaan Produk Halal Ke Pasaran Luar'. "Kedua-dua perbincangan ini bertepatan dengan pertumbuhan pesat produk halal di peringkat antarabangsa," katanya.t
23 Nov 23
148