Artikel "Ekonomi" Terkini
Sabasun Tambah Cawangan Baharu di Dungun
DUNGUN, 18 Februari - Pasar raya milik anak Terengganu, Sabasun akan membuka cawangan baharunya yang ke-enam di Tapak Pasar Malam Dungun.
Pengurus besarnya, Che Salmi Che Ibrahim berkata, beliau memilih untuk membuka di daerah terbabit kerana menerima permintaan yang tinggi daripada penduduk Dungun.
"Juga merupakan hasrat kita sejak tujuh tahun yang lalu, jadi alhamdulillah baru sekarang kita mendapat tempat yang sesuai dan saya ingin memberikan penghargaan yang besar kepada Majlis Perbandaran Daerah Dungun.
"Tempat untuk Sabasun bertapak di Dungun di atas tanah seluas 15,000 kaki persegi ini sangat strategik.
"Insya-Allah kita jangka akan beroperasi pada pertengahan September ini," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di Majlis Solat Hajat dan Pecah Tanah Sabasun yang disempurnakan perasmiannya oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah hari ini.
Mengulas lebih lanjut Che Salmi berkata, berkonsepkan 'Hyper Runcit Mini Market' seramai 120 orang warga tempatan akan diambil untuk bekerja.
"Harapan kami di pihak Sabasun juga agar rakyat Terengganu terus mendokong dan menyokong aspirasi perjuangan membela rakyat yang berada di negara peta luka umat Islam terutamanya Palestin," katanya.
Dalam pada itu, Wan Sukairi berharap agar pembinaan Sabasun itu akan berjaya disiapkan mengikut jadual agar rakyat di daerah ini dapat menikmati produk serta barangan yang berkualiti pada harga berpatutan.
"Pihak kerajaan negeri sangat mengalu-alukan pembukaan cawangan baharu ini kerana selama ini Sabasun telah memberi peluang kepada rakyat Terengganu untuk bekerja.
"100 peratus tenaga kerjanya merupakan anak jati negeri Terengganu.
"Kerana itu pihak kerajaan negeri membantu memudahkan Sabasun untuk mendapat tempat ini, kerana secara automatiknya juga membantu rakyat Terengganu yang sekarang telah mencecah ribuan orang yang telah berkhidmat atau bekerja dengan pihak Sabasun.
"Dalam masa yang sama semua pekerja yang merupakan anak jati negeri Terengganu ini sangat dijaga kebajikan mereka oleh pihak Sabasun," ujarnya.
18 Feb 24
3390
30 Tahun Sabasun Bertapak, 300 Usahawan IKS Terengganu Terima Manfaat
DUNGUN, 19 Februari - Kerajaan negeri sangat menghargai peranan yang dimainkan Sabasun selama ini kerana selama menjalankan aktiviti perniagaan sejak 30 tahun yang lalu telah memberi manfaat kepada lebih 300 usahawan Industri Kecil Sederhana (IKS) dari negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, selama tempoh berkenaan dilihat aktiviti perniagaan dijalankan oleh pihak Sabasun bukan hanya menguntungkan syarikatnya sahaja tetapi telah membantu ramai rakyat negeri ini.
"Sabasun telah memberikan sumbangan yang besar kepada rakyat dengan memberi peluang kepada mereka yang terlibat dalam industri IKS ini.
"Sehingga ramai orang kampung yang boleh menghantar barangan mereka ke pasaraya ini, bukan sedikit jumlah mereka yang terlibat tetapi ramai melalui dan menjadi platform untuk bergantung yang memberii impak ekonomi kepada rakyat negeri ini," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Solat Hajat dan pecah Tanah Sabasun Dungun, di sini, hari ini.
Dalam pada itu Pengurus Besar Sabasun, Che Salmi Che Ibrahim berkata sehingga kini melalui 300 usahawan IKS lebih 2000 produk telah dihasilkan dengan memberikan pulangan pendapatan yang lumayan iaitu RM2.5 juta sebulan.
"Sehingga kini menjadi satu-satunya pasar raya yang tidak mengenakan sebarang caj tambahan, asalkan kualiti bertepatan dan memenuhi citarasa untuk usahawan Terengganu berdikari dan terus maju," katanya.
Ujarnya lagi, pihaknya sangat mengalu-alukan jika ada mana-mana pihak yang ingin meneroka peluang menghasilkan produk baru ataupun sedia ada untuk dipasarkan di pasar rayanya itu.
"Dengan syarat perlu mendaftar di Sabasun Wakaf Tembesu dan setiap barangan itu akan melalui pemeriksaan untuk dipastikan berkualiti sebelum diedarkan di seluruh cawagan," ujarnya.
18 Feb 24
526
Sabasun 'Buang' 100 Peratus Produk Berkait Israel
DUNGUN, 18 Februari - Sabasun bertegas untuk memboikot sepenuhnya segala produk dan barangan berkait negara haram Israel bermula Mac ini.
Pengurus besarnya, Che Salmi Che Ibrahim berkata, ia termasuk produk daripada jenama Nestle yang tidak akan dijual lagi.
Ujarnya, Sabasun telah memulakan kempen boikot barangan Israel sejak 2002 secara berperingkat bermula dengan menghentikan penjualan minuman coca- cola dan Pepsi sebelum memboikot barangan lain yang memberikan keuntungan kepada zionis Israel
"Bermula 1 Mac ini akan boikot 100 peratus termasuk barangan Nestle yang sebenarnya berpengkalan di Switzerland namun malangnya mereka melabur dengan begitu banyak kepada Israel.
"Kita pernah menghantar surat kepada ibu pejabat Nestle di Switzerland bermula tahun 2006 hingga 2009 agar mengeluarkan pelaburan mereka agar tidak lagi terlibat secara langsung dengan negara haram terbabit tetapi pada tahun 2016 mereka menambah saham mereka menjadi 100 peratus," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Solat Hajat dan Pecah Tanah Sabasun Dungun, di Tapak Pasar Malam, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.
Mengulas lebih lanjut, Che Salmi menegaskan pihaknya tidak akan memenuhi lagi permintaan pelanggannya yang masih lagi bergantung harap kepada beberapa produk daripada jenama Nestle.
"Kita tidak pernah melihat pada peradaban moden ini sebarang bentuk kezaliman yang begitu kejam sebagaimana dilakukan Israel terhadap lebih 30 ribu nyawa orang awam termasuk 12,000 kanak-kanak.
"Mereka tanpa segan silu melakukan kedurjanaan ini, tidak pernah kenal undang-undang antarabangsa, hak kemanusiaan dan undang-undang perang walaupun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengeluarkan lebih 200 amaran namun tidak diendahkan," ujarnya.
Dalam pada itu katanya, pihak Sabasun mengharapkan agar rakyat terus menderma melalui tabung Palestin yang dikhaskan di Sabasun dan terus mendoakan Palestin di samping bertekad akan memboikot sepenuhnya segala barangan berkait Israel.
"Teruskan bercakap mengenai isu yang berlaku di Gaza ini agar tidak mati sebegitu sahaja, jangan ulangi sebagaimana yang pernah berlaku suatu waktu dahulu hampir tidak ada yang mengambil peduli mengenai apa yang terjadi di Palestin.
"Dengan berlakunya taufan Al-Aqsa ia kembali membangkitkan masyarakat dunia, teruskan berdialog, berpidato agar Palestin akan sentiasa ada dalam hati kita, insya-Allah," ujarnya.
18 Feb 24
4154
Beras Madani : Kerajaan 'Kluk Klek', Rakyat Jadi Mangsa
BESUT, 18 Februari - Kenyataan yang saling bercanggah dalam isu utama negara terutama melibatkan sumber makanan ruji negara seperti beras tidak boleh diterima sama sekali.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Dr. Azman Ibrahim menegaskan, percanggahan keputusan dalam kementerian lebih-lebih lagi apabila melibatkan makanan utama akan memberi impak kepada seluruh rakyat.
"Di kalangan teraju yang menjaga sektor makanan negara tidak sepakat, baru-baru ini ada seorang keluar kenyataan (Ahli Parlimen Bukit Gantang), semalam pula menteri (Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan-KPKM), keluar kenyataan menafikan kenyataan itu.
"Saya tengok ada sesuatu isu yang perlu diselesaikan di peringkat kementerian, bagaimana seorang boleh mengeluarkan kenyataan dan apakah dia berautoriti dalam bidang kuasanya? Tanpa kelulusan kabinet dan menteri pula hari ini memberi kenyataan tidak merestui kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini.
"Bagaimana boleh tidak sepakat dalam perkara ini, selesaikanlah. Jangan jadikan rakyat keliru serta buat satu solusi yang terbaik," katanya.
Belilau berkata demikian ketika ditemui di Pesta Main Selut Bukit Tanah 2024 yang diadakan di Baruh Padi Gong Telikung, semalam.
Tambah Dr. Azman, keputusan tersebut seharusnya dikaji semula oleh kementerian terbabit sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan selepas ini kerana sebarang keputusan akan memberi impak besar kepada rakyat.
"Kita tidak dapat elak situasi pembelian panik berlaku kerana ada kemungkinan harga akan naik pada suatu tarikh yang ditetapkan apabila ia berkuatkuasa.
"Semoga ia dikaji semula kerana dilihat tiada kesepakatan. Daripadakenyataan dikeluarkan sebelum ini (oleh Jawatankuasa Menangani Harga Makanan dan Kos Sara Hidup, Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL)) seolah-olah mendapat restu Perdana Menteri, tetapi hari ini dinafikan pula.
"Kita harap mereka tengok semula kepentingan rakyat, jangan kita jaga kepentingan taikun-taikun yang akhirnya menekan rakyat dengan sektor makanan ruji seperti ini," nasihatnya.
Sebagai rekod, pada 14 Februari lalu, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal yang mengetuai NACCOL mengumumkan bahawa kerajaan bakal memperkenalkan kategori tunggal bagi beras putih yang dinamakan Beras Putih Malaysia Madani bagi menggantikan kategori beras putih tempatan dan import di pasaran negara.
Namun, hari ini Menteri KPKM, Datuk Seri Mohamad Sabu mengeluarkan kenyataan media menafikan perkara itu. Jelasnya dalam kenyataan itu, kerajaan belum ada ketetapan yang dibuat atas cadangan Datuk Syed Abu Hussin, sebaliknya menyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan akan membincangkan secara kolektif isu Beras Putih Malaysia Madani dalam Mesyuarat NACCOL akan datang.
Nota: Kluk klek merupakan loghat Terengganu yang bermaksud tidak tetap pendirian.
18 Feb 24
496
Terengganu Sudah Rangka Pelan Pembangunan di Kawasan ECRL
KUALA TERENGGANU, 16 Februari – Kerajaan negeri sudah merangka pelan pembangunan bagi merancakkan lagi perkembangan ekonomi di kawasan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Pengarah Unit Pembangunan Ekonomi Negeri (UPEN) Terengganu, Datuk Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata ini termasuk dengan membina laluan cabang landasan (spur line) di lokasi ke Pelabuhan Kemaman.
“UPEN juga sedang menyediakan pelan untuk membangunkan kawasan-kawasan sekitar stesen ECRL di Jerteh, Permaisuri, Dungun, Kerteh dan Chukai.
“Pembangunan yang dirancang akan menyokong kepada industri pemprosesan, pelancongan, pengumpulan produk tani dan berbagai aktiviti-aktiviti komersil,” jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) susulan kunjungan hormat kerajaan negeri ke atas CEO Malaysia Rail Link (MRL) Sdn. Bhd, Dato’ Sri Darwis Abdul Razak di pejabat beliau di Solaris Dutamas, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Delegasi tersebut turut dihadiri Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Harun, Pengurus Kanan Lembaga Pelabuhan Kemaman, Mohd Idi Amin Salleh dan Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Ridzuan Ali.
Tambah Tun Faisal, pelan cadangan itu akan dikemukakan untuk pertimbangan agensi-agensi seperti Kementerian Pelancongan Dan Kebudayaaan Malaysia Negeri Terengganu (MOTAC), Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Malaysian Investment Development Authority (MIDA) dan East Coast Economic Region (ECER).
Jelas Tun Faisal lagi, status pelaksanaan untuk jajaran ECRL di Terengganu adalah mengikut jadual
Terdahulu Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata mewujudkan ‘spur line' dari hentian Chukai ke pelabuhan Kemaman, dipercayai dapat memangkin pembangunan Pelabuhan Kemaman dengan lebih pesat.
Menurutnya, apabila berlakunya kenaikan kuantiti kargo, keuntungan kos pengendalian dan kadar penggunaan pelabuhan yang maksimum.
“Pihak kerajaan negeri juga yakin dengan penambahan ‘spur line’ ini akan dapat meningkatkan minat pelabur-pelabur baharu ke Terengganu dan menambahkan keyakinan pelabur sedia ada untuk mengembangkan perniagaan mereka,” ujarnya.
16 Feb 24
3594
Terengganu Jalin Hubungan Dengan Indonesia
SUMATERA BARAT, 15 Februari - Kerajaan negeri telah mengadakan hubungan kerjasama dengan kerajaan Indonesia bagi membantu mempekasakan usaha-usahawan kecil di Terengganu melalui langkah strategik dalam dunia perdagangan.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, kunjungan hormat kepada Gubernur Sumatera Barat, Mahyledi Ansharullah baru-baru ini amat bermakna sebagai langkah permulaan yang baik.
"kunjungan ini adalah peluang keemasan untuk menjelajahi potensi kerjasama yang dapat dijalin keranaTerengganu dan Sumatera Barat memiliki banyak persamaan.
"Terutama membabitkan produk tempatan yang kaya akan nilai budaya. Melalui inisiatif ini kita dapat meningkatkan skala usaha kecil kita dan membuka lebih banyak peluang yang besar di pasaran komersial dan antarabangsa," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman, sewaktu berkunjung di Rumas Dinas Gubernur Sumatera Barat Berkenaan yang juga merupakan Kepala Dinas Pariwisata serta Kepada Dinas Perindustrian dan Perdagangan dan juga Kepala Dinas Koperasi.
Sementara itu Gubernur Mahyeldi dalam kunjungan itu telah menekankan pentingnya kerjasama antara wilayah dalam menghadapi cabaran global pada ketikan ini.
"Kami menyambut baik inisiatif dari Terengganu dan siap untuk bekerjasama dalam bidang perdagangan. Ini adalah langkah awal yang baik untuk memperkuat hubungan antara kedua belah pihak," ujar Mahyeldi.
Untuk rekod Sepanjang kunjungan tersebut, kedua belah pihak saling bertukar fikiran dan pengalaman dalam berbagai potensi kerjasama usahawan, termasuk pertukaran produk kraftangan, pembangunan usaha bersama, serta program pertukaran pengetahuan dan keahlian di antara pengusaha kecil dan industri besar dari kedua wilayah.
kedua-dua belah pihak mengharapkan perbincangan berkenaan akan membuka peluang baru bagi usahawan-usahawan kecil untuk memperluas jaringan dan meningkatkan kapasiti produksi mereka.
Antara sebahagian daripada agenda kunjungan, YB Ustaz Ariffin juga mengunjungi beberapa lokasi usaha lokal di Sumatera Barat untuk melihat langsung praktik terbaik yang dapat diadopsi oleh usahawan Terengganu. Ini termasuk kunjungan ke pusat-pusat produksi kopi dan tenun, yang merupakan produk eksport asli Sumatera Barat.
Kunjungan hormat YB Ustaz Ariffin Deraman ke Sumatera Barat ini menandai awal yang baru dalam hubungan bilateral antara Malaysia dan Indonesia, khususnya dalam memperkuat kerjasama ekonomi dan perdagangan untuk kesejahteraan rakyat di kedua wilayah.
15 Feb 24
166
Terengganu Inc Rintis Pemahaman Sukuk di Pantai Timur
KUALA TERENGGANU, 23 Januari - Kerajaan Terengganu melalui syarikat induk pelaburannya, Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) berperanan untuk mengukuhkan pemahaman dan pertumbuhan sukuk di rantau pantai timur menerusi 'Professorial Talk Series II, 2023' yang membincangkan topik 'Fundraising Through Issuances of Sukuk'.
Dalam satu kenyataan media bersama di sini hari ini, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata, siri kedua program 'Professorial Talk' mencerminkan komitmen Terengganu Inc dalam meningkatkan pengetahuan dan perkembangan kewangan Islam.
"Program sehari bersama 150 peserta daripada pelbagai latar belakang korporat dan akademik ini bertujuan untuk memupuk perkongsian ilmu sekali gus memangkin ke arah inisiatif bagi memperkasakan urusan perniagaan dan pelaburan korporat," jelasnya.
Sementara itu Setiausaha Kerajaan Terengganu (SUK), Tengku Seri Bijaya Raja berkata pengumpulan dana melalui sukuk secara strategik membantu pembangunan mampan serta menyokong inisiatif sosial dalam Rangka Kerja Sukuk SDG Kerajaan Malaysia.
"Sukuk telah mendapat perhatian global sebagai sistem kewangan yang berdaya maju dan inklusif dengan Malaysia sebagai negara pelabur sukuk terbesar di rantau ini dengan jumlah nilai terkumpul RM2 trilion setakat 31 Oktober 2023," ujarnya.
Dalam pada itu Naib Cancelor (Penelidikan & Inovasi) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof Ts Dr Shukor Abd Razak berkata, program itu juga adalah sambungan hasil kerjasama Terengganu Inc bersama UniSZA menerusi 'Terengganu Inc-UniSZA Chair of Islamic Investment' selama tiga tahun (2021-2023).
Untuk rekod, 'Professorial Talk' merupakan salah satu aspek kolaborasi berkenaan bertujuan untuk mendapatkan pandangan yang lebih mendalam tentang pelaburan Islam.
Terdahulu, Terengganu Inc mengukuhkan komitmennya terhadap kewangan Islam dengan menubuhkan Jawatankuasa Syariah pada September 2022 dan meneruskan program kesinambungan daripada 'Professorial Talk Investment and Shariah Compliance Diillema' yang dijalankan pada Mac tahun lalu.
23 Jan 24
257
Premis Bukan Muslim Tidak Tertakluk Arahan Tutup Setiap Jumaat
KUALA TERENGGANU, 10 Januari - Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mengesahkan premis perniagaan bukan Islam tidak terbabit dalam penguatkuasaan penutupan premis selama dua jam pada hari Jumaat.
Datuk Bandar Kuala Terengganu, Rosli Latif tampil memberikan penjelasan bahawa ia hanya melibatkan semua pasar raya, restoran, kedai makanan atau gerai makan Muslim termasuk restoran makanan segera.
Menurutnya, arahan bagi penutupan operasi sementara dari jam 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang dilaksanakan bagi menghormati ibadah solat Jumaat selain memberi kemudahan bagi rakyat Terengganu memenuhi tuntutan ibadah berkenaan.
"Namun, ia tidak tertakluk kepada hotel kerana ia melibatkan orang yang bermusafir dan ia merupakan premis tertutup ini termasuklah kedai-kedai dimiliki bukan Muslim.
"Manakala, premis-premis makanan milik bukan Muslim yang mempunyai pekerja Muslim tertakluk kepada peraturan ini," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di ibu pejabat MBKT, hari ini.
Tambahnya, arahan tersebut akan berkuatkuasa bermula 12 Januari (Jumaat) ini dan pada hari Jumaat seterusnya.
"Kita sedar sebahagian besar ekonomi bergantung kepada industri makanan, tetapi kita lebih mengejar keberkatan Allah SWT.
"Kita menerima aduan daripada orang ramai dan membuat arahan berdasarkan keperluan sekarang mengambil kira semua faktor dan kepentingan sektor-sektor yang akan turut menerima kesan daripadanya (pelaksanaan).
"Jadi, jika ada yang ingkar, kita akan kirim suratlah," katanya.
Jelas Rosli, ketidakpatuhan kepada pengenaan syarat-syarat tersebut membolehkan premis perniagaan terlibat dikompaun maksimum sehingga RM1,000 atau dibatalkan lesen perniagaan, bergantung kepada tahap keseriusan pelanggaran kesalahan.
Hukuman berkenaan dikenakan merujuk kepada Undang-undang Kecil berkaitan yang diguna pakai MBKT iaitu Undang-Undang Kecil (Establisymen Makanan) MBKT 1991, Undang-undang Kecil (Penjaja) MBKT 1980 dan Undang- undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian MBKT 2013.
10 Jan 24
680
'Langkah' Terengganu Inc Cemerlang, Raih Pendapatan RM1.55 Bilion
KUALA TERENGGANU, 8 Januari - Selepas menerima 'Grand Award Winner, 23rd Malaysia-International HR Awards 2023’ dan ‘Gold Award Winner, Employer of Choice (Private Sector) Category’ pada Majlis Makan Malam Anugerah Sumber Manusia (HR) Malaysia-Antarabangsa Ke-23 2023 pada Disember lalu, Kumpulan Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. (Kumpulan TI) meneruskan langkah positif apabila mencatat prestasi cemerlang bagi tahun kewangan 2022.
Menurut laporan yang telah diaudit, hasil anak syarikat Kerajaan Terengganu itu meningkat kepada RM1.55 bilion berbanding RM1.17 bilion pada tahun 2021.
Selain menjadi pencapaian tertinggi syarikat tersebut di bawah pentadbiran Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berbanding kerajaan terdahulu, Kumpulan TI juga mencatatkan peningkatan secara konsisten selama lima tahun berturut-turut sejak 2018 dengan perolehan hampir RM1 bilion sepanjang tempoh itu.
Nilai keuntungan selepas cukai juga meningkat sebanyak RM13 juta kepada RM21 juta pada tahun 2022, berbanding RM8 juta pada tahun sebelumnya.
Lebih menarik, keuntungan berkenaan 'dipulangkan' semula kepada rakyat Terengganu apabila Kumpulan TI membelanjakan sebanyak RM11.4 juta melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) serta membayar zakat sebanyak RM4.5 juta.
Kumpulan TI juga berjaya meningkatkan kembali aset bersih (net asset) mereka mencapai RM1.6 bilion setelah mengalami penurunan sepanjang tahun 2019-2021.
Bagi tahun-tahun mendatang, Kumpulan TI akan melibatkan diri dengan lebih aktif dalam teknologi hijau dengan meneroka secara aktif tenaga boleh diperbaharui dalam menyokong agenda negara dalam mengurangkan pelepasan karbon.
Selain itu, syarikat berkenaan turut bergiat aktif dalam bidang keterjaminan makanan bagi menyokong matlamat negeri Terengganu menjadi negeri pengeluar makanan.
08 Jan 24
3859
Kerajaan Negeri Jumpa Pelabur China Bincang REE di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 7 Januari – Kerajaan negeri telah mengadakan pertemuan bersama para pelabur daripada China bagi membincangkan mengenai Unsur Nadir Bumi (REE) di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata mereka merupakan pelabur yang telah mempunyai hubungan startegik bersama Malaysia sebelum ini.
Menurutnya, beberapa pelan pembangunan telah diutarakan oleh mereka buat negeri Terengganu.
“Semoga perbincangan ini dapat membawa kemajuan dan kestabilan buat negeri ini,” katanya dalam hantaran di laman facebook rasmi miliknya pada hari ini.
Terdahulu, berdasarkan kajian di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 dari 2016 sehingga 2020 lalu, Malaysia dianggarkan memiliki 15.2 juta tan Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE) yang telah dikenalpasti terdapat di Terengganu.
Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata ketika Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-15 lepas.
Katanya, kerajaan negeri telah menubuhkan Majlis Mineral Unsur Nadir Bumi (REE) sebagai platform dalam menangani urusan berkaitan dengan perlombongan industri berkenaan.
Beliau berkata, ia bagi memastikan kedaulatan dan hak Terengganu sebagai pengeluar REE dapat dilindungi dengan sewajarnya demi kepentingan rakyat dan negeri.
07 Jan 24
556