Artikel "Ekonomi" Terkini
Pelan Tindakan Kebersihan PBT 'Selamatkan' Aidilfitri
KUALA TERENGGANU, 24 April - Pelan tindakan perkhidmatan pembersihan awam oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dilihat berjaya memastikan persekitaran bersih dan terpelihara ketika sambutan hari raya Aidilfitri baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, antaranya ialah dengan penubuhan pasukan ‘taskforce’ operasi yang terdiri daripada 107 pegawai dan kakitangan daripada pelbagai unit dan jabatan dalaman.
"Tahniah atas usaha PBT meskipun berdepan peningkatan ketara jumlah pembuangan sisa pepejal ke tapak pelupusan sehingga tiga kali ganda dengan purata sekitar 300 tan-400 tan sehari berbanding hari biasa.
"Selain itu, usaha juga dilakukan dengan penyusunan semula jadual kutipan sisa pepejal untuk semua zon bermula 1 April sehingga 14 April serta memperkasa proses pembaikian jentera iaitu lori Kompaktor supaya kerja-kerja pembaikian dapat diselesaikan dalam tempoh yang cepat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi penggulungan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri di Wisma Darul Iman, hari ini.
Tambahnya, kerajaan negeri juga meluluskan peruntukan RM 20,000 kepada Majlis
Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) bagi menampung kos sewaan tong RORO yang ditempatkan di lima belas (15) lokasi titik panas sempena Hari Raya Aidilfitri.
Dalam pada itu, Wan Sukairi turut memaklumkan bahawa peruntukan membiayai kos perkhidmatan pembersihan awam dan kutipan sisa pepejal di 97 zon kawasan pada tahun 2024 dijangka meningkat daripada RM78.9 juta kepada RM81.5 juta.
"Ia disebabkan oleh perubahan kadar cukai perkhidmatan (Sales and Service Tax) kontrak perkhidmatan pembersihan awam daripada enam peratus kepada lapan peratus yang telah berkuatkuasa mulai 1 Mac," katanya.
24 Apr 24
93
Tuntutan Royalti Berkumandang di Sidang DUN Terengganu
KUALA TERENGGANU, 23 April - Tuntutan kembalikan royalti minyak hak milik Terengganu berkumandang di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada hari ini selepas beberapa wakil rakyat membangkitkan isu terbabit.
Paling mencuri tumpuan, wakil rakyat muda iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi yang mempersoalkan kewujudan keadilan apabila hasil petroleum, tanah dan pertanian semuanya dijarah oleh Kerajaan Persekutuan tanpa diberikan hasilnya kepada negeri.
"Adakah Kerajaan Persekutuan sekarang sudah bertukar menjadi penjajahan bentuk baru? Mungkin ramai dalam dewan ini yang tidak terasa, namun kalau kita melihat denyut nadi rakyat Terengganu, ada yang mengharapkan bantuan dana i-Fitri dan bantuan awal persekolahan agar beban mereka berkurang.
"Tapi harapan tinggal harapan apabila hasil disekat oleh Kementerian Kewangan (sehinggakan) ada guru-guru al-Quran yang tertunggak elaun mereka selama berbulan-bulan tanpa pembelaan, sama juga yang berlaku kepada sekolah-sekolah di bawah Yayasan Terengganu, peruntukan penyelenggaraan tersekat kerana masalah kewangan.
"Biasiswa yang sepatutnya diberi kepada lebih ramai anak Terengganu yang cemerlang juga terpaksa dikurangkan, tidak dikira lagi bantuan perubatan, bantuan Tabung Darul Iman dan pelbagai bantuan lain yang tersekat kerana menjadi mangsa 'politik balas dendam'," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Titah Ucapan Diraja Sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu, di Wisma Darul Iman, di sini.
Sementara itu, ADUN Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili pula berkata, dalam pembentangan bajet 2024 Kerajaan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin telah memperuntukkan RM1.86 bilion merangkumi perbelanjaan mengurus dan pembangunan yang sepatutnya disalurkan melalui hasil royalti petroleum.
"Namun hasil petroleum tidak dibayar sebagaimana jadual bayaran terdahulu malah bayaran untuk tahun 2023 pun masih tidak dibuat sepenuhnya oleh kerajaan pusat sebagaimana tahun-tahun terdahulu.
"Ia sangat mempengaruhi perjalanan Kerajaan Negeri termasuk dalam menyempurnakan amanah sebagai pemimpin sebagaimana yang dititahkan oleh Ke Bawah Duli Tuanku," ujarnya.
Bagi ADUN Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong pula menyifatkan tindakan Kerajaan Persekutuan menafikan bayaran royalti itu adalah tersangat zalim.
"Perlu dilakukan sesuatu bagi mengembalikan setiap sen hak rakyat Terengganu kepada yang berhak untuk mengurus dan mentadbir ... Penyalahgunaan kuasa yang berlaku dan melibatkan pimpinan utama negara adalah amat mendukacitakan, lebih-lebih lagi apabila melibatkan pemimpin beragama Islam," ujarnya.
Dalam pada itu, ADUN Ladang, Zuraida Md Noor menyifatkan Kerajaan Persekutuan tidak menghayati semangat federalisme kerana sering mempermainkan isu royalti sehingga menyebabkan Terengganu berdepan tekanan dalam menjaga kebajikan rakyat.
Justeru katanya, pelaksanaan pelan Penjanaan Pendapatan Baharu Negeri Terengganu yang telah dirangka dengan teliti oleh Jawatankuasa Pasukan Petugas Penjanaan Pendapatan Baharu negeri bersama dengan agensi dan jabatan kerajaan mahupun swasta memberikan nafas baru kepada rakyat.
"Saya melihat ini merupakan satu langkah yang tepat setelah kita berdepan dengan tekanan bayaran royalti yang sentiasa dipermainkan oleh pihak yang tidak menghormati semangat federalisme," ujarnya.
Walaupun berdepan isu kewangan disebabkan royalti, ADUN Bandar, Ahmad Shah Muhamed pula berharap agar kerajaan negeri akan tetap terus serius dan fokus dalam melaksanakan perancangan dan program yang ditetapkan.
"Setiap EXCO dan portfolio mesti terus berfungsi, cari ruang untuk jalinkan hubungan baik dengan kementerian berkenaan, manfaatkan apa sahaja ruang untuk mendapatkan bajet bagi pelaksanaan program dan projek kementerian.
23 Apr 24
3358
Terengganu Berpotensi Jadi Hub Pengeluar NR-REE Utama Negara - Sultan Mizan
KUALA TERENGGANU, 22 April - Terengganu berpotensi menjadi negeri pengeluar serta pemprosesan utama unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) di Malaysia jika hasil itu berjaya diurus dengan baik, titah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.
Baginda bertitah, dengan memiliki sumber NR-REE paling banyak iaitu sekitar 7,187,500 tan daripada 15.2 juta yang ada di negara ini, kerajaan negeri perlu menentukan kaedah terbaik perlombongan sumber baharu itu.
Berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) itu, baginda bertitah kerajaan negeri perlu mengambil peluang menjadi pemain utama sektor industri baharu di dalam teknologi moden masa kini.
"Dengan sumber mineral baharu ini, kerajaan Beta harus menentukan kaedah terbaik perlombongan NR-REE dengan memastikan rangkaian nilai.
"Termasuklah industri pertengahan (mid-stream) dan hiliran (down-StreaM0 diwujudkan di Terengganu dan seterusnya menjadi hub pengeluar serta pemprosesan utama negara," titah baginda pada Istiadat Pembukaan Penggal kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke-15, di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Pada 5 Oktober lalu, kerajaan Terengganu menubuhkan Majlis Mineral REE sebagai platform pemudahcara urusan berkaitan dengan perlombongan dan pembangunan industri berkenaan.
Untuk rekod, kerajaan negeri turut mengumumkan syarikat peneraju utama Teknologi Super Magnet di Korea Selatan, Star Group Industry Co. Ltd yang menduduki tempat ketiga di peringkat global telah bersetuju untuk membina kilang berkait pemprosesan NR-REE berhampiran Pelabuhan Kemaman.
Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata pembinaan kilang tersebut dijangka bermula seawal suku ketiga tahun 2024.
Katanya, tanah lokasi kilang itu dibina merupakan milik anak syarikat kerajaan negeri, EPIC Berhad.
"Pihak Star Group juga telah melawat lokasi tersebut dan telah memberikan persetujuan untuk menyewa tanah seluas kira-kira 100 ekar bagi tujuan pembinaan kilang mereka di situ.
“Kilang yang akan dibina terdiri daripada dua peringkat, satu untuk 'midstream' dan keduanya adalah kilang 'downstream'.
“Midstream ini akan proses hasil yang yang kita lombong di negeri Terengganu dan negeri-negeri di bawah State Government 4 (SG4) untuk dihantar ke kilang mereka untuk dibuat 'cracking' ataupun dioksidakan NR-REE,” jelasnya.
22 Apr 24
2360
Terengganu Bakal Laksana Projek BESS Pertama di Semenanjung - Sultan Mizan
KUALA TERENGGANU, 22 April - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah satu projek Battery Energy Storage System (BESS) berkapasiti 100 megawatt bakal dilaksanakan di Kampung Santong, Dungun sekali gus menjadi projek pertama di Semenanjung Malaysia.
Baginda bertitah, projek berkenaan bakal menjadi pemangkin untuk membolehkan integrasi tenaga solar ke dalam rangkaian grid.
"Beta melihat perkembangan BESS telah mengubah landskap industri tenaga hijau dengan potensinya untuk dimanfaatkan bagi menggunakan sumber tenaga boleh diperbaharui dengan lebih cekap.
"Seiring dengan perkara tersebut, bagi mengurangkang jejak karbon dan mencapai sasaran tenaga hijau (maka) satu projek BESS berkapasiti 100 mega watt bakal dilaksanakan di Kampung Santong," titah baginda pada Istiadat Pembukaan Penggal kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke-15, di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Baginda bertitah bagi menyokong negara Rendah Karbon 2040, di bawah Dasar Tenaga 2022 hingga 20240 serta Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR), Pelan Industri Teknologi Hijau (PITIH) Negeri Terengganu 2024 hingga 2030 telah dirangka dan akan dilancarkan pada tahun ini.
"kecekapan tenaga dan pengurusan air, penjanaan hidrogen hijau, pengkomersialan tenaga boleh baharu, pengurusan dan pengkomersialan sisa hijau dan pengurusan karbon (karbon biru) merupakan lima fokus industri di Terengganu yang telah dikenal pasti untuk diteroka.
"Sebagai sumber pendapatan baharu kerajaan Beta," titah baginda.
22 Apr 24
1586
Terengganu Optimis Capai Pelaburan Baharu RM5 Billion
KUALA TERENGGANU, 8 April – Kerajaan negeri optimis dapat mencapai jumlah pelaburan masuk ke Terengganu sebanyak RM5 billion tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata sasaran itu ditetapkan berdasarkan kejayaan Terengganu dalam merealisasikan pelaburan masuk bernilai RM2.4 bilion yang dicatat pada bulan Mac lepas.
Katanya, rekod pencapaian tersebut dikeluarkan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).
“Insya-Allah, dengan usaha yang berterusan kita boleh melepasi lebih RM5 billion cuma biarlah kita letak target itu dahulu untuk dicapai pada tahun ini.
"Di samping, ia juga sebagai pemangkin untuk kita menarik lagi pelabur-pelabur untuk datang ke negeri Terengganu bagi tahun-tahun yang akan datang,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) baru-baru ini.
Terdahulu, Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata ECERDC juga berjaya menarik pelaburan komited baharu bernilai RM1.02 bilion dalam pelbagai sektor.
Katanya, seperti sektor minyak, gas dan petrokimia (RM940 juta), perkhidmatan (RM50 juta), pelancongan (RM20 juta), dan pembuatan (RM10 juta) di Terengganu setakat Mac tahun ini berbanding sasaran tahunan bernilai RM5.8 bilion.
“Sebanyak 65 peratus adalah pelaburan langsung asing (FDI), dengan pelaburan tertinggi dari Jepun iaitu sebanyak RM660 juta.
“Melalui kerjasama erat antara pihak Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan serta sokongan berterusan agensi-agensi berkaitan, beliau percaya ECERDC akan terus meraih kepercayaan pelabur dan menarik lebih banyak pelaburan baharu berimpak tinggi.
“Ini akan menjadikan negeri Terengganu kekal berdaya saing sebagai salah sebuah destinasi pelaburan utama di Pantai Timur,” ujarnya.
08 Apr 24
1057
Syarikat Gergasi Korea Bakal Bina Kilang REE di Kemaman
KUALA TERENGGANU, 7 April – Syarikat peneraju utama Teknologi Super Magnet di Korea Selatan, Star Group Industry Co. Ltd yang menduduki tempat ketiga di peringkat global telah bersetuju untuk membina kilang berkait pemprosesan unsur nadir bumi (REE) berhampiran Pelabuhan Kemaman.
Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata pembinaan kilang tersebut dijangka bermula seawal suku ketiga tahun 2024.
Katanya, tanah lokasi kilang itu dibina merupakan milik anak syarikat kerajaan negeri, EPIC Berhad.
"Pihak Star Group juga telah melawat lokasi tersebut dan telah memberikan persetujuan untuk menyewa tanah seluas kira-kira 100 ekar bagi tujuan pembinaan kilang mereka di situ.
“Kilang yang akan dibina terdiri daripada dua peringkat, satu untuk 'midstream' dan keduanya adalah kilang 'downstream'.
“Midstream ini akan proses hasil yang yang kita lombong di negeri Terengganu dan negeri-negeri di bawah State Government 4 (SG4) untuk dihantar ke kilang mereka untuk dibuat 'cracking' ataupun dioksidakan REE,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) baru-baru ini.
Tambah Nurkhuzaini, proses 'downstream' pula melibatkan aktiviti melombong tetapi bukan secara terbuka.
"Ia hanya memasukkan beberapa batang paip dalam meter persegi tanah, kemudian dicurahkan bahan kimia tertentu. Proses ini akan menghasilkan REE karbonat yang diinginkan," katanya.
Jelasnya, REE karbonat mengandungi elemen-elemen dari 11 hingga ke-17, dan proses untuk memisahkan elemen-elemen tersebut dipanggil proses 'midstream'.
Walaupun begitu katanya, fokus proses itu tidak terhad kepada semua elemen tetapi akan difokuskan kepada empat atau enam elemen yang paling penting atau relevan dengan aktiviti perlombongan semasa.
“Jadi Star Group juga akan melabur untuk membuka kilang keduanya 'midstream' bertujuan untuk menghasilkan produk.
“Setelah proses cracking, kilang tersebut akan menghasilkan elemen-elemen yang membolehkan pengeluaran produk, termasuk Super magnet, dalam apa yang dikenali sebagai proses 'downstream',” ujarnya.
07 Apr 24
8794
Bengkel Hala Tuju Jadikan Terengganu Mesra Pemaju
KUALA TERENGGANU, 1 April - Satu Bengkel Hala Tuju Pembangunan Perumahan Negeri Terengganu telah diadakan selama dua hari bermula hari ini bertujuan menyelesaikan masalah perumahan dan menjadikan Terengganu mesra pemaju.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata selain itu kerajaan negeri berhasrat menyediakan Rumah Mampu Milik (RMM) kepada rakyat Terengganu yang layak.
Katanya, melalui bengkel itu, pihaknya juga boleh membuat analisa situasi, menambahbaik Dasar Perumahan Rumah Mesra Rakyat (RMR RAHMAN), Merangka Strategi, Pelan Tindakan dan Sasaran Unit Perumahan Sepanjang Tahun 2023 hingga 2028 serta Pelan Strategik Perumahan Terengganu.
"Setiap slot bengkel ini di harap dapat mencapai objektif dalam penambahbaikan dasar perumahan negeri Terengganu, penambahbaikan rekabentuk Rumah Mampu Milik (RMM), penambahbaikan proses dalam kelulusan dan juga pelaksanaan projek pembangunan perumahan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Bengkel Pembentangan Kertas Kerja Hala Tuju Pembangunan Perumahan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Penolong Setiuasaha Kerajaan Negeri (Perumahan) Tengku Chik Abu Bakar Tengku Ibrahim dan Timbalan Pengarah Centre of Excellent (CoE) PITAS2030, Zulhilmi Abd Rahman.
Justeru itu, Wan Sukairi mengharapkan agar bengkel berkenaan dapat memberi suatu impak dan menemui jalan penyelesaian dalam menjadikan perumahan di Terengganu efektif serta produktif kepada rakyat negeri itu.
Untuk rekod kerajaan negeri telah mengadakan usahasama dengan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) yang berpengalaman luas dalam pembinaan Rumah Mesra Rakyat (RMR) di seluruh Malaysia.
Pembinaan RMR RAHMAN ini akan mendapat subsidi daripada Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) sebanyak RM20,000 bagi setiap unit rumah yang akan dibina.
Kos yang akan ditanggung oleh pemohon hanya berjumlah RM55,000 dengan bayaran balik bulanan RM286.00 sebulan selama 15 tahun.
Pembiayaan ini adalah pembiayaan tanpa faedah di mana penawaran dan kutipan balik pembiayaan akan diuruskan oleh Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) yang mempunyai pengalaman luas dalam pengurusan RMM di Terengganu.
01 Apr 24
429
Kepercayaan Rakyat Bantu Kerajaan Bangunkan Negeri
KUALA LUMPUR, 23 Mac - Kerajaan Terengganu memohon kerjasama daripada semua pihak termasuk anak-anak Terengganu yang berada di perantauan dalam usaha membangunkan negeri itu.
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato' Mohd Nor Hamzah berkata, kepercayaan yang diberikan oleh rakyat kepada kerajaan negeri akan membantu kepimpinan mempamerkan pentadbiran cemerlang sekalipun berdepan kekangan daripada kerajaan pusat.
"Cabaran yang ada tidak boleh melemahkan kita, malah perlu menjadi perangsang dalam membina idea, keputusan dan tindakan baru dalam melancarkan perjalanan pentadbiran dan kebajikan rakyat.
"Kita telah menggerakkan Pelan Penjanaan Pendapatan Baharu bagi meningkatkan pendapatan negeri dan sudah pasti ia memakan masa.
"Namun, saya yakin cabaran dan gangguan terancang ini dapat kita rempuh dengan kerjasama semua, seterusnya memberi kelancaran kepada perjalanan kerajaan yang kita bina," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Majlis Berbuka Puasa bersama Anak Terengganu di Perantauan di MAEPS, Serdang semalam.
Dalam majlis anjuran Urus Setia Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu (UBSNT) itu, sekitar 2,000 perantau diraikan kepimpinan negeri yang turut dihadiri NGO-NGO anak Terengganu.
"Terima kasih kepada urus setia yang menguruskan program ini walaupun berdepan kekangan.
"Mengambil kesempatan ini juga, saya mengajak semua yang hadir untuk memanfaatkan baki bulan Ramadan yang masih ada.
"Gunakan setiap saat yang ada dalam bulan ini untuk meningkatkan amalan, memperbanyakkan doa dan mendekatkan diri kepada Allah SWT," katanya.
24 Mar 24
198
Terengganu Meterai Perjanjian Projek Tenaga Hijau dengan Korea
ULSAN, 22 Mac - Terengganu telah menandatangani dua Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Korea Selatan untuk memanfaatkan kepakarannya dalam mengolah sumber Tenaga Hijau dari Terengganu bagi mengurangkan ketergantungan pada hasil petroleum.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata Terengganu akan melancarkan Teknologi Hijau Pelan Induk (PItiH) yang sejajar dengan dasar dan inisiatif negara.
Katanya, tenaga hidrogen ialah salah satu sektor yang disasarkan dalam pelan induk Terengganu.
"Inisiatif Terengganu ini selaras dengan dasar negara dan pelan hala tuju, Dasar Pelaburan Baharu (NIP) dan Matlamat Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR), untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050.
"Saya percaya kerjasama antara kumpulan Star Group Industries Co. Ltd, K-Watercraft dan anak syarikat Terengganu, MBI akan memudahkan realisasi hidrogen kepada projek kuasa di Terengganu.
"Terima kasih sekali lagi, atas kepercayaan dan keyakinan kepada Negeri Terengganu," katanya dalam hantaran di laman facebook rasmi miliknya pada hari ini.
Tambah Ahmad Samsuri, industri nadir bumi (REE) dan teknologi hijau adalah antara fokus PITAS 2030 dengan dua subsetnya iaitu Pelan Penjanaan Pendapatan Baharu Terengganu atau 'NewIncomeTerengganu (NIT)' dan Pelan Induk Teknologi Hijau (PITiH).
"Kita memanfaatkan aset terbaik negeri ini yang ternyata menjadi teknologi yang paling mendapat permintaan di seluruh dunia dalam tempoh 5 hinga 10 tahun akan datang.
"Untuk semua rakyat negeri ini, doakan semoga usaha ini berjalan lancar, insya-Allah," ujarnya.
Terdahulu, Ahmad Samsuri berkata kerajaan negeri akan mengoptimumkan hasil pendapatan negeri melalui Pelan Penjanaan Pendapatan Baharu Negeri Terengganu yang mengandungi tujuh strategi bagi mengurangkan kebergantungan kepada hasil royalti petroleum dan gas serta krisis kekurangan simpanan minyak.
Katanya, pelan itu juga menggariskan tiga objektif utama iaitu mengoptimumkan sumber negeri sedia ada, mengeksplorasi sumber baharu negeri serta mencari peluang jana pendapatan baharu terutamanya dalam sektor teknologi hijau dan REE.
22 Mar 24
1647
Buat Laporan Jika Peniaga Bazar Buka Awal
KUALA TERENGGANU, 17 Mac - orang ramai diminta mengajukan aduan kepada petugas yang ditempatkan di bazar-bazar Ramadan ataupun menggunakan saluran yang betul kepada pihak berkuasa tempatan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan & Kesihatan Negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah menyeru kerjasama daripada orang ramai yang melihat peniaga makanan yang memulakan perniagaan sebelum jam 3.00 petang, supaya boleh melaporkan secara terus kepada penguatkuasa atau petugas yang ditempatkan di setiap bazar.
"Boleh juga membuat panggilan terus kepada PBT berkaitan supaya kami boleh mengambil tindakan segera.
"Kalau aduan di Facebook, jika kita baca, kita boleh ambil tindakan kerana aduan yang tidak proper pun kita akan ambil tindakan tetapi ada beberapa kemungkinan di mana mungkin kita terlepas pandang.
Tetapi pastikan apa yang diadukan itu adalah benar dan ada bukti, sebab ada kes yang dilaporkan apabila kita turun ia tidak berlaku sebagaimana maklumat yang disampaikan, jadi tidak bagus begitu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas membuat tinjauan bersama Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Terengganu (PPPKMT) di bazar Ramadan di Dataran Syahbandar, semalam.
Dalam program berkenaan, Wan Sukairi turut mengagihkan apron kepada peniaga-peniaga disamping menasihati mereka supaya menjaga kebersihan dan mengikut peraturan ditetapkan.
"Kepada peniaga, saya menyeru supaya jangan buka (mula berniaga) sebelum jam 3.00 petang. Saya beranggapan mereka (yang pernah dilaporkan) bukan memulakan perniagaan sebaliknya membuat persiapan seperti membersihkan kedai pada waktu itu.
"Kita meniaga ini disamping hendak cari rezeki kita juga ingin cari keberkatan sepanjang bulan Ramadan ini," ujarnya.
17 Mar 24
215