lightning-solid
Berita :

Artikel "Ekonomi" Terkini

Hampir 40 Tahun FELDA Kaut Untung, Hak Rakyat Terengganu Dianggap 'Enteng'
Hampir 40 Tahun FELDA Kaut Untung, Hak Rakyat Terengganu Dianggap 'Enteng'
KUALA TERENGGANU, 28 Julai- Hampir 40 tahun Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) mengusahakan tanah seluas 13,686 hektar milik kerajaan negeri Terengganu tanpa memberikan hak yang sepatutnya kepada kerajaan negeri. Pengerusi Jawatankuasa Pertaniah, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Dr Azman Ibrahim memaklumkan, tuntutan negeri terhadap hasil keuntungan yang dituai selama 39 tahun itu dipandang ringan serta ruang perbincangan yang dibuat sebelum ini tidak disambut sebaiknya. "Dengan pendekatan yang lebih tegas, FELDA akhirnya datang ke meja rundingan pada 21/3/2024 dan 11/6/2024. Fokus utama rundingan ialah berikan hak rakyat Terengganu dalam bentuk bayaran premium tanah, cukai tanah dan perkongsian keuntungan.  "Bayaran FELDA diterima pada tahun 2010 sebanyak RM55 juta, tetapi ia lebih kepada bayaran sebelah pihak tanpa ada apa-apa penyelesaian. Pihak FELDA  berbincang dengan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan membuat pembayaran walaupun kita tidak pernah bersetuju dengan kadar yang dibayar itu. "Bayaran itu dimasukkan ke dalam tabung amanah, jadi duit itu ada tetapi kita belum terima sehingga ada penyelesaian muktamad tentang kadar dan angka-angka yang kita boleh persetujui bersama," katanya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap, Azmi Maarof pada Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-15 di Wisma Darul Iman, hari ini. Menurut Dr Azman, apa yang menjadi pertikaian utama ialah kadar perkongsian keuntungan yang dituntut kerajaan negeri. "Kerajaan negeri berpegang pada perbincangan awal sebelum ini iaitu sebanyak 30 peratus daripada keuntungan kasar (gross profit), manakala FELDA menawarkan sebanyak 50 peratus pendapatan bersih (net profit), tetapi kita tidak setuju. "Sebagai contohnya, beberapa tahun kebelakangan ini FELDA kata mereka rugi, jadi saja (sia-sia) lah negeri kerana kita tidak akan dapat apa-apa. "Sebab itu, kita tekankan kepada 'gross profit' kerana tidak adil bagi kita yang kena tanggung segala kos, urusan operasi, akhirnya mereka isytiharkan kerugian dan negeri tidak mendapat apa-apa. "FELDA kemudian mencadangkan 15 peratus keuntungan kasar, tetapi belum lagi kita persetujui dan kita mahu runding lagi," ujarnya. Beliau menambah, urusan selanjutnya sedang diteliti di peringkat 'working comitte' untuk penelitian lanjut beberapa perkara teknikal antaranya keluasan sebenar tanah kerana sebahagian tanah yang diberikan kepada Felda telah diambil untuk projek LPT2 dan ECRL. "Kerajaan negeri tidaklah tegar sehingga tiada perbincangan langsung, kita ada ruang-ruang perbincangan dan di peringkat 'working comitee' akan memperincikan perkara ini," jelasnya.
29 Jul 24
224
Penubuhan LAUT Tambah Hasil Baru Buat Negeri
Penubuhan LAUT Tambah Hasil Baru Buat Negeri
KUALA TERENGGANU, 28 Julai – Penubuhan Lembaga Sumber Air Terengganu (LAUT) dijangka membawa impak positif kepada seluruh rakyat Terengganu dalam pengurusan sumber air dan tambahan pendapatan buat negeri. Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, LAUT membolehkan Terengganu mengoptimumkan kekayaan sumber yang tidak dilaksanakan sebelum ini. “Penubuhan LAUT ini sama juga dengan kebanyakan negeri di Malaysia yang telah memperuntukkan kuasa melalui enekmen negeri masing-masing untuk membolehkan hasil dikutip daripada penggunaan sumber air, ia bukan air laut sahaja, bahkan turut melibatkan penggunaan air sungai. “Pelbagai kategori diperkenalkan dan kebanyakan pihak industri dan komersial kita kenakan cas-cas tertentu (sebelum ini percuma). “Alhamdulillah dari segi pelaksanaan kita ambil masa yang sekejap, ada negeri setelah 10 tahun enakmen itu dibuat, barulah ia dapat dilaksanakan di kawasan berkenaan,” jelasnya. Beliau  berkata demikian  dalam sidang media selepas merasmikan program Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, baru-baru ini. Menurutnya, LAUT akan berperanan dalam merancang, mengurus dan menyelaras segala aktiviti berkaitan sumber air di negeri Terengganu. “Alhamdulillah di negeri Terengganu, bagi tahun pertama kita bagi ‘grace period’ (tempoh ehsan), bagi pemahaman dengan mengadakan libat urus untuk menjelaskan kepada mereka kenapa timbul kutipan ini. “Tahun kedua kita mengenakan dengan kadar-kadar yang munasabah dahulu, ada insentif dan kita boleh dapat kutipan dengan jumlahnya bertambah,” ujarnya.   Samsuri turut menjelaskan bahawa ada penambahan  pendapatan tetapi tidak dinyatakan jumlah. “Saya tak nak beri jumlah berapa mungkin dalam Sidang DUN ada soalan yang berkaitan dengan jumlah kutipan hasilnya ada enakmen ini,” tambah beliau lagi.
28 Jul 24
2283
'Terengganu Tuntut Royalti, Bukan Persoal Perbelanjaan Pembangunan'
'Terengganu Tuntut Royalti, Bukan Persoal Perbelanjaan Pembangunan'
MARANG, 21 Julai - Kerajaan Terengganu menegaskan bahawa pihaknya menuntut Kerajaan Persekutuan melunaskan pembayaran lima peratus daripada hasil minyak atau royalti petroleum, bukan mempersoalkan mengenai perbelanjaan pembangunan. Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bayaran royalti petroleum dan perbelanjaan pembangunan adalah dua perkara yang sangat berbeza. "Yang dipersoalkan oleh pentadbiran kerajaan dan juga rakyat negeri Terengganu adalah perolehan Dana Khas Kerajaan Persekutuan atau wang ehsan yang kita panggil sebagai royalti. "Ia berbeza antara 'developement expenditure', 'rolling plan' daripada Rancangan Malaysia dengan pendapatan hasil royalti," ujarnya sambil berkata tidak adil mengaitkan perbelanjaan pembangunan dengan royalti minyak yang sememangnya menjadi hak rakyat Terengganu. Ahmad Samsuri berkata demikian ketika ditanya mengenai peruntukan pembangunan di Terengganu yang meningkat kepada RM7.23 bilion pada tahun ini berbanding RM5.99 bilion pada 2022. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, ia membabitkan projek negeri dan Persekutuan sekali gus menunjukkan dakwaan kerajaan Persekutuan menyekat peruntukan untuk Terengganu tidak benar. Mengulas mengenai dakwaan perbelanjaan pembangunan untuk Terengganu meningkat di bawah Anwar Ibrahim berbanding ketika pemerintahan terdahulu, Ahmad Samsuri berkata perkara itu sangat mengelirukan. "Perbelanjaan pembangunan yang berlaku bukan sehari dua tetapi mengambil masa daripada tahun sebelum-sebelum ini lagi, ada 'developement expenditure' melibatkan projek-projek tertentu yang ambil masa bertahun-tahun atau lima tahun. "Ada projek zaman atau sebelum zaman Tan Sri Muhyiddin Yassin lagi dan juga Dato' Seri Ismail Sabri, sebelum daripada PM10 lagi, jadi kalau kita hendak banding perbelanjaan pembangunan begiitu tidak adillah, tetapi kita hargai apa jua jumlah peruntukan yang diberikan," jelasnya.    
21 Jul 24
1061
MRL Utamakan Rakyat Terengganu Bagi 3,200 Peluang Kerja ECRL
MRL Utamakan Rakyat Terengganu Bagi 3,200 Peluang Kerja ECRL
KUALA LUMPUR, 16 Julai - Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) memberi jaminan untuk mengutamakan rakyat Terengganu bagi 3,200 peluang pekerjaan di sepanjang Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) apabila memulakan operasi pada Januari 2027. Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwish Abdul Razak berkata, pihaknya telah berbincang dengan Kerajaan Terengganu bagi menyediakan tenaga kerja dan sumber manusia khususnya di enam stesen ECRL di negeri tersebut. Katanya, Terengganu juga akan merasai limpahan ekonomi dan kemajuan sebaik ECRL beroperasi. "Jadi tentunya kerajaan negeri perlu bersedia menyediakan keperluan tenaga kerja dan sumber manusia pada masa akan datang (fasa pengoperasian). "Saya rasa perkara ini perlu diperhalusi, diperbincangkan lagi dengan lebih mendalam," ujarnya ketika ditemui urus Setia Penerangan Darul Iman, selepas menerima kunjungan Kerajaan Negeri Terengganu di sini, semalam. Delegasi itu telah diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi Dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Ariffin Deraman. Turut hadir, Pengarah Unit Pembangunan Ekonomi Negeri (UPEN) Terengganu, Datuk Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak dan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu (THRDC), Aminuddin Omar serta wakil daripada Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dari Terengganu. Dalam pada itu, Ariffin Deraman pula berkata pertemuan yang diadakan itu sangat bermakna dalam usaha kerajaan negeri memastikan rakyat negeri Terengganu akan diberikan keutamaan untuk mendapat peluang pekerjaan. "Hasil pertemuan sangat memberangsangkan, kalau kita tidak berjumpa maka kita tidak tahu akan peluang pekerjaan begitu banyak untuk rakyat Terengganu. Besar harapan agar rakyat Terengganu diberikan peluang untuk mendapatkan peluang pekerjaan yang ada," katanya. Justeru katanya, kerajaan negeri akan berusaha menyediakan tenaga kerja yang akan mengisi segala peluang pekerjaan itu, rakyat Terengganu akan dilatih dengan kemahiran tinggi bagi mengisi kekosongan itu nanti. "Insya-Allah kita akan bertindak atas persetujuan bersama untuk membuat Memorandum Persefahaman (MoU) berdasarkan objektif utamanya, rakyat Terengganu akan mendapat pekerjaan di bawal MRL. Dari segi berapa jumlah pekerjaan yang akan diisi itu nanti  tidak dibincangkan lagi. "Apa yang pasti dengan adanya ECRL ini dia akan menjadikan kawasan di sekitar enam stesen di Terengganu ini akan mengalami pembangunan yang pesat dari Kemaman sehingga ke Besut," ujarnya.  
16 Jul 24
2467
Bengkel Jemari Emas Martabatkan Produk Tempatan
Bengkel Jemari Emas Martabatkan Produk Tempatan
MARANG, 16 Julai - Kelas jahitan 'Bengkel Jemari Emas' yang disertai golongan Wanita DUN Rhu Rendang terutama suri rumah dan ibu tunggal  menjadi platform terbaik bagi meningkatkan kemahiran untuk menambah pendapatan keluarga serta memartabatkan produk kraftangan tempatan. Isteri Menteri Besar Terengganu, To' Puan Seri Faizah Tuan Ab Rahman berkata, adalah menjadi harapan agar Bengkel Jemari Emas yang dilaksanakan itu akan memperkasakan golongan hawa di DUN tersebut yang akan melahitkan bakat-bakat baru sekali gus berupaya menjana eknomi keluarga. "Ini sangat penting bagi memastikan lebih ramai rakyat membudayakan penggunaan produk kraf tempatan dalam kehidupan seharian, seterusnya dapat mempromosikan produk buatan Malaysia. “Bengkel ini memberi ruang dan peluang untuk membuka untuk menjana pendapatan dan Galeri Khairunnisa’ dan juga boleh memasarkan produk tersebut. “Sebelum ini kita melaksanakan jemari emas ini di peringkat parlimen yang mana saya sendiri yang mengajar dan peserta seramai 20 orang, tetapi kali ini saya laksanakan di semua DUN di Terengganu sebanyak 32 DUN untuk berkongsi ilmu jemari emas ini atas faktor permintaan penyertaan yang tinggi,”ujarnya. Beliau berkata ketika ucapan program Bengkel Jemari Emas di Dewan Taman Medan Jaya I, semalam. Turut hadir bersama Ketua Penolong Pengarah(Pembangunan Komuniti) Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu, Wan Zulfazlee Wan Mustaffa, Pegawai Yayasan Pembangunan Keluarga Marang, Zainur Suhada Mamat dan isteri-isteri wakil rakyat Khairunnisa’.        
16 Jul 24
214
Industri Nyahkarbon Beri Pulangan Lumayan Buat Terengganu
Industri Nyahkarbon Beri Pulangan Lumayan Buat Terengganu
KUALA TERENGGANU, 14 JULAI - Projek industri Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) yang bakal dilaksanakan di Kerteh, Kemaman akan menghasilkan pulangan lumayan buat rakyat, negeri dan negara. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, langkah segera bagi menjayakan perancangan itu telah diambil termasuk dengan mengadakan libat urus bersama Kementerian Ekonomi dan pelbagai jabatan serta agensi di peringkat negeri dan persekutuan. Katanya, manfaat industri CCUS amat besar dan penting bagi Terengganu kerana ekosistem yang dibuat akan menjana pendapatan baharu. “Di peringkat kerajaan negeri melalui entiti GLC, kami telah mengadakan perbincangan awal dengan Petronas terlibat menjadi rakan kongsi dalam CCUS. “Tugas kita ialah pastikan kerajaan sediakan semua kerangka jadi pihak swasta melaksanakan,” jelas beliau. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak pemberita selepas Sesi Libat Urus bersama Kerajaan negeri Terengganu mengenai pelaksanaan inisiatif CCUS, di Tingkat 17, Wisma Darul Iman, hari ini. Sementara itu, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menjelaskan bahawa CCUS adalah projek rintis dalam pelan peralihan tenaga negara, dengan Terengganu sebagai negeri peneraju kerana potensi besar dalam industri minyak dan gas  di Kerteh. “Di peringkat Kerajaan Persekutuan kami sedang memuktamadkan Rang Undang-Undang untuk dibentangkan dalam bulan November 2024 dan keputusan mengenai pelaburan dibuat selepas rang undang-undang itu dimuktamadkan. “Perbincangan dengan pelabur dan pelanggan antarabangsa sedang berjalan serta keputusan besar kemungkinan akan dapat dimuktamadkan dalam tahun 2025.   “Tetapi kita sedia maklum pelaburan untuk setiap satu fasiliti CCUS yang lengkap daripada terminal sampai ke luar pesisir pantai selalunya dalam lingkungan RM20 bilion.  “Jadi itu sebenarnya potensi yang ada untuk pelaburan kesat limpahan ekonomi kepada Terengganu, kalau kita berjaya susun dengan baik,” ujar Rafizi. Beliau menambah, empat buah negeri dikenal pasti berpotensi besar untuk memanfaatkan teknologi pembangunan sektor CCUS di negara ini. “Perancangan kita melibatkan empat tapak dan potensi yang ada adalah setakat ini melibatkan negeri Terengganu, Pahang, Sabah dan Sarawak jadi Kementerian Ekonomi sedang bekerjasama dengan empat buah negeri untuk memastikan semua berjalan baik. “Kita memastikan dalam perancangan CCUS peringkat nasional semua berada dalam keadaan baik supaya pelanggan daripada luar negara boleh menilai kemajuan  dan potensi projek ini,” tambah beliau.
14 Jul 24
1171
Usahawan Kayu Rotan Masih Relevan
Usahawan Kayu Rotan Masih Relevan
MARANG, 11 Julai - Di tengah hiruk-pikuk kota yang semakin moden, terselit sebuah kedai kraftangan yang menawarkan keindahan dan keunikan kraf tangan tradisional melalui penjualan dan penggunaan kayu rotan ketika ini yang membuktikan ia masih relevan untuk hiasan rumah dan penggunaan harian.   Usahawan Kraftangan, Ramlah Binti Abdul Rashid, 56, yang lebih mesra dengan panggilan “Mok Su” berkata ketika  memulakan perniagaan  agak kurang sambutan, dan pendapatan pada ketika itu tidak menentu. Katanya, kadang-kadang mencecah rm1000 sebulan dan kadang-kadang tidak mencecah. "Kalau masa dahulu niaga,memang mendapat sambutan yang sangat meriah hingga mencecah rm1000 sehari tapi sekarang agak menurun.   “Alhamdulillah, melalui perniagaan ini direzekikan dapat menunaikan umrah dan haji, Mok Su tidak risau dengan barang kraftangan ini sebabnya tidak akan buruk dan basi, "ujarnya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di premis perniagaannya, baru-baru ini.  Mengulas lebih lanjut katanya, berputik meminati bidang kraftangan itu bermula dengan pengalaman pernah mengambil upah menjaga perniagaan itu.  “Dulu ada seorang minta jaga dan jual barang kraftangan ini,selepas dari kematian tuan milik kedai ini, Mok Su ambil alih meneruskan usaha perniagaan ini lebih 15 tahun yang lalu, "katanya.    Kraftangan ini ujarnya, bukan sekadar produk sebaliknya menjadi simbol kekayaan budaya dan mencerminkan identiti  tempatan. " Dalam setiap anyaman, tersirat cerita dan makna yang mendalam, menggambarkan keindahan dan keunikan warisan budaya yang tak ternilai harganya. “Kebanyakkan pelanggan datang ke kedai ini ialah orang luar dan kebiasaannya ramai pelanggan membeli pada cuti persekolahan. Antara keunikkan dan permintaan tinggi disini adalah tudung saji. “ Kedai Kraftangan ini dikenali 'Islah Handycraft' ini tidak hanya menjadi tempat menjual kayu rotan, tetapi juga menjadi tempat bertemunya para pecinta seni dan budaya, "katanta. Tambahnya lagi melalui Karya anyaman itu menjadi peringatan  akan pentingnya menjaga dan melestarikan warisan budaya, agar tidak hilang di tengah derasnya arus modenisasi.  Katanya lagi, barang kraftangan berkenaan sukar diperolehi disini sebaliknya semua barang ini diambil dari luar negeri kerana kekurangan tenaga kerja dan kayu rotan pada masa kini.  “Kebanyakkan kayu rotan ini ditempah dari johor dan melaka,”katanya.  Katanya lagi lokas Kawasan perniagaanya senang ditemui kerana berada terletak di tempat yang strategik di tepi jalan memudahkan orang membeli disamping menarik perhatian tiap kali orang lalu di sini. “Memilih lokasi ini kerana berdekatan dengan rumah dapatlah mengisi masa lapang dengan perniagaan ini daripada tidak buat apa-apa,”katanya. Akhir sekali, dia menitipkan nasihat dan pesanan kepada orang muda yang mahu menceburi usahawan kraftangan mulakan dengan membeli barang sedikit demi sedikit dahulu.        
11 Jul 24
628
Terengganu Optimis Capai 1GW Tenaga Solar 2029
Terengganu Optimis Capai 1GW Tenaga Solar 2029
MARANG, 10 Julai - Kerajaan Terengganu menyasarkan penghasilan sumber tenaga solar sebanyak satu gigawatt (GW) dalam tempoh lima tahun akan datang. Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sebagai permulaannya ialah projek solar terapung di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu dengan kapasiti 400 Megawatt (MW). "Fasa berikutnya adalah sebanyak 600 MW, yang akan membawa kapasiti tenaga solar di Terengganu kepada 1 GW dalam tempoh lima tahun akan datang. "Sasaran ini juga merangkumi, peningkatan kapasiti penjanaan tenaga boleh baharu, kepada sekurang-kurangnya 31 peratus daripada jumlah keseluruhan kapasiti penjanaan tenaga negara menjelang tahun 2025," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis pelancaran loji janakuasa solar Cypark Solar Merchang yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini hari ini. Beliau menambah, usaha itu juga dapat mengurangkan intensiti pelepasan karbon sebanyak 45 peratus berbanding KDNK pada tahun yang sama. Berdasarkan rekod, ketika ini jumlah penjanaan tenaga boleh diperbaharui semasa di Terengganu adalah sebanyak 1,012 Megawatt (MW) meliputi solar (333.213 MW), hidro (665 MW), mini hidro (8.7 MW) dan biogas (6 MW). Ahmad Samsuri percaya, dengan adanya sokongan padu daripada kerajaan persekutuan, pihak swasta dan masyarakat setempat, sasaran tenaga boleh baharu yang telah ditetapkan akan dapat dicapai. "Pembinaan tenaga boleh baharu ini akan memberikan manfaat rantaian ekonomi kepada masyarakat setempat, melalui penciptaan peluang pekerjaan dan peluang perniagaan, keperluan tenaga kerja dengan menyediakan peluang latihan dan peningkatan kemahiran kepada penduduk setempat.  "Selain itu, kerajaan negeri juga komited untuk memperkenalkan lebih banyak insentif dan dasar yang mesra alam bagi menarik lebih banyak pelaburan dalam sektor tenaga boleh baharu sebagai salah satu kaedah untuk menjana pendapatan negeri menerusi kerjasama equity dengan syarikat berkaitan negeri (GLC) dari Terengganu sendiri," katanya.
10 Jul 24
1003
Terengganu Bakal Dirikan Kilang LNG
Terengganu Bakal Dirikan Kilang LNG
KUALA TERENGGANU, 8 Julai - Terengganu bakal mendirikan kilang ketiga di Malaysia yang membotolkan gas 'Liquefied Natural Gas' (LNG) selepas Johor dan Melaka. Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman, berkata ia akan digunakan untuk keperluan industri yang ada di dalam negara sekali gus menjadi sumber pendapatan baharu Terengganu. Ujarnya, gas itu diimport dari luar negara dan dibawa masuk ke negeri ini melalui Pelabuhan Kemaman dengan kerjasama syarikat ENH Sdn Bhd. "Setakat ini Johor dan Melaka membekalkan LNG ini untuk kegunaan industri di sebelah pantai barat dan utara Malaysia iaitu Johor, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Perak hingga ke Pulau Pinang, "Sebelah pantai timur belum ada lagi 'bottling plant' dengan diwujudkan di negeri ini, jadi kita akan menguasai pasaran di sebelah pantai timur," ujarnya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), mengulas mengenai kilang LNG yang akan dibuka di Terengganu, baru-baru ini. Mengulas lebih lanjut katanya, ia akan didirikan di tapak tanah kepunyaan EPIC Berhad yang telah dipersetujui antara pihak terlibat dan kini dalam proses akhir untuk menandatangani perjanjian. "KIta sangat berharap dengan wujudnya kilang atau 'plant' ini kita mampu menguasai pasaran di sebelah Pantai Timur, ia akan menjadikan Terengganu negeri ketiga akan ada 'bottling plant' "Satu lagi maklumat, di Malaysia import dan eksport LNG ini hanya di Bintulu Sarawak, jadi syarikat ENH yang akan bekerjasama dengan EPIC dengan menyewa tapak anak syarikat kerajaan negeri, mereka juga turut berhasrat menyediakan 'LNG Storage' di Pelabuhan Kemaman. "Apabila ada 'LNG Storage', produk yang kita import akan disimpan di sana, ini akan menjadikan Kemaman tempat kedua adanya aktiviti import dan eksport ini selepas Bintulu, Sarawak," katanya.
08 Jul 24
3578
Libatkan Kerjasama Negeri Agar Pelajar TVET Dapat Manfaat
Libatkan Kerjasama Negeri Agar Pelajar TVET Dapat Manfaat
KUALA LUMPUR, 3 Julai - Dalam usaha memperkasakan pendidikan TVET, kerajaan disarankan turut melibatkan kerjasama rapat dengan kerajaan negeri.  Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli mencadangkan demikian supaya para pelajar TVET dari seluruh negara dapat menikmati manfaatnya.  "Saya juga berharap komuniti Orang Asli juga seharusnya tidak dipinggirkan daripada inisiatif tersebut dalam meningkatkan peluang mereka dalam pasaran kerja 'high skill dan high salary'," katanya. Saranan tersebut disuarakan dalam sesi soal jawab di Sidang Parlimen menerusi soalan bertulisnya. Beliau memnta Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah menyatakan perancangan pengekalan bakat (talent retention) para graduan TVET Malaysia-China Institute (MCI) agar kemahiran mereka dapat dimanfaatkan dalam industri tempatan dan tidak mengalir ke luar negara. Menteri Kemajuan Desa & Wilayah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata lepasan MCI tidak akan bekerja dengan syarikat China di negara China.  "Sebaliknya akan pulang dan bekerja sama ada dengan syarikat Malaysia atau syarikat China di Malaysia sebagai sebahagian daripada strategi pelaburan negara tersebut menggunakan tenaga kerja tempatan. "Kerajaan juga menyediakan kuota untuk mengikuti latihan ini kepada pelajar kaum Cina (500), kaum India (200), dan pelajar dari Sabah (200) dan Sarawak (200)," ujarnya lagi.
03 Jul 24
111