Artikel "Ekonomi" Terkini
Esok Hari 'Genting' Kumpulan SG4
KUALA LUMPUR, 1 September - Esok akan menjadi tlhari 'genting' buat empat negeri iaitu Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis yang membentuk 'State Government 4' atau (SG4).
Isnin ini halatuju dan beberapa resolusi membabitkan pakatan terbabit dijangka bakal diumumkan sempena Sidang Kemuncak SG4 yang diadakan di Bangi, Selangor.
Sebelum ini Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, SG4 memfokuskan kepada lima kluster iaitu infrastruktur dan logistik; perdagangan, pelaburan dan perniagaan termasuk industri pelancongan; pertanian dan sekuriti makanan; perundangan dan modal insan; dan sumber dan pendapatan baharu.
Menurut beliau, perkara yang dirangkakan menerusi SG4 adalah untuk memberi nilai tambah selain elemen baharu boleh diusahakan bagi membantu sesama negeri yang ada dalam gabungan tersebut.
"Kerjasama strategik itu adalah bermatlamatkan untuk meningkatkan daya saing dan daya tahan (resilient) di empat negeri berkenaan, pentadbiran yang berkesan dan kewangan yang kukuh.
"Selain itu, sosio ekonomi yang mampan dan pembangunan yang lestari; menerusi pengkongsian intelektual dan pelbagai sumber secara optimum antara negeri-negeri, termasuklah di syarikat berkaitan kerajaan dan badan berkanun di negeri-negeri terbabit," jelasnya.
Umum mengetahui, sumber baharu seperti Unsur Nadir Bumi (REE) yang ada di negeri-negeri terbabit cukup tinggi dengan Terengganu menjadi penyimpan deposit REE terbesar di Malaysia.
Beberapa kerjasama dalam sektor-sektor lain seperti teknologi hijau, pelancongan, pertanian dan pembuatan dijangka akan turut dilancarkan.
Difahamkan tokoh-tokoh besar ekonomi akan hadir dalam sidang kemuncak SG4 esok.
01 Sep 24
1757
300 Asnaf DUN Cukai Terima Sumbangan
KEMAMAN, 28 Ogos - Seramai 300 keluarga diraikan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Cukai dalam Program Sumbangan Asnaf,baru-baru ini.
Adunnya, Hanafiah Mat berkata, program sebegini sentiasa diadakan secara berperingkat dan dari masa ke semasa.
"Kami di peringkat kerajaan negeri sentiasa memahami keadaan rakyat yang mana golongan asnaf perlu diberikan perhatian.
"Walau apa jua situasi yang berlaku, kebajikan kepada masyarakat perlu diteruskan.
"Kami akan berusaha sedaya upaya untuk memberikan khidmat yang terbaik bagi membela nasib rakyat terutamanya untuk golongan asnaf," ujarnya ketika menyampaikan ucapan dalam majlis tersebut.
Dalam majlis yang berlangsung di Dewan Sivik Gong Pauh itu, Hanafiah telah menyampaikan sumbangan berbentuk wang tunai dan beras.
Mereka terdiri daripada asnaf yang tinggal di Kampung Gong Pauh, Taman Perumahan Gong Pauh, Jalan Dato dan Kampung Jaya.
Dalam pada itu, Hanafiah turut mengadakan program yang sama di beberapa kawasan yang lain termasuk Kampung Dusun Nyior, Kampung Pengkalan Pandan dan Kampung Kubang Kurus.
28 Aug 24
270
Terengganu Sepatutnya Terima Royalti Seperti Sabah, Sarawak
MARANG, 18 Ogos - Terengganu sepatutnya menerima royalti minyak sebagaimana diterima oleh negeri Sabah dan Sarawak berdasarkan perkara yang termaktub di dalam Akta Kemajuan Petroleum 1974.
Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, tidak sewajarnya berlaku dikriminasi terhadap negeri yang diperintah oleh PAS sedangkan Sabah dan Sarawak bebas menikmati hasil kekayaan bagi memajukan negeri.
Ujarnya, dalam perjanjian ketika zaman pemerintahan Perdana Menteri Malaysia Ke-2, Tun Abdul Razak yang mempunyai semangat kebangsaan tinggi telah melaksanakan amanah mengikut isi kandungan akta itu bahawa negeri pengeluar minyak layak menerima royalti lima peratus.
"Dalam tahun 70-an minyak ditemui di Terengganu, negeri dapat royalti lima peratus anggarannya antara RM400 hingga RM500 juta.
"Tahun 1999 PAS ambil alih Terengganu dan kita telah membuat perjanjian sekiranya menang Pilihan Raya 1999 kita akan hapuskan cukai pintu kediaman, cukai bakul di pasar, cukai nelayan kecil dan kita hapuskan tol di Jambatan (Pualau Duyong) Terengganu.
"Apabila kita menang, pada awalnya dibayar lagi royalti ini sebanyak dua kali setahun dalam bulan Mac dan Ogos, kita terima hasil dalam keadaan kita hapuskan cukai-cukai yang saya sebut tadi, kita kehilangan berjuta-juta tetapi duitnya masih ada (untuk rakyat)," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Santai Bersama Murabbi, di Dewan Tok Guru, Rusila Marang, di sini, baru-baru ini.
Mengulas lebih lanjut katanya, tindakan UMNO Terengganu membawa usul memohon agar royalti negeri ini ditarik balik pada tahun 2000 amat dikesal, sedangkan Perdana Menteri, Tun Mahathir pada ketika itu mengakui bahawa royalti itu adalah hak Terengganu.
"Dalam perhimpunan agung, UMNO Terengganu bawa usul supaya hapuskan royalti minyak negeri Terengganu padahal benda macam ini bukan hak UMNO sepatutnya di bawa ke parlimenlah.
"Kerana desakan UMNO Terengganu, Tun mahathir kata beria sangat hendak jadi hapuslah royalti
"Lepas itu ketika kita (PAS) jatuh UMNO naik balik, mengigau hendak ambil balik royalti, tetapi Tun Mahathir tidak beri (pada waktu itu), " ujarnya.
19 Aug 24
4964
Malaysia Border Trade Fair di Songkhla Platform Usahawan Terengganu Berkembang
SONGKHLA, 15 Ogos - Songkhla Thailand - Malaysia Border Trade Fair 2024 yang berlangsung di Siang Tung Park, Hat Yai, Thailand memberi peluang yang baik kepada usahawan dari Thailand dan Malaysia untuk mempamer dan mempromosi produk mereka.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Terengganu, Ariffin Deraman, berkata kehadirannya mewakili kerjaan negeri Terengganu ke festival yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Thailand, sebagai tanda sokongan pihaknya terhadap kerjasama perdangangan antara Thailand dan Malaysia.
"Tujuan utama hadir di acara ini mestilah untuk memberi galakan dan sokongan kepada usahawan Terengganu yang mengambil bahagian dalam pesta perdagangan dua negara ini yang menjadi platform untuk melihat secara dekat produk-produk inovatif dan berkualiti tinggi yang dihasilkan oleh usahawan Terengganu.
"Sekaligus mempromosikan potensi perniagaan mereka di pasaran antarabangsa.
"Kerajaan Negeri Terengganu sangat menggalakkan dan memberikan sokongan penuh kepada para usahawan Terengganu yang berusaha untuk menembusi pasaran luar negara bagi memasarkan produk mereka,"ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) semasa menghadiri program terbabit, di sini, baru-baru ini.
Mengulas lebih lanjut katanya, setiap produk usahawan Terengganu mempunyai keistimewaan tersendiri dan berpotensi untuk dipasarkan di luar negara di samping usaha gigih daripada mereka sendiri untuk lebih kreatif dalam memasarkan produk mereka juga wajar dipuji.
"Kita berharap agar dapat membuka lebih banyak peluang perniagaan untuk usahawan kita mempromosikan produk-produk mereka ke peringkat yang lebih tinggi.
"Kita juga berharap lebih ramai usahawan Terengganu dapat menyertai acara yang diadakan di luar negara seperti ini bagi meneroka dan meluaskan pasaran produk masing-masing bukan sahaja di rantau Asia malah di seluruh dunia," katanya.
Ujarnya lagi, Kerajaan Negeri Terengganu dan agensi-agensi keusahawanan akan terus menyokong dan membantu para usahawan Terengganu untuk mencapai kejayaan di peringkat global.
16 Aug 24
97
KMI Taman Desa Serah Zakat Terbesar
KUALA TERENGGANU, 12 Ogos - Anak Syarikat kerajaan negeri Terengganu, Kumpulan Medic Iman Sdn. Bhd. (KMI Healthcare) menyerahkan zakat perniagaan terbesar kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu ( MAIDAM).
Pengerusi KMI Taman Desa, Dr. Azman Ibrahim, zakat tersebut diserahkan melalui anak Syarikatnya KMI Taman Desa Medical Centre (TMDC) Sdn Bhd berjumlah RM54,214.80.
"Dana tersebut bakal digunakan untuk menyokong pelbagai inisiatif amal dan program di bawah naungan MAIDAM, terutamanya dalam meningkatkan kesejahteraan komuniti setempat serta membantu golongan yang memerlukan.
"Secara langsung, melalui program ini dapat mengukuhkan lagi komitmen KMI
Healthcare terhadap tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan khidmat kepada masyarakat," jelasnya.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri berkata demikian dalam sidang media pada Majlis Penyerahan Wang Zakat di Hotel Primula, hari ini.
Dr Azman menekankan bahawa zakat bukan hanya rukun Islam tetapi juga alat untuk memupuk keharmonian sosial dengan mengurangkan jurang kemiskinan dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat.
"KMI Healthcare berperanan dalam memastikan dana zakat ini sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan dengan kerjasama MAIDAM.
"Sumbangan zakat kami adalah bukti dedikasi syarikat terhadap pembangunan komuniti dan kebajikan sosial,” tambah Dr. Azman.
Beliau menambah, pada 6 Disember tahun lepas,
KMI Taman Desa telah dinobat sebagai 'Best Multi-Disciplinary Community Specialist
Hospital' di Anugerah BrandLaureate 2023.
12 Aug 24
154
Pensyarah Antarabangsa Gesa Pemimpin Sambut Idea Geopolitik, Ekonomi Dr Sam
KUALA TERENGGANU, 8 Ogos - Ahli akademik luar negara menggesa badan pemikir dan pemimpin utama Malaysia menyambut saranan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dalam mendepani ketidakpastian geopolitik dan ekonomi.
Pensyarah Kanan Bahagian Politik, Universitas Sumatera Utara (USU), Medan, Indonesia, Dr. Warjio berkata, Ahmad Samsuri menyatakan bertahan menghadapi ketidakpastian geopolitik dan ekonomi tidak cukup dengan hanya memiliki majlis ekonomi standard.
“Sebaliknya semua pemimpin berbeza latar belakang perlu duduk bersama pemegang taruh seperti peniaga, ahli ekonomi, pemain industri, masyarakat sivil, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), penasihat undang-undang, pakar teknologi dan sebagainya.
“Jika ingin mengurangi semua ketidakpastian geopolitik dan ekonomi, kita perlu melihat setiap negara secara individu, untuk melihat mereka miliki, keadaan ekonomi, demografi dan sebagainya kerana satu penyelesaian mungkin berfungsi di sebuah negara tetapi tidak berfungsi di negara lain,” katanya memetik idea Ahmad Samsuri.
Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran badan pemikir baharu, The Future Research (Penyelidikan Masa Depan, TFR) di Putrajaya baru-baru ini.
Hadir sama Ahli Ekonomi Kanan dari Pejabat Ketua Ekonomi Asia Timur dan Pasifik (EAPCEO), Kumpulan Bank Dunia, Dr. Aakash Mohpal, Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Ailsa Terry dan Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Danielle Heinecke.
Terdahulu ujar Dr. Warjio, Pakar Aeroangkasa itu menyatakan ketidakpastian geopolitik timbul daripada pelbagai isu global dan serantau, termasuk konflik geopolitik, keselamatan alam sekitar dan sumber, keselamatan dan pengurusan risiko dan kesihatan serta pandemik.
“Ketidakpastian ekonomi pula dinyatakan berpunca daripada pelbagai faktor, termasuk ekonomi, perdagangan dan rantaian bekalan, pasaran serta kewangan, teknologi dan pasaran buruh serta faktor politik selain alam sekitar,” jelasnya.
Tambah Dr Warjio, beberapa saranan lain untuk menangani ketidakpastian geopolitik dan ekonomi turut dikemukakan Ahmad Samsuri, ia termasuk menubuhkan rangkaian rantaian bekalan halal berasaskan ‘blockchain’ dan membangunkan platform ‘blockchain’ nasional untuk barangan kritikal seperti makanan dan ubat-ubatan.
Kata beliau, Ahmad Samsuri turut mencadangkan agar negara memanfaatkan wakaf untuk projek pelaburan mampan, menubuhkan hab inovasi awam-swasta serta melaksanakan program pendidikan berterusan dan peningkatan kemahiran.
“Dua negara ASEAN, iaitu Singapura dan Vietnam, merupakan contoh utama ketahanan ekonomi dan inovasi.
“Kesimpulan ucapan beliau, pengalaman negara ASEAN seperti Singapura dan Vietnam serta negara Muslim seperti Turkiye dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang menekankan pentingnya investasi strategi dan reformasi ekonomi dalam mempertahankan ketahanan di tengah-tengah tantangan global, menunjukkan strategi proaktif dapat digunakan untuk mengelola dan mengurangi dampak gangguan geopolitik mahupun ekonomi dengan efektif.
“Ahmad Samsuri juga membahas mengenai contoh strategi ketahanan di Terengganu yang membuatkan kemajuan di negeri itu signifikan dalam mendiversifikasi ekonomi yang bertujuan meningkatkan ketahanannya.
“Secara sejarah, Terengganu terlalu bergantung pada industri minyak dan gas, tetapi kini beralih kepada tenaga boleh diperbaharui, hidrogen, inisiatif rumah hijau, industri biopolimer farmaseutikal, pertanian pintar, sektor pertanian, perikanan mampan, pelancongan dan lain-lain.
“Hasilnya, Laporan Ketua Audit Negara merumuskan antara 2018 hingga 2021, menyatakan kebergantungan Terengganu kepada royalti petroleum berkurang sebanyak empat peratus kepada 68.7 peratus berbanding 72.7 peratus untuk 2014 hingga 2017,” katanya.
08 Aug 24
297
Terengganu Beralih Kepada Sumber Boleh Diperbaharui
KUALA TERENGGANU, 8 Julai - Terengganu telah mengorak langkah untuk meneroka pendapatan baharu negeri dengan memberi tumpuan kepada industri tenaga boleh baharu berbanding sektor minyak dan gas pada tahun terdahulu.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Terengganu telah mencapai beberapa kemajuan yang ketara dalam mempelbagaikan ekonomi negeri iaitu meningkatkan daya tahan.
“Dari segi sejarah, kita begitu bergantung kepada industri minyak dan gas, kini negeri telah beralih ke arah tenaga boleh diperbaharui dan hidrogen, inisiatif rumah hijau, industri bio-polimer-farmaseutikal, pertanian dan perladangan pintar, perikanan mampan, pelancongan dan lain-lain.
“Hasilnya, berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara, secara purata, antara tahun 2018 hingga 2021, pergantungan kami kepada royalti petroleum sebenarnya telah berkurangan kepada 68.7 peratus berbanding 72.7 peratus bagi tahun 2014 hingga 2017.
“Iaitu penurunan sebanyak empat peratus. Namun, Ini hanyalah permulaan,” katanya ketika menyampaikan ucaptama bertajuk ‘Resiliently Withstanding Geopolitical & Economic Uncertainties’ dalam majlis pelancaran badan pemikir, Penyelidikan Masa Depan di Putrajaya kelmarin.
Untuk rekod, pada 10 Julai lalu ketika menghadiri majlis pelancaran loji janakuasa solar Cypark Solar Merchang di Marang, Ahmad Samsuri memaklumkan Kerajaan Terengganu menyasarkan penghasilan sumber tenaga solar sebanyak satu gigawatt (GW) dalam tempoh lima tahun akan datang.
Katanya, sebagai permulaan projek solar terapung di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu dengan kapasiti 400 Megawatt (MW) akan dibangunkan.
"Fasa berikutnya adalah sebanyak 600 MW, yang akan membawa kapasiti tenaga solar di Terengganu kepada 1 GW dalam tempoh lima tahun akan datang.
"Sasaran ini juga merangkumi, peningkatan kapasiti penjanaan tenaga boleh baharu, kepada sekurang-kurangnya 31 peratus daripada jumlah keseluruhan kapasiti penjanaan tenaga negara menjelang tahun 2025," katanya.
usaha itu juga dapat mengurangkan intensiti pelepasan karbon sebanyak 45 peratus berbanding KDNK pada tahun yang sama.
Berdasarkan rekod, ketika ini jumlah penjanaan tenaga boleh diperbaharui semasa di Terengganu adalah sebanyak 1,012 Megawatt (MW) meliputi solar (333.213 MW), hidro (665 MW), mini hidro (8.7 MW) dan biogas (6 MW).
Sebelum ini, Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah bertitah agar Malaysia beralih daripada bahan api fosil yang tidak mampan dan merosakkan ke arah penggunaan sumber yang boleh diperbaharui yang jauh lebih besar.
Tenaga boleh diperbaharui ditakrifkan sebagai tenaga yang dihasilkan daripada sumber semula jadi yang diisi semula pada kadar yang lebih cepat daripada yang digunakan.
Cahaya matahari dan angin adalah dua contoh sumber semula jadi yang sentiasa boleh dijana kuasa semula.
07 Aug 24
653
Terengganu Inc, Shizen International Kerjasama Bangunkan Projek Solar
KUALA TERENGGANU, 7 Ogos – Anak Syarikat Kerajaan Negeri, Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Shizen International Inc (Shizen International) untuk meneroka penjanaan tenaga boleh diperbaharui (renewable energy) melalui projek loji janakuasa tenaga solar di negeri Terengganu.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja berkata kerjasama tersebut dijangka membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan dan mengukuhkan profil negeri Terengganu sebagai peneraju ekonomi hijau.
“Pada hari ini, kita akan menyaksikan satu langkah strategik yang akan membuka lembaran baru dalam usaha meningkatkan kapasiti tenaga boleh diperbaharui di negeri ini. Diharapkan kerjasama ini akan membawa manfaat besar kepada negeri Terengganu dan seluruh rakyatnya.
“Pengkormersilan sektor ini akan memberi manfaat pertukaran teknologi, perkongsian tenaga pakar dan pertukaran pengetahuan berkaitan tenaga boleh diperbaharui (RE) di Malaysia selari dengan NETR Roadmaps bagi halatuju kelestarian tenaga bersih negara.
“MOU yang ditandatangani akan mengukuhkan komitmen kedua-dua belah pihak untuk bekerjasama dalam melaksanakan kerja-kerja awal kajian kebolehlaksanaan solar secara komersial dalam penilaian potensi pembangunan dan pelaburan bagi kedua-dua pihak,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis menandatangani perjanjian (MOU) antara Terengganu Inc dan Shizen International Inc di Tingkat 18, Wisma Darul Iman di sini semalam.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau Negeri Terengganu, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman.
Wakil kedua-dua belah pihak menandatangani perjanjian persefahaman (MoU), dari Terengganu Inc ialah Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun, manakala dari Syarikat Shizen pula diwakili Ketua Pegawai Operasi Shizen International Inc, Ryo Ogawa.
Shizen International adalah anak syarikat Shizen Energy Inc yang terlibat aktif dalam pembangunan serta pengendalian kemudahan tenaga boleh diperbaharui di seluruh Asia, Oceania dan Amerika Latin.
Penglibatan itu merangkumi loji jana kuasa angin dan solar dan sehingga kini Shizen Energy Group berjaya membangunkan kapasiti tenaga boleh diperbaharui sebanyak 1,321.7 megawatt di Jepun dan peringkat antarabangsa.
Tambah Bijaya Raja, MOU tersebut juga memberikan gambaran usaha Terengganu dalam memajukan sektor tenaga boleh baharu dan menggalakkan penggunaan teknologi hijau yang mampan dan mesra alam.
“Ini selari dengan hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan Terengganu sebagai peneraju dalam teknologi hijau,” katanya.
Sementara itu, Burhanuddin Hilmi berkata dengan termeterainya MOU tersebut, Terengganu Inc berharap agar dapat merealisasikan hasrat untuk meneroka dan mempelopori potensi 'ground-mounted solar' bagi menggalakkan peningkatan pendapatan negeri melalui ekonomi hijau.
“Perjanjian ini menjadi tanda permulaan usaha Terengganu Inc dan Shizen International Inc untuk membolehkan penyertaan Terengganu dalam program CRESS yang dijangka dapat mengurangkan risiko dan kos sistem pembekalan elektrik negara.
“Dengan matlamat hasil pelaburan tinggi menjelang tahun 2030, Terengganu Inc konsisten dalam pertumbuhan bisnes mampan di dalam pelbagai kluster utama antaranya perladangan, perkhidmatan sokongan minyak dan gas, sumber asli, hartanah, pembangunan & pembinaan hartanah, penjagaan kesihatan serta pelaburan-pelaburan bukan teras,” ujarnya.
Bagi Pengarah Eksekutif Shizen, Hiroki Koga, pihaknya berhasrat untuk membawa manfaat positif kepada alam sekitar, mengurangkan pelepasan karbon dan penggalakkan penggunaan tenaga bersih sekaligus menyumbang kepada pendapatan ekonomi tempatan.
“Kerjasama ini akan dalam usaha memperkenalkan Shizen di pasaran Malaysia selaku peneraju RE yang berpengkalan di Jepun dan berhasrat membawa manfaat positif kelestarian alam sekitar bagi menangani perubahan iklim dan pemanasan global”. Katanya lagi selepas pemeteraian perjanjian selesai hari ini.
“Perjanjian MOU ini dijangka membuka jalan kerjasama strategik yang akan memberi manfaat bagi pertumbuhan ekonomi hijau di negeri Terengganu,” katanya.
07 Aug 24
473
Terengganu Teruskan Inisiatif Pinjaman Tanpa 'Riba'
KUALA TERENGGANU, 7 Ogos - Kerajaan Terengganu tetap meneruskan pemberian pinjaman tanpa caj tambahan kepada usahawan dan peniaga di negeri terbabit walaupun hak royalti petroleum disekat.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, inisiatif melalui Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUGAS) diteruskan bagi membantu usahawan memajukan perniagaan mereka.
Namun begitu katanya, jumlah penerima yang mendapat pinjaman tahun ini lebih kecil berbanding dengan tahun lalu.
"Sejak dilancarkan skim TUGAS pada 2019 sehingga ke pertengahan tahun ini, kita telah berjaya menyalurkan skim itu kepada 4,963 usahawan dengan jumlah peruntukan sebanyak RM28 juta.
"Program hari ini melibatkan 33 orang usahawan dengan jumlah peruntukan sebanyak RM467,586.40 melibatkan penerima pinjaman RM10 ribu hingga RM30 ribu," jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan program Majlis Penyerahan Surat Tawaran Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUGAS) kali ke dua tahun 2024 di Dewan Serbaguna Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu, semalam.
Menurut Ariffin, sepanjang 1 Januari hingga 31 Disember 2023, kerajaan negeri telah memberi pinjaman melalui tabung TUGAS sebanyak RM8,042,800.96 manakala pada 1 Januari sehingga 30 Julai 2024 sebanyak RM1,131,275.52 dibelanjakan.
"Kita ada sedikit kekangan kewangan seperi yang sedia maklum, tetapi kerajaan membuat keputusan untuk tetap melaksanakan inisiatif ini walaupun, insya-Allah tahun depan kita usahakan dapat bagi lebih banyak.
"Kita ada dua siri lagi (untuk tahun ini) dan dijangka RM0.5 juta lagi akan diberi," katanya.
07 Aug 24
2604
GLC Terengganu Terlibat Aktif Bangunkan Industri CCUS
KUALA TERENGGANU, 30 Julai - Anak Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) Terengganu akan terlibat secara aktif dalam perbincangan membangunkan hab Industri Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) dengan Kerajaan Persekutuan melalui PETRONAS.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ia sebagai langkah permulaan untuk membangunkan CCUS dengan memastikan kepentingan ekonomi dapat dimanfaatkan oleh kerajaan negeri.
"Rakyat tidak akan 'participantas directly' di dalam isu CCUS ini, tetapi apabila hasil kerajaan negeri bertambah melalui GLC akhirnya ia akan ditumpahkan kepada rakyat juga dalam pelbagai program sosial, program ekonomi dan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) kepada rakyat," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media pada sidang akhbarnya, selepas menghadiri Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-15, di Wisma Darul Iman, di sini, semalam.
Berkongsi perkembangan semasa, beliau menyatakan bahawa Kementerian telah memaklumkan akan menggubal undang-undang berkaitan CCUS sebelum berakhir tahun ini.
"Sebab CCUS ini merupakan perkara baru dan ia memerlukan rangka polisi dan peraturan-peraturan dalam bentuk undang-undang untuk dilaksanakan kemudian baru ia boleh dilaksanakan dengan begitu kemas.
"Ia juga sebagai panduan kepada pelabur-pelabur di peringkat antarabangsa ataupun syarikat-syarikat luar negara yang ingin menggunakan khidmat CCUS supaya akhirnya kepentingan negara dan negeri dapat dijaga," ujarnya.
Sebelum ini, Kementerian Ekonomi berkata, projek itu dijangka menarik pelaburan mencecah RM20 bilion.
30 Jul 24
212