lightning-solid
Berita :

Artikel "Ekonomi" Terkini

KDNK Terengganu 2023 Naik ke RM38.2 Bilion
KDNK Terengganu 2023 Naik ke RM38.2 Bilion
KUALA TERENGGANU, 3 Julai - Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Terengganu bagi 2023 naik 2.3 peratus ke RM38.2 bilion berbanding RM37.4 bilion pada tahun sebelumnya. Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, daripada aspek komposisi ekonomi di Terengganu, sektor perkhidmatan mendominasi. Katanya, sektor itu menyumbang 52 peratus daripada aktiviti ekonomi negeri tersebut. "Sektor pembuatan merupakan penyumbang kedua terbesar dengan 36.9 peratus, diikuti sektor Pertanian 7.5 peratus. "Seterusnya, sektor pembinaan dan perlombongan dan pengkuarian masing-masing menyumbang 3.0 peratus dan 0.5 peratus kepada keseluruhan komposisi ekonomi Terengganu," katanya dalam satu kenyataan hari ini. Menurut beliau, daripada segi prestasi ekonomi sektoral, sektor perkhidmatan berkembang 3.1 peratus berbanding tahun sebelumnya, mencatatkan peningkatan nilai ditambah kepada RM19.9 bilion. "Pertumbuhan sektor ini terutamanya didorong pertumbuhan dalam subsektor utiliti, pengangkutan & penyimpanan dan ICT yang berkembang 2.4 peratus berbanding tahun sebelumnya. "Sementara itu, subsektor perkhidmatan kerajaan pula meningkat 3.8 peratus. Sektor pembuatan berkembang marginal 0.2 peratus tahun ke tahun untuk mencatatkan nilai ditambah RM14.1 bilion pada tahun 2023. "Pertumbuhan marginal ini didorong terutamanya oleh produk petroleum, kimia, getah dan plastik yang menokok 0.3 peratus, khususnya produk kimia. Jelas Mohd Uzir, pada masa yang sama, sektor pertanian menunjukkan prestasi yang memberangsangkan, berkembang 7.4 peratus dengan nilai ditambah RM2.9 bilion. Ujar beliau, pertumbuhan tersebut dipacu terutamanya oleh peningkatan dalam pengeluaran kelapa sawit. "Selain itu, subsektor perikanan turut melonjak 21.3 peratus berbanding tahun sebelumnya (11.5 peratus). "Sementara itu, sektor pembinaan di Terengganu mencatatkan pertumbuhan 1.6 peratus pada tahun 2023, mencapai nilai ditambah sebanyak RM1.2 bilion. "Pertumbuhan sektor ini didorong secara signifikan oleh subsektor Kejuruteraan awam yang meningkat 25.3 peratus. "Begitu juga sektor perlombongan & pengkuarian di Terengganu yang merekodkan pertumbuhan 5.3 peratus pada tahun 2023 dengan nilai ditambah berjumlah RM207.7 juta," katanya. Tambah beliau, prestasi KDNK per kapita, Terengganu mencatatkan KDNK per kapita pada tahun 2023 sebanyak RM31,111.
03 Jul 24
1208
Terengganu Negeri Paling Strategik Bangunkan Industri CCUS
Terengganu Negeri Paling Strategik Bangunkan Industri CCUS
KUALA LUMPUR, 1 Julai - Terengganu merupakan negeri yang paling strategik bagi pelaksanaan industri Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS). Menteri Besar merangkap Ahli Parlimen Kemaman, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ini kerana Kompleks Petroleum yang wujud di negeri itu mampu memudahkan proses projek berkenaan. “CCUS yang merupakan salah satu potensi yang besar yang perlu untuk direncanakan dengan penuh teliti untuk memajukan industri ini. “Negeri Terengganu adalah merupakan salah sebuah negeri yang paling strategik untuk untuk menjadi pelopor bagi industri CCUS ini di Kompleks Petroleum yang sedia ada di Negeri Terengganu,” katanya. Beliau berkata demikian ketika mengajukan soalan tambahan kepada Menteri Pelaburan, Perdagangan Dan Industri (MITI) berkaitan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 di Dewan Rakyat hari ini. Dalam soalan tambahannya, beliau meminta agar Menteri menjelaskan status terkini rangka kerja peraturan dan undang-undang berkaitan CCUS yang sebelum ini pernah dibincangkan. “Bagaimana pula Terengganu boleh memainkan peranan dalam pembangunan industri ini termasuklah untuk memperkasakan sektor Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) supaya mereka juga turut beroleh manfaat ekonomi dalam membekalkan kandungan tempatan menyokong rantaian nilai dan eksport?,” soal beliau. Menjawab persoalan itu, Timbalan Menteri MITI, Liew Chin Tong berkata, akta berkaitan CCUS akan digubal oleh Kementerian Ekonomi dan dijangka dibentang dalam Parlimen pada penghujung tahun ini. Katanya, dalam penggubalan akta itu, MITI terlibat di dalam kumpulan kerja untuk memastikan pembangunan industri dan pelaburan dan juga teknologi. “Yang kedua, Petronas di Kerteh memang telah dilantik oleh MITI sebagai salah satu ‘mision base champion’ dalam sektor CCUS dan ini juga telah dilakukan dan akan membawa manfaat kepada Terengganu dan juga seluruh negara. “Yang ketiga, saya rasa memang Kerajaan Pusat dengan kerajaan negeri boleh memastikan dari segi tanah dari segi perlesenan dan dari segi infrastruktur boleh disediakan supaya kita dapat memastikan apabila akta telah diterima oleh Parlimen kita boleh laksanakan projek-projek CCUS di Terengganu secepat mungkin,” jelasnya.
01 Jul 24
2386
Tarik Pelaburan RM2.4 Bilion Bukti Kerajaan di Landasan Tepat
Tarik Pelaburan RM2.4 Bilion Bukti Kerajaan di Landasan Tepat
KUALA TERENGGANU, 26 Jun - Pelaburan bernilai RM2.4 bilion yang diterima oleh Terengganu menjadi bukti bahawa negeri ini ditadbir oleh pemimpin yang berwibawa sehingga mendorong pelabur untuk datang melabur. Timbalan Pengerusi Ekonomi Digital, Pendapatan Baru, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Husaimi Hussin berkata pelaburan yang diterima itu telah mendatangkan manfaat kepada rakyat. "Pelaburan bernilai RM2.4 bilion ini setakar Mac tahun ini (sahaja), iaitu 57 peratus daripada RM4.2 bilion pelaburan yang disasarkan pada tahun ini. "Ini juga termasuk 65 peratus dari Pelaburan Langsung Asing (FDI) di mana Jepun menjadi pelabur tertinggi sebanyak RM600 juta adalah bukti nyata komitmen kita (kerajaan Terengganu). "Hasilnya, lebih 5,000 peluang pekerjaan baharu telah dibuka, memberikan lebih banyak peluang kepada rakyat untuk meningkatkan taraf hidup mereka," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Minggu Latihan Kebangsaa (NTW) 2024 Edisi Pantai Timur, di Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT), di sini, hari ini. Dalam pada itu, Husaimi berkata masih ada sektor yang perlu diteroka untuk dimanfaatkan rakyat selain daripada usaha kerajaan negeri menarik pelabur untuk mewujudkan pelbagai pekerjaan. "Termasuk produk dan perkhidmatan pembinaan, tenaga lestari, pendidikan dan latihan, kajian dan penyelidikan, serta servis utiliti seperti pengurusan sisa dan buangan," ujarnya.  
26 Jun 24
985
Ada Benda Tak Kena, Ranking Daya Saing Malaysia Terburuk
Ada Benda Tak Kena, Ranking Daya Saing Malaysia Terburuk
KUALA TERENGGANU, 20 Jun - Kemerosotan terburuk Malaysia dalam Indeks Daya Saing Dunia IMD 2024 memperlihatkan sesuatu yang tidak kena sedang berlaku dalam negara. Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, kejatuhan tujuh anak tangga ke kedudukan 34 dan menjadi yang tercorot dalam sejarah negara itu perlu diberikan perhatian segera. Kataya, bagi memastikan negara berkeadaan baik, pandangan serta teguran yang membina daripada pelbagai pihak harus dipandang serius. "Saya rasa kerajaan perlu bersifat terbuka untuk menerima teguran kerana selama ini banyak perkara yang berlaku seolah-olah kerajaan menutup mata dan telinga daripada melihat apa yang disampaikan oleh mereka yang pakar tentang aspek pelaburan, tata kelola dan sebagainya," ujarnya. Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan di Tapak Pembukaan Naik Taraf Surau dan Tandas, di Surau Awam Batu Buruk, di sini, hari ini. Mengulas lebih lanjut, Ahmad Amzad berkata negara kini sedang menuju ke belakang lantaran tindakan yang diambil tidak melbatkan urus tadbir yang baik. "Diterima secara negatif oleh pasaran, misalnya kenaikan harga diesel yang terlalu mendadak seolah-olahnya dilihat tidak ada mekanisma libat urus yang baik. "Jadi setelah dinaikkan dahulu harga diesel baru timbul satu persatu isu di kemudian hari. "Ini merupakan susuatu yang kita bimbang memberi mesej tidak elok tentang pendekatan pentadbiran negara kita yang memberi kesan kepada daya saing negara," katanya.
20 Jun 24
296
Kumpulan EPIC Catat Perolehan RM344 Juta
Kumpulan EPIC Catat Perolehan RM344 Juta
KUALA TERENGGANU, 20 Jun- Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (Kumpulan EPIC) mengumumkan perolehan sebanyak RM344.0 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023(TK2023), peningkatan daripada RM343.1 juta bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2022 (TK2022). Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC, Ts. Muhtar Suhaili menjangkakan, pertumbuhan perolehan akan meningkat lebih baik tahun ini, didorong oleh pelbagai inisiatif dan projek yang sedang dijalankan oleh syarikat. Menurutnya, ia diperlihatkan oleh Pendapatan Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai, dan Pelunasan (EBITDA) yang kekal kukuh pada jumlah RM81.0 juta mempamerkan kemampanan perniagaan syarikat untuk pertumbuhan dan keuntungan masa hadapan. "Apa yang paling memberangsangkan bagi TK2023 ialah lonjakan Keuntungan Selepas Cukai (PAT) kepada RM8.9 juta yang mana ia lebih sekali ganda daripada RM3.9 juta pada TK2022. ""Prestasi kewangan yang kukuh pada TK2023 dan lima bulan pertama TK2024 jelas menunjukkan fokus strategik dan kecemerlangan operasi. "Pihak syarikat komited untuk meneruskan usaha memacu pertumbuhan dan memberikan nilai yang mampan kepada para pemegang saham melalui projek dan pelaburan strategik berterusan," katanya. Makluman berita baik itu dijelaskannya melalui satu kenyataan media yang dikeluarkan selepas selesai Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-43 yang dipengerusikan Pengarah EPIC Berhad, Dato’ Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak, di sini hari ini. Dalam AGM berkenaan, turut dibentangkan bahawa Kumpulan EPIC mencatatkan peningkatan perolehan sebanyak 23% berbanding tempoh yang sama pada tahun 2023. Keuntungan kasar pula naik 42% kepada RM67.0 juta, manakala Keuntungan Sebelum Cukai (PBT) direkodkan mencapai RM24.0 juta, 5.7 kali lebih tinggi daripada tempoh yang sama tahun lalu. "Tinjauan prestasi lima bulan pertama tersebut berakhir dengan rekod cemerlang PAT sebanyak RM15.5 juta, kenaikan ketara melebihi sasaran keseluruhan PAT yang diluluskan bagi tahun 2024 iaitu pada jumlah RM14.5 juta. "Melangkah ke hadapan, EPIC Berhad optimis untuk mengekalkan trajektiori positif dan komited dalam melaksanakan strategi perniagaan, termasuklah projek-projek yang sedang berjalan dan dirancang terutamanya Projek Pembesaran Pelabuhan Kemaman, Fasiliti Pengitaran Semula Kapal dan Pelantar Hijau atau ‘Green Ship Recycling Facility’ (GSRF) serta proses menaik taraf fasiliti-fasiliti pelabuhan untuk menampung peningkatan permintaan yang akan dipacu oleh rangkaian Laluan Rel Pantai Timur (ECRL)," ujarnya. Tambahnya, pihak syarikat juga sedang meneroka beberapa projek berprofil tinggi yang kini dalam proses bidaan, di samping pelaburan berpotensi dari dalam dan luar negara untuk pemajakan tanah milik syarikat di kawasan perindustrian Teluk Kalong sebagai pasaran masa depan.
20 Jun 24
336
'Produk Pelancongan Terengganu Hebat, Umpama Level International'
'Produk Pelancongan Terengganu Hebat, Umpama Level International'
KUALA TERENGGANU, 29 Mei- Itu kekaguman disuarakan Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Kedah, Sunita Abdul Aziz yang bersama sekitar 50 pegawai Pejabat SUK Negeri Kedah dalam kunjungan ke Kampung Budaya Terengganu, hari ini. Berpeluang turut serta ke sebahagian siri lawatan dalam Kunjungan Hormat Menteri Besar dan delegasi Negeri Kedah ke Terengganu, Sunita menyatakan banyak perkara baru dipelajari dalam kunjungan ke Kampung Budaya Terengganu. "Ini pengalaman baru bagi kami. Apa yang kami pelajari (hari ini) adalah sejarah negeri dan kehidupan rakyat Terengganu, serta keseniannya yang menarik. Terima kasih pihak kerajaan negeri Terengganu. Sunita cuba memegang gasing terbang Terengganu. "Secara peribadi, saya tengok produk-produk pelancongan Terengganu sangat hebat, kita tengok pemasarannya seperti di peringkat antarabangsa, pengunjung yang datang pun boleh belajar perkara baru seperti seni Telepuk yang berusia ratusan tahun, yang dibawa keluar dari istana dan ditunjukkan kepada umum supaya orang ramai menghargai kesenian Melayu yang sangat halus serta berkualiti. "Saya amat berharap kami dapat belajar serta bawa pulang apa yang dipelajari untuk meningkatkan upaya dan tambah baik terutama dalam industri pelancongan," katanya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman, hari ini. Dalam pada itu, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) yang juga Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Terengganu, Dato' Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak yang mengiringi delegasi berkenaan, berbesar hati dapat berkongsi produk-produk yang ada di Kampung Budaya Terengganu. "Hari ini, kita berpeluang berkongsi dengan sahabat dari Kedah tentang cara kita menggerakkan agenda pelancongan di negeri Terengganu ini. Kedua-dua negeri sebenarnya berkongsi, tetapi memiliki kelainan dan produk tersendiri. "Di Terengganu ini kita kaya dengan budaya, jadi kita mempromosikan bagaimana menjadikan Kampung Budaya sebagai teras untuk para pelancong yang datang, sebelum bergerak ke tempat lain bagi mengenali dan mempelajari budaya Terengganu. "Daripada kita bersaing dan rugi, sebaliknya kita boleh berkongsi mempromosikan kelebihan produk masing-masing. Kalau orang ke Kedah mereka dapat menyaksikan sesuatu produk hebat, mereka juga boleh datang ke Terengganu dan menyaksikan produk berlainan. Apa yang penting kita boleh berkongsi pengalaman, pengetahuan dalam memperkaya dan mengembangkan agenda pelancongan negeri," katanya. Turut hadir dalam program terbabit ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Dato' Ab Rasid Jusoh, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan Manusia dan Integriti), Dato' Hadi Hassan dan Pengarah Yayasan Terengganu, Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham.  
29 May 24
4163
'Titian Muhibah' Realisasikan Impian Usahawan Terengganu Tembus Pasaran Indonesia
'Titian Muhibah' Realisasikan Impian Usahawan Terengganu Tembus Pasaran Indonesia
KUALA TERENGGANU, 26 Mei - 'Titian Muhibah' bukan sahaja mengeratkan hubungan Terengganu dan Indonesia melalui dunia perdagangan malah turut merealisasikan impian usahawan Terengganu  untuk mengeksport produk dari negeri ini ke Indonesia. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, menebusi pasaran negara republik itu merupakan impian setiap usahawan kerana ia memiliki pasaran yang terbesar di dalam negara ASEAN. "Ini terbukti melalui kejayaan 100 orang usahawan dari Malaysia khususnya dari Terengganu akan menjadi pendorong kepada usahawan lain untuk turut serta memasarkan produk mereka ke Indonesia. "Tahniah juga kepada 16 usahawan yang telah berjaya mendapat kelulusan Badan Pengawas Ubat dan Makanan (BPOM) bagi 22 produk, iaitu syarat utama yang telah ditetapkan bagi memasarkan produk ke Indonesia. "Saya merasa bangga kerana sembilan daripada 16 usahawan ini merupakan rakyat Terengganu, kerjasama daripada semua pihak MATRADE yang diadakan pada hari ini amat disambut baik oleh Kerajaan Negeri Terengganu kerana ia dapat membantu meluaskan lagi produk usahawan Terengganu ke peringkat antarabangsa," ujarnya. Beliau berkata demikian melalui satu kenyataan ketika mengadakan lawatan ke negara berkenaan baru-baru ini. Mengulas lebih lanjut katanya, Indonesia merupakan rakan dagang ketujuh terbesar malaysia di dunia dan rakan dagang ketiga terbesar dalam ASEAN selepas Singapura dan Thailand sepanjang tahun lalu. "Perdagangan dua hala Malaysia dengan Indonesia bernilai RM111.21 bilion berkurang sebanyak 14.3 peratus daripada RM129.70 bilion direkodkan dalam tahun 2022. "Manakala eksport dan import mencatatkan sejumlah RM50.91 bilion, menurun sebanyak 8.7 peratus dan RM60.3 bilion, berkurang 18.5 peratus. "Diharap dengan penganjuran program ini dapat meningkatkan lagi perdagangan dua hala Malaysia dan Indonesia," ujar beliau.
26 May 24
287
Lonjakan Perniagaan perkasa Usahawan Hadapi Cabaran Dunia Semasa
Lonjakan Perniagaan perkasa Usahawan Hadapi Cabaran Dunia Semasa
KUALA TERENGGANU, 21 Mei - Program Taklimat Lonjakan Perniagaan merupakan inisiatif pihak kerajaan memperkasakan usahawan agar mampu menghadapi cabaran eknomi dunia hari ini. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi Dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Terengganu, Ariffin Deraman berkata program ini juga bertujuan untuk memberikan pendedahan yang lebih jitu kepada para usahawan terutama mengenai bantuan pembiayaan dari pelbagai agensi keusahawanan. “Antara 100 peserta yang terpilih hari ini bertuah kerana dapat bersama dalam program hari ini yang dapat memberikan kelebihan kepada usahawan itu sendiri dalam menghadapi cabaran ekonomi sekarang. “Dengan pendedahan kemudahan pinjaman ini diharapkan usahawan dapat menstabilkan perniagaan dan mengembangkan perniagaan mereka di pasaran yang lebih luas,” ujarnya dalam majlis perasmian yang berlangsung di Dewan Konvesyen, Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), Kuala Terengganu. Progran itu dikendalikan oleh Yayasan Pembangunan Usahawan ( YPU ) dengan kerjasama MIDA, MATRADE, SME Corp dan juga Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Turut hadir pada majlis ini Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Afnida Aini Alwi, Pengarah MATRADE Wilayah Timur,  Zaimah Osman dan juga Pengarah MIDA Terengganu, Amalina Ahmad serta Pengarah SME Corp Terengganu, Mohd Firdhouse.
21 May 24
89
RM1.3 Juta Rokok Seludup Dilupuskan
RM1.3 Juta Rokok Seludup Dilupuskan
KUALA TERENGGANU, 21 Mei- Sebanyak 190 kotak besar rokok seludup dianggarkan bernilai RM1.3 juta dilupuskan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Terengganu, semalam. Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid berkata, rokok yang dirampas Maritim Terengganu di kawasan perairan Besut pada April lalu dipercayai diseludup daripada negara jiran untuk pasaran tempatan. "Hasil operasi khas dari maklumat risikan aktiviti penyeludupan  ini berjaya dipatahkan bot peronda Maritim dan berjaya merampas 1,900,000 batang rokok putih besert sebuah lori lima tan bertujuan membawa rokok tersebut. "Modus operandi mereka sentiasa berubah tetapi kita masih dapat mengesan mereka secara berkesan. Sekarang, mereka banyak masuk secara runcit dengan menggunakan sebuah dua buah kereta untuk mengangkut rokok. Saya percaya gudang atau tempat simpanan sementara ada. "Mereka menggunakan kapal untuk masuk tetapi, buat masa ini kita belum dapat membuktikan samada nelayan tempatan terlibat dalam perkara ini," katanya pada sidang media di ibu pejabat Maritim Negeri Terengganu, semalam. Menurutnya, kerja-kerja pemusnahan dijangka akan mengambil masa dua hari untuk diselesaikan dan dilakukakn dengan cara mengisar kesemua rokok dengan mesindan sisanya akan dibuang dan ditanam di tapak pelupusan sampah Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT). Proses pelupusan turut disaksikan, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) APMM, Mohd Norzam Mustapa. Sejak 2022 sehingga tahun ini, Maritim Terengganu telah merekodkan hasil pelupusan rokok rampasan sebanyak RM2 juta dalam melibatkan dua kes. Agensi berkenaan juga komited meningkatkan rondaan sekitar perairan Terengganu bagi membanteras aktiviti penyeludupan dan pencerobohan daripada berleluasa.      
21 May 24
159
Hampir Sejam Hambat 'Perompak Laut'
Hampir Sejam Hambat 'Perompak Laut'
KUALA TERENGGANU, 19 Mei- Hampir sejam Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengejar dua kapal nelayan asing Vetnam yang menceroboh perairan Terengganu, malam Khamis lalu sebelum berjaya menahannya di kedudukan 155 batu nautika timur muara Kuala Terengganu. Timbalan Pengarah Operasi Maritim Terengganu, Komander Maritim Mohd Firdaus Mohd Anuar berkata, kedua-dua bot berkenaan berjaya ditunda ke pejabat Maritim Negeri Terengganu dan tiba sekitar jam 10.00 pagi semalam. Menurutnya, pada kejadian tersebut KM Pekan yang meronda dalam siri Op Naga Barat, berjaya menahan 12 awak-awak termasuk tekong warganegara Vietnam yang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah. "Kesemua mereka adalah dalam lingkungan usia 19- 50 tahun dan mereka akan disiasat mengikut Akta Imigresen 1963. "Berdasarkan penilaian, rampasan keseluruhan termasuk kedua-dua bot, hasil laut, peralatan dan diesel dianggarkan bernilai RM3 juta. "Sebagai makluman untuk tahun ini, ini adalah tangkapan ke-10 membabitkan pencerobohan nelayan asing oleh Maritim Negeri Terengganu dengan anggaran rampasan bernilai RM10 juta," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam sidang media di pejabat Maritim Negeri Terengganu, hari ini. Tambahnya, musim sotong yang bermula April hingga Ogos menarik minat nelayan asing dengan peningkatan kes pencerobohan direkodkan berbanding bulan-bulan lain. Oleh itu, menurutnya Maritim Negeri Terengganu akan terus meningkatkan operasi bagi membanteras kemasukan bot-bot nelayan asing di perairan negara khususnya Terengganu.                  
19 May 24
1105