Artikel "Agama" Terkini
Perketatkan Penguatkuasaan Syariah Di Daerah Hulu Terengganu
HULU TERENGGANU, 7 September -
Kerajaan negeri melalui pejabat agama daerah akan melaksanakan penguatkuasaan syariah secara menyeluruh dan lebih kerap pada masa akan datang
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh berkata, ia menjadi harapan pihaknya kerana penekanan nilai Islam juga mestilah diterapkan dalam kehidupan bermasyarakat.
"Penguatkuasaan syariah di daerah ini mestilah diperketatkan pada masa akan datang kerana ini merupakan tanggungjawab yang kita akan jawab di hadapan Allah nanti.
"Salah satu langkah yang telah diambil dalam masa terdekat ialah pelancaran Penguatkuasa Sukarelawan Syariah di daerah ini yang telah dirasmikan oleh Pegawai Penyelaras Parlimen Hulu Terengganu, Muhyidin Abd Rashid pada Ogos lalu dan ia merupakan salah satu langkah kerajaan negeri bagi mencegah kemungkaran yang berlaku di daerah ini,"ujarnya.
Beliau yang turut memegang salah satu portfolio EXCO Kerajaan Negeri Terengganu berkata demikian ketika kunjung hormat Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Kuala Berang dan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) ke Pejabat Agama Daerah Hulu Terengganu, pagi semalam.
Menurut beliau, kunjung hormat ke pejabat agama daerah bertujuan mendapatkan perkembangan dan maklumat secara terus mengenai kerja-kerja dan permasalahan yang berkaitan dengan pejabat agama daerah.
"Saya mengadakan kunjung hormat pada hari ini (semalam) bertujuan untuk mengetahui perkembangan dan penambahbaikan dari sudut syariah selepas kerajaan negeri memerintah selama setengah penggal ini.
"Saya juga ada bertanya mengenai perkembangan masjid di seluruh daerah Hulu Terengganu dan juga ingin mengetahui jika ada apa-apa yang pihak kami boleh bantu. Alhamdulillah, pihak pejabat agama daerah menyambut baik dan rasanya tidak ada masalah untuk kita bekerjasama pada masa akan datang," jelasnya.
Turut hadir, Pegawai Agama Daerah Hulu Terengganu, YM Engku Omar Amiruddin Engku Ali, Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam (Penguatkuasaan), Mohd Shafie Endut, Ketua Penyelia IMITS Dun Kuala Berang, Mohamed Abdullah, dan Pegawai Khas ADUN Kuala Berang, Mohd Ariff Azlan.
07 Sep 20
604
Batalkan Hasrat Wahai Pelaku Maksiat - Skuad Cegah Dun Sura
DUNGUN, 5 September - Skuad Nahi Munkar (Skuad Cegah) kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura memberi amaran keras kepada mana mana-mana individu yang berniat melakukan maksiat agar membatalkan hasrat tersebut.
Ketuanya, Mahdi Hassan berkata, pihaknya sentiasa mengadakan rondaan bagi membanteras aktiviti yang tidak bermoral daripada terus berleluasa.
"Kita mendapat kerjasama baik dari Pejabat Agama Dungun untuk bergerak dan ronda disekitar kawasan bandar.
"Hampir setiap malam anggota kita akan buat rondaan di beberapa kawasan panas," katanya kepada pemberita.
Menurutnya lagi, beberapa tempat yang sering menjadi tumpuan anak muda akan terus diawasi di samping akan diperluaskan lagi ke tempat lain.
"Kita dapat maklum balas yang positif daripada masyarakat. Ada yang hantar kepada kita lokasi ‘hotspot’ supaya kita pergi pantau.
"Dalam perancangan kami juga untuk memperluaskan kawasan rondaan agar berjaya mencapai tujuan penubuhan," ujarnya.
Mahdi Hassan turut memaklumkan bahawa pihaknya ingin melihat daerah Dungun bebas daripada anasir-anasir anasir tidak sihat.
“Kami ingin menasihati kepada mereka yang datang ke Dungun agar tidak membuat sebarang masalah terutama aktiviti yang tidak bermoral kerana kami sedang mengawasi anda.
"Keluarga yang ingin bersantai juga tidak perlu bimbang lagi akan permandangan yang menggelikan kerana kita sedang berusaha ke arah zon bebas maksiat," tegasnya.
05 Sep 20
3166
JHEAT Buka Ruang Inovasi Baru Pelupusan Al-Quran
KUALA TERENGGANU, 3 September- Kerajaan negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) membuka ruang kepada mana-mana institusi dan agensi di Terengganu mahupun luar bagi mengemukakan inovasi baru dalam kaedah pelupusan al-Quran.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Pnenerangan negeri, Mohd Nor Hamzah bagaimanapun berkata, pihaknya sedang membincangkan satu kaedah baru pelupusan untuk menjaga kesucian al-Quran itu sendiri, namun dalam masa yang sama dapat menjaga alam sekitar dan memberikan manfaat yang baru kepada rakyat.
Mohd Nor Hamzah.
"JHEAT dan agensi-agensi berkaitan sedang berbincang untuk memperkenalkan satu inovasi baharu bagaimana untuk kita gunakan mushaf al-Quran yang rosak setelah dijadikan abu untuk memberikan kebaikan kepada orang ramai. Jabatan Mufti turut bersama saya dan kami dalam peringkat perbincangan, yang pasti tujuan utama ialah untuk memperkenalkan kaedah baru pelupusan al-Quran ini.
"Hari ini kita buang sahaja kiub abu al-Quran ke tengah laut untuk diuraikan, jika ada manfaat lain yang boleh digunakan tetapi tidak menjejaskan kemuliaan mushaf itu sendiri, samada dalam perbincangan ini, boleh atau tidak dikitar semula untuk dijadikan kertas-kertas baru dan apa sahaja. JHEAT sedia memberi ruang itu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas Program Pelupusan Kiub Abu al-Quran Ke Laut Kali kedua di perairan Kuala Terengganu, hari ini.
Hadir sama, Ketua Penolong Pesuruhjaya Nik Zulhaiza Ismail; Ketua Hakim Mahkamah Syarie Terengganu, Wan Mohd Zakri Wan Mohd; Timbalan Mufti Terengganu, Ahadi Othman dan Pengarah UPDI, Mohd Soud Said.
Turut hadir daripada agensi berkaitan ialah Pengarah Jabatan Laut Wilayah Timur, Wan Endok Wan Salleh; Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan (PKK) Negeri Terengganu, Muhamad Khairul Ismail serta wakil Jabatan Alam Sekitar (JAS) Terengganu, Alwi Ramli.
Dalam program kerjasama Jabatan Laut Wilayah Timur itu, kira-kira tiga tan kiub abu al-Quran dilupuskan ke laut.
Menurut Mohd Nor lagi, program pelupusan al-Quran lama dan rosak telah dimulakan JHEAT sejak tahun 2011, dengan cara berbeza. Namun, pada 2016, satu inovasi yang diperkenalkan untuk membentuk kiub-kiub debu al-Quran.
"Dalam erti kata lain, JHEAT menyediakan relau, membakar sisa cebisan al-Quran yang rosak sehingga dibekukan dalam bentuk kiub dan di bawa ke laut untuk dilupuskan atas asas menghormati al-Quran dan keduanya menjaga persekitaran.
"Setakat ini, kita hanya ada dua relau di ibu pejabat JHEAT, kita kalau boleh nak tambah kerana itu usaha yang baik untuk menjaga penghormatan al-Quran.
Mohd Nor bersama wakil agensi-agensi terlibat dalam program pelupusan al-Quran.
"Saya juga memohon jasa baik Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu (MAIDAM) Terengganu agar dapat membekalkan JHEAT tambahan relau yang bernilai RM16,000 setiap satu, kita cadangkan satu di kawasan Besut-Setiu dan satu di Kemaman-Dungun," katanya.
Jelasnya mushaf-mushaf yang terbiar dan tidak lagi digunakan sudah terlalu banyak dan usaha itu menjadi keperluan utama bagi mengelakkan mushaf yang ada di masjid dan rumah-rumah akhirnya dibiarkan menjejaskan kemuliaan al-Quran itu sendiri.
"Data 2020 sahaja menunjukkan mushaf-mushaf al-Quran rosak yang dikumpulkan lebih kurang sebanyak 18,350 kilogram," tambahnya.
03 Sep 20
1736
Cara Dakwah Perlu Seiring Perkembangan Semasa
KUALA TERENGGANU, 1 September - Usaha dakwah memerlukan ilmu, pendekatan yang lebih terkesan dan paling penting tanamkan keikhlasan dalam diri setiap individu agar ia menjadi wahana dalam penyemarakkan usaha dakwah secara keseluruhannya.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata ramai orang boleh berkata-kata tapi hanya sedikit yang boleh turun ke lapangan untuk berdakwah kepada pelbagai golongan masyarakat.
“Ramai sasaran dakwah pada hari ini terdiri dari pelbagai golongan masyarakat dan sememangnya sangat sulit untuk sampai kepada mereka malah memerlukan cara berbagai bagai dalam menyampaikannya.
“Ia juga sangat sukar pada masa sekarang untuk temui orang yang sanggup turun ke bawah untuk menyampaikan dakwah tersebut,”ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Semarak Dakwah 2020 ' Islam Itu Indah ' Negeri Terengganu Sempena Ambang Merdeka di Pantai Batu Buruk, di sini semalam.
Turut hadir, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim, Pengarah YADIM Terengganu, Mahadi Awang dan Pengarah Akademi DUAT ,Ramlan Mahmood.
Mohd Nor juga berkata ummah yang paling baik adalah mereka yang mengerjakan kerja dakwah yang mudah disebut tapi sukar untuk dilaksanakan.
“Walaupun Islam itu indah, ia tidak akan sampai ke manusia jika tiada orang bersedia mengikut sunnah Nabi SAW untuk menyampaikan agama ini.
“Maka pendakwah mainkan peranan penting dalam menyampaikan dakwah terutamanya menyantuni generasi muda dengan kaedah komunikasi yang santai dan berkesan,”katanya.
01 Sep 20
547
Dakwah Jalanan Ambang Merdeka, Didik Masyarakat Jauhi Maksiat
MARANG, 31 Ogos - Satu pendekatan berkonsepkan dakwah jalanan berkaitan 'Anda Bijak Jauhi Zina' telah diadakan di daerah ini sempena sambutan malam ambang kemerdekaan Malaysia kali ke-63 semalam.
Program yang dilakukan Pertubuhan Amar Maaruf Nahi Mungkar Marang (Skuad Amar) tersebut mensasarkan golongan belia dalam isu bahaya zina, perkara maksiat dan anak luar nikah yang berlaku pada masa kini.
Ketua Skuad Amar, Nasaruddin Samsudeng berkata, dalam waktu terluang itu pihaknya mengambil inisiatif untuk mendekati golongan belia bagi menyampaikan risalah dan penerangan berkaitan perkara tidak bermoral.
Mendekati golongan belia di kedai makan.
"Seperti yang kita sedia maklum, umumnya pada malam ambang kemerdekaan sering terjadi perkara yang menyalahi hukum syarak, tidak bermoral dan perkara yang mengundang kemurkaan Allah SWT.
"Kaedah turun ke lapangan untuk bertemu mata dengan anak muda ini juga menghidupkan suasana masyarakat di dalam kita memberi peringatan antara satu sama lain," katanya kepada pemberita semasa aktiviti tersebut semalam.
Menurutnya, melalui aktiviti dakwah dan pengedaran risalah jauhi zina yang dilakukan, rata-rata orang awam dan golongan muda menerima dengan terbuka dan menunjukkan reaksi positif.
Kata Nasaruddin lagi, dengan usaha itu, mereka berharap kawasan setempat malah negeri ini akan terus subur dan sejahtera tanpa perbuatan tidak berakhlak.
"Skuad Amar akan terus melakukan aktiviti dakwah ini secara berkala agar golongan belia dan juga ibu bapa lebih terbuka terhadap masalah kerosakan akhlak kerana mereka ini merupakan penyambung generasi kita akan datang.
"Pada malam ini, kita mendapat kerjasama dengan Dewan Pemuda PAS Kawasan Marang, dan kami juga membuka ruang kerjasama dengan semua agensi, jabatan kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) tanpa mengira latar belakang politik," tambahnya.
Dakwah jalanan yang bermula pada jam 11.00 malam itu disertai seramai 25 orang sukarelawan Skuad Amar termasuk daripada kalangan wanita.
31 Aug 20
895
RM76 Juta Untuk Dua Masjid, Bangunan Persekutuan Di Hulu Terengganu
HULU TERENGGANU, 27 Ogos - Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan RM76 juta bagi pembinaan dua masjid baharu dan bangunan Persekutuan di kawasan Parlimen Hulu Terengganu.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Rosol Wahid, berkata tender untuk pembinaan masjid baharu Kampung Langgar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Berang dan Masjid Kampung Jak di DUN Ajil membabitkan peruntukan keseluruhan RM6 juta akan dikeluarkan Jabatan Kerja Raya (JKR).
"Setakat ini reka bentuk masjid di Kampung Langgar yang boleh menampung kira-kira 1,000 jemaah dan masjid di Kampung Jak, yang boleh menampung kira-kira 200 jemaah sudah siap.
“Pembinaannya dijangka bermula awal tahun depan,”ujarnya.
Terdahulu, Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu bersama Jurutera JKR Daerah Hulu Terengganu, Alif Zuwairi Baharuddin melawat tapak projek pembinaan masjid baharu di Kampung Langgar.
Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu juga berkata bagi kemudahan penduduk di Parlimen Hulu Terengganu berurusan, cadangan telah dikemukakan untuk menempatkan semua jabatan dan agensi kerajaan persekutuan di satu lokasi secara berpusat.
Tambah beliau, kerajaan negeri telah meluluskan tapak seluas kira-kira 20 hektar bagi membolehkan projek pembinaan bangunan guna sama persekutuan dibina.
Menurutnya lagi, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada dasarnya bersetuju dengan cadangan tersebut untuk menempatkan semua jabatan dan agensi kerajaan persekutuan di lokasi itu.
Justeru itu, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan (MAMPU), Jabatan Perdana Menteri kini sedang membuat penilaian serta kajian terutamanya peruntukan yang dianggarkan melebihi RM70 juta.
"Semua jabatan dan agensi kerajaan persekutuan di daerah Hulu Terengganu sudah diarah membuat kertas cadangan termasuk keluasan lantai diperlukan.
"Jika projek bangunan usaha sama Persekutuan itu siap, masalah jabatan dan agensi kerajaan yang terpaksa menyewa bangunan persendirian serta menumpang jabatan lain selesai, selain mampu memberi keselesaan kepada penduduk membuat urusan," katanya.
27 Aug 20
443
Dekatkan Anak Muda Dengan Masjid
DUNGUN, 27 Ogos- Program Kembara Merdeka Anak Muda Cinta Masjid yang dianjurkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi baru-baru ini bertujuan mendekatkan anak muda dengan institusi berkenaan.
Pegawai Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata melalui program tersebut, seramai 100 penyertaan daripada belia telah diraikan minat mereka terhadap motor dengan menjelajah setiap masjid terpilih.
"Diantara masjid dipilih berkenaan ialah masjid Al-Muktafi Billah Shah (AMBS), Masjid Jongok Batu, Masjid Kuala Jengai, seterusnya ke Masjid Kampung Tepus, Masjid Jerangau dan kembali semula ke Dataran Piramid. Dimana pada setiap masjid yang mereka singgah itu dijadikan 'check point' untuk mereka menjawab soalan pertandingan kuiz dimana mereka perlu melengkapkan kelima-lima 'check point' tersebut.
"Selain itu para peserta turut didedahkan dengan tatacara Solat Sunat Dhuha serta fadilatnya, dan juga tazkirah ringkas waktu zohor, menaikkan Jalur Gemilang di Jambatan Kuala Jengai serta turut diadakan aktiviti kebajikan membersihkan Masjid Kampung Tepus dan melakukan ziarah kebajikan," ujarnya.
Beliau berkata demikian ditemui pihak media, di Dataran Piramid Bukit Besi, selepas program tersebut.
Turut hadir, Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS). Khaziman Khalik, Pegawai Khas DUN Bukit Besi, Waliyuddin Johari serta Ketua Pemuda PAS DUN Bukit Besi, Mohd Ridhuan Yusoff.
Program berkenaan katanya dianjurkan sempena sambutan Maal Hijrah dan juga hampir pada sambutan kemerdekaan negara.
"Dengan objektif menyedarkan anak muda akan bertapa pentingnya peristiwa hijrah dan juga kemerdekaan negara, agar mereka (anak muda) mula mengorak langkah baru didalam kehidupan mereka, berhijrah dari perkara negatif kepada positif dengan membina sahsiah diri dan pentingnya semangat mencintai negara," tegas beliau.
Tambah beliau, dengan sambutan baik yang ditunjukkan oleh anak muda DUN Bukit Besi pihaknya berhasrat untuk meneruskan program berkenaan bagi menjadi tarikan agar menerima lebih ramai lagi penyertaan pada masa akan datang.
"Bermakna tidak akan terhenti disini sahaja, malah kita akan melakukan penambahbaikan pada masa akan datang. Alhamdulillah semua peserta dilihat sangat gembira dengan aktiviti yang telah kita anjurkan ini,Terima kasih kepada semua yang terlibat menjayakan program ini terutama kepada Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia,Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Ahli Jawatankuasa (AJK) setiap masjid dan seluruh pihak yanng terlibat " kata beliau.
Diantara pengisian program di samping hadiah cabutan bertuah, telah turut diadakan gimik membelah kek bagi meraikan anak muda yang mempunyai taikh lahir pada bulan Ogos.
25 Aug 20
732
Ahli Parlimen Setiu Selar Pengisian 'Kakak Kondom'
KUALA LUMPUR, 25 Ogos - Video 'Kakak Kondom' berkaitan seks selamat yang menjadi tular baru-baru ini mendapat perhatian Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir.
Menurut beliau, video tersebut bukanlah untuk memberikan penerangan berkenaan pendidikan seks selamat semata-mata tetapi beragenda untuk mempromosi seks bebas dalam kalangan anak muda.
"Naratif yang dibawa bagi memastikan individu bebas melakukan seks selamat tanpa perlu ikatan perkahwinan dilihat semata-mata menjerumus ke arah penzinaan.
"Walhal penzinaan amat dilarang sekali di sisi Islam sama ada zina selamat ataupun tidak sebagaimana yang telah difirmankan Allah," tegas beliau dalam kenyataan medianya hari ini.
Tegasnya lagi, ajaran yang dibawa oleh 'Kakak Kondom' ini juga dilihat tersasar jauh dari adat dan budaya kita dan ia adalah jarum halus bagi mempromosi budaya barat ke dalam masyarakat Malaysia yang 55 peratus daripadanya adalah Melayu Islam.
"Perkara ini dilihat turut menyimpang daripada norma budaya hidup masyarakat Malaysia yang bukan sahaja menolak seks bebas selamat tanpa ikatan yang sah malah meneuralisasi budaya barat ke negara kita sama sekali tidak diterima," jelasnya lagi.
'Kakak Kondom' adalah salah satu inisiatif oleh Yayasan Aid’s Malaysia dan One Condoms MY yang bertujuan untuk mendidik masyarakat berkenaan pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial melalui seks bebas yang selamat.
25 Aug 20
3385
Tidak Serik, Pasangan Kekasih Dicekup Kali Kedua
MARANG, 23 Ogos - Satu pasangan kekasih seolah-olah tidak serik melakukan aktiviti tidak bermoral apabila dicekup buat kali kedua di sebuah hotel di sini baru-baru ini.
Pasangan yang masih dalam perbicaraan kes pertama itu ditahan dalam satu operasi berkala daripada Pertubuhan Amar Maaruf Nahi Mungkar Marang (Skuad Amar) dengan kerjasama Pegawai Penguatkuasa Syariah Daerah Marang.
Ketua Skuad Amar, Nasaruddin Samsudeng berkata, pihaknya merasa sangat dukacita atas tangkapan ini, kerana mereka seolah-olah tidak serik atas tindakan yang telah diambil sebelum ini.
"Saya merasakan perlu diambil perhatian khusus terhadap peraturan atau undang-undang kepada pemilik hotel, chalet, rumah tumpangan yang membenarkan pasangan yang tidak mempunyai ikatan yang sah atau pertalian suami isteri menyewa di premis miliknya.
"Misalnya diadakan satu ketetapan, pasangan yang hendak menyewa perlu memberikan bukti atau kad nikah sebagai syarat untuk menetap di bilik dan premis berkenaan.
"Ini adalah sebagai salah satu langkah yang perlu diambil, bagi mendidik dengan lebih tegas dan mencegah perkara seperti ini berulang.
"Saya juga mengucapkan jutaan penghargaan kepada penyumbang tenaga, wang ringgit dan maklumat yang bersama-sama dalam menjayakan operasi ini yang melibatkan aktiviti dakwah berterusan di kalangan masyarakat dan komuniti," ucapnya.
Mereka ditahan di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir)(Terengganu) 2001, Seksyen 31, Khalwat apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
Pasangan tersebut masing-masing berusia di antara 17 tahun sehingga lewat 20an, bukan berasal daripada daerah sini.
Operasi berkala itu disertai oleh hampir 20 orang yang terdiri daripada sukarelawan Skuad Amar dan Pegawai Penguatkuasa Syariah Daerah Marang.
23 Aug 20
1682
Tokoh Maal Hijrah, Tidak Jemu Lakukan Kerja Amal
KUALA TERENGGANU, 20 Ogos - Berpangalaman luas menganjurkan pelbagai program peringkat antarabangsa, tidak jemu menyertai kegiatan sosial dan kemanusiaan antara faktor, Hussain Ismail dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah Terengganu.
Anugerah itu disampaikan Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Terengganu, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, pagi ini.
Hussain yang kini menjawat jawatan Pengerusi Lembaga Pengarah Kemaman Supply Base S/B, GLC Terengganu membawa pulang wang tunai RM10,000 beserta pakej ummrah.
Penerima lain, Ab Rahman Ishak, dianugerahkan Tokoh Bilal Cemerlang dan Mohamad Ghani (Tokoh Imam Cemerlang) masing-masing layak membawa pulang wang tunai RM5,000.
Hussain yang pernah menjawat jawaran sebagai guru berkata, anugerah itu sebenarnya bukan untuknya seorang malah buat rakan seperjuangan yang tidak pernah jemu melakukan kerja-kerja amal.
“Apa yang diterima itu juga sebenarnya anugerah dari Allah S.W.T supaya mendorong diri untuk terus berbakti kepada masyarakat islam di negera ini mahupun di negara luar,” katanya.
Anak jati Kampung Tebakang, Bukit Payong itu memiliki 9 orang anak hasil perkongsian hidup dengan Rosemunainah Noor Assmuni. Semua anak-anak berjaya menamatkan pengajian universiti luar negara dan dalam dalam negara.
Lebih menarik, hasil didikan pasangan itu juga, semua anak-anak Hafiz dan Hafizah.
20 Aug 20
1512