Artikel "Agama" Terkini
Sukarelawan Syariah Penggerak Realisasi Terengganu Maju Berkat Sejahtera
MARANG, 23 September- Penubuhan Sukarelawan Syariah dilhat mampu menjadi penggerak dakwah berkesan bagi membantu kerajaan negeri merealisasikan matlamat Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah memaklumkan, dalam indeks Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera yang dibentangkan dalam mesyuarat ahli majlis kerajaan negeri yang berlangsung hari ini, satu sub indikator utama iaitu pelaksanaan syariah Islam dalam erti kata lain sebagai kayu ukur pematuhan syariat dalam negeri.
"Indeks ini akan menjadi asas dalam memnggerakkan pembangunan insan, keluarga, belia termasuk pembangunan fizikal di negeri Terengganu, agar tidak lari daripada wawasan dunia iaitu Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) 2030 dan wawasan Akhirat.
"Kerajaan memiliki sumber manusia yang terhad, maka sokongan daripada masyarakat khususnya hari ini kita wujudkan Sukarewalan Syariah di setiap daerah untuk membantu agar pemantauan dan pematuhan syariat serta mendidik masyarakat," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas merasmikan Program Seminar Pemantapan Sukarelawan Syariah Negeri Terengganu Peringkat Daerah Marang anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) di Dewan Pejabat Agama Daerah Marang, hari ini.
Jelasnya, penubuhan sukarelawan berkenaan juga bertepatan seruan kerajaan negeri kepada rakyat Terengganu untuk bersama membangun negeri pantai timur itu.
"Berdasarkan indeks tersebut, kita turut meletakkan tema bahawa bukan sahaja kerajaan tetapi rakyat juga memiliki tanggungjawab untuk melaksanakan amar maaruf nahi mungkar. Insya-Allah, penguatkuasaan syariah akan memberi kesedaran kepada rakyat kita untuk tidak melaksanakan kejahatan.
"Apabila kejahatan boleh dihalang, kemungkaran boleh dibendung, kemaksiatan boleh disekat, maka suatu masyarakat itu akan hidup dengan baik yang membawa kepada sejahtera bukan sahaja fizikal tetapi rohani dan jiwa juga untuk terus melakukan kebaikan," katanya.
Seminar berkenaan berjaya menghimpunkan seramai 150 sukarelawan syariah dari seluruh daerah Marang.
23 Sep 20
1068
Terengganu Lulus Pelantikan 104 Imam, 121 Bilal Baharu
KUALA TERENGGANU, 23 September - Kerajaan negeri meluluskan pelantikan 104 imam ketiga dan 121 bilal baharu bagi memenuhi keperluan di negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, kelulusan itu membabitkan peruntukan kewangan sebanyak RM2,139,600 untuk kesemua imam dan bilal.
"Pelantikan dibuat di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) bersesuaian dengan peranan dan keperluan dalam institusi agama di negeri ini.
"Imam dan bilal yang baharu dilantik ini pastinya akan dapat membantu imam dan bilal sedia ada, secara tidak langsung tugasan sedia ada dapat dikurangkan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman selepas Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri Terengganu hari ini.
Mengulas lanjut, beliau juga berharap agar pelantikan baharu itu akan merancakkan lagi perkembangan dakwah di Terengganu.
"Mereka boleh merancang bersama, idea-idea baharu dan segar untuk aktiviti agama akan bertambah.
"Pada akhirnya, semua ini akan memanfaatkan rakyat Terengganu selari dengan hasrat kerajaan negeri," tambah beliau.
23 Sep 20
2880
Kisah Hijrah Menjadi Acuan Untuk Lakukan Perubahan
KUALA NERUS, 23 September - "Kekuatan kombinasi kaum Ansar yang menyayangi orang kaum Muhajirin kerana iman dan agama berjaya membentuk sebuah masyarakat terbaik," demikian huraian Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dalam Bual Bicara melalui program Jelajah Kasih 2.0 di Kampung Banggol Binjai, Tepoh kelmarin
katanya, sifat memberi dan menerima yang ada pada orang Ansar berjaya melahirkan pejuang yang hebat.
“Kita perlu mengatur langkah demi melahirkan bangsa dan agama yang hebat, menyayangi serta mencintai Allah untuk mencari redha Allah SWT.
“Penyatuan dua parti besar dalam negara kita tidak lain asasnya adalah redha Allah bukan dengan sandaran objektif selainnya,” tegasnya.
Mohd Khairuddin menyarankan kepada semua pimpinan masyarakat agar membina rakyat ke arah mencapai redha Allah nescaya mempunyai keazaman membantu agama.
Jelasnya lagi, dengan menyemai rasa sayang kepada orang lain akan membentuk satu akhlak saling membantu bahkan memupuk cinta tanpa sempadan dan kepentingan tertentu.
22 Sep 20
119
Satu Lagi Pusat Pengajian Al-Quran OKU Penglihatan Terengganu Beroperasi
BESUT, 14 September - Kerajaan Terengganu menempa kejayaan terbaharu apabila berjaya menubuhkan satu lagi Pusat Pengajian Al-Quran Braille dan telah beroperasi di Pejabat Yayasan Islam, di sini sejak dua bulan lepas.
Perkembangan itu sekali gus memudahkan Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan di Terengganu mempelajari mukjizat Nabi tersebut dengan lebih baik.
Kerjasama antara Yayasan Islam Terengganu dengan Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia Wilayah Terengganu (PERTIS) dibuat selepas pusat sama bagi daerah Dungun dan Kemaman dibuka di Masjid Jamek, Paka sebelum ini dan yang pertama telah lama wujud sejak 2007 iaitu di Seberang Takir.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri amat berbangga dengan perkembangan itu dan berharap agar menjadi pemangkin kepada perkembangan al-Quran di Terengganu tanpa ada halangan kepada sesiapa sahaja yang mahu mendalaminya.
“Penubuhan pusat pengajian ini memberi fokus kepada golongan OKU cacat penglihatan untuk mengikuti kelas pengajian asas al-Quran dan hafazan.
“Mereka ada keistimewaan yang tersendiri, kita ingin war-warkan kepada seluruh masyarakat terutamanya yang mempunyai anak-anak OKU cacat penglihatan supaya mengambil peluang ini untuk mendedahkan anak-anak mereka mengenai pembelajaran al-Quran di pusat ini,” ujarnya kepada pemberita selepas menyempurnakan Perasmian Pembukaan Pusat Pengajian Al-Quran Braille Yayasan Islam Terengganu di Pejabat Yayasan Islam, Besut, hari ini.
Katanya, kerajaan negeri dari semasa ke semasa akan memberi komitmen untuk memperkasa dan memperkukuhkan pusat ini demi melahirkan generasi yang mengenal serta memahami al-Quran tanpa mengira perbezaan lapisan masyarakat.
“Kesedaran mempelajari dan mendalami ilmu al-Quran melalui sistem pendidikan secara berterusan walaupun di kalangan OKU cacat penglihatan akan melahirkan generasi cintakan al-Quran di negeri ini.
“Justeru, untuk tahun ini kita kerajaan negeri peruntukan sebanyak RM1 juta untuk pengurusan di dua pusat ini dan untuk tahun depan akan dipertingkatkan lagi peruntukan untuk menambah baik dan menjadikan suasana pembelajaran lebih menarik,” ujarnya.
Katanya, setakat ini Pusat Al-Quran Braille Yayasan Islam Terengganu di Besut mempunyai 12 pelajar sementara di Paka 10 pelajar dengan masing-masing seorang guru.
Untuk rekod, kerajaan Terengganu pada awal tahun lalu berjanji untuk menubuhkan dua lagi Pusat Pengajian Al-Quran Braille di negeri ini membabitkan kos RM3 juta setiap satu.
14 Sep 20
1307
Skuad Amar Didik Pemilik Salun Kecantikan Jaga Aurat
MARANG, 12 September - Pertubuhan Amar Maaruf Nahi Mungkar Marang (Skuad Amar) mengedar risalah berkaitan batasan aurat kepada beberapa salun kecantikan wanita dan kedai perkhidmatan mengunting rambut di daerah ini.
Ketua Skuad Amar, Nasaruddin Samsudeng berkata, langkah itu bertujuan memberi penerangan jelas mengenai aurat, termasuk batasan antara lelaki dan wanita.
“Penerangan awal dengan edaran risalah yang diberikan ini adalah diharap dapat membentuk ke arah salon patuh syariah.
“Sejujurnya, bertemu mata dengan peniaga salon seperti ini lebih baik di mana kita boleh menyelami suasana harmoni dengan dakwah secara leih terperinci kepada mereka mengikut kesesuaian.
“Program dakwah jalanan yang dilakukan ini juga telah mendapat keizinan daripada Ahli Majlis Daerah Marang dari bahagian perlesenan dan juga Pegawai Penguatkuasa Syariah Daerah Marang.”
Beliau berkata sebaik sahaja selesai program edaran risalah bersama 10 orang sukarelawan skuad amar yang terdiri daripada golongan wanita bermula jam 11 pagi.
Menurutnya lagi, dalam kunjungan hari ini, kita dapati ada di kalangan mereka merupakan ibu tunggal yang berkerja keras demi menyara keluarga.
“Ada juga yang diuji dengan masalah kesihatan dan kewangan dalam tempoh pasca Perintah Kawalan Pergerakan ekoran daripada Pandemik Covid-19. Dengan itu kita juga turut memberikan sedikit sumbangan wang ringgit.”
“InsyaAllah, selepas ini pemantauan secara berkala akan dibuat bersama-sama PPS, Pihak Berkuasa Tempatan dan Ahli Majlis Dearah Marang,” ucapnya lagi.
12 Sep 20
468
YADIM, Terengganu Mahu Lahirkan Pendakwah Penuhi Pasaran Sabah, Sarawak
KUALA TERENGGANU, 10 September – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan kerajaan Terengganu bakal menjalinkan kerjasama strategik bagi melahirkan lebih ramai pendakwah berkaliber untuk memenuhi keperluan di Sabah dan Sarawak terutamanya kawasan pedalaman.
Yang Dipertua YADIM, Nasruddin Hassan berkata, selain dua negeri terbabit, pihaknya turut berusaha untuk memperbanyakkan daie di perkampungan asli seluruh negara.
“Apa yang difokuskan sekarang ialah membentuk dan melahirkan tenaga pendakwah bagi memenuhi pasaran terutamanya di Sabah, Sarawak dan perkampungan orang asli yang masih kurang penghayatan Islamnya.
“Ini berlaku kerana faktor kekurangan pendakwah di kawasan tersebut, sebelum ini mereka sudah diberikan kefahaman tentang Islam, namun setelah lama berlalu penghayatan itu makin berkurang kerana kurang fokus daripada kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan kunjungan hormat kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah Dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Dalam pada itu, menurut Nasruddin, usaha menyelaras dan merancakkan perjalanan dakwah di Malaysia akan terus dipertingkatkan termasuk dengan mengadakan persidangan NGO Islam pada 19 September ini.
“Alhamdulillah setakat ini telah ada 400 NGO yang telah mendaftarkan diri untuk terlibat dalam persidangan itu, jumlahnya agak besar namun kita akan kawal kehadiran supaya ia mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kerajaan.
“YADIM melakukan usaha ini untuk menyelaras (koordinat), bukan untuk menjadi bos atau menaungi sesiapa tetapi hanya platform kepada semua NGO.
“Selepas persidangan itu NGO akan dibahagikan mengikut kluster seperti dakwah lapangan, orang asli, Sabah dan Sarawak, pendidikan, serangan pemikiran dan sosial mengikut keperluan, ada modul dan plan untuk dirancang dan dilaksanakan bersama,” katanya lagi.
Terdahulu, Mohd Nor menghargai kesudian pihak YADIM dalam mengerakkan dakwah secara lebih bersepadu di pelbagai peringkat.
“Hasrat yang dibincangkan hari ini merupakan usaha murni untuk mengangkat syiar Islam di Malaysia dan mengembalikan Terengganu sebagai negeri yang gemilang dalam bidang agama suatu masa dulu,” tambah beliau.
10 Sep 20
854
Sukarelawan Syariah Kuala Nerus Tumpu Kawasan Panas
KUALA NERUS, 9 September - Kawasan pesisir pantai di daerah ini yang kerap menjadi sasaran segelintir individu untuk melakukan perbuatan tidak bermoral akan diberi tumpuan oleh skuad sukarelawan syariah Kuala Nerus dalam usaha membanteras perbuatan maksiat di negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal Dr Alias Razak berkata, antara yang menjadi lokasi panas adalah kawasan Pantai Hulu Takir, yang terletak di sepanjang laluan menghala ke jambatan angkat (drawbridge).
Katanya, seramai 120 anggota sukarelawan dilantik sentiasa bersedia membantu Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) melaporkan sebarang kesalahan di bawah enakmen kesalahan jenayah syariah yang berlaku di daerah ini.
“Sukarelawan syariah adalah orang awam yang dilantik oleh kerajaan negeri diletakkan dibawah pemantauan JHEAT, tidak diberi kuasa menangkap dan menyiasat oleh Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).
“Bagaimanapun mereka ini sedia tampil memberi maklumat dan bersedia untuk bekerjasama dan menjadi saksi dalam sesuatu kes terutamanya melibatkan kes jenayah syariah,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Seminar Pemantapan Sukarelawan Syariah Daerah Kuala Nerus anjuran Bahagian Penguatkuasaan JHEAT di Kompleks Tarbiyyah At-Taqwa, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Pesuruhjaya (Hal Ehwal Islam) JHEAT, Zulkefli Othman, Penolong Kanan Pesuruhjaya (Pencegahan) JHEAT, Kamal Bin Mamat dan Ketua Sukarelawan Syariah Kuala Nerus, Harun Salleh.
Katanya, inisiatif Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri itu telah membuka peluang kepada mana-mana rakyat Terengganu atau NGO untuk turut serta membantu JHEAT mendidik dan memberi kefahaman kepada orang ramai akan kesalahan syariah yang berkuatkuasa di negeri ini.
“Dengan kekuatan anggota penguatkuasa JHEAT yang kurang daripada 10 orang di setiap daerah sudah pasti tidak mampu untuk menjaga penduduk negeri ini, justeru dengan adanya sukarelawan syariah di setiap daerah ini sedikit sebanyak dapat meluaskan pemantauan,” ujarnya.
Dr Alias berkata, tujuan pencegahan dilakukan bukan semata-mata untuk menangkap mereka yang melakukan kesalahan syariah tetapi lebih kepada mendidik dan memupuk kesedaran masyarakat agar sama-sama bertanggungjawab mencegahnya.
09 Sep 20
571
Islam Berdaulat Keadilan Ditegak
KUALA NERUS, 9 September- Umat Melayu Islam di Malaysia perlu yakin dan percaya selagi mana mereka berpegang teguh dengan ajaran Islam selagi itu akan berada di dalam kemuliaan serta akan tertegaknya keadilan untuk seluruh rakyat.
Pegawai agama Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Abdul Rahman Mohd berkata jangan pernah merasa ragu mengenai keupayaan Islam memerintah kerana dipengaruhi oleh fahaman atau ideologi selain daripada Islam.
"Selagi Islam berdaulat didalam negara kita ini kita, yakinlah akan berlaku keadilan-keadilan serta tertegaknya kebaikan-kebaikan melalui Islam.
"kita kena yakin dengan hukum hakam Islam, jangan sampai dipersoal samada Islam boleh memerintah ataupun tidak," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Kuliah Maghrib, di Masjid Seberang Takir, semalam.
Katanya, orang-orang dahulu telah berjuang mempertahankan Islam sehingga telah sinonim dengan Bangsa Melayu.
"Padahal Islam ini bukan syarat bangsa Melayu, Cina pun boleh, India pun boleh. Tapi Alhamdulillah berkat perjuangan orang-orang lama berjuang apabila sebut Melayu itu Islam, lekat sehingga kini.
"Lipatan sejarah terjadi kepada bangsa yang meninggalkan ajaran Islam secara syumul didalam pemerintahan boleh menjadi panduan kepada bangsa Melayu di negara ini," ujarnya.
Justeru katanya, Islam perlu dipertahankan didalam pemerintahan negara kerana ianya sempurna mencakupi segala aspek politik, sosial, ekonomi serta membawa kepada kemajuan didalam pentadbiran negara.
09 Sep 20
240
Terengganu Masih Tidak Benarkan Warga Asing Solat Jemaah Di Masjid, Surau
KUALA TERENGGANU, 9 September – Warga asing yang berada di Terengganu masih belum dibenarkan untuk solat berjemaah di masjid dan surau negeri ini.
Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Mat Azmi Arshad berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).
“Setakat ini kita masih belum membenarkan mereka (warga asing) untuk solat berjemaah di masjid atau surau.
“Walau bagaimanapun, kita akan pertimbangkan bagi mereka yang berkhidmat dengan kerajaan seperti di institusi pengajian awam (IPT) serta yang memohon kebenaran solat Jumaat," katanya ketika ditemui media baru-baru ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya mengetatkan SOP itu memandangkan tiada jaminan terhadap tahap kesihatan warga asing yang tidak terlibat dengan aktiviti atau kerja di peringkat kerajaan.
"Setakat ini, MAIDAM yang membenarkan semua aktiviti agama dilaksanakan di masjid dengan syarat mematuhi SOP yang ditetapkan MKN dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Ia juga perlu bersesuaian dengan kapasiti jemaah masjid yang dijarakkan serta mereka boleh solat di luar bangunan masjid jika ada keperluan dan dibenarkan," katanya lagi.
09 Sep 20
1051
JHEAT Siasat Penyebaran Fahaman Liberal
KUALA TERENGGANU, 7 September - Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) sedang giat menyiasat dan memantau aktiviti pihak tertentu yang disyaki menyebarkan fahaman liberal di negeri ini.
Pesuruhjaya JHEAT, Mat Azmi Arshad menegaskan bahawa pihaknya mengenalpasti satu kes di Terengganu berkaitan dengan penyebaran fahaman tersebut.
"Kita menyiasat kes seperti berikut dengan kerjasama dan kepakaran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) supaya ia dapat ditangani dengan segera.
"Maklumat diperoleh melalui siasatan tertentu mendapati taktik golongan ini lebih cerdik dan licik dalam menggunakan kitab-kitab berkaitan Ahli Sunnah Wal-Jamaah dan tidak memaparkan fahaman batiniyah.
“Mereka turut mengelak siasatan dengan tidak hadir program yang dianjurkan, kerjasama JHEAT bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus mengawasi ancaman serius ini," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Hafl El-Takrim Pelajar Cemerlang SPM, STAM dan STPM 2019 di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata hasil kerjasama dengan penyelidikan JAKIM pihaknya berjaya membongkar maklumat tentang penyebar atau 'tenaga pengajar' fahaman tersebut di Terengganu.
"Kita turut mengawasi penularan liberal di media sosial," jelasnya.
Susulan itu, Mat Azmi memaklumkan, langkah pendidikan terhadap masyarakat untuk mengatasi masalah penyebaran fahaman liberal di Terengganu secara bersepadu akan dilakukan.
“Dengan Kerjasama JAKIM, Jawatankuasa Fatwa Negeri dan Institut Pengajian Tinggi, kita merancang satu garis panduan sebagai langkah pendidikan masyarakat setempat tentang isu fahaman liberal.
“Pendekatan pendidikan bagi pelajar-pelajar turut dirancang sebagai latihan menghadapi masyarakat. Buat masa sekarang modul tersebut sedang dalam proses kertas konsep dan akan dilaksanakan di sekolah-sekolah negeri," tambah beliau.
07 Sep 20
1066