Artikel "Agama" Terkini
Masyarakat Perlu Berubah - MB Terengganu
KUALA TERENGGANU, 20 Ogos - Masyarakat islam di negeri ini sewajarnya berazam untuk sentiasa melakukan perubahan yang terbaik dan bukannya bersikap selesa dengan pencapaian yang ada.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pada masa yang sama setiap insan perlu sentiasa bersikap positif dengan apa jua keadaan, selain perlu kreatif, inovatif dan optimis untuk mecorak kehidupan masing-masing.
Katanya, sikap seumpama itu sewajarnya perlu ada ada diri, selain perlu mencontohi sikap Rasulullah SAW.
“Rasulullah SAW dan para sahabat berjaya membebaskan diri dan pegangan mereka daripada penindasan dan kezaliman yang dilakukan oleh Musyrikin Quraisy.
“Konsep ini lebih dekat dengan hati kita rakyat Malaysia, apakala kita menyambut kedatangan tahun baharu hijrah, pada saat yang sama kita sedang menyambut bulan kemerdekaan negara, simbolik kepada pembebasan daripada cengkaman penjajah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Terengganu, di Wisma Darul Iman, Kuaka Terengganu, pagi ini.
Ahmad Samsuri, berkata kemerdekaan cukup mahal, tidak ternilai harganya, tidak boleh ditukar beli dengan harta dunia. dan dengan kemerdekaan dan kebebasan inilah, peradaban Islam dapat mentadbir dunia.
“Oleh kerana itu, pertahankan kemerdekaan ini, seperti bidalan orang tua-tua, adat bernegeri memagar negeri, adat berkampung memagar kampung (erti : tidak mementingkan diri sendiri dan dan buat sesuatu untuk kebaikan bersama).
“Nilai kedua adalah Pembebasan atau Kemerdekaan. Hijrah menunjukkan Penyatuan.
“Ketiga, Hijrah menonjolkan nilai penyatuan yang kukuh, yang telah diasaskan tapaknya oleh Rasulullah SAW untuk generasi terkemudian mengikut lakaran jejak langkah baginda,” katanya.
20 Aug 20
477
Tidak Bertanggungjawab Punca Cerai
KUALA TERENGGANU, 11 Ogos - Sikap tidak bertanggungjawab sama ada lelaki atau wanita terhadap pasangan dan anak masing-masing menjadi punca utama yang mengakibatkan penceraian di Terengganu.
Turut menjadi punca penceraian adalah lemah didikan agama, campur tangan pihak ketiga, perbezaan budaya, masalah seksual, masalah ekonomi, kerjaya, masalah kesihatan, masalah akhlak dan sosial serta masalah komunikasi.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, Terengganu merekodkan 13,157 kes penceraian membabitkan pasangan muslim dalam tempoh lima tahun bermula 2015 di samping 181 penceraian ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini
Katanya, berdasarkan pecahan, sebanyak 2,682 pasangan dilaporkan bercerai pada 2015 diikuti 2,715 pasangan (2016), 2,758 (2017), 2,553 (2018) dan 2,449 pasangan (2019).
"Memang banyak faktor yang mengakibatkan penceraian ini namun punca utama isu adalah disebabkan pasangan tidak bertanggungjawab yang akhirnya membawa kepada masalah-masalah lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ab Razak Ibrahim pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Keempat Belas di Wisma Darul Iman hari ini.
Menurut Mohd Nor, kerajaan mengambil pelbagai langkah dalam menangani isu penceraian dengan memberi tumpuan kepada tiga golongan sasaran iaitu pasangan yang belum berkahwin, pasangan sudah berkahwin dan pasangan yang mempunyai konflik dalam perkahwinan.
Katanya, kumpulan itu diuruskan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT), Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MITS) dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).
“Antara program dilakukan adalah kursus pra perkahwinan, pra perkahwinan Islam, seminar kekeluargaan, kursus kepada pasangan yang berkahwin lebih lima tahun dan khidmat nasihat cara keluarga Islam bagi membantu masalah rumahtangga,” katanya sambil berkata sebanyak 2,409 pernikahan direkodkan Bahagian Undang-Undang keluarga bagi Pernikahan dan Penceraian dalam tempoh (PKP).
11 Aug 20
1709
Kisah Jaafar r.a Buat Ayah Chik Sebak
Oleh : Aziz Hambali
MARANG, 9 Ogos - Ahli Parlimen Marang, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang saban pagi Jumaat seringkali dilihat menitiskan airmata ketika menyampaikan Kuliah Dhuha terutama apabila mengkisahkan tentang sirah nabi dan sahabat.
Beliau yang juga Duta Khas Perdana Menteri Ke Timur Tengah nyata terharu dengan pengorbanan mereka yang terdahulu menegakkan syiar Islam lebih-lebih ketika membaca perjuangan Zaid Harithah.
"Zaid Harithah r.a. kesayangan Rasulullah SAW, memegang bendera dan menggepalai serangan dengan keberanian yang luar biasa.
"Bendera yang diambil Jaafar r.a. yang seterusnya memimpin serangan dengan penuh gagah berani. Tangan kanan yang memegang bendera putus dipancung musuh,” katanya.
Katanya, kemudian tangan kiri pula mengambil alih bendera yang dijulang. Justeru itu, dipancung pula tangan kirinya. Kedua-dua tangannya lumpuh tunggul lengan yang berbaki merangkul bendera agar tidak jatuh.
"Akhirnya jasadnya dipancung musuh maka Jaafar gugur syahid dengan mendapat kurnia dua sayap di dalam syurga. Peperangan itu berlangsung ketika berlakunya peperangan Mu'tah." katanya.
Menurut beliau ketika mengupas buku terbaru bertajuk, Fiqh Al-Harakah dari Sirah Nabawiyyah Jumaat lalu.
09 Aug 20
1333
Tauliah : Situasi Yang Wajib Difahami
KUALA TERENGGANU, 6 Ogos - Kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa untuk memberi, meluluskan atau menarik permohonan tauliah pengajaran agama terhadap mana-mana individu di Terengganu.
Pengarah Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT), Muhammad Ramlan Mahmood berkata, pihaknya menyerahkan kepada pihak berautoriti iaitu Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) untuk membuat keputusan terbaik berkaitan perkara itu.
“Kerajaan negeri tiada kuasa atau hak untuk memberi atau menolak sebarang permohonan tauliah. Saya berpendapat biarlah urusan itu diputuskan MAIDAM kerana ia berada di bawah bidang kuasa pihak mereka.
“Ia juga selaras dengan Seksyen 102, Enakmen 2 Tahun 2001, Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Islam (Terengganu) bahagian Pendidikan Islam yang menyebut Majlis (MAIDAM) hendaklah melantik suatu jawatankuasa bernama Jawatankuasa Pengawasan Pendidikan Agama Islam.
“Jawatankuasa itu mempunyai kuasa untuk memberikan tauliah bagi maksud pengajaran agama Islam atau apa-apa perkara tentang agama Islam dan untuk menarik balik tauliah itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas mengadakan Kunjungan Hormat terhadap Yang Dipertua MAIDAM, Dato’ Haji Osman Muda di pejabat MAIDAM di sini, hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah memaklumkan, tidak timbul isu kerajaan negeri bertindak mengagalkan mana-mana permohonan tauliah daripada mana-mana penceramah atau individu.
Sebaliknya beliau menegaskan urusan tersebut adalah terletak di bawah institusi lain dan dijaga oleh pihak yang berautoriti.
“Jadi tuduhan yang mengatakan kerajaan negeri tidak memberi kelulusan tauliah kepada pihak tertentu adalah tidak benar kerana ia bukan bidang kuasa kerajaan negeri.
“Kita tidak boleh melangkaui tugasan atau bidang kuasa pihak lain kerana ia sudah tertakluk dalam undang-undang,” tambah beliau.
06 Aug 20
1757
Cinta Tanah Air Selaras Anjuran Agama
Rakyat Malaysia menyambut kemerdekaan negara pada setiap 31 Ogos saban tahun. Namun, apakah kita benar-benar mengerti makna sebuah kemerdekaan dan kebebasan yang diperjuangkan nenek moyang kita selama hampir 500 tahun lalu?
Negara merupakan anugerah daripada Allah SWT kepada sesuatu bangsa atau umat. Perlu kita sedari, keamanan, keselesaan dinikmati yang dikecapi hari ini, perlu sentiasa disyukuri dan dipelihara dengan sebaiknya.
Kewujudan sesuatu bangsa dan tamadun terletak pada kesungguhan dan kecintaan anggotanya untuk membangun dan mensejahterakan kehidupan berpandukan wahyu Ilahi dan sunnah Rasulullah SAW.
Sebaliknya, kaum yang cenderung melakukan kerosakan dalam erti kata melanggar perintah, hukum serta larangan Allah SWT dan Rasul-Nya akan membawa mudarat kepada negaranya sebagaimana yang dialami oleh kaum Aad, kaum Tsamud dan kaum Nabi Lut.
Allah SWT telah mengingatkan manusia melalui Surah al-Baqarah, ayat ke-122 yang bermaksud: “Dan apabila dikatakan kepada mereka; janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di muka bumi, mereka menjawab: sesungguhnya kami orang yang hanya membuat kebaikan. Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya mereka itulah orang yang sebenarnya membuat bencana dan kerosakan, tetapi mereka tidak menyedarinya.”
Kecintaan kita pada negara perlu dibuktikan dengan tindakan yang positif dan konsisten. Orang yang mencintai negara akan selalu menjaganya dari sebarang ancaman dan kerosakan.
Hakikatnya, setiap manusia itu memiliki kecintaan kepada tanah airnya sehingga dia berasa aman menetap di dalamnya dan selalu merindukannya apabila jauh darinya, malah mempertahankannya ketika diserang dan berasa marah ketika negaranya dicela.
Dengan kata lain, mencintai tanah air itu sudah menjadi tabiat asal manusia.
Rasulullah SAW sendiri pernah menzahirkan kecintaannya kepada Mekah sebagai tempat kelahirannya. Hal ini dapat dilihat dalam sebuah hadis daripada Ibnu Abbas RA yang bermaksud:
“Dari Ibnu Abbas RA beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda, ‘Alangkah baiknya engkau sebagai sebuah negeri, dan engkau merupakan negeri yang paling aku cintai. Seandainya kaumku tidak mengusirku dari engkau, nescaya aku tidak tinggal di negeri selainmu” (Hadis riwayat Ibnu Hibban).
Berdasarkan tindakan Baginda itu, jelas memberi kesimpulan bahawa mencintai negara merupakan suatu sifat semula jadi yang ada dalam diri manusia dan ia dianjurkan dalam Islam.
Sesungguhnya bumi yang dipijak ini ialah tanah tumpah darah kita. Di sinilah perlunya kita memelihara keamanan untuk hidup berpadu penuh kedamaian.
Pada masa sama, kita turut bertanggungjawab menjaga kesucian agama dan kedaulatan negara daripada sebarang anasir keganasan, kezaliman mahupun penindasan.
04 Aug 20
355
Terengganu Benar Aktiviti Agama, Kemasyarakatan Di Masjid, Surau Bermula Esok
KUALA TERENGGANU, 31 Julai - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin memberi perkenan untuk membenarkan semua aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan dilakukan di masjid serta surau di negeri berkenaan bermula esok.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Dato' Osman Muda walau bagaimanapun berkata, kebenaran perluasan aktiviti-aktiviti tersebut tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) kesihatan dan keselamatan yang ditetapkan pihak berkuasa.
"Kebenaran menyampaikan kuliah atau pengajaran agama kepada semua pemegang tauliah yang dilantik MAIDAM turut diberikan.
"Jawatankuasa masjid dan surau dikehendaki membuat pemantauan supaya SOP dipatuhi oleh semua yang terlibat," katanya dalam satu kenyataan rasmi hari ini.
Menurut beliau, sebarang perubahan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa dan tertakluk kepada arahan pihak berkuasa.
"Sultan Mizan Zainal Abidin juga menyeru kepada rakyat jelata supaya tidak mengambil ringan akan arahan pihak berkuasa dalam mendepani wabak COVID-19," tambah Osman.
31 Jul 20
3212
Kekal Solat Jumaat Hanya Satu Sesi
KUALA TERENGGANU, 19 Julai - Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) kekal dengan keputusan hanya satu sesi solat Jumaat diadakan, termasuk di Wilayah Persekutuan.
Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, berikutan itu, jemaah dibenarkan untuk menunaikan solat Jumaat dalam ruang yang lebih besar.
"Ini termasuk ruang tepi masjid dan kawasan yang sesuai dengan SOP (prosedur operasi standard) penjarakan sosial. Kalau ada khemah yang disediakan oleh pihak masjid jemaah boleh solat di situ dengan bawa sejadah dan patuhi garis panduan yang ditetapkan.
"Bagaimanapun ia tertakluk kepada pentadbiran agama negeri. Saya difahamkan setakat ini seluruh negeri menjalankan keputusan satu sesi solat Jumaat sahaja," jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media sempena Program YADIM (Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia) Peduli : Pasca Musa'adah Covid-19 Warga Nelayan Terengganu di Pelabuhan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Chendering di sini hari ini.
Melalui program itu, seramai kira-kira 120 orang nelayan yang terjejas pendapatan harian akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu menerima sumbangan 'food basket' daripada YADIM.
Kesemua mereka turut menerima bantuan berupa sejumlah wang tunai yang disampaikan sendiri oleh Zulkifli termasuk sumbangan berjumlah RM10,000 kepada seorang warga nelayan yang menghadapi musibah kebakaran rumah baru-baru ini.
Beliau memuji usaha YADIM menyantuni para nelayan sebagaimana tema YADIM Peduli dan mengharapkan agar bantuan tersebut sedikit sebanyak meringankan bebanan mereka, sekurang-kurangnya untuk meneruskan kehidupan dengan sebaiknya.
Hadir sama dalam program tersebut, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Hilmi Harun, Yang Dipertua (YDP) YADIM, Nasruddin Hassan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) YADIM, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh dan Pengarah YADIM Terengganu, Mahadi Awang.
Nasruddin Hassan.
Sementara itu, menurut Nasruddin Hassan, YADIM bertindak sebagai agensi prihatin dan bertanggungjawab menggerakkan aktiviti dakwah bahkan kebajikan.
"Itulah hasrat kita untuk meringankan beban mereka. Malah nelayan juga adalah 'frontliner' yang membawa pulang sumber bekalan hasil laut ke tanah besar bagi keperluan 'food security' kepada kita umumnya," ujarnya yang dilantik sebagai YDP yang baharu menggantikan Nik Omar Nik Abdul Aziz, baru-baru ini.
Untuk rekod, sebanyak kira-kira RM80,000 diperuntukkan YADIM bagi membantu 1,000 nelayan di 10 kawasan di Terengganu.
19 Jul 20
1020
Pencegahan Berterusan, Gerunkan Pelaku Maksiat
Oleh : Aslam Wira
KUALA TERENGGANU, 17 Julai - Pencegahan berterusan terhadap aktiviti kurang sopan di kawasan-kawasan tumpuan mendatangkan kesan positif berikutan tiada tangkapan dibuat dalam operasi di Drawbridge semalam.
Ketua Pertubuhan Amar Maaruf Nahi Mungkar Marang (Skuad Amar), Nasaruddin Samsudeng berkata, perubahan baik yang berlaku itu memberi isyarat bahawa orang ramai mula sedar tentang kesalahan jenayah syariah.
"Walau bagaimanapun, operasi dan pemantauan secara berterusan akan sentiasa dilakukan bagi membendung aktiviti tidak bermoral di sini.
"Sekali gus menjayakan hasrat kerajaan negeri untuk menyifarkan aktiviti tidak sihat dalam masyarakat," tambahnya lagi.
Beliau berkata demikian kepada wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas melakukan operasi yang dibuat di perkarangan Drawbridge, semalam.
Dalam operasi berkenaan, Skuad Amar Wanita turut digerakkan bagi membantu pemantauan.
Menurutnya, pendedahan skuad Amar Wanita adalah sebagai pendekatan dakwah kepada kaum ibu terutamanya berkaitan penutupan aurat dengan sempurna mengikut tatacara Islam yang sebenar.
"Langkah ini juga untuk menyambut seruan kempen indahnya hidup bersyariat yang sedang berjalan dalam negeri," ujarnya.
Seramai 45 orang sukarelawan yang terdiri daripada Skuad Amar, Pegawai Penguatkuasa Syariah dan sukarelawan Syariah Kuala Terengganu serta Kuala Nerus terlibat dalam operasi berkenaan.
Operasi yang bermula sekitar jam 8 malam sehingga 1.00 pagi itu merupakan operasi kali kedua yang dijalankan di sekitar Drawbridge.
17 Jul 20
5604
Pusat Tafaqquh Fi Din Dibangunkan Dalam Masa Terdekat
KUALA TERENGGANU, 16 Julai - Pusat Tafaqquh Fi Din Tok Syeikh Duyung bakal dibangunkan di Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man dalam masa terdekat.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Negeri, Satiful Bahri Mamat berkata, penubuhan perkampungan ilmu berkenaan bertujuan memperkasakan lagi pengajian Islam di negeri ini seterusnya mengangkat kembali Terengganu sebagai hub pendidikan turath.
“Projek pembinaan pusat ini telah mendapat kelulusan Mesyuarat Exco minggu lalu dan ianya akan dilaksanakan secara berperingkat melibatkan tiga fasa.
“Sebanyak RM6 juta seperti yang diluluskan dalam Bajet 2020 yang lalu akan diperuntukan untuk fasa pertama manakala untuk fasa kedua dan ketiga pula melibatkan peruntukan sebanyak RM14 juta,” ujarnya ketika dihubungi pemberita Urusetia Penerangan Darul Iman, hari ini.
Menurut Satiful, pusat berkenaan akan memberi peluang kepada kepada para lepasan pondok untuk meneruskan kesinambungan pengajian turath dan sistem talaqqi dengan lebih mendalam,
Malah katanya, pusat ilmu yang secara tidak langung bertindak sebagai edu-tourism itu juga bakal melahirkan para ulama yang berketerampilan.
Katanya, sebelum siapnya kompleks kampung ilmu itu, Pusat Tafaqquh Fi Din akan beroperasi sementara di sebuah bangunan di Setiu.
“Pengambilan pelajar untuk sesi 2021 akan dibuat akhir tahun ini dimana pelajar yang terpilih akan belajar buat sementara waktu di Setiu sehingga Pusat Tafaqquh Fi Din Tok Syeikh Duyung siap sepenuhnya,” ujar beliau.
16 Jul 20
979
Anda Diperhati, Amaran Keras Kepada Pelaku Maksiat!
Oleh : Aslam Wira
KUALA TERENGGANU, 11 Julai - Individu yang mempunyai niat untuk melakukan maksiat di bumi Terengganu termasuk di sekitar jambatan angkat di sini disaran supaya membatalkan hasrat tersebut.
Ketua Pertubuhan Amar Maaruf Nahi Mungkar Marang (Skuad AMAR), Nasaruddin Samsudeng menegaskan, pihaknya akan sentiasa mengadakan operasi pencegahan bagi mengekang aktiviti tidak bermoral terus berleluasa.
Katanya, dalam operasi di Drawbridge semalam, 15 pasangan telah diberikan amaran keras manakala satu pasangan ditahan dan dibawa ke Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu.
"Pasangan yang dibawa ke Pejabat Agama Kuala Terengganu itu akan disiasat untuk kesalahan di bawah seksyen 36, Mewatie, enakmen kesalahan jenayah syariah (Takzir) (Terengganu) 2001.
"Jika disabitkan kesalahan, mereka akan didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas operasi berkenaan.
Menurut beliau, pemantauan itu tertumpu di beberapa lokasi mencurigakan, kawasan gelap dan mereka yang berdua-duaan di dalam kereta atau sebagainya.
"Skuad Amar juga akan membuat cegahan secara berterusan, malah bunting-bunting penerangan tentang kesalahan jenayah syariah serta perbuatan tidak sopan di tempat awam turut digantung di setiap lokasi tertentu," ujarnya.
Katanya lagi, ibu bapa atau penjaga perlu sentiasa memantau anak-anak terutamanya anak perempuan lebih-lebih lagi pada waktu malam
"Jangan sampai mereka terikut-ikut dengan hawa nafsu, dan terjerumus dalam pemikiran yang menyebabkan mereka terlanjur atau mendekatkan diri ke arah pengzinaan," jelasnya.
Operasi yang bermula 8.00 malam itu mendapat kerjasama penuh daripada Pegawai Penguatkuasa Syariah serta Sukarelawan Amar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus dengan penglibatan seramai hampir 60 orang.
Terdahulu, pada 8 Julai, Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu memaklumkan penubuhan skuad khas bagi memantau setiap kelakuan pengunjung di sekitar jambatan angkat bagi mengelakkan kejadian tidak bermoral berlaku
13 Jul 20
909