lightning-solid
Berita :

Artikel "Agama" Terkini

Exco Bincang Benar Kuliah Agama Di Masjid, Surau
Exco Bincang Benar Kuliah Agama Di Masjid, Surau
KUALA TERENGGANU, 12 November - Kebenaran untuk mengadakan pengajian agama di masjid dan surau sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) turut dibincangkan dalam mesyuarat ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) semalam. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, penangguhan aktiviti atau kuliah agama itu sememangnya memberi kesan kepada banyak pihak. "Saya pernah sebut kepada pihak pejabat agama supaya dicadang dan dipanjangkan kepada pihak yang berkenaan agar aktiviti pengajian diteruskan di masjid dan surau.  "Saya memang rasa sedih dengan keputusan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) tetapi akur dan mentaati keputusan pihak penguasa agama. "Hari ini, saya telah menyuarakan cadangan saya dalam mesyuarat exco supaya dipanjangkan oleh beberapa ahli MMKN dalam mesyuarat MAIDAM," katanya dalam satu kenyataan semalam. Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim dan ADUN Bandar, Ahmad Shah Muhamed telah mengadakan perbincangan bersama Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Ustaz Mohd Rozi Bidin berhubung isu terbabit. Jelas Hishamuddin, kerajaan negeri melalui Mohd Nor sentiasa memainkan peranan bagi merungkai segala kemelut. "Dalam pertemuan itu, pihak MAIDAM memaklumkan keputusan (penangguhan kuliah agama) tidak akan berlanjutan sehingga tamat tempoh PKPB, sebaliknya ia akan dinilai berdasarkan kes COVID-19 di Terengganu. "Keputusan untuk perkara itu secara pentadbirannya akan dikeluarkan secara telus oleh pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) melalui pesuruhjayanya," tambah beliau.
11 Nov 20
3500
YADIM Pergiat Strategi 'Touch And Go'
YADIM Pergiat Strategi 'Touch And Go'
KUALA NERUS,11 November - Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) terus mempergiatkan strategi  'Touch And Go' dalam melaksanakan agenda dakwahnya. Strategi itu dijalankan dengan melaksanakan program-program di pelbagai tempat yang akan menarik rakan dakwah setempat untuk menyertainya. Penolong Pengarah YADIM Negeri Terengganu, Ustaz Nasrul Hadi Saidin berkata, selepas 'Touch And Go', langkah seterusnya adalah 'Touch And Stay' iaitu mengenalpasti penggerak di kalangan  masyarakat setempat untuk menubuhkan badan bukan kerajaan (NGO), dan seterusnya sama-sama bergerak dengan kerajaan untuk melaksanakan program dakwah di semua peringkat. Ustaz Nasrul Hadi menyampaikan cenderahati kepada penceramah jemputan. “Itulah yang kami sedang cuba lakukan di sini, kami datang dengan harapan bahawa program ini akan mencambahkan lagi program dan aktiviti lain di peringkat masyarakat di sini. “Dengan itu, ia akan membuka lebih ruang kepada kami untuk mengadakan program-program dakwah yang lain di sini,” ujar beliau lagi. Beliau berkata demikian dalam satu Program Bulan Dakwah 2020 Sempena Maulidur Rasul Peringkat Kg Banggol Donas, di Dewan Mina, Taman Cikgu Ismail Yusof 2, Kampung Banggol Donas, baru-baru ini. Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri, Ustaz Ridzuan Hashim dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Banggol Donas, Rosli Bidin. Nasrul Hadi juga berharap agar rakan-rakan dakwah setempat mampu untuk turut sama menggapai gelombang dakwah sepertimana yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Jawatankuasa Wanita Taman Cikgu Ismail Yusof 2 yang banyak membantu melancarkan progran ini. Terdahulu, Bulan Dakwah telah dilancarkan pada 3 Oktober lepas secara siaran langsung di TV Al Hijrah dan berakhir hujung tahun ini yang bertujuan untuk menyebarluaskan gerakan dakwah dengan mengambil semangat Rabiul Awwal yang juga merupakan bulan kelahiran Nabi Muhammad SAW.    
11 Nov 20
681
Jadikan Masjid, Surau Sebagai Pusat Pembangunan Masyarakat
Jadikan Masjid, Surau Sebagai Pusat Pembangunan Masyarakat
HULU TERENGGANU, 10 November - Fungsi masjid atau surau sebagai institusi menimba ilmu agama perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh umat Islam, kata Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN)Ajil, Maliaman Kassim. Beliau berkata, selain bersolat, masjid dan surau memainkan peranan mustahak sebagai tempat bagi masyarakat Islam berkumpul dan menganjurkan aktiviti selain yang menjurus kepada aspek keagamaan.   “Tidak salah jika ahli jawatankuasa masjid menganjurkan aktiviti (sukan) seperti pertandingan sepak takraw, badminton dan sebagainya di pekarangan masjid.Jadi, ahli jawatankuasa masjid harus menetapkan di mana untuk membina gelanggang permainan untuk golongan tersebut. “Program-progam tuisyen juga boleh dianjurkan selain pertandingan nasyid, tilawah al-Quran, zikir dan sebagainya yang mampu membentuk golongan belia,” katanya. “Seiring dengan peredaran masa dan perkembangan masyarakat serta pembangunan minda dan fizikalnya memberikan isyarat bahawa institusi masjid juga perlu berkembang untuk mengimbangi keperluan dan perkembangan masyarakat Islam," katanya ketika ditemubual selepas Program Sambutan Maulidur Rasul di Masjid, Kampung Gunong, semalam. Dalam pada itu, Maliaman turut menyeru semua ahli masjid dan surau di negeri ini agar lebih aktif menganjurkan aktiviti keagamaan yang dapat menarik pembabitan golongan belia. “Saya menyeru semua ahli jawatankuasa masjid dan surau di negeri ini agar memahami kehendak golongan berkenaan (belia) agar tugas untuk menarik penyertaan mereka dalam aktiviti-aktiviti yang dianjurkan lebih mudah. “Aktiviti mengimarahkan atau menyemarakkan masjid tidak sewajarnya tertumpu kepada penglibatan warga emas sebaliknya menuntut kehadiran generasi muda dan wanita,” ujarnya.  
10 Nov 20
2269
Akad Nikah Hanya Di JHEAT, Pejabat Agama Daerah
Akad Nikah Hanya Di JHEAT, Pejabat Agama Daerah
KUALA TERENGGANU, 9 November – Majlis akad nikah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri ini hanya boleh diadakan di Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan Pejabat Agama Daerah (PAD). Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Mat Azmi Arshad berkata, arahan yang berkuatkuasa serta merta itu bertujuan menjaga keselamatan orang ramai dan memudahkan pemantauan pematuhan tatacara. “Pelaksanaan di premis persendirian, masjid, surau atau tempat-tempat awam yang lain adalah tidak dibenarkan kecuali mendapat kelulusan khas daripada Ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Ruju' Orang lslam Negeri Terengganu melalui borang A. "Pegawai Agama Daerah akan menentukan jurunikah dan waktu pelaksanaan majlis akad nikah mengikut jadual yang akan disusun oleh pihak PAD dengan mengambil kira perbincangan dengan pihak pemohon," ujarnya dalam satu kenyataan hari ini. Katanya, kehadiran orang ke majlis perlu diminimakan iaitu tidak melebihi 15 orang dewasa dan keutamaan kepada yang berkeperluan untuk hadir seperti seorang jurunikah, pengantin lelaki, pengantin perempuan, seorang wali, serta masing- masing dua orang saksi bagi pengantin lelaki dan pengantin perempuan. Menurut Mat Azmi, tempoh masa pelaksanaan majlis akad nikah hendaklah dipendekkan dan tidak melebihi 30 minit. “Individu yang mengalami gejala seperti batuk, selsema, demam dan sesak nafas tidak dibenarkan hadir dalam majlis tersebut termasuk kanak-kanak dan warga emas berisiko.  "Semua yang hadir pada majlis akad nikah berkenaan hendaklah didaftarkan nama, alamat semasa serta nombor telefon di dalam borang B dan diserahkan kepada PAD atau wakilnya dan perlu menggunakan hand sanitizer (penyahkuman) sebelum dan selepas majlis akad nikah," ujarnya. Sementara itu katanya, upacara adat istiadat dalam majlis tersebut adalah tidak dibenarkan sama sekali. "Jika mana-mana pihak yang tidak mematuhi tatacara ini, PAD atau wakilnya dengan kuasa Ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Ruju' Orang lslam Negeri Terengganu boleh menangguhkan majlis tersebut. "Dokumentasi yang berkaitan majlis akad nikah seperti pendaftaran dan pengeluaran sijil perakuan nikah hendaklah ditangguhkan dan disempurnakan selepas tamat tempoh PKPB," jelasnya.  
09 Nov 20
6394
Aktiviti Keagamaan Di Mukim Rasau Dihentikan
Aktiviti Keagamaan Di Mukim Rasau Dihentikan
DUNGUN, 7 November - Beberapa aktiviti keagamaan di mukim Rasau, di sini dihentikan sementara bermula hari ini berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 20 November ini. Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Mat Azmi Arshad berkata, aktiviti-aktiviti tersebut adalah seperti kuliah agama dan program melibatkan perhimpunan ramai jemaah di masjid serta surau. “Aktiviti-aktiviti keagamaan lain di mukim Rasau kita terpaksa dihentikan dahulu buat sementara waktu ini bagi mengekang penularan COVID-19,” katanya kepada ketika dihubungi pemberita semalam. Mengulas lanjut, beliau bagaimanapun memaklumkan, ibadah solat Jumaat akan diteruskan seperti biasa dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan sebelum ini. “Kita menggunapakai keputusan yang diputuskan bersama oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu sebelum ini. “Ia SOP yang telah ditetapkan iaitu dihadkan kepada seramai 40 jemaah sahaja bagi sesebuah masjid dengan ada penjarakan fizikal antara setiap jemaah. “Bagi solat lima waktu pula hanya imam dan bilal yang bertugas sahaja yang dibenarkan untuk berada di masjid dengan dihadkan enam orang bagi setiap waktu,” tambah beliau. Untuk rekod, terdapat empat buah masjid dalam mukim Rasau iaitu Masjid Felda Kerteh 1, Masjid Felda Kerteh 2, Masjid Felda Kerteh 3 dan Masjid Felda Kerteh 4.  
07 Nov 20
809
Orang Yang Sabar Orang Yang Berjaya
Orang Yang Sabar Orang Yang Berjaya
MARANG, 5 November - "Sabar ertinya mencegah. Jika kita dapat bersabar, itu merupakan kejayaan bagi kita. Sabar ini berkat, tiada dalam sifir ekonomi dan tiada pula dalam ilmu barat", Itulah secebis ayat yang boleh penulis ambil sebagai perkongsian bersama. Perkongsian itu disebut dalam Kuliah Dhuha Mingguan oleh Ketua Penyelia institut Modal insan Terengganu Sejahtera (iMiTS) Parlimen Marang, Ahmad Maarof Ismail. “Sabar ini mempunyai beberapa tingkatan. Antaranya ialah sabar dalam melakukan ketaatan kepada Allah dan ibu bapa. Samaada dalam percakapan, sewaktu berdoa mahupun semasa memimpin keluarga kita. Manakala sabar dalam kemaksiatan pula adalah menjauhi larangan Allah,"katanya. Beliau menjelaskan lagi, ada musibah yang Allah beri kepada kita berbentuk kelaparan, kekenyangan ataupun kerenah orang” .Lalu memberikan kata hikmat iaitu 'la taghdob' (jangan marah), sabar itu sebahagian daripada iman. "Manakala sabar itu sinaran yang Allah kurniakan cahaya pada mata hatinya. Sesiapa yang bersabar Allah akan gantikan dengan yang lebih baik", katanya dengan riak yang ceria. "Di samping itu, nilai kesabaran itu telah banyak ditunjukkan oleh para sahabat terutamanya dalam peperangan yang berlaku. Banyak ayat tentang sabar ini terkandung dalam Al-Quran," katanya. "Seterusnya hikmah sabar itu adalah kerana Allah mahu mengampunkan dosa hambanya, seterusnya melorongkan jalan ke syurga, dan mahu bersama orang yang sabar serta Allah memelihara 'asbab' kesabaran kita,"katanya.. Ahmad Maarof juga sempat mencelah berceritakan kisah yang berlaku pada zaman Rasulullah  s.a.w. berkisarkan tentang kesabaran yang diharungi oleh lima orang Rasul Ulul Azmi. “Sabar itu sinaran cahaya, apabila kita tetap dalam sifat kesabaran. Allah akan menilai kesabaran tersebut, Allah akan beri kejayaan kepada mereka iaitu orang yang bersabar".katanya.
05 Nov 20
1000
SOP Masjid, Surau Masih Kekal
SOP Masjid, Surau Masih Kekal
KUALA TERENGGANU, 4 November - Terengganu masih mengekalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) lama di semua masjid dan surau di negeri ini. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, pihaknya yakin SOP yang menekankan penjarakan 1 meter, mereka yang bergejala dilarang hadir dan khutbah Jumaat dipendekkan sudah memadai. Katanya, pada masa yang sama jemaah masjid mudah mematuhi SOP kerana mereka tidak hadir dalam kumpulan ramai. "Sekiranya ada pihak yang mahu mengadakan majlis tahlil atau kesyukuran, digalakkan untuk membungkus dan membawa pulang hidangan, bukannya makan di masjid. "Kita perlu sentiasa peka dengan arahan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KMM), sekiranya ada SOP baru, pastinya Terengganu akan patuh," katanya. Beliau berkata demikian selepas mewakili Menteri Besar merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Pembudayaan Norma Baharu, di Wisma Darul Iman, di sini hari ini. Mohd Nor turut memberitahu, kerajaan melalui Jabatan Penerangan Negeri Terengganu (JPNT) telah melaksanakan Info On Wheels (IOW) dan  Program Sepakat @ Komuniti membabitkan kira-kira 50,000 masyarakat di seluruh Terengganu. Katanya, hebahan IOW dilaksanakan melalui melalui pembesar suara dan kekerapan secara purata sebanyak 20 kali sebulan. "Manakala Program 'Sepakat @ Komuniti' yang melibatkan kerahan masyarakat setempat dengan kehadiran maksimum 200 peserta di setiap Dewan Undangan Negeri. "Hebahan bukan sahaja melibatkan kawasan bandar tetapi juga di pedalaman, kawasan Orang Asli dan kawasan tumpuan ramai," katanya.    
04 Nov 20
444
Masyarakat Islam Perlu Kenang, hayati Sirah Perjuangan Nabi
Masyarakat Islam Perlu Kenang, hayati Sirah Perjuangan Nabi
HULU TERENGGANU, 30 Oktober – Masyarakat Islam perlu menghayati makna di sebalik sambutan Maulidur Rasul dan sirah perjuangan Nabi Muhammad SAW untuk dijadikan panduan dalam menghadapi pelbagai cabaran masa kini. Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN)Ajil, Maliaman Kassim berkata renungan dan peringatan zahir sahaja tidak memadai jika tiada pengisian penting dan penghayatan untuk mentafsirkannya dalam bentuk akidah dan amalan. "Majlis seumpama ini penting bagi memperingati kisah perjuangan dan pengorbanan baginda berdakwah dan memartabatkan Islam.   "Ini juga merupakan kaedah penyatuan ummah dan permuafakatan paling berkesan bagi menyatupadukan masyarakat Islam daripada pelbagai perbezaan pendapat dan ideologi," katanya. Beliau berkata demikian ketika memberi Tazkirah sempena sambutan Maulidur Rasul Dewan Masjid Kampung Menerong dekat sini, semalam yang disertai kira-kira 150 penduduk. “Rabiul Awwal merupakan bulan yang sangat dimuliakan oleh orang Islam khususnya di seluruh pelosok dunia kerana pada tanggal ke-12 bulan tersebut merupakan hari kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W," ujarnya. Tambahnya lagi, dalam menyingkap tabir sirah Rasulullah, terdapat banyak peristiwa bersejarah yang berlaku dalam bulan tersebut sebelum kelahiran Baginda, antaranya ialah kegagalan tentera bergajah dalam cubaan untuk menghancurkan Kaabah. “Setiap tahun hari kelahiran Rasulullah SAW diraikan supaya setiap umat Islam dapat mengambil iktibar daripada setiap sesuatu yang dilakukan dan diamalkan baginda untuk dijadikan panduan dan pedoman. "Rasulullah SAW merupakan contoh yang terbaik kepada setiap umat Islam dalam segala aspek kehidupan," katanya.
30 Oct 20
742
Bulan Dakwah 2020, Ikhtiar Melestarikan Dakwah Dan Kebajikan
Bulan Dakwah 2020, Ikhtiar Melestarikan Dakwah Dan Kebajikan
KUALA TERENGGANU, 29 Oktober – Sambutan Bulan Dakwah 2020 peringkat negeri Terengganu yang julung kali dianjurkan, dimulai dengan  program I-Khidmat Cuci-cuci Masjid dan Musa’adah COVID-19, dalam usaha melestarikan gerakan dakwah dan kebajikan di negeri ini. Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, beliau berharap program anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dapat mencapai objektif dalam meringankan beban masyarakat B40 dan miskin yang terkesan dengan musibah COVID-19. “Pihak negeri mengucapkan terima kasih kepada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato' Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan pihak YADIM dalam menganjurkan bulan dakwah di peringkat negeri. “Pelaksanaan ini wajar khususnya pada bulan Rabiulawal, bulan lahirnya Rasullulah SWT, yang membawa dakwah untuk mendidik masyarakat. “Bagi program Musa’adah COVID-19, melibatkan pemberian bantuan makanan dan asas keperluan dapur kepada 30 golongan asnaf Qariah Kampung Gong Tok Nasek,” katanya. Beliau berkata demikian selepas program I-Khidmat Cuci-cuci Masjid dan Musa’adah COVID-19 di Masjid Gong Tok Nasek, Kuala Terengganu, pagi tadi. Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman, Mohd Soud Said. Sementara itu, Penolong Pengarah YADIM negeri, Nasrul Hadi Saidin berkata, bulan dakwah dilaksanakan di seluruh negara dari 4 Oktober sehingga 30 Disember melibatkan kira-kira 2,000 program bersifat kebajikan dan dakwah kepada masyarakat setempat. “Program Cuci-cuci Masjid di Masjid Gong Tok Nasek pula melibatkan hampir 20 orang sukarelawan YADIM dan Rakan Siswa YADIM. "Kita menyambut mereka yang ingin menyertai dan 300 sukarelawan lagi dijangka menyertai. Program dalam perancangan seterusnya adalah Is’ad Al Usrah iaitu inisiatif untuk melaksanakan kerja pembaikian di kediaman asnaf,” ulasnya. Mengulas tentang kesan gelombang ketiga pandemik, beliau berkata, isu tersebut bukan kekangan tetapi cabaran untuk melaksanakan program dakwah secara kreatif dengan kapasiti dan peserta yang ada.
29 Oct 20
458
Perkasa Kempen Memartabatkan Undang-Undang Syariah
Perkasa Kempen Memartabatkan Undang-Undang Syariah
KUALA TERENGGANU, 28 Oktober – Kerajaan negeri sentiasa memberi sokongan berterusan kepada usaha untuk memantapkan undang-undang syariah dalam teori dan juga praktikal. Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat berkata, kempen bersifat ilmuwan seperti Bengkel Pemahaman Undang-Undang Keterangan, wajar diadakan setiap tahun dalam bagi menambah baik undang-undang syariah di negeri di samping berkolaborasi bersama pegawai syariah negeri lain. “Acara sebegini memenuhi hasrat memantapkan kemahiran advokasi di kalangan pengamal undang-undang serta menguatkuasakan lagi undang-undang keterangan dalam prosiding perbicaraan di makhamah syariah. “Selain itu, ia juga bertujuan untuk memastikan ilmu pengetahuan berkenaan undang-undang syariah dikuasai dengan baik sekali gus melicinkan perjalanan prosiding. “Program sebegini adalah suatu keperluan supaya imej pegawai undang-undang syariah Terengganu akan terus dimartabatkan serta menjadi lebih kompeten, bergerak seiring dengan pemahaman undang-undang sivil,” katanya. Beliau berkata demikian selepas merasmikan Bengkel Pemahaman Undang-Undang Keterangan anjuran Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Terengganu (JPSNT) di Camellia Grand Ballroom, Paya Bunga Hotel, malam semalam. Hadir sama, Pengarah Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Terengganu merangkap Ketua Pendakwa Syarie Negeri Terengganu, Mustafar Hamzah, Ketua Eksekutif Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), M.Rozi Bidin dan Pensyarah Fakulti Undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Ramalingam Rajamanickam. Bengkel tiga hari tersebut dianjurkan oleh Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Terengganu melibatkan 30 orang peserta terdiri daripada ketua pendakwa syarie dan ketua pegawai penguatkuasa syariah dari Terengganu dan negeri-negeri lain, dengan kerjasama Fakulti Undang-undang UKM.  
28 Oct 20
669